Saturday, February 4, 2012

Gubahan ceria Kencana


Kencana ketika memilih bunga untuk digubah.


Bukan mereka-reka cerita mengenai minatnya yang sudah dipupuk sejak dari kecil lagi, Kencana sememangnya merupakan seorang yang sangat kreatif dalam kesenian menggubah bunga.

Bagi Kencana, sentuhan seni gubahan bunga yang dilakukan turut memberi inspirasi kepada dirinya untuk sentiasa kekal segar dan ceria.

Ini sejajar dengan aura ceria yang perlu dikekalkan oleh anak bongsu daripada empat orang beradik ini bagi mengendali segmen Ceria Pagi di Suria FM.

"Saya ini memang jenis yang suka menghias rumah. Itu memang minat saya sejak dari dulu lagi.

"Biasanya, saya suka mendapatkan sentuhan gaya vintaj dalam setiap gubahan yang dilakukan.

"Bagi saya, ia merupakan satu kepuasan apabila dapat melihat sesuatu gubahan telah siap sepenuhnya," katanya sambil memilih bunga untuk digubah.

Menurut Kencana, minatnya itu juga merupakan salah satu cara untuk mengisi masa lapang dengan melakukan perkara yang berfaedah.

"Biasanya jika berkesempatan, saya akan kumpul kembali bunga-bunga lama dan gubahkan ia kembali supaya nampak baru.

"Sekurang-kurangnya bunga tersebut terus dapat digunakan serta dapat mengelakkan pembaziran," jelas anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Selain itu, antara bunga yang menjadi pilihan Kencana ialah bunga mawar dan juga orkid.

Kencana memberitahu bunga tersebut sebenarnya mampu bertahan lama berbanding dengan bunga-bunga lain, selain mempunyai pelbagai warna yang cantik.

"Jika betul dengan cara gubahannya, bunga mawar dan juga orkid mampu bertahan sehingga dua hingga tiga minggu.

"Sebab itulah biasanya kita melihat majlis perkahwinan dihias menggunakan mawar putih.

"Di samping cantik dan menaikkan seri majlis perkahwinan tersebut, ia juga sebenarnya tahan lama," jelas Kencana bersungguh-sungguh sambil jari jemarinya menyusun kemas bunga gubahannya.

Bukan sahaja mahir menggubah bunga hiasan, Kencana juga berkebolehan untuk mengikat kalungan bunga melur.

Namun, menurut Kencana, kemahiran tersebut diperoleh ketika dia berusaha untuk menghidupkan watak yang diberikan kepadanya dalam sebuah drama.

"Seingat saya, ketika itu saya diberikan satu watak di dalam drama Atas Nama Cinta.

"Dalam drama tersebut, saya memegang watak seorang wanita yang perlu mengikat kalungan bunga melur.

"Untuk menghidupkan watak tersebut, saya telah pergi ke kedai bunga melur di Batu Caves untuk mempelajari cara-cara bagaimana mengikat kalungan tersebut," katanya sambil tersenyum manis mengingatkan kembali kejadian tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: