Tuesday, January 31, 2012

Sasar jual 10,000 unit rumah PPR


RAJA NONG CHIK (tiga dari kanan) bermesra dengan sebahagian pemandu teksi pada majlis minum petang dan sesi dialog bersama pemandu teksi di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyasarkan sebanyak 10,000 unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dijual pada fasa pertama kepada penyewa rumah PPR di ibu kota.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, penyewa-penyewa terbabit boleh mendapatkan pinjaman daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bagi tujuan pinjaman dalam urusan jual beli tersebut.

“YWP telah diberikan pinjaman sebanyak RM1.5 bilion oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam membantu para penyewa sebagai alternatif bagi mendapatkan pinjaman membeli unit-unit kediaman PPR yang ditawarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Setakat ini, sebanyak 5,000 unit berjaya dijual daripada 25,000 unit PPR terbabit,” katanya ketika ditemui selepas majlis minum petang dan sesi dialog bersama 200 pemandu teksi sekitar Lembah Pantai di sini semalam.

Skim jualan PPR kepada penyewa itu bagi memberikan peluang kepada mereka khususnya golongan miskin memiliki rumah sendiri.

Raja Nong Chik berkata, setiap unit PPR akan dijual pada harga di antara RM25,000 hingga RM35,000 dengan pinjaman yang akan dikenakan pada pembeli adalah selama 25 tahun.

“Kita tidak mengenakan sebarang syarat minimum gaji tetapi tawaran pembelian hanya kepada golongan penyewa PPR ini.

“Mereka ini hanya perlu membayar pinjaman bulanan pada kadar sehingga RM300 sebulan,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: