BUAT pertama kalinya, TV9 menerbitkan sebuah rancangan realiti hiburan yang diberi nama Oo La La yang melibatkan ahli keluarga. Oo La La yang bertujuan untuk mencari bakat baru di kalangan remaja dalam bidang nyanyian bakal menyaksikan perkembangan mereka dalam mengejar impian menjadi bintang dari minggu ke minggu. Program realiti hiburan berkonsep kekeluargaan ini akan melibatkan anggota keluarga seperti ibu, bapa, ibu saudara, bapa saudara dan kakak.
Sebanyak sepuluh pasangan dipilih di mana enam daripada pasangan ini terdiri daripada penyanyi terkenal tanah air, sementara empat pasangan lagi dari peserta awam yang berbakat dalam bidang nyanyian. Antara penyanyi terkenal yang terlibat adalah Andy Flop Poppy dan anaknya Megat Danial, Juliza Adzlizan bersama dua anak saudaranya bernama Ajreena dan Shakina; Neves dari kumpulan Pretty Ugly bersama Reen; Eddie Hamid dan Farah; serta Aris Ariwatan dan Shahida.
Empat lagi pasangan terdiri daripada Ameer dari MyStarz LG bersama bapanya Bakri; Afiq (Idola Kecil) bersama kakaknya Rini; Amira bersama ibunya Alina dan Dilla bergandingan dengan bapanya, Yazid.
Saingan hebat dapat dilihat apabila melibatkan pasangan yang berpengalaman dalam bidang seni mengajar anak didik mereka berbanding dengan pasangan yang tidak bergelar artis. Penyingkiran akan dinilai melalui keupayaan pasangan mengetengahkan bakat ahli keluarga masing-masing sebagai penghibur dan bukannya berdasarkan kepada nama mereka yang sememangnya sudah dikenali ramai.
Rancangan realiti Oo La La akan memberi peluang kepada penonton untuk mengundi peserta pilihan mereka bagi menentukan kedudukan setiap minggu. Hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan kepada juara Oo La La berupa wang tunai berjumlah RM30,000, RM20,000 bagi pemenang tempat kedua dan RM10,000 bagi tempat ketiga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: