PASIR PUTEH - Seorang pengumpul senjata lama mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk menjaga senjata terutamanya keris kerana sesetengahnya ‘mengganggu’ orang yang menyimpannya dalam pelbagai bentuk.
Mohd Ropi Musa, 54, berkata, dia sendiri bermimpi dengan gambaran keris berdarah dan lembaga berlari dengan membawa bekas kemenyan yang sedang berasap.
Katanya, daripada mimpi itu, dia memahami bahawa keris simpanannya itu perlu diperasap dengan kemenyan.
“Saya berjumpa dengan orang yang lebih berpengalaman dan syukurlah dia berjaya membebaskan keris tersebut daripada unsur yang menakutkan.
"Sejak itu, keris saya tidak perlu lagi diasapkan kemenyan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gaal Pondok, dekat sini.
Mohd Ropi yang juga pesara tentera berkata, dia mahu terus menyimpan senjata lama sebagai koleksi semata-mata.
Dia boleh menerima sekiranya keris diasapkan kemenyan bagi mewangikannya dan melimaukannya untuk membuang karat tapi tidak akan melakukannya sebagai ritual berunsur pemujaan.
Katanya, sebahagian besar senjata lama dalam simpanannya diwarisi ahli keluarganya dan selebihnya dimiliki hasil usahanya sendiri.
Menurutnya, antara senjata lama yang menjadi kesayangannya adalah pisau pak dogol, kelewang, keris anak alam, kapak binjai, badik, tekpi, lawi ayam, parang jengok dan pedang Kelantan.
“Antara senjata yang paling saya sayangi adalah pedang Kelantan dan kapak binjai kerana kedua-duanya pemberian ayah saya.
“Saya akan terus mencari atau membelinya kerana minat saya kepada senjata lama ini sangat mendalam, saya berharap generasi akan datang dapat terus melihatnya,” katanya.
Mohd Ropi juga menyimpan barangan lama seperti kukusan diperbuat daripada tanah liat, pemintal tali dan ceta yang digunakan orang zaman dahulu untuk membuat perahu.