Monday, February 27, 2012

Isteri merana angkara suami pinjam ah long


PUI SI bersama anaknya menunjukkan risalah dan gambar yang diedar ah long bagi menuntut hutang suaminya di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Seorang wanita hidup dalam ketakutan akibat diganggu ah long ekoran terpaksa menanggung hutang suaminya.

Woo Pui Si, 25, mendakwa, penderitaannya bermula apabila suaminya menghilangkan diri secara tiba-tiba pada 14 Oktober tahun lalu.

"Pada mulanya, saya hairan dia gagal dikesan tetapi akhirnya saya dapat tahu dia rupa-rupanya berhutang dengan ah long," katanya pada sidang akhbar di pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini baru-baru ini.

Jelasnya, dia kemudian dimaklumkan oleh ah long bahawa suaminya telah meminjam wang sebanyak RM500 pada Ogos tahun lalu namun gagal membayar balik.

"Satu sen pun dia tidak bayar menyebabkan faedah meningkat sehingga mencecah RM30,000," ujar suri rumah itu lagi.

Dakwa Pui Si, apabila dia enggan membayar hutang suaminya, ah long bertindak mengunci pintu pagar rumah yang didiami ibu, nenek dan anak lelakinya berusia empat bulan selama sehari.

"Selain itu, gambar dan maklumat ahli keluarga dan rakan-rakan saya turut ditampal di merata-rata tempat dan ah long mengugut untuk menyimbah cat di depan rumah saya di Ampang.

"Akibat bimbang keselamatan terancam, saya terpaksa membayar wang RM590 untuk membuka kunci rumah dan dia memberi tempoh tiga hari untuk saya jelaskan baki hutang," katanya lagi.

Wanita itu turut membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya pada 24 November lalu.

Dalam pada itu, Pui Si merayu supaya ah long terbabit tidak lagi mengganggu hidupnya kerana dia tidak mampu membayar hutang itu kerana tidak bekerja.

"Lagipun duit suami saya yang pinjam, sepatutnya ah long cari dia bukan mengugut saya. Tolonglah jangan ganggu lagi," rayunya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong meminta orang ramai supaya tidak meminjam wang daripada ah long kerana ia akan menjerat mereka dengan hutang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: