Thursday, May 28, 2009

Bau sampah dihidu sejak setahun


Tapak pembuangan sampah haram yang mendatangkan masalah kepada penduduk di Taman Bukit Mewah, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Sebanyak 5,000 penduduk Taman Bukit Mewah termasuk murid sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Mewah di sini berdepan masalah bau busuk sejak setahun lalu.

Masalah ini berpunca daripada wujudnya sebuah pusat pelupusan sampah haram di Kampung Semangat yang terletak berhampiran kawasan perumahan tersebut.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Taman Bukit Mewah, Yusaini Ali berkata, pusat pelupusan sampah itu telah menimbulkan pelbagai masalah dan kegusaran di kalangan penduduk setempat.

"Apa yang kami kesalkan selama ini ialah sampah yang dibuang di situ berupa sampah domestik, bahan binaan dan bahan merbahaya lain yang boleh menjejaskan keselamatan kami.

"Timbunan sampah berkenaan juga semakin tinggi dan ia telah mengeluarkan bau busuk yang mengganggu pelajar dan penduduk di sekitar kawasan ini," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Yusaini yang juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon A Taman Bukit Mewah berkata, syarikat yang bertanggungjawab menguruskan sampah-sarap itu dipercayai membuang sampah di kawasan berkenaan kerana mengelakkan diri daripada dikenakan bayaran yang tinggi di pusat pelupusan sampah Seelong, Senai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: