Sunday, January 29, 2012

Leher bengkak tanda kanser

TANDA... benjolan pada rahang bawah akibat kanser air liur di bawah lidah.
TANDA... benjolan pada rahang bawah akibat kanser air liur di bawah lidah.

IA bukan jenis kanser yang popular dan sering diperkatakan seperti kanser paru-paru, payudara mahupun usus besar. Namun, kanser kepala dan leher yang kurang diberi perhatian sebenarnya penyakit yang lazim dihadapi penduduk di negara ini serta Asia Tenggara.

Kanser kepala dan leher merujuk jenis kanser yang menyerang bahagian tertentu, antaranya leher, hidung dan rongga mulut (lidah, lantai lidah dan air liur, tonsil di tekak dan peti suara).

  • Foto

    PUNCA... kanser lidah boleh berlaku akibat luka disebabkan gigi tajam.

  • Foto

    PENYUMBANG... kanser peti suara disebabkan tabiat kuat merokok.

  • Foto

    TERUK... ketumbuhan kanser kelenjar air liur di pipi dan telinga.

Pertumbuhan sel tidak normal yang mengambil masa lama untuk berkembang biak itu disebabkan faktor luar kawalan seperti genetik, usia dan jantina manakala faktor penyumbang ialah gabungan tabiat gaya hidup seperti pemakanan, merokok dan minum arak.

Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak Pusat Perubatan Prince Court, Dr Yeo Sek Wee, berkata kira-kira 90 peratus punca kanser kepala dan leher ialah Squamous Cell Carcinoma.“Mereka yang ada ahli keluarga menghidap kanser kepala dan leher terdedah risiko mendapat penyakit yang sama. Faktor gabungan yang meningkatkan risiko ialah tabiat suka memakan ikan masin, makanan diawet dan makanan dalam tin selain merokok dan minum arak. Penyakit itu juga boleh berpunca daripada virus Epstein Barr (EPV),” katanya.


Menurutnya, bukan semua pesakit mengalami bengkak di leher mendapat penyakit kanser kerana mungkin disebabkan penyakit lain. Namun, kira-kira 90 peratus sebab bengkak di bahagian itu berpunca daripada kanser. Endoskopi hidung perlu dilakukan untuk melihat sama ada terdapat ketumbuhan di belakang hidung bagi mengesahkan ia kanser.

Kira-kira 10 hingga 20 peratus pesakit mungkin mengalami hidung tersumbat atau pendarahan. Kanser ini sangat sensitif dan jika dikesan lebih awal, rawatan menggunakan radioterapi dapat mematikan sel pembunuh senyap itu.

Penyakit biasa dialami mereka berusia 30 hingga 50 tahun itu juga boleh menyebabkan pendengaran berkurangan akibat halangan ketumbuhan.

Jika pesakit mengalami bengkak di leher, kanser berkenaan berada di tahap satu atau dua. Kanser berkenaan boleh merebak ke otak dan jika ini berlaku, pesakit mengalami penglihatan berbayang/bertindih atau kabur kerana kerosakan saraf. Kanser pada tahap tiga dan empat pula boleh menyebabkan sel berkenaan merebak ke anggota badan lain seperti paru-paru dan tulang.

Kanser kepala dan leher banyak dihadapi penduduk di China tenggara, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Kanser pada rongga mulut atau lidah boleh terjadi kerana kelemahan dalam penjagaan kebersihan gigi dan gusi. Gigi yang pecah dan mempunyai serpihan tajam boleh melukakan lidah dan kesakitan berpanjangan seterusnya menjadi kanser lidah. Kanser lidah juga mungkin terjadi disebabkan tabiat suka makan hidangan panas terutama di kalangan kaum Cina dan Melayu.

Ulser yang berlarutan dalam tempoh agak lama biarpun sudah diberi rawatan antiobiotik memberi petanda kemungkinan seseorang itu mengalami kanser rongga mulut atau bahagian dalam pipi.

Bagi kaum India pula, tabiat mengunyah sirih, pinang dan gambir mendedahkan mereka kepada kanser di bahagian lompang pipi. Ia boleh merebak ke gusi dan bawah lidah.

Kanser air liur bukan berpunca daripada squamous cell tetapi disebabkan Human Papilloma Virus (HPV). Setiap individu mempunyai tiga pasang kelenjar air liur utama di bawah lidah dan di belakang rahang iaitu parotid, sublingual dan submandibular.

Kanser kelenjar air liur di pipi (parotid cancer) boleh dikesan melalui satu ketumbuhan/benjolan di bawah pipi. Bagaimanapun, ada juga kanser jenis ini yang tidak dapat dikesan awal kerana benjolan berlaku di bahagian dalam.

Kanser air liur di bawah lidah (submandibular cancer) disebabkan pleomorphic adenoma. Bagaimanapun, punca sebenar kanser itu tidak diketahui dan ia tidak boleh merebak ke bahagian tubuh lain sebaliknya berupaya merosakkan saraf.

Pada tahap satu dan dua, kadar kejayaan rawatan untuk menyembuhkan penyakit ini ialah 80 peratus manakala pada tahap empat kadar kejayaan sebanyak 10 peratus.

Rawatan dilakukan dengan pembedahan membuang ketumbuhan dan bengkak di leher manakala radioterapi untuk tahap kanser yang lebih teruk. Bagi kanser parotid, keseluruhan kelenjar pesakit akan dibuang.

Pesakit digalakkan membuat radioterapi dan kemoterapi. Sekiranya rawatan awal tidak dilakukan, kanser yang kronik boleh menyebabkan saraf muka lumpuh hingga muka pesakit senget sebelah.

Kanser tonsil di tekak boleh dijangkakan sekiranya bahagian tekak sebelah kanan dan kiri tidak sama besar. Walaupun kanser ini jarang berlaku, ia boleh merebak ke leher.

Kanser peti suara, lazimnya dihadapi golongan warga emas. Kanser ini mudah dialami perokok tegar juga yang merokok selama bertahun-tahun ataupun mereka yang gemar minum arak. Gejala kanser ini ialah suara pesakit tidak jelas. Pada tahap empat, kanser boleh merebak ke leher.

Untuk kanser peti suara tahap satu dan dua, rawatan dilakukan ialah laser radioterapi. Kadar penyembuhan bagi kedua-dua kaedah rawatan ini ialah 80 peratus.

Pada tahap satu, pesakit yang menjalani pembedahan mempunyai suara yang tidak jelas. Pada tahap empat atau yang lebih kronik, rawatan ialah dengan prosedur membuang peti suara diikuti radioterapi selepas pembedahan. Bagi membolehkan pesakit bercakap seperti sedia kala, peti suara tiruan dinamakan voice prosthesis digunakan.



FAKTOR

1. Genetik - ada sejarah keluarga yang menghidap kanser.
2. Pemakanan - kaum Cina dan Melayu. Tabiat: antaranya makanan dengan pengawet, makanan dalam tin, ikan masin.
3. Merokok.
4. Virus Epstein Barr (EPV).


GEJALA

1) Majoriti mengalami bengkak di leher.
2) Paraneoplastic neurological syndromes (PNS) - bengkak di belakang hidung yang dikesan menggunakan endoskopi.


JENIS KANSER KEPALA DAN LEHER

1) Leher
2) Hidung
3) Rongga mulut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: