Monday, November 1, 2010

Pemuda bakal kahwin janda 15 anak


GAMBAR menunjukkan Craig Le-Sauvage berdiri di sebelah tunangnya, Joanne Watson (tengah) dan anak-anaknya.


LONDON - Seorang pemuda, Craig Le­Sauvage berusia 34 tahun melamar bekas jirannya, Joanne Watson berusia 39 tahun yang sudah mempunyai 15 anak, lapor sebuah akhbar semalam.

Pemuda itu melamar Joanne pada awal bulan ini setelah dia berjumpa dengan wanita tersebut yang mengunjungi tempat bekerjanya di sebuah pusat bersantai.

Pemuda itu melamar wanita tersebut selepas dia mendapatinya masih cantik walaupun 15 tahun setelah mereka tidak lagi tinggal berjiran.

Sebelum ini Joanne telah berpisah dengan suaminya, John selepas mereka mendirikan rumah tangga selama 22 tahun.

Le-Sauvage mendedahkan dia turut gementar untuk menjadi bapa tiri kepada 15 anak Joanne yang berumur antara 22 tahun hingga 22 bulan.

Pemuda itu berkata, dia melamar wanita tersebut selepas dia memberitahu dirinya hamil tiga minggu selepas mereka keluar temu janji dan berkenalan dengan lebih mesra.

Justeru, Le-Sauvage bakal menjadi bapa kepada 16 anak apabila bakal isterinya melahirkan seorang lagi anaknya pada tahun depan.

Hidup nomad di Taman Negara




SAMBIL memegang sebilah pisau kecil, kelihatan seorang wanita berambut kerinting halus dengan kulit hitam manis dan berwajah bulat lebar asyik mengukir tabung damak diperbuat daripada buluh di perkampungan Orang Asli, Jeram Panjang, Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.

Tanpa menghiraukan orang ramai yang memerhatikan gerak gerinya, Enyam Keladong, 40-an, terus memberi tumpuan terhadap seni ukiran bermotif flora pada tabung damak berkenaan untuk dijadikan produk pelancongan.

Wanita suku bangsa Negrito itu merupakan antara masyarakat Orang Asli suku kaum Bateq yang menjadi tarikan utama para pelancong berkunjung ke Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang.

“Tidak susah hendak membuat tabung damak ini. Sejak kecil, saya sudah belajar membuat dan mengukir tabung damak. Saya hanya mengambil masa satu hari untuk menyiapkan tabung damak ini,” kata wanita itu ringkas.

Keunikan masyarakat Orang Asli suku kaum Bateq adalah mereka masih meneruskan amalan berpindah-randah atau nomad yang diwarisi sejak turun-temurun.

Bahkan, masyarakat minoriti yang sinonim dengan alam semula jadi itu hanya boleh ditemui di tiga buah negeri Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu sekali gus menjadikan mereka insan istimewa.

Ibu kepada sembilan orang anak itu memberitahu: “Tabung damak ini digunakan untuk menyimpan damak-damak dan merupakan produk pelancongan. Ia dijual pada harga RM25.”

Ketika asyik memerhatikan kehalusan jari-jemari wanita itu mengukir menggunakan pisau kecil, kelihatan kanak-kanak suku kaum Bateq bermain bersama seekor tupai hutan.


PONDOK Pisang Sesikat ini telah didiami oleh suku kaum Bateq sejak tujuh bulan lalu.


Berbanding kanak-kanak bandar yang terdedah kepada teknologi maklumat, anak-anak suku kaum Bateq membesar dengan alam semula jadi seperti bukit-bukau, hutan dan sungai. Mereka juga dikatakan tidak pergi ke sekolah disebabkan keluarga mereka berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain.

“Tupai haiwan yang jinak, sebab itu kita bela. Boleh dipegang, ia tidak gigit orang,” sapa wanita tersebut apabila melihat kanak-kanak itu sedang diperhatikan sekumpulan pemberita yang mengunjungi perkampungan berkenaan.

Persinggahan di perkampungan Orang Asli, Jeram Panjang itu dianjurkan oleh Mutiara Taman Negara sebagai sebahagian daripada aktiviti resort berkenaan.

Semasa berada di perkampungan tersebut, sesiapapun pasti teruja melihat kehidupan Orang Asli yang masih menetap di dalam pondok kecil yang diperbuat daripada kayu, buluh atap rumbia dan beberapa hasil hutan.

Di pondok yang tersusun rapi antara satu sama lain itu juga tidak dilengkapi perkakas elektrik seperti radio, televisyen ataupun peti sejuk. Setiap pondok kecil yang berkonsep terbuka itu juga mempunyai unggun api kerana tidak kelihatan dapur di dalam rumah berkenaan.

Dari celah pondok yang dinamakan Pisang Sesikat, kelihatan beberapa wanita muda cuba menyorok daripada lensa kamera sambil sesekali mengintai melihat keadaan sekeliling. Mungkin mereka berasa malu kerana hanya memakai kain batik yang diikat di leher sambil mengendong anak kecil.

Wanita Bateq pemalu

“Mereka memang pemalu terutamanya wanita muda,” kata Eksekutif Rekreasi, Mutiara Taman Negara, Romlan Jaafar atau lebih mesra dengan panggilan datuk.


KAUM Bateq dipercayai berasal dari Indo-China.


Dalam perkampungan tersebut, terdapat kira-kira 30 orang suku kaum Bateq dan kebanyakan mereka adalah saudara-mara. Kebiasaannya mereka akan menetap di sesebuah kawasan antara tiga sehingga empat bulan sahaja.

“Bagaimanapun, disebabkan faktor ekonomi yang semakin meningkat Orang Asli Jeram Panjang sudah menetap di sini kira-kira tujuh bulan. Sekiranya salah seorang daripada mereka jatuh sakit mereka akan berpindah ke tepi sungai dan kembali semula selepas beberapa bulan.

“Jika terdapat kematian mereka akan berpindah terus dan tidak akan kembali ke penempatan atau perkampungan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, pemandu pelancong alam semula jadi Taman Negara, Hamzah Abdul Hamid, 58, berkata, berbeza dengan masyarakat Orang Asli lain, kaum Bateq tidak mengamalkan sebarang aktiviti bercucuk tanam bagi mengelakkan mereka kekal di sesuatu kawasan.

“Mereka sangat mahir menggunakan sumpitan dan berburu. Kanak-kanak suku kaum Bateq akan mempelajari survival kehidupan sejak mereka kecil. Dahulu, perut kanak-kanak ini akan diikat dengan rotan dan mereka akan berlatih menyumpit.

“Ia digunakan untuk melihat kekuatan hembusan sumpitan berkenaan. Apabila rotan yang diikat terputus bermakna kanak-kanak ini telah lulus dan boleh mengikut golongan dewasa memburu,” ujarnya.

Kemahiran turun-temurun

Selain berburu, Hamzah menambah, mereka juga mencari tumbuhan hutan seperti keladi liar atau dikenali sebagai dioscorea, ubi-ubi lain dan buah-buahan yang terdapat di taman negara.

Masyarakat Orang Asli Bateq juga mempunyai sikap yang tidak suka membazir. Mereka akan mencari sumber makanan yang mencukupi untuk dinikmati sahaja.

“Peredaran zaman juga telah menyaksikan mereka mula bergaul dengan masyarakat setempat, menikmati makanan seperti nasi dan sebagainya. Anak-anak suku kaum Bateq juga telah mula bekerja sebagai pemandu pelancong dan pemandu bot sebagai sumber rezeki mereka,” ujarnya.

Di perkampungan Orang Asli, Jeram Panjang, pengunjung boleh mempelajari dua kemahiran yang mereka warisi secara turun-temurun iaitu menghasilkan api dan menyumpit.


KAUM Bateq menggunakan kaedah tradisional menghidupkan api.


Mereka menghasilkan api dengan seutas rotan yang ditarik beralaskan tapak yang diperbuat daripada kayu meranti. Dalam masa kurang seminit, geseran rotan dengan kayu akan menghasilkan api menerusi habuk kayu yang dijadikan bahan bakar. Tetapi untuk pelancong jangan bersedih sekiranya selepas berpeluh-peluh mencuba, usaha itu masih gagal.

Sementara itu, Pembantu Pembangunan Masyarakat Muzium Orang Asli, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Mohd. Jiwa Zulkifli berkata, suku bangsa Negrito dipercayai telah berhijrah ke Malaysia sejak beribu-ribu tahun lalu dari Indo-China dengan berjalan kaki melalui gunung-ganang.

“Mereka dipercayai masuk ke kawasan pedalaman melalui Thailand. Berbanding suku bangsa Melayu Proto, suku bangsa Negrito dan Senoi agak ketinggalan disebabkan cara hidup dan adat resam mereka.

“Dahulu suku bangsa ini mempunyai pegangan hidup dan kepercayaan kepada keadaan sekeliling tetapi kini ramai yang telah menganut agama Islam, Buddha atau sebagainya,” kata Mohd. Jiwa.

Kiwi mini sebesar ibu jari


FOTO menunjukkan perbezaan saiz antara buah kiwi biasa (kiri) dan buah kiwi mini.


BUAH kiwi mini kini semakin diminati ramai sekali gus membantu menjana pendapatan lumayan bagi petani-petani di Perancis.

Lebih kecil berbanding limau kumkuat, kiwi mini cuma sebesar ibu jari manusia dan mempunyai kulit lembut seperti tomato. Bagaimanapun tidak seperti kulit kiwi biasa yang berbulu dan keperangan, kulit kiwi mini berwarna hijau.

Buah yang jarang didapati itu hidup subur di dusun-dusun sekitar Sungai Adour, di barat daya Perancis. Walaupun bersaiz kecil, kiwi mini lebih manis dan lazat berbanding kiwi biasa.

Buah itu juga boleh dimakan bersama kulitnya kerana tidak perlu dikupas seperti kiwi biasa.

Keunikan kiwi mini membolehkan, buah itu memenangi anugerah inovasi Pameran Industri Buah & Sayuran Antarabangsa (SIFEL) di Bordeaux, Perancis.

"Anda tidak akan perasan bahawa ia adalah buah kiwi sehinggalah anda memotongnya," kata Pengurus Pembangunan Produk Baru Koperasi Kiwi SOFRUILEG, Fabien Bec.

Koperasi berkenaan memiliki hak pengedaran buah itu di Eropah.

Ia merancang meluaskan ladang kiwi mininya dari tujuh hektar kepada 500 hektar menjelang 2016 dengan sasaran pengeluaran mencecah 10,000 tan setahun.

Setakat ini, seramai 250 petani menghasilkan 13,000 tan kiwi biasa di Perancis yang merupakan pengeluar buah kiwi kelima terbesar di dunia.

Namun, kata Bec, pihaknya mempunyai rancangan tersendiri dan lebih besar untuk buah kecil itu.

Koperasi berkenaan mahu bersaing di pasaran antarabangsa dengan membuka dusun-susun kiwi mini di Belanda, barat daya England dan utara Portugal.

"Di Eropah, kami mempunyai iklim berbeza-beza yang dapat membantu buah tersebut berada di pasaran bagi tempoh yang lebih lama," kata Bec.

Menurutnya, pasar raya memerlukan bekalan yang mencukupi sebelum sesuatu produk baru dapat dilancarkan secara efektif.

"Objektif pertama kami adalah untuk melengkapkan petani-petani dalam koperasi kami. Namun, kami juga berwawasan untuk melebarkan sayap ke Eropah," tambahnya.

Menurut pengurus berkenaan, pengeluaran buah itu secara kecil-kecilan buat masa ini berjaya menarik minat kalangan pengusaha makanan seperti cef dan pemborong termasuk sebuah pasar makanan segar di pinggir Paris, yang dikenali sebagai Rungis.

Ibarat snek

Produk tersebut bukan sahaja meluaskan perniagaan koperasi tersebut tetapi beberapa kaji selidik pasaran menunjukkan buah kiwi mini itu juga bakal meningkatkan permintaan untuk buah kiwi.

Kiwi mini menarik perhatian pengguna dan tabiat pemakanan buah berkenaan berbeza dengan buah kiwi biasa.

"Ia merupakan sejenis produk snek. Ia juga dijual pada harga yang berbeza dan menarik untuk pengguna seperti kita," kata Bec.

Buah kiwi mini itu dijual dalam bekas plastik leper seperti pek buah beri biru dan rasberi.

Buah-buah kiwi mini dibungkus di dalam bekas kotak seberat 125 gram dan akan dijual pada harga antara dua euro (RM6.84) dan tiga euro (RM12.74).

Namun, kulit hijau buah kiwi mini itu bakal menimbulkan persoalan di kalangan pengguna.

Jika kulitnya bukan keperangan, adakah ia buah kiwi?

Bagaimanapun, tegas Bec, walaupun bukan berwarna keperang-perangan, ia adalah buah kiwi yang sebenar.

"Ia bukan sejenis buah yang diubah suai secara genetik. Kiwi mini ialah buah semula jadi. Ia telah lama wujud. Kami gemarkan rasanya yang lebih manis tetapi terdapat terlalu banyak buah (kiwi mini) pada setiap tangkai dan ia mengambil masa terlalu lama untuk dipetik selain sukar untuk dibungkus kerana ia terlalu lembut serta mudah rosak. Keadaan itu berlaku 25 tahun dahulu," katanya.


ANDA hanya akan tahu buah ini ialah buah kiwi selepas membelahnya.


"Keadaan itu sangat mengecewakan kerana kami tahu kami mempunyai sejenis buah yang sangat baik sejak dahulu lagi."

Lebih baik daripada beri

Buah kiwi mini yang ditanam koperasi tersebut merupakan kiwi mini jenis baru yang dikenali sebagai Actinidia arguta. Penyelidikan untuk meningkatkan daya ketahanan buah itu dilakukan oleh pusat Kajian Tumbuhan dan Makanan New Zealand.

Actinidia arguta dimajukan bagi menjadikan buah itu tahan lama dengan jangka hayat mencecah 45-90 hari pada suhu bilik.

"Di dunia ini, buah beri merupakan produk yang sangat menarik. Tetapi kiwi mini mempunyai daya ketahanan lebih tinggi daripadanya," kata Bec.

Menurutnya, buah kiwi mini itu boleh meningkatkan sumber ekonomi dan mengekalkan kelestarian alam sekitar di rantau itu.

Petani-petani koperasi tersebut lazimnya menternak itik dan menanam jagung serta buah kiwi.

Selain itu, mereka turut menanam epal tetapi disebabkan pasarannya mula menjunam kebanyakan petani termasuk Jean Louis Tissier, pemilik ladang Verger de l'Hermitage memilih untuk menanam buah kiwi mini.

"Ia adalah buah baru. Kami akan cuba menanamnya. Anda perlu menjaga rapi buah kiwi mini itu supaya ia mendapat sambutan yang lebih baik daripada epal," kata Tissier ketika dia berjalan melalui ladangnya yang masih baru itu.

"Seperti buah kiwi lain di wilayah ini, kami tidak menggunakan racun serangga dan kulat perosak memandangkan buah buah ini dimakan bersama kulitnya," kata Bec.

Sebahagian petani menyatakan mereka akan menanam pokok kiwi mini dengan menggunakan baja organik sepenuhnya.

Semangat jelitawan berkulit gelap




ACAP kali Tazneem Faisal Meerangkutty, 26, melihat penampilannya di hadapan cermin, dia tersenyum sendiri. Dia bagaikan tidak percaya, rias solekan dan dandanan jurusolek Vie Xenddra, berjaya menyerlahkan keanggunan dirinya. Apatah lagi pada sesi fotografi tersebut tubuh Tazneem atau mesra disapa Tazzy, dibaluti dengan persalinan gaun meleret rona biru lembut rekaan Rizman Ruzaini.

Penyanyi Farawahida Razali, 25, di sebelahnya yang sedang disolek jurumekap Iss Kiss di studio Utusan, sempat berbicara ringkas.

"Siapa kata wanita berkulit hitam seperti kita tak mampu bergaya dan kelihatan menawan. Asalkan kita bijak memilih konsep pakaian dan solekan sesuai," tutur Farawahida dalam nada lembut.

Tazzy yang masih berdiri di depan cermin mengangguk dan tersenyum sebagai tanda setuju dengan lontaran kenyataan Farawahida. Sementara menunggu jurugambar, Zulhafiz Hanafiah mengaturkan set lampu dan prop di dalam studio, Tazzy sempat meluahkan isi hatinya.

Jelas anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu, kadangkala terbit rasa kesal kerana wanita berkulit gelap sepertinya sering didiskriminasi oleh sesetengah pihak. Ramai yang menyifatkan wanita berkulit gelap kurang daya penarik berbanding wanita yang memiliki kulit cerah atau sawo matang.

"Sejak di bangku sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah, saya sering diejek dan dipanggil hitam. Tambahan pula wajah saya dipenuhi jerawat yang tidak terkawal dan memiliki berat badan berlebihan.

"Kadang-kadang ada juga yang tanpa segan silu memanggil saya hitam berbanding menggunakan nama. Mula-mula memang saya marah dan geram tetapi lama-kelamaan saya sudah lali. Jadi saya pergi ke sekolah seperti biasa dan tidak melayan mereka yang kerap menyindir," imbas Tazzy, yang turut memberitahu kulit hitam manis itu diwarisi daripada bapanya yang berketurunan Malabari, Pakistan.


TAZZY (kiri) dan Farawahida berhati-hati dalam memilih warna pakaian dan solekan.


Meskipun berkulit gelap, Tazzy yang merupakan penulis skrip, penyelidik dan pengacara rancangan Selamat Pagi Malaysia saluran RTM, tidak malu apatah lagi berasa kecewa. Dia menyifatkan kejayaan dan kecemerlangan hidup seseorang itu bukan diukur berdasarkan rupa paras mahupun warna kulit.

Kesungguhan dan bekalan ilmu yang membantu segala-galanya. Menyedari faktor tersebut sebaik saja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Sepanjang tempoh lima tahun menuntut di UiTM, bekas pengacara Salam Bollywood (Astro) dan Filem Di 9 (TV9) berjaya memiliki segulung Diploma Pengajian Media dan Ijazah Penyiaran dari Fakulti Pengajian Media dan Komunikasi.

Tertipu krim pencerahan

Memilih cita-cita dalam bidang penyiaran dan komersial mendorong Tazzy untuk melakukan transisi penampilan diri. Sedikit demi sedikit Tazzy yang pernah membintangi iklan KFC, mencari konsep fesyen yang ideal dengan perwatakannya yang ceria, santai dan ringkas.

"Fesyen gipsi pilihan yang tepat kerana ia hanya memerlukan kreativiti untuk suai dan padan. Misalnya, memadankan seluar harem bersama baju-T dan jaket ketat.


FESYEN berkonsep gipsi menjadi pilihan Tazzy kerana ia mudah disuai padan.


"Selain menitikberatkan soal fesyen, setiap bulan saya mengunjungi spa untuk mendapatkan rawatan badan, kuku kaki dan kuku tangan. Ini termasuklah menemui doktor pakar kulit bagi mengelakkan masalah jerawat," tutur Tazzy yang pernah berasa tertipu dengan iklan produk pencerahan kulit yang menjanjikan kulit cerah dalam masa beberapa minggu.

Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur itu : "Biasalah pada usia remaja, bila kawan-kawan sekeliling mengejek kulit saya hitam, saya pun mencuba krim pemutih itu. Malangnya, selepas beberapa botol langsung tiada perubahan."

Bangga dengan warna kulit

Sementara itu, Farawahida yang popular dengan lagu Tanpamu, memberitahu dia berbangga memiliki kulit gelap yang turut diwarisi oleh bapanya yang berketurunan Pakistan.

"Secara jujur saya tak malu dilahirkan dengan kulit gelap. Rasa sama saja seperti wanita berkulit cerah. Cuma saya terlalu berhati-hati dalam bab memilih warna baju dan solekan. Warna merah jambu dan merah memang saya elakkan kerana warna ia menampakkan saya kelihatan pelik.

"Biasanya saya lebih selesa bermain dengan rona tembaga dan coklat terutamanya solekan di bahagian mata. Olesan gincu pula berasaskan warna-warna lembut," ujar Farawahida yang dilahirkan di Taiping, Perak, pada 19 Mac 1986.

Dalam pada itu, Farawahida yang memiliki enam orang adik-beradik mengakui amat aktif dalam sukan bola jaring dan sukan hoki serta pernah mewakili sekolah dalam beberapa perlawanan.

Dek terlalu kerap berlatih di bawah cahaya matahari kulit bertambah gelap dan berkilat. Namun kerana minat bersukan Farawahida tidak mempedulikan situasi itu.


TAZZY dan Farawahida mewarisi kulit hitam manis daripada bapa masing-masing yang berketurunan Pakistan.


"Ibu menjadi tak keruan apabila kulit saya bertambah gelap sehingga dia berjumpa guru penasihat bola jaring dan hoki supaya gugurkan nama saya dalam pasukan.

"Dia tak sanggup lagi melihat kulit saya sebegitu rupa. Sebab itu saya hanya aktif suka di peringkat sekolah, ikutkan hati nak bergiat sampai ke tahap yang lebih tinggi," ujar Farawahida.

Saranan Farawahida kepada wanita berkulit gelap, jangan malu dengan anugerah Tuhan itu. Cuma pastikan kebersihan kulit wajah dan badan sentiasa terjaga.

"Contohi penyanyi Beyonce dan Dayang Nurfaizah yang bijak berjaya dalam apa jua majlis dan situasi," kata Farawahida menutup bicara.

Gelang tangan Diwali


KEMERIAHAN aksesori menyerlahkan penampilan wanita India.


AKSESORI yang berwarna-warni dan berkilauan menjadi pilihan utama gadis berketurunan India untuk digayakan bersama sepasang sari terutamanya ketika menyambut hari penting seperti Deepavali.

Menariknya wanita India tidak akan memakai gelang tangan dalam kuantiti yang sedikit. Jumlah gelang yang menghiasi tangan kebiasaannya mencecah hingga ke paras siku.

Namun, itulah identiti wanita India yang terkenal dengan pesona tradisionalnya terutama ketika menghadiri majlis persandingan mahupun sambutan Deepavali.

Lantaran itulah, permintaan terhadap gelang tangan pelbagai corak dan warna sentiasa mendapat permintaan tinggi terutama menjelang sambutan perayaan Deepavali atau perayaan cahaya yang akan diraikan beberapa hari sahaja lagi.

Menyedari trend tersebut, pemilik Hemiz Collection, Hema Vijay Suntharan, akan terbang ke Mumbai, India untuk memastikan koleksi aksesori yang dijual di kedainya mampu menepati cita rasa penduduk di Malaysia.

"Saya lebih senang ke Mumbai sendiri dan lihat corak atau jenis gelang yang ingin dijual. Biasanya saya akan pilih trend terbaru di sana.


GELANG tangan di Hemiz turut mendapat permintaan pelbagai bangsa.


"Tetapi kebiasaannya gelang tangan yang saya jual bukannya menjadi pilihan kaum India sahaja. Malah, corak yang lebih ringkas turut menarik perhatian kaum lain terutama wanita Melayu," katanya.

Gelang tangan berbentuk tebal biasanya ia digayakan dua urat sekali gus atau diselang seli dengan beberapa urat gelang nipis.

"Pelanggan boleh mendapat kira-kira 20 urat gelang yang nipis dan tebal pada harga di antara RM39.90 hingga RM69.90," jelasnya lagi.

Versatil fabrik batik


LUKISAN batik di atas fabrik sutera dan kapas.


MENGUNJUNGI Promosi Kraf Tekstil 2010 yang berlangsung di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini bagaikan berada di syurga batik.

Barisan tapak gerai yang memenuhi kiri dan kanan ruang pameran sarat dengan gantungan fabrik batik yang dihasilkan dalam pelbagai warna, corak dan motif.

Koleksi selendang dan skaf pula dilipat dan disusun kemas di rak dan di atas meja bagi memudahkan para pengunjung membelek seni pembuatan produk batik tersebut.

Risalah dan penerangan ringkas daripada wakil pameran pantas turut menyapa pengunjung sebagai penambah ilmu mengenai produk yang dipamerkan.

Promosi Kraf Tekstil 2010 bertujuan menggalakkan penggunaan tekstil Malaysia seperti batik, songket, pelbagai tenunan dan sulaman.

Tekstil yang dipamerkan bukan sekadar kain-kain tradisional Melayu malah, didatangkan bersama aksesori diri, kelengkapan dekorasi kediaman dan pejabat.

Seramai 115 usahawan dari seluruh negera menyertai promosi yang rata-ratanya terdiri daripada pengusaha produk kraf tekstil, produk hiasan rumah, pereka fesyen dan usahawan aksesori.

Batik digemari pelancong

Menurut pelukis daripada Karya Batik, Acrylic & Mixed Media, Aliza Che Nan, sebelum ini masyarakat hanya mengetahui bahawa motif batik ideal untuk menghasilkan pakaian dan selendang, sedangkan, batik juga antara motif yang cantik untuk hiasan dinding rumah atau dihadiahkan kepada insan tersayang.

“Melukis batik memerlukan teknik yang tersendiri bermula dengan melukis, mencanting lilin dan mewarna.

“Selain melukis di atas kanvas, kami turut menawarkan lukisan batik di atas kain kapas dan sutera. Proses menyiapkan sesebuah lukisan itu bergantung dari segi saiz dan corak pilihan,” tutur Aliza sambil menunjukkan lukisan batik berwarna terang yang popular dalam kalangan kelompok masyarakat Melayu.

Tambah Aliza, meskipun sambutan lukisan batik dalam kalangan penggemar tempatan masih di paras sederhana, tetapi dia berbangga kerana lukisannya dan suami Ahmad Fauzi Arshad amat dihargai pelancong asing.

“Orang Jepun suka lukisan batik yang bermain dengan warna-warna tanah manakala pelancong Inggeris meminati rona lembut seperti merah jambu dan putih,” ulas Aliza selanjutnya.

Sementara itu, wakil Nozi Batik, Zaleha Zakaria, 40, pula menyarankan supaya masyarakat tempatan terus menyokong produk buatan Malaysia khususnya fabrik batik. Jika kain renda Perancis yang dijual pada harga yang tinggi mampu dibeli, mengapa kain batik diketepikan tanpa sebab.


NOR HIDAYAH menunjukkan tali leher bermotif batik daripada TMFBatek.


Lagipun batik juga mengalami transisi corak dan warna seiring dengan cita rasa individu pada zaman moden dan gaya hidup urban.

Himpunan koleksi Nozi Batik dihasilkan oleh kami sendiri dengan menggunakan teknik tekap dan lukis tangan. Selain motif dedaun dan bunga-bungaan, kami turut menghiasi batik dengan renjisan dan corak marmar bagi menyuntik kelainan yang mempesonakan.

Dalam pada itu, salah seorang pengunjung Promosi Kraf Tektil 2010, Nimi Osman, 48, melahirkan rasa kecewa apabila masyarakat Malaysia terlalu membanggakan produk buatan luar negara sehingga meminggirkan batik.

Meskipun kebanyakan pengusaha kain dan dekorasi rumah berjaya menghasilkan produk yang bermutu dan berkualiti tetapi inisiatif tersebut masih belum mampu menarik minat orang tempatan.

“Maklumlah orang kita rasa lebih glamor dan moden apabila membeli produk antarabangsa khususnya pakaian dan fabrik motif batik. Seharusnya kita berasa malu kerana batik kini mendapat permintaan yang tinggi dan diterima baik di luar negara.

“Lagipun produk batik pada hari ini bukan sahaja terhad pada penghasilan fabrik tetapi sudah meluas pada seleksi aksesori, beg tangan, dekorasi rumah dan koleksi busana rekaan moden,” luah Nimi.

Buktinya, lihat sahaja inisiatif yang diambil oleh pihak TMFBatek yang beroperasi di Cheras, Kuala Lumpur. Menurut wakil TMFBatek, Nor Hidayah Halim, syarikat yang ditubuhkan pada dua tahun lepas tidak hanya tertumpu pada pakaian dan fabrik.

Sebaliknya, mereka turut menawarkan koleksi pario, skaf, seluar bermuda, set bantal sofa dan set bilik tidur bercorak batik. Mereka juga menerima tempahan pakaian berasaskan batik daripada jabatan-jabatan kerajaan, syarikat swasta dan persatuan.

Langkah itu sejajar dengan matlamat TMF Batek untuk menghasilkan produk batik yang berkualiti, unik dan kreatif bagi memuaskan hati para pelanggan sekali gus memartabatkan batik di mata dunia.

Teater tingkatkan minat membaca


PARA peserta program Jom Baca mempersembahkan teater bertajuk Ali Baba dan Satu Setengah Penyamun yang diadakan di Dewan Persatuan Penduduk Gombak Setia baru-baru ini.


SEIRING dengan usaha kerajaan bagi membasmi masalah buta huruf dalam kalangan rakyat Malaysia, Global Peace Mission Malaysia (GPM) mengambil pendekatan kondusif melalui pementasan teater.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Asri Abdul berkata, pementasan drama itu dibintangi oleh 40 orang kanak-kanak sekolah rendah yang baru sahaja tahu membaca setelah mengikuti program Jom Baca anjuran pihaknya.

Menurutnya, kanak-kanak itu sebelum ini mengalami masalah kurang keyakinan diri dan hilang semangat untuk belajar disebabkan buta huruf.

“Jadi, kita adakan pertandingan pementasan teater ini bagi membantu meningkatkan keyakinan diri pelajar dengan menempatkan mereka di atas pentas dan bercakap di hadapan khalayak ramai.

“Kita harap apabila mereka membaca dan menghafal skrip yang diberikan untuk persembahan ini, ia dapat membantu penguasaan bahasa mereka. Malah, ia membantu mereka memiliki pola ayat yang baik untuk digunakan dalam penulisan dan pertuturan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pementasan drama dalam program Jom Baca yang diadakan di Dewan Persatuan Penduduk Gombak Setia, Selangor baru-baru ini. Acara itu dirasmikan oleh penasihat program tersebut, Prof. Emeritus Datuk Nik Safiah Karim.

Asri berkata, program Jom Baca itu disediakan secara percuma kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik bermula sejak tahun 2006 lagi. Sehingga kini, lebih 700 orang kanak-kanak kini sudah boleh membaca melalui program berkenaan.

“Kami memberi tumpuan kepada kanak-kanak tahun empat hingga enam di kawasan daerah Gombak memandangkan pelbagai kekangan yang dihadapi terutamanya dari segi sumber kewangan dan logistik.

“Biasanya, kira-kira 60 jam masa diperlukan untuk mengajar mereka. Ketika musim persekolahan, kami mengajar pada sebelah malam dan mengambil masa sehingga tiga bulan manakala ketika musim cuti sekolah kami mampu menghabiskannya dalam masa sebulan setengah sahaja,” katanya.

Menurut Asri, ini merupakan kali pertama pihaknya mengadakan pertandingan pementasan teater yang diserapkan ke dalam Program Jom Baca. Ia dilihat sebagai satu peningkatan dalam program tersebut.

“Kini, kami tidak lagi hanya mengajar kanak-kanak membaca, tetapi juga memberi peluang dan pendedahan kepada kanak-kanak ini untuk menonjolkan bakat mereka,” katanya.

Orang ramai dan badan-badan korporat yang berminat dalam program tersebut atau ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi GPM di talian 03-6188 3230.