Saturday, February 4, 2012

Siapa Sergei Bubka di hati Azarenka?


HUBUNGAN mesra Azarenka dan Sergei Bubka Jr. bukan lagi rahsia sehingga Azarenka mengakui bahawa mereka adalah pasangan kekasih.


VICTORIA Azarenka nama yang tidak perlu diperkenalkan kepada peminat sukan antarabangsa, terutama tenis. Kejayaan memenangi kejuaraan Grand Slam pertamanya pada Terbuka Australia baru-baru ini telah melonjakkan gadis manis berusia 22 tahun itu ke takhta No. 1 dunia.

Dilahirkan di Minsk, Belarus pada 31 Julai 1989, dia bagaimanapun meninggalkan tanah airnya sementah usia 14 tahun untuk berkelana di Arizona, Amerika Syarikat demi mengejar cita-cita bergelar pemain profesional. Sehingga hari ini, sudah 25 kejohanan Grand Slam disertai pemain tinggi lampai itu.

Kariernya tidak naik mendadak, sebaliknya dia ‘berkayuh’ perlahan-lahan sebelum akhirnya mencapai kemuncak dengan merampas teraju No. 1 dunia minggu lalu. Sejurus melakar kemenangan di Melbourne, ada beberapa nama meniti di bibir gadis ini saat ditanya siapa di sebalik kejayaannya.

Bila dia menyebut nama Sergei Bubka, semua orang terdiam. Nama itu memang amat terkenal, siapa yang tidak kenal dengan legenda lompat bergalah Ukraine itu yang pernah memenangi pingat emas Sukan Olimpik 1988, selain meraih enam kejuaraan sepanjang kariernya.

Tetapi apa kaitannya Bubka dan Azarenka? Daripada segi usia, jarak mereka sangat jauh, seorang 22 tahun dan seorang lagi 48 tahun, malah mereka juga bukan berasal dari negara yang sama.

Rupa-rupanya, bukan Bubka tersohor itu yang dimaksudkan Azarenka tetapi Sergei Bubka Jr., anak lelaki Bubka. Berusia 24 tahun, Bubka Jr. kini sedang memadu kasih dengan bintang tenis Belarus ini.

Seperti Azarenka, dia juga bermain tenis secara profesional, cuma nasibnya belum sebaik kekasihnya kerana masih berusaha mengukuhkan karier dan kini sekadar menghuni ranking ke-145 dunia. Namun, Bubka Jr., jejaka kacak yang memiliki ketinggian 6’2 inci sudah berjaya memiliki hati bintang tenis dunia.

“Saya tidak bertunang. Hari ini saya menyarung cincin di jari yang salah tetapi saya belum bertunang,’’ kata Azarenka baru-baru ini, apabila media cuba mengorek rahsia peribadinya selepas melihat sebentuk cincin tersarung di jari manisnya.

Bagaimanapun gadis manis ini tidak menyembunyikan bahawa di antara dia dan Bubka Jr. sememangnya mempunyai satu hubungan yang istimewa.

“Ya, memang kami punya hubungan. Saya keluar dengannya dan dia adalah teman lelaki saya,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: