Monday, February 27, 2012

Nostalgik Kebaya Nyonya


AKSESORI seperti rantai mutiara besar dan anting-anting mutiara menyerikan lagi keanggunan wanita berkebaya.


SEKALI-SEKALA tidak salah sekiranya seorang wanita yang masih muda usianya memilih kebaya sebagai pakaian untuk melaram ke acara-acara sosial.

Majlis makan malam, acara ulang tahun, resepsi perkahwinan dan paling utama sambutan hari raya, merupakan waktu dominasi kebaya.

Pun begitu, kebaya Nyonya bukan lagi perlu dipadankan dengan kain batik yang selama ini menjadi pelengkap. Baju kebaya kini, menyerlahkan sisi ayu walaupun digandingkan dengan jean, skirt labuh ataupun kain pario.

Pemilik butik IzwanIzzati yang menjalankan perniagaan dalam talian, Nur Aina Izzati Mohd. Tan, 22, mendedahkan bahawa, memandangkan orang ramai lebih fokus kepada pakaian moden, beliau berpendapat menjual kebaya Nyonya merupakan idea bernas.

“Sambutan amat menggalakkan dan keistimewaan kebaya Nyonya kami ialah ia diperbuat daripada kain kasa rubiah, berbeza dengan kebaya lain yang sering menggunakan kain organza.

“Pembekal kami dari Sumatera Barat, Indonesia dan ia dijahit 100 peratus dengan tangan. Penjagaannya juga mudah, pengguna tidak perlu gusar tentang kelunturan warna walaupun sering dibasuh,” jelas Aina yang juga bekerjasama dengan suaminya, Faizul Izwan Jamaluddin bagi mengusahakan perniagaan itu.


RONA hijau lumut ini tampak naik apabila dipadankan dengan kain kuning gelap.


Sebanyak 14 warna disediakan dengan rona hitam, merah, ungu, merah jambu dan biru menjadi warna paling dikehendaki.

Bagi memberi pilihan yang pelbagai kepada orang ramai, butik dalam talian yang mula beroperasi sejak awal 2011 itu juga mempunyai lebih 250 rekaan kebaya Nyonya.

Motif flora dan merak merupakan tarikan utama selain motif rama-rama dan kerawang yang juga menjadi simbolik asas kepada rekaan kebaya Nyonya itu.

Buang persepsi asal bahawa kebaya hanya layak digayakan wanita bertubuh langsing dan berpinggang ramping kerana butik itu turut menawarkan enam saiz kebaya bermula daripada saiz S hingga XXXL.

“Tetapi kebanyakan orang akan menempah kebaya yang dibuat mengikut saiz mereka selepas memilih rekaan yang mereka gemari pada laman web kami.

“Orang ramai juga boleh membeli kain yang sudah siap bersulam dan hanya tinggal dihantar ke kedai untuk dijahit,” kata Aina.

Dijual pada harga RM129 untuk saiz S hingga L dan RM139 untuk saiz XL hingga XXXL, kebaya yang dibeli pelanggan akan dipos terus ke alamat yang diberikan atau pun pembeli boleh datang sendiri mengambil pakaian mereka di rumah Aina.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: