PENGHIJRAHAN Aaron Aziz dari Singapura ke Malaysia lapan tahun lalu, hanyalah dengan niat mencari rezeki untuk menyara keluarganya.
Namun siapa sangka, Aaron kini berada di puncak populariti setelah dinobatkan Bintang Paling Popular 2011, Anugerah Bintang Popular (ABP) yang diadakan di Arena of Stars Genting Highlands, malam tadi.
Lebih manis, kemenangan Aaron menyaksikan aktor itu menjadi artis kedua Singapura yang merangkul gelaran tersebut, selepas Datuk M Nasir pada tahun 1994.
Menjangkakan Zizan atau pun Shaheizy Sam yang akan membawa pulang gelaran itu, Aaron berkata, dia berasa gembira, namun kesal dengan satu perkara.
“Saya rasa kesal sebab tak puas memberi ucapan selepas diumumkan sebagai pemenang semalam. Kalau boleh saya mahu diberi masa lebih dari 30 saat.
“Jadi, di kesempatan ini, saya mahu menyampaikan ucapan terima kasih tidak terhingga buat isteri saya; Diana, keluarga saya, rakan-rakan, rakan-rakan media, produksi Ombak Rindu, produksi KL Gangster, produksi Badai Semalam, dan Lord Tailor,” katanya yang ditemui selepas tamat rancangan tersebut.
Aaron berkata, biarpun tidak menjangka sebarang kemenangan, namun, ‘hint’ yang diberikan oleh beberapa rakan membuatkan dia tidak terkejut dengan kemenangan ini.
“Kemenangan ini memang di luar jangkaan kerana saya tahu, bukan mudah untuk mendapat undian ramai. Saya lebih suka diberi kejutan, tetapi sejak seminggu lalu, ramai kawan-kawan yang bertemu saya, mengatakan saya akan menjadi Bintang Paling Popular.
“Saya tak rasa apa-apa debaran, cuma isteri saya yang rasa gemuruh sehingga tidak boleh tidur. Saya sendiri tak tahu apa perasaan saya sekarang. Cuma saya rasa bersyukur yang tak terhingga,” katanya.
Aaron berkata, gelaran yang diraihnya bukan menjadi peluang buatnya mendabik dada. Sebaliknya, Aaron sudah merasakan tekanan kerana selepas ini tumpuan akan dialihkan kepadanya.
“Menang gelaran ini, saya rasa tanggungjawab saya semakin berat. Namun saya tetap akan menjadi Aaron yang dulu. Tentang tawaran pula, saya tak akan memilih. Cuma saya lihat juga kesesuaian watak dan skrip yang diberikan.
“Namun, paling penting, apa yang saya harapkan, nama saya tidak tenggelam dan terus hilang selepas mendapat anugerah ini,” katanya.
Tambah Aaron, hadiah paling bermakna yang diharapkan kini adalah mendapat status penduduk tetap (PR) di negara ini.
“Saya memang dah lama memohon untuk mendapatkan PR. Mengikut permohonan ia akan diluluskan tahun depan. Jadi kalau dapat lebih awal, mungkin lebih bermakna,” katanya.
Menyentuh tentang perkembangan terkininya, Aaron berkata, dia bakal keluar dengan filem Taycoon, Kl Gangster 2, Kerat 14 dan drama bersiri Adam dan Hawa.
Aaron turut menerima trofi Pelakon Lelaki Filem Popular pada malam itu.
Kemenangan sebagai Bintang Paling Popular membolehkan Aaron membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Nissan Teana 2.5 sumbangan Tan Chong Motor Sdn Bhd dan barangan kemas sumbangan Rafflesia bernilai RM250, 000.
Sementara itu, Datuk Siti Nurhaliza melakar sejarah tersendiri apabila membawa pulang Anugerah Seri Perak sempena ulang tahun ke-25 anugerah berprestij itu.
Siti yang sebelum ini telah memenangi gelaran Bintang Paling Popular dari 1996 sehingga 2001, 2004, dan kali terakhir pada 2009, menewaskan nama besar lain seperti Datuk M Nasir, Datin Sofea Jane, Ziana Zain, Eman Manan, Nabil (Raja Lawak) dan Shahiezy Sam.
SENARAI PEMENANG ABP2011
BINTANG PALING POPULAR: Aaron Aziz
PENYANYI LELAKI POPULAR: Hafiz
PENYANYI WANITA POPULAR: Yuna
ARTIS DUO/ BERKUMPULAN POPULAR: Jaclyn Victor/Ning Baizura/Shila Amzah
ARTIS BARU LELAKI POPULAR: Johan Ariff As’ari
ARTIS BARU WANITA POPULAR: Tasha Shilla
PELAKON FILEM LELAKI POPULAR: Aaron Aziz
PELAKON FILEM WANITA POPULAR: Maya Karin
PELAKON TV LELAKI POPOLAR: Fizz Fairuz
PELAKON TV WANITA POPULAR: Fasha Sandha
ARTIS KOMEDI LELAKI POPULAR: Johan Raja Lawak
ARTIS KOMEDI WANITA POPULAR: Didie Alias
PENGACARA TV LELAKI POPULAR: Zizan Razak
PENGACARA TV WANITA POPULAR: Fara Fauzana
PENYAMPAI RADIO LELAKI POPULAR: Faizal Ismail
PENYAMPAI RADIO WANITA POPULAR: Fara Fauzana
ANUGERAH KHAS PENCAPAIAN SEPANJANG HAYAT: Datuk Sheila Majid
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: