Wednesday, February 29, 2012

Bagaimana mengkaji permintaan pasaran




Ramai orang tahu internet menyediakan peluang untuk memasarkan pelbagai bentuk produk dan perkhidmatan ke seluruh dunia tanpa batas sempadan.

Justeru ramai yang berminat untuk menceburi perniagaan menerusi Internet tetapi malangnya tidak pasti apakah bidang yang ingin mereka libatkan diri mempunyai permintaan pasaran yang kuat.

Membuat sedikit kajian tentang bidang yang ingin diceburi adalah satu faktor penting agar kita tidak serkap jarang, terlanggar dinding atau sesat di alam siber yang akhirnya membuat kita kecundang di pertengahan jalan.

Untuk mengelak daripada keadaan itu, anda perlu tahu serba sedikit tentang bagaimana untuk menentukan produk atau perkhidmatan yang dikehendaki oleh para pengguna.

Biasanya dalam perniagaan tradisional kajian mudah ini boleh dilakukan dengan melihat kepada persekitaran contohnya berdasarkan barangan apa yang paling laku dijual di pasar raya atau pasar malam.

Firma penyelidikan

Syarikat-syarikat besar menentukan penawaran produk atau perkhidmatan mereka berdasarkan kajian-kajian yang lebih bersifat komersial yang dijalankan oleh firma-firma penyelidikan profesional.

Biasanya laporan-laporan yang disediakan oleh firma seperti itu adalah berkualiti dan tentulah ada harga yang tinggi perlu dibayar.

Namun kadang-kadang ada sebahagian daripada laporan itu yang diterbitkan secara percuma oleh media tradisional seperti akhbar dan majalah, dan seringkali juga anda boleh mencari ringkasan-ringkasan kepada hasil penyelidikan ini menerusi internet.

Contohnya JupiterResearch.com yang menyediakan analisis pasaran untuk membantu vendor-vendor teknologi untuk memahami peluang pasaran semasa.

Sebuah lagi firma penyelidikan, comScore juga menyediakan laporan berdasarkan kaji selidik. Kajian mereka adalah berdasarkan lebih dua juta pengguna yang memberi kebenaran kepada comScore untuk melihat tabiat mereka melayari dan melakukan transaksi di internet serta di dunia luar.

Sebagai usahawan yang kreatif, sebenarnya ada banyak lagi saluran percuma yang kita boleh gunakan untuk membuat penyelidikan ini secara sendiri untuk setiap bidang yang kita inginkan.

Google AdWords

Salah satu alatan atau aplikasi kesukaan saya untuk membuat kajian permintaan pengguna ialah Google AdWords Keyword Tool yang boleh diakses di https://adwords.google.com/select/KeywordToolExternal.

Aplikasi ini membolehkan kita membuat kajian tentang permintaan ke atas sesuatu produk atau perkhidmatan berdasarkan jumlah carian bagi kata kunci yang berkaitan. Anda cuma perlu masukkan kata kunci atau frasa kata untuk melihat jumlah carian yang dilakukan oleh pengguna di seluruh dunia.

Contohnya jika saya membuat kajian tentang remote control car, Keyword Tool ini memaparkan bahawa terdapat 673,000 carian pada setiap bulan di seluruh dunia mengenai tajuk tersebut manakala di Malaysia pula terdapat 9,900 carian untuk tajuk yang sama.

Selain jumlah carian global dan carian tempatan berdasarkan negara yang kita pilih, ia juga akan memaparkan Competition iaitu persaingan bagi iklan AdWords untuk topik berkenaan, yang boleh memberikan gambaran kepada kita tentang tahap penawaran untuk topik itu juga.

Keyword Tool turut memaparkan idea- idea kata kunci yang berkaitan dengan apa yang kita cari tadi, termasuk variasi ejaan dan carian bagi topik yang sama.

Contohnya jika saya menguji topik remote control car, Google juga akan paparkan topik yang berkaitan seperti radio control car dengan hasil carian global sebanyak 246,000, atau yang lebih popular ialah rc cars dengan 1 juta hasil carian.

Ini memberikan AdWords Keyword Tool satu lagi kelebihan kerana ia akan menjana lebih banyak idea yang berkaitan kepada kita, mungkin sesuatu yang kita tidak terfikir pun!

eBay Pulse

Satu lagi lokasi untuk melihat apakah barangan yang sedang panas di pasaran ialah dengan melayari laman pulse.ebay.com dan pulse.ebay.com.my untuk melihat trend jualan terkini masing-masing di laman eBay antarabangsa dan eBay Malaysia.

Laman ini memaparkan carian popular, kedai maya terbesar, barangan yang paling banyak dilihat oleh pengunjung, pilihan-pilihan utama, serta barangan-barangan menarik, yang berubah-ubah mengikut keadaan semasa pada setiap hari.

Ini akan memberikan anda idea yang jelas tentang produk-produk yang sedang laris di pasaran pada ketika itu.

Ruangan carian popular akan memberi indikasi tentang kata kunci atau bidang carian umum, sementara ruangan barangan yang paling banyak dilihat adalah indikator populariti kepada sesuatu jenama atau model barangan secara spesifik.

Di samping itu anda juga boleh meninjau kedai-kedai maya di dalam ruangan Largest Stores, sekaligus mencontohi teknik-teknik yang mereka gunakan.

Klik pada pautan See more eBay Pulse Categories untuk lihat pecahan kategori yang lebih mengkhusus dan terperinci.

Amazon Best Sellers

Amazon boleh dikategorikan sebagai pasar raya besar online dengan berpuluh juta produk disenaraikan dalam pelbagai kategori.

Daripada pangkalan data yang besar, agak mudah bagi Amazon menentukan produk-produk apakah yang paling laris dijual di dalam laman webnya dan anda boleh mengakses maklumat tersebut menerusi URL http://www.amazon.com/gp/bestsellers.

Amazon menyenaraikan hingga 100 produk paling banyak terjual dalam setiap kategori.

Setiap produk itu juga dinyatakan jumlah hari ia telah berada dalam carta top 100 serta sama ada popularitinya sedang menaik, menurun atau stabil.

Selain jumlah jualan yang tertinggi, Amazon juga memaparkan produk-produk yang diberi rating paling tinggi oleh para pengguna atau pembeli.

Rating ini menjadi indikator kepada tahap kepuasan pelanggan bagi setiap produk berkenaan.

Manakala produk-produk yang baru tiba di pasaran dan terus mendapat perhatian, dipaparkan dalam bahagian Hot New Releases. Ia menyenaraikan barangan baru yang pantas mendapat tempat di hati pembeli.

Selain produk-produk yang menjadi perhatian ramai, Amazon juga menyenaraikan produk-produk yang tiba-tiba naik atau jatuh dengan mendadak dalam tempoh 24 jam yang lalu menerusi ruangan Moves 7 Shakers. Kategori ini boleh memberikan idea tentang trend-trend pelik pembeli masa kini.

Selain menjual produk, Amazon juga telah lama mempopularkan konsep hadiah yang mana pembeli akan membelikan sesuatu barangan untuk dikirimkan sebagai hadiah kepada seseorang yang lain dan Amazon akan menghantarkan barangan berkenaan terus kepada si penerima. Produk-produk yang popular dijadikan hadiah ini disenaraikan dalam ruangan Gift Ideas.

Satu ruangan lagi yang menarik ialah "Most Wished For yang menyenaraikan produk-produk yang paling diinginkan oleh pengguna atau pembeli. Senarai ini memberi gambaran tentang apakah produk-produk yang sangat berpotensi untuk dijual.

Walaupun data Amazon lebih cenderung kepada para pengguna di Amerika Syarikat atau di peringkat global, namun ia masih berguna dalam mencetuskan idea-idea menarik untuk perniagaan kita sendiri.

Laman-laman web lain

Selain laman-laman web yang dibincangkan ini, anda juga boleh menggunakan Google Trends dan Google Insight untuk melihat perkembangan dan trend pasaran terhadap sesuatu topik secara umum atau berdasarkan geografi.

Kebanyakan laman web atau blog juga ada memaparkan topik hangat atau topik popular mereka sendiri dan boleh anda gunakan sebagai panduan dan untuk menjana idea.

Khidmat iklan melalui Facebook juga boleh digunakan untuk menentukan saiz pasaran dalam komuniti Facebook untuk sesuatu kata kunci yang diinginkan.

Layari blog hasanihassan.com untuk perbincangan serta rujukan tentang laman-laman web yang dinyatakan serta laman-laman yang berkaitan.

Jangan lupa juga untuk ikuti video saya di Utusan Online (http://xtive.utusan.com.my/video.php) yang membincangkan tentang bidang-bidang jualan yang popular di Internet, mulai Jumaat 2 Mac 2012.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: