Temui artis kesayangan anda!

Konsert besar-besaran dan Anugerah Media Hiburan malam minggu ini

Majalah Hiburan No 1 tanah air, Media Hiburan, tampil meraikan golongan artis dan pembaca melalui satu acara yang dinanti-nantikan, Konsert dan Anugerah Pilihan Pembaca Media Hiburan (PPMH) 2011/12.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, Anugerah PPMH yang turut menampilkan DiGi sebagai penaja bersama pada tahun ini akan dijalankan serentak dengan konsert istimewa yang bakal menampilkan persembahan hebat daripada barisan artis popular tanah air seperti 6ixth Sense, Stacy, Alif Aziz, Akim, Adira, Awi Rafael, Dafi, Amir Jahari dan Nubhan. Menariknya, ia diadakan secara percuma dan terbuka untuk semua peminat seni hiburan tanah air.

Dijangkakan lebih 100 artis dan selebriti tanah air akan turut menyerikan majlis anugerah yang diacarakan oleh Nabil Raja Lawak dan Dira Abu Zahar ini. Antaranya ialah Ziana Zain, Aaron Aziz, Fazura, Shaheizy Sam, Neelofa, Rozita Che Wan, Johan As’ari, Fouziah Gous, Heliza Helmi, Farah Asyikin dan ramai lagi.

Anugerah PPMH yang mula diperkenalkan sejak tahun 1996 ini bertujuan untuk menghargai golongan artis dan selebriti yang mewarnai dunia hiburan tanah air. Dalam masa yang sama, ia juga turut memberi peluang kepada pembaca setia Media Hiburan untuk memilih artis atau selebriti kegemaran mereka berdasarkan kategori yang dipertandingkan.

Bermula dari peringkat awal pencalonan sehinggalah kepada keputusan akhir, keseluruhan adalah berdasarkan undian daripada peminat. Penyertaan mereka menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada artis pilihan mereka yang tentunya juga sering mendapat pendedahan melalui majalah hiburan yang menjadi pilihan ramai ini.

Justeru, acara ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan antara golongan artis dan peminat setia mereka yang juga secara tidak langsung merupakan pembaca Media Hiburan.

Berbanding anugerah-anugerah lain yang ada dalam industri hiburan tanah air, Anugerah PPMH 2011/12 tampil berbeza melalui kategori-kategori yang dipertandingkan. Kategori-kategori ini diperkenalkan setelah menyedari peminat di luar sana bukan sahaja meminati bakat yang ada pada seseorang artis itu semata-mata, tetapi juga kepada faktor-faktor lain seperti fizikal dan keperibadian yang mereka miliki.

Antara kategori-kategori yang dipertandingkan ialah, Anugerah Ikon, Anugerah Harapan, Anugerah Selebriti Favourite, Anugerah Selebriti Cekal dan Anugerah Duda Hot.

Siapakah pemenang-pemenangnya, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan acara hebat dan penuh bersejarah ini!