Rumah kosong sarang maksiat

KUANTAN - Rumah kosong ditinggalkan pemilik di Taman Perumahan Balok Baru, di sini, menjadi sarang maksiat kepada golongan tertentu untuk melampiaskan nafsu.

Walaupun pelbagai usaha dijalankan untuk menanganinya, namun masalah itu masih berlaku.

Pengerusi Kawasan Ru-kun Tetangga (KRT) Balok Baru, Mokhtar Mohd berkata, terdapat lebih 50 rumah kosong ditinggalkan.

Menurutnya, situasi itu membuka peluang kepada golongan tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti tidak bermoral termasuk masalah kecurian besi dan motosikal.

“KRT di sini berdepan masalah untuk mengatasi masalah itu kerana kami hanya boleh menghalang mereka dengan memberi nasihat, tetapi bukan menangkap dan sebagainya.

“Kita hanya mampu melaporkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya semasa Hari Sukaneka KRT Balok Baru, di sini.

Hadir merasmikan program, Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mohd Hazmi Yusof.

Mokhtar berkata, dalam setiap rondaan dijalankan anggota KRT dan Skim Rondaan Sukarela (SRS), kes kecurian antara kes yang sering berlaku.

Katanya, pihaknya tidak menolak kejadian itu dilakukan penagih dadah yang terdesak untuk mendapatkan duit.

“Biasanya mereka mencuri penutup longkang dan besi tingkap di rumah kosong. Kami akan sentiasa memantau keadaan di sini, malah kadar jenayah dapat dikurangkan sejak KRT aktif mengadakan rondaan,” katanya.

Pada program itu, Mohd Hazmi turut menyumbangkan RM1,000 kepada KRT tersebut untuk mengadakan aktiviti.