Tuesday, May 31, 2011

‘Jangan besarkan gosip’

Kisah hubungan cinta Fahrin dengan anak penerbit heboh diperkatakan

JEJAKA kacak bertubuh sasa ini duduk di hadapan sekumpulan media ibarat seorang pesalah yang sedang menanti hakim menjatuhkan hukuman. Hati bergetar, jantung berdebar. Cuma bezanya, senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya seolah-olah mengetahui apa tujuan temubual petang itu diadakan.

Pastinya apa yang berlegar di benak pelakon Fahrin Ahmad adalah perkara itu tentunya ada kaitan dengan gosip yang mengatakan yang dia kini dijangkiti virus cinta seorang penerbit, Zetty Adila Ramly yang juga anak kepada pemilik syarikat produksi Global Station Network, Zaiton Muhd Jiwa atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ton.
Sebagai seorang yang pernah melalui pengalaman seperti ini, Fahrin bijak mengawal situasi. Justeru, dari awal lagi dia meminta kepada edia supaya tidak terlalu digembar-gemburkan perkara ini.“Memang tiada hubungan cinta. Tak perlulah memperbesar-besarkan perkara ini kerana memang tiada apa yang berlaku antara kami kecuali hubungan sebagai pelakon dan penerbit. Saya tak mahu apabila perkara ini digembar-gemburkan, orang akan salah sangka.

“Sebagai pelakon yang bekerja di bawah syarikat Global Station Network, saya tak nak nanti orang akan menganggap berlaku pilih kasih apabila saya dilihat kerap berlakon di bawah produksi syarikat ini. Itu akan menyusahkan pihak produksi dan saya sendiri. Saya tak mahu disebabkan gosip ini, produksi itu tidak mahu mengambil saya berlakon di kemudian hari,” kata Fahrin ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Suria di Cordoba arahan Mohamed Feroz Kadir.

Tambahnya, perkara itu mungkin timbul disebabkan ada yang melihat kemesraan mereka bagaikan pasangan kekasih.

“Biasalah pelakon dan penerbit memanglah kena mesra. Tapi tidaklah seperti pasangan bercinta,” pinta Fahrin mengharap secebis pengertian.
Bukan saja Fahrin yang tak selesa dengan gosip itu, Adila juga berkongsi rasa yang sama. Walaupun agak keberatan mengulas perkara itu pada awalnya, namun untuk tidak mahu terus mengelirukan pelbagai pihak, Adila mengalah juga akhirnya.

“Masa mula-mula mendengar gosip itu, memang kelakar sangat. Tapi apabila ramai yang bertanyakan perkara sama, saya mula tak selesa.

“Antara saya dengan Fahrin, hubungan kami terbatas setakat kerja. Mungkin orang melihat status kami sama-sama single membuatkan kami digosipkan bercinta,” katanya dalam nada yang cukup tenang.

Diusik pertanyaan adalah pemergiannya ke Cordoba itu bertujuan menemani Fahrin, Adila menafikan sekeras-kerasnya.

“Saya memang kena berada di Cordoba kerana diperlukan untuk menguruskan pelbagai perkara termasuk permit. Lagipun pada masa itu, pelakon Sari Yanti hanyalah seorang saja pelakon wanita yang ada. Jadi saya perlu menemaninya, apatah lagi dia sedang hamil,” katanya yang juga mengharapkan agar gosip ini segera dihentikan supaya pelakon lain tidak salah anggap dengan saya dan menuduh saya ini cuba mengamalkan sikap pilih kasih.

Rehat dari berlakon drama bersiri

BANYAK komitmen yang perlu diberi perhatian apabila memilih untuk membintangi drama episod. Dan perkara yang harus menjaga keutamaan adalah waktu penggambaran yang agak panjang seperti yang dilalui Fahrin untuk drama Suria di Cordoba ini.Dan disebabkan itulah Fahrin berkata dia mahu berehat dari berlakon dalam drama bercorak rantaian.

“Tempoh penggambaran yang panjang membuatkan saya tidak mahu berterusan berlakon dalam drama bersiri. Untuk menghasilkan mutu lakonan yang baik, saya memang tidak mengambil tawaran lain.

“Justeru, selepas ini saya mahu berehat seketika daripada berlakon dalam drama bersiri. Lagipun saya akan terbabit dalam perniagaan internet. Maklumat lanjut mengenai perkembangan terbaru ini saya hebahkan dalam sidang media khas. Masa itu nanti saya akan jelaskan segala-galanya,” kata fahrin yang bakal bekerjasama dengan jutawan internet, Irfan Khairi untuk projek khas itu.
Mengenai kesediaannya berlakon dalam drama bersiri itu, Fahrin berkata pakej yang ditawarkan produksi berkenaan membuka hatinya untuk membawakan watak sebagai Tengku Huzir.

“Drama ini menyaksikan saya melakonkan tiga peralihan watak, daripada seorang yang jahil berubah kepada seorang yang dekat dengan agama. Selain wataknya yang menarik, Global Station Networks juga mempunyai reputasi yang baik di kalangan pelakon, tidak bermasalah serta pasangan pelakon yang memang saya selesa untuk berlakon bersama mereka.

“Saya akui memang cerewet dari segi itu dan bila berpuas hati, barulah saya setuju untuk terbabit dalam produksi itu,” katanya.

PROTON bakal masuk Poland

 PEMBABITAN PROTON dalam arena sukan seperti Rali Antarabangsa   mendorong minat syarikat asing pasarkan kereta nasional.
PEMBABITAN PROTON dalam arena sukan seperti Rali Antarabangsa mendorong minat syarikat asing pasarkan kereta nasional.
Konglomerat minat edar kereta nasional, Lotus ke Eropah

JENAMA Proton semakin mendapat perhatian di pasaran antarabangsa apabila sebuah konglomerat Poland, Marvipol SA berminat untuk mengedarkan kereta nasional itu di negara berkenaan.

Selain kenderaan PROTON, syarikat pengedaran kenderaan terbesar di Poland yang memiliki hak pengedaran rasmi jenama Land Rover, Jaguar, Aston Martin dan Caterham itu, turut berminat mengimport model keluaran Group Lotus plc.
Jika menjadi kenyataan, beberapa model terpilih PROTON dan Lotus bakal memasuki pasaran negara yang sedang berkembang pesat di kalangan negara Eropah itu, tahun depan.Mengikut sumber, Proton dan Marvipol sedang dalam peringkat rundingan awal berhubung perkara itu.

“Marvipol sudah menyatakan minat kepada PROTON untuk menjadi pengedar eksklusif kenderaan Proton dan Lotus di Poland. Kedua-dua pihak sedang mengadakan rundingan dan ia masih lagi pada peringkat awal.

“Jika tiada aral melintang, pengurusan PROTON dijangka mengusulkan rancangan ini (mengeksport kenderaan PROTOn dan Lotus ke Poland) kepada Lembaga Pengarah untuk diluluskan secepat mungkin supaya kumpulan pertama (kereta PROTON dan Lotus) dapat dieksport tahun depan,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.

Sumber itu berkata, model kereta PROTON dan Lotus yang akan dieksport ke Poland masih belum dimuktamadkan, namun difahamkan, antara model berpotensi ialah Exora, Satria Neo, Persona serta kereta global pertamanya, Emas.
Model Lotus pula Lotus adalah Esprit, Elan, Elite, Eterne dan Elise.

Pengurusan PROTON gagal dihubungi bagi mengulas perkembangan itu.

Namun, penganalisis automotif berkata, jika rundingan antara Proton dan Marvipol itu dimuktamadkan, ia meletakkan PROTON dalam landasan terbaik untuk mengukuhkan kedudukannya menjadi satu jenama global yang dapat diterima baik di pasaran antarabangsa.

“Syarikat yang ditubuhkan pada 1985 itu dilihat makin matang dan ia kini lebih bersedia menumpukan kepada pasaran antarabangsa berbanding pasaran domestik,” katanya sambil menambah langkah pengembangan pasaran eksport PROTON itu juga seiring perubahan landskap industri permotoran global yang menuntut pengeluar kereta nasional itu menetapkan hala tuju baru untuk terus kekal berdaya saing.

Ketika ini kira-kira 70 peratus daripada kereta PROTON dijual di pasaran domestik dan antara 20 peratus hingga 25 peratus dieksport.

Selain pasaran Asia Tenggara, antara negara yang sudah diterokai PROTON termasuk Iran, China, Mesir dan India tidak lama lagi.

CELCOM Axiata perkenal 5 perayauan antarabangsa

CELCOM Axiata Bhd memperkenalkan lima kadar perayauan antarabangsa lebih komprehensif dengan panggilan serendah RM3.50 seminit, manakala SMS pula daripada 65 sen untuk pelanggan pascabayar dan korporatnya.

Menerusi pakej baru itu, Celcom menyatukan lebih 160 kadar perayauan antarabangsanya kepada lima kadar zon dengan kadar rata.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata zon pertama membabitkan Singapura dengan pelanggan hanya dicaj RM1.90 untuk panggilan antara perayauan dan panggilan ke Malaysia dengan RM3.50 seminit, manakala 65 sen untuk setiap SMS.
Beliau berkata, zon kedua membabitkan negara Asia Pasifik, pelanggan hanya dicaj RM3 untuk panggilan antara perayauan dan RM5.50 untuk panggilan ke Malaysia setiap minit, selain 98 sen untuk setiap SMS.

Sementara zon ketiga pula membabitkan Eropah, Amerika Utara dan Kanada dengan kadar panggilan antara perayauan hanya RM3.50 dan panggilan ke Malaysia RM8.50 seminit, manakala caj 98 sen untuk setiap SMS.

“Bagi zon empat untuk negara Asia Barat dan zon kelima (seluruh dunia), kadar rata untuk panggilan antara perayauan masing-masing RM3.50 dan RM4, manakala panggilan ke Malaysia pula hanya RM10 dan RM12 seminit sementara setiap SMS dicaj 98 sen,” katanya.

Menerusi kadar baru itu, Shazalli berkata, pelanggan Celcom akan menikmati penjimatan caj panggilan suara sehingga 38 peratus, manakala kadar lebih murah dengan tambahan penjimatan kira-kira 25 peratus untuk panggilan berbanding kadar terdahulu di 15 negara yang sering dilawati pelanggannya termasuk United Kingdom, Singapura, Jepun, Indonesia, Amerika Syarikat dan China.
Bagi memenuhi keperluan pelanggan, katanya, Celcom turut memperkenalkan perayauan data tanpa had menerusi rakan rangkaian di 12 negara untuk kadar rata rendah tunggal RM38 sehari di bawah kempen Axiata Roam.

MEASAT tawar khidmat satelit jalur lebar

MEASAT Global Bhd (MEASAT), pengendali satelit tunggal negara akan menawarkan perkhidmatan satelit jalur lebar di pasaran tempatan, mulai 1 September ini, menerusi penggunaan khidmat satelit yang dikenali sebagai MEASAT-5.

Ia susulan termeterainya perjanjian membabitkan anak syarikat Measat dengan pengendali satelit swasta tunggal Thailand, Thaicom Public Company Ltd (Thaicom) di Nonthaburi, Thailand, semalam.
Perjanjian membabitkan tempoh 10 tahun itu membolehkan Measat diberikan hak eksklusif penggunaan sebahagian besar kapasiti dalam satelit milik Thaicom, iaitu IPSTAR, sehingga tujuh peratus.
Menerusi hak eksklusif itu, ia membolehkan Measat menjadi sebahagian operator pengendali satelit IPSTAR, sekali gus dapat menyediakan kemudahan kapasiti jalur lebar serta lain-lain perkhidmatan jalur lebar yang berkaitan untuk dipancarkan di Malaysia.

Pengerusi Measat, Datuk Umar Abu, berkata inisiatif MEASAT-5 itu adalah sejajar misi kumpulan itu untuk menjadi pembekal perkhidmatan komunikasi satelit dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi di Malaysia.

“Perkongsian dengan Thaicom dalam projek ini akan membolehkan Measat mengembangkan sokongannya kepada syarikat telekomunikasi tempatan dalam menyediakan sambungan ke semua kawasan di Malaysia sejajar dengan projek Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pancaran satelit daripada IPSTAR itu berupaya menjanakan spektrum jalur lebar yang memiliki kapasiti sekitar 1,894 megahertz (MHz), atau sehingga 3.3 gigabit sesaat (Gbps) sambungan Protokol Internet.
“Pancaran yang diperoleh itu dijana daripada tujuh peratus daripada kapasiti jalur lebar keseluruhan satelit IPSTAR. Bahagian Malaysia ini akan dipasarkan sebagai MEASAT-5,” katanya.

Sebagai tambahan, Measat menerusi anak syarikatnya, Measat Satellite Systems Sdn Bhd turut akan memperoleh kemudahan IPSTAR sedia ada, yang akan dipindahkan ke Pusat Teleport dan Penyiaran Measat di Cyberjaya.

Umar berkata, MEASAT merancang menyediakan kapasiti jalur lebar di MEASAT-5 kepada pengendali telekomunikasi sedia ada dan baru di seluruh negara bagi perkhidmatan mudah alih dan untuk menyokong inisiatif kerajaan termasuk Penyediaan Perkhidmatan Universal ke kawasan yang tiada sambungan atau sangat kurang sambungan di dalam negara.

Satelit jalur lebar IPSTAR adalah salah satu satelit komunikasi terbesar pernah dilancarkan, yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada jutaan pengguna di 14 negara di Asia Pasifik, dengan kapasiti jalur lebar lebih 45 Gbps.

Kini, ia menyediakan perkhidmatan penuh satelit jalur lebar ke seluruh negara di 13 negara dengan 17 gerbang di Australia, Kemboja, China, India, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Bercumbu sambil mandi pantai

AKSI pasangan yang menjadikan kawasan pantai Air Papan sebagai destinasi untuk melakukan maksiat.
AKSI pasangan yang menjadikan kawasan pantai Air Papan sebagai destinasi untuk melakukan maksiat.
Segelintir pengunjung tayang aksi ‘ringan-ringan’ sekitar kawasan sunyi

MERSING: Sikap segelintir pengunjung pantai Air Papan, di sini, yang menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat bermadu kasih amat dikesali dan tidak disenangi pengunjung lain serta penduduk tempatan.

Mereka memilih kawasan sunyi di sekitar pantai berkenaan sebagai sasaran untuk duduk berdua-duaan selain secara terbuka melakukan aksi ‘ringan-ringan’ tanpa menghiraukan pengunjung lain.
Gelagat mereka jelas tidak disenangi pengunjung yang kebanyakannya datang bersama anak kecil selain pelajar sekolah yang menjadikan kawasan pantai itu sebagai tempat menghilangkan tekanan belajar.Difahamkan kelakuan sumbang secara terbuka pasangan muda-mudi terbabit sudah agak berkurangan berbanding sebelum ini selepas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Air Papan mengambil inisiatif melakukan rondaan bagi membendung kegiatan yang boleh menjejaskan nama baik pantai berkenaan sebagai destinasi pelancongan terkenal.

Bagaimanapun masih ada segelintir remaja masih melakukannya terutama pada cuti hujung minggu.

Tinjauan Berita Harian di kawasan berkenaan mendapati beberapa pasangan memilih kawasan agak sunyi sebagai tempat bermadu kasih tanpa menghiraukan pengunjung yang bersantai bersama keluarga.

Pelajar, Nur Atiqah Ramli, 16, memberitahu dia sering terserempak dengan pasangan kekasih yang duduk dalam keadaan mencurigakan.
“Sebagai pelajar, saya rasa malu melihat kelakuan mereka yang dipercayai bukan pasangan suami isteri memandangkan kawasan pantai ini turut dikunjungi ibu bapa yang membawa anak kecil,” katanya.

Jelasnya, jika perkara itu berlarutan, tidak mustahil akan mewujudkan keadaan lebih buruk seperti pembuangan bayi.

“Bagaimanapun keadaan sekarang agak terkawal berbanding beberapa tahun lalu," katanya.

Rakannya, Nursyahira Idayu Razali, 16, berkata ada juga pasangan yang melakukan maksiat di dalam kereta di kawasan agak terpencil di hujung pantai.

“Mungkin mereka merasakan aksi dalam kereta tidak dapat ditonton orang ramai, namun ada kalanya kelakuan sumbang mereka disedari pengunjung lain serta pihak berkuasa yang sesekali turut mengadakan operasi pencegahan maksiat di pantai ini,” katanya.

Selain itu jelasnya, ada juga pasangan bercumbuan dalam air ketika mandi tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

“Mungkin mereka tidak perasaan kelakuan mereka diperhatikan pengunjung lain dan perkara itu sungguh memalukan lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang membawa anak masing-masing,” katanya.

Selain menyakitkan mata, kelakuan sumbang mereka dikhuatiri akan meninggalkan kesan tidak baik kepada pengunjung pantai itu.

Justeru penduduk dan pengunjung berharap pihak berwajib menggiatkan pemantauan di kawasan itu supaya tidak lagi dijadikan tempat melakukan maksiat.

Rumah tergantung atas bukit

MOHD RASHID  (kiri)  meninjau  keadaan tanah runtuh berhampiran  rumahnya di Kampung Darul Hidayah, Batu 15, Dusun Tua.
MOHD RASHID (kiri) meninjau keadaan tanah runtuh berhampiran rumahnya di Kampung Darul Hidayah, Batu 15, Dusun Tua.
HULU LANGAT: Nyawa seorang ibu bersama 12 anaknya di Kampung Darul Hidayah, Batu 15, Dusun Tua di sini bagaikan telur di hujung tanduk kerana rumah yang mereka diduduki seperti tergantung di atas bukit akibat tanah runtuh selepas hujan lebat awal bulan ini.

Kejadian itu dipercayai bermula di lereng bukit yang terletak di belakang rumah keluarga berkenaan pada 3 Mei lalu.
Aliran air hujan menghanyutkan sebahagian besar tanah termasuk tanah yang menyokong bahagian bilik rumah mangsa runtuh sehingga menyebabkan ia kini tergantung dan boleh roboh pada bila-bila masa.
Pemilik rumah, Mohd Rashid Abd Majid, yang bekerja di Pahang dan sesekali pulang ke rumah itu, berkata ketika kejadian tanah runtuh itu, beliau sedang minum petang bersama isteri, Habibah Hafiz, 45, dan anak mereka.

“Kejadian berlaku sekitar jam 5 petang ketika hujan lebat. Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat dan mendapati bukit di belakang rumah runtuh sehingga menyebabkan pokok tumbang.

“Air deras juga menghanyutkan sebahagian besar tanah di bawah rumah menyebabkan bahagian bilik tidur kini tergantung. Akibat hakisan tanah juga, benteng di bahagian depan rumah hampir roboh manakala lantainya retak,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan Rashid bimbang dengan keselamatan isteri dan anaknya yang tidak mempunyai pilihan lain kerana terpaksa tinggal di rumah berkenaan.
Katanya, lebih menyedihkan tiada pihak yang tampil membantu untuk melakukan kerja pembaikan cerun bukit dan tanah runtuh di rumahnya itu.

“Pada 24 Mei lalu, saya buat laporan polis selepas dinasihatkan untuk tujuan rekod dan membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Mereka ada datang melawat tetapi tiada sebarang tindakan susulan diambil.

“Bukan saja tiada bantuan, lebih menyedihkan MPKj turut menampal tiga notis di dinding rumah dengan mengarahkan kami keluar kerana enggan bertanggung jawab dengan sebarang risiko yang berlaku nanti. Bagaimana kami nak pindah kerana kami tidak mempunyai tempat lain untuk pergi?” katanya.

Mohd Rashid juga kesal kerana permohonannya supaya pihak berkenaan membersihkan kesan tanah runtuh juga tidak dipedulikan menyebabkan beliau terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk tujuan berkenaan selain membina saluran untuk air mengalir di depan rumahnya.

Isterinya, Habibah turut merayu pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera kerana tidak sanggup terus hidup dalam kebimbangan terutama setiap kali hujan lebat.

‘Tarik balik al-Quran diragui’

AL-QURAN digital dalam bentuk iPod yang dibawa masuk dari China ini dijual secara berleluasa di seluruh negara tanpa kelulusan KDN.
AL-QURAN digital dalam bentuk iPod yang dibawa masuk dari China ini dijual secara berleluasa di seluruh negara tanpa kelulusan KDN.
PPIM bimbang kandungan produk digital silap jejas akidah

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bertindak segera menarik balik semua produk al-Quran elektronik dan bercetak di pasaran yang tidak mendapat kelulusan untuk dipasarkan.

Pengerusi Majlis Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak, berkata pemantauan pihaknya jelas mendapati wujud lambakan produk sedemikian secara berleluasa di pasaran seluruh negara sejak sekian lama seperti di kedai buku dan cenderamata termasuk dijual peniaga bukan Islam.
Katanya, penerbitan al-Quran bercetak dan digital itu bebas dijual tanpa sebarang cetakan logo kelulusan dari pihak berwajib khususnya KDN sekali gus mengundang pertanyaan adakah produk itu dipantau rapi atau tiada kesilapan isi kandungannya.“PPIM cabar pihak yang mempertikaikan perkara ini (tiada lambakan dan semua produk dijual di pasaran mendapat kelulusan KDN) meninjau keadaan sebenarnya.

“Banyak bahan penerbitan agama khususnya kitab al-Quran dijual tanpa mendapat kelulusan atau mempunyai logo KDN, keadaan ini boleh mengancam keselamatan dan menjejas akidah umat Islam jika tidak dipantau dengan segera.

“Dua kementerian ini perlu bertindak segera dan bekerjasama dengan Majlis Agama Negeri dan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana ia membabitkan kandungan digital dan cetakan yang diragui isi kandungannya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas produk al-Quran khususnya yang diimport membabitkan perisian digital mengandungi banyak kesilapan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata pihaknya mengambil berat kesilapan yang terdapat pada kandungan al-Quran elektronik dan bercetak kerana khuatir ia diseleweng pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu untuk menjejas akidah umat Islam.

Katanya, walaupun kesilapan kandungan tidak sampai ke tahap kritikal, keadaan itu merbahaya apabila dibaca setiap anggota keluarga atau generasi.

Beliau berkata, setiap patah perkataan dalam kitab suci itu tidak boleh silap kerana ia adalah wahyu Allah yang diturunkan kepada umat-Nya yang boleh memberi pengertian berbeza.

“Jika tidak betul kandungannya sama ada secara sengaja atau sebaliknya, memang berbahaya.

“Kita takut ada penyelewengan dengan agenda tertentu, kena berhati-hati sebab mungkin ada pihak tertentu guna cara lain untuk memesongkan akidah umat Islam di negara ini,” katanya.

Bagaimanapun Mashitah berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa KDN.

Katanya, JAKIM hanya terbabit dalam jawatankuasa dikendalikan KDN bagi meneliti kandungan al-Quran.