Sunday, February 26, 2012

Keyakinan ‘pakaian’ Ezzeline




SAAT melihat wanita berkulit hitam manis ini melangkah masuk ke dalam studio Utusan, terasa aura berbeza daripadanya.

Walau hanya pakaian santai membaluti tubuh tinggi lampai yang ceria ini, pemilik nama Nur Ezzeline Iswan Ismail tetap tampil bergaya.

Cerita Ezzeline yang berkhidmat sebagai eksekutif perkhidmatan pelanggan, dia tidak pernah terlalu terikut dan terikat dengan perkembangan fesyen terkini kerana baginya fesyen adalah lambang keyakinan.

“Fesyen datang dan pergi tetapi keyakinan dalam bergaya merupakan pakaian sebenar kita.

“Bagi saya, lagak yang positif serta berkeyakinan akan menyerlahkan diri kita walau apa pun pakaian yang disarungkan.

“Jika kita tidak yakin dengan diri sendiri dan apa yang dipakai, pastilah ia akan kelihatan canggung di mata orang lain,” ujar Ezzeline.

Tidak bersetuju dengan pendapat sesetengah orang yang merasakan pemilihan warna agak terhad bagi orang berkulit hitam manis sepertinya, tegas Ezzeline, tiada had berfesyen bagi seseorang asalkan berani mencuba.

“Tidak kisah apa warna kulit anda, setiap orang ada hak untuk rasa yakin dengan fesyen yang diperagakan.

“Saya tidak kisah apa orang kata tentang gaya saya kerana definisi fesyen ini sangat luas. Mungkin elok bagi sesetengah orang tetapi tidak pada orang lain.

“Tekniknya berani bereksperimen dengan warna, campur dan sepadankan ia mengikut idea sendiri serta pakai sesuatu yang unik bagi membentuk identiti,” katanya yang mengagumi supermodel dari Somalia, Iman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: