Tersenarai sebagai destinasi inap desa dalam kalendar pelancongan sejak setahun lalu, orang ramai boleh menginap dan menikmati ketenangan di pulau yang terletak kira-kira 16 kilometer nautika dari tanah besar Seberang Perai ini.
SELAIN terkenal dengan kawasan pantai peranginan dan tinggalan kolonial di Tapak Warisan Dunia UNESCO dekat George Town, kehijauan rimba asli negeri ini usah diperkecilkan. Sesuai dengan gelarannya sebagai negeri pelancongan, Pulau Pinang tidak ketandusan destinasi baru untuk dikomersialkan.
Buktinya, perkampungan Pulau Aman. Ia merupakan satu-satunya kampung nelayan Melayu tradisional yang masih kekal keasliannya. Kini, ia giat dipromosikan. Terpilih antara sembilan destinasi Inap Desa dalam senarai Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Pulau Pinang (MTPN PP), kunjungan ke sini boleh dipertimbangkan pengunjung.
Pulau Aman dihubungkan dengan jalan laut melalui Jeti Batu Musang untuk menaiki bot tambang kira-kira 10 minit perjalanan dengan bayaran RM3 sehala. Untuk ke jeti ini, pengunjung boleh menaiki teksi atau kenderaan sendiri, jika dari arah Butterworth menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan dan susur keluar ke Simpang Ampat/Batu Kawan dan ikut penanda arah ke Batu Kawan hingga ke ke Jeti Batu Musang.
Terletak di mukim Simpang Ampat dalam gugusan daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Kampung Pulau Aman hanya kira-kira 16 batu nautika dari tanah besar Seberang Perai. Secara amnya, terdapat tiga gugusan pulau kecil paling hampir dengan Pulau Pinang iaitu Pulau Jerejak, Pulau Aman dan Pulau Gedung.
Kedudukan Pulau Aman yang bersebelahan dengan Pulau Gedung boleh dilihat dengan jelas dari Jambatan Pulau Pinang. Bagaimanapun, hanya Pulau Aman saja yang berpenghuni. Menurut sejarah lisan penduduk tempatan, kedua-dua pulau ini mula diteroka oleh nelayan Melayu sekitar abad ke-18. Bagaimanapun, penduduk meninggalkan Pulau Gedung setelah ia menjadi sarang persembunyian lanun.
Menurut cerita mereka, Pulau Gedung mendapat nama setelah penjajah British menguasai kawasan itu. Mereka kemudiannya menempatkan gedung simpanan bahan letupan lalu dijadikan kawasan larangan. Kesan tinggalan gedung ini kekal hingga ke hari ini termasuklah sebuah makam purba yang dipercayai milik kerabat diraja.
Generasi ketujuh
Ketika ini, terdapat hampir 250 penduduk sahaja yang mendiami Pulau Aman yang berkeluasan kira-kira 116.5 hektar. Sebanyak 95 peratus muka buminya masih lagi diseliputi hutan. Penduduknya merupakan generasi ketujuh yang mendiami pulau ini dan seperti generasi terdahulu, rata-ratanya adalah nelayan pantai.
Bagaimanapun, kini ramai generasi mudanya berhijrah dan bekerja di bandar berdekatan. Walaupun komunitinya kecil tetapi Pulau Aman membangun sama seperti kampung-kampung lain di negara ini.
Sesuai dengan namanya, suasana di perkampungan nelayan tradisional ini cukup tenang kerana tiada kenderaan bermotor, sebaliknya penduduk kampung hanya berjalan kaki sahaja. Jalan yang ada hanyalah laluan pejalan kaki yang dibuat daripada konkrit yang mengelilingi pulau ini. Ia turut menghubungkan jeti dan kawasan kediaman.
Inilah yang menjadi daya tarikan utama bagi pengunjung luar apabila mereka bebas daripada hiruk-pikuk enjin kenderaan dan kebisingan kota. Bagi 'menjual' Pulau Aman, pada awal Mei lalu MTPN PP membawa kira-kira 27 pemandu pelancong dan wakil agensi pelancongan swasta negeri ini. Tujuannya untuk mengenali kampung tradisional yang kaya nilai pelancongannya.
Diketuai Pengurus Kemudahan dan Perkhidmatan MTPN PP, Siti Majmin Jalani, program dua hari satu malam ke sini memberi pendedahan kepada 27 peserta ini tentang destinasi baru mereka. Walau pun bertugas sebagai pemandu pelancong, tapi ini merupakan pengalaman kali pertama bermalam di perkampungan inap desa bagi sebilangan besar peserta.
"MTPN PP melihat potensi program inap desa kampung ini untuk dijadikan produk yang boleh ditawarkan ejen-ejen ini menerusi pakej pelancongan mereka," ujar Siti Majmin ketika ditemui.
Siti Majmim memberitahu, buat permulaan kira-kira 25 penduduk terpilih menyertai program rintis ini sebelum mengikuti kursus bimbingan seliaan MTPN.
Mi udang yang lazat
Menurut beliau, sebelum ini Pulau Aman memang sering dilawati pengunjung terutama kaki pancing yang bermalam di tapak perkhemahan atau calet milik penduduk yang diuruskan oleh persatuan nelayan kampung itu dengan Koperasi Pelancongan Pulau Pinang Berhad (Kopel).
"Nilai pelancongan yang ada di sini menyebabkan MTPN yakin ia boleh dijual, lantas kita bekerjasama dengan Kopel untuk mempromosikannya. Saya berpendapat, ia usaha menang-menang atas nama pelancongan negeri.
"Setiap kampung inap desa mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan tidak terkecuali Kampung Pulau Aman yang terkenal dengan hasil perikanannya termasuk pembuatan belacan.
"Saya pernah diberitahu mi udang yang sedap boleh dinikmati di sini dan ia ternyata benar kerana di sini ia dihidangkan bersama udang-udang segar yang baru naik dari laut.
"Begitu juga dengan belacan keluaran Pulau Aman yang masih dihasilkan penduduknya secara tradisional selain terkenal dengan produk kerepek sukun. Malah, terdapat sebatang pohon sukun di kampung ini telah diiktiraf oleh Mardi sebagai pokok sukun tertua di negara ini.
"Jika air surut, pengunjung boleh turun hingga ke tengah laut untuk mencari remis dan aktiviti ini memang unik bagi orang-orang bandar.
"Pengunjung juga boleh menyewa bot untuk mengeliling sekitar kawasan pulau dan Pulau Gedung yang terletak bersebelahannya sehingga ke perairan Batu Kawan termasuk melihat kegiatan menternak ikan dalam sangkar yang diusahakan oleh penduduk kampung," ujarnya.
Siti Majmin yakin percutian ke Kampung Pulau Aman boleh menjadi satu lagi destinasi libur yang menarik di Pulau Mutiara.
|
|
Sementara itu Ketua Kampung Pulau Aman, Yaacob Taib, berbangga apabila MTPN menyenaraikan kampung itu dalam kalendar destinasi pelancongan mereka sebagai destinasi inap desa sejak setahun lalu.
"Ia umpama rezeki kepada penduduk kampung, sekali gus membantu menjana ekonomi setempat yang hanya bergantung daripada hasil laut.
"Sebelum wujud program inap desa, memang sering pelancong tempatan atau luar negara ke sini sama ada untuk berkelah, berkhemah atau menyewa calet.
"Tapi dengan adanya program inap desa, kami penduduk kampung dengan senang hati menerima kunjungan pelancong untuk bermalam di sini," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: