Friday, May 29, 2009

Jutawan pukul kekasih diburu


HOTEL Bristol yang menjadi tempat seorang jutawan Britain memukul kekasihnya.


PARIS - Polis Perancis sedang memburu seorang jutawan Britain yang melarikan diri selepas teman wanitanya ditemui mati akibat dipukul berulang kali di sebuah bilik di Hotel Bristol di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Mayat wanita berusia 36 tahun itu ditemui rebah di dalam sebuah tab mandi di hotel mewah berkenaan yang mengenakan bayaran £1,000 (RM5,592) bagi penginapan untuk satu malam.

Teman lelaki mangsa yang berusia 40 tahun itu melarikan diri dari tempat kejadian dengan menggunakan sebuah kereta Porshe 911.

Pasangan berkenaan dipercayai mengambil minuman keras dalam jumlah yang banyak sebelum insiden itu berlaku.

Polis berkata, mangsa menginap di sebuah bilik hotel mewah itu pada Isnin lepas manakala teman lelakinya tiba dari London dengan kereta tersebut pada awal pagi Selasa lepas.


GAMBAR menunjukkan model kereta Porshe 911 yang digunakan oleh seorang jutawan Britain.


"Mayat mangsa ditemui oleh seorang pekerja wanita pada petang Selasa lepas dengan kesan-kesan lebam akibat dipukul," kata seorang pegawai polis.

Pihak berkuasa menyatakan mangsa yang dipercayai seorang ahli perniagaan, dipukul berulang kali dengan objek tumpul.

"Pergaduhan turut berlaku di bilik penginapan mereka. Keadaan bilik berselerak. Beberapa perabut patah dan rosak manakala langsir pula ditarik keluar," tambah pegawai itu.

Polis masih menyiasat hubungan sebenar antara mangsa dengan jutawan Britain itu.

Namun, pihak berkuasa enggan mendedahkan identiti suspek pada masa ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: