Monday, December 2, 2013

Anak peneroka dicekup


  • Anak peneroka dicekup Penagih yang ditahan di tanah rancangan Felda dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut.
DUNGUN - Seorang remaja belasan tahun yang baru tamat sekolah menengah berdepan detik hitam apabila terpaksa bermalam di lokap selepas ditahan dalam Ops Cantas khas di Felda Kerteh Enam kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Ujian saringan air kencing juga mendapati anak peneroka itu positif methapethamine.

Selain remaja terbabit, seorang buruh ladang berusia 31 tahun turut ditahan dalam serbuan berasingan di sebuah rumah peneroka dekat Felda Kerteh Satu.

Pemeriksaan lanjut dalam poket seluarnya menemui satu botol plastik cerah berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, polis melancarkan operasi khas di kawasan tanah rancangan Felda berikutan menerima maklumat ramai anak peneroka terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Katanya, polis terpaksa memulakan operasi seawal jam 6.30  pagi untuk masuk ke kawasan sasaran bagi mengelak dihidu penagih dan hasilnya sembilan suspek  berjaya ditahan dalam enam serbuan berasingan yang berakhir kira-kira jam 11.30 pagi.

“Lelaki yang disyaki memiliki heroin itu ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 31 (A) (1)  Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala yang lainnya, positif methapethamine disiasat mengikut seksyen 15(1) akta yang sama," katanya.

3 kali diserang ular sawa



  • 3 kali diserang ular sawa Penduduk Kampung Bukit Perah menunjukkan ular sawa sepanjang hampir tiga meter, semalam.
KELANTAN – Gerak hati seorang pemuda di Kampung Bukit Perah mengesyaki haiwan peliharaannya diserang ternyata benar, apabila mendapati ular sawa cuba membelit ayam di rebannya jam 10 pagi, semalam.

 Ketika itu Mohd Firdaus Che Daud, 22, bersama dua lagi rakannya berada di ruang tamu, terkejut apabila mendengar kokokan ayam tanpa henti.

 Menurutnya, dia memberanikan diri melihat di dalam reban dan mendapati ular sepanjang hampir tiga meter itu cuba menyerang ayam.

 “Disebabkan kedudukan reban dengan rumah agak dekat, maka saya dapat mendengar kokokan ayam dengan jelas namun saya bersyukur kerana ia tidak menyerang adik-beradik yang lain di dalam rumah.

“Saya bersama rakan terus mengambil tali dan mengatur langkah agar ia tidak menyerang ketika kami cuba mengikatnya,” katanya.

Firdaus berkata, ini bukan kejadian kali pertama berlaku sebaliknya sudah tiga kali ular menyerang haiwan peliharaan penduduk di sini.

 Anak ke enam dari 10 beradik ini berkata, penduduk kampung menyerahkan haiwan terbabit kepada pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, musim hujan ketika ini menyebabkan haiwan berbisa ini keluar daripada sarang.

Katanya, penduduk di sini sentiasa berhati-hati terutama yang bekerja sebagai penoreh getah, kerana mungkin akan terserempak dengan haiwan berbahaya seperti ini.

Harga emas merosot, pelombong tingkat pengeluaran


  • emas
MELBOURNE - Pelombong emas di Australia telah bertindak balas kepada harga yang semakin merosot dengan mengeluarkan lebih banyak logam itu untuk suku kedua berturut-turut.      

Pengeluaran emas naik empat peratus kepada 69.5 tan metrik pada tiga bulan hingga hujung September.
 
Ini adalah satu kenaikan 12 peratus daripada 62 tan metrik pada suku September 2012.
 
Pengeluar emas menyasarkan gred yang lebih tinggi semenjak harga emas merosot awal tahun ini untuk melindungi margin mereka, kata Dr Sandra Close, pengarah syarikat perunding Surbiton Associates, menurut Australian Associated Press.
 
Sepanjang tempoh satu dekad peningkatan harga emas antara 2001 dan 2011, pengeluar emas telah mengurangkan gred bijih mengakibatkan kenaikan kos tunai, kata beliau.
 
Harga emas merosot daripada US$1,580 satu auns kepada US$1,190 pada suku Jun, dan telah kekal pada jajaran sempit semenjak itu.
 
Pelombong emas terbesar Newcrest Mining terjejas terus dengan kerugian berbilion dolar yang mengakibatkan harga sahamnya merosot 65 peratus tahun ini.

Ironi kematian Paul Walker



TRAGIS... Keadaan kereta Porsche Carrera GT 2005 yang dipandu oleh rakan Walker yang juga seorang pelumba, Roger Rodas terbakar selepas merempuh sebatang pokok. Walker dan Rodas mati di tempat kejadian.


BULAN Disember menjengah dengan membawakan kisah sedih kepada penggemar siri filem perlumbaan kereta jalanan Fast & Furious apabila pelakon utamanya, Paul Walker menemui ajal dalam satu kecelakaan jalan raya di California, Amerika Syarikat (AS) semalam.
Ironinya, pelakon yang sinonim dengan watak yang memperlihatkan dirinya sebagai ikon lumba kereta ini sememangnya pakar dalam bidang perlumbaan automotif dan pernah menyertai beberapa perlumbaan di AS.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh portal berita CNN, pegawai pengantara Walker, Ame van Iden mengesahkan kejadian tersebut melalui laman sosial Facebook dan Twitter milik aktor berkenaan.
Menerusi kemas kini status tersebut, dia menjelaskan: "Kami dengan berat hati mengesahkan bahawa Paul Walker telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya hari ini. Ketika itu, dia dalam perjalanan menghadiri satu acara untuk badan amalnya, Reach Out Worldwide.
"Dia menumpang kereta seorang rakan, mereka terkorban dalam tragedi tersebut."

PAUL WALKER meninggal dunia pada usia 40 tahun. Satu ironi apabila pelumba kereta dan pemegang watak pemandu kereta lumba ini menemui ajal kerana pemanduan melebihi had laju.


Jurucakap itu yang juga dikenali sebagai Pasukan PW menyatakan bahawa mereka terkejut dan amat sedih dengan berita tragis itu.
Walker, 40, mati di tempat kejadian apabila kereta jenis Porsche Carrera GT 2005 yang dipandu oleh rakannya yang juga seorang pelumba kereta, Roger Rodas terbakar selepas merempuh sebatang pokok.
Pegawai Polis dari Pejabat Syerif Daerah di Los Angeles, Brian Allen, berkata, kemalangan tragik itu berpunca daripada pemanduan yang melebihi had laju.
Seiring dengan watak Brian O'Conner menerusi francais filem Fast & Furious, Walker yang juga merupakan peminat tegar kereta-kereta berkelajuan tinggi pernah menyertai beberapa pertandingan perlumbaan kereta termasuklah Redline Time Attack.
Dia juga pernah berlumba dengan Roger menerusi siri pertandingan Pirelli World Challenge. Selain itu, aktor tersebut turut memiliki beberapa kereta lumba termasuklah Nissan Skyline R34 GT-R V-Spec II yang digunakan oleh Brian dalam 2 Fast 2 Furious.
Legasi pecah panggung
Watak Brian yang cukup sebati dengan dirinya menerusi siri filem Fast & Furious sangat meninggalkan kesan dalam hati dan minda para penonton. Masakan tidak, Walker sendiri mengakui sering disapa sebagai Brian ketika berjumpa dengan para peminat.
Mungkin kisah seorang polis yang mengambil keputusan untuk membanteras penjenayah menjadikan watak tersebut digilai peminat, terutamanya golongan wanita.
"Saya sering disapa begitu. Orang mengenali saya sebagai watak Brian lebih ramai daripada orang mengenali Paul Walker.
"Bila orang menyapa 'Hi Paul Walker!' bulu roma saya seakan-akan meremang. Namun, bila ada yang memanggil saya Brian, saya seperti tidak kisah. Saya suka dengan nama Brian," ujarnya dalam satu temu bual akhir ketika menjalani penggambaran Fast & Furious 7 yang dijangka berada di pawagam pada 2014 di Atlanta akhir bulan lalu.

MULA bersama francais filem The Fast and the Furious sejak tahun 2001, Walker yang memegang watak Brian akan muncul buat kali terakhir menerusi edisi ketujuh filem itu, Fast & Furious 7 pada tahun depan.


Watak berat dalam Hours
Pelakon berketuruan Irish-Jerman ini juga bakal muncul dengan filem berjudul Hours, antara filem terakhir lakonannya sebelum menemui ajal.
Dalam filem tersebut, Walker yang pernah terbang ke Haiti untuk membantu mangsa gempa bumi di sana, memegang watak Nolan, seorang bapa yang berusaha untuk menyelamatkan anak perempuannya yang baru lahir daripada ancaman bencana Taufan Katrina.
Menurutnya lagi, watak tersebut merupakan watak paling berat dan mencabar yang pernah dibawa sepanjang penglibatannya sebagai pelakon.
"Apa sahaja yang saya dapat di dalam jiwa, tidak dibeza-bezakan. Jika anda betul-betul hidup dengan watak dalam sesebuah filem itu, ia sama sahaja seperti anda hidup di kehidupan sebenar.
"Kejayaan saya dalam filem adalah kejayaan saya dalam dunia sebenar. Jika saya berjaya, saya berasa bangga kerana saya belajar sesuatu yang baharu dalam kerjaya saya. Sejujurnya, kita akan menjadi lebih cekal jika terus diuji," ujarnya ketika berbicara tentang watak tersebut.
Walaupun nama Paul Walker mula melonjak naik selepas dia membintangi The Fast and the Furious pada tahun 2001, namun pada awal pembabitannya dalam bidang lakonan, dia pernah membintangi beberapa drama bersiri termasuklah Throb dan The Young and the Restless.
Selepas mula dikenali, dia kemudiannya mendapat tawaran untuk membintangi filem-filem berbajet besar seperti Eight Bellow, Into The Blue dan Takers.

Elemen kejutan penuh impak


ROSNAN wajar dipuji kerana menampilkan lakonan yang mantap sebagai Anak Raja Gondang.


ADA debaran jantung yang tiba-tiba menggila saat teater Makyung Kesaktian Anak Raja Gondang (MKARG) dipersembahkan pada malam prebiu di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Terbuai dalam sentimen ritual, tari dan drama, makyung kali ini dipersembahkan dengan cara lebih moden. Namun begitu, elemen tradisional masih melatari persembahan MKARG yang dibintangi oleh pengiat teater tersohor, Rosnan Rahman bersama dua aktres hebat Datin Sofea Jane dan Vanida Imran.
Pengarah pementasan itu, Fatimah Abdullah, menyuntik kelainan apabila menjadikan MKARG sebuah teater moden supaya ia menjadi tarikan kepada penonton khususnya golongan muda.
Tidak hanya dimodenkan, Fatimah juga menyelitkan unsur-unsur kejutan dalam teater yang berlangsung selama tiga jam itu.
“Unsur-unsur tradisonal itu saya tidak tinggalkan. Dan saya juga tidak menjadikan teater ini terlalu moden dan menjolok mata. Masih boleh diterima oleh pengiat seni tempatan.
“Mengenai unsur-unsur kejutan pula, sengaja saya selitkan seperti yang diinginkan oleh Rosnan dalam teater ini. Secara keseluruhan saya cukup berpuas hati dengan persembahan setiap pelakon pada malam ini.
“Cuma dari segi masa, mungkin saya akan pendekkan dan perbaiki beberapa bahagian. Memang teater MKARG ini sepatutnya berlangsung selama dua jam. Namun, disebabkan ada beberapa bahagian muzik dan tarian yang panjang ia meleret sehingga tiga jam,” tutur Fatimah yang mendedahkan bakal bersara daripada pengarahan teater makyung selepas ini dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pelapis baharu.
Derai tawa
Pentas panggung teater MKARG dimulakan tepat pada pukul 9 malam Jumaat lalu dengan alunan muzik dan tarian mengadap rebab oleh Rosnan yang membawa peranan sebagai Anak Raja Gondang.
Suasana yang asyik itu tiba-tiba bertukar menjadi derai tawa apabila Sabri Yunus muncul di atas pentas.
Lakonan yang tidak perlu dipertikaikan, dialog-dialog improvisasi (secara tiba-tiba) yang dilontarkan Sabri juga cukup melucukan. Sehinggakan ada bait-bait dialog yang tidak difahami Rosnan yang berasal dari Kedah itu.
“Sabri memang suka buat kejutan. Memang gementar juga bila ada dialog Sabri yang saya tidak faham tetapi saya cuba serasikan dan meneruskan lakonan di atas pentas,” ujar Rosnan pula.
Kisah Anak Raja Gondang diteruskan apabila baginda meminta kebenaran ayahanda dan bondanya untuk mengembara ke negara orang.
Sebelum mengembara, baginda berpesan kepada bondanya, Puteri Gak Petera mengenai petanda selasih yang ditanam di dalam pasu tiang seri istana.
DALAM pengembaraannya, Anak Raja Gondang jatuh cinta dengan Puteri Bongsu.


Kata baginda, jika pohon selasih itu layu di sebelah kiri bermakna dia dalam kesusahan dan sekiranya segar, dia dalam kesenangan.
Maka, selepas itu bermulalah pengembaran Anak Raja Gondang dengan identiti yang terselindung. Baginda kemudiannya bertemu dengan tujuh orang puteri dan akhirnya telah jatuh cinta dengan Puteri Bongsu, lakonan Vanida Imran.
Malangnya, cinta kedua-duanya tidak direstui keluarga kerana Puteri Bongsu ingin dijodohkan dengan anak raja negeri lain. Akibatnya, Anak Raja Gondang yang tidak diketahui identiti itu ditangkap dan dipasung.
Kemunculan pelakon Vanida dan Sofea Jane sebagai Puteri Bongsu dan Puteri Sulung memang ditunggu-tunggu oleh para penonton.
Sikap cemburu Puteri Sulung terhadap Puteri Bongsu membuatkan penonton tertarik untuk mengetahui kesudahan hubungan Puteri Bongsu dengan Anak Raja Gondang.
Berkongsi persembahan pertamanya, Vanida menganggap teater tersebut paling mencabar pernah dipentaskannya.
“Selama saya berlakon teater, inilah pementasan paling mencabar yang pernah saya buat. Bagaimanapun, saya bersyukur mempunyai ramai guru yang mengajar dan membimbing saya terutama memantapkan dialek Kelantan dalam teater ini,” jelasnya.
Sementara itu, menurut Sofea pula, dia berasa sangat teruja menjadi sebahagian dalam teater makyung.
Begitupun, dia menganggap dirinya budak baru belajar ketika menyertai teater makyung itu.
Penggunaan kostum dan prop yang cantik juga membantu memantapkan persembahan teater MKARG.
Malangnya, penggunaan dialek Kelantan menyukarkan penonton yang tidak memahami loghat negeri tersebut.
Sari kata dalam bahasa Melayu atau Inggeris patut disediakan bagi memudahkan pemahaman penonton luar.
Teater itu membariskan pelakon terkenal tanah air yang terdiri daripada Rosnan Rahman, Vanida Imran, Datin Sofea Jane, Sabri Yunus dan Isey Fazlisham.
Pementasan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur itu bermula pada 29 November lalu dan bakal berakhir hari ini .

Henti kaitkan saya dengan Shila Amzah - Sharnaaz

PELAKONberkarakter ini sanggup menaikkan berat badannya daripada 70kg kepada 84kg demi menjayakan watak lakonannya sebagai Jebat dalam drama Bukan Kerana AkuTak Cinta.


EKORAN fitnah yang diterima bertubi-tubi tanpa henti, pelakon Sharnaaz Ahmad, 26, telah membuat keputusan nekad untuk bersara daripada dunia hiburan dan meneruskan kehidupan dengan pekerjaannya sebelum ini.
Tindakannya itu kata Sharnaaz dibuat demi membahagiakan individu lain yang enggan melihatnya berada di pentas seni, selain ingin menjaga hati keluarganya daripada terus dilukai.
Kesempatan bertemu pelakon itu sempena majlis pelancaran drama bersiri Bukan Kerana Aku Tak Cinta gandingannya bersama pelakon jelita, Nelydia Senrose di Hotel Best Western Premier, Kuala Lumpur baru-baru ini, Kosmo! segera mendapatkan kepastian lanjut mengenai hal tersebut.
Sharnaaz turut mengulas perkembangan kisah bekas kekasihnya, Shila Amzah yang telah berpisah dengan Johan As’ari baru-baru ini. Ikuti sedutan temu bual tersebut.
Kosmo!: Keputusan Sharnaaz untuk bersara daripada dunia seni mengejutkan ramai. Adakah anda terkilan dengan tindakan itu memandangkan anda masih muda dan hijau dalam industri dan berbakat besar?
SHARNAAZ: Saya sangat terkilan sebab saya sangat sayangkan karier lakonan saya. Ada juga beberapa pengarah dan produser yang memujuk saya tapi saya sudah tidak mampu bertahan dengan fitnah dan cacian tanpa henti. Selama ini saya berdiam diri tapi sudah sampai masanya untuk saya bertindak bagi menggembirakan hati pihak yang mahu saya berundur.
Apabila membuat keputusan itu, apakah reaksi pihak yang selama ini sering melemparkan kata-kata negatif terhadap anda?
Saya tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. Selama ini, saya duduk diam pun tetap kena hentam. Namun, selepas saya memberitahu akan berundur pun tetap saya kena maki.
Apakah reaksi keluarga anda apabila mengumumkan untuk bersara?
Mereka menyokong tindakan saya dan mereka mengenali saya sejak daripada kecil. Malah, saya tidak pernah berbohong dengan kedua-dua ibu bapa saya. Asalkan jangan sentuh (libatkan) keluarga saya, itu sudah memadai. Cukuplah mengutuk saya seorang. Saya tidak mahu mulakan perang!
SHARNAAZ sudah nekad untuk bersara daripada berlakon.


Adakah drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta adalah lakonan terakhir anda?
Saya masih dalam perbincangan dengan produksi drama bersiri Cinta Ramadan yang sepatutnya membabitkan saya bersama Elfaeza Ul-Haq. Saya telah berjanji untuk terbabit dalam penggambaran siri terbaharu drama itu, biarpun mereka tidak memaksa tapi rasa kurang manis pula kalau saya tidak tepati janji saya. Keputusan ini pun perlu dibincangkan bersama keluarga saya, kalau mereka tidak bersetuju pun susah juga nanti. Ikutkan hati memang nak bersara.
Adakah anda sudah mempunyai perancangan lanjut sekiranya bersara daripada dunia seni kelak?
Saya akan kembali semula bekerja dalam bidang hartanah atau industri minyak dan gas. Saya juga sedang berjinak-jinak dalam bidang sukan permotoran dan insya-Allah akan menyertai Malaysian Super Sport Motor Series tahun depan. Sekarang masih dalam proses pembelajaran sejak bulan Ogos lalu. Alhamdulillah dari segi teori, kelajuan dan kedudukan badan sudah boleh kuasai sedikit sebanyak.
Mengejutkan umum apabila hubungan mesra Johan As’ari dan Shila Amzah putus di tengah jalan setelah Johan mengambil keputusan bakal berkahwin dengan Lana Nodin. Apakah komen anda?
Saya tidak tahu, tidak mahu mengulas lanjut. Saya tidak mahu komen apa-apa, mungkin hari ini hari dia, esok lusa mungkin hari saya. Jodoh itu Tuhan tentukan. Saya tiada masalah dengan Johan, sebelum ini pun saya pernah mengucapkan good luck untuk filem terbaharunya, Balada Pencinta.
Melalui Twitter anda kelmarin, anda dilihat begitu marah dengan menulis kata-kata yang kurang enak seperti mahu memukul orang yang masih mengaitkan anda dengan kes Johan-Lana-Shila. Apa komen anda?
Memang saya yang menulis kenyataan tersebut. Tentang pernyataan berbunyi ‘Hammer boleh berbicara’, itu bukan bermaksud saya nak pergi pukul orang dengan tukul besi, sebaliknya ia adalah metafora kemarahan saya kepada orang yang asyik mengaitkan saya dengan ‘cinta’ mereka. Sebenarnya, saya tak marah pada Shila atau Johan, sebaliknya kepada pihak yang cuba menjodohkan saya kembali dengan Shila. Saya mohon kepada semua, beri saya peluang untuk mencari kebahagiaan sendiri dan henti kaitkan saya dengan Shila.

Peluang kedua Shahmeen Shah

SHAHMEEN tidak malu untuk mengakui yang dia sering ditemani ibunya setiap kali datang ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru untuk sesi uji bakat.


BIARPUN tidak berjaya ke peringkat final program realiti nyanyian 8TV, One In A Million (OIAM) musim pertama (2006), pendatang baharu Shahmeen Shah, 23, tidak putus semangat.
Shahmeen kemudiannya mencuba nasib ke uji bakat program realiti terbitan TV3, Mentor musim kelima (2011) pula. Namun, nasib sekali lagi tidak menyebelahinya apabila tidak terpilih menjadi protege Afdlin Shauki.
Bagaimanapun, Afdlin menawarkan sesuatu yang lebih berharga kepada Shahmeen iaitu bernaung di bawah syarikatnya.
“Selepas OIAM, saya cuba nasib dengan menyertai program Mentor. Saya tidak terpilih untuk jadi protege Afdlin tetapi dia beri saya harapan dan peluang kedua untuk menjadi penyanyi di bawah syarikatnya, Vision Works.
“Saya sangat bersyukur kerana Afdlin merealisasikan impian saya untuk bergelar penyanyi,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan klip video pertamanya berjudul Abadi yang turut dijadikan lagu tema filem Papadom 2 di Red Box, Sogo, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berkat sokongan dan doa daripada ibunya juga menjadi pendorong buat Shahmeen untuk tidak berputus asa biarpun perlu mengambil masa selama tujuh tahun dan acapkali berulang-alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
Tidak sekadar sokongan, tutur Shahmeen, ibunya juga sentiasa menemaninya setiap kali ke Kuala Lumpur untuk menyertai uji bakat.
“Menyanyi adalah minat saya. Ibu banyak mendorong saya supaya tidak putus asa. Dia juga sentiasa sudi menemani saya ke Kuala Lumpur termasuk hari ini ke pelancaran single dan muzik terbaharu saya, Abadi,” ungkapnya mengenai lagu ciptaan Azman Abu Hassan dan Johana Johari itu.
Bicara Shahmeen lanjut, klip video untuk single sulungnya itu pula telah diarahkan oleh Esham Shahlin yang turut menampilkan selebriti popular.
Antaranya ialah pengarah Aziz M. Osman, Sharifah Amani, Faizal Hussein, Dina Nadzir dan Raja Ilya.
Selain itu, klip video ini juga menampilkan pelakon utama filem Papadom 2, Afdlin Shauki dan Liyana Jasmay.
“Saya anggap cabaran pada diri kerana dapat bekerja dengan nama-nama besar dalam industri termasuk Afdlin. Saya juga teruja kerana single sulung saya keluar serentak dengan klip video,” luahnya yang memperjuangkan muzik R&B dan Soul itu.
Bercerita mengenai perjalanan kariernya selepas ini, kata Shahmeen, banyak perancangan yang telah diaturkan Afdlin untuknya menapak dalam bidang muzik.
Papadom 2 bakal ditayangkan diseluruh pawagam pada 12 Disember ini. Selain Afdlin dan Liyana Jasmay, turut berlakon ialah Rahman, Johan (Raja Lawak) dan Hans Isaac.