Friday, May 29, 2009

Cikgu Joanna tempat murid mencurah kasih

Joanna Bessey

BAIK dalam skrip drama La Dolce Amira mahupun skrip kehidupannya sendiri, aktres Joanna Bessey adalah seorang mentor dan pengajar.

Jika Joanna memegang watak Cikgu Krisya dalam drama sebanyak 13 episod itu, kehidupan sebenarnya ialah sebagai pensyarah sambilan di Universiti Multi Media(MMU).

"Apa yang melucukan ialah kadang-kala saya turut menggunakan skrip drama tersebut dalam kehidupan sebenar saya! Saya juga mengendalikan bengkel lakonan untuk mereka yang berminat menjadi pelakon.

"Atau mereka yang ingin menyampaikan maklumat dan berkomunikasi dengan lebih jelas. Jadi, saya mengajar mereka menggunakan 'teknik-teknik Aktor'," katanya ketika ditemui di pelancaran drama La Dolce Amira di TV3 baru-baru ini.

Joanna memberitahu, walaupun bukan mengajar secara sepenuh masa, dia berasa bangga kerana sesetengah pelajarnya di MMU seperti Megat Sharizal telah menjadi pelakon profesional.

Sementara itu, Joanna berkata, dia masih mengharap agar dia dapat diberi peluang memegang watak utama dalam filem atau drama Melayu suatu hari nanti.

"Berlakon dalam drama atau filem Melayu adalah mencabar dan menyeronokkan tetapi setakat ini, saya masih belum berlakon sebagai watak utama.

"(Jika berpeluang berlakon sebagai watak utama) itu akan mengujakan. Kalau boleh, saya ingin memainkan lebih banyak peranan terutamanya dalam persekitaran masyarakat negara yang menggunakan pelbagai bahasa.

"Kita rakyat Malaysia kaya dengan berbagai bahasa (multi-lingua) dan ini sesuatu yang harus kita banggakan. Saya suka cara kita melahirkan pendapat dan bercakap dengan pelbagai bahasa. Tidak banyak negara di dunia ini mempunyai keupayaan sebegini!" ujarnya.

JOANNA PERSIS CIKGU KRISYA

Lakonan Joanna sebagai Cikgu Krisya dalam 'La Dolce Amira' meninggalkan kesan pada dirinya. Tambahan hubungan rapat antara Cikgu Krisya dan anak muridnya Amira (lakonan Faizah) tidak ubah seperti hubungan Joanna dengan murid-muridnya di MMU.

Krisyalah tempat Amira bergantung harap. Sifat penyayang yang ada pada Joanna membuat dia senang menghayati watak ini.

Kisah drama La Dolce Amira berkisar tentang Amira, Bakri, Hani, Maznah dan V yang memulakan persahabatan di institut engajian tinggi dan meneruskan ikatan persaudaraan itu sehingga tamat pengajian.

Konflik dan pertelingkahan sering terjadi sepanjang perkenalan mereka. Namun, Amira sering menjadi sasaran untuk penyelesaian masalah sehingga dia sering menjadi mangsa keadaan.

Amira seorang yang penyabar dan optimis. Dia amat disayangi keluarga dan rakan-rakannya walaupun tuah sering tidak menyebelahinya.

Bagaimanapun, Amira tiada tempat mengadu kerana berdepan dengan masalah rumahtangga ibubapanya. Abangnya, Ariff bersikap endah tak endah dengan masalah ibubapa mereka manakala adiknya, Arissa masih mentah untuk memahami situasi sebenar.

Ekoran rentetan masalah yang dihadapinya itu, Amira menjadi semakin murung sehinggalah dia bertemu dengan Cikgu Krisya (Joanna Bessey).

Kata Joanna: "Saya memegang watak Krisya, mentor kepada watak utama Amira. Karakter saya menggalakkan dan memberikan inspirasi kepadanya untuk menjadi seorang penulis.

"Krisya juga mengendalikan kelas untuk membantu para pelajarnya agar mampu mengekspresikan diri dengan lebih baik," katanya sambil menjanjikan banyak adegan lucu dalam kelas disajikan dalam drama tersebut.

La Dolce Amira telah mula bersiaran pada 26 Mei lalu akan menemui penonton setiap malam Selasa di TV3.

TIDAK PERNAH MENYEPI

Ditanya kenapa dia seolah-olah menyepi dalam dunia hiburan ketika ini, Joanna yang pernah dicalonkan dalam kategori Aktor Sokongan Terbaik (Best Supporting Actor) dan Pengarah Terbaik (Best Director) pada Anugerah Seni Boh Cameronian menafikannya.

Jelasnya: "Hakikatnya saya kurang membuat penampilan di televisyen dan lebih kepada filem seperti Waris Jari Hantu and 1957 Hati Malaya) serta lebih banyak teater."

"Saya banyak berlakon dalam drama dan siri komedi yang menggunakan bahasa Melayu seperti Bilik 13, Untuk Kali Terakhir, Disitu Ada Cinta, Seni Beradab, Kasut Tumit Tinggi, 5 Jingga, Actor Olympics dan lain-lain," ujarnya.

Tegasnya, dia bukanlah menyepikan diri tetapi masih 'sibuk' di belakang tabir pentas hiburan.

"Terbaru, saya berlatih untuk teater The Good Body yang akan bermula dari 18-28 Jun ini di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara," katanya sambil menambah dia turut menghoskan dokumentari 'Exploring Malaysia' on BBC World News.

Menurut Joanna, dokumentari tersebut yang mula bersiaran pada bulan lalu mendapat sambutan yang menggalakkan.

Katanya, dia berasa puas hati mengerjakan projek dokumentari.

"Saya menerima banyak maklum balas yang sangat positif dan mesej dari seluruh dunia. Contohnya, kawan-kawan saya dari Australia, Itali dan Amerika Syarikat yang menontonnya memberikan mesej kepada saya. Moga-moga, dokumentari itu boleh diulang tayangkan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: