Sunday, January 29, 2012

Sentuhan seni anak Kuala Besut


Mohd. Salizan Abdul Rahman sentiasa memastikan segalanya memenuhi keperluan pelanggan.


Setiap mata pasti terpegun! Namun ramai mungkin tidak menyangka Singgahsana yang tersergam indah di Balai Rong Seri Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur hasil sentuhan anak-anak dari kampung nelayan Kuala Besut, Terengganu.

Ketika orang lain mengejar impian di kota, Mohd. Salizan Abdul Rahman, 39, bersama tiga adik lelakinya tabah meneruskan legasi peninggalan ayah dan datuk mereka menjadi pengukir kayu sepenuh masa.

Mohd. Salizan ialah anak sulung kepada pengukir terkenal Abdul Rahman Long dan cucu kepada pengukir Pantai Timur tersohor, Che Long Yusof.

Mewarisi darah pengukir, Mohd. Salizan yang kini meneraju Syarikat Pakatan Jurukir Tradisional, berpangkalan di Kampung Nyireh, Kuala Besut, menerima tawaran membina Singgahsana Diraja sebagai satu penghargaan dan peluang yang cukup bererti.

Apatah lagi mengenang nostalgia Singgahsana di Istana Negara lama dulu adalah hasil sentuhan tangan arwah ayahnya dan kini tiba saat beliau dan adik-adiknya pula mengukir sejarah.

"Awalnya saya rasa agak gusar kalau apa yang bakal dibuat tidak mengikut kehendak pihak atasan," jelas beliau.

Reka bentuk singgahsana baru ini masih mengekalkan konsep asal seperti penggunaan tujuh batang tiang, dua lapis bumbung atau songkok dan satu kubah.

Namun begitu rekaan motif dan senibinanya diberi nafas baru bersesuaian dengan keadaan semasa, falsafah dan kreativiti pembuatnya.

"Syukur, kami telah diberi peluang untuk mencadangkan konsep binaan dan sentuhan motif ukiran sendiri dan banyak memudahkan proses kerja," ujarnya.

Berbekalkan pengalaman membina Singgahsana untuk Istana Anak Bukit, Kedah; Istana Arau, Perlis dan Istana Kuala Kangsar, Perak, tugas ini berjaya digalas penuh sempurna.

Kerja awal yang dilakukan adalah melakar motif ukiran terutamanya untuk bahagian panel bumbung, siku kelawar dan pagar musang.

Semuanya harus bermula di atas kertas, pelan reka bentuk asas yang diterima pakai diamati sebelum kerja memotong kayu dan mengukir dimulakan.

Sedikit kesilapan pada pelan utama akan menjejas keseluruhan proses binaan.

Pelan asas struktur Singgahsana kemudiannya dipindah ke dalam bentuk model 3D yang bersaiz kecil dan dibentuk menggunakan komputer dan dipotong dengan mesin laser.

Dengan bantuan peralatan moden, kerja memotong, mengetam dan menebuk kayu dilakukan dengan cepat dan mudah.

Kayu jati yang dibekalkan khas dari Hutan Simpanan Perlis dipilih untuk membina struktur bagi Singgahsana DiRaja ini.

Istimewanya kayu jati tidak boleh dipertikaikan kerana ia amat sesuai untuk semua jenis perabot.

"Paling sukar adalah mengukir motif panel depan termasuk ukiran 99 nama Allah yang memerlukan tumpuan lebih," jelas Mohd. Salizan.

Menurutnya, motif ukiran yang terdapat pada Singgahsana akan menjadi tumpuan ribuan mata terutamanya ketika berlangsung upacara rasmi di Balai Rong Seri dan sedikit kecacatan akan menjejaskan kredibiliti pengukir.

Motif yang diguna pakai adalah bunga raya, ketam guri, pucuk kacang dan ukiran khat serta 99 nama Allah dan semuanya disudahi dengan cat emas.

Kerja mengukir motif peringkat awal dilakukan oleh pengukir lama yang kemudiannya diberi sentuhan akhir oleh Mohd. Salizan dan adik-adiknya.

Kerangka Singgahsana pada bahagian bumbung diperbuat daripada besi yang kemudiannya dibalut dengan struktur kayu.

Berbeza daripada senibina singgahsana lama, besi digunakan kerana tahan lama, mempercepat proses binaan, bebas makhluk perosak dan jimat kos.

Di bahagian ini juga terdapat logo DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung.

Berkelulusan Diploma Senibina dari Universiti Of Lincolnshire dan Humbershire, United Kingdom, Mohd. Salizan berjaya mengatur sistem bekerja secara komersial.

tempahan

"Kita buat kerja secara berpasukan dan masing-masing ada peranan. Pengukir hanya tumpu untuk kerja mengukir.

"Kerja memotong, mengetam, menekap motif, menebuk dan menyambung kayu dilakukan oleh kumpulan lain," katanya yang kini mempunyai 25 orang pekerja.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah, Pakatan Jurukir Tradisional Sdn. Bhd. juga membuka cawangan bengkel di Kota Bharu, Kelantan dan Bukit Rimau, Melaka.

Antara tempahan ukiran lain yang turut diterima pembuatan semua jenis perabot hiasan dalaman rumah dan pejabat, mimbar, pintu, gerbang, dinding, siling, cenderamata dan ragam hias lain.

Beroperasi lebih 20 tahun, antara hasil kerjatangan terbesar syarikat termasuk beberapa masjid ternama, universiti, Dewan Undangan Negeri, Kompleks Sejarah Pasir Salak, Kompleks Warisan Negeri Perlis, Geylang Serai Malay Village Singapura dan Kompleks Kebudayaan Liverpool, UK.

Kubah singgahsana berbentuk bulat dan diperbuat daripada gentian kaca dan dicat dengan cat emas. Bahan binaan gentian kaca dipilih kerana ringan, mudah dibentuk serta memudahkan proses pemasangan.

Setelah kerja menaikkan kerangka selesai, sentuhan terakhir adalah memilih jenis kain untuk kelambu atau langsir.

"Dengan bantuan rakan-rakan yang berpengalaman, kami berjaya membuat yang terbaik," ujarnya.

Proses mereka bentuk Singgahsana bermula pertengahan 2008, manakala proses fabrikasi bermula pada Mei 2010 dan siap sepenuhnya pada September 2011.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: