Monday, February 27, 2012

Tiga terkorban selepas minum


keadaan Myvi yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Jerteh-Pasir Puteh, Besut semalam.


BESUT - Kegembiraan lima sahabat minum bersama selepas sekian lama tidak berjumpa tidak berkekalan apabila tiga termasuk dua beradik maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 1, Jalan Jerteh-Pasir Puteh di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, Nik Muhammad Firdaus Suhaimi @ Rahmat, 24, adiknya Nik Muhammad Faris, 19, serta rakan mereka Nazir Nazemi, 20, yang juga anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut.

Pemandu kereta Perodua Myvi, Wan Muhamad Shafiq Md. Zin, 20, cedera parah manakala seorang lagi penumpang kereta itu, Mohd. Fakhrulhanif Zainuddin, 26, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, kejadian berlaku apabila pemandu dipercayai gagal mengawal kereta selepas melepasi lampu isyarat di persimpangan Kampung Seberang Jerteh, menyebabkan kereta terbabas dan melanggar beberapa papan tanda.

"Pelanggaran itu mengakibatkan empat daripada mereka, kecuali Mohd. Fakhrulhanif terpelanting keluar menerusi tingkap kereta terbabit," kata beliau.

Kamaruddin berkata, dua daripada mereka maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala Muhammad Faris meninggal dunia di Hospital Daerah Besut ketika menerima rawatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: