Monday, December 2, 2013

Ahmad Ammar pemuda luar biasa




KETENANGAN di bumi Turki pada hari itu sama seperti hari-hari yang sebelumnya. Penduduk setempat sibuk dengan rutin seharian manakala mereka yang memandu di kawasan berbukit di sekitar Istanbul begitu berhati-hati.
Namun, pada pagi dua hari sebelum sambutan Awal Muharram itu merupakan hari yang cukup istimewa kepada seorang anak muda kelahiran Kuala Lumpur, Ahmad Ammar Ahmad Azam, 20. Ia menjadi titik permulaan dalam hidupnya kerana bakal mengajar pelajar-pelajar baharu mengenai risalah An-Nur di sebuah madrasah.
Dia begitu berhati-hati menuruni bas yang dinaiki dari madrasahnya di Mobilyacilar sambil mendengar alunan muzik seruling Ney, instrumen yang menjadi kegemaran Jalaluddin Ar-Rumi. Jalaluddin atau lebih dikenali sebagai Rumi merupakan penyair tersohor dari Parsi yang banyak mempengaruhi penulisan dan budaya masyarakat Islam.
Ketika cuba melintas di satu persimpangan jalan, langkahnya terhenti. Tubuhnya seakan-akan hilang imbangan lalu dia terjatuh. Pada saat itu jugalah sebuah van ambulans yang datang dari belakang merempuh tubuhnya. Dia terkulai di tepi jalan, namun digagahkan juga berdiri meminta bantuan daripada pemandu van ambulans yang melanggarnya.
Namun, sudah tertulis di Luh Mahfuz, hayat siswa Universiti Marmara, Istanbul, Turki itu dipinjamkan sehingga 2 November 2013. "Pelbagai versi yang saya dengar tentang kemalangan itu. Apa pun, Allah telah menyusun perjalanan hidup Ahmad Ammar. Memang sedih tetapi saya reda dengan ketentuan-Nya," luah ibu arwah Ahmad Ammar, Nur Azlina Abdul Aziz ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Hari ini masuk sebulan pemergian anak keempat daripada lima beradik itu.
Kenangan manis
Menurut laporan bedah siasat, Ahmad Ammar mengalami kecederaan teruk pada organ dalaman yang mengakibatkan dua tulang rusuknya patah. Apa yang mengejutkan Nur Azlina ialah tiada kesan darah ditemui pada tubuh Ahmad Ammar.
Namun, kenangan bersama Ahmad Ammar, terus mekar di dalam hati Nur Azlina.
"Saya tidak pernah berasa kehilangan Ahmad Ammar kerana dia sentiasa bersama saya. Jika dahulu, dia berada jauh di negara orang tetapi kini dia seperti sentiasa berada di sisi saya, setiap masa," katanya.
Penghormatan tertinggi. Jenazah Ahmad Ammar disemadikan di tanah perkuburan sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayub al-Ansari.


Kisah Ahmad Ammar tiba-tiba menjadi bualan di laman-laman sosial, sehinggakan pemergiannya diangkat setinggi pemimpin agung Islam dan ditempatkan bersama sahabat-sahabat nabi di Eyub Sultan, Turki. Di pinggir Konstantinople itu letaknya makam Saidina Abu Ayub al-Ansari iaitu sahabat rapat Rasulullah yang meninggal dunia ketika menyertai kempen perang jihad fisabillah tahun 674 Masihi.
"Anak saya seperti remaja-remaja lain, cuma beza Ahmad Ammar ialah akhlaknya. Ketika orang sibuk bertanya tentang keperibadian arwah, saya cuba ingat kembali, berapa kali saya meninggikan suara atau jika pernah terdetik perasaan marah kepadanya.
"Baru saya tersedar, tidak pernah sekali saya melakukan semua itu kepadanya. Dia anak yang mudah dijaga dan tidak pernah merungut," cerita Nur Azlina yang aktif dalam badan kebajikan amal.
Ibu kepada lima anak itu menambah, Ahmad Ammar seorang yang pendiam dan hanya bercakap apabila perlu saja sama ada bersama teman atau ahli keluarganya.
Sehinggakan kata Nur Azlina, guru sekolahnya pernah menelefon beliau semata-mata mahu memberitahu Ahmad Ammar tergelak di dalam kelas. Masa kecilnya, ujar Nur Azlina, dahi arwah sudah mempunyai garis-garis halus. Optimis wanita itu, anaknya mungkin berfikir tentang umat Islam di seluruh dunia.
Satu perkara yang mengagumkan tentang ibu bapa Ahmad Ammar ialah tiada riak kesedihan pada wajah mereka. Sebaliknya, terpancar ketabahan dan keredaan kedua-duanya baik kepada Nur Azlina dan suami, Ahmad Azam Abdul Rahman dalam setiap gerak geri dan butir bicara mereka. Sebagai ibu, bohonglah jika Nur Azlina tidak terkesan dengan pemergian Ahmad Ammar. Namun, beliau melihatnya dari sudut yang positif.
"Perasaan sedih itu bertukar syukur kerana peribadi dan sumbangan Ammar selama hayatnya membawa perubahan positif dalam dirinya," kata mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia itu.
Minat arwah dalam sejarah tamadun Islam dunia membawanya ke Turki untuk mendalami ilmu-ilmu Daulah Uthmaniyyah. Arwah terdorong daripada wawasan bapanya yang menjadikan Sultan Muhammad al-Fatih sebagai rujukan dalam hidup.
Percaturan Allah
Menurut Nur Azlina, beliau pernah bergurau dengan Ahmad Ammar dengan mengatakan Sultan Muhammad al-Fatih berjaya membina empayar Uthmaniyyah yang bertahan selama 600 tahun pada usia 21 tahun. Maka, Ahmad Ammar ada setahun lagi untuk menyumbang sesuatu kepada umat Islam.
Rupa-rupanya, pemergian arwah itulah yang memberi kesan mendalam kepada masyarakat Islam.

AHMAD AMMAR (dua dari kanan) merupakan pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2010 di Maktab Tentera Diraja.


Sebagai bapa, Ahmad Azam menerima pemergian arwah anaknya sebagai satu percaturan yang telah ditetapkan Allah.
"Sebenarnya, saya sedang dalam pembinaan pejabat rasmi di Turki. Jarak antara Eyub Sultan dan pejabat itu hanya 10 minit perjalanan. Bolehlah saya melawatnya selalu di sana," katanya memasang impian.
Sementara itu, salah seorang sahabat karib arwah Ahmad Ammar, Muhammad Huzaifi Ali, 20, seboleh-bolehnya mahu memadamkan memori yang tercatat pada 2 November lalu.
Panggilan telefon dan mesej daripada rakan-rakan yang memaklumkan berita pemergian Ahmad Ammar merengut jantungnya.
'Adik dah meninggal'. Ayat pendek itu membuatkannya tergamam apatah lagi sahabatnya itu berkelana di perantauan untuk menimba ilmu.
"Kehilangan seorang rakan karib yang mesra dipanggil adik itu sangat terkesan di hati saya, namun saya bersyukur kerana arwah mendapat pengiktirafan tinggi daripada kerajaan Turki apabila jenazahnya dikebumikan di Eyub Sultan di Istanbul, Turki," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Memori singkat bersama arwah sewaktu sahabatnya itu pulang bercuti ke tanah air dua bulan lalu menerjah ke kotak fikiran Huzaifi. Dalam kesibukan memenuhi tugas sebagai seorang jurugambar, dia masih sempat bertemu Ahmad Ammar.
Arwah yang juga rakan sekolah ketika mereka menuntut di Sekolah Rendah Islam Al-Huda di Gombak, Selangor mencadangkan kepada Huzaifi supaya membuat satu sesi penggambaran korporat dengan menjadikan bapanya, Ahmad Azam sebagai model.
Catatan rakan karib
"Itu adalah pertemuan terakhir saya bersama arwah dan bapanya," ujar graduan Diploma Fotografi Universiti Teknologi Mara itu.
Antara pesanan arwah yang cukup berbekas di hati Huzaifi ialah supaya dia tidak terlalu bebas berkarya, sebaliknya memanfaatkannya kepada jalan dakwah.
Menerusi sebuah laman peminat di Facebook, Tribute Ahmad Ammar Ahmad Azam yang diwujudkan, terdapat satu catatan yang ditulis oleh seorang rakan karib arwah ketika menuntut di Universiti Marmara, Turki iaitu Muhammad Ahmad Zahid, 20.

RIBUAN rakyat Turki mengiringi jenazah Ahmad Ammar ke tanah perkuburan.


Anak muda ini merupakan individu yang bertanggungjawab mengalunkan surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali ketika jenazah Ahmad Ammar diditurunkan ke liang lahad di tanah perkuburan Eyub Sultan, Istanbul.
Menerusi video berdurasi selama kira-kira 24 minit yang dimuat naik ke laman YouTube berjudul GPTD: Ahmad Ammar Dalam Kenangan (1993-2013), kelihatan seorang anak muda berkemeja T merah memegang mikrofon membaca surah tersebut.
Tindakannya itu hanya semata-mata mahu melaksanakan amanah arwah yang ketika hayatnya pernah secara berseloroh meminta Muhammad berbuat demikian jika sampai waktunya beliau menghadap Ilahi.
"Pada mulanya, beliau meminta saya mengaji pada majlis perkahwinannya pada masa akan datang. Selepas itu, arwah meminta saya mengaji, sekurang-kurangnya surah al-Ikhlas selepas dia meninggal dunia," katanya yang menggelar arwah dengan panggilan Abang Long.

Serangga alternatif ganti daging



PELAJAR Lormans memasak belalang bersama kicap semasa bengkel memasak serangga di Sittard, Belanda.


SEKUMPULAN pelajar kelas masakan yang dikendalikan Cecile Lormans memerhatikannya melakukan langkah akhir menyediakan satu hidangan eksotik. Dia menggoreng belalang di dalam kuali panas sebelum meletakkannya ke dalam periuk kukusan.
Dalam usaha mereka mencari alternatif mesra alam bagi menggantikan daging, Richard, 41, Mariet, 53, dan Seppo, 43, melihat serangga sebagai alternatif terbaik sebagai pengganti.
Mereka bergantung kepada Lormans untuk menunjukkan cara-cara mengukus, memasak burger dan baklava menggunakan cacing, belalang atau serangga lain sebagai bahan utama masakan.
Satu penyelesaian
“Tujuannya adalah untuk mencari alternatif bagi menggantikan daging. Tidak semestinya menggantikannya, tetapi mengurangkannya.
“Lebih mudah jika ada seseorang yang mengajar anda,” kata Mariet ketika ditemui di dapur Lormans di Sittard, tenggara Belanda. Beliau telah membayar RM216 untuk kursus masakan tersebut.
Richard pula tersenyum sambil mengakui bahawa serangga menawarkan satu penyelesaian sempurna bagi seorang karnivor dan herbivor.
“Saya mahu hidup dengan cara sihat, tetapi menjadi seorang vegetarian sedikit sukar bagi saya,” katanya yang berpeluang merasa labah-labah semasa melancong ke Asia Tenggara.
Secara kebetulan, industri daging sedang dilanda masalah dengan isu penglabelan daging dan kesan alam sekitar terhadap peningkatan makanan haiwan. Serangga yang tinggi protein dan rendah lemak dilihat sebagai alternatif yang menguntungkan.
LORMANS dan pelajarnya melihat bebola daging yang diadun bersama serangga untuk dijadikan burger.


Menurut satu kajian yang dilakukan Jabatan Serangga Universiti Wageningen di Belanda, lebih sepuluh kali ganda sumber makanan diperlukan bagi membesarkan haiwan seperti lembu berbanding serangga.
Budaya makan serangga masih belum dapat diterima oleh kebanyakan masyarakat Eropah walaupun terdapat lebih kurang dua bilion orang di seluruh dunia mengamalkan diet tersebut.
Kebanyakan rakyat Eropah masih enggan makan seekor serangga walaupun dalam keadaan kering, bersih dan bebas penyakit.
“Terus terang, saya tidak paham mengapa mereka begitu jijik dengan serangga.
“Secara jujurnya, saya tahu apa yang saya lebih suka jika saya terpaksa memilih antara serangga atau makanan laut seperti tiram dan kerang,” ujar Seppo sambil menaburkan belalang ke dalam hidangannya.
Sementara itu, Mariet mencampurkan cacing dan daging cincang untuk membuat burger.
Pengasas perniagaan serangga borong, Arno Snellens berkata, serangga sejuk beku boleh disimpan sehingga setahun.
“Serangga adalah alternatif pada masa dapan, kami tidak boleh terus menghasilkan daging dalam skala itu.
“Ia memerlukan masa bagi mengubah mentaliti mereka,” katanya sambil memberitahu syarikatnya memperoleh keuntungan berganda setiap enam bulan.
Buku masakan
Jualan serangga masih rendah di Belanda berbanding daging, tetapi bagi Marcel Dicke, pakar entomologi di Universiti Wageningen menegaskan perubahan sedang berlaku.
Katanya, serangga secara perlahan mendapat tempat dalam hidangan, ia bermula daripada buku masakan kepada peningkatan bekalan dan permintaan.
“Jika 15 tahun lalu masyarakat akan bertanya ‘Apa? Serangga? Benarkah?', tetapi hari ni mereka berkata, ‘Oh, ya! Di mana saya boleh mendapatkannya?’
“Sudah tentu ia memerlukan masa bagi mengubah mentaliti seseorang. Satu hari nanti mereka akan berubah dan saya rasa ia satu perkembangan positif bagi budaya ini jika ada yang ingin mempelajari cara menyediakannya,” ujar Dicke.
ULAT, kumbangdan belalang merupakan antara ramuan penting yang digunakan di kelas masakan kendalian Lormans.


Peniaga serangga, Meerteens menjual hanya dua hingga tiga peratus daripada pengeluaran serangga miliknya untuk kegunaan manusia. Selebihnya adalah untuk makanan haiwan.
Bagaimanapun, jumlah pengeluaran bagi kegunaan manusia semakin meningkat sejak lima tahun lalu.
Masalah utama adalah kos pasaran kerana hasil pengeluarannya terlalu kecil dan tidak mampu untuk membawa keuntungan seperti hasil penjualan daging.
Arno menjual 30 gram belalang sejuk beku pada harga RM54, manakala 50 gram cacing pada harga RM36.70.
Sementara itu, tiga orang chef baharu bagi hidangan serangga itu teruja dengan hidangan contoh yang baru yang mereka sediakan.
“Rasanya seperti kacang hazel,” kata Seppo ketika menggigit burger yang disediakannya.
“Sementara Richards berkata, rasa hidangan ini tidak pernah saya rasa sebelum ini, tetapi ia sedap dan rangup.

Penyelesaian isu ketagihan


PENGLIBATAN kes ketagihan membabitkan golongan remaja di Malaysia semakin ketara kebelakangan ini.


APABILA memperkatakan mengenai penagihan sering kali ia dikaitkan dengan penagihan dadah yang sejak dahulu ia diberi perhatian serius oleh kerajaan.
Hakikatnya masyarakat hari ini bukan sahaja berhadapan dengan penagihan dadah malah pelbagai lagi bentuk ketagihan yang mengundang permasalahan serius sekiranya tidak diatasi.
Antaranya penagihan rokok, alkohol, judi, permainan di dalam komputer, internet malah terkini masalah ketagihan makanan hingga membawa kepada obesiti dan penyakit lain.
Mengambil contoh kes terbaharu melibatkan seorang pemuda di Pulau Pinang yang meninggal dunia dipercayai ketagih bermain permainan di dalam talian (internet).
Dia dikatakan menghadap internet secara berterusan selama 15 jam setiap hari.
Ketagihan internet ini mengundang kesan kepada ketahanan seperti akibat penyalahgunaan dadah. Seseorang yang ketagih internet dikatakan perlu berasa kekal secara dalam talian untuk mencapai keseronokan yang diinginkan dan kalau tidak akan mengalami perasaan murung, cemas dan bimbang.
Begitu juga penagihan umum seperti rokok yang diketahui kesannya boleh membawa kepada penyakit barah hati dan jantung, judi yang membawa banyak masalah sosial seperti keruntuhan institusi kekeluargaan serta masalah hutang yang menyebabkan ada yang meminjam dengan ah long.
Penyakit ketagihan ini menjadi kebimbangan ramai pihak apabila ia semakin meningkat setiap tahun. Menurut Pakar Perunding Psikiatri Universiti Malaya, Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari pengambilan dadah jenis baharu seperti syabu serta ketagihan internet adalah antara masalah ketagihan yang sangat ketara peningkatannya terutama golongan remaja.
Beliau berkata, kesan pengambilan dadah jenis syabu itu boleh dilihat di mana-mana hospital di seluruh negara apabila semakin ramai yang cuba mendapatkan rawatan akibat gangguan halusinasi sehingga menyebabkan mereka yang terlibat boleh bertindak agresif dan ganas.
Apabila fikiran mereka yang mengambil dadah tidak boleh dikawal lagi, keluarga biasanya akan membawa mereka ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan kebiasaannya ujian air kencing akan positif dadah jenis syabu, katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Masalah pengambilan syabu adalah cabaran yang bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia malah negara-negara Asia Pasifik lain berikutan masih tercari-cari kaedah yang berkesan untuk merawatnya.
Dr. Muhammad Muhsin berkata, penagihan internet terutama di negara-negara Asia termasuk Malaysia menunjukkan peningkatan kesan daripada kejutan teknologi itu.

MALAYSIA perlu mempunyai tempat bagi merawat mereka yang berhadapan masalah ketagihan internet.


Penyelidikan
Negara-negara seperti China, Taiwan dan Korea telah membuat banyak penyelidikan mengenai kesan penagihan internet ke atas rakyat mereka. "Di Korea, klinik penagihan internet diadakan kerana peningkatan pesakit yang berhadapan masalah itu. "Masalah ketagihan internet membawa kesan besar termasuk melibatkan perjudian di internet, penipuan dan masalah penyalahgunaan sosial media yang boleh membawa mudarat hingga ada yang maut dan bunuh diri," katanya.
Malaysia juga, katanya, perlu mengambil langkah seperti Korea dalam menangani ketagihan internet agar ia tidak terus meningkat dan perlu mempunyai tempat yang khusus bagi merawat mereka yang berhadapan dengan masalah ketagihan itu.
Atas dasar peka kepada isu ketagihan ini, lebih 600 pakar yang khusus dalam bidang ketagihan seluruh dunia telah berbincang bersama dalam Persidangan Tahunan Antarabangsa Perubatan Ketagihan (ISAM) kali ke-15 di ibu negara selama tiga hari mulai 21 November lalu.
Dr. Muhammad Muhsin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola persidangan itu berkata, perbincangan tersebut meliputi perkembangan otak semasa penagihan yang dilakukan secara saintifik bagi membantu memberi rawatan yang berkesan kepada penagih.
"Ini termasuk perubahan, transformasi daripada pendekatan menangani penagihan seperti penagihan dadah yang dahulunya hanya melibatkan dari segi sosial dan undang-undang, kini dipertingkatkan lagi melalui rawatan perubatan," katanya.
Jika dahulu impaknya kurang berkesan, namun penyelidikan yang dibuat di seluruh dunia mendapati pendekatan perubatan mempunyai peranannya dalam mengatasi penagihan itu.
Antaranya, ketagihan heroin dengan pengambilan methadone, penagihan rokok melalui verenicline dan nicorrette gum, ketagihan alkohol boleh diatasi dengan pengambilan ubat naltrexone dan diazepam.
"Negara kita telah bergerak ke arah rawatan perubatan seperti negara-negara yang berkenaan dalam mengurangkan kemudaratan akibat ketagihan ini.
"Kesan ketara yang boleh kita lihat sejak pengambilan methadone bagi menangani penagihan dadah heroin ialah penurunan HIV dalam kalangan penagih daripada 70 peratus kepada 25 peratus sahaja," katanya.
Sebanyak 200 kertas kerja telah dibentangkan pada persidangan yang julung kali diadakan di Asia melibatkan lebih 40 negara.
Persidangan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tunku Jaafar di Pusat Persidangan Telekom Malaysia, Kuala Lumpur.

Sasar pasaran global



BERBEKALKAN segunung harapan dan selautan usaha, Mohd. Fahmi Mohammad Fabilah nekad menubuhkan Abstrax. Perkembangan fesyen jalanan dalam kalangan remaja tempatan sejak lima tahun lalu dijadikan inspirasi. Cubaan Mohd. Fahmi, 31, menjadi dan membuahkan sedikit demi sedikit kejayaan.
Selaku pengasas, beliau sedar bahawa dia memerlukan lebih ramai individu kreatif bagi mengendali Abstrax. Lantas, lahir barisan individu dengan idea-idea unik untuk membawa jenama pakaian lokal itu ke tahap membanggakan seperti hari ini.
Gerakan bawah tanah fesyen jalanan kemudiannya beranjak menjadi gaya harian. Anak-anak muda mula beralih minat daripada jenama antarabangsa kepada rekaan label-label tempatan. Sejujurnya, Abstrax merupakan antara nama yang bertanggungjawab mencetuskan revolusi positif tersebut.
Satu per satu perusahaan pakaian tempatan diwujudkan sehingga membolehkan pameran dan jualan besar-besaran seperti Tempatan Fest diadakan. Siapa sangka, masyarakat Malaysia kembali meletakkan kepercayaan kepada hasil kerja anak tempatan, malah ia turut mencuri perhatian orang luar.
Peluang melibatkan diri di Pameran Dagangan Pakaian Jalanan dan Urban Ulung Asia 2013 di Jakarta, Indonesia pada pertengahan bulan lalu menjadi permulaan kepada Abstrax untuk mengetengahkan rekaan mereka ke pentas dunia.
Sebagai salah satu wakil negara, Abstrax berhasrat untuk mengembangkan pasaran jenama mereka ke seluruh benua Asia dan Eropah. Setiap item keluaran jenama itu diperhati dan dinilai syarikat-syarikat global, sama ada mereka layak untuk diberi peluang memasarkan hasil kerja ke peringkat antarabangsa atau tidak.
“Penyertaan pertama kami tidak begitu memberangsangkan dari segi penerimaan dalam kalangan syarikat besar. Bagaimanapun kami tidak kecewa kerana ia telah memberi ruang kepada Abstrax untuk bekerjasama dengan jenama luar.

KEISTIMEWAAN Abstrax terletak pada kepelbagaian item keluarannya.


“Tiga label pakaian Indonesia telah bersetuju untuk berkolaborasi dengan Abstrax dan ia secara tidak langsung membantu kami untuk melebarkan perniagaan ke negara seberang,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Abstrax, Dr. Faiz I. Anuar, 33, ketika ditemui Stailo.
Pengalaman sepanjang tiga hari berkampung pada pameran itu turut menemukan mereka dengan pengikut setia Abstrax dari republik berkenaan. Paling mengharukan apabila mereka didekati pembeli yang datang dari Makassar semata-mata ingin membeli barangan Abstrax.
“Kebanyakan pembeli Indonesia mengikuti perkembangan kami menerusi laman Facebook dan apabila mereka tahu kami di sini, mereka ambil kesempatan untuk bertemu tenaga kerja di sebalik jenama ini,” tambah Faiz.
Variasi
Magis Abstrax terletak pada variasi rekaan yang dihasilkan. Tiada istilah terhad dalam setiap karya mereka. Disebabkan itu, Abstrax mampu melakar kejayaan lebih awal berbanding label-label tempatan lain.
Bermula dengan baju-T biasa, Abstrax kemudiannya bereksperimen dengan mencipta jaket, baju-T polo, jean, topi dan blazer.
Permintaan tinggi orang ramai terhadap baju-T dan topi snapback Abstrax telah membuka jalan kepada mereka untuk lebih berani mempelbagaikan item keluaran.
Jaket kasual berserta baju-T polo dan seluar chinos menyusul, seterusnya menjadi petanda awal bahawa jenama itu akan terus mengukuhkan namanya dalam industri pakaian tempatan.
Kekurangan label tempatan mengeluarkan koleksi denim dalam rangkaian seluar jean dijadikan peluang keemasan Abstrax untuk terus memajukan empayar kecil mereka.
Maka tercipta tiga rekaan jean Abstrax dengan potongan biasa (regular), skinny dan langsing (slim), kesemuanya mengekalkan rona asli denim iaitu biru.
Ciri-ciri eksklusif Abstrax ketara pada topi keluarannya. Kualiti diutamakan, sekali gus menciptakan aksesori kepala urban buat pencinta fesyen jalanan. Diperbuat daripada fabrik ringan premium berteraskan rekaan lima panel, kesemua topi Abstrax membentuk ciri-ciri versatil moden dengan jayanya.
Bagi menambah aura maskulin remaja, sarungkan jaket celoreng Abstrax yang digelar RVJ. Ideal untuk aktiviti luar dan dalam, jaket itu dibuat khusus untuk memberi keselesaan dan mengatasi stail konservatif. Paling istimewa, jaket daripada material poliester bersama perincian grafik itu direka dengan ciri-ciri rintang angin dan air.
BENTUK gaya urban bersahaja dengan jaket varsiti yang pasti menyerlahkan sisi remaja.


Propaganda
“Kami mahu mencapai audiens yang lebih besar, jadi kami perlu meluaskan kreativiti dari segi rekaan dan produksi item. Ia sangat penting kerana kami mahu Abstrax menjadi jenama lain daripada yang lain.
“Setakat ini kami berjaya membentuk pengikut sendiri dan sasaran kami tentunya kelompok pelajar kolej dan universiti,” kongsi Fahmi yang memberitahu bahawa hitam kekal menjadi warna signatur Abstrax.
Selain bertujuan membentuk gaya individualiti kepada pengikut mereka, Abstrax juga cuba mencerminkan sisi kepimpinan dalam rekaan mereka. Item paling laris di bawah koleksi Propaganda menjadi intuisi subjektif terhadap empat pemimpin tanah air yang disegani.
Nilai utama setiap pemimpin diangkat menjadi gambaran kebanggaan pengikut Abstrax sebagai seorang rakyat Malaysia. Penghormatan menjadi milik bekas Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas kewibawaan beliau memimpin negara selama 22 tahun.
Baju-T lengan pendek dan panjang dengan wajah Mahathir berserta perkataan Respect ialah rekaan paling diminati, khususnya dalam kalangan golongan belia.
Rekaan bertunjangkan tema Malaya Heroes itu turut meliputi Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang mendukung mesej kesatuan (unity), Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dengan kredibiliti beliau sebagai Bapa Pembangunan menerusi wadah Progress dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mewakili jati diri keagamaan bersandarkan subjek Faith.
Menolak perihal politik sebagai pencetus Propaganda, tegas Fahmi, Abstrax sekadar memberi penghargaan kepada empat pemimpin tersebut yang dilihat banyak berbakti terhadap pembangunan infrastruktur, sosial dan insani di Malaysia.
Setiap rekaan dikongsikan kepada orang ramai dan terpulang kepada individu memilih pejuang nusa dan bangsa mengikut firasat peribadi masing-masing. Abstrax berharap ia dapat menyuntik semangat nasionalisme dalam diri pengikut mereka terutamanya orang muda.

Individualiti gaya berani Jaspal, CPS Chaps

PAKAIAN ini menyerlahkan sisi feminin wanita dan menjadi pilihan generasi muda.


PERTUKARAN musim bukan sahaja memberikan suasana persekitaran yang berbeza, malah dunia fesyen turut berwajah baharu dengan memaparkan rekaan terkini.
Antaranya, koleksi musim luruh/sejuk 2013 Jaspal dan jenama baharu anak syarikatnya, CPS Chaps yang menampilkan rangkaian pakaian bercita rasa rock, berani dan penuh keyakinan.
Koleksi tersebut mengetengahkan fesyen yang segar dengan material fabrik denim dan bercorak ketara selain diperkaya dengan aksesori untuk dipadankan bersama pakaian fashionista untuk musim ini.
Memperaga pelbagai gaya fesyen terkini daripada material denim, antaranya, seluar pendek, weskot comel dan jaket motor yang menonjolkan individualiti fesyen setiap pemakai.
Lambang keremajaan
Bukan itu sahaja, setiap koleksi Jaspal dipadankan pula dengan corak berinspirasi alam semula jadi sekali gus menampakkan keistimewaan setiap helaian yang diperagakan. Bagi koleksi pakaian yang menunjukkan kewanitaan pula, gaun dan blaus serba putih, antara pilihan wajib dimiliki yang dikhususkan untuk gaya dan keselesaan mutlak si pemakai.
FESYEN chic dan funky untuk wanita muda.


Kelainan adalah perkataan yang paling sesuai bagi koleksi musim luruh/sejuk 2013 CPS Chaps. Label ini memberikan kejutan dengan memperkenalkan rekaan baharu yang segar dan kemas. Semua pakaian koleksi tersebut juga dipadankan dengan aksesori unik dan dibawa ke atas pentas dengan gaya tersendiri oleh model-model CPS Chaps.
Jenama CPS Chaps ini dibawa sebagai lambang keremajaan dengan tema tersendiri, The Look of Rock bagi musim luruh/sejuk 2013. Ia juga merupakan koleksi yang disediakan khas sebagai memberi penghormatan kepada dunia rock ‘n roll. Pakaian ini disesuaikan bersama aksesori yang bersifat garang daripada kulit dan kain renda berwarna merah manggis seumpama penampilan bintang rock.
Semua koleksi yang diperagakan disesuaikan dengan pilihan mudah padan yang boleh dipakai ke pejabat, bersantai pada waktu malam atau rekreasi pada hujung minggu.
“CPS Chaps adalah jenama unggul yang menyerlahkan gaya santai ketika di luar, koleksi untuk bergaya di kelab atau sebagai pilihan ultra moden untuk dipakai di tempat kerja oleh profesional dalam industri kreatif. Sementara itu, label Jaspal pula akan terus mengekalkan keseimbangan antara kelembutan dan ciri feminin dan dipersembahkan dalam gaya profesional penuh anggun,” kata Pengurus Besar JPS Fashions Malaysia, Annie Wang.
“CPS Chaps dan Jaspal adalah dua label berbeza dengan harapan untuk memenuhi cita rasa serta mood wanita daripada dua latar yang berlainan. Justeru, kami melihat CPS Chaps dan Jaspal sebagai label sokongan, menawarkan rangkaian yang lebih luas untuk pilihan pelanggan,” tambah Annie pada majlis pelancaran koleksi baharu Jaspal dan pelancaran jenama CPS Chaps di Sunway.

Puisi trio tiga seniman

DARI kiri: Zakaria, Raja Ahmad Aminullah dan Mustapa bergambar bersama buku, Sajak-Sajak 3 Seniman:Kata dan Rupa pada majlis pelancaran buku tersebut di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur baru-baru ini.


GENRE sastera lebih-lebih lagi sajak bukan elemen yang popular untuk diterbitkan menjadi sebuah buku untuk laris dalam pasaran seperti pisang goreng panas lantaran penyampaian isi kandungan yang ‘berat’ dan kurang komersial.
Langkah yang diambil oleh Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBM) untuk menerbitkan naskhah berjudul Sajak-sajak 3 Seniman: Kata dan Rupa boleh dianggap berisiko tinggi berdepan dengan kesukaran memperoleh keuntungan dalam jangka masa yang cepat.
Namun, atas rasa tanggungjawab untuk mengangkat nilai genre sastera ke tahap yang lebih tinggi untuk dijiwai oleh kelompok peminat tegar cabang itu, himpunan sajak-sajak serta lukisan oleh tiga seniman negara menjadi taruhan.
Tiga seniman itu, Mustapa Ibrahim, Raja Ahmad Aminullah dan Prof. Dr. Zakaria Ali, masing-masing yang disifatkan mempunyai persamaan dalam karya sajak serta lukisan yang dihasilkan dalam buku tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd. Khair Ngadiron menyifatkan ketiga-tiga seniman negara itu mempunyai pengalaman yang luas dari segi pemikiran dan diterjemah melalui bait-bait sajak serta lukisan tampak.
“Karya ini memuatkan 104 buah sajak nukilan mereka yang melangkaui subjek politik, agama, sosial dan ekonomi.
“Usaha pertama menghimpunkan tiga seniman ini akan dijadikan kayu pengukur untuk terbitan-terbitan naskhah seumpama ini pada masa akan datang,’’ katanya.
“Dalam tempoh dua tahun, ITBM menerima lebih 1,000 manuskrip untuk dinilai oleh ahli panel namun keutamaan kepada naskhah ini diterbitkan kerana penghasilan yang bermutu.
Kepada bakal pemilik naskhah ini, mereka bukan sahaja dihidangkan dengan ayat-ayat sajak yang sarat dengan makna yang tersirat, malah helaian dalam buku itu turut diselitkan koleksi gambar peribadi Raja Ahmad, lukisan Mustapa dan Zakaria.
Bahasa Inggeris
Lebih istimewa, himpunan sajak itu bukan sahaja boleh dinikmati oleh pembaca Melayu malah ia juga diterbit dalam bahasa Inggeris bagi memberi nilai tambah kepada penggemar sastera merasai keindahan nota puisi itu.
Terdahulu, pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Sasterawan Negara, Datuk Anwar Ridhwan di di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman dalam cabang sastera, tidak ramai pelukis yang boleh menghasilkan penulisan puisi yang baik, kata Anwar.
Namun apabila kedua-dua elemen kemahiran itu bergabung, pelukis khususnya dapat menggarap karya yang mempunyai daya imaginasi yang tinggi serta mampu mencetus impak yang besar.
“Menerusi tajuk buku ini, ia merujuk kepada sajak-sajak yang ditulis dan rupa pula adalah lukisan yang dihasilkan oleh seniman-seniman tersebut.
“Pengucapan tiga tokoh ini berbeza biarpun menyentuh aspek yang sama contohnya seperti cinta terhadap agama dan ini memberi warna dalam seni sajak yang dihimpun untuk tatapan semua peminat sastera,” jelasnya.
Lagipun, sudah lama gugusan nusantara Melayu yang meliputi Malaysia dan Indonesia tidak menghasilkan karya yang menghimpunkan koleksi sajak milik seniman mereka.
Buku tersebut dijual pada harga RM60 di Semenanjung manakala RM65 di Sabah dan Sarawak.

Suri rumah, kerani bawa pulang RM10,000

DEBARAN dirasai oleh sebahagian peserta peringkat akhir.


INISIATIF syarikat pemakanan, kesihatan dan kesejahteraan terkemuka negara, Nestle (Malaysia) Bhd. (Nestle) menganjurkan peraduan berkonsepkan kekeluargaan membuahkan hasil apabila program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat negara ini.
Peraduan Bonanza Hari Keluarga Malaysia Nestle yang bermula dari 1 hingga 30 September lalu berjaya mencatatkan 797,727 penyertaan dari seluruh negara.
Ia memberi peluang kepada para pengguna meraih hadiah bernilai lebih RM2.6 juta. Pertandingan yang dianjurkan sempena kempen Hari Keluarga Malaysia Nestle itu menggalakkan permuafakatan keluarga dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pertandingan itu menyaksikan seorang suri rumah, Roslina Rerah, 41, dari Temerloh, Pahang diumumkan antara 20 pemenang peringkat akhir yang membawa pulang wang tunai RM10,000.
Iklan dii akhbar
“Saya mengetahui mengenai peraduan ini menerusi iklan di akhbar. Saya gembira dengan kemenangan ini kerana ia rezeki anak-anak,” katanya yang mempunyai lima cahaya mata.
Bagi seorang lagi pemenang, Shasithira Gaunseelan, 28, seorang kerani di sebuah institut memandu di Taiping, Perak yang memenangi wang tunai dengan jumlah sama tidak menyangka pelawaan kakaknya untuk menyertai peraduan itu membawa tuah kepadanya.
“Saya tidak sangka dengan kemenangan ini. Saya akan simpan wang tersebut dan sebahagian daripadanya dibelanjakan untuk membawa ibu bapa melancong,” katanya.
ROSLINA memanfaatkan wang dimenangi untuk pendidikan anak-anaknya.


Pusingan akhir yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini menyaksikan 30 peserta berentap dalam beberapa cabaran.
Kemuncak acara menyaksikan 20 peserta memenangi hadiah wang tunai RM10,000 setiap seorang manakala lima pemenang hadiah tempat kedua memenangi wang tunai RM6,000 setiap seorang dan lima pemenang tempat ketiga meraih wang tunai RM3,000 setiap seorang.
Bagaimanapun, tiada dalam kalangan 20 peserta akhir berjaya meraih hadiah utama bernilai RM100,000 selepas mereka gagal meneka dengan tepat lima bintang yang tersembunyi dalam 100 sampul semasa cabaran terakhir.
Ikatan kekeluargaan
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Serantau Nestle Malaysia dan Singapura, Alois Hofbauer dalam ucapannya turut mengaitkan kempen dan peraduan Bonanza itu dengan kepentingan membangunkan ikatan kekeluargaan yang kukuh.
“Kempen Hari Keluarga Malaysia Nestle adalah cara kami mendorong warga Malaysia supaya menghargai nikmat berkeluarga dengan makanan dan minuman berkhasiat kami selain aktiviti yang mampu mengeratkan ikatan kekeluargaan,” katanya.
Bagi meneruskan komitmen syarikat berkenaan dalam menyokong beberapa program memperkasakan institusi kekeluargaan, Nestle menyumbang sebanyak RM500,000 kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Sumbangan itu diterima oleh Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim ketika beliau hadir pada majlis sama baru-baru ini.
Nestle juga menyumbang sebanyak RM300,000 kepada 15 badan amal terpilih di negara ini dengan masing-masing menerima RM20,000 lanjutan daripada janji syarikat berkenaan untuk menderma RM1 bagi setiap penyertaan peraduan.