Thursday, September 29, 2016

Jamal Abdillah, Anak Kolaborasi Karya Ahmad Nawab



Jamal Abdillah.
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Jamal Abdillah bakal berkolaborasi bersama anak sulungnya, Osama Yamani, 15, menerusi dua buah single ciptaan komposer tersohor negara, Datuk Ahmad Nawab.
Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 57, rancangan itu akan dilaksanakan selepas Osama selesai menduduki peperiksaan Pentaksiran Tahap 3 (PT3), Oktober ini.

“Saat saya menyuarakan hasrat ini kepada Datuk Ahmad Nawab, beliau bersetuju untuk memberikan dua buah single yang telah lama berada di dalam simpanannya yang mana ianya dicipta sewaktu era kegemilangan Datuk Sharifah Aini lagi dan saya tahu ianya sebuah karya yang berkualiti dan bersifat evergreen.

“Pun begitu, saya tidak bercadang untuk melaksanakan dalam waktu sekarang kerana tidak mahu mengganggu pelajaran anak saya yang kini bakal menduduki peperiksaan penting PT3 Oktober ini," ujarnya.

Jamal ditemui ketika selesai menjayakan Previu Konsert 3 Suara bersama pihak media yang berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai single tersebut, katanya dia terharu dan rasa begitu berbesar hati apabila komposer tersohor itu menyuarakan kesudiannya memberi karya hanya kerana permintaan itu datangnya dari insan bernama Jamal Abdillah.

“Kata beliau, kalau boleh dia tidak mahu lagi cipta lagu untuk mana-mana artis tetapi disebabkan yang minta itu adalah saya, dia terus bersetuju dan ini membuatkan saya rasa cukup terharu.

“Lagu-lagu ini sememangnya sudah berada di dalam simpanan beliau dan apa yang perlu dilakukan hanya menyusun semula gubahan muziknya agar lebih menarik mengikut kesesuaian dan penerimaan pendengar sekarang ,” katanya.

Bagaimanapun, dia akan memberi sepenuh fokus pada projek tersebut seusai dia menjayakan Konsert 3 Suara yang akan berakhir Ahad ini.

“Segalanya masih diperingkat awal perbincangan namun apa yang boleh saya katakan, idea ini tercetus setelah ramai peminat saya bertanyakan hal tersebut dan saya rasa mengapa tidak saya realisasikannya kerana Osama sememangnya minat menyanyi dan sedang mendalami jurusan khas seni di sekolahnya.

Dalam perkembangan sama katanya, dia tidak begitu menggalakkan anaknya itu datang menonton konsertnya di Istana Budaya kerana faktor jarak yang jauh memandangkan anaknya kini berada Pasir Gudang, Johor Baharu. 

Anuar Zain Akui Terbawa Emosi Selepas Berlakon MV 'Andainya Takdir'



Anuar Zain
PETALING JAYA: Penyanyi terkenal Anuar Zain mengakui dia terbawa-bawa emosi sedih beberapa hari selepas terlibat melakonkan watak seorang suami dalam muzik video lagu baharunya berjudul Andainya Takdir.

Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, 46,berkata, perkara tersebut merupakan salah satu faktor dia menolak meneruskan kerjaya lakonan selepas terlibat dalam filem Soal Hati dan Bintang Hati sekitar tahun 2000.

"Saya rasa teruk ketika berlakon, saya sedar bukan seorang pelakon sehingga ketika berlakon muzik video ini pun saya terbawa-bawa emosi sehingga beberapa hari.
"Saya memang tidak boleh berlakon kerana lakonan itu makan jiwa saya," ujarnya.
Anuar Zain tidak mahu lakonan jejas kerjaya nyanyian.
Anuar ditemui pada pelancaran album berjudul Anuar Zain yang diadakan di ibu kota baru-baru ini.

Muzik video Andainya Takdir dilancarkan secara rasmi menerusi laman youtube pada Khamis lalu.

Sementara itu, Anuar Zain berkata, dia juga tidak meneruskan kerjaya lakonan berikutan mahu memberi fokus terhadap bidang nyanyian.

"Saya seorang penyanyi dan lebih bagus kalau saya fokus kepada bidang nyanyian sahaja. Saya tidak mahu fokus saya lari kerana berlakon," ujarnya.

Sementara itu, bercerita tentang lakonanya dalam muzik video arahan Amor Rizan itu mengambil masa empat hari untuk disiapkan.

Katanya, dia juga berterima kasih kepada pelakon-pelakon yang terlibat seperti Sharifah Sakinah dan Puteri Balqis yang menjayakan muzik video itu dengan baik.

"Saya gembira sepanjang penggambaran tersebut berlangsung dan Alhamdulillah pelakon-pelakon lain turut membantu saya untuk menghayati watak itu dengan baik.

"Walaupun mereka tiada babak tapi mereka tetap ada di lokasi penggambaran untuk memberi semangat kepada saya," ujarnya.

Menurut Anuar, muzik video yang berkisarkan tentang kecurangan isteri itu bakal mempunyai sambungan pada lagu seterusnya.

"Kisah itu belum berakhir dan ia akan bersambung pada muzik video untuk lagu yang lain pula. Ia adalah salah satu strategi promosi kami. Saya harap peminat bersabar menunggunya," ujarnya.

MAS Minta Maaf, Bagasi Che Ta Sudah Dipulangkan



Rozita sudah terima bagasi yang tercicir.
PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan memberitahu bagasi pakaiannnya sudah selamat diterima pada malam kejadian itu berlaku pada Khamis.

Rozita atau dikenali sebagai Che Ta, 43, berkata, dia sudah menerima permohonan maaf daripada syarikat penerbangan tersebut di ruangan komen laman sosial miliknya pada Jumaat.

"Beg saya sudah dipulangkan pada malam itu juga dan pihak MAS ada memohon maaf menerusi ruangan komen di Instagram saya semalam.

"Ini bukan kali pertama berlaku, setakat ini sudah dua kali tapi saya lihat ramai pengikut laman sosial saya yang pernah mengalami nasib yang sama," ujarnya kepada mStar Online.
Malaysiaairlines buat permohonan maaf di Ig Rozita pada Jumaat.
Pada Jumaat, isteri pelakon Zain Saidin ini meluahkan rasa kesal kerana gagal menghadiri satu majlis makan malam gara-gara bagasinya tidak tiba ketika mendarat di lapangan terbang Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.

Dia juga terkilan dengan perkhidmatan syarikat penerbangan berkenaan yang gagal melaksanakan tugas dengan baik sehingga dia berhadapan dengan masalah tersebut.

Bagaimanapun, Rozita yang menggunakan perkhidmatan kelas perniagaan pada syarikat penerbangan tersebut mengakui menerima layanan sepatutnya sepanjang perjalanan ke Sabah.

"Perkhidmatan mereka dalam pernerbangan memang terbaik, cuma tentang bagasi teruk sangat, sampaikan kalau beg hilang kita sendiri yang kena turun padang cari.

"Kalau harapkan kakitangan mereka memang tidak dapatlah beg itu," ujarnya.

Faizal Tahir rai anak yatim, mangsa tsunami



Faizal Tahir
Faizal ketika hadir satu majlis “Sharing Moment Bersama Faizal Tahir.
PENYANYI dan penghibur berbakat, Faizal Tahir baru-baru ini meraikan anak-anak yatim termasuk mereka yang kehilangan ibu bapa dalam tragedi bencana tsunami yang melanda Indonesia 12 tahun yang lalu.
Faizal dan peserta kembara tiba di Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda Banda Aceh pada 15 September yang lalu dan telah disambut oleh barisan pimpinan PKPMI Cawangan Aceh.
Mereka juga diraikan oleh mahasiswa mahasiswi Malaysia di Rumah Kegiatan Mahasiswa Malaysia di Banda Aceh dalam satu majlis “Sharing Moment Bersama Faizal Tahir.”
Faizal Tahir juga berkongsi pengalaman sepanjang beliau melakukan misi kemanusiaan ini yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar dapat memupuk nilai kemanusiaan dan sikap saling membantu.
Program tersebut juga diharap memberi kesedaran kepada masyarakat agar dapat memupuk nilai kemanusiaan dan sikap saling membantu.
Katanya, usaha seperti ini perlu diteruskan bagi mereka yang berkemampuan untuk menyalurkan bantuan dalam bentuk apapun kerana Islam itu bersaudara selain cuba memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat.
“Misi Kembara Kemanusiaan yang dijalankan ini bukan sahaja menjadi platform persaudaraan dan berkongsi kegembiraan, malahan turut membawa bersama misi bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
“Sebagai saudara seagama, kita sewajarnya mengambil peduli dan membantu samada melalui sumbangan atau setidaknya kita sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka,” katanya lagi.

Lindsay Lohan lawat pelarian Syria



Lindsay Lohan lawat pelarian Syria
Foto Getty Images
ISTANBUL – TURKI. Pelakon terkenal, Lindsay Lohan dilaporkan telah berkunjung ke Istanbul bagi melawat pelarian Syria serta sebuah keluarga pelarian dari Aleppo di sebuah hospital di sini.
Agensi Anadolu melaporkan bahawa pelakon berusia 30 tahun itu turut ditemani bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Turki, Abdurrahim Boynukalin.
Boynukalin memaklumkan bahawa pihak media tidak dimaklumkan lebih awal mengenai lawatan Lohan itu bagi menggelakkan kekecohan timbul malah beliau turut tidak menyatakan bila ianya berlaku.
“Apa yang penting ialah bintang Hollywood turut mengambil serius perkara ini dan membawanya ke peringkat dunia,”katanya.
Selain itu, Boynukalin memaklumkan bahawa bintang filem “Mean Girl” itu digerakkan oleh pihak hospital ketika berada di sana.
Dalam lawatan tersebut, Lohan turut berkesempatan memberikan hadiah kepada keluarga pelarian terlibat.

Ziana Zain terus lebar sayap



Ziana Zain
Ziana Zain

NAMA 
Ziana Zain di dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.
Kelunakan suaranya tidak dapat dipertikaikan lagi kerana acap kali Ziana keluar dengan lagu baharu, lagu tersebut akan berjaya memikat hati pendengar dan juga peminat.
Maka tidak hairanlah lagu-lagu seperti Madah Berhelah, Puncak Kasih, Anggapanmu, Syurga Di Hati Kita menjadi lagu berhantu yang diminati hingga kini.
Mengimbau perjalanan wanita ini, Ziana memulakan kariernya sebagai seorang penyanyi pada awal 90-an dan menghasilkan album pertamanya, Madah Berhelah pada 1991.
Kariernya berada di kemuncak apabila dinobatkan sebagai johan pertandingan Voice of Asia pada tahun 1995, menewaskan penyanyi daripada beberapa buah negara.
Tidak hanya berbakat di dalam bidang nyanyian, Ziana juga sudah menunjukkan bakat di dalam bidang lakonan dan menjadi antara pelakon popular pada zamannya bersama Erra Fazira dan Awie.
Kini selepas tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia hiburan, Ziana terus mengorak langkah dan melebarkan sayap menerusi cabang perniagaan.
Sebagai mukadimahnya untuk masyarakat mengenalinya di dalam dunia perniagaan, Ziana telah melancarkan koleksi tudung di bawah label Gee Collection by Ziana Zain’s World, baru-baru ini.
Menceritakan perihal perniagaannya, Ziana berkata, dia mula berjinak di dalam bidang ini setelah berjumpa rakan perniagaannya dan mereka mengambil keputusan untuk menceburi bidang ini.
Pemilihan sari sebagai tudung dibuat setelah idea tersebut diberikan oleh rakan perniagaannya setelah melihat kebanyakan orang Melayu kini mengadakan majlis perkahwinan mereka bertemakan Bollywood.
“Saya merasakan idea yang diberikannya sangat menarik lantas saya bersetuju,” katanya selepas pelancaran mini butik pertama Ziana Zain’s World di Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall, baru-baru ini.
Bagi merealisasikan impiannya, dia dan rakan perniagaan telah terbang ke India sebanyak dua kali untuk mencari fabrik sari yang sesuai untuk dijadikan sebagai tudung dan Ziana memilih fabrik jenis 'mulberry'.
"Fabrik ini agak lembut, sekaligus pemakai akan selesa menyarungnya bagi menutupi aurat mereka.
“Ada di kalangan kita mungkin merasakan harga tudung ini agak mahal melihat kepada penampilan tudung tersebut. Namun saya faham dan peka bahawa kebanyakan rakyat Malaysia adalah golongan yang berpendapatan sederhana.
“Justeru itu, saya hanya menjual tudung ini dengan harga sehelai RM69.90 sahaja. Apabila saya meletakkan harga ini, saya rasa, kebanyakan pengguna mampu memilikinya,” katanya.
Sebagai permulaan, Ziana hanya menjual Gee Shawl dalam kuantiti kecil untuk melihat penjualan tudung tersebut dan sekiranya ia mendapat sambutan, dia akan menambah stok.
Terdapat 34 jenis corak Gee Shawl yang dijual di butik Ziana Zain dan orang ramai boleh mendapatkannya, bermula Sabtu lalu.
Ditanya kemungkinan untuk mengembangkan perniagaan, Ziana berkata, dia memang berniat untuk berbuat demikian pada masa yang akan datang.
“Ketika ini, saya mahu fokus dengan Gee Shawl dahulu dan saya berharap peminat mendoakan perniagaan saya berjaya,” katanya dengan penuh harapan.

Kembali berlakon
Dalam kesibukannya untuk menguruskan Ziana Zain’s World, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran telefilem berjudul Mati Tunggu Sekejap arahan pengarah tersohor, Rashid Sibir.
Menurut Ziana, ini kali pertama dia berlakon semula setelah merehatkan diri daripada dunia lakonan hampir sedekad lalu.
“Mati Tunggu Sekejap turut dibintangi oleh Nasha Aziz dan Adibah Noor. Telefilem ini mengisahkan tiga orang sahabat yang sudah berkahwin dan tinggal berjauhan di antara satu sama lain, bertemu semula apabila mereka pulang ke kampung setelah sekian lama tidak berjumpa.
“Apabila berjumpa, mereka bercerita mengenai kisah lampau sepanjang mereka bersahabat. Ia adalah sebuah cerita yang menarik dan perlu ditonton oleh masyarakat,” katanya.
Dia menerima tawaran telefilem itu setelah membaca skrip serta tidak mahu melepaskan peluang untuk berlakon di bawah arahan Rashid, pengarah yang sangat diminatinya.
Selain itu, lokasi penggambaran Mati Tunggu Sekejap di Tanjung Karang, Selangor menjadi salah satu faktor dia menerima tawaran tersebut.
“Selesai sesi penggambaran, saya akan terus pulang ke ibu kota untuk menguruskan hal perniagaan dan juga keluarga,” katanya.
Meskipun sibuk dengan pelbagai perkara, bagi Ziana, urusan keluarga tetap berada di tempat teratas berbanding hal lain
.

Brad Pitt belum jumpa anak sejak Jolie fail cerai



Brad Pitt
Pasangan Pitt dan Jolie
SUDAH seminggu sejak Angelina Jolie menfailkan penceraian terhadap Brad Pitt dan punca perpisahan mereka kekal menjadi tanda tanya semua pihak.
Dikhabarkan sejak Jolie menfailkan penceraian mereka, belum sekalipun Pitt berkesempatan untuk berjumpa dengan anak-anak mereka lapor E News!
Sumber yang rapat dengan Pitt melaporkan bahawa beliau ingin sekali bertemu dengan anak-anaknya dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik buat mereka semua.
“Dia (Pitt) ingin bertemu dengan anak-anaknya untuk mencapai kata persetujuan. Selain itu, dia ingin (penceraian) ini berjalan secara baik dan tertutup.
“Seterusnya dia amat mengambil berat mengenai hal anak-anaknya dan perkara terbaik buat mereka pada masa sekarang ialah memastikan keadaan dalam keadaan tertutup dan memberikan mereka privasi,” kata sumber tersebut.
Kedua-dua pelakon terkenal kini sedang dalam perbincangan mengenai hak penjagaan enam anak mereka iaitu, Maddox, Pax, Zahara, Shiloh, serta kembar Knox dan Vivienne. Setakat ini, Jolie mempunyai hak jagaan penuh, sementara Jabatan Kanak-Kanak dan Keluarga, Los Angeles menjalankan siasatan terhadap dakwaan bahawa Pitt mengkasari anaknya di atas pesawat peribadi awal bulan ini.
Aktor itu juga turut mengambil serius perkara ini serta menekankan bahawa dia tidak pernah mengasari anaknya seperti yang didakwa.
Artikel berkaitan: http://www.sinarharian.com.my/hiburan/brad-pitt-anggap-angelina-reka-cerita-1.564851
Turut difahamkan bahawa hak penjagaan sedia ini bukanlah sesuatu yang kekal kerana Jolie sedar untuk masa akan datang, dia harus berkongsi hak penjagaan dengan Pitt.
Jolie, 41 tahun memfailkan penceraian terhadap Pitt, 52 tahun pada 19 Sept dan penceraian mereka itu telah mengegarkan seluruh dunia.