Friday, May 29, 2009

Misha makin besar kepala?




BAGAI menjadi satu kesalahan besar apabila menjadi seorang Misha Omar. Ada-ada sahaja pihak yang berperasaan hasad-dengki dan busuk hati mempertikaikan kembara seni yang dirintisnya sejak tujuh tahun lalu.

Terbaru kemenangan Misha, 27, dalam Anugerah Industri Muzik 16 (AIM16) dikatakan sedikit sebanyak bakal mengubah sikapnya menjadi penyanyi si hidung tinggi.

Umum mengetahui, Misha berjaya menguasai empat kategori utama yang dipertandingkan iaitu Lagu Terbaik Sepanjang Tahun, Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Album Pop Terbaik dalam AIM16 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur 2 Mei lalu.

Semuanya muncul dengan pantas setelah Misha memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) pada tahun 2004. Sejak itu timbul semula gosip dia mula berubah sikap. Kemenangan Misha pada AIM16 terbaru itu, menambah lagi perisa kepada tuduhan yang sama dan Misha turut dikhabar dihimpit kembali 'badi' yang pernah menimpanya sekitar lima tahun lalu.

Terasa diri hebat, besar kepala dan bersikap selektif. Itu semua dihadapkan terus kepada empunya diri, tanpa ada sedikitpun perasaan ihsan dan belas kasihan.


TUJUH tahun berada dalam industri seni jelas mematangkan diri seorang Misha.


Kelihatan tercengang-cengang mendengar kata-kata tersebut, Misha mula larut dalam pengakuannya, sekali gus memberitahu dia tidak pernah terdengar hamburan tentang dirinya bersikap selektif.

"Ini kali pertama saya dengar," jawabnya ringkas sambil memperlihatkan wajah sedikit kehairanan ketika ditemui pada pelancaran Derrick & Team Hairdressing di The Mall, Kuala Lumpur.

Luah penyanyi yang didaftarkan nama penuh oleh ayahanda dan bonda sebagai Samihah @ Aisah Omar, andai benarlah apa yang dikritik maka tubuh kecilnya tidak mampu untuk memuaskan pandangan semua pihak.

Lebih penting jelas Misha, dia selalu berfikiran positif dan optimis dengan peralihan waktu yang tidak pernah terhenti.

Sekadar beranggapan kenyataan tersebut ibarat aura yang tidak baik untuk dirinya, Misha mencuba memperbetulkan tohmahan pihak tertentu yang ingin 'membenamkan' dirinya.

"Saya menganggap kemenangan dalam satu-satu majlis penganugerahan disebabkan atas kerja keras diri sendiri dan orang-orang yang terlibat di sebalik tabir album.

"Secara peribadi saya merupakan seorang artis yang sederhana. Kemenangan di AIM16 baru-baru ini memang cukup membanggakan kerana saya akhirnya diiktiraf setelah angka tujuh menunjukkan saya berada dalam industri seni.

"Tiada istilah saya akan terkena kejutan budaya. Jika awal pembabitan dalam dunia glamor, barangkali saya akan mengalami perasaan itu, tetapi ia tidak terjadi kepada saya.

"Kalau soal saya berubah sikap selepas ini terus menjadi buah mulut orang ramai maka saya tidak tahu apa lagi yang harus dibuat untuk jelaskan kepada mereka. Tempoh tujuh tahun sudah 'senja' untuk saya besar kepala," jawabnya yang tidak mudah tewas melawan badai.

Menjelaskan pengertian selektif kata Misha, sikap selektif hanya berlaku dalam perkara yang membabitkan hasil kerja terutama penghasilan album.




"Sudah tentulah kalau hendak hasilkan album tidak boleh terburu-buru dan mengamalkan sikap asal boleh sahaja.

"Biarlah sesebuah album ini membuatkan saya rasa bangga walaupun ia sudah menjangkau usia 30 tahun. Bahkan saya tidak malu untuk mengakui bahawa ini adalah album saya.

"Sebab itu, saya kena bikin album dengan sebaik-sebaiknya. Walaupun terpaksa tunggu setahun atau dua tahun untuk mencari material, komposer dan penerbit, saya rela menunggu dengan penuh sabar.

"Cuma tidaklah mengambil masa selama empat tahun," terang ibu segera kepada Muhammad Adam Emir.

Kini bergelar usahawan

Cintanya kepada nyanyian memang tidak perlu dipersoalkan lagi. Namun untuk menjadi anak seni, tidak bermakna hanya nyanyian yang menjadi jalan hidupnya.

Beritahu Misha, dia harus berani mencuba, berani memberi peluang kepada diri untuk menjalani pengalaman baru dan mengambil risiko untuk berdepan dengan dunia yang lebih global sifatnya.

Misha mula melangkah kaki ke dalam dunia perniagaan yang berkonsepkan salon dandanan dan penjagaan rambut bersama Derrick & Team Hairdressing.

"Ini menjadi permulaan untuk saya melibatkan diri dalam dunia perniagaan bersama rakan karib yang sudah saya kenali sejak tujuh tahun lalu, Derrick Ho.

"Sekurang-kurangnya saya sudah ada perancangan untuk masa depan sendiri yang tidak diketahui bagaimana situasinya.

"Derrick sudah beberapa kali mengajak saya untuk menjadi rakan kongsinya tetapi saya masih belum terfikir pada waktu itu.

"Lama-kelamaan saya rasa tiada salahnya kerana setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan ada sahaja pelanggan yang potong, cuci dan melakukan rawatan rambut.




"Ada orang yang berada dalam tekanan akan pergi merehatkan diri di spa, sebab itu saya percaya ada juga orang yang sanggup berhabisan untuk rambut mereka," terang Misha.

Sambung Misha lagi, dunia seni dan perniagaan masing-masing ada fokusnya yang tersendiri. Oleh itu dia masih dalam proses mempelajari aspek perniagaan.

"Saya tidak mahu orang cakap hanya nampak saya semasa hari pelancaran salon ini tetapi tidak pula hari-hari seterusnya.

"Saya memang berazam untuk jadi rakan kongsi yang bertanggungjawab. Walaupun tidak mengetahui selok-belok dunia bisnes namun saya tidak kisah untuk belajar daripada bawah.

"Cara ini bukan sahaja akan mendekatkan saya dengan bidang ini tetapi juga boleh merapatkan hubungan dengan para peminat.

"Barangkali saya boleh mencuci rambut pelanggan pula selepas ini kerana saya juga pernah belajar daripada Derrick," jawabnya sambil tergelak manja.

Misha menerima penghormatan oleh Derrick bagi merasmikan pembukaan salon tersebut.

Ia menjadi salon kelima milik Derrick & Team dan cawangan di tingkat tiga The Mall menjadi salon pertama yang membabitkan perkongsian perniagaan Misha dan Derrick.

Misha bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah peratusan perkongsian bisnesnya dengan pendandan rambut yang terkenal di kalangan artis dan pelanggannya.


DAKWA Misha, dia tidak sesekali lupa diri walaupun sudah mengecap kejayaan.


Dalam pada itu, Misha juga sedang merencana masa depannya untuk melibatkan diri dalam bisnes makanan.

"Walaupun tidak direalisasikan dalam waktu terdekat namun angan-angan ini sudah lama saya simpan. Semua bergantung kepada rezeki," ujarnya bersungguh-sungguh.

Kolaborasi bersama budak indie

Tempoh empat tahun bertemankan rindu tanpa karya bernama album, anak kelahiran Machang, Kelantan itu mengakui ia memang menjadi jangka masa agak panjang.

"Saya sedar empat tahun bukan masa yang singkat. Sebelum ini graf kerja penghasilan album Misha 2008 dilakukan dalam kadar masa yang perlahan sebelum ia boleh dipasarkan kepada peminat.

"Sekarang saya mula tahu bagaimana untuk mempercepatkan proses pembikinan album seterusnya sebab saya sudah ada keserasian dengan komposer-komposer dan penerbit.

"Sebelum ini saya sering berharap. Tunggu dan tunggu demi mahu bekerjasama dengan nama-nama hebat dalam industri seni di negara ini.

"Untuk album keempat nanti saya teringin untuk melakukan kolaborasi dengan pemuzik indie dan muka-muka baru.

"Saya sudah minta lagu daripada Noh Hujan malah saya juga tertarik dengan bakat baru seperti Yuna. Cuma saya belum berhubung lagi dengan dia. Selebihnya saya juga mahukan M. Nasir, Cat Farish dan Nurfatima.

"Jangan risau kerana saya tetap tidak mahu berubah arah kepada muzik lain, sebaliknya saya tetap akan muncul dengan genre muzik pop komersial," jelasnya yang dilahirkan pada 6 Januari 1982.


MISHA kini bergelar usahawan dalam bidang dandanan rambut.


Ditanya apakah yang cuba untuk dibuktikan dalam album selanjutnya itu, Misha lekas menjawab bahawa dia mahukan lagu-lagu yang terkandung dalam naskhah baru itu diadun dengan bermacam-macam warna.

"Muzik bukanlah agama, tetapi sifatnya menjurus sebagai universal. Kita bebas untuk bekerjasama dengan sesiapa yang dihajati tanpa mengira baru mahupun lama.

"Kita tidak boleh terus selesa dengan konsep yang sudah dimiliki sekarang sebaliknya perlu menampilkan pembaharuan.

"Saya tidak boleh kekal dengan konsep lagu seperti Bunga-Bunga Cinta kerana orang sekeliling tidak akan melihat kreativiti seseorang penyanyi. Kerana itulah saya ada lagu Pulangkan dan saya cuba menonjolkan irama etnik dengan M. Nasir menerusi Nafas Cahaya.

"Untuk album seterusnya saya hendak 'paksa' M. Nasir buat lagu balada pula. Saya senang bekerja dengan figura berbakat besar sepertinya.

"Dia (M. Nasir) memahami saya dengan mendalam. Contohnya semasa buat rakaman lagu Nafas Cahaya. Kalau rasa tidak enak didengar, dia akan terus cakap kepada saya tanpa berselindung. Senang sekali kalau dapat bekerja lagi dengan M. Nasir selepas ini," akhiri Misha bersungguh-sungguh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: