Wednesday, April 11, 2012

Dadali Band bukan pengganti Peterpan


ANGGOTA dadali band dari kiri rickarjd, oq, dyrga, yuda dan rix.


MUNGKIN bagi sesetengah orang ia merupakan satu penghormatan jika vokal atau wajah mereka dikatakan mirip orang popular atau ternama.

Bagaimanapun pujian itu umpama racun kepada Dyrga, vokalis Dadali Band dari Indonesia yang popular dengan lagu Di Saat Aku Mencintaimu ketika ini.

Dyrga tidak dapat menerima kata-kata itu, walaupun vokalnya pada halwa telinga orang lain kedengaran sama seperti Aril, vokalis Peterpan.

Namun dia tetap menolak dan mempertahankan bakatnya dengan alasan lenggok nyanyian mereka berbeza.

“Aku sedih apabila orang kata suara aku seperti penyanyi Peterpan. Aku ada gaya tersendiri dan tidak pernah cuba meniru Aril. Lagipun Peterpan sudah popular berbanding Dadali Band yang masih hijau dalam bidang seni.

“Bagi aku, itu lumrah. Orang baru sering dibandingkan dengan yang lama. Malah gara-gara vokal aku dikatakan mirip Aril sewaktu muncul dalam program Inbox, aku ditawar untuk mengikut Peterpan mengadakan tour yang telah dipersetujui sebelum itu,” ceritanya.

Katanya, ada beberapa vokalis daripada kumpulan lain yang turut serta tapi dia menolak kerana tidak mahu dibandingkan dengan Aril.

Vokalis yang ditemui pada sidang akhbar di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, dia lebih senang jika peminat mengenalinya sebagai Dyrga penyanyi Dadali Band, bukan sebagai pengganti Aril.

Lagipun lagu Disaat Aku Mencintaimu sudah cukup untuk memperkenalkan Dyrga dan anggota band yang lain di persada seni ini.

Mereka juga menafikan, populariti lagu tersebut berikutan kerinduan peminat pada vokal Aril Peterpan yang kini di dalam tahanan.

Lagu ciptaan Yuda, gitaris kumpulan itu berkisar tentang kisah cintanya yang tidak kesampaian dengan seorang gadis.

Namun kata Dyrga, sewaktu merakam lagu tersebut ingatannya bukan kepada kekasih tetapi kepada ayah yang sudah lama tidak ditemui.

“Mungkin lagu itu dianggap sebagai lagu cinta sang kekasih tapi bagi aku lagu tersebut dituju khas untuk allahyarham bapa ku yang sudah lama meninggal dunia.

“Sudah rezeki aku, tatkala kami mengadakan persembahan di satu daerah, aku dapat menziarah kubur bapa yang selama ini tidak aku ketahui,” bongkarnya.

Populariti lagu tersebut secara tidak langsung mengubah kedudukan Dadali Band menjadi sebuah kumpulan yang seiring dengan pemuzik lain.

Biarpun Disaat Aku Mencintaimu membawa tuah kepada Dadali Band, yang turut disertai oleh Rickarjd (gitar), Oq (drum), Rix (keyboard) dan Fadel (bass), namun mereka sedikit pun tidak berubah.

“Memang bangga apabila karya kami dikenali umum, kemana sahaja pergi orang mengenali. Namun secara peribadi, kami tetap seperti biasa tidak ada bezanya.

“Anggota Dadali Band tidak mudah lupa daratan. Kami sentiasa kenang saat sebelum berjaya menapak dalam bidang ini betapa susahnya kami untuk mencari syarikat rakaman,” kata Dryga tentang kumpulan yang berasal dari Bogor, Indonesia itu.

Tambahnya, nasib Dadali yang bermaksud garuda berubah apabila wakil pihak Nagaswara berminat untuk membantu mereka meraih impian.

Lagu Disaat Aku Mencintaimu turut mendapat penghargaan dari Muzium Rekor Indonesia (MURI) kerana berjaya mengumpul lebih dua juta pelawat untuk klip video yang disiarkan di Youtube.

Malah lagu yang dipilih sebagai single pertama daripada album sulung itu juga menjadi pilihan ramai untuk dimuat turun sebagai nada dering pemanggil.

“Kami harap single kedua, Cinta Bersemi Kembali juga akan mendapat sambutan hangat seperti mana Disaat Aku Mencintaimu. Kami optimis, lagu itu mampu menarik perhatian ramai,” katanya.

Lagu-lagu lain yang terdapat dalam album sulung Dadali Band adalah Beauty And the Beast, Katakan Cinta, Kau Yang Menghilang, Hilang, Usai, Buku Diary, Rahasia Cinta dan Berharap Aku Kembali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: