Wednesday, March 31, 2010

Wahid terima RM50,000 selepas luluskan visa

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini semalam diberitahu bahawa bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md. Don menerima RM50,000 setelah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh pada 2008.

Saksi ke-29, Datuk Seri Low Chang Hian berkata, wang itu diserahkan ketika berkunjung ke rumah Wahid bersama-sama dengan rakannya 'Mr Sim', iaitu orang yang turut terlibat dalam mendapatkan pekerja asing.

Katanya, pembayaran itu adalah susulan daripada pembayaran pertama yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan, Datuk Zulkafli Maulud sebanyak RM350,000 setelah memperoleh kelulusan visa tersebut.

"Sim menghubungi saya untuk berjumpa di rumah Datuk Wahid. Perbincangan turut berkisar mengenai perkara lain, bukan mengenai pekerja Bangladesh sahaja, kerana Sim mahu mendapatkan nasihat kerana dia diberikan kelulusan oleh kementerian untuk menubuhkan pejabat perwakilan di China.

"Selepas itu Sim berikan satu sampul surat kepada saya dan berkata ia mengandungi RM50,000 dan beritahu saya wang dalam sampul surat itu untuk dikongsi antara Datuk Wahid dan saya. Saya tidak buka sampul surat itu, saya hanya serahkan kepada Datuk Wahid," katanya.

Low, 66, memberikan keterangan pada perbicaraan kes Wahid, 57, yang didakwa menerima rasuah sebanyak RM60,000 daripada Low, juga seorang ahli perniagaan, pada 19 Ogos tahun lepas sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.

Wahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta, pada 10.15 malam, 10 Julai 2008.

Terdahulu, Low memberitahu beliau berjumpa dengan Wahid ketika bermain golf pada 2006 dan Zulkafli turut ada bersama.

Katanya, Zulkafli beberapa kali menghantar maklumat kepadanya untuk mendapatkan kelulusan visa dan sepanjang urusan itu Zulkafli telah menghantar maklumat sebanyak 16 kali mengenai pekerja dan syarikat pemohon, bermula 24 Jun hingga 28 Julai 2008.

Low berkata pada 9 Julai 2008, beliau telah ditangkap oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Hotel PJ Hilton.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanim Ariffin bersambung 10 Mei.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nik Azrin Zairin Nik Abdullah dan Ahmad Kamal Ariffin Ismail manakala Wahid diwakili peguam V. Sithabaram.

Astro catat untung bersih RM233 juta

KUALA LUMPUR - Astro All Asia Networks Plc. (Astro) mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM233 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2010 berbanding kerugian bersih sebanyak RM529 juta pada tahun kewangan lalu.

Kerugian yang dialami pada tahun 2009 itu disebabkan penamatan perkhidmatan televisyen berbayar di Indonesia.

Pengerusinya, Datuk Badri Masri (gambar) berkata, syarikat juga mencatat peningkatan perolehan kumpulannya sebanyak 10 peratus kepada RM3.3 bilion berbanding RM2.97 bilion tahun sebelumnya.

"Ini didorong oleh peningkatan permintaan daripada segmen perniagaan televisyen berbayar dan ia kini menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan kumpulan,'' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Menurut beliau, pendapatan sebelum cukai, faedah, penyusutan dan pelunasan (EBITDA) Astro pula meningkat sebanyak 24 peratus kepada RM831 juta berbanding RM671 juta tahun sebelumnya.

Astro mencatatkan penambahan sebanyak 284,000 pelanggan baru dalam segmen perniagaan televisyen berbayar sekali gus meningkatkan jumlah pelanggan ketika ini kepada 2.93 juta orang.

Jumlah pelanggan tersebut mewakili sebanyak 49 peratus kadar penembusan perkhidmatan televisyen satelit ke rumah kediaman di Malaysia.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Astro TV, Datuk Rohana Rozhan berkata, Astro TV mencapai EBITDA sebanyak RM846 juta iaitu pencapaian tertinggi dalam sejarah syarikat.

"Maklum balas berhubung perkhidmatan definisi tinggi (HD) mula meningkat dan kami bercadang untuk memperkenalkan tawaran baru seperti rakaman digital video, video atas permintaan (VOD) dan sambungan internet protokol (IP),'' katanya.

Mengulas lanjut mengenai hala tuju syarikat, beliau berkata, tahun ini akan menjadi tahun kemuncak bagi peminat sukan memandangkan Astro akan menyiarkan 64 perlawanan Piala Dunia 2010 secara langsung dalam siaran definisi standard dan HD serta perlawanan Piala Thomas dan Uber, Sukan Komanwel di New Delhi serta Sukan Asia di Guangzhou.

Selain itu, lembaga pengarah Astro juga mengumumkan dividen interim keempat dikecualikan cukai sebanyak 5.0 sen sesaham yang menjadikan jumlah dividen bagi tahun itu sebanyak 12.5 sen sesaham.

Amber sembunyi identiti suami


KEINDAHAN dan pesona Bali menjadi saksi termeterai ikatan Amber dan lelaki yang kini sah bergelar suaminya.



MENAFIKAN kahwin kerana hamil, Amber berhasrat menjadi ibu sebelum menjelang usia 30 tahun.


BENAR, ramai yang terkejut saat membaca berita tentang model dan pelakon terkenal Malaysia, Amber Chia atau nama sebenarnya Chia Lai Ping sah berkahwin dengan kekasihnya di Bali, Indonesia pada 25 Mac lalu.

Namun, perkahwinan itu adalah lumrah kehidupan. Hanya apabila Amber berkahwin dengan seorang lelaki 'biasa', ia sekali gus menutup spekulasi tentang wanita itu yang pernah didakwa menjalin cinta dengan suami orang berpangkat Tan Sri.

Lelaki yang digambarkan Amber sebagai sangat pemalu dan tidak gemarkan publisiti itu juga bukan seorang usahawan kaya-raya seperti pernah digembar-gemburkan sebelum ini.

Sebaliknya, individu berambut perang yang berjaya menawan hati wanita tinggi lampai itu adalah seorang lelaki biasa - usahawan yang memiliki perniagaan di Australia serta Hong Kong dan juga kawan lama yang akhirnya secara rasmi menjadi suaminya.

Kisah cinta Amber dan lelaki misteri itu memang disimpan kemas oleh Amber. Dalam banyak pertemuannya dengan media sebelum ini, Amber yang jarang sekali bercakap soal hati, rupa-rupanya senang untuk bercinta secara normal.

Seperti wanita lain juga, biar popularitinya cukup tersohor serata dunia, dia turut punya perasaan mahu dicintai dan mencintai. Maka, membelakangkan statusnya sebagai selebriti, pada usia 28 tahun, wanita ini kini selamat bergelar isteri orang.

Memilih Bali sebagai lokasi pengikat cinta, Amber yang pada awalnya merahsiakan perkahwinan mereka akhirnya akur apabila media mula menghidu khabar gembira tersebut.

Tidak berdolak-dalik, dia mengaku sudah berkahwin minggu lalu dalam sebuah majlis tertutup dihadiri seramai 40 ahli keluarga terdekat dan sahabat handai berlangsung di pesisir pantai persendirian berdekatan Diwangkara Holiday Villa Resort, Bali.

Amber yang bersikap profesional bagaimanapun terus menghantar kenyataan akhbar pada Isnin lalu selepas ramai media sudah mula menelefonnya itu mendapatkan pengesahan tentang perkahwinannya.

Terlebih dahulu, dalam kenyataan media tersebut, jurucakap produk elektronik Pensonic sejak tahun enam tahun lalu itu memohon seribu kemaafan apabila menyembunyikan hari bahagia dan identiti suaminya.

"Saya mohon maaf kerana tidak menghebahkan majlis bersejarah ini demi menghormati permintaan suami yang enggan dikenali umum. Dia cukup pemalu dan tidak suka melibatkan diri dengan dunia glamor," ungkapnya yang sudah lama mengimpikan acara pernikahan tertutup sambil disaksikan individu-individu yang dekat dengan dirinya.

Walaupun disogok tentang identiti suaminya, Amber tetap rapi menyimpan rahsia lelaki tersebut yang hanya diketahui sebagai seorang usahawan dan membantu bapanya menjalankan perniagaan.

Menerusi maklumat yang disalurkan kepada pihak media juga, Amber secara ringkas bercerita tentang kisah bagaimana dia boleh berkahwin dengan lelaki yang dikenalinya sejak lebih enam tahun lalu.

Perkenalan sebagai sahabat akhirnya membawa kepada cinta yang dijalin selama lebih setahun sebelum mereka mengambil keputusan untuk berkahwin kira-kira lima bulan lalu.

"Saya tidak ingat bila hubungan persahabatan kami bertukar menjadi cinta. Yang saya ingat, saya mengambil keputusan untuk berkahwin sewaktu sedang sibuk mengendalikan program My Ford Supermodel saya beberapa bulan lalu.

"Ya, kami sangat dilamun cinta dan bahagia kerana akhirnya berkahwin. Selepas perbincangan dibuat kedua-dua belah pihak, kami akhirnya mengambil keputusan melangsungkan perkahwinan lantas mahu teruskan hidup bersama sehingga akhir hayat," luah Amber dengan penuh rasa cinta.

Menafikan diri hamil, sebaliknya model kelahiran Tawau, Sabah itu mengatakan dia sudah cukup bersedia untuk menempuhi alam rumah tangga.

Katanya penuh teruja: " Saya tidak sabar untuk jadi ibu selepas ini. Kalau boleh, sebelum usia 30 tahun, saya mahu menimang cahaya mata!"

Menerusi kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) pula, Amber yang ditanya tentang kehidupannya selepas bergelar isteri memberitahu dia masih Amber yang sama. Tiada yang berubah, termasuk soal rutin kerjayanya.

"Walaupun sudah berkahwin, saya tetap Amber seperti yang orang ramai kenali sebelum ini. Saya akan bercuti selama 20 hari sebelum memulakan kembali tugas memperaga di pentas peragaan.

"Jangan bimbang kerana pihak media juga masih boleh berjumpa dengan saya dalam mana-mana acara hiburan selepas ini," jawab Amber yang bakal berbulan madu di destinasi dirahsiakan dalam waktu terdekat ini.

Dalam majlis perkahwinan yang diadakan di tepi pantai dalam suasana penuh romantik itu, Amber anggun menggayakan tujuh gaun pengantin secara keseluruhannya rekaan dua pereka tempatan, Keith Kee dan Alvin Tay.

Amber dan suaminya yang sedang dalam rencana berbulan madu tetapi merahsiakan destinasi cinta mereka itu juga sempat mengabadikan foto dan video perkahwinan mereka di pantai Sanur, Tasik Bedugu dan sekitar cerun Uluwatu, Bali sebagai kenangan untuk mereka berdua.

Daphne rai Amber

Selain ahli keluarga rapat, majlis perkahwinan Amber turut dihadiri pelakon dan hos popular, Daphne Iking. Tidak terkecuali, Pengarah Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin turut meluangkan masa hadir pada upacara itu.

Daphne yang dihubungi Kosmo! berkata, dia mengetahui tentang perkahwinan Amber sejak sebulan lalu.

"Saya juga kenal lelaki itu yang sudah jadi suami Amber. Tidak dinafikan, dia sangat pemalu dan cukup bersederhana. Lama jugalah mereka menjalin cinta dan pernah ada perancangan untuk menamatkan zaman bujang masing-masing lebih awal.

"Cuma pada waktu itu, mereka belum bertemu waktu sesuai ditambah Amber terlalu sibuk dengan komitmen kerja. Paling penting, mereka kini sudah menjalani hidup bersama.

"Saya bersetuju dengan pilihan Amber kerana lelaki ini memiliki personaliti pendiam, bijak, tenang dan sangat mencintai Amber. Mereka cukup serasi sebagai suami isteri.

"Majlis itu berjalan lancar dalam suasana aman dan damai. Amber datang ke Bali seminggu sebelum berkahwin manakala saya datang pada 25 Mac lalu dan pulang hari sama disebabkan ada kerja," akui Daphne yang awal-awal lagi memohon maaf kerana tidak boleh mendedahkan nama suami Amber kepada pihak media.

Sebelum mengakhiri bicara, Daphne sempat mengucapkan tahniah kepada Amber yang selamat mendirikan rumah tangga.

"Saya dan Amber sudah lama mengenali antara satu sama lain. Terus-terang, saya bangga apabila dia berjaya dalam karier dan berkahwin dengan lelaki dicintainya. Harap usia perkahwinan mereka berkekalan hingga akhir hayat," jawabnya dalam nada gembira.

Warna persembahan Stephen


STEPHEN memukau audiens bukan sahaja dengan vokal, tetapi dengan karismanya sebagai seorang anak seni.


BERDIRINYA sosok dikenali ramai, Stephen Rahman Hughes di pentas Dewan Filharmonik Malaysia, Kuala Lumpur pada 12 hingga 14 Mac lalu tidak dinafikan benar-benar mengujakan mata memandang.

Merealisasikan persembahan muzik dari Broadway diiringi tenaga-tenaga kerja di bawah bumbung Orkestra Filharmonik Malaysia, Stephen dilihat membuai setiap jiwa menerusi alunan suara energetik dan merdunya.

Kalau peminat menyaksikan lakonan Stephen sebagai Hang Tuah menerusi pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang beberapa tahun lalu, kali ini dia menonjolkan transisi jauh berbeza.

Apa yang paling pasti, tiada lagi pakaian umpama pahlawan Melayu lama dan keris di pinggangnya. Sebaliknya Stephen memunculkan diri dengan tuksedo rona hitam sambil menyarung sepatu merah jambu berkilauan.

Himpunan karya hebat daripada Dreamed A Dream, Journey Home, Luck Be A Lady Tonight, Music Of The Night, Over the Rainbow, Impossible Dream, Don't Cry for Me Argentina sehingga Can You Feel The Love Tonight membikin audiens seramai 865 orang tidak senang duduk. Malah ada juga yang menyanyi sama dengan Stephen.

Memilih mendendangkan variasi lagu daripada beberapa pementasan muzikal terkemuka dunia seperti The Phantom Of The Opera, Les Miserables, West Side Story, The Sound Of Music dan Evita, persembahan Stephen boleh dikategori bertaraf lima bintang.

Tidak sekadar berdiri di sebelah konduktor bertugas iaitu John Georgiadis, Stephen yang pernah terlibat dalam karya West Side Story dan Bombay Dreams menonjolkan warna persembahan tersendiri selayak statusnya sebagai subjek utama pada malam itu.

Dalam waktu sama, dia berkongsi cerita dan pengalaman dengan penonton sebelum beralih dari satu persembahan ke persembahan lain.

Tanpa berselindung, Stephen mengaku hatinya cukup dekat dengan lagu Journey Home dan Maria.

"Lagu ini dipersembah sewaktu saya menjayakan teater Bombay Dreams. Manakala lagu Maria menjadi projek pertama saya untuk West Side Story di gelanggang teater London," ujar Stephen sambil mengimbau momen indah bergelar penggiat teater.

Sementara itu, Orkestra Filharmonik Malaysia memulakan konsert sepanjang dua jam itu dengan pilihan lagu ciptaan Frederick Loewe diangkat melalui pementasan My Fair Lady.

Selain memainkan lagu Sound Of Music dan Oklahoma! Overture, bunyi-bunyian instrumen terus memenuhi segenap ruang dewan apabila para pemuzik terus memainkan lagu sarat elemen teknikal, West Side Story selama 20 minit tanpa henti.

Selama tiga hari menemui khalayak di Dewan Filharmonik Malaysia, tiket yang dijual dengan harga RM25 dan RM95 itu habis dalam waktu singkat. Itu semua gara-gara gabungan dua kuasa - Stephen dan Orkestra Filharmonik Malaysia.

Suami Sandra habiskan masa dengan anak


JESSE JAMES


SELEPAS kisah skandal bersama tiga orang wanita termasuk model bertatu, suami pelakon Sandra Bullock, Jesse James kini mula menghabiskan masa bersama tiga anaknya iaitu Chandler, 15, Sunny, 6, Jesse Jr., 12 tahun.

Hal itu juga terpaksa dilakukan Jesse selepas Sandra keluar daripada rumah mereka pada 15 Mac lalu. Walaupun nampak seperti Jesse cuba menjadikan kehidupan anak-anaknya normal, menurut temannya, ia juga secara tidak langsung mengembalikan Jesse kepada keluarganya.

"Dia menghabiskan banyak masa dengan anak-anaknya. Dia menghantar mereka ke sekolah dan melakukan aktiviti bersama-sama.

"Kadang-kadang apabila sesuatu hal berlaku, ia akan memberi 'cahaya' pada satu hal lain. Saya fikir Jesse kini sedang bersatu kembali dengan anak-anaknya," ujar teman lelaki yang dikenali dengan motosikal besarnya itu.

Kisah kecurangan Jesse tersebar luas beberapa hari selepas Sandra dinobatkan sebagai Aktres Terbaik menerusi lakonannya dalam The Blind Side pada anugerah Oscar baru-baru ini.

Sangat mempercayai suaminya, Sandra, 45, yang terkejut dengan kecurangan Jesse mengambil kata putus 'menghilangkan diri' daripada suami serta khalayak.

Beyonce belum hamil


BEYONCE di samping Jay-Z.


MUNGKIN dunia memang sudah lama menunggu berita gembira tentang Beyonce yang berkahwin dengan Jay-Z, hamil.

Malah beberapa minggu lalu, menerusi laman sesawang hip hop, Media Take Out, mereka mendakwa pasangan tersebut kini sedang menanti kehadiran anak sulung mereka. Mereka turut mendakwa, Beyonce, 28, dan Jay-Z, 40, juga sedang merancang akan saling lebih prihatin sepanjang Beyonce mengandung.

Namun menerusi pihak publisiti syarikat rakaman Sony Music, mereka memberitahu Rolling Stone bahawa laporan tersebut adalah palsu.

Beyonce dan Jay-Z berkahwin pada April 2008 dan begitu tertutup tentang kisah peribadi mereka.

Identiti dua janda dicari polis Rusia


SEORANG wanita bersujud di depan kalungan bunga dan lilin yang diletakkan oleh keluarga mangsa letupan tren di stesen Lubyanka, Moscow semalam.


MOSCOW - Polis Rusia semalam mencari petunjuk dari Caucasus Utara yang merupakan wilayah yang didiami ramai penduduk Muslim berhubung identiti dua pengebom berani mati wanita yang membunuh 39 orang di dua stesen tren bawah tanah di sini kelmarin.

Akhbar Kommersant memetik beberapa sumber yang melaporkan bahawa kemungkinan operasi ketenteraan di Caucasus Utara oleh tentera Rusia yang membunuh seorang militan kanan sebagai punca serangan balas dendam tersebut dilakukan.

Cuma beberapa anggota tubuh pengebom yang ditemui selepas kedua-duanya meletupkan diri dengan bahan letupan pada badan masing-masing di dua buah tren berasingan.

Laman web berita Life.ru menyiarkan kepala kedua-dua mayat wanita yang kini menjadi siasatan utama polis.

Ia melaporkan letupan pertama di dalam sebuah tren di stesen Lubyanka amat kuat sehingga menyebabkan cuma kepala dan kaki pengebom yang ditemui.

Letupan kedua yang berlaku di stesen Park Kultury di sini kurang kuat.

Sumber-sumber keselamatan menyatakan kedua-dua wanita itu menaiki sebuah tren bersama-sama pagi kelmarin di stesen Yugo-Zapadnaya.

Menurut akhbar Kommersant, mereka ditemani dua wanita dan seorang lelaki di stesen berkenaan. Akhbar itu melaporkan bahawa sebahagian pakaian dua pengebom itu ditemui dengan salah seorangnya memakai seluar panjang hitam dan seorang lagi skirt berwarna sama.

Menurut akhbar Kommersant, tidak ada sebarang dokumen ditemui tetapi sekeping tiket dijumpai yang menunjukkan salah seorang pengebom tersebut menaiki tren di stesen Yugo-Zapadnaya.