Tuesday, February 1, 2011

Ahli politik mengaku seludup dadah


RONALD SINGSON ditemuramah wartawan di luar sebuah mahkamah di Hong Kong semalam.


HONG KONG - Ahli Kongres Filipina, Ronald Singson semalam mengaku cuba menyeludup kokain ke Hong Kong di sebuah mahkamah di sini.

Mahkamah itu diberitahu bahawa dadah itu disembunyikan di dalam seluar dalamnya untuk mengelirukan pengawal-pengawal keselamatan lapangan terbang.

Ahli politik berusia 42 tahun itu yang berasal daripada keluarga yang berpengaruh di Filipina, mengaku membawa masuk 6.7 gram kokain dan dua tablet dadah Nitrazepam ke bandar raya ini pada 11 Julai 2010.

Dia ditangkap di lapangan terbang antarabangsa Hong Kong oleh beberapa pegawai kastam yang menemui sejumlah kecil kokain dan pil khayal dalam bagasinya, bersama-sama enam gram kokain di dalam seluar dalamnya.

Nilai keseluruhan kokain berkenaan adalah sekitar AS$2,000 (RM6,120).

Namun, dia menafikan untuk menjual dadah itu sebaliknya menggunakannya untuk melegakan tekanan politik yang dihadapinya.

"Apabila saya mengambil kokain, saya akan mengambilnya dalam jumlah yang besar, selalunya pada setiap hari," katanya di mahkamah.

"Saya meminta maaf kepada penduduk Hong Kong. Ia merupakan satu kesalahan besar dan saya telah merosakkan nama reputasi saya, memalukan keluarga saya dan menyebabkan kekasih saya sakit," tambahnya.

Hukuman terhadapnya akan diputuskan hari ini dan jika disabit kesalahan akan dihukum penjara seumur hidup atau denda AS$640,000 (RM1.96 juta).

Membikin metropolis Putrajaya




KEHADIRAN kami di pejabatnya pada lewat petang Khamis lalu disambut dengan sekuntum senyuman. Gaya korporatnya masih terserlah meskipun telah melewati waktu pejabat. Susun atur meja dan gambar tidak banyak berubah, sama seperti kunjungan penulis kira-kira tiga tahun lalu ke situ.

“Apa khabar anda semua?” sapa tokoh tersohor itu lalu berjabat tangan dengan kami. Reaksi positif itu sebenarnya begitu melegakan. Secara jujurnya, penulis sangat berterima kasih kepada Tan Sri Samsudin Osman atas kesediaannya ditemu bual. Penulis difahamkan jadual hariannya sangat padat. Lebih-lebih lagi, beliau dan pasukannya pada ketika itu sedang bertungkus-lumus untuk sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2011.

Pada petang itu, Samsudin tidak berhenti daripada bercakap tentang bandar raya Putrajaya.

“Tidak terlintas di fikiran bahawa saya akan dilantik untuk menerajui Perbadanan Putrajaya (PPj). Walaupun saya tidak terlibat secara langsung pada peringkat awal perancangan dan pembangunan Putrajaya, namun sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada waktu itu, saya turut mengambil berat dan sentiasa mengikuti segala perkembangan yang berkaitan dengan perancangan dan pembangunannya.’’

Selepas tujuh tahun mentadbir, Samsudin berpandangan, pembangunan Putrajaya berjalan lancar sec ara keseluruhannya.

Sambil matanya melirik ke arah bangunan baru yang bertentangan dengan pejabatnya yang kini baru 30 peratus siap, beliau berkata, Putrajaya kini di kaca mata dunia.

“Kami tidak menang tangan menerima kunjungan pihak luar seperti dari Korea, Rusia, Uzbekistan, China dan dari negara Asia Tengah.

“Mereka terpesona dengan Putrajaya, kata-kata mereka kepada saya semuanya berbentuk pujian, saya gembira kerana orang luar mengagumi bandar kita,'” ujarnya yang mesra dalam kalangan media dengan panggilan Tan Sri Sam.


KEMEGAHAN Putrajaya. Selain Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya menjadi tumpuan pelancongan dari dalam dan luar negara setiap kali mereka ke Putrajaya.


Sememangnya untuk mengekalkan momentum kecemerlangan bandar raya itu tidak mudah seperti yang disangka. Sejak menggalas tanggungjawab sebagai Presiden PPj, Samsudin tidak berhenti daripada berfikir untuk memperbaiki dan menambahbaik Putrajaya.

Beliau bukanlah seorang pemimpin yang hanya pandai mengarah. Menurut salah seorang pegawainya, Samsudin seorang yang kuat bekerja. “Ia boleh digambarkan dengan cara Tan Sri berjalan, langkahnya sangat pantas dan begitu jugalah gaya Tan Sri ketika dia bekerja,” ujarnya.

Barangkali benar apa yang diucapkan. Dengan rasa rendah diri bekas KSN itu menuturkan bicara. “Ya, biar saya tegur daripada orang lain yang tegur, saya kerap meronda sekitar bandar ini dengan pegawai saya.

Identiti bandar Malaysia

“Kita pusing sekeliling, kadang-kadang saya tengok ada cabang-cabang jalan rosak, saya juga tengok sama ada landskap kita terurus atau tidak, rumput dan lalang yang tumbuh tinggi dipotong ke tidak, saya juga pantau kontraktor-kontraktor yang kita lantik.


TASIK Putrajaya antara tarikan untuk orang ramai melihat pemandangan indah seluruh Putrajaya.


“Saya berterusan meninjau siang dan malam, tiada istilah penat bagi diri saya,” katanya.

Demi kemajuan Putrajaya, Samsudin dan pasukannya terbang ke beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), Brazil, Australia, Brazil dan lain-lain untuk membuat kajian.

“Ia dilakukan berterusan dan penting untuk meningkatkan pengetahuan dan cara kita berfikir terutamanya di peringkat operasi,’’ katanya.

Bagaimanapun, ujar aristokrat itu, bandar di Malaysia harus mempunyai ciri-ciri dan identiti tersendiri serta tidak mengulangi pendekatan yang pernah dibuat oleh bandar-bandar rujukan.

Gambar Samsudin bersama para pegawainya berbasikal untuk ke mesyuarat pasca Kabinet di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar di Putrajaya pada 27 Januari lalu menarik perhatian umum. Gelagatnya itu memukau ramai sehingga dipaparkan di muka hadapan Utusan Malaysia. Ia turut menghiasi di seluruh dada-dada akhbar negara.

Kesanggupannya itu sebenarnya menyampaikan satu maksud tersirat. Figura yang berusia 64 tahun itu mahu komuniti Putrajaya mengamalkan konsep bandar hijau dan amalan hidup sihat.

“Perkara macam ini perlu dimulakan, kalau tidak sampai bila pun ia tidak akan menjadi kenyataan.

“Justeru, saya galakkan warga Putrajaya terutamanya penghuni kuarters di sini berbasikal ke pejabat,” saran pemimpin itu.

Persepsi tentang Putrajaya

Samsudin galak bercerita tentang Putrajaya sebagai bandar hijau. Katanya, sejak Perdana Menteri mengumumkan bandar raya kelolaannya termasuk Cyberjaya sebagai Perintis Bandar Hijau, pihaknya terus mengorak langkah.

Selain mengadakan Persidangan Bandar Hijau Antarabangsa, pasukannya memulakan satu kajian yang diberi nama Putrajaya Green Cities 2025 (PGC 2025). PGC 2025 diadakan bagi mengenalpasti tahap pelepasan karbon bagi Putrajaya. Lanjutan daripada itu, kajian pada peringkat seterusnya menyaksikan Pelan Tindakan Bandar Hijau dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta melibatkan Majlis Perbandaran Sepang.

“Kita pada dasarnya telah pun melakukan amalan Bandar Hijau. Antaranya kita hanya membenarkan bas NGV saja yang beroperasi, kita laksana pelan 3R, pembangunan tasik sebagai climate moderator dan di Taman Wetland sebagai penapis air semula jadi dan banyak lagi,” katanya.

Putrajaya diisytiharkan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan pada tahun 2001 selain Kuala Lumpur dan Labuan. Mengikut kiraan, tahun ini genaplah sedekad bandar raya itu menjadi sebahagian Wilayah Persekutuan.


BANDAR hijau. Samsudin menggalakkan warga Putrajaya berbasikal ke pejabat dalam menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Hijau.


Namun, wujud satu perspektif orang luar yang melihat Putrajaya tidak seperti Kuala Lumpur. Apabila dilontarkan soalan ini, Samsudin menghela nafasnya. Tegas beliau, Putrajaya dibangunkan dengan fungsi spesifik iaitu sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Tambahan, Putrajaya yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara keseluruhannya baru 14 tahun dibangunkan.

“Perbandingan secara langsung dengan Kuala Lumpur adalah tak tepat, Kuala Lumpur adalah ibu negara dan pusat perdagangan utama, saiz Putrajaya pun satu perlima daripada Kuala Lumpur.

“Justeru dari segi infrastruktur sememangnya tidak wajar dibandingkan dengan Kuala Lumpur,” terangnya yang berharap stigma itu tidak berterusan.

Putrajaya lengang pada waktu malam. Fakta itu mungkin tidak relevan dalam masa beberapa tahun lagi.

Menurut Samsudin, pihak PPj mempunyai perancangan untuk memeriahkan malam bandar raya itu dengan pementasan broadway atau teater.

“Kita sudah ada tempat untuk tujuan itu,” katanya.

Selain itu bagi menceriakan Putrajaya, Samsudin bercadang untuk mewujudkan barisan restoran mewah pelbagai jenama. Selain itu, PPj bakal mewujudkan kemudahan dan outlet komersial.

Namun, kata Samsudin, persepsi Putrajaya sepi pada waktu malam sebenarnya kurang tepat.

“Di Presint 2,3 dan 4 saja tapi di Presint 8, 9, 11, 15 dan 16, suasana malamnya tak lah sesunyi mana, malah meriah seperti bandar-bandar besar lain,’’ ujarnya.

Di sebalik kepesatan pusat pentadbiran itu, Presiden PPj itu kerap dilontar satu persoalan. Bilakah landasan monorel berdekatan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin siap sepenuhnya? “Bukan awak saja rasa terkilan monorel tak siap, semua orang pun terkilan,” selorohnya kepada penulis.

Beliau sedar, kemudahan itu penting untuk menjadi Putrajaya hidup dan bertenaga. Ia juga sebagai satu penyelesaian terhadap kesesakan lalu lintas dan masalah kekurangan parkir yang serius.

Justeru, sebagai langkah meneruskan semula infrastruktur rel itu, Samsudin memberitahu, atas inisiatif pihak Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri, program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang telah menggariskan satu projek. Projek itu ke arah meningkatkan kesalinghubungan Putrajaya dengan Kuala Lumpur, Cyberjaya dan kawasan persekitaran.

Bandar paling mapan


BANGUNAN Jabatan Perdana Menteri merupakan antara kementerian terbesar dan mempunyai struktur binaan yang paling menarik.


Berhubung dengan rungutan tempat letak kereta, Samsudin menjelaskan, pihak PPj tidak boleh sesuka hati menambah lokasi baru, namun akan berusaha mencari kawasan-kawasan yang sesuai.

Ini juga adalah satu strategi untuk galakkan penggunaan pengangkutan awam sehingga 70 peratus daripada keseluruhan pengguna pengangkutan.

Samsudin optimistik Putrajaya akan menjadi bandar futuristik, bandar yang lengkap dengan ciri-ciri yang setanding dengan kota metropolis di beberapa negara maju.

“Bukan saja dari sudut pengangkutan tapi kita mahu Putrajaya menjadi sebagai sebuah bandar yang paling mapan dan the most livable city,’’ ujar figura itu.

Imaginasi Samsudin terhadap Putrajaya pada 15 tahun tahun akan datang sangat hebat. Terdapat lima perkara dalam fikirannya.

Pertama, pengangkutan awam yang lengkap termasuk sistem monorel telah digunakan sepenuhnya oleh penduduk dan pengunjung Putrajaya.

Kedua, kesemua bangunan komersial di Putrajaya terdiri daripada bangunan hijau. Sehubungan itu, Samsudin mahu melihat semua penduduk terlibat dalam program kitar semula. Semua sampah dari Putrajaya diurus di dalam kawasan ini dan tidak perlu dibuang di luar Putrajaya.

Kesemua pokok yang sudah matang dijaga rapi bagi mewujudkan landskap yang indah menjelang 2026. Aristokrat itu berazam agar plot-plot komersial yang dibangunkan akan diduduki oleh pihak swasta termasuk perbadanan multinasional.

“Sesungguhnya, warga Putrajaya amat bertuah kerana dapat tinggal dan bekerja dalam suasana persekitaran yang selamat, indah, bersih, lengkap dengan pelbagai kemudahan dan prasarana bertaraf dunia,’’ ujarnya.

Selamat Hari Wilayah Persekutuan 2011.

Habuan untuk warga 3 wilayah

Hari ini penduduk di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Pulau Labuan dan Putrajaya menyambut Hari Wilayah. Kali ini kementerian galak warganya berekreasi dan beriadah, banyak tawaran menarik disediakan kepada warganya.


SELEPAS empat dekad Kuala Lumpur kini dihiasi dengan bangunan-bangunan pencakar langit.


TAHUN ini merupakan kali ketujuh Hari Wilayah Persekutuan disambut secara bersama dengan menggabungkan ketiga-tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sejak kewujudan Kementerian Wilayah Persekutuan sejak 27 Mac 2004.

Sambutan pada kali ini bertemakan 1 Wilayah Persekutuan Menjuarai Transformasi. Pemilihan tema itu bersesuaian dengan misi dan visi kepimpinan negara. Ia diterjemahkan sebagai Wilayah Persekutuan yang mampu menjuarai sekali gus menjadi penanda aras kepada Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Pada tahun ini, genaplah 37 tahun bagi bandar raya Kuala Lumpur, 27 tahun bagi Labuan dan hampir sedekad bagi Putrajaya di bawah entiti Wilayah Persekutuan. Majlis pelancaran sambutan telah pun diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 29 Januari lalu.

Walaupun bajetnya tidak sebesar mana, perjalanan program yang sudah berlalu sangat meriah. Lebih-lebih lagi, melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat yang disatukan dalam bentuk perhimpunan rakyat 1Malaysia.

Pada masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengambil kesempatan melancarkan lagu baru rasmi Wilayah Persekutuan.

Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 40 pengisian pelbagai program dan acara yang dirancang bagi menceriakan lagi sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Khas untuk rakyat Malaysia khususnya warga Wilayah Persekutuan ini, ada hadiah yang disediakan untuk anda. Berikut dinyatakan secara spesifik 'habuan' yang bakal diterima sekiranya pengunjung berkunjung di tiga Wilayah Persekutuan.

Kuala Lumpur

* Diskaun sebanyak 50 peratus ke atas kadar sewa bagi penggunaan kemudahan-kemudahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti gelanggang sukan, dewan serbaguna, pusat komuniti sepanjang bulan Februari.

* Keahlian percuma Perpustakaan Kuala Lumpur bagi pendaftaran yang dibuat sepanjang bulan Februari 2011.

* Diskaun sebanyak 50 peratus untuk bayaran masuk ke KL Bird Park, Taman Tasik Perdana pada 1 Februari 2011 sahaja.

* Tambang percuma bagi warganegara Malaysia dan diskaun 50 peratus ke atas warganegara asing bagi menaiki bas KL Hop On Hop Off pada 1 Februari 2011 sahaja.

* Menara Kuala Lumpur pada 1 Februari 2011 sahaja. Bayaran masuk untuk warganegara Malaysia (kanak-kanak dan dewasa) ke dek pemerhati sahaja RM10 seorang. Warganegara asing/pelancong dikenakan RM31 seorang untuk dewasa dan kanak-kanak RM23 seorang bagi pakej kombo (auditorium/kampung budaya dan dek pemerhati).

* Konsert-konsert yang dianjurkan oleh DBKL di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana bermula 1 Februari dibuka secara percuma kepada orang ramai.

Putrajaya

* Bayaran masuk secara percuma bagi pelawat-pelawat ke taman-taman awam Putrajaya pada 1 Februari 2011. Walau bagaimanapun, kelonggaran itu tidak termasuk bayaran sewaan untuk kemudahan lain seperti penggunaan trem, sewaan ruang, gelanggang permainan atau sukan, kayak, basikal, wall climbing dan sebagainya.

* Diskaun sebanyak 30 peratus kepada pemegang myKad warga Wilayah Persekutuan yang bermula dari 29 Januari 2011 sehingga 1 Februari 2011 untuk perkhidmatan Cruise Tasik Putrajaya. Untuk maklumat lanjut hubungi 03-8888 5539.

* Lawatan berpandu ke tempat-tempat menarik di sekitar Putrajaya dengan menaiki bas Nadi Putra secara percuma bermula dari Centre Dataran Putra pada 1 Februari 2011. Untuk maklumat lanjut hubungi 03-8887 7584.

Labuan

* Pendaftaran keahlian percuma di Perpustakaan Awam Labuan bermula 1 Februari sehingga 28 Februari 2011.

* Bayaran secara percuma kepada beberapa kemudahan di Labuan seperti di bawah bermula dari 20 Februari 2011 hingga 28 Februari 2011:

n Kemudahan gelanggang futsal dan boling padang.

n Kemudahan penggunaan dewan serbaguna Perbadanan Labuan.

n Auditorium Mini Anjung Budaya

n Peralatan aktiviti berkayak

Karya menghidupkan imaginasi




DERETAN lukisan bersaiz besar dan sederhana yang berwarna-warni kelihatan elok tergantung di dinding. Figura makhluk asing yang digambarkan mengikut imaginasi tersendiri bagaikan menarik perhatian setiap mata yang memandang.

Apa yang pasti, setiap mahkluk yang dilukis mempunyai karakter tertentu. Ada yang memakai baju Melayu berona biru firus lengkap bersamping dan bersongkok sedondon.

Di sebelahnya pula terpampang lukisan bertajuk Holy Clown iaitu badut unik yang memegang sebuah buku berkulit merah. Realiti badut yang digambarkan itu jauh berbeza dengan badut sarkas seperti yang dilihat di dunia nyata.

“Lukisan-lukisan ini saya lakar mengikut imaginasi yang datang. Pada awalnya saya menggemari lukisan doodles.

“Doodles bermaksud sesuatu benda yang kita lakar secara bebas tanpa terikut dengan apa-apa gaya lukisan. Selain itu, saya juga banyak menggunakan teknologi komputer dalam penghasilan lukisan tersebut,” kata Muhd. Najib Tumiran, 27, yang merupakan pengasas kumpulan pelukis kreatif Eightyfourcube.


KREATIF. Antara karya unik yang pernah dihasilkan oleh kumpulan Eightyfourcube.


Mula ditubuhkan secara bebas pada tahun 2003, Eightyfourcube merupakan kumpulan yang dianggotai oleh beberapa anak muda sewaktu menuntut di Kolej Poly-Tech Mara di Ipoh, Perak ketika itu.

Najib dan beberapa rakannya yang mengikuti jurusan Interaktif Multimedia bertindak mewujudkan kumpulan tersebut untuk mencari kepuasan diri dalam dunia seni visual yang tiada batasan.

“Pada mulanya kami sekadar suka-suka menubuhkan kumpulan Eightyfourcube kerana mahu melakukan sesuatu yang menyeronokkan untuk diri dalam aspek seni visual.

“Jika ada masa terluang, kami akan berusaha menyiapkan lukisan dan karya-karya untuk koleksi peribadi. Di samping itu, kami juga aktif memuat naik gambar-gambar lukisan yang telah siap dilukis di laman forum berkaitan seni untuk tatapan khalayak. Ternyata karya kami berjaya menarik perhatian ramai terutama golongan remaja,” jelas Najib sambil asyik melakar di helaian putih buku seninya.

Kemudian, apabila ada peluang, Eightyfourcube tidak ketinggalan menyertai pelbagai acara berkaitan kesenian untuk memaparkan koleksi lukisan mereka sekali gus mendapatkan respons peminat seni.

Impian sebuah galeri


PENUBUHAN Galeri Studio Eightyfourcube memberi ruang untuk kumpulan seni ini terus berkarya.
NAJIB (kanan) dan Rashid mahu menonjolkan kreativiti mereka melalui karya yang dihasilkan.


Namun, menyedari kepayahan untuk terus maju dalam kesenian sebegitu, Najib dan rakan-rakannya sekadar menjadikan ia sebagai kerjaya sampingan dan aktiviti menghabiskan masa lapang.

Bagaimanapun disebabkan minat yang mendalam terhadap dunia lukisan dan muzik, Najib berusaha membuka sebuah studio muzik dan galeri seni untuk kumpulannya berkarya.

Akhirnya pada pertengahan 2008, barulah impian Najib terlaksana apabila Galeri Studio Eightyfourcube beroperasi dengan rasminya di Taman Dagang, Ampang, Selangor.

Bagi menjana pendapatan, Najib turut menawarkan perkhidmatan rekaan grafik dan motion graphic untuk iklan-iklan televisyen.

Sebelum itu, anak jati Kuala Lumpur berkenaan pernah bekerja di production house bagi mencari pengalaman. Namun, kerjaya itu membuatkan Najib sukar meluangkan masa terhadap seni lukisan yang dicintai.

Lantaran itu, dia akhirnya nekad berhenti kerja untuk memberi sepenuh perhatian pada bidang yang sudah dianggap seperti nyawanya sendiri.

Walaupun pada mulanya sukar untuk Najib mendapatkan pelanggan, tetapi lama-kelamaan khidmat yang ditawarkan semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

“Terus-terang saya akui dengan hanya melukis, ia tidak boleh membuatkan kita menjadi kaya, tetapi demi minat yang sudah sebati dalam diri, kepuasan yang dikecapi daripada setiap lukisan yang dihasilkan tidak dapat diungkap dengan kata-kata,” tegas Najib sekali gus membuktikan semangat anak seni yang membara dalam diri.

Insiden melukis atas pasir




Sementara itu, salah seorang ahli Eightyfourcube yang aktif, Abdul Rashid Abdul Raman, 27, turut berkongsi pengalaman sebagai pelukis kreatif kumpulan tersebut.

Menurut Rashid atau nama penanya Abdulrashade, kebanyakan karyanya lebih menjurus kepada tema grafiti tetapi tidak terikut dengan gaya barat.

Sebaliknya, Abdul Rashid menumpukan pada elemen grafiti yang memuatkan unsur-unsur tempatan seperti flora dan fauna yang kemudian diubahsuai dalam bentuk abstrak.

“Saya rasa seronok berkecimpung dalam dunia lukisan grafiti ini. Malah, minat melukis yang bercambah sejak kecil membuatkan saya rasa seperti tidak boleh hidup kalau sehari tidak memegang pen, berus atau
KANAN: Antara aktiviti dan pameran yang disertai kumpulan Eightyfourcube.


menconteng sesuatu,” tutur anak kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang itu.

Tambah Abdul Rashid, sewaktu kecil dia suka melukis menggunakan tangan di atas pasir di sekitar halaman rumah. Gambar seperti lori, dinosaur, kereta, jentolak dan sebagainya menjadi subjek pilihannya.

Bahkan, gara-gara asyik mengasah bakat melukis di halaman rumah, dia pernah dilanggar kereta yang dipandu bapa saudaranya yang tidak menyedari Rashid berada di situ.

“Akibatnya saya terperosok di bawah kereta dan mengalami kecederaan teruk di badan. Tetapi, insiden itu tidak menghalang minat saya untuk terus melukis sehinggalah berjumpa dengan Najib di kolej,” terang Abdul Rashid sambil tersenyum apabila mengingati memori zaman kanak-kanaknya.

Untuk maklumat lanjut mengenai Eightyfourcube, layari laman web www.eightyfourcube.com. atau facebook/eightyfourcubestudiogallery.

Lempoyang antikanser servik


AHMAD BUSTAMAN (empat dari kanan) memberikan penerangan kepada penyelidik bersekutunya tentang kajian mereka.


KIRA-KIRA 80 peratus kes kanser serviks didiagnosis berlaku dalam kalangan penduduk di negara membangun.

Kanser serviks ialah kanser pangkal rahim yang berlaku dalam kalangan wanita disebabkan faktor genetik, pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.

Bagi kalangan wanita Malaysia pula, risiko mendapat penyakit itu ialah 19.7 per 100,000 penduduk.

Fakta itu cukup menakutkan. Lebih menggerunkan, kanser serviks adalah pembunuh wanita kedua tertinggi di negara ini selepas barah payu dara.

Rentetan daripada itu, dari semasa ke semasa, kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisiatif merancakkan kempen kesedaran tentang peri penting mencegahnya.

Terbaru, sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menemui teknologi baru rawatan mencegah kanser serviks peringkat awal.

Khasiat halia hutan

Mungkin selama ini ramai yang memandang enteng terhadap potensi halia hutan atau lempoyang tetapi penyelidik-penyelidik itu berjaya membuktikannya.

Secara asasnya, lempoyang adalah daripada spesies halia yang juga dipanggil halia hutan atau liar. Ia agak mudah ditemui kerana tumbuh liar di kawasan semak samun. Pokoknya yang mempunyai bunga cantik, menyerupai pokok bunga kantan dengan daun tirus.

Menurut ketua penyelidik kajian itu, Dr. Ahmad Bustamam Abdul dari Institut Biosains UPM, herba hutan itu mempunyai kemampuan rawatan yang sama seperti ubat antikanser komersial selain tidak membunuh sel-sel normal manusia.

“Teknologi ini selamat dan ia mempunyai kemampuan tinggi membunuh sel-sel kanser pangkal rahim serta mengurangkan komplikasi pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi,” ujarnya yang juga bertindak sebagai pensyarah dan penyelidik di Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.

Jelas Ahmad Bustaman, bahan yang menjalani ujian pra klinikal itu terbukti mampu memberi dos terapeutik tinggi yang selamat.

“Bahan semula jadi ini mampu dikomersialkan dalam bentuk cecair (pencuci alat sulit) dan dan jenis yang dimasukkan ke dalam faraj. Ia kini berada di peringkat akhir iaitu peringkat pembangunan produk bertaraf komersial untuk tujuan pemasaran,’’ terangnya.


SAINTIS UPM berjaya menemui manfaat perubatan ke atas herba lempoyang atau halia hutan.


Justeru, Ahmad Bustaman berharap syarikat-syarikat farmaseutikal tempatan mengambil peluang untuk memasarkan bahan semula jadi ini sebagai ubatan herba anti kanser di peringkat global.

Kos lebih murah

Beliau memberitahu, para pesakit boleh mengambil ubat itu dalam dos yang tinggi tanpa merosakkan tisu normal.

Kepada yang masih musykil terhadap kenyataan itu, Ahmad Bustaman menegaskan, pihaknya secara serius telah menjalani kajian ke atas manusia serta model haiwan yang berpenyakit kanser serviks di makmalnya.

“Sebagai tambahan, makmal kami telah mengubah sesuai struktur molekulnya bagi membolehkan ia dilarutkan dalam air dengan amat mudah.

“Larutan cecair yang diperoleh akan memudahkan bahan semula jadi ini dihasilkan dalam formula dalam bentuk paling sesuai agar ia bertindak sebagai bahan ubat antikanser,” katanya.

Selain Ahmad Bustaman, sebanyak lima penyelidik lain yang terlibat dalam kajian itu termasuklah Profesor Dr. Rashedee Abdullah, Profesor Mohd. Aspollah Sukari, Profesor Datuk Tengku Azmi Tengku Ibrahim, Doktor Murali Syam Mohan dan Profesor Madya Siddiq Ibrahim Abdel Wahab.

Kajian itu secara keseluruhan mengambil masa kira-kira lapan tahun untuk disiapkan.

Susulan daripada penemuan teknologi itu, kos rawatan pesakit kanser pangkal rahim menjadi lebih rendah berbanding penggunaan ubatan yang diimport atau dengan rawatan kemoterapi.

Ditanya bila ciptaan itu akan dipatenkan, kata Ahmad Bustamam, kajian yang banyak membantu golongan wanita telah pun difailkan untuk tujuan itu.

Kajian tersebut yang dibiayai oleh Geran Penyelidikan UPM dan Majlis Kanser Nasional (Makna) boleh juga digunakan sebagai gandingan dengan rawatan antikanser.

Pengiktirafan

Kredibiliti penyelidikan yang boleh diaplikasi dalam industri herbapeutik sememangnya tidak boleh dipertikaikan kerana ia diiktiraf menerusi beberapa pertandingan.

Antaranya ialah meraih pingat emas dalam Ekspo Teknologi Malaysia pada tahun 2008 dan pada tahun 2006 memenangi 17th International Invention Innovation Industrial Design & Technology Exhibition (ITEX).

Selain itu, pada Anugerah Bio Inno dan Bio Malaysia 2009, Ahmad Bustaman meraih gangsa.

Dalam International Trade Fair Ideas-Invention-New Products IENA (2006) serta Bio Inno dan Bio Malaysia (2010), produk mencegah kanser serviks itu berjaya mencuri perhatian pengadil apabila dianugerahkan pingat perak.

Dulu pencuci tandas, kini pengarah


MEMELUK Islam adalah hijrah terbesar Murali dalam hidupnya.


APABILA berbicara mengenai figura yang bernama Muhammad Murali Abdullah, 48, boleh dikatakan hampir semua karya yang dihasilkan pengarah tersohor itu mampu menyuntik sinar keinsafan buat mereka yang menontonnya.

Memilih untuk mengangkat tema keislaman dalam kebanyakan drama arahannya, tidak keterlaluan jika dikatakan Murali tidak pernah gagal menampilkan hasil kerja terbaik untuk tatapan semua pihak.

Malah, banyak mata pasti akan mengalirkan mutiara jernih di pipi lantaran jiwa mereka turut dibawa masuk untuk menyelami perasaan setiap watak yang dipaparkan.

Rentetan daripada karya yang berkualiti dan dilihat penuh jujur oleh masyarakat, Murali boleh berbangga apabila turut mendapat pengiktirafan daripada mereka yang tahu menghargai karya seninya.

Terbaru, trofi Pengarah Terbaik Drama Anugerah Skrin (ASK) 2010 menjadi miliknya menerusi karya hebat Sebelum Akhirat pada majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 24 Disember lalu. Ia sekali gus mengulangi kejayaan Murali pada majlis ASK 2008 melalui drama Suara Saleha.

Satu demi satu momen indah yang dilalui Murali dalam bidang pengarahan memberi kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata. Siapa sangka impiannya untuk bergelar pengarah terkenal sewaktu kecil berjaya digapai.

Namun, untuk mencapai kedudukan hingga ke tahap sekarang, terlalu banyak liku dan ranjau berduri yang terpaksa ditempuh oleh anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu.

Semua itu mengajarnya erti kehidupan dan semangat untuk tidak berputus asa selagi apa yang diimpikan tiada dalam genggaman.

Menyusuri lembaran sejarah dalam kanvas kehidupan Murali, zaman kecilnya dilalui penuh sederhana dan seadanya.

Malah kesempitan hidup yang dialami keluarga membuatkan anak lelaki yang dilahirkan dengan nama Muralitharan Vadivelu itu tidak mampu dihantar ke tadika sebagai persediaan sebelum memasuki alam persekolahan.

Perkara itu menyebabkan Murali tidak mahir berbahasa Melayu dan Inggeris sekali gus menjadi seorang pelajar yang agak pendiam di sekolah.

Lantaran rasa rendah diri yang dialami, Muralitharan agak ketinggalan di dalam kelas berbanding rakan-rakan yang lain. Malah, dia juga tidak mempunyai ramai kawan kerana jarang bergaul.

Namun, apabila melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Alor Star, Kedah, sedikit demi sedikit anak kedua daripada lima adik-beradik itu mula menunjukkan perubahan. Keyakinan diri dapat dibina apabila melihatkan ramai rakan yang lebih pemalu dan pendiam.

Sertai uji bakat

“Saya kemudian dilantik sebagai ketua kelas kerana dilihat lebih berkeyakinan dan berketrampilan berbanding rakan yang lain. Sejak itulah saya mula menjadi seorang yang berani untuk menunjukkan kemampuan diri,” imbau Murali mengenai zaman persekolahannya.

Menceritakan detik awalnya meminati bidang seni, segala-galanya bermula apabila Murali mengikut kawan menyertai uji bakat untuk berlakon drama di sekolah.

Apabila disuruh melakonkan satu watak, Murali berjaya melakukannya dengan baik dan mendapat pujian.

“Hasil uji bakat tersebut, saya diambil untuk berlakon dalam drama sekolah. Apabila dapat berlakon di atas pentas, ia memberikan keseronokan yang tidak terhingga.

“Jadi, pada tahun berikutnya, saya telah menghasilkan skrip bertajuk, A Murder in Tongkang Yard dan drama itu dipentaskan di sekolah. Sejak itu saya terus berminat untuk menulis skrip dan belajar mengenai bidang ini,” terang bapa tunggal kepada dua cahaya mata ini.

Bagaimanapun, minat yang mekar subur dalam hatinya berdepan pelbagai cabaran apabila skrip yang dihasilkan sering mendapat kritikan dan dibakulsampahkan.

Sedih dengan situasi tersebut membuatkan Murali beralih arah untuk menjadi seorang kelasi kapal. Tetapi hajatnya tidak kesampaian apabila pemeriksaan kesihatan yang dijalani membawa khabar buruk.

Doktor yang memeriksa Murali memberitahu dia mempunyai masalah jantung yang serius dan tidak boleh melakukan kerja-kerja berat.

Berang dengan maklumat yang disampaikan doktor, Murali menafikan dirinya tidak sihat. Lalu dengan memakai kasut sukan, dia berlari selaju-lajunya di landasan kereta api untuk membuktikan keputusan doktor itu silap.


KISAH Murali pernah menghiasi majalah Way of Life.


Malangnya, jantung Murali hampir terhenti hingga nyaris-nyaris mengorbankan nyawanya. Kemudian, barulah dia sedar penyakit berbahaya yang dialami dan terus menangis sepuas hati hingga ke malam.

Selepas perasaannya tenang, Murali berazam tidak mahu menjadikan penyakitnya sebagai alasan untuk tidak boleh berjaya.

“Masa itu saya rasa tidak mahu sekadar menjadi manusia biasa. Sekurang-kurangnya saya mahu mati sebagai manusia berguna. Jadi, saya ingin melakukan perkara yang di luar kemampuan. Antaranya saya pernah membuka perniagaan restoran selama tiga tahun sebelum ditutup kerana kerugian,” katanya.

Selain itu, Murali pernah bekerja sebagai pemandu kepada seorang doktor dengan pendapatan RM180 sebulan sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1988.

Di kota, Murali sekali lagi menjadi pemandu kepada sekumpulan orang Cina yang berkedudukan. Tetapi, masuk hari ketiga dia diberhentikan atas alasan tidak mahir dengan selok-belok jalan di Kuala Lumpur dan dibayar gaji RM50.

Berbekalkan wang tersebut, Murali membeli beberapa akhbar termasuk Malay Mail yang memaparkan iklan untuk mencari krew filem bagi produksi HVD.

Enggan melepaskan peluang keemasan tersebut, Murali terus ke pejabat HVD di Damansara menaiki teksi. Walaupun diberitahu jawatan tersebut sudah diisi, dia tetap berkeras untuk berjumpa pengurus.

Petunjuk melalui mimpi

“Apabila dibawa ke bilik pengurus yang bernama William Loo, saya terus bercakap untuk bekerja dengan produksi tersebut tanpa mengira apa tugasnya dan tidak perlu dibayar gaji.

“Akhirnya, saya diterima bekerja sebagai tukang cuci di sana. Rutin saya setiap hari adalah mencuci tandas, mencuci kereta pekerja dan sebagainya. Tapi, saya sembunyikan penyakit yang dialami.

“Walaupun sekadar mencuci tandas saya tetap gembira kerana dapat melihat cara untuk mengarah drama atau filem,” tutur Murali yang kemudian menapak langkah demi langkah hingga berjaya mencapai impiannya menjadi pengarah.

Meskipun kini sudah mempunyai nama yang kukuh dalam industri seni tanah air, namun Murali tidak mahu mendabik dada di atas segala kejayaan yang dikecapi.

Sebaliknya, dengan kerendahan hatinya, Murali mengakui segala apa yang ada dalam dirinya datang daripada Allah S.W.T. Justeru, sebagai manusia tiada apa yang boleh dibanggakan kerana bakatnya sebagai karyawan seni adalah ilham daripada Yang Maha Esa.

“Saya cuma melaksanakan tanggungjawab berdakwah kepada masyakarat melalui karya-karya yang dihasilkan dengan harapan ia dapat menyuntik kesedaran untuk memperbaiki diri dan kembali ke jalan yang benar,” tulus ungkapan yang lahir dari mualaf yang memeluk Islam pada tahun 1997.

Berkongsi pengalaman tentang hijrah terbesar dalam hidupnya iaitu memeluk Islam, Murali tidak malu mengaku pada awalnya, dia bukan seorang Muslim yang baik kerana pengislamannya sekadar mahu berkahwin dengan wanita Melayu.

Tetapi, selepas tiga tahun bergelar penganut agama Islam, Murali diberi petunjuk melalui mimpi yang tidak mungkin dilupakan hingga ke hujung nafasnya.

“Mimpi disuruh membaca al-Quran oleh Rasulullah S.A.W di sebuah padang pasir tandus dan mampu membacanya dengan baik walaupun realitinya saya tidak pandai membaca al-Quran teramat indah.

“Suara bacaan saya juga terlalu merdu dan sedap didengar. Inilah permulaan hijrah sebenar hidup saya. Kemudian, selepas membaca riwayat kisah hidup Nabi Muhammad S.A.W ketika sakit selepas menjalani pembedahan, terus saya jatuh cinta dengan keperibadian Baginda S.A.W dan berazam untuk menjadi seorang Muslim terbaik,” ungkap Murali sambil mengingatkan pada semua agar membaca perjalanan hidup Rasulullah pedoman sepanjang hayat.

Misi rekod Menara KL


Kecekalan dan kegigihan Mohd. Noor wajar dijadikan inspirasi generasi muda.


TARIKH 16 hingga 17 April nanti merupakan detik penting kepada pendaki solo negara, Mohd. Noor Mat Amin. Ini kerana buat pertama kalinya, beliau akan mencipta rekod dunia bagi mendaki tangga Menara Kuala Lumpur (Menara KL) selama 24 jam tanpa henti.

Dalam usaha itu, Mohd. Noor kini giat mempersiapkan dirinya dengan melakukan latihan intensif di seluruh negara. Antara lokasi yang dipilih adalah Bukit Broga dan Batu Caves, Selangor; Gunung Tebu dan Bukit Besar, Terengganu; Menara Alor Setar, Kedah; Puncak Universiti Malaysia Sabah dan Gunung Kinabalu, Sabah.

Lebih menarik, kali ini beliau tidak bersendirian menjalani latihan sebaliknya turut ditemani lebih 1,000 pelajar dari beberapa universiti tempatan melalui Program Semarak Misi Rekod Dunia 2011.

Bercerita mengenainya, Mohd. Noor berkata program yang mendapat kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi itu sudah bermula sejak Januari lalu dibagikan kepada beberapa fasa.

“Fasa pertama melibatkan Bukit Broga, kemudian diteruskan ke beberapa lokasi lain di seluruh negara sehinggalah April nanti,” katanya.

Tambah Mohd. Noor, sepanjang program, beliau bukan sahaja melakukan latihan intensif bersama pelajar-pelajar berkenaan malah turut memberi motivasi, tip dan berkongsi pengalaman yang pernah dilaluinya.

“Saya mahu golongan ini menyedari tiada apa yang mustahil, asalkan mereka mempunyai keyakinan dan disiplin yang tinggi serta bersedia mengharungi cabaran mendatang.

“Pada masa yang sama, saya mahu melahirkan golongan pelapis yang bersedia melakukan sesuatu yang luar biasa bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga negara,” jelasnya.

Sementara itu, mantan Presiden Kelab Kembara Management & Science University (MSU), Muhammad Zakir Muhammad berkata seramai 50 pelajar dari universiti itu terlibat dalam program yang diadakan baru-baru ini.

Katanya, kesungguhan dan keazaman pendaki solo itu yang berusaha merealisasikan impian perlu dicontohi walaupun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran.