Monday, July 2, 2012

Cari penulis blog makanan terbaik


ANTARA blogger pelancongan yang hadir memeriahkan pelancaran pertandingan Selangorlicious! Food Blogging baru-baru ini.


SELANGOR sememangnya terkenal sebagai syurga makanan kerana pelbagai cita rasa sama ada Utara, Selatan, Pantai Timur mahupun cita rasa Barat dan Jepun.

Justeru, laman web Selangorlicious bersama Tourism Selangor menganjurkan Selangorlicious! Food Blogging khas untuk blogger pelancongan.

Pernah diadakan tahun lalu, ia kini memasuki edisi kedua yang bermula 15 Jun lalu hingga 15 Julai depan.

Kempen itu diteruskan ekoran sambutan hangat oleh para blogger Malaysia tahun lalu, malah ia diadakan dengan lebih besar tahun ini.

Pertandingan itu terbuka kepada semua blogger dan bukan blogger apabila mereka perlu menulis mengenai pengalaman menyeronokkan ketika menjamu selera di mana-mana lokasi di negeri Selangor.

Peserta boleh menulis dalam tiga bahasa pilihan iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin. Penulisan berkenaan perlu diterbitkan dalam blog dan akan diadili berdasarkan kreativiti selain penggunaan bahasa pilihan dengan betul.

Artikel yang dipilih sebagai pemenang bakal menerima pelbagai hadiah menarik, malah hadiah turut diberikan kepada pemenang mingguan.

"Kuasa tarikan makanan tidak dapat dinafikan. Selangor merupakan lokasi di mana makanan-makanan terbaik dalam negara disajikan.

"Justeru, Tourism Selangor berada di trek yang betul dengan memfokuskan kepada makanan," kata Pengurus Acara dan Pemasaran Tourism Selangor, Fazly Razally.

Dalam pada itu, kempen Selangorlicious turut mengadakan Selangorlicious Eatout, apabila para peserta akan dibawa ke daerah-daerah berlainan setiap bulan untuk menikmati pelbagai makanan yang boleh dinikmati di negeri Selangor.

Penerbitan sokongan untuk membantu pelancong juga akan diterbitkan seperti Selangorlicious Good Food Guide dan Ramadan Promotion Guide.

Untuk maklumat lanjut pertandingan Selangorlicious! Food Blogging sila layari laman web selangorlicious.my.

Sunday, July 1, 2012

Idam ‘pucuk muda’

ELLY... terima ajakan
ELLY... terima ajakan

KUALA LUMPUR: Pantang lihat ‘pucuk muda’, pasti mahu ‘dibahamnya’. Itu tabiat jelik segelintir penerbit dan pengarah filem atau drama tempatan yang tergamak meminta habuan seks daripada pelakon baru sebelum diberi peluang memperaga bakat dalam produksi mereka.

Senario itu bukan sekadar gosip atau khabar angin dalam industri hiburan tempatan, sebaliknya disahkan beberapa pelakon yang pernah berdepan pengalaman membabitkan maruah dan harga diri.

Difahamkan, kelompok penerbit dan pengarah miang itu dikenali di kalangan penggiat seni, cuma tiada pihak berani membuat aduan kepada pihak berkuasa kerana khuatir ‘periuk nasi’ mereka bakal terjejas.

Ikuti pendedahan pelakon terbabit yang berharap ‘barah’ dalam dunia hiburan ini dapat diatasi pada masa depan seperti diluahkan kepada wartawan Metro Ahad.


Bekas peserta program realiti Raja Lawak musim kelima, Elly Sarimah atau nama sebenarnya Sarimah Mohd Daud pernah berdepan situasi menakutkan apabila seorang pengarah drama mengajaknya ke ‘bilik tidur’ ketika dia baru memulakan kerjaya sebagai artis sejak setahun lalu.


Katanya, selepas program Raja Lawak berakhir, dia menerima panggilan daripada seorang pengarah drama yang memintanya datang ke pejabat dengan alasan mahu berbincang mengenai tawaran berlakon.

Tanpa syak wasangka, dia segera ke pejabat pengarah itu namun sebaik sampai, dia terkejut apabila diminta menyerahkan tubuh sebagai syarat mendapat kerja.

“Saya setuju berjumpanya apabila dia mahu beri saya kerja. Namun, saya terkejut apabila dia mengajak saya mengadakan hubungan seks. Apabila saya menolak secara baik, dia seolah-olah mencabar saya supaya berani menyerahkan tubuh.

“Saya bertanya padanya, apakah cara sebegini perlu dibuat untuk dapat tawaran kerja? Dia tetap berdegil mahukan saya akur dengan permintaan itu, tapi saya akhirnya mengambil keputusan menolak tawaran itu,” katanya ketika dihubungi.

Elly berkata, dia tidak mahu memperbodohkan diri dengan menjual maruah semata-mata mahu mendapat tawaran kerja atau meraih populariti dalam masa singkat.

“Kalau mahu buat kerja terkutuk seperti itu, sudah lama saya lakukan, tapi saya mahu mencari rezeki halal. Walaupun pengarah gatal seperti ini menyatakan saya susah dapat kerja lain jika tidak mengikut kehendaknya, saya tidak kisah.

“Kerjaya saya bermula dari bawah sebagai bekas peserta program realiti dan kemudian mencuba nasib sebagai pelakon tambahan.

“Biarlah saya tidak popular atau mendapat tawaran hebat asalkan jujur dan bekerja bersungguh-sungguh,” katanya yang pernah membintangi drama Ini Harta Aku Punya, Biasa Je, Jejaka J dan Luka Seorang Perempuan.

Pelakon berasal dari Taiping, Perak, ini juga pernah melalui peristiwa sama ketika menerima pelawaan seorang lagi pengarah untuk makan malam. Tembelang sebenar pengarah itu terbongkar apabila dia bertindak berani memegang tangan dan merabanya.

“Dia tanya bila mahu ‘bermesra’ dengannya, sedangkan dia sudah berikan saya kerja. Saya yang tak selesa dengan situasi itu pantas bangun dan memarahinya lalu meninggalkan dia.

“Sebelum bergelar artis, saya pernah dengar ada orang bercerita mengenai cabaran dalam industri hiburan ini. Apabila melalui pengalaman hitam seperti ini, baru saya percaya ia benar-benar berlaku,” katanya.

Menurut Elly, yang penting, dia perlu lebih berhati-hati ketika berurusan mengenai sesuatu kerja.

“Jangan percaya janji manis pengarah atau produser yang mahu beri kerja semata-mata menerusi jalan mudah iaitu tidur dengannya.

“Lelaki itu berjanji akan menyimpan rahsia apabila artis perempuan sanggup menjalin hubungan sulit, tetapi itu hanya janji palsu.

“Seboleh-bolehnya, saya mahu berkongsi pengalaman hitam ini dengan artis perempuan lain, terutama yang baru menceburi bidang ini, supaya tidak menjadi mangsa,” katanya yang bakal muncul dengan single, Ke Tepi Ke Tengah tidak lama lagi.

Akim Ahmad Berlakon Untuk Isi Masa Lapang

Akim Ahmad.

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Akim Ahmad menjelaskan kerjayanya sebagai pelakon hanya untuk mengisi masa lapang dan menambah pengalaman sebagai seorang anak seni.

Akim, 21, berkata, dia akan memberikan tumpuan kepada karier nyanyian kerana itu adalah minat utamanya namun memberitahu akan terus berlakon jika diberi kepercayaan oleh pihak produksi.

"Saya seronok dapat berlakon kerana ia memberi satu cabaran lain buat saya sebagai seorang penyanyi. Bagaimanapun saya berlakon hanya kerana ingin memenuhi masa lapang dan mengutip pengalaman buat masa ini.

"Keutamaan saya kini adalah kepada nyanyian kerana itu adalah minat dan cita-cita saya tambahan pula kerjaya baru nak meningkat dan tumpuan perlu diberikan," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Akim menafikan keputusan untuk menjadikan lakonan hanya untuk mengisi masa lapang kerana kecewa dengan penerimaan penonton terhadap filem Horre Horre yang gagal mendapat sambutan.

Akim menjelaskan dirinya langsung tidak kesal dengan sambutan filem itu sebaliknya memberitahu pengalaman yang diperolehinya sepanjang penggambaran sangat berharga.

"Lakonan sentiasa memberikan satu kepuasan lain dan untuk Horre Horre ia mungkin gagal mendapat sambutan penonton tetapi saya sendiri sebagai pelakon pelbagai perkara yang saya timba menerusi filem itu," katanya.

Tambah Akim, dia juga teringin untuk membawakan watak berat dan berlakon di pentas teater yang dianggap penghormatan buat seorang pelakon.

"Jika seseorang dapat berlakon teater bagi saya itu adalah tahap paling tinggi buat mereka kerana bukan mudah dan saya teringin untuk melakukannya suatu hari nanti," katanya.

Sementara itu, Akim gembira dengan kemunculan album pertamanya berjudul Akim Ahmad selepas hampir tiga tahun menunggu dan menganggap penantian itu berbaloi.

Mencipta dua buah lagi selain beberapa lirik untuk albumnya itu, Akim berkata dia berharap ia akan diterima baik oleh peminat yang sentiasa bertanyakan mengenai albumnya.

Antara lagu yang terkandung dalam album tersebut adalah Menunggu, Daya Cinta, Mesti Ada Cinta, Tentang Dia dan Yang Nyata.

Pundi kencing lemah gejala penyakit

SAAT SUKAR... satu daripada empat wanita berusia lebih 35 tahun mengalami LUL sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.
SAAT SUKAR... satu daripada empat wanita berusia lebih 35 tahun mengalami LUL sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.

DUDUK berjam-jam dalam pesawat, tiada rasa mahu buang air kecil. Namun, sebaik hampir mendarat, tiba-tiba timbul rasa hendak terkucil tidak dapat ditahan.

Mata mulai merah dan kalau boleh, mahu berjoget-joget untuk menahan supaya tidak terkencing dalam seluar. Sebaik melepasi kaunter imigresen, rasa hendak kencing tidak mampu ditahan lagi walaupun jarak tandas yang hendak dituju tidak sampai 200 meter.

Situasi seperti itu bukan asing bagi wanita. Rasa hendak buang air kencing yang datang secara tiba-tiba dan tidak boleh ‘berkompromi’ walau sesaat membuatkan individu itu menjadi kelam-kabut dan tidak sempat hendak ke tandas.

Jika anda sering berdepan masalah sukar mengawal pengeluaran air kencing, ia petanda anda menghadapi Lemah Kawalan Kencing (LUL).


Masalah itu yang juga dikenali sebagai inkontinens urinari, lemah pundi kencing atau terkucil turut berlaku ketika ketawa, batuk, bersin, bersenam dan mengangkat barangan.


Kaji selidik Inkontinens Sedunia 2010 Poise mendapati, 30 peratus golongan dewasa di negara ini mengalami LUL dan 70 peratus daripada mereka ialah wanita.

Satu daripada empat wanita berusia 35 tahun ke atas mengalami LUL sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.

Kaji selidik 2011 Poise pula mendapati, 45 peratus daripada 158 responden malu untuk berbincang masalah LUL yang mereka hadapi dan lebih daripada 40 peratus sanggup mengelak daripada menggunakan produk LUL semata-mata bagi menyembunyikan masalah mereka.

LUL bukan penyakit, sebaliknya gejala disebabkan masalah kesihatan atau kadangkala kesan pengambilan ubatan. Masalah itu menjejaskan keadaan fizikal, emosi dan psikologi wanita.

Wanita mengalami LUL lapan hingga sembilan kali lebih kerap berbanding lelaki.
Dianggarkan 10 peratus daripada 65 orang lelaki menderita masalah ini.

Ada yang menganggap LUL tidak akan menjadi lebih teruk dan akan pulih dengan sendiri. Namun, tanggapan itu salah kerana gejala LUL boleh bertambah teruk jika tidak dirawat.

Untuk mengatasi masalah kerap kencing atau rasa ingin kencing yang tidak dapat ditahan, ada pesakit mengambil langkah mengurangkan minum air.

Apapun, langkah itu menyebabkan masalah lain seperti kepekatan air kencing meningkat dan boleh menyebabkan kerengsaan pundi kencing dan mengakibatkan masalah lebih teruk seperti jangkitan penyakit dan dehidrasi.

Pengurangan pengambilan cecair juga boleh menyebabkan masalah sembelit yang boleh memburukkan keadaan.

Perunding perbidanan dan sakit puan, Dr Seri Suniza Sufian, dalam sebuah klip video pendidikan berkata, wanita lebih berisiko mengalami LUL ketika hamil atau selepas melahirkan anak kerana tekanan rahim terhadap pundi kencing.

Proses melahirkan anak juga kadangkala melemahkan otot pelvik selain pertukaran hormon akibat menopaus.

Bagaimanapun, katanya, wanita yang menghadapi masalah LUL tidak harus terlalu malu kerana ada cara untuk menanganinya seperti menjaga diet, mengekalkan berat badan sihat dan melakukan senaman kegel.

“Wanita juga perlu elak minum air batu yang mudah menyebabkan batuk serta mengambil minuman berkarbonat dan mengandungi kafein yang menyebabkan radang atau kerengsaan pada pundi kencing,” katanya.

Klip video itu ditayangkan ketika pelancaran kempen pendidikan ‘Kami juga mengalaminya’ oleh Poise sempena Minggu Kontinen Sedunia bermula 24 Jun lalu.

Hadir sama, Pengurus Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, Sumeet Parab dan duta Poise, Sharifah Shahira serta duta baru, Raja Azura.

Kempen keempat itu bagi mendidik dan menjemput golongan wanita mengambil langkah proaktif mengenai masalah LUL.

Pendekatan lebih mendalam mengenai LUL ialah melalui siri video pendidikan Poise, buku mini, peraduan Poise dan trak mobil Poise yang akan mengunjungi tempat tumpuan orang ramai.

Siri video pendidikan boleh didapati di laman YouTube Poise Malaysia, http:// www.youtube.com/poisemalaysia dan laman Facebook Poise Malaysia di www.facebook.com/Poise.Malaysia.

Menurut Dr Seri Suniza, sebilangan wanita mengalami pundi kencing terlalu aktif (OAB) yang menyebabkan kerap perlu ke tandas atau lebih tujuh hari sehari.

OAB berpunca daripada kerosakan saraf pada penghujung pundi kencing atau penghidap penyakit yang ada kaitan dengan sistem saraf di kalangan Parkinson, sklerosis multiple (penyakit kronik pada sistem saraf yang dialami orang muda dan pertengahan umur) dan dementia (nyanyuk).

Pakar fisioterapi untuk kesihatan wanita, Neng Shahidah Sabullah, berkata bagi wanita yang mempunyai otot lantai pelvik yang baik, LUL jarang berlaku. Ini bermakna, senaman atau bersukan bukan penyebab LUL.

Bagaimanapun, ia meningkatkan tekanan pada bahagian tengah abdomen dan organ pelvik di mana terletaknya perut, pelvis dan rektum.

Oleh itu, cara terbaik untuk membantu jika seseorang itu mengalami LUL ialah melakukan senaman kegel bagi menguatkan otot lantai pelvik (otot di bawah pundi kencing) dan membantu menghalang kebocoran.

“Senaman kegel ialah rawatan berkesan untuk wanita dewasa yang mengalami lemah kawalan kencing dan tidak mendatangkan risiko kesan sampingan.

“Senaman ini perlu dilakukan dengan betul. Pastikan anda selesa dan bernafas secara normal. Kemudian, kemutkan otot pelvik anda seakan cuba untuk menahan kencing. Tahan otot itu selama 10 saat ketika bernafas normal, kemudian relaks.
Ulangi sebanyak 10 kali, tiga kali sehari,” katanya.

Mengikut kajian dan pengalamannya, Neng Shahidah berkata, keberkesanan senaman kegel bagi mengatasi masalah ini ialah 100 peratus.

Pesakit berusia 30 hingga 40 tahun mengambil masa tiga bulan untuk bebas LUL selepas menjalani senaman ini manakala untuk yang lebih berusia, masa antara empat hingga enam bulan diperlukan untuk pulih.


Jenis inkontinen:

1. Inkontinen jenis tekanan (stres)

  • mengalami kebocoran air kecil ketika batuk, bersin, ketawa, bersenam, mengangkat bebanan dan melakukan aktiviti berat.

  • melahirkan anak dan menjalani sesetengah pembedahan boleh melemahkan otot lantai pelvik, menyebabkan kebocoran urin ketika bahagian abdomen mengalami tekanan. Keadaan ini selalunya berlaku pada perempuan yang masih muda.


    2. Inkontinen jenis desakan

  • boleh kehilangan air kencing dalam jumlah yang besar. Wujud perasaan ‘tidak sempat ke bilik air’. Selalunya disebabkan pundi kencing yang terlebih aktif.

  • akibat jangkitan yang menyebabkan radang kepada pundi kencing atau salur keluar pundi kencing atau menyebabkan spasma (pengecutan otot luar kawalan) otot yang memaksa pengeluaran air kencing dari pundi kencing.

  • sembelit juga boleh menyebabkan masalah ini akibat kehilangan keupayaan untuk mengawal otot.

  • strok, kecederaan spinal cord (saraf tunjang), nyanyuk, Parkinson dan sklerosis multiple.


    3. Inkontinen jenis campuran

  • tidak mustahil jika seseorang mengalami simptom inkontinen jenis stres dan desakan serentak. Kedua-dua jenis masalah ini mungkin berkaitan atau sebaliknya, namun tetap perlu diteliti secara berasingan.


    4. Inkontinen jenis melimpah

  • sesetengah wanita mengalami keadaan di mana mereka tiada rasa/desakan untuk kencing atau mengalami keadaan yang mana uretra (saluran keluar air kencing) tersumbat. Dalam kedua-dua keadaan ini, pundi kencing tidak dapat dikosongkan dengan sepenuhnya. Apabila air kencing di dalam pundi berlebihan, ia akan dipaksa keluar. Lemah kawalan kencing jenis ini sering berpunca daripada masalah sistem saraf dan kecederaan pada otot saraf tunjang.


    5. Inkontinen disebabkan penggunaan ubat

    Ada ubat boleh menjadi punca kegagalan kawalan kencing untuk mengecutkan otot atau menghalang isyarat daripada pundi kencing yang penuh ke otak. Dalam keadaan ini, doktor mungkin menukar jenis ubat yang diambil bagi mengurangkan kesan sampingan dialami.


    Apakah yang boleh anda lakukan?

  • Kekalkan berat badan yang sesuai untuk mengurangkan bebanan pada otot lantai pelvik.

  • Amalkan senaman bagi menguatkan otot lantai pelvik.

  • Berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat.

  • Gunakan pelapik seluar yang direka khas untuk masalah LUL. Ia boleh memberikan anda perlindungan daripada kebocoran supaya selesa dan yakin sepanjang hari.
  • Timbul tanda tanya

    pix_middle
    pix_topright

    DI saat kita memperuntukkan waktu malam untuk beristirehat meluangkan masa bersama orang tersayang, sama ada di rumah mahupun di luar, berbeza keadaan bagi segelintir insan kurang bernasib baik apabila terpaksa menantikan kegelapan malam meninggalkan kediaman demi mencari sesuap nasi menampung kehidupan.

    Berbekalkan beg silang dipenuhi bungkus tisu disangkut ke bahu, tangan kanan menggenggam erat produk jualan bakal diserahkan kepada pelanggan, di kirinya memegang tongkat putih, lelaki berusia lewat 40-an berpakaian sedikit lusuh itu perlahan-lahan melangkah mengunjungi setiap meja diduduki orang ramai di sebuah restoran di ibu kota.

    Enak menjamu selera sambil menyaksikan perlawanan bola sepak di kaca televisyen, suapan pelanggan terhenti dek terdengar salam dilantunkan lelaki cacat penglihatan sambil menghulurkan sebungkus tisu muka.

    Lantas, dikeluarkan wang kertas bernilai RM1 untuk diberikan kepada lelaki berkenaan sebelum mengambil barang jualan orang kelainan upaya (OKU) itu.


    Itu antara sinopsis tinjauan wartawan Metro Ahad selama seminggu di sekitar ibu kota merangkumi Gombak, Setapak serta Cheras bagi menyelami kehidupan peminta sedekah yang berselindung di sebalik penjualan tisu.


    Hasil tinjauan itu, banyak persoalan timbul, terutama peranan sebenar si pemandu arah dan kelibat pemandu teksi yang setia menanti, seolah-olah wujud satu pakatan tidak sihat.


    HARI PERTAMA

    Sebelum bermula siri tinjauan, penulis kerap mengunjungi restoran di sekitar Sri Gombak dan pasti kelibat si buta bersama sahabatnya si celik, kelihatan untuk menjana pendapatan dengan meminta sedekah di sebalik penjualan tisu.

    Kunjungan atas tanggungjawab kerja, penulis tiba di restoran jam 9 malam menanti ketibaan si OKU, hampir 30 minit menunggu, penulis membuat keputusan berjalan di kawasan sekitar untuk menghidu kehadiran mereka.

    Keputusan diambil membuahkan hasil apabila penulis bertembung dengan pasangan si buta dan si celik itu di pertengahan jalan sebelum mereka memasuki restoran makanan India.

    Timbul tanda tanya di fikiran penulis, sebelum ini beranggapan proses ‘perniagaan kecil-kecilan’ itu hanya dijalankan di kedai makan dikunjungi umat Islam.

    Sejurus berakhir sesi jualan, lelaki buta ini ditarik keluar oleh pengiring perempuannya menuju ke restoran dikunjungi penulis sebelum itu.

    Langkah diatur pasangan itu terlalu laju, seolah-olah kesuntukan masa, hinggakan penulis yang mengekori terpaksa mempercepatkan langkah, khuatir bayangan subjek hilang di sebalik kegelapan malam.

    Lelaki kurang daya penglihatan itu ditarik oleh pengiringnya menuju ke meja diduduki pelanggan restoran, berdiri tegak di sisi, memberi salam sambil menghulurkan bungkusan tisu.

    Ada yang bermurah hati menghulurkan wang kertas berwarna biru sambil mengambil tisu dijual dan ada juga ikhlas memberikan sumbangan, sebahagian pula hanya menggelengkan kepala.

    Kemudian, pasangan berkenaan berjalan laju menuju ke arah restoran Cina Muslim berhampiran dan mengulangi rutin sama.

    Penulis yang mengekori dalam jarak 100 meter menyedari si buta dan si celik itu kemudian memasuki kedai runcit bersebelahan restoran terbabit selama 10 minit.

    Sebotol air mineral di tangan lelaki buta, dengan rakusnya dia meneguk seolah-olah ingin menghilangkan kehausan teramat sangat. Ketika itu, penulis dapat merasai kepenatan dialami insan tidak bernasib baik itu dalam mencari rezeki menampung kehidupan keluarga.

    Kedua-dua mereka didapati menuju ke perhentian bas berdekatan dan sangkaan penulis, pasangan terbabit menantikan kedatangan bas untuk pulang ke rumah.

    Sebaliknya, mereka pantas menaiki sebuah teksi tidak dihidupkan enjin yang seolah-olah menanti kehadiran pasangan terbabit sebelum berlalu pergi.

    Tinjauan penulis pada hari pertama dikategorikan tidak bernasib baik apabila gagal mendapatkan nombor plat teksi dinaiki pasangan itu. Persoalan yang timbul, adakah si celik dan pemandu teksi berkenaan mempergunakan insan tidak bernasib baik itu demi mengaut keuntungan tanpa perlu mengerah tenaga? Di manakah lokasi perniagaan seterusnya?


    HARI KEDUA

    Berbekalkan maklumat hari pertama tinjauan, penulis tidak lagi menunggu kehadiran si buta bersama pengiringnya di restoran, sebaliknya memilih perhentian bas (tempat si buta mengambil teksi) dengan harapan dapat mengesan kewujudan teksi sebelumnya.

    Penantian bermula jam 9 malam hingga 10.30 malam ternyata sia-sia apabila kelibat si buta mahupun teksi yang sama tidak kelihatan di lokasi terbabit.

    Berikutan itu, penulis bergegas menuju ke Danau Kota, Setapak yang dikatakan antara lokasi popular pasangan si buta si celik.


    HARI KETIGA

    Sebaik tiba di lokasi, penulis memerhati dari bahu jalan bertentangan restoran popular di Danau Kota berbanding duduk di bangku restoran sambil menempah makanan mahupun minuman, dibimbangi terlepas peluang mengekori si buta dan pemandu arahnya.

    Selepas beberapa minit menunggu, pasangan peminta sedekah muncul, cuma beza kedua-duanya perempuan. Melakukan rutin hampir sama, mengunjungi setiap meja pelanggan dan kebanyakan pembeli tidak lokek menghulurkan wang sekurang-kurang RM1 biarpun nilai sebungkus tisu hanya mencecah 30 sen.

    Apabila berakhir sesi jualan, pasangan terbabit keluar dari restoran berkenaan menuju ke kopitiam berdekatan tetapi tidak memasuki premis perniagaan itu sebelum menghilangkan diri daripada pandangan mata penulis.

    Menyedari mereka ‘hilang’, penulis bersama teman membuat keputusan mencari si buta si celik secara berasingan, malangnya hampir tiga kali berkeliaran di kawasan berkenaan, kami terpaksa menerima hakikat bahawa pasangan itu mungkin berniaga di lokasi berlainan.


    HARI KEEMPAT

    Menyedari sesi operasi peminta sedekah seakan-akan aktif pada waktu malam, penulis membuat keputusan meninjau beberapa lokasi, termasuk Damansara dan Gombak, bagi mengenal pasti sama ada mereka juga melakukan ‘operasi’ di siang hari.

    Sebaik melabuhkan punggung di kerusi sebuah restoran India Muslim di Damansara, soalan pertama diajukan penulis kepada pelayan, adakah mereka menyedari kelibat penjual tisu buta bersama temannya.

    Pelayan dikenali sebagai Abdul, 32, mengakui pasangan terbabit pernah mengunjungi restoran berkenaan pada waktu tengah hari, namun penulis tidak berpeluang bertembung dengan mereka.

    Kemudian, penulis menuju ke Gombak sambil berharap bertemu peminta sedekah bersama pemandu arahnya. Tiba di gerai minuman, soalan sama diajukan kepada pemilik kedai berkenaan dikenali sebagai Salmiah, 40.

    Menurut Salmiah, penjual tisu buta kerap mengunjungi setiap gerai berdekatan, terutama pada waktu malam.

    Kelihatan ragu-ragu dengan soalan penulis, Salmiah teragak-agak untuk meneruskan perbualan, mungkin bimbang kenyataannya disalah tafsir.

    Baginya, kehadiran peminta sedekah di gerainya tidak memberi kesan negatif terhadap perniagaan, sebaliknya berkongsi rezeki yang diperoleh daripada kunjungan pelanggan.

    Mengerti dengan kekurangan dimiliki insan tidak sempurna itu, Salmiah tidak pernah menghalau penjual buta itu daripada mengunjungi gerainya.

    Selepas beberapa kali meronda kawasan berkenaan menaiki motosikal, penulis pulang ke pejabat dengan satu kesimpulan - operasi dijalankan golongan si buta bersama ‘teman’ lebih aktif pada waktu malam dan hanya segelintir berkeliaran di siang hari.


    HARI KELIMA

    Seawal jam 8.30 malam, penulis bersama jurugambar berjanji untuk bertemu di sebuah gerai sup popular di Cheras yang dikatakan kerap dilawati peminta sedekah bersama pemandu arahnya.

    Sempat menghabiskan semangkuk sup, penantian berakhir apabila dua perempuan berbaju kurung, dengan seorang daripadanya OKU penglihatan, mula mendekatkan diri dengan pelanggan gerai itu.

    Jurugambar yang menyedari kehadiran si buta dan si celik kemudian meninggalkan meja dan mencari lokasi sesuai untuk merakam gambar.

    Apabila tiba di meja penulis, wanita buta berwajah lembut berusia lingkungan awal 30-an memberikan salam sambil menghulurkan sebungkus tisu. Sambil mengeluarkan duit, pantas penulis bertanyakan dari mana mereka datang.

    Seakan-akan terkejut dengan pertanyaan itu, wanita buta yang memakai kad OKU dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tergagap-gagap menjawab dari Brickfields, manakala pemandu arahnya, diyakini warga Indonesia, pantas menarik lengan si buta menuju ke gerai seterusnya.

    Reaksi ditonjolkan penjual buta itu mengundang persepsi sama ada dia tidak pernah berbual dengan pembelinya atau tidak menyangka ada insan mempersoalkan kedatangannya ke gerai terbabit.

    Pasangan si buta si celik itu kemudian mengunjungi setiap gerai makanan berdekatan stesen LRT Salak Selatan sebelum melintas jalan untuk ke bangunan rumah kedai berdekatan.

    Menariknya, ketika mengekori penjual buta terbabit, penulis bertembung satu lagi pasangan peminta sedekah perempuan berusia lewat 30-an dari arah bertentangan menuju ke barisan gerai makan sama.

    Fokus terhadap pasangan pertama, penulis terus mengekori sebelum mendapati mereka menuju ke jalan utama seolah-olah operasi perniagaan berakhir. Hampir lima minit berada di bahu jalan raya, sebuah teksi berhenti dan membawa mereka meninggalkan lokasi berkenaan.


    HARI KEENAM

    Hasrat ingin mengintip kelibat wanita sama menjual tisu hampir gagal. Penulis tiba untuk makan di medan selera sama lebih awal daripada hari sebelumnya.
    Sebenarnya ingin melihat sama ada teksi membawa sepasang wanita ditemui semalam adalah sama.

    Penulis meletak kenderaan di kawasan berhampiran bagi meninjau kelibat si buta dan si celik.

    Hampir dua jam berlalu, langsung tidak kelihatan orang yang dinanti, menyebabkan penulis terpaksa mengesat peluh berkali-kali.

    Jam hampir menunjuk 10 malam menyebabkan penulis resah lalu menghidupkan enjin kereta dan meronda kawasan sekitar.

    Sebaik tiba di deretan rumah kedai baru, terpandang dua wanita berjalan pantas melintas jalan terus menuju teksi bandar yang sedia menunggu di seberang.

    Tidak pasti mereka ‘teman subahat’, penulis terus mengekori.

    Perjalanan tidak sampai 10 minit itu rupa-rupanya berhenti di satu persinggahan baru. Kali ini medan selera di kawasan berhampiran menjadi destinasi pilihan buat meneruskan kerja menjual tisu.

    Sebaik diturunkan, pasangan si celik si buta pantas menuju ke deretan kedai makan masih dipenuhi penduduk sekitar.

    Modus operandi sama, dengan riak wajah sayu sambil tangan menghulurkan tisu, si buta berjaya memancing pelanggan menghulurkan sekeping not biru.

    Sedar tidak sedar, tugasan mereka di deretan warung makan berkenaan selesai.

    Kali ini tangan melambai tinggi dan teksi menghampiri dan membawa mereka kembali menuju ke jalan utama mengarah ke bandar raya.

    Terus mengekori, namun misi menjejaki terhenti apabila teksi diekori hilang daripada pandangan apabila menyusup laju di celah-celah kenderaan.


    HARI KETUJUH

    Pada jam 9 malam, di Jalan Jernai 2, Gombak, penulis ternampak satu lagi pasangan peminta sedekah melakukan modus operandi sama iaitu restoran, melewati meja pelanggan, hanya bertutur dengan memberi salam, menghulurkan tisu dan mengulangi rutin sama, manakala temannya sibuk mengheret insan OKU ke meja seterusnya tanpa sempat mengucapkan terima kasih kepada pembeli.

    Sebaik menyedari mereka mula meninggalkan restoran, penulis bersama teman mengekori dan mendapati pasangan ini menuju ke sebuah restoran menyajikan makanan Arab.

    Biarpun menerima sedikit gangguan daripada lelaki dari negara padang pasir yang juga pelanggan restoran, si buta tetap meneruskan operasi.

    Restoran Arab itu menjadi destinasi akhir ‘perniagaan’ si buta dan si celik ini yang kemudian berpatah balik sebelum berhenti di sisi sebuah kereta keluaran tempatan yang diletakkan berdekatan.

    Pemerhatian penulis yang berada di seberang jalan mendapati, si buta duduk mencangkung berhampiran tayar belakang manakala pengiringnya, dipercayai warga seberang, berdiri di bonet sambil memerhati keadaan sekeliling.

    Hampir 10 minit dalam keadaan demikian, muncul seorang lelaki dan wanita berjalan mendekati kenderaan terbabit.

    Wanita bertudung merah itu kemudian duduk di tempat pemandu, lelaki di bahagian penumpang depan manakala si buta dan si celik bergegas masuk ke dalam kereta berwarna kelabu itu sebelum meninggalkan kawasan terbabit.

    Berbekalkan maklumat jenis kereta dan nombor plat, penulis menuju ke lokasi strategik yang mungkin menjadi tumpuan peminta sedekah iaitu Danau Kota tetapi tidak berjaya menemui pasangan mahupun kenderaan sama.

    Berdasarkan siri pemerhatian penulis, timbul banyak persoalan bukan saja mengenai insan kurang bernasib baik itu, malah individu di belakang mereka.

    Siapakah sebenarnya lelaki mahupun wanita yang lengkap berbaju kurung dan kepala dilitupi tudung mengiringi insan tidak bernasib baik itu?

    Ada yang mengatakan kebanyakan ‘pengiring’ berstatus warga Indonesia berdasarkan iras wajahnya.

    Apakah hubungan yang terjalin antara mereka? Jika benar wujudnya ikatan perkahwinan sah, seharusnya ia tidak memberi kesan kerana isteri digalakkan meringankan bebanan suami. Namun bagaimana pula jika sebaliknya?

    Benarkah pemandu arah ini ikhlas membantu golongan OKU atau sekadar ingin mengaut keuntungan bersumberkan pendapatan jualan si buta? Bagaimanakah pembahagian antara mereka dilakukan? Bagaimana pula tanggapan masyarakat terhadap golongan OKU yang terdesak mencari rezeki halal tetapi dimanipulasi insan celik, sekali gus menutup periuk nasi mereka?

    Terbang bagai seekor burung



    IA hampir sama seperti adegan filem adi wira tetapi aksi Yves Rossy tidak melibatkan sebarang kesan khas.

    Baru-baru ini, rakyat Switzerland yang dikenali sebagai Lelaki Jet itu mengejutkan penumpang sebuah pesawat vintaj apabila dia terbang bersama mereka pada kelajuan 205 kilometer sejam selama kira tujuh minit menggunakan sepasang sayap yang dipacu kuasa jet.

    Walaupun bekas juruterbang berusia 53 tahun itu tidak lagi asing untuk aksi seperti itu, ini merupakan kali pertama beliau terbang bersebelahan pesawat penumpang, Douglas DC-3 ketika pesawat tahun 1940-an itu melintasi Tasik Lucerne di Switzerland.

    Untuk aksi terbaharunya pada Jumaat minggu lalu, dia terjun daripada sebuah helikopter pada ketinggian 6,000 kaki.

    Semasa jatuh, bekas kapten Swiss International Airlines itu menstabilkan dirinya dengan sebuah beg sandang Kevlar karbon yang keras berupa sepasang sayap yang dilengkapi empat enjin jet yang dianggap sebagai sebahagian daripada tubuhnya.

    Dia kemudian terbang pada ketinggian 4,500 kaki bersebelahan Douglas DC-3 dan boleh dilihat dengan jelas oleh penumpang kapal terbang dua kipas itu.

    Apabila kehabisan minyak, Rossy membuka payung terjun dan mendarat di Lapangan Terbang Buochs, Nidwalden, tengah Switzerland.

    Menurut laman web Rossy, www.jetman.com, dia merupakan orang pertama dan satu-satunya manusia dalam sejarah yang terbang menggunakan sayap berkuasa jet.

    Kerjaya Rossy bermula sebagai juruterbang pesawat pejuang selama 18 tahun. Selepas itu, dia menjadi kapten bagi beberapa penerbangan komersial.


    SAYAP berkuasa jet membolehkan Rossy melakukan aksi seperti seekor burung di angkasa.


    Laman web itu berkata, dia telah menghabiskan semua masa lapangnya untuk terbang dan bereksperimen dengan segala bentuk sayap yang akan membawanya terbang bebas di angkasa.

    Rossy telah melintasi Banjaran Alps di Switzerland termasuk Tasik Geneva pada tahun 2002 dan pada 2008 dia menyeberangi Selat Inggeris. Kesemua rekaannya kini sudah diperhalusi supaya semuanya berada dalam keadaan selamat di samping alat kawalan yang kecil di tangannya.

    Projek

    Sayap itu bukan sahaja direka dan dimajukan oleh Rossy sendiri bagi membolehkannya terbang tetapi dia turut menguji alat itu sejak 11 tahun yang lalu.

    Pada Jun 2004, Rossy berjaya menerbangkan sayap berenjin yang diletakkan di belakangnya selepas terjun daripada sebuah pesawat Pilatus pada ketinggian 4,000 meter.

    Beberapa saat selepas itu Rossy mula membuka sayapnya dan menghidupkan enjin serta mengambil masa selama 30 saat untuk menstabilkan badannya.

    Selepas berjaya mengawal sayap, Rossy akhirnya berjaya terbang pada ketinggian 1,600 meter dan meluncur beriringan dengan pesawat Pilatus pada kelajuan 180 kilometer sejam.

    Sepanjang penerbangan selama empat minit itu, Rossy perlu menggerakkan badannya untuk mengemudi pergerakan sayap sama seperti yang dilakukan oleh seekor burung.

    Sejak penerbangan sulung itu, Rossy telah terbang sebanyak lebih 50 kali.


    ROSSY mengambil masa selama tiga tahun sebelum boleh terbang seperti ini.


    Projek Rossy itu memperoleh permit daripada Pejabat Persekutuan untuk Penerbangan Awam Switzerland (FOCA) dan dilindungi insurans. Projek itu ditaja oleh syarikat pembuat jam terkemuka Switzerland, Breitling.

    Rossy gemar menggambar dirinya seperti seekor burung. "Saya tidak mempunyai bulu tetapi kadangkala saya berasa seperti seekor burung," katanya.

    Bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan, Rossy berkata seseorang perlu mengambil masa selama beberapa tahun sebelum boleh terbang sepertinya.

    Relaks

    "Meluncur di udara adalah berbahaya dan rumit. Tetapi sebaik sahaja anda terbang, segalanya menjadi mudah," katanya kepada laman berita Jerman, Spiegel Online pada tahun 2008.

    Menurut Rossy, perkara paling getir semasa berlepas ialah membetulkan sayap ketika berada di dalam kapal terbang sebelum terjun.

    "Berat sayap itu kira-kira 55 kilogram. Selepas enjin dihidupkan, saya biarkan seketika supaya deruman enjin itu stabil kemudian barulah saya membuat lompatan.

    "Memang sukar untuk membetulkan kedudukan daripada jatuh menjunam kepada terbang secara mendatar dan dalam masa yang sama memecut enjin. Bagaimanapun, apabila sayap yang saya cipta ini betul-betul bagus dan mudah dikawal nanti, pada masa itu nenek saya pun boleh terbang," katanya ketawa


    PAYUNG terjun merupakan satu-satunya cara Lelaki Jet ini mendarat.


    Adakah seseorang memerlukan keadaan fizikal tertentu untuk menjadi Lelaki Jet? Ia hanya diperlukan pada permulaan, kata Rossy.

    "Ia sama seperti menyelam. Selagi anda tidak berada di dalam air, keadaannya sama seperti burung penguin yang berjalan terkedek-kedek di pantai.

    "Namun, sebaik sahaja masuk ke dalam air, semuanya berjalan lancar dan bersahaja. Saya terbang secara relaks, tanpa perlu mengerah otot dan tenaga. Hakikatnya, tubuh saya merupakan sebahagian daripada objek terbang," beritahu Rossy.

    Ketika ditanya apa perasaannya dapat terbang seperti burung, Rossy menjawab dia betul-betul rasa bebas.

    "Saya sudah terbang dengan bermacam jenis pesawat tetapi saya dikelilingi pelbagai peralatan yang perlu dikawal. Dengan sayap ini, seolah-olah saya sendiri sedang terbang," ceritanya yang tidak menganggap dirinya sebagai seorang kamikaze.

    Bagaimanapun, Rossy hanya boleh berada di udara selama kira 10 minit. Selain kehabisan minyak, suhu panas enjin membuatkan tubuh Rossy berbahang apatah lagi dia perlu mengenakan sut lengkap sama seperti yang dipakai pemandu kereta lumba atau ahli pasukan bomba.

    Haiwan ajaib Galapagos


    George yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun ditemui mati Ahad minggu lalu.


    HARAPAN para saintis untuk melihat Lonesome George - seekor kura-kura gergasi Galapagos, meninggalkan baka berakhir apabila haiwan itu ditemui mati di Puerto Ayora, Pulau Santa Cruz, Ecuador pada 24 Jun lalu.

    Puerto Ayora terletak di selatan Taman Negara Galapagos.

    Dianggarkan berusia lebih 100 tahun, kura-kura berstatus duta Kepulauan Galapagos itu berjaya menarik lebih 180,000 pelancong untuk mengunjungi pulau itu tahun lepas.

    George dipercayai kura-kura terakhir daripada subspesies Geochelonenigra abingdoni. Kepulauan itu masih dihuni kira-kira 20,000 ekor kura-kura gergasi daripada 13 subspesies.

    "Pada waktu pagi semasa seorang renjer sedang meronda, dia menemui George mati di pusat pembiakan kura-kura gergasi.

    "Kehidupan kura-kura ini telah berakhir, namun kami merancang untuk mengawet bangkainya bagi dijadikan tatapan pelancong pada masa hadapan," kata ketua taman itu, Edwin Naula.

    Bangkai haiwan bertaraf selebriti itu ditempatkan di dalam sebuah kebuk sejuk bagi mengelakkannya daripada mereput. Saintis berkata, kematian George akan melenyapkan spesies itu.

    George mempunyai kisah hidup yang tersendiri. Ia ditemui pada tahun 1972 di Pulau Pinta, salah sebuah pulau di Kepulauan Galapagos.

    Sama seperti namanya Lonesome George, haiwan itu hidup bersendirian dan kesepian sepanjang hayatnya.

    George tidak mempunyai anak. Walaupun ia cuba dibiakkan bersama dua kura-kura betina berlainan spesies, hasilnya mengecewakan.

    Diburu

    Pada tahun 2009, pegawai Ecuador mengumumkan seekor daripada dua kura-kura betina yang tinggal bersama George telah menghasilkan sebanyak lima biji telur. Malangnya kesemua telur itu gagal menetas.

    George hidup bersama dengan kura-kura betina daripada jenis Geochlone becki itu sejak tahun 1993.

    Populariti George bukan calang-calang bahkan berjaya menarik perhatian ikon terkenal Angelina Jolie dan Brad Pitt untuk melawat taman negara itu.

    Lokasi tempat kura-kura itu tinggal juga dikunjungi oleh ribuan pelancong setiap tahun.

    Mereka mengambil peluang bergambar dengan makhluk pelik di muka bumi itu.

    Bagaimanapun, sejak kedatangan manusia ke kepulauan itu, jumlah kura-kura gergasi menurun secara signifikan.

    Ia sering diburu kerana dagingnya manakala habitat semula jadinya turut dirampas oleh gerombolan kambing yang dibawa oleh penternak.


    TAMAN Negara Galapagos pernah dikunjungi pasangan selebriti Angelina Jolie dan Brad Pitt (dua dan tiga dari kanan).


    Namun, usaha penyelamatan oleh Taman Negara Galapagos dan Yayasan Charles Darwin untuk menambah kembali populasi kura-kura itu mula berhasil.

    Secara umum, populasi kura-kura gergasi Galapagos meningkat daripada hanya 3,000 ekor pada tahun 1974 kepada 20,000 ekor sekarang.

    Selain kura-kura gergasi, Kepulauan Galapagos juga terkenal sebagai rumah kepada berbagai spesies haiwan dan tumbuhan yang unik.

    Keajaiban alam dan kebiasaan kura-kura Galapagos yang boleh hidup sehingga 200 tahun telah mencetuskan idea kepada saintis Britain, Charles Darwin untuk memperkenalkan teori evolusinya.

    Ketua Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah, berkata usaha untuk memastikan kura-kura gergasi terus hidup sememangnya agak sukar.

    "Selain masalah kesihatan kerana usia yang lanjut, haiwan ini sensitif terhadap makanan yang diberikan.

    "Selain itu, ia sukar menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang berbeza daripada habitat asal," katanya kepada Jurnal.

    Jelasnya, pihak Zoo Negara juga mempunyai kura-kura gergasi daripada spesies Aldabran iaitu kura-kura kedua terbesar di dunia selepas spesies Galapagos tetapi usaha untuk membiakkan haiwan itu bukan mudah.

    "Namun, itu tidak bermakna kita akan berhenti berusaha membiakkannya sebaliknya banyak lagi penyelidikan saintifik perlu dilakukan," beritahu beliau.