Sunday, March 31, 2013

20 tahun hidup tanpa wang


SUELO sanggup meninggalkan kehidupan moden kerana tidak mempercayai sistem kapitalis.


LELAKI ini telah lebih 20 tahun menyerahkan hidupnya tanpa menggunakan sebarang wang dan tinggal di dalam gua seperti orang pada zaman Batu.
Daniel Suelo, 51, menggunakan semua wangnya sebanyak RM90 di sebuah pondok bagi memulakan memulakan hidup baharu di sebuah gurun di Moab, Utah, Amerika Syarikat (AS).
Kehidupannya menjadi inspirasi kepada ribuan rakyat AS yang kini menderita akibat kegawatan ekonomi negara yang mendapat jolokan Uncle Sam itu.
Menurut Mark Sundeen, seorang penulis buku dan rakan Suelo, dia telah menulis buku biografi berkenaan rakannya itu selepas bersamanya selama beberapa tahun.
Penulis buku yang bertajuk The Man Who Quit Money itu mengakui dia terputus hubungan dengan Suelo selama beberapa tahun sebelum mendengar rakannya hidup tanpa wang sambil berfikir rakannya sudah gila atau menghidap penyakit mental.
Namun, selepas berlaku kegawatan ekonomi pada 2008, Sundeen mula cuba untuk memahami cara rakannya itu.
"Sistem kewangan kita terlalu kompleks membuatkan pakar kewangan tidak mampu mengawalnya sehinggakan kita seakan-akan menjadi hamba kepadanya lagi buruk kita tidak mampu untuk mengawalnya.
"Secara fakta, kehidupan manusia memerlukan wang sehingga untuk mendapatkannya kita menodai nilai-nilai kemanusiaan," ujarnya.
Menurut blog Suelo, dia mencatat falsafah hidupnya:
"Saya tidak menggunakan wang atau melakukan sistem barter untuk meneruskan hidup.
Buang pasport
"Matlamat saya hanyalah mengoptimumkan sumber semula jadi untuk memenuhi keperluan semasa sedangkan sistem kini direka membuatkan manusia mengejar wang semata-mata," katanya.
Tegasnya, sistem kapitalis membuatkan sesiapa sahaja perlu mengikutinya dan bersalah untuk meninggalkannya.
Selain tidak lagi menggunakan wang, dia membuang pasport yang dimiliki selain menukar namanya Shellabarger kepada Suelo.
Sejak itu, dia tinggal di gua atau khemah sambil ditemani haiwan liar atau menetap di rumah individu yang tidak dikenali.

LELAKI ini mengembara dan hidup di dalam gua sambil ditemani haiwan liar.


Untuk beberapa tahun, dia menetap dalam gua di Taman Negara Arches, Utah.
Alas tilam Suelo hanyalah batu, berburu haiwan untuk makan dan minum air gua.
Dia juga mempelawa sesiapa sahaja untuk menetap bersamanya dan menu makanan utama hanya bunga-bungaan dan biji kaktus.
Suelo bukan dilahirkan dalam keluarga nomad atau gipsi sebaliknya berasal daripada persekitaran normal.
Semasa menuntut di universiti Suelo percaya wang tidak boleh membeli segalanya termasuk menguasai dirinya.
"Dia ingin individu lain mengikuti jejak langkahnya selain membuktikan kepada dunia bahawa dia boleh hidup tanpa melakukan sebarang urus niaga berkaitan wang," kata rakannya Damian Nash.
"Hidup saya berubah sama sekali. Saya pernah mendapat kembali cukai pendapatan berbentuk cek pada 2001 tetapi cek itu dikoyakkan.
"Semua itu tidak mempunyai erti dan hidup sebegini lebih tenang dan mendamaikan," katanya.

Gajet buat manusia bodoh


KAD 'Donkey' antara permainan popular pada suatu ketika dahulu yang berperanan menggalakkan interaksi kanak-kanak.


GENIUS Fizik, Albert Einstein pernah berkata: “Saya risau tentang masa depan ketika teknologi mengatasi hubungan sesama manusia. Dunia akan dihuni oleh generasi yang ‘bodoh’.”
Kata-kata Einstein tersebut kini seolah-olah menjadi kenyataan apabila perkembangan teknologi mula membelenggu kehidupan.
Penggunaan gajet pintar dan laman sosial yang sinonim dengan kehidupan pada ketika ini seolah-olah mendidik generasi untuk menjadi seorang yang antisosial dan pemalas.
Mengakui perkembangan sebegitu turut memberi kesan terhadap kehidupannya, seorang blogger motivasi, Mohd. Syafique Suib tidak menolak kesan buruknya.
“Teknologi itu sebenarnya memudah dan menjimatkan tenaga. Tetapi kita perlu bijak menguruskannya juga. Laman-laman sosial seperti Twitter, Facebook, Google+, Instagram dan Vine kadangkala lebih menyeronokkan, tetapi janganlah sampai mengabaikan orang di sekeliling.
“Saya sering berdepan pengalaman makan semeja dengan kawan-kawan, tetapi masing-masing sibuk dengan gajet sendiri. Sebagai anak muda, saya akui pernah juga melakukan kesilapan itu, tetapi mujurlah sempat ditegur oleh ibu dan sedar bahawa ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada Jurnal.
Jejaka berumur 27 tahun yang sering melontarkan kata-kata motivasinya di laman web www.motivationmy.com itu berkata, pengguna seharusnya merebut peluang kemudahan tersebut dengan secara seimbang agar kesan negatifnya sifar.
Biarpun golongan muda pada zaman kini lebih terarah kepada teknologi terutamanya melibatkan gajet-gajet telefon pintar dan tablet, namun bagi mereka yang membesar dengan gaya hidup ‘manual’, pengalaman tersebut dikatakan menjadi lebih manis.
Seorang lelaki dari Hertfordshire, Britain, Graham Wood menjelaskan, kehidupan pada zaman sekarang sangat membosankan apatah lagi buat mereka yang gemar berinteraksi dengan sebuah gajet yang berbentuk seperti sekeping papan.
Sebagai usaha mengenang kembali dan berkongsi memori bersama mereka yang membesar bersamanya dalam zaman 1980-an, Wood telah mencipta sebuah lagu. Ia kini sedang menjadi viral di laman sosial YouTube.
Lagu yang menceritakan tentang aktiviti yang dilaluinya pada zaman tersebut seperti permainan dam papan, PacMan dan Connect Four diolah dalam lirik yang mampu membangkitkan memori.
Lagu dalam bahasa Inggeris itu didendangkan mengikut rentak lagu We Didn’t Start the Fire oleh Billy Joel. Ia dinyanyikan oleh Wood sambil dibantu rakannya yang bermain alat muzik ukelele, Andrew Barker.
Naskhah tersebut diberi judul We Didn’t Own an iPad atau bermaksud ‘Kami tak punya iPad’.
Turut disentuh di dalam liriknya adalah beberapa program televisyen popular sekitar tahun 1970-an dan 1980-an seperti Swap Shop dan Knight Rider serta perkahwinan ikonik Putera Charles dan Puteri Diana.
Antara bait lirik lagu tersebut berbunyi: “Kami tidak miliki iPad, tidak tahu tentang pesanan ringkas, hanya tahu Teletexting. Kami tidak miliki iPad, tidak tahu tentang SatNavs (sistem kedudukan global (GPS)), hanya guna peta AA.”
Biarpun tidak sampai sebulan dimuat naik, lagu itu telah menjadi fenomena apabila ditonton hampir dua juta kali sehingga minggu lalu.
Jelas Wood, biarpun tidak memiliki gajet terkini, dia tetap menjalani hidup seperti biasa. Bahkan, bapa kepada dua orang cahaya mata itu mampu menjalani kehidupan yang lebih bermakna.
“Secara jujurnya, saya tidak punyai iPad dan saya tidak tahu bagaimana ia berfungsi. Tetapi saya lihat masyarakat pada hari ini terlalu bergantung kepadanya dan teknologi lain untuk memperoleh hiburan.
“Saya gembira untuk kembali ke zaman silam saya dan bagaimana ia digunakan untuk menghasilkan video itu. Apabila idea muncul, saya akan menyimpannya di dalam telefon agar tidak terlupa nanti,” katanya seperti dipetik daripada Dailymail.co.uk.
Walaupun ada jika disalah guna terutamanya yang boleh memberi kesan kepada kehidupan sosial pengguna, namun ia membuka ruang lebih luas untuk berinteraksi di dunia maya. Bahkan alatan seperti itu mampu mempermudahkan kehidupan seharian.
Tidak kurang di Malaysia, seorang penyanyi baharu, Muhammad Hafidzuddin Roslan atau dikenali sebagai Fidz antara yang bijak memanipulasi teknologi apabila menggunakan peranti iPad untuk menghasilkan lagu tanpa mengeluarkan sebarang kos.
Jelas Fidz, teknologi itu membuka ruang untuk dia merealisasikan cita-cita menghasilkan sebuah album sungguhpun mempunyai kekangan wang ringgit.
“Harga bagi sebuah lagu boleh mencecah hingga RM10,000. Tetapi saya memilih menghasilkan sendiri lagu menggunakan aplikasi GarageBand di iPad. Dengan bayaran AS$4.99 (RM15.50) untuk sekali muat turun, saya boleh menghasilkan lagu sendiri dengan gabungan pelbagai jenis alat muzik.
“Sejujurnya saya tiada pengetahuan langsung dalam bermain alat muzik, tetapi teknologi ini memudahkan kerana irama dan rentak muzik boleh dihasilkan secara automatik,” kata penyanyi berusia 26 tahun itu yang mempertaruhkan single berjudul Kerna Dia.

Saturday, March 30, 2013

Ayu Raudhah & Irma Hasmie Dapat Anak Lelaki

Zaquan gembira Ayu lahirkan anak lelaki dengan selamat.
PETALING JAYA: Pelakon Ayu Raudhah, 28, selamat melahirkan seorang bayi lelaki kira-kira pukul 2.17 petang Jumaat di Hospital Columbia, Johor Bahru (JB).
Suaminya yang merupakan pemain bola sepak kebangsaan dan Johor, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak, 25, berkata, anak sulungnya itu dilahirkan seberat 2.79 kilogram (kg) dan kedua-dua isteri dan anak berada dalam keadaan sihat.
"Alhamdulillah, saya teruja dan pada masa sama rasa macam tak percaya pula bahawa kini saya seorang ayah.
"Sekarang ini tanggungjawab saya lebih berat lagi dan Insya-Allah saya dapat mendidiknya sebagai seorang anak yang baik," katanya yang dihubungin mStar Online, Jumaat.
Bayi sulung pasangan Ayu Raudhah dan Zaquan Adha selamat dilahirkan kira-kira pukul 2.17 petang Jumaat di Hospital Columbia, Johor Bahru (JB).
Bagaimanapun, tambah Zaquan, dia dan isterinya masih lagi belum memikirkan nama yang sesuai buat anak sulung mereka itu.
"Kami tak beri nama lagi. Biarlah Ayu berehat dahulu dan baru kami bincangkan nama yang sesuai.
"Selepas keluar wad nanti, Ayu akan berpantang di rumah kami di JB," ujarnya
Ayu dan Zaquan telah mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011 di Alor Setar, Kedah.
Irma selamat melahirkan anak sulung pada pagi Jumaat.
Sementara itu, pelakon Irma Hasmie juga mendapat anak lelaki seberat 3.93 kilogram pada pagi Jumaat di sebuah hospital Swasta di Kuala Lumpur.
Suami Irma, Redza Shah Azmeer memaklumkan khabar gembira itu menerusi laman Twitter miliknya dan memberitahu bahawa isterinya berada dalam keadaan stabil selepas proses kelahiran.

Ana Rafalli Tidak Kejam Untuk Letakkan Bayaran Tinggi


Ana Raffali (kanan) bersama suaminya Ahmad Aznaim.
PETALING JAYA: Penyanyi Ana Raffali tidak pernah bersikap kejam untuk meletakkan bayaran tinggi kepada mana-mana pihak untuk menjayakan sesebuah acara ataupun persembahan pentas.
Ana atau nama sebenarnya Nur Hidayah Mohd Raffali, 28, ini berkata, walaupun telah memenangi Anugerah Juara Lagu ke 25 menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku, dia masih bertolak ansur soal bayaran bergantung kepada jemputan yang diterima.
“Saya bukan artis yang kejam. Saya masih boleh bertolak ansur lagi soal bayaran mengadakan persembahan.
“Kalaulah yang jemput saya itu di kalangan pelajar, tentulah bayarannya sekadar ‘token’ (sagu hati) pun saya terima. Tapi kalau untuk acara besar seperti ‘dinner show’, itu kira lainlah,” ujarnya kepada mStar Online ketika ditanya adakah dia boleh bertolak ansur soal bayaran untuk mengadakan persembahan.
Ana memberitahu, sebagai artis yang membesar dalam persekitaran Malaysia, dia memahami kemampuan sesetengah pihak yang mahu mengundang seseorang untuk menjayakan sesebuah acara yang diatur.
Malah dengan sifat yang tidak berkira itu kata Ana, rezekinya akan menjadi lebih murah apabila menerima banyak acara yang memerlukan khidmatnya.
“Kalau pihak penganjur tak ada duit sangat, bayarlah setakat mana yang mampu. Tapi biarlah kita bincang dan berunding dulu... tak ada masalah,” katanya.
Dalam pada itu suami yang juga pengurusnya iaitu Ahmad Aznaim Abdullah, 31, berkata, bekerja dengan isteri sendiri yang menjadi bos bukanlah perkara mudah jika seseorang itu tidak mempunyai sikap profesional dalam berurusan.
Kata Ahmad Aznaim, kadangkala isteri akan merajuk jika tidak berpuas hati dengan apa-apa perkara mereka haruslah mempunyai sikap untuk tidak memanjangkan hal berkenaan sebaliknya mengatasinya dengan sebaik mungkin.
“Saya tak nafikan, kadang-kala ada juga kami berselisih pendapatan. Bila hal itu terjadi, masing-masing akan ada perasaan tidak puas hati.
“Apa-apa pun kita perlulah profesional. Sebagai suami, saya kenalah memujuk isteri saya walaupun dia adalah bos. Biasanya kami menekankan sikap saling pujuk memujuk dan alhamdulillahlah... kami tiada masalah untuk bekerja dan juga bergelar pasangan suami isteri,” katanya.
Sementara itu bercerita mengenai perkembangan terbaharu pula Ana berkata, dia sudah menghasilkan ‘single’ berjudul Jauh Ke Syurga dan lagu itu boleh diikuti menerusi YouTube.
Apa yang menarik ‘single’ itu mencatat jumlah pelayar Internet lebih 80,000 orang yang mana ia adalah satu sambutan yang amat menggalakkan.

Adibah Noor Tidur Sejam Sejak Jadi DJ Radio

Adibah dan Halim Othman bergandingan menerusi Slot Ceria Pagi @ Suria setiap Isnin hingga Jumaat.
PETALING JAYA: Penyanyi Adibah Noor mengakui masa tidurnya terlalu pendek sehingga ada kalanya hanya sempat tidur selama satu jam sejak menggalas tanggungjawab sebagai penyampai radio Suria FM.
Adibah, 42, yang bergandingan dengan Halim Othman menerusi Slot Ceria Pagi @ Suria berkata, kekurangan waktu tidurnya itu disebabkan oleh kesibukan kerja-kerja lain seperti menyanyi dan mengacara namun bersyukur, perkara itu bukanlah satu bebanan untuknya mengendalikan konti radio berkenaan.
"Sudah dua bulan saya menggalas tanggungjawab sebagai penyampai radio Suria FM dan Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar walaupun mempunyai tugasan lain di luar.
"Dan kerana itu saya akan memastikan semua kerja-kerja luar diselesaikan sebelum pukul 12 tengah malam agar mendapat rehat secukupnya sebelum ke udara pada pukul 5 pagi.
"Pernah beberapa kali juga, kerana kepenatan saya hanya tidur sejam dan ada masa juga tak tidur langsung, takut terlajak pula," selorohnya.
Timbalan Pengerusi Eksekutif The Star, Datuk Vincent Lee bersama-sama dengan Adibah dan kru Suria FM.
Adibah ditemui di Menara Star bersama-sama dengan Halim Othman dan Linda Onn yang hadir melawat wartawan-wartawan hiburan akhbar The Star dan mStar Online bersempena dengan penjenamaan semula logo Suria FM.
Tambah Adibah, walaupun kurang tidur, dia mengamalkan minum kopi dan pengambilan vitamin C agar kelihatan segar dan sentiasa cergas.
"Selain itu susunan jadual juga memainkan peranan yang sangat penting agar mempunyai ruang masa membuat persiapan memilih topik-topik bersesuaian buat para pendengar sebelum keudara," katanya.
Penjenamaan semula logo Suria FM dibuat menunjukkan kematangan stesen itu sekaligus mengembangkan lagi golongan pendengar 'urban' yang berusia 25 hingga 39 tahun.
Linda Onn bersama-sama dengan wartawan-wartawan The Star.
"Suria FM sudah pun berusia enam tahun dan kami ingin mengembangkan pendengar kami dimana fokusnya lebih ke arah golongan urban dan korporat. Sebab itu jika melihat logo baru kami, ia nampak matang.
"Bagaimanapun, putaran lagu lama dan baru masih lagi dimainkan seperti biasa,"tuturnya.

Raja Lawak Musim Terbaharu Masih Relevan

Kesemua peserta program Raja Lawak musim ketujuh bakal beraksi buat pertama kali di Gelanggang Raja Lawak pada 12 April depan.
KUALA LUMPUR: Program Raja Lawak musim ketujuh dilihat masih relevan berikutan permintaan tinggi daripada penonton serta catatan rating yang memberangsangkan sepanjang enam musim lalu.
Ketua Kumpulan Premium Astro, Nizam Sani berkata, peningkatan peserta menghadiri uji bakat yang diadakan setiap tahun juga mencatat angka membanggakan selain jumlah undi yang diterima konsisten.
"Seperti tahun ini, lima buah negeri pihak kami pergi untuk mengadakan uji bakat mendapat sambutan hangat dengan penyertaan hampir 400 orang di setiap lokasi.
"Pihak kami juga turut membuat kajian penonton tentang Raja Lawak dan mereka mahu program ini dikekalkan," jelasnya semasa sidan media program Raja Lawak Musim Ketujuh di Restoran Seri Melayu di sini, Jumaat.
Musim terbaharu itu bakal bersiaran pada setiap hari Jumaat, pukul 10 malam bermula 12 April ini menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Pada majlis sama, Nizam turut memperkenalkan 14 peserta yang bakal berentap dalam program tersebut yang 11 daripada mereka peserta berkumpulan dan selebihnya beraksi secara solo.
Kumpulan Bora daripada Singapura sedia berentap dengan pesaing-pesaing daripada Malaysia.
Sebelah peserta berkumpulan yang bertanding adalah Bora, Kintan, Pahat, Gamat, Taras, Okay, Sakan, Wala, Tuah, Xtra dan Ganu serta tiga peserta solo iaitu Ali, Emy dan Boy.
Kumpulan Bora dan Ali bertanding mewakili Singapura.
Dalam pada itu, Nizam berkata, pemilihan peserta pada musim ini lebih ketat yang mana seramai 20 peserta yang disenarai akhir perlu menjalani 'bootcamp' untuk dinilai sebelum mereka layak unuk beraksi di gelanggang sebenar.
Katanya, langkah ini diambil bagi memastikan peserta yang dipilih berkualiti tinggi di samping untuk mengekalkan standard dan kandungan yang disampaikan segar mengikut peredaran industri semasa.
"Bertepatan dengan slogan yang kami perkenalkan tahun ini iaitu 'Takkan Lawak Hilang Di Dunia' menggambarkan komitmen kami dalam menyampaikan kandungan program yang segar dan berkualiti.
"Adalah menjadi hasrat kami untuk membuka mata orang ramai bahawa komedi merupakan satu industri yang serius dan berada di aras tinggi," jelasnya.
Sementara itu, Nizam berkata, sesuai dengan temanya, barisan juri juga akan membariskan pelawak-pelawak lagenda yang akan menjadi pengkritik.
Bagaimanapun, barisan juri hanya akan didedahkan pada minggu pembukaan program itu untuk memberikan elemen kejutan buat penonton.
"Barisan juri bukan sahaja bertindak sebagai pengkritik tetapi juga melatih para peserta untuk menjadi pelawak yang berkaliber," katanya.
Tambah Nizam, Raja Lawak musim terbaru itu masih mengekalkan format terdahulu yang mana sistem pemarkahan para peserta ditentukan sepenuhnya kepada undian penonton menerusi Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).
Musim terbaharu ini masih mengekalkan Johan dan Zizan sebagai pengacara.
Juara program ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM50,000 dan RM30,000.

Hillary Ang & Ian Antono Gegarkan Wings Rockestra


Wings bersama Ian Antono dan Hillary Ang bakal menggegarkan konsert Wings Rockestra.
PETALING JAYA: Dua gitaris terkenal iaitu Hillary Ang dan Ian Antonio, gitaris kumpulan God Bless yang diterbangkan khas dari Indonesia bakal berkongsi pentas bersama kumpulan Wings menggegarkan konsert Wings Rockestra.
Konsert tersebut akan berlangsung pada pada 26, 27, 28 dan 30 April depan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Menurut salah seorang ahli Wings iaitu Joe, kumpulannya sengaja memilih dua nama ini sebagai memberi kelainan dan pengalaman berbeza daripada konsert-konsert yang pernah dilakukan mereka.
"Dahulu semasa membesar saya dengar juga lagu God Bless dan tertarik dengan muzik yang ditampilkan. Ini antara sebab saya menjemputnya beraksi buat julung kalinya bersama Wings.
"Dan apabila mereka bergandingan dengan kami, saya percaya aura persembahan yang dibawakan pastinya berbeza," katanya menerusi kenyataan media yang diberikan kepada mStar Online.
Tambah Joe, dia, Hillary dan Ian bakal bersatu dalam sebuah segmen khas persembahan instrumental selama 20 minit pada Konsert tersebut.
Bukan itu sahaja, Ian turut akan memainkan beberapa buah lagu Wings dan berkolaborasi bersama Joe, Awie, Eddie dan Black bagi memeriahkan suasana pentas IB.
Bermula pukul 8.45 malam, Panggung Sari juga turut dipadukan dengan persembahan 43 pemuzik Orkestra Simfoni Kebangssan.
Membentuk kembali sebuah atmosfera rockestra, Wings sekali lagi bergandingan bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer, dipadukan lagi dengan Pengarah Muzik (Musical Director) galasan Joe Wings dan penggubah muzik orkestra (orchestra music arranger) Miss Lee Tse Wan.
Hillary Ang juga menjawat tanggungjawab sebagai penyusun muzik pertama dan dibantu Rozario sebagai penyusun muzik untuk grup.
Saksikan gabungan yang bukan calang-calang dan akan membentuk atmosfera rock yang tersendiri malah boleh dijadikan sebagai sebuah tanda aras dalam sejarah persembahan sebuah grup rock tempatan.
Tiket Konsert Wings Rockestra 2013 boleh dibeli menerusi www.ticket2u.biz pada harga RM499, RM399, RM299, RM249, RM199, RM149, RM99 dan RM69.