Monday, February 27, 2012

Pelajar UiTM menang cabutan bertuah Jom Daftar Undi


NURALI duduk di atas motosikal yang dimenanginya sambil diperhatikan Jamal (lima dari kiri) dan tetamu lain pada program Kenduri Jom Daftar Undi anjuran Restoran Sekinchan Ikan Bakar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Pepatah tersebut amat sesuai untuk menggambarkan situasi yang dialami oleh Nurali Nadzwan, 22, apabila berjaya memenangi sebuah motosikal pada satu pertandingan cabutan bertuah sempena program Kenduri Jom Daftar Undi anjuran Restoran Sekinchan Ikan Bakar (RSIB) di Kompleks Centrum Setiawangsa di sini semalam.

Nurali, pelajar jurusan Seni Persembahan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dia tidak menyangka hasratnya untuk mendaftar sebagai pengundi berakhir dengan membawa pulang hadiah yang lumayan.

"Tidak sia-sia saya menunggu sepanjang hari selepas mendaftar sebagai pemilih di kaunter yang disediakan.

"Saya nasihatkan rakan-rakan yang masih belum mendaftar sebagai pengundi untuk segera berbuat demikian kerana ia merupakan satu tanggungjawab yang harus dilaksanakan oleh semua warga Malaysia," katanya.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Urusan dan pemilik rangkaian RSIB Sdn. Bhd., Datuk Jamal Md. Yunos pada majlis yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Program yang bermula pada pukul 11 pagi itu turut diserikan dengan kehadiran beberapa orang artis terkenal tanah air seperti Zed Zaidi dan Neelofa.

Selain motosikal, program yang mendapat kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya dan Jabatan Pendaftaran Negara itu turut menawarkan 100 cabutan bertuah berupa basikal dan barangan elektrik.

Sementara itu, menurut Jamal, penganjuran program tersebut merupakan salah satu usaha RSIB menunjukkan sokongan dan menyemarakkan lagi kempen pendaftaran pengundi khususnya dalam menarik penyertaan golongan muda untuk turut sama menyumbang dalam pembentukkan masa depan negara.

"Orang ramai perlu sedar walaupun dengan hanya satu undi, tanggungjawab yang digalas amat besar kerana ia melibatkan banyak pihak," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: