Saturday, May 30, 2009

Siswi rela bogel



KUALA LUMPUR: Angkara tuduhan palsu kononnya dia terbabit dalam klip video lucah, seorang pelajar perempuan institusi pengajian tinggi (IPT) merelakan tubuhnya diperiksa untuk dibandingkan dengan pelakon sebenar.

Malah, gadis berusia 20-an itu juga sanggup membuat ‘akujanji’ menafikan pembabitannya dengan sebarang adegan tidak bermoral bagi mematikan ‘niat kotor’ pihak tertentu yang cuba mengaitkan dia dengan aksi lucah dalam klip video berkenaan.

‘Pemeriksaan tubuh’ lebih setengah jam itu dilakukan pegawai penguat kuasa wanita Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini untuk membandingkan tubuh pelajar terbabit dengan pelakon yang dikaitkan dengannya dalam klip video berkenaan.

Hasil pemeriksaan terperinci itu, Jais mengesahkan pelakon wanita dalam klip video bukan pelajar itu.


Video klip satu minit itu yang dipercayai dirakam menggunakan telefon bimbit memaparkan pelakon wanitanya beraksi lucah oleh dua lelaki yang dipercayai disebarkan di IPT berkenaan dan melalui Internet.

Bagaimanapun, dua waris pelajar terbabit yang turut menerima klip video berkenaan membuat aduan kepada Jais kerana membabitkan maruah keluarga.

Mereka turut mendakwa pelajar terbabit adalah pelakon wanita tanpa seurat benang dalam klip video berkenaan.

Dakwaan menjijikkan itu akhirnya sampai ke pengetahuan pengurusan IPT yang cuba mendapatkan pengesahan mangsa dengan bantuan Jais sebelum tindakan tegas diambil termasuk kemungkinan menyingkir mangsa jika terbukti bersalah.

Mangsa yang bengang dan malu dengan dakwaan itu mengakui pelakon wanita dalam klip video berkenaan mirip wajahnya, tetapi mendakwa dia tidak mengenali dua lelaki berkenaan.

Bagi mendapatkan kepastian, mangsa dirujuk kepada Jais untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Unit Tindakan Khas Jais, Shahrom Maarop, mengakui gadis berkenaan tampil untuk disoal siasat.

Bagi melengkapkan siasatan, katanya, tubuh mangsa turut diperiksa, termasuk mengukur saiz payu dara dan coli yang dipakai.

Pemeriksaan dilakukan beberapa anggota penguat kuasa wanita yang meminta kebenarannya membuka baju.

“Kami mendapati pelakon wanita dalam klip video itu bukan pelajar berkenaan. Malah, dia juga membuat ‘akujanji’ tidak pernah melakukan aksi lucah itu dengan teman lelaki,” katanya.

Beliau berkata, mangsa menafikan terbabit dalam penggambaran klip video itu walaupun mengakui pelakon wanita dalam klip video itu mirip wajahnya.

“Berdasarkan klip video berkenaan, memang pelakon wanita adegan lucah itu seakan-akan wajah gadis berkenaan.

“Siasatan kemudian dijalankan berdasarkan kemungkinan ada pihak cuba memalukan pelajar itu dengan menyebarkan klip video lucah kononnya mangsa turut beraksi,” katanya.

Beliau berkata, klip video itu memaparkan aksi seolah-olah pelakon wanita dirogol dua lelaki walaupun tidak menunjukkan sebarang penentangan terhadap tindakan terbabit.

Namun, berdasarkan siasatan, pelakon wanita bukan dirogol, tetapi merelakan dirinya diperlakukan sedemikian kedua-dua lelaki terbabit.

Menurutnya, Jais menjalankan siasatan apabila dua waris pelajar itu membuat laporan kononnya dia terbabit dalam aksi lucah seperti dipaparkan dalam klip video itu.

“Malah, apa yang mengejutkan, mereka mendakwa pelakon wanita adalah pelajar terbabit berdasarkan jam dan gelang yang dipakai sama dengan dimilikinya.

“Selepas diteliti, mangsa bagaimanapun tidak memiliki jam dan gelang terbabit. Kami akan memanggil waris mangsa berkenaan untuk disoal siasat mengenai dakwaan palsu dibuat,” katanya.

Justeru, Shahrom berkata, pihaknya akan memanggil dua waris mangsa yang membuat tuduhan berkenaan sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Beliau berkata, mangsa juga membuat laporan polis berkaitan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu.

Cut Mini buka mata penerbit




Meraih gelaran Pelakon Wanita Terbaik memang tidak pernah diimpikan pelakon berdarah Acheh ini

APABILA wanita berusia 35 tahun ini diumumkan Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Filem Indonesia (IMA) 2009 baru-baru ini, ramai yang membuka mata kerana Cut Mini Theo bukanlah pelakon yang dikategorikan sebagai aktres nama besar di negara berkenaan.

Kejayaan yang dikutip pada majlis anugerah yang diadakan di Stadium Tenis Tertutup Senayan, Jakarta, hasil lakonan memberangsangkan sebagai seorang guru dalam filem Laskar Pelangi membuatkan penggiat seni dan peminat mula memberikan perhatian kepada pelakon berdarah Acheh ini.

Apatah lagi apabila dia berjaya mengetepikan saingan pelakon handalan seperti Widyawati yang bersaing di bawah judul Love, serta Revalina S Temat menerusi filem Perempuan Berkalung Sorban. Dua lagi calon akhir kategori berkenaan ialah Richa Novisha (Pencarian Terakhir) dan Ladya Cheryl (Fiksi).

Laskar Pelangi ialah filem garapan sutradara Riri Riza yang ditayangkan di Indonesia pada 25 September tahun lalu, sempena sambutan Aidilfitri. Ia dibuat berdasarkan buku Laskar Pelangi tulisan Andrea Hirata.

Selain anugerah Pelakon Wanita Terbaik, filem berkenaan turut membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi aktor Ikranegara, serta tiga anugerah hasil undian peminat (SMS); Filem Pilihan, Pendatang Baru Lelaki Pilihan (Zulfani) dan Runut Bunyi Pilihan (Laskar Pelangi / Nidji).



Kata pelakon berkenaan, kejayaan itu tentu sekali membahagiakan dirinya, walaupun sepanjang membabitkan diri dalam dunia lakonan, dia tidak pernah mengimpikan sebarang trofi sebagai balasan atas segala usaha dicurahkan.

"Saya tidak pernah bermimpi untuk membawa pulang trofi ini bersama-sama saya. Begitupun saya amat bersyukur dengan pengiktirafan ini. Sesungguhnya, sama ada saya diberikan sebarang piala atau tidak, saya sentiasa akan memberikan persembahan terbaik demi pembangunan dunia perfileman Indonesia," katanya.

Menurut anak perempuan kepada pasangan T. Usman Abdullah dan Cut Dermawan ini, kejayaan itu sudah semesti memberikan dirinya semangat untuk terus bergiat cergas dalam dunia lakonan.

"Tidak ada rahsia dalam lakonan saya. Apa yang penting, saya sentiasa bersungguh-sungguh apabila sesuatu tanggungjawab diletakkan ke atas bahu saya. Dengan cara itu, saya berharap kerja saya tidak akan mengecewakan orang lain.

"Jika hendak dikira ilmu lakonan, semestinya dada saya masih belum penuh dengan pengetahuan seni lakon. Masih banyak ilmu lakonan yang ingin saya cari dan pencarian itu saya lakukan dengan menimba pengalaman berlakon di bawah sutradara yang hebat di sini," katanya merendah diri.

Menghargai sokongan suami

KETIKA mengulas kejayaannya pada IMA 2009 yang berlangsung pada 16 Mei lalu juga, aktres ini tidak lupa menghargai jasa kru filem terbabit, serta sokongan suami, Muhamad Safril Sarwono yang dikahwini pada tahun 2000, sehingga dia boleh berdiri di atas pentas utama menerima penghargaan yang cukup berharga.

"Suami saya sendiri mengizinkan saya meninggalkan keluarga seketika untuk menjalani penggambaran di luar daerah," katanya yang pernah membintangi beberapa filem lain seperti Arisan! (2003), Tri Mas Getir (2008) dan Kawin Kontrak Lagi (2008).

Karier seni Cut Mini sebenarnya bermula sejak usianya 15 tahun lagi. Ketika itu dia muncul sebagai model sebuah majalah remaja. Dari situ dia ditawarkan berlakon dalam drama, Catatan Si Boy. Nama Cut Mini mulai dikenal apabila dirinya menjadi model klip video penyanyi Andre Hehanusa.

Pelakon ini juga pernah ‘menetap’ di Malaysia selama sembilan bulan, kerana mengikat kontrak bersama sebuah syarikat produksi yang bekerjasama dengan TV3. Dia terbabit dalam beberapa siri yang dibintangi tujuh pelakon dari tujuh negara, di antaranya Brunei, India, Singapura, Malaysia dan Vietnam.

Setelah kembali ke Indonesia, wanita ini mulai dekat dengan P Project yang kemudian mempopularkan bahasa Melayu versinya. Keakraban itu memberi laluan kepada Cut Mini untuk menerima tawaran sebuah stesen televisyen menjayakan program komedi bertajuk Sang Prabu. Dalam rancangan itu, Cut Mini diberikan peranan sebagai orang Melayu. Dari situ jugalah Cut Mini mendapatkan jolokan pelakon komedi.

Anak bongsu daripada tujuh adik-beradik ini juga masih giat bergerak sebagai pengacara. Antara program dikendalikan olehnya ialah Telkomania dan Berita Selebritis (Betis). Manakala beberapa siri televisyen yang turut dibintangi Cut Mini ialah Kejarlah Daku Kau Kutangkap, Gara-Gara Inul, Kiri Istri Kanan Mertua, Olga, dan Permata Hati.

Terminator Salvation cabar musuhnya


Deretan filem besar Hollywood tunggu giliran untuk masuk ke pawagam kita

TAHUN 2009 boleh juga dianggap sebagai tahun meriah dengan filem sekuel, prekuel mahupun buatan semula.

Maklum saja, sudah menjadi amalan syarikat gergasi perfileman antarabangsa, apabila sesuatu judul meletup di pawagam, pasti ada sambungan atau kisah seterusnya.

Pada tahun ini, antara filem susulan dan buatan semula yang sudah atau bakal ditayangkan termasuk Transformers: Revenge of the Fallen, Harry Potter and the Half-Blood Prince, Star Trek, G.I. Joe: The Rise of Cobra, Terminator Salvation, X-Men Origins: Wolverine, Ice Age: Dawn of the Dinosaurs, Angels & Demons, Night at the Museum: Battle of the Smithsonian, Fame, Fast & Furious, The Final Destination, H2: Halloween 2, The Pink Panther 2, Crank: High Voltage dan Alvin and the Chipmunks: The Squeakuel.

Anda pilihlah sendiri judul mana yang berkenan di hati. Bagi saya, kesemuanya mempunyai keistimewaan dan pengikutnya sendiri. Cuma, agak menarik apabila dalam banyak judul aksi dan filem berteraskan penggunaan teknologi CGI, terselit sebuah filem buatan semula berjudul Fame. Dijangka ditayangkan September nanti, filem ini dibikin semula daripada filem muzikal keluaran 1980 dengan judul serupa.

Namun, kali ini bukan topik mengenai Fame hendak diperkatakan, sebaliknya filem Terminator Salvation yang dipertontonkan kepada wakil media minggu lalu. Sebaik saja keluar panggung, pelbagai reaksi spontan didengar. Sudah tentulah ada yang menggemarinya, begitu juga ada yang mempersoalkan rasional pengarahnya, McG, menghasilkan Terminator Salvation mengikut acuan berbeza.

Secara peribadi, saya menyenangi pendekatan pengarah yang popular menerusi siri filem Charlie’s Angels ini. Amat tidak adil untuk membandingkan filem keempat Terminator dengan tiga edisi pertama. Untuk apa dihasilkan filem susulan, sekiranya bentuk dan perjalanan ceritanya adalah sama?

Lalu, bagi membezakan penghasilannya dengan pengarah terdahulu, James Cameron dan Jonathan Mostow, McG menjadikan visual filem ini lebih kusam, apabila dia melunturkan warna filemnya. Sedikit sebanyak ia memberikan rasa berbeza apabila menonton gambar dalam bentuk sedemikian.

Penerimaan aktor British, Christian Bale untuk menghidupkan watak John Connor dalam Salvation juga seharusnya membuka mata peminat. Pelakon ini selalunya agak cerewet apabila memilih filem. Lihat saja filem lakonannya terdahulu seperti The Machinist, Velvet Goldmine, Batman Begins, The Dark Knight, American Psycho dan sebagainya.

Dia seorang bintang yang mementingkan skrip dan karakter. Lalu, apabila pelakon ini menerima tawaran membintangi Salvation, pasti ada sesuatu yang menarik mengenai filem ini. Bale juga yang mengecas semula minat orang ramai terhadap francais Batman, maka tidak mustahil dia mampu berbuat begitu juga pada siri filem Terminator.

Di tangan McG, watak John Connor bukan lagi melarikan diri daripada mesin pembunuh yang cuba menghapuskannya, sebagaimana dalam filem terdahulu. Kali ini, Connor tampil menentang robot pemusnah dan Skynet.

Begitu juga beberapa watak baru turut diperkenalkan untuk menghidupkan lagi cerita termasuk watak Marcus Wright yang dilakonkan Sam Worthington. Pelakon Australia itu terpilih menjayakan watak terbabit apabila disarankan sendiri oleh Cameron kepada McG. Tidak menghampakan, apabila Worthington mampu mempamerkan karakter sebuah robot yang berasakan dirinya seorang manusia. Ada pertarungan emosi dalam diri karakter ini, yang membuatkan wataknya seakan lebih menyerlah berbanding Connor.

Salvation juga begitu hebat dengan pelbagai aksi yang dirakam dengan sudut lebih menarik. Ditambah kewujudan mesin terbaru seperti robot gergasi penuai manusia, mesin berupa motosikal canggih dan robot seakan seekor ular, ia menambah keseronokan menonton filem ini.

Babak Wrigt cuba menyelamatkan rakan barunya, Kyle Reese (bapa John Connor) dan seorang kanak-kanak daripada diangkut robot penuai pula antara adegan paling menarik dalam filem Terminator edisi 2009 ini.

Bagi mereka yang merindui kemunculan Terminator asal pula, pasti terhibur dengan babak pertarungan antara Bale dan Arnold Schwarzenegger yang dihasilkan oleh CGI. Walaupun agak singkat kemunculannya, tetapi ia memadai untuk melengkapkan jenama governator itu dengan francais berkenaan.

Terminator Salvation mula ditayangkan di Malaysia pada 28 Mei.

INFO: Carta pecah panggung:

  • 1 - Night At The Museum 2
  • 2 - Angels & Demons
  • 3 - Syurga Cinta
  • 4 - I Corrupt All Cops
  • 5 - Monsters Vs. Aliens (3D)
  • 6 - Star Trek
  • 7 - X-Men Origins: Wolverine
  • 8 - Sarvam (Tamil)
  • 9 - I Love You, Man
  • 10 - Fireball (Thai)

Metafora Bryce Dallas




DILAHIRKAN sebagai anak kepada aktor dan pengarah popular, Ron Howard, Bryce Dallas Howard sudah mula mengenali dunia lakonan sejak lahir. Melihat rantaian keluarganya yang merupakan antara pelakon hebat Hollywood, datuk dan neneknya masing-masing ialah Rance Howard dan Jean Speegle Howard serta bapa saudaranya, Clint Howard, maka tidak menghairankan jika Bryce turut mengikuti jejak mereka dengan menjadi anak wayang.

Dia bersama dua adik kembarnya, Jocelyn dan Paige serta adik bongsunya, Reed sebenarnya dibesarkan di luar dari dunia hiburan. Mereka berempat tidak dibenarkan menonton televisyen tetapi lebih digalakkan untuk membaca dan memiliki hobi masing-masing.

Walaupun begitu, mereka sering muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem-filem bapa mereka. Bryce yang sudah menimba pengalaman bersama bapanya muncul di layar perak buat pertama kalinya menerusi karya arahan Alan Brown, Book Of Love pada tahun 2004. Namun, namanya mula dikenali umum menerusi naskhah arahan M. Night Shyamalan, The Village (2004).

Selepas itu, dia juga dipilih untuk menggantikan Nicole Kidman sebagai Grace dalam filem Manderlay (2005). Bryce sekali lagi bekerjasama dengan Shyamalan pada tahun 2006 menerusi filem Lady In The Water.

Tahun 2007 telah mencatatkan nama Bryce secara komersial apabila dia menjayakan watak Gwen Stacy, seorang model yang menyimpan perasaan terhadap Peter Parker dalam blockbuster filem arahan Sam Raimi, Spider-Man 3. Dia telah mengalahkan Elisha Cuthbert dan Sienna Miller untuk mendapatkan peranan itu.

Bakal terlibat dalam filem The Loss of a Teardrop Diamond, Bryce kini muncul menerusi sebuah lagi karya blockbuster, Terminator Salvation sebagai Kate Connor, isteri kepada John Connor, watak utama filem itu yang dilakonkan oleh Christian Bale.

Di alam realiti, Bryce yang sudah berkahwin dengan Seth Gabel pada 17 Jun 2006, memiliki seorang anak lelaki yang dilahirkan pada 16 Februari 2007.


BRYCE (belakang) menjadi penyokong jiwa dan semangat yang penting di sebalik tonggak utama Terminator Salvation, Christian Bale yang menghidupkan watak John Connor.


Berkongsi pengalamannya berlakon dalam Terminator Salvation, ikuti petikan temu bual bersama Bruce Dallas Howard yang disediakan oleh Buena Vista Columbia TriStar Films (M).

Bagaimana anda menjayakan watak Kate Connor? Apakah perwatakan sebenar Kate?

BRYCE: Kate merupakan anak askar yang nakal. Ayahnya berkhidmat untuk pasukan askar dan saya rasa dia memahami tanggungjawab dan tekanan yang dipegang oleh seorang ketua. Maka, dia merupakan calon isteri terbaik untuk John Connor.

Kate memahami erti pengorbanan serta kehilangan, bijak dan berfikir secara praktikal. Dia seorang doktor yang sedang hamil tujuh bulan, antara individu penting dalam misi perjuangan menentang Skynet - kuasa jahat mesin yang menjajah manusia. Jadi, saya rasa dia memiliki metafora yang cuba digunakan untuk mencipta masa depan.

Sejauh manakah 'gelapnya' dunia yang didiami oleh watak-watak itu?

Sangat 'gelap' dan dingin. Filem ini adalah cerita mengenai peperangan. Anda akan melihat kemusnahan yang mampu dilakukan oleh satu Terminator dalam ketiga-tiga filem sebelum itu. Maka, anda boleh bayangkan apa yang berlaku jika berjuta-juta Terminator berjalan di atas muka bumi. Jadi filem ini memerlukan kedinginan dan ketegangan sebegitu.

Saya banyak melakukan babak aksi walaupun mengandung. Mereka mahukan saya menunjukkan imej seorang wanita mengandung yang masih perlu memegang senjata kerana ingin menonjolkan keadaan dunia sebenar. Kita dilengkapi senjata untuk melindungi diri sendiri. Malah, ada seorang kanak-kanak perempuan yang juga terpaksa memegang senjata dalam filem ini.


MENUKARKAN warna rambut kepada perang ketika berlakon dalam filem Spider-Man 3.


Bagaimana dengan perkembangan karakter lakonan anda dalam filem itu?

Seperti semua watak manusia yang wujud dalam filem ini, perkembangan karakter lakonan kami itu banyak bergantung kepada nasib kerana John Connor sebenarnya telah ditakdirkan menjadi ketua puak penentang Skynet.

Saya rasa pada permulaannya, semua karakter cuba untuk mengawal takdir mereka dan akhirnya kami sedar bahawa kami cuma perlu lakukan yang terbaik kerana tiada siapa yang tahu mengenai masa depan. Kami tidak tahu sama ada kami akan selamat atau tidak.

Anda menjayakan watak sebagai wanita mengandung sepanjang filem. Adakah status sebagai ibu membantu anda menjayakan watak itu?


MEMILIKI bakat dalam penulisan skrip.


Pastinya kerana saya lebih memahami Kate dan apa yang dia lalui sebagai seorang wanita mengandung. Saya berasa amat selesa kerana saya memahami bagaimana perasaan dan jiwa seorang yang hamil.

Bagaimana anda boleh menggambarkan Terminator Salvation?

Saya akan menyatakan bahawa ini adalah episod kemuncak dalam francais Terminator dan satu penggambaran terbaik terhadap dunia masa kini. Terminator Salvation merupakan filem perang yang penuh ketegangan tetapi pada masa yang sama anda akan melihat perasaan kemanusiaan. Ia adalah sebuah produk yang emosional.

Filem itu juga adalah mengenai pilihan dan tanggungjawab. Terdapat kejutan psikologi dan pada setiap masa watak-watak itu berdepan dengan kesukaran untuk membuat keputusan sama ada baik atau jahat.

Namun, pada kebanyakan masa mereka masih tidak jelas walaupun sudah jelas apa yang perlu dilakukan. Persoalannya apa yang akan berlaku kepada anda jika anda melakukan keputusan yang salah? Ia adalah mengenai bagaimana kita mencipta masa depan untuk kita sendiri.

Apa agaknya yang menarik mengenai Terminator Salvation yang membuatkan penonton dari seluruh dunia setia menunggu?

Filem itu memaparkan ketakutan kita terhadap teknologi dan ketakutan terhadap idea hari kiamat yang mungkin akan muncul suatu hari nanti. Ia juga membuatkan kita berfantasi mengenai hero. Ditambah dengan jalan cerita yang menarik, filem ini amat mendebarkan. Apa yang penting adalah ceritanya.

Adakah anda masih teruja terhadap kerja anda seperti dulu memandangkan kini anda sudah menjadi ibu?

Rasanya keghairahan saya terhadap lakonan telah meningkat sebenarnya kerana ia adalah sesuatu yang menyeronokkan untuk berkongsi cerita dengan anak saya, Theodore Norman. Saya membesar dalam industri hiburan dengan gembira dan berharap dia juga begitu. Bagaimanapun kami tidak memaksa dia untuk memasuki dunia hiburan.

Bolehkah anda ceritakan pengalaman bekerja dengan Moon Bloodgood? Dia ada memberitahu bahawa dia banyak mempelajari daripada anda.

Saya rasa dia akan mempunyai masa depan yang cerah selepas filem ini kerana dia merupakan aktres berbakat. Dia sangat dinamik, bertenaga, bijak dan kelakar. Bloodgood pasti akan berjaya dalam bidang ini dan dia amat cantik.

Sebagai ibu yang sibuk dan pelakon, anda mempunyai minat lain selain daripada berlakon?

Selain daripada menjaga anak, saya suka menulis. Saya suka menulis karangan peribadi dan cerita pendek. Bagaimanapun saya sebenarnya baru sahaja menulis skrip bersama seorang teman. Ia amat mengujakan kerana Universal Studio telah membelinya. Kami masih mengubah suai skrip itu tetapi ceritanya amat sesuai dengan generasi kini. Diharap ia akan berjaya dan diterjemah kepada filem.

Kehidupan anda sekarang amat hebat dan bermakna. Adakah anda menikmatinya?


IMEJ terbaru Bryce ketika hadir pada tayangan perdana Terminator Salvation di Los Angeles baru-baru ini.


Selepas melahirkan anak, kehidupan saya lebih mencabar. Saya berdepan dengan kemurungan yang teruk dan saya tidak dapat menanganinya sehingga perlu mendapatkan bantuan pakar. Namun, pengalaman itu amat penting bagi saya kerana ia telah menyedarkan saya dan saya kini boleh melihat kehidupan dengan lebih jelas.

Saya merupakan seorang yang optimis dan berterima kasih dengan kehidupan. Bagaimanapun kemurungan adalah sesuatu yang teruk kerana tidak kira betapa hebatnya hidup anda, semua benda akan bertukar teruk dan dingin. Saya amat bertuah kerana berjaya menangani kemurungan dan ingin berbicara mengenainya.

Ia amat penting kerana ramai wanita berdepan dengan masalah sama tetapi tidak tahu cara untuk berdepan dengannya. Pada mulanya, saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku. Kini saya lebih menghargai kehidupan saya terutama saat-saat di samping keluarga.

Dalam kesibukan menjadi pelakon dan ibu, adakah anda mempunyai masa untuk fesyen dan stail?

Sebenarnya hanya kira-kira sebulan lalu saya mula memberi fokus terhadap fesyen kerana saya perlu menyediakan diri untuk promosi jelajah Terminator Salvation. Jadi, saya banyak menghabiskan masa di depan komputer untuk melihat pertunjukan fesyen berlainan. Saya rasa fesyen adalah sesuatu yang menarik kerana ia membolehkan anda mencari jalan untuk menonjolkan diri.

Saya nekad cerai! - Maizawati


STATUS hubungan antara Waheeda dan Ustaz Akil masih menjadi tanda soal. KANAN Maizawati.


MINGGU ini nama Maizawati Zainal,33, tiba-tiba sahaja menjadi panas. Dia bukannya selebriti sebaliknya hanyalah seorang ibu kepada enam cahaya mata yang berasal dari Ipoh, Perak.

Kemunculannya secara tiba-tiba dalam beberapa program televisyen dengan hasrat meluahkan segala rasa yang terbuku di hati meraih perhatian media hanya kerana dia adalah isteri kepada pendakwah dan penyanyi terkenal, Ustaz Akil Hayy, 40.

Malah, kemunculannya turut mengheret sama nama suami yang didakwa meninggalkannya dan anak-anak selama tiga bulan.

Sebelum ditinggalkan, dia telah menerima berita yang mematahkan hatinya iaitu suaminya meminta keizinan untuk bernikah satu lagi.

Setiap wanita pasti kecewa dengan berita tersebut, apatah lagi bakal madu yang dimaksudkan ialah Waheeda, 31, seorang penyanyi dan pelakon terkenal.

Namun, demi kasih dan sayangnya terhadap keluarga yang dibina, dia memberi keizinan kepada suaminya.

Bagaimanapun, kebahagiaan yang diharap hanya tinggal harapan. Sebaliknya hanya cerita-cerita panas antara suaminya dan Waheeda menjadi peneman dirinya.

Ini termasuklah kisah Waheeda dan suaminya menonton wayang bersama selain gambar mereka berdua di tepi pantai dirakam bersama beberapa rakan tersebar dengan luasnya di Internet.

Tidak tahu ke mana arah tuju, Maizawati yang merupakan seorang suri rumah sepenuh masa mengambil keputusan drastik untuk berdepan dengan media buat pertama kalinya.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Maizawati yang ditemui dalam sebuah program televisyen baru-baru ini.

Sebelum ini, ada dengar tentang gosip-gosip antara Ustaz dan Waheeda?

Ada, ia bermula sekitar tahun 2007.

Tindakan Maizawati ketika itu?

Saya ada bertanyakan kepada Ustaz tentang gosip-gosip itu dan dia menafikan. Jadi sebagai seorang isteri saya harus percaya pada suami dan saya percaya cakapnya.

Ketika awal gosip muncul ada bertanyakan hal ini pada Waheeda?

Pernah sekali saya bercakap dengannya melalui telefon dan saya membincangkan perkara ini. Dia juga tidak mengaku dan menafikan tentang gosip itu. Apabila mendengar kenyataan daripada kedua-dua pihak ketika itu saya anggap ia hanya mainan media dan tidak ambil pusing mengenainya.

Jadi bila Maizawati tersedar yang semua gosip itu adalah benar?

Saya sedar bila Ustaz tunjukkan surat meminta keizinan untuk bernikah satu lagi Februari lalu. Pada mulanya saya memang marah dan kecewa. Tanyalah mana-mana wanita semuanya rasa seperti saya. Bagaimanapun pada hari yang sama saya berubah fikiran dan membenarkan niatnya itu asalkan dilakukan dengan saluran yang betul.

Kalau begitu apa masalahnya lagi?

Masalahnya sejak itu, Ustaz tidak pulang ke rumah tetapi nafkah keluarga masih diberi seperti biasa.

Dengar kata Maizawati mengambil keputusan untuk bercerai. Tidak ada jalan lain selain penceraian?

Siapa kata saya tidak cuba jalan lain, saya sudah sabar, tunggu dan lihat selama dua tahun. Ustaz sibuk bekerja, jadi saya ada berbincang dengan dia, itu pun hanya melalui SMS sahaja. Ketika itu saya nak beri peluang sebelum saya hantar permohonan cerai tetapi tidak ada respons daripadanya seolah-olah merestui tindakan saya. Jadi saya nekad untuk bercerai dan perbicaraan akan berlangsung pada 2 Jun ini di Mahkamah Syariah Ipoh.

Adakah kerana gosip mereka telah bernikah membuat Maizawati mengambil keputusan untuk bercerai?

Tentang itu saya tidak tahu kerana tidak ada bukti hitam putih ditunjukkan kepada saya, jadi saya tidak percaya. Sudah banyak masa diberi kepadanya (Ustaz), jadi sudah terlambat untuknya kerana saya sudah nekad dengan keputusan yang dibuat.

Dalam artikel di akhbar lain sebelum ini Waheeda ada meminta Maizawati bersemuka dengannya. Adakah Maizawati bersedia bersemuka dengan Waheeda?

Buat apa saya nak bersemuka dengannya, patutnya dari awal lagi dia yang datang jumpa saya kenapa pula saya yang perlu jumpa dia. Sekarang ini semuanya sudah terlambat. Saya tidak perlu jumpa dia, buat apa? Pada saya berani kerana benar, takut kerana salah.

Sejak kemunculan Maizawati di televisyen dan akhbar, ada atau tidak Ustaz hubungi untuk menyelesaikan perkara ini secara baik.

Tidak ada, jumpa pun tidak. Mungkin dia sibuk kerja.

Maizawati sedar atau tidak kesannya apabila tindakan berhadapan dengan media diambil?

Saya sedar dan tidak menyesal kerana sebelum bertindak sebegini saya sudah kaji baik dan buruknya tindakan saya ini. Saya langsung tidak berniat untuk membuka aib sesiapa cuma meluahkan rasa di hati. Bukan juga untuk memperbesarkan perkara ini cuma nak mencari titik noktah.

Andai benar Ustaz dan Waheeda sudah berkahwin?

Saya harap mereka bahagia dan saya ucapkan tahniah.

Menghayati sejarah Negeri Sembilan

Promosi ini mempunyai kelainan dalam memperkenalkan keunikan serta bahan sejarah apabila ia turut menampilkan warisan takhta diraja Negeri Sembilan.


ISTANA Seri Menanti menjadi simbol kepada keunikan keluarga diraja yang masih kekal di Negeri Sembilan.


PROMOSI sempena pertabalan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, 60, yang dimasyhur sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11 akan diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Ampang, Kuala Lumpur dari 29 hingga 31 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu, Datuk Mohd. Razi Kail berkata, promosi itu bertujuan memberi peluang kepada warga kota melihat sendiri sejarah yang dibawa dalam pelbagai bentuk dan adat istiadat Negeri Sembilan.

Kesemua ciri-ciri adat dan istiadat negeri itu akan dipamerkan untuk tatapan pengunjung sepanjang promosi yang berlangsung selama tiga hari itu.

Antaranya melibatkan pameran dan demonstrasi budaya, permainan tradisional, makanan dan persembahan kesenian yang melambangkan adat istiadat Negeri Sembilan.


MOHD. RAZI KAIL (dua dari kanan) melancarkan promosi keunikan istiadat pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Promosi anjuran kerajaan Negeri Sembilan itu dikelolakan bersama Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS) dengan kerjasama Matic, Muzium Negeri dan Unit Penggalakkan Pelancongan Negeri Sembilan.

"Promosi ini mempunyai kelainan dalam memperkenalkan keunikan dan bahan sejarah apabila ia turut menampilkan warisan takhta diraja Negeri Sembilan,'' katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo!.

Antara bahan-bahan yang ditampilkan itu termasuklah salasilah dan warisan takhta diraja Negeri Sembilan daripada keturunan Raja Melewar sehingga Tuanku Muhriz.

Dalam pada itu, Mohd. Razi berkata, promosi itu juga mampu meningkatkan kefahaman orang ramai, di samping memartabatkan khazanah warisan silam negeri Adat Perpatih itu.

Generasi muda yang kebanyakannya berhijrah ke ibu kota harus mengambil peluang mengenali sejarah dan amalan Adat Perpatih menerusi promosi tersebut.


MASAK lemak cili padi yang sinonim dengan sajian tradisional Negeri Sembilan menanti pengunjung.


Menurutnya, keunikan Adat Perpatih yang menghimpunkan pelbagai artifak dan pameran ini memenuhi kehendaki pengunjung termasuk pelancong tempatan dan asing.

"Ia bukan sekadar mempamerkan secara kronologi penghijrahan orang Minangkabau di Tanah Melayu pada abad ke-15 secara terperinci, malah pengisian galeri baru itu turut diwarnai dengan pelbagai artifak dan replika berkaitan termasuk rumah Minang," ujarnya.

Menurutnya, dekorasi yang direka khas turut menjadi lambang institusi beraja, selain pelbagai bahan sejarah seperti Undang Yang Empat dan Luak-Luak oleh masyarakat Negeri Sembilan.

Keseluruhan pameran tersebut katanya, menjadi lambang diraja Negeri Sembilan dan sedikit sebanyak ia memberikan maklumat kepada pengunjung yang hadir.

"Warga kota dan anak-anak muda yang berhijrah ke ibu kota, boleh menggunakan peluang ini sebaik mungkin supaya pemahaman khazanah Adat Perpatih dapat diterapkan.


SERAMAI 200 peserta akan mengambil bahagian dalam Pertandingan Congkak Terbuka.


"Harapan saya adalah pameran ini dapat memberi manfaat kepada pengunjung," katanya.

Beliau juga memberitahu, pameran di Matic kelak dapat memberi kepuasan dan memenuhi hasrat pengunjung yang datang untuk mengetahui maklumat sejarah Negeri Sembilan.

"Jika anda seorang pelajar, pensyarah atau pengkaji sejarah yang ingin mendapatkan maklumat tentang Negeri Sembilan, semuanya mampu dirungkaikan dengan mengunjungi pameran ini," katanya.

Menurutnya, majlis prapelancaran pertabalan itu juga bertepatan kerana selepas 41 tahun, Adat Pertabalan Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan akan diadakan pada 24 hingga 26 Oktober ini.

"Apa yang diharapkan, orang ramai mendapat maklumat awal mengenai adat istiadat tersebut yang penuh bersejarah dan gilang gemilang," kata beliau.

Pada masa yang sama, katanya pelbagai program dan aktiviti sama ada dalam bentuk pendidikan, kebudayaan, kesenian, warisan dan adat istiadat akan diadakan khusus untuk pelajar sekolah dalam usaha menggalakkan lebih ramai orang datang ke pameran tersebut.

Menginap di perkampungan nelayan

Tersenarai sebagai destinasi inap desa dalam kalendar pelancongan sejak setahun lalu, orang ramai boleh menginap dan menikmati ketenangan di pulau yang terletak kira-kira 16 kilometer nautika dari tanah besar Seberang Perai ini.




SELAIN terkenal dengan kawasan pantai peranginan dan tinggalan kolonial di Tapak Warisan Dunia UNESCO dekat George Town, kehijauan rimba asli negeri ini usah diperkecilkan. Sesuai dengan gelarannya sebagai negeri pelancongan, Pulau Pinang tidak ketandusan destinasi baru untuk dikomersialkan.

Buktinya, perkampungan Pulau Aman. Ia merupakan satu-satunya kampung nelayan Melayu tradisional yang masih kekal keasliannya. Kini, ia giat dipromosikan. Terpilih antara sembilan destinasi Inap Desa dalam senarai Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Pulau Pinang (MTPN PP), kunjungan ke sini boleh dipertimbangkan pengunjung.

Pulau Aman dihubungkan dengan jalan laut melalui Jeti Batu Musang untuk menaiki bot tambang kira-kira 10 minit perjalanan dengan bayaran RM3 sehala. Untuk ke jeti ini, pengunjung boleh menaiki teksi atau kenderaan sendiri, jika dari arah Butterworth menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan dan susur keluar ke Simpang Ampat/Batu Kawan dan ikut penanda arah ke Batu Kawan hingga ke ke Jeti Batu Musang.


PENDUDUK Pulau Aman hanya berjalan kaki saja untuk bersiar-siar di sekitar perkampungan ini.


Terletak di mukim Simpang Ampat dalam gugusan daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Kampung Pulau Aman hanya kira-kira 16 batu nautika dari tanah besar Seberang Perai. Secara amnya, terdapat tiga gugusan pulau kecil paling hampir dengan Pulau Pinang iaitu Pulau Jerejak, Pulau Aman dan Pulau Gedung.

Kedudukan Pulau Aman yang bersebelahan dengan Pulau Gedung boleh dilihat dengan jelas dari Jambatan Pulau Pinang. Bagaimanapun, hanya Pulau Aman saja yang berpenghuni. Menurut sejarah lisan penduduk tempatan, kedua-dua pulau ini mula diteroka oleh nelayan Melayu sekitar abad ke-18. Bagaimanapun, penduduk meninggalkan Pulau Gedung setelah ia menjadi sarang persembunyian lanun.


PENGUNJUNG juga boleh berkayak di pesisir pantai Pulau Aman.


Menurut cerita mereka, Pulau Gedung mendapat nama setelah penjajah British menguasai kawasan itu. Mereka kemudiannya menempatkan gedung simpanan bahan letupan lalu dijadikan kawasan larangan. Kesan tinggalan gedung ini kekal hingga ke hari ini termasuklah sebuah makam purba yang dipercayai milik kerabat diraja.

Generasi ketujuh

Ketika ini, terdapat hampir 250 penduduk sahaja yang mendiami Pulau Aman yang berkeluasan kira-kira 116.5 hektar. Sebanyak 95 peratus muka buminya masih lagi diseliputi hutan. Penduduknya merupakan generasi ketujuh yang mendiami pulau ini dan seperti generasi terdahulu, rata-ratanya adalah nelayan pantai.

Bagaimanapun, kini ramai generasi mudanya berhijrah dan bekerja di bandar berdekatan. Walaupun komunitinya kecil tetapi Pulau Aman membangun sama seperti kampung-kampung lain di negara ini.

Sesuai dengan namanya, suasana di perkampungan nelayan tradisional ini cukup tenang kerana tiada kenderaan bermotor, sebaliknya penduduk kampung hanya berjalan kaki sahaja. Jalan yang ada hanyalah laluan pejalan kaki yang dibuat daripada konkrit yang mengelilingi pulau ini. Ia turut menghubungkan jeti dan kawasan kediaman.


SELAIN belacan dan kerepek sukun, kuih kapit juga merupakan produk yang popular dihasilkan oleh penduduk Kampung Pulau Aman.


Inilah yang menjadi daya tarikan utama bagi pengunjung luar apabila mereka bebas daripada hiruk-pikuk enjin kenderaan dan kebisingan kota. Bagi 'menjual' Pulau Aman, pada awal Mei lalu MTPN PP membawa kira-kira 27 pemandu pelancong dan wakil agensi pelancongan swasta negeri ini. Tujuannya untuk mengenali kampung tradisional yang kaya nilai pelancongannya.


BILIK kediaman inap desa di Kampung Pulau Aman yang selesa untuk pengunjung.


Diketuai Pengurus Kemudahan dan Perkhidmatan MTPN PP, Siti Majmin Jalani, program dua hari satu malam ke sini memberi pendedahan kepada 27 peserta ini tentang destinasi baru mereka. Walau pun bertugas sebagai pemandu pelancong, tapi ini merupakan pengalaman kali pertama bermalam di perkampungan inap desa bagi sebilangan besar peserta.

"MTPN PP melihat potensi program inap desa kampung ini untuk dijadikan produk yang boleh ditawarkan ejen-ejen ini menerusi pakej pelancongan mereka," ujar Siti Majmin ketika ditemui.

Siti Majmim memberitahu, buat permulaan kira-kira 25 penduduk terpilih menyertai program rintis ini sebelum mengikuti kursus bimbingan seliaan MTPN.

Mi udang yang lazat

Menurut beliau, sebelum ini Pulau Aman memang sering dilawati pengunjung terutama kaki pancing yang bermalam di tapak perkhemahan atau calet milik penduduk yang diuruskan oleh persatuan nelayan kampung itu dengan Koperasi Pelancongan Pulau Pinang Berhad (Kopel).

"Nilai pelancongan yang ada di sini menyebabkan MTPN yakin ia boleh dijual, lantas kita bekerjasama dengan Kopel untuk mempromosikannya. Saya berpendapat, ia usaha menang-menang atas nama pelancongan negeri.

"Setiap kampung inap desa mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan tidak terkecuali Kampung Pulau Aman yang terkenal dengan hasil perikanannya termasuk pembuatan belacan.

"Saya pernah diberitahu mi udang yang sedap boleh dinikmati di sini dan ia ternyata benar kerana di sini ia dihidangkan bersama udang-udang segar yang baru naik dari laut.

"Begitu juga dengan belacan keluaran Pulau Aman yang masih dihasilkan penduduknya secara tradisional selain terkenal dengan produk kerepek sukun. Malah, terdapat sebatang pohon sukun di kampung ini telah diiktiraf oleh Mardi sebagai pokok sukun tertua di negara ini.

"Jika air surut, pengunjung boleh turun hingga ke tengah laut untuk mencari remis dan aktiviti ini memang unik bagi orang-orang bandar.

"Pengunjung juga boleh menyewa bot untuk mengeliling sekitar kawasan pulau dan Pulau Gedung yang terletak bersebelahannya sehingga ke perairan Batu Kawan termasuk melihat kegiatan menternak ikan dalam sangkar yang diusahakan oleh penduduk kampung," ujarnya.

Siti Majmin yakin percutian ke Kampung Pulau Aman boleh menjadi satu lagi destinasi libur yang menarik di Pulau Mutiara.


SALAH sebuah gedung peluru tinggalan penjajah British yang masih boleh dikunjungi di Pulau Gedung.





Sementara itu Ketua Kampung Pulau Aman, Yaacob Taib, berbangga apabila MTPN menyenaraikan kampung itu dalam kalendar destinasi pelancongan mereka sebagai destinasi inap desa sejak setahun lalu.

"Ia umpama rezeki kepada penduduk kampung, sekali gus membantu menjana ekonomi setempat yang hanya bergantung daripada hasil laut.

"Sebelum wujud program inap desa, memang sering pelancong tempatan atau luar negara ke sini sama ada untuk berkelah, berkhemah atau menyewa calet.

"Tapi dengan adanya program inap desa, kami penduduk kampung dengan senang hati menerima kunjungan pelancong untuk bermalam di sini," jelasnya.

Kuasai teknik menyelam

Pelatih-pelatih Sekolah Skuba Antarabangsa (SSI) Scuba Rangers ini bukan saja didedahkan dengan sukan selam skuba, malah mereka juga dididik tentang aspek keselamatan dan disiplin diri.




GELAGAT mereka tidak ubah seperti penyelam skuba profesional. Lengkap berpakaian dengan alat menyelam seperti tangki udara, tolok udara, topeng muka dan jam bawah air, mereka seolah-olah ingin meneroka dunia lautan.

Lebih mengejutkan, mereka adalah kanak-kanak yang berumur antara lapan hingga 12 tahun. Mereka bukan sekadar menang gaya, malah mampu menguasai kemahiran dan teknik menyelam serta mengendalikan peralatan skuba.

Mereka ialah pelatih kanak-kanak selam skuba yang mengikuti kursus Sekolah Skuba Antarabangsa (SSI) Scuba Rangers yang dikendalikan oleh Dolphin Swiming Academy (DSA) bersama edscuba. Mereka akan menghadiri latihan setiap hari Sabtu di Kompleks Sukan Tan Sri Haji Mohd. Said, Seremban 2, Negeri Sembilan.


WAJAH-WAJAH yang bakal menjadi pelapis penyelam profesional Malaysia.





Ketua Jurulatih dan Penyelamat Kelemasan DSA, Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, program Scuba Rangers merupakan kolaborasi di antara DSA dan edscuba untuk menambah aktiviti sukan air dan melahirkan penyelam-penyelam profesional di Negeri Sembilan.

"Kita mahu melihat lebih ramai penggemar aktiviti sukan air meminati dunia lautan khususnya di peringkat akar umbi, sekali gus menanam sikap cintai alam semula jadi.

"Ia juga merupakan satu cabaran kepada DSA untuk terus mempergiatkan lagi aktiviti sukan air bersesuaian dengan saranan kerajaan negeri melihat jaguh sukan dapat dilahirkan.

"Idea untuk memperkenalkan kursus skuba ini tercetus apabila ramai dalam kalangan pelajar yang mengikuti kursus renang di DSA ingin melihat lebih banyak aktiviti sukan air dilaksanakana," katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Tan Sri Haji Mohd Said, Seremban 2 baru-baru ini.


PELATIH Skuba Kids mampu menguasai teknik menyelam dan mengendalikan peralatan skuba.


Ujar Abdul Aziz, program Scuba Rangers ini dibahagikan kepada empat peringkat iaitu Rangers, Pertengahan, Lanjutan dan Master Rangers sebelum mereka layak menerima lesen menyelam.

Katanya, pelatih-pelatih ini perlu menjalani lima latihan kelas pada setiap hari Sabtu bermula dari pukul 9 pagi. Ia merangkumi pengajaran teori dan praktikal dengan bayaran sebanyak RM900.

"Selain kelas untuk kanak-kanak, kita juga menyediakan kelas skuba untuk golongan dewasa komprehensif pada harga berpatutan. Untuk asas skuba, ia bermula pada harga RM250 untuk ahli dan RM300 bukan ahli.

"Apa yang menarik tentang sukan selam skuba ini ialah ia bukan sahaja mengajar tentang disiplin diri, aspek keselamatan malah merupakan alternatif untuk keluarga beriadah bersama-sama," katanya.


ABDUL AZIZ (paling kanan) bersama sebahagian daripada kakitangan edscuba.


Jelasnya, selain menawarkan skuba dan renang, DSA turut mengajar latihan dan ujian penyelamat Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia (LSSM).

Sejak sedekad lalu, DSA telah melahirkan hampir 7,000 perenang dan 28 penyelamat kelemasan.

Sementara itu, tenaga pengajar skuba edscuba, Nor Azlan Zain, 45, berkata, program SSI Scuba Rangers merupakan kelas persediaan kepada kanak-kanak ini sebelum melangkah lebih jauh ke dunia lautan.

"Dalam program ini, ia tidak hanya tertumpu kepada teknik menyelam tetapi penekanan juga diberikan terhadap aspek keselamatan dan disiplin diri.

"Kita tidak mahu mereka hanya tahu menyelam tetapi tidak mengambil berat tentang aspek keselamatan kerana ia akan membahayakan nyawa mereka," ujarnya.

Menyelam ke dasar laut

Tambah Nor Azlan, penerapan mengenai pemuliharaan dunia lautan juga ditekankan dalam program Scuba Rangers edscuba untuk memberi kesedaran kepada kanak-kanak ini tentang kepentingan ekosistem di dasar laut.


BAWAH: Pelatih selam skuba juga akan dibawa meneroka keindahan dasar laut di pulau-pulau di Malaysia.


Apakah kesukaran melayan kerenah kanak-kanak yang mengikuti program Scuba Rangers? Nor Azlan memberitahu, pada mulanya memang sukar melayan gelagat mereka tetapi sebagai tenaga pengajar berpengalaman, mereka perlu pandai mengambil hati pelajar dengan konsep yang menggembirakan.

"Ia merangkumi permainan, tayangan video dan jenaka agar mereka tidak bosan, sekali gus menarik perhatian mereka untuk bertanya dan mendalami dunia penerokaan lautan.

"Dalam pada itu, kita juga mengadakan program ke pulau-pulau peranginan untuk menyelam di laut. Ia dapat membantu para pelatih untuk merasai keadaan sebenar berada di bawah laut malah ia merupakan satu aktiviti melibatkan seisi keluarga," katanya.

Sementara itu, pelatih Scuba Rangers, Siti Nur Aqilah Nor Azlan, 9, berkata, beliau berminat untuk mengikuti program berkenaan kerana tertarik dengan kehidupan laut dan ingin melihatnya dengan lebih dekat lagi.

"Perasaan takut dan tidak yakin sentiasa timbul semasa mula-mula menyertai program ini tetapi apabila sudah menyelam ia satu pengalaman baru yang sungguh menyeronokkan.

"Program Scuba Rangers ini sangat bagus kerana kita dapat mempelajari tentang sukan selam skuba, ekosistem lautan dan menambah stamina serta kesihatan para pelatih," katanya.




Bagi Muhd. Alif Shah Shirah Akashah, 8, beliau tertarik dengan sukan selam skuba kerana ibu bapanya bergiat aktif dalam sukan tersebut.

"Saya selalu mengikuti kedua-dua ibu bapa menyelam di pulau-pulau peranginan di negara ini. Seronok dan mengujakan apabila mengikuti program Scuba Rangers ini.

"Banyak yang dapat dipelajari tentang hidupan laut apabila menyelam di dasar laut," katanya.

Austin Mini ceriakan hari

Kereta yang dibeli pada harga RM12,000 itu diberi nama Hip Hop. Azharina mengakui keretanya setakat ini mudah dikendalikan tanpa perlu berdepan dengan banyak masalah.


TIDAK akan membawa kereta ini untuk tujuan membeli-belah kerana bimbang tidak cukup ruang untuk mengisi barang.


SEMUANYA bermula apabila penyanyi bersuara serak-serak basah, Azharina Azhar atau Azharina ingin membelikan sebuah kereta untuk adik kesayangan, Mohd. Adam My. Ahmad Al-Azhar, 15.

Waktu itu, adik lelakinya ingin memiliki sebuah kenderaan yang dapat digunakan untuk ke sekolah dan berjalan-jalan di sekitar tempat tinggal mereka di Puchong, Selangor.

Ditambah pula, Adam merupakan seorang individu yang cukup menggilai kereta yang juga menjadi kegilaan seluruh ahli keluarga. Justeru, Azharina sanggup memperuntukkan sejumlah wang untuk melunaskan hajat adiknya.


SANGGUP berhabis RM23,500 untuk mencantikkan kereta Austin Mini 850 tahun 1976 miliknya.





Menurut Azharina, kereta Austin Mini 850 buatan tahun 1976 itu dibeli melalui seorang jirannya yang berbangsa Cina kira-kira empat tahun lalu.

"Pada mulanya, adik saya mahukan Volkswagen lama sebagai kereta pertama miliknya.

"Suatu hari, saya terlihat kereta ini dan hati terus menyukainya sedangkan adik saya yang ingin membelinya.

"Keterujaan saya pula yang lebih berbanding adik sendiri. Saya segera ke rumah pemilik kenderaan itu dan menunggu di luar rumahnya.

"Terkejut tidak terkata apabila anjing tuan rumah tiba-tiba muncul di depan dan menyalak bagai hendak gila.

"Nasib baiklah kami tidak diterkam oleh haiwan itu," katanya sambil tertawa ketika ditemui pada sesi fotografi Ini Mobilku di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sambung wanita berusia 24 tahun itu, dia kemudian bertemu dengan pemilik Austin Mini berkenaan dan berbincang lebih lanjut tentang penjualan kereta tersebut.

Alhamdulillah, saya dapat membeli kereta itu pada harga RM12,000. Dicampur dengan prosedur tukar hak milik dan menukar dokumen, jumlah keseluruhan pembelian kereta ini adalah sebanyak RM14,000.

"Sewaktu kali pertama mendapat kereta ini, saya terkejut besar melihat kondisinya yang teruk dan nampak macam besi buruk sahaja.

"Saya tidak mampu membayangkan bagaimana keadaannya. Hanya Allah sahaja yang tahu rupanya pada waktu itu," jawab Azharina.

Enggan membuang masa disebabkan hati sudah tidak sabar-sabar untuk melakukan modifikasi terhadap kereta klasik itu, maka Azharina segera menghantarnya ke bengkel.

"Banyak jugalah wang yang saya keluarkan untuk memperbaiki kereta ini menjadi sebuah fizikal yang antik dan menarik.

"Saya tukar enjin, tempat duduk kulit, penghawa dingin, memasang kipas dan bermacam-macam lagi hingga wang saya habis dalam anggaran RM23,500.

"Biarpun begitu, saya gembira dengan perubahan kereta ini. Ia kelihatan comel apabila berada di jalan raya," jelas Azharina sambil tertawa riang.

Cuma apa yang membuatkan Azharina tersentak apabila adiknya tidak menjaga kereta tersebut dengan sebaik-baiknya.

"Adik saya sekadar bawa kereta ini tanpa menjaga kebajikannya yang disifatkan sebagai kereta klasik. Hakikatnya, ia memerlukan sepenuh penjagaan apatah lagi usianya sudah mencapai hampir setengah abad.

"Suatu hari apabila adik saya ingin pulang dan menetap semula di kampung halaman saya di Sabah, dia minta kebenaran saya untuk membawa sekali kereta ini bersama-samanya.

"Saya tidak setuju sebab tahu dia tidak akan menjaganya dengan baik. Biarlah kereta ini terus tinggal dengan saya.

"Sekurang-kurangnya, saya boleh memandu ke mana-mana. Bentuknya yang kecil memudahkan pergerakan untuk saya ke mana-mana.

"Kini, saya menjadi pemilik sebenar kepada Austin Mini ini," terang Azharina yang kini semakin popular dengan lagu terbarunya, Rasa.

Ceriakan hari orang lain

Bercakap pengalaman memandu kereta tersebut, Azharina memberitahu, ia mudah dikendalikan tanpa perlu berdepan dengan banyak masalah.

"Selalunya kereta lama, ada sahaja ragamnya sehingga menyusahkan pemiliknya. Namun, hal itu tidak terjadi pada kereta ini," ujarnya yang memberitahu bahawa dia lebih suka memandu kereta ini ke pejabat yang terletak hanya lima minit dari kediamannya di Puchong, Selangor.

Menurutnya, selain itu, saiznya yang kecil memudahkan Azharina meletakkannya di parkir walaupun terpaksa 'menyelit' di antara kenderaan yang banyak terdapat di kawasan pejabat.

"Kalau hendak lepak atau bersantai di pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur, saya juga akan memandu kereta ini.

"Biasanya, saya akan pandu kereta ini ke Pavilion pada waktu petang bersama-sama pekerja saya.

"Lebih mudah untuk kereta ini 'mencelah' di sana dan sini jika berlaku kesesakan lalu lintas.

"Cuma, saya tidak boleh bawa kereta ini kalau hendak membeli-belah. Setakat berjalan-jalan okeylah, sebab takut tidak cukup ruang untuk saya masukkan barang-barang yang dibeli nanti," akui Azharina yang sudah menanam impian untuk membeli sebuah lagi kenderaan sama ada baru atau lama pada tahun depan.


KERETA comel kesayangan Azharina ini tidak banyak menimbulkan masalah.


Dalam pada itu, Azharina melihat kereta miliknya ada signifikan kepada orang lain. Jangan terkejut kerana beritahunya, Austin Mini itu mampu menceriakan hari sesiapa sahaja yang melihatnya di jalanan.

"Saya pernah berdepan dengan peristiwa sekumpulan budak-budak yang terlihat kereta ini tersenyum sendirian melihat warnanya yang cukup unik.

"Bukan sahaja budak-budak, malah ada juga warga tua yang tergelak melihat keistimewaan kereta saya," ungkit Azharina tentang kereta yang dimilikinya itu.

Sempat membongkar rahsia diri, Azharina mengakui kereta Austin Mini itu mempunyai nama yang agak menarik. Barangkali ada sesetengah pihak beranggapan gelarannya tidak sesuai dengan rupa kereta itu.

"Jangan main-main kerana kereta ini saya namakannya Hip Hop. Ia menunjukkan bahawa tuan punya kereta ini juga gila-gila dan santai," katanya.

Kulit harimau kering RM90,000 dirampas


Mohd. Noor (empat dari kanan) bersama anggota lain melihat kulit harimau siap diproses yang dirampas di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam.


BUKIT KAYU HITAM - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) merampas lima keping kulit harimau bernilai kira-kira RM90,000 serta menahan dua lelaki Thailand di sekatan jalan Kilometer 1.3 menghala ke Thailand di sini semalam.

Komander UPP Kedah, Mohd. Noor Idris berkata, kulit harimau bernilai kira-kira RM18,000 setiap keping itu dirampas di sekatan jalan itu pada pukul 6.50 pagi.

Menurut beliau, semasa pemeriksaan, kulit harimau tersebut ditemui dalam bungkusan plastik berwarna kelabu yang disimpan dalam but kereta Honda Civic bernombor pendaftaran Thailand yang dinaiki dua lelaki masing-masing berusia 51 dan 52 tahun.

"Kulit harimau kering sepanjang lebih dua meter dan selebar 0.6 meter itu dipercayai diseludup dari hutan sekitar kawasan negeri Perak dan Kelantan," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Mohd. Noor berkata, kulit harimau terbabit dipercayai akan dijual di pasaran Thailand pada harga yang lebih tinggi.

Jelas beliau, kes tersebut diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk siasatan lanjut.

Nestle tarik balik perkataan Indon pada mi segera


KERATAN buletin Caraka keluaran KBRI mengenai pek mi segera yang mengandungi perkataan Indon.


KUALA LUMPUR - Nestle Product Sdn. Bhd. (Nestle) bertindak menarik balik perkataan 'Indon' yang tertera pada dua pek makanan segera keluaran syarikat itu ekoran bantahan daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) dan rakyat Indonesia di negara ini.

Isu itu timbul apabila seorang lelaki dari Jawa Timur yang tinggal di negara ini, Husni Hasan, 26, menemui perkataan 'Mi Goreng Pluz Perencah Asli Pedas Ala Indon' dan 'Mi Goreng Pluz Perencah Asli Ala Indon' pada pek makanan segera itu pada Februari lalu.

Husni kemudian membuat aduan kepada KBRI di sini yang mahu ia ditulis dengan perkataan penuh iaitu 'Indonesia'.

Ekoran aduan tersebut, Kaunselor KBRI, Eka A. Suripto telah menghantar sepucuk surat bantahan kepada Kementerian Luar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Nestle.

"Sebenarnya pihak Indonesia dan Malaysia sudah bersetuju untuk tidak menggunakan perkataan tersebut hasil pertemuan tahunan Perundingan Bilateral pada Mei 2007," kata Eka dalam buletin berkala Caraka keluaran KBRI edisi Mei.

Dalam pada itu, Pengurus Eksekutif Perniagaan Nestle, Izham Mohamed dalam jawapan balas kepada KBRI, mengakui telah mengeluarkan produk mi segera menggunakan perkataan Indon.

Nestle kemudian meminta maaf di atas kejadian itu dan bersedia menarik balik semua produk dan menukar perkataan tersebut.

'Belum tentu bercerai'


MAIZAWATI





KUALA LUMPUR - Jika sebelum ini isteri penceramah bebas dan penyanyi Akhil Hayy (gambar), Maizawati Zainal nekad untuk menuntut cerai tetapi wanita berusia 33 tahun itu kini berkata, tidak mustahil hatinya boleh berubah pada 2 Jun ini.

Pada tarikh tersebut, Mahkamah Rendah Syariah Ipoh akan mendengar kes perbicaraan cerai mereka.

Menurut Maizawati, sebagai manusia biasa, hatinya boleh berubah. Dia menyerahkan takdir hidup kepada Yang Maha Kuasa.

"Memang saya nekad hendak berpisah sebelum ini. Biarpun begitu, saya tahu hati manusia ada kemungkinan boleh berubah.

"Jika hari ini saya berkata mahu berpisah, esok atau lusa siapa tahu kalau hati saya berubah semula. Saya tidak mahu cakap lebih-lebih, semuanya saya serah kepada Allah," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Maizawati diminta mengulas kenyataan Akhil yang mendakwa dia keluar rumah tanpa keizinan suami dan tidak telus dalam mendedahkan hubungan komunikasi mereka yang terputus.

"Kalau boleh saya tidak mahu ulas lagi. Ini hal saya dan dia. Kami masing-masing ada hak untuk bercakap, cuma saya rasa tidak mahu bercakap lagi tentang perkara ini.

"Biarlah semuanya ditentukan di mahkamah nanti. Saya baru beritahu sedikit sebaliknya banyak lagi akan diceritakan semasa proses perbicaraan kelak," ujarnya.

2 anak ibu tunggal dapat ijazah kelas pertama


Intan Shafinaz (kiri) dan Intan Natasha mencium Faezah selepas Majlis Konvokesyen UiTM di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seorang ibu tunggal, Faezah Yaacob, 54, gembira bercampur sedih menyaksikan dua anak perempuannya menerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen ke-70 Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini semalam.

Lebih membanggakan Faezah yang merupakan suri rumah apabila kedua-dua anaknya iaitu Intan Shafinaz Abdul Azim, 29, daripada program Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka dan Intan Natasha, 24, yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Percetakan turut menerima Anugerah Naib Canselor selepas masing-masing mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.80 dan 3.68.

Faezah yang merupakan balu kepada Kapten Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkalan di Sandakan, Sabah, Abdul Azim Abdul yang meninggal dunia akibat paru-paru berair 14 tahun lalu ketika ditemui berkata, dia bersyukur dan amat berbangga dengan pencapaian kedua-dua anaknya itu.

Walaupun dia terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran membesar dan mendidik dua anak gadis bersama seorang lagi anak lelaki sulungnya sendirian, namun melihat mereka berjaya mencatatkan keputusan cemerlang adalah saat yang amat mengharukan.

"Saya gembira kerana walaupun berstatus ibu tunggal, saya tetap berjaya membesarkan anak-anak dengan baik.

"Malah, saya bersyukur apabila kejayaan ini bukan sahaja dapat memenuhi impian saya tetapi juga impian dan amanat arwah suami," katanya.

IPTS bankrap pelajar cuma kejar untung


KOLEJ yang terletak di kawasan sibuk seperti stesen bas tentunya kurang sesuai untuk pembelajaran peringkat tinggi. Banyak kolej swasta beroperasi dari kampus di tepi stesen bas.


KUALA LUMPUR - Ada seorang pelajar pun cukup.

Begitulah situasi terdesak sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu kota yang terpaksa meneruskan sesi pembelajaran walaupun hanya terdapat seorang pelajar datang mendaftar pada setiap kursus yang ditawarkan.

Lebih teruk lagi, pengambilan pelajar di kolej itu terpaksa dibuat pada setiap bulan bagi mencukupkan bilangan pelajar sebelum sesuatu kursus yang ditawarkan diteruskan.

Meskipun kolej tersebut mempunyai pautan dengan sembilan buah IPTS di United Kingdom (UK) bagi membolehkan pelajarnya melanjutkan pengajian ke negara tersebut selepas tamat pengajian peringkat diploma namun keadaan kolej itu bagaikan 'hidup segan mati tidak mahu'.

Malah, kolej terbabit juga dikatakan menyediakan pensyarah berpengalaman, tetapi pakej itu masih gagal menarik perhatian pelajar.

Selain itu, kolej berkenaan turut menyediakan enam jurusan bertaraf diploma iaitu pentadbiran perniagaan, pengurusan hotel dan pelancongan, pengurusan sumber manusia, pengurusan perniagaan dan teknologi maklumat, pengurusan kewangan serta pemasaran yang mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Kolej itu juga menawarkan sembilan program peringkat sijil daripada Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) serta kursus bertaraf profesional yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Keadaan fizikal di kolej itu kelihatan tidak terjaga dan keadaan itu dikatakan menjadi punca ia gagal menarik minat pelajar untuk mengikuti pengajian di situ.

Selain lokasi yang tidak strategik kerana terletak berhampiran stesen bas serta rumah kedai, keluasan dan persekitaran kolej itu juga tidak layak digelar sebagai institusi pendidikan.

Artis promosi pelancongan


TOMOK MENYOKONG USAHA TOURISM MALAYSIA BAGI menggalakkan KANAK-KANAK DAN IBU BAPA MEREKA MELANCONG di DALAM NEGARA.


JARANG kita dapat menyaksikan persembahan hiburan yang disatukan dengan limpahan elemen kebudayaan dan kesenian yang bertunjangkan kesejagatan hidup masyarakat di negara Malaysia.

Biasanya hiburan laras popular akan berdiri sebagai persembahan yang bergerak dengan sendirinya, khususnya dalam usaha untuk menjadi tarikan kepada khalayak dalam sesuatu acara.

Bagaimanapun pihak Tourism Malaysia memilih elemen yang jauh lebih bermakna apabila menggabungkan elemen persembahan popular dan kebudayaan dalam acara Zoom Malaysia Travel Fair di Kuantan, Pahang pada 22 hingga 24 Mei lalu.

Acara yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut ini bukan sahaja menampilkan penyanyi bergred A seperti Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Mila dan Stacy, bahkan turut mengadunkan persembahan kebudayaan untuk pelbagai kaum dalam menterjemahkan kesejagatan hidup pelbagai kelompok budaya dalam negara yang kita cinta ini.

Melalui persembahan kebudayaan daripada Kumpulan SUK Pahang, Kumpulan Kebudayaan Terengganu dan The Citra Dancers Kelantan, acara ini kelihatan begitu bermakna dalam membudayakan kesenian seni dan budaya bangsa.

Bukan sekadar menjadi tempat untuk khalak mencari pakej-pakej pelancongan terbaik dengan harga terendah, sebaliknya acara ini memberi peluang kepada seni dan budaya untuk terus dihayati oleh kumpulan generasi muda hari ini.

Begitulah gambaran yang paling sesuai diberikan kepada kejayaan Zoom! Malaysia Travel Fair 2009 yang meriah dengan pelbagai acara hebat dan menarik.

Selepas Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, tiba giliran kompleks membeli-belah East Coast Mall, Kuantan, Pahang diserbu hampir 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari pada hujung minggu lalu.

Kumpulan De Citra Dancers dari Kelantan menampilkan persembahan kijang sari yang menggabungkan elemen i dengan tarian klasik Kelantan.

Manakala lagunya gabungan muzik moden, muzik Kelantan dan muzik unsur - unsur irama Jepun. Selain itu, irama yang menggunakan elemen - elemen tradisional klasik negeri Kelantan, ala donde, menghadap balai, inang nazam berkasih, zapin rajuk rindu, tarian wau bulan dan tiba-tiba tembok turut diangkat menjadi elemen cukup menghiburkan.

Sementara kumpulan kebudayaan Pahang tampil dengan tarian gamelan, zapin pekan, tarian pelanduk, walinong sari, sewang dan zapin raub.

Kumpulan kebudayaan Terengganu memilih persembahan gamelan, zapin teluk belanga serta tarian songket. Tarian songket adalah konsep yang menggabungkan elemen pemakaian songket yang cukup terkenal di kalangan orang besar Istana pada zaman dahulu di Terengganu, kemudian di olah dalam bentuk tarian yang menggambarkan kecantikan dan keindahan songket tersebut.

Selain acara kebudayaan itu, sudah pastinya kehadiran artis popular yang ditunggu khalayak.

Penampilan Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Saleem dan Ameng memberikan makna yang tersendiri kepada orang Kuantan.

Tidak ketinggalan artis-artis muda seperti Bunkface, Mila, Stacy, Tomok, Amylea, Aneese Anisa, Ifa Raziah dan Farah yang turut menyampaikan mesej penting kepada khalayak.

“Kalau hendak bercuti, tak payah ke luar negara. Dalam negara pun sudah cukup. Sebagaimana anda menyokong band tempatan, sokonglah juga pelancongan dalam negara sendiri,” pekik vokalis Bunkface kepada khalayak sambil disambut dengan tepukan bergemuruh.

Deretan artis yang hadir dalam acara itu menampilkan pelbagai genre lagu daripada rock, pop, joget sehingga ke dangdut lantas memberikan aroma persembahan yang tersendiri.

Setiap artis tampil dengan gaya unik untuk menggegarkan bandar Kuantan menerusi aksi mereka yang memukau dan menghiburkan penonton.

Bukan sahaja Bunkface, artis-artis lain turut melobi tempat menarik untuk dilawati oleh khalayak dengan memberikan penerangan berguna tentang negeri-negeri kelahiran mereka.

Jamal Abdillah misalnya, sempat mengajak khalayak bercuti di negeri kelahirannya, Perak Darul Ridzwan sekaligus menamakan beberapa tempat menarik seperti di Zoo Taiping dan sebagainya.

“Saya memang suka bercuti dalam negara. Kalau bercuti dalam negara ni, banyak masa boleh diperuntukkan, lagipun kosnya menjimatkan.

“Saya syorkan kepada anda semua datanglah ke Perak untuk bercuti sebab banyak tempat cantik dan menarik,” kata Jamal.

Amylea pula sibuk bercerita tentang keindahan Pulau Langkawi yang sempat menjadi tempat di mana dia membesar sehinggalah memasuki pertandingan Akademi Fantasia.

“Bila ingat cuti, saya akan sentiasa ingat Pulau Langkawi. Memang best sangat, ada pulau, ada tempat menarik lain seperti Tasik Dayang Bunting, ada Makam Mahsuri, macam-macam ada,” beritahu Amylea.

Saleem pastinya sibuk dengan agenda mempromosikan negeri kelahirannya iaitu Terengganu. Kata Saleem, pakej percutian domestik akan lebih bermakna andai peminat-peminatnya singgah di Terengganu.

“Macam yang ada dalam lagu Blues Terengganu Kita, semua tempat di Terengganu memang menarik. Dari Maran sampailah ke Kuala Berang, sampaikan ke Kemaman, semuanya indah dan mempersona,” beritahu Saleem dengan bangganya.

Apa yang pasti, penampilan artis tersebut yang cukup sporting sememangnya menghiburkan penonton. Apatah lagi melihat wajah penonton yang tersenyum puas tanda terhibur selesai konsert itu adalah satu kenikmatan buat semua pihak yang terlibat.

Selain kehadiran artis popular itu, pentas yang sama turut meriah dengan persembahan kebudayaan tempatan, promosi tenunan Pahang, ukiran tembaga, anyaman mengkuang, pertandingan mewarna kanak-kanak dan cabutan bertuah.

Zoom! Malaysia Travel Fair 2009 bertujuan mempromosikan destinasi pelancongan melalui kempen Pelancongan Domestik Zoom! Malaysia bagi memudahkan orang ramai membeli pakej pelancongan domestik.

Sebanyak 72 buah gerai terdiri daripada pelbagai agensi pelancongan seperti hotel, resort, syarikat pengangkutan dan pengusaha produk pelancongan domestik mengambil bahagian menjayakan promosi itu.

Pengunjung juga sangat bertuah kerana selain boleh memilih pakej-pakej pelancongan domestik yang disediakan, mereka dapat mengelilingi bandar Kuantan dengan bas dua tingkat, dikenali sebagai Hop On Hop Off (HOHO) yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur, dengan bayaran minima.

Program anjuran Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan itu akan meneruskan siri promosinya di Kuching, Sarawak pada 31 Julai hingga 2 Ogos ini dan berakhir di Zon Selatan iaitu di Johor Bahru pada November akan datang.

Jackman, Craig di pentas teater

DUA pelakon ini sememangnya cukup sinonim dengan filem-filem aksi.

Lebih-lebih lagi dengan karisma dan pesona yang dimiliki mereka sudah cukup mampu untuk menarik perhatian peminat menonton lakonan mereka di layar perak.

Daniel Craig terkenal dengan watak James Bond manakala Hugh Jackman pula menerusi watak Wolverine tetapi, jangan terkejut apabila kedua-dua pelakon kacak ini akan disatukan di atas pentas teater.

Karya yang berjudul A Steady Rain itu bakal dipentaskan di Broadway, New York, Amerika Syarikat tidak lama lagi.

Menyingkap sejarah, sebelum mencipta nama sebagai seorang pelakon filem, Craig pernah terlibat dalam pementasan menerusi watak-watak kecil di London.

Bagi Jackman pula, dia sememangnya terkenal di pentas teater di negara kelahirannya, Australia dan pernah memenangi anugerah Tony pada tahun 2004 untuk lakonannya dalam teater muzikal The Boy From Oz.

Untuk pementasan terbaru ini nanti yang ditulis oleh Keith Huff, Craig dan Jackman bakal memegang watak sebagai anggota polis yang bersahabat baik yang akhirnya bermusuhan apabila salah seorang daripadanya terlibat dalam perbalahan di sebuah kejiranan.

A Steady Rain yang diterbitkan oleh penerbit siri filem James Bond, Barbara Broccoli ini akan membuka tirainya pada musim luruh nanti.

Lohan ganti Holmes

PELAKON bermasalah, Lindsay Lohan ternyata berterima kasih kepada Katie Holmes kerana memberinya peluang untuk membintangi filem terbaru arahan David Michaels.

Mengikut perancangan awal, Holmes sepatutnya membintangi filem The Other Side tetapi disebabkan jadualnya yang padat di samping sibuk dengan pementasan teater All My Sons.

Disebabkan itu, Holmes yang juga isteri kepada Tom Cruise itu terpaksa menarik diri dan watak itu diberikan kepada Lohan yang dilihat mempunyai kriteria untuk membawakan watak berkenaan.

Mengakui agak sukar untuk menerima tawaran filem yang bagus selepas kejayaan filem Mean Girls pada tahun 2004, Lohan mahu menebus segala kedukaan itu dengan menumpukan perhatian untuk filem terbarunya itu.

Selaku pengarah, Michaels menaruh harapan yang tinggi kepada Lohan untuk membawakan watak tersebut meskipun hatinya masih lagi mengharapkan Holmes untuk membintangi filemnya itu.

“Holmes akan menghubungi saya pukul 4 pagi dari Jerman semata-mata mahu mencurahkan idea untuk filem ini meskipun ketika itu dia bersama dengan Tom Cruise.

“Tetapi, saya percaya dengan Lohan menggantikan tempat Holmes, dia mampu membawakan watak ini dengan baik biarpun namanya sudah dilabel sebagai seorang yang cukup bermasalah” kata Michaels.

Friday, May 29, 2009

Kebenaran akan terungkai 2 Jun ini - Waheeda

NADA suaranya kedengaran cukup ceria, tetapi adakalanya, penyanyi dan pelakon Waheeda ini jelas gagal menyembunyikan perasaan sedihnya berdepan dengan kontroversi yang amat hebat dalam dirinya ketika ini.

Benar kata penyanyi yang popular dengan lagu Wassini ini, bukan mudah untuk menjadi 'dirinya'...apa yang ditanggung selama ini cukup berat. Dikecam sebagai perampas suami orang serta pemusnah rumahtangga adalah label yang amat dahsyat diberikan sesetengah pihak yang belum tahu hujung pangkal kebenarannya.

Tetapi, luah wanita berusia 30 tahun ini, biarlah apa saja tanggapan yang singgah terhadap dirinya. Asalkan keluarga dan kenalan rapat mengetahui kisah sebenarnya, itu sudah cukup memadai buat Waheeda walaupun tohmahan buruk akan terus berselingkar di dalam dirinya.

Pendedahan isteri penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy, iaitu Maizawati Zainal yang mengaku suaminya memang mempunyai hubungan dengan penyanyi itu juga nampaknya semakin 'panas' apatah lagi bila Maizawati dilihat semakin 'berani' mengeluarkan kenyataan kepada media tentang masalah yang melanda rumahtangganya itu sehingga dia mengambil keputusan untuk bercerai dengan Akhil.

Antara yang didedahkan oleh Maizawati, dia pernah menyatakan persetujuan membenarkan Akhil berkahwin lagi dan bersedia hidup bermadu setelah suaminya itu mengaku tentang hubungannya dengan Waheeda.

"Saya sudah bosan. Tidak guna untuk saya terus berdakwah menerusi bidang ini jika orang akan pertikaikan kredibiliti saya."

Namun, dia tidak tahu apa status hubungan suaminya dengan penyanyi itu kini apatah lagi Akhil sendiri sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah dan hanya mengikuti perkembangan kisah suaminya itu menerusi media.

Kata Maizawati lagi, dia terpaksa mengambil keputusan bercerai untuk membina kehidupan baru dan kes berkaitan perceraiannya dengan Akhil akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan.

Dengan keadaan sekarang yang dilihat semakin 'berapi' ini, tutur Waheeda, biarlah dia terus bersabar dengan apa yang berlaku. Apapun, kesabaran itu tetap ada hadnya, cuma katanya, biarlah masa saja yang menentukan.

Namun, luah Waheeda, dia menafikan khabar angin yang mengatakan dirinya amat tertekan dengan tindakan Maizawati itu yang terus-menerus mengeluarkan kenyataan. Malah, khabar angin itu turut mengatakan Waheeda juga turut kesal dengan tindakan Akhil yang masih terus mendiamkan diri.

Akibat terlalu tertekan dengan hal ini, Waheeda dikatakan menjerit-jerit seperti orang gila sehinggakan beberapa barang di rumahnya juga habis dihempaskan kerana terlalu geram.

"Tak mengapalah. Biar mereka (Akhil dan Maiza) selesaikan. Kita tunggu saja 2 Jun ini...kebenaran akan terungkai juga," luah Waheeda dalam nada perlahan, sambil enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut.

Katanya, buat masa ini dia lebih memberikan perhatian kepada kesihatannya yang tidak begitu baik sejak kebelakangan ini.

"Sekarang ini saya tengah berubat...penyakit yang sudah lama sebenarnya saya alami. Cuma sekarang ini semakin teruk pula," ujarnya yang tidak mahu bercerita lanjut tentangnya.

Nekad tinggalkan dunia seni

Lebih setahun yang lalu, Waheeda pernah menyuarakan hasratnya untuk meninggalkan karier seninya sebagai penyanyi dan pelakon. Ketika itu, ramai yang merasakan keputusan tersebut dibuat oleh Waheeda gara-gara isu kononnya penyanyi ini telah berkahwin dengan Akhil.

Namun, Waheeda masih lagi dilihat terus aktif dengan aktiviti seninya sehingga hari ini. Katanya ketika itu, dia menunggu album terbarunya dikeluarkan terlebih dahulu sebelum terus berundur. Dan memandangkan pada waktu itu semakin banyak tawaran yang datang, dia tidak menolaknya sementara menantikan albumnya itu siap.

Tetapi, tegasnya, dia tetap menyimpan hasratnya untuk tinggalkan bidang seni satu masa nanti.

Namun, dengan kontroversi hebat yang melanda dirinya ketika ini, kata Waheeda, dia memang nekad untuk 'bersara' dan kemungkinan besar akan terus menghentikan projek penghasilan album terbarunya itu.

"Saya sudah bosan. Dari dulu sampai sekarang macam-macam orang bercakap tentang saya. Kontroversi seperti inilah sebenarnya yang membuatkan saya ingin berhenti ketika itu. Untuk apa saya terus berada di sini sedangkan reputasi dan kredibiliti saya sudah tiada.

"Mungkin dulu saya bercakap seperti ini juga, tetapi saya tetap terus berada di dalam industri. Tetapi kini, saya rasa cukuplah apa yang saya lalui. Saya nekad untuk berhenti terus.

"Tidak guna untuk saya terus berdakwah menerusi bidang ini jika orang akan pertikaikan kredibiliti saya. Ibubapa saya juga menyarankan perkara yang sama kerana mereka tak sanggup melihat saya terus dilanda benda-benda macam ni.

"Sekarang ini saya tengah tunggu untuk selesaikan dulu projek-projek lakonan termasuklah program Cafe Akhil Hayy," kata Waheeda.

Walaupun sedar tindakannya itu tidak bermaksud akan mengakhirkan segala kontroversi yang melanda, namun kata Waheeda, 'at least' kehidupannya selepas ini mungkin akan lebih 'tenang'.

"Saya masih ada banyak benda yang boleh dibuat. Saya ingin terus lakukan kerja-kerja kebajikan. Ketika ini pun saya bertugas sebagai 'facilitator' di Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID).

"Mungkin jika saya ingin siapkan juga album tersebut, saya akan buat 'senyap-senyap' saja tanpa sebarang publisiti. Siapa yang nampak album saya itu di pasaran, itu sajalah...tidak akan ada majlis pelancaran atau sebagainya," kata Waheeda yang akui dia telah merakamkan semua lagu dalam album terbarunya itu.

Nubhan rakam lagu bahasa Mandarin, cuba 'pikat' peminat Cina

Dalam tempoh setahun, Nubhan berjaya melakukan 'tansformasi' yang hebat dalam dirinya

BERBEZA sungguh melihat 'diri' Nubhan sekarang berbanding mula-mula dia muncul di persada seni tanahair sebaik memenangi tempat ketiga Akademi Fantasia musim keenam (AF6) tahun lalu.

Sikap pemalu jejaka berusia 23 tahun ini cukup ketara ketika itu. Malah, ada juga wartawan yang pernah merungut sukar untuk menemubual Nubhan yang ketika itu masih 'blur' lagi.

Namun, itu cerita lama. Dalam tempoh setahun, penyanyi yang popular dengan lagu Ada Untukmu dan Seadanya Aku ini berjaya melakukan 'tansformasi' yang hebat dalam dirinya.

Dia semakin petah berbicara dan bergurau. Penampilan atau imejnya juga sudah semakin 'matang'. Dan walaupun wajahnya nampak cukup penat gara-gara jadual yang padat, tetapi Nubhan sudah bijak 'menutup' kepenatan yang dialaminya secara profesional.

Malah, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini sentiasa mengukir senyuman tatkala penulis memuji betapa 'berbezanya' Nubhan yang dulu dan sekarang.

"Ye ke? Memang banyak perkara yang saya pelajari setakat ini. Saya bersyukur kerana mendapat bimbingan daripada pengurus, Vernon, yang memang banyak memberi semangat kepada saya untuk sampai ke tahap ini.

"Kalau dulu memang saya memang sangat pemalu dan selalu gementar terutamanya bila ingin buat persembahan. Tetapi rasanya sekarang ini saya sudah mampu atasinya perlahan-lahan.

"Apapun, saya masih terus berusaha perbaiki lagi kelemahan diri," ujar Nubhan, dalam nada cukup merendah diri.

Akui anak bongsu daripada lapan beradik ini, karier seninya juga semakin menunjukkan tanda-tanda positif, namun tutur Nubhan, bukan mudah untuk mempertahankan apa yang dimiliki ketika ini jika tidak disulam dengan usaha yang tinggi.

"Sejujurnya, memang susah untuk terus bertahan dalam industri ini jika kita tidak serius. Mungkin kerana saya memang benar-benar cintakan bidang ini, sebab itu saya curahkan sehabis baik dalam apa yang saya lakukan.

"Saya seronok sebenarnya bila melihat karier saya sudah mula berganjak ke satu tahap yang baru. Untuk saya berada di tahap ini memang bukan mudah. Saban hari, persaingan semakin banyak.

"Tetapi saya bersyukur, saya masih sibuk dengan aktiviti seni. Ini bermaksud orang masih ingin melihat saya berada di dalam industri ini," kata Nubhan.

Tutur jejaka ini lagi, pencapaian yang diraih hari ini juga mungkin tidak dapat diperolehinya tanpa sokongan padu peminat-peminat termasuklah Kelab Peminat Nubhan (Nubhan FC) yang kini sudah mencecah bilangan ahli sekitar 4000 orang.

Lebih menggembirakan Nubhan ialah keakrabannya yang terjalin dengan ahli-ahli kelab peminatnya itu yang sudah dianggap Nubhan sebagai sahabat.

"Macam-macam aktiviti sering mereka adakan. Jika berkesempatan, saya memang tidak akan lepaskan peluang untuk turut serta. Adakalanya, kami pergi menonton wayang bersama.

Nubhan guna kelebihan berbahasa Mandarin untuk 'pikat' peminat berbangsa Cina

"Tetapi bila bersama mereka, saya tidak pernah tampilkan 'imej' artis di hadapan mereka. Memang seronok sangat kerana mereka juga sering memberikan nasihat yang baik pada saya," kelab peminatnya itu bakal meraikan ulangtahun pertama penubuhannya.

Album sulung dan lagu bahasa Mandarin

Bercerita tentang perkembangan dunia seninya, dalam nada ceria, Nubhan berkata, dia kini masih di dalam proses pembikinan album sulungnya yang berkonsepkan 'modern pop'.

Setakat ini, kata Nubhan, enam buah lagu telah disiapkan dan antara komposer yang terlibat di dalam album ini ialah Sharon Paul, Ajai dan Tam Spider.

Namun, menariknya, jejaka ini juga akan merakamkan sebuah lagu Mandarin untuk dimuatkan di dalam album tersebut yang mungkin akan dipasarkan selepas Hari Raya nanti.

"Dengan kebolehan saya bertutur di dalam bahasa Mandarin, saya rasa tidak salah jika saya gunakan 'kelebihan' itu pada cara yang betul.

"Bagi saya, ini satu langkah yang baik untuk saya perluaskan lagi karier saya dan saya sendiri memang sudah bersedia untuk masuk ke pasaran mereka (Cina)," kata Nubhan yang pernah belajar di sekolah cina selama lapan tahun.

Jadi budak setan!

Tatkala karier nyanyiannya semakin memuncak, Nubhan melangkah setapak lagi menerusi percaturan pertamanya di layar perak pula. Ujar penyanyi ini, meskipun tidak mempunyai pengalaman, dia sanggup mengambil cabaran tersebut kerana ingin melihat karier seninya tidak statik di takuk biasa saja.

Memegang watak sebagai Sapi di dalam filem Lagenda Budak Setan arahan Sharad Sharan, Nubhan akui, perasaan kekok memang tidak dapat disangkal dalam dirinya tatkala pertama kali berada di set penggambaran filem itu.

Meskipun memegang watak sampingan sebagai rakan kepada Budak Setan yang dilakonkan oleh Farid Kamil, kata Nubhan, dia memang cukup gementar apatah lagi gandingannya itu bukan calang-calang pelakon.

"Walaupun banyak kali juga kena buat semula, tetapi akhirnya saya buat juga yang terbaik. Lagipun bukan senang nak bawak watak budak yang betul-betul nakal. "Tetapi ini satu pengalaman baru yang cukup menyeronokkan sebenarnya. Apapun, lakonan memang memerlukan kesabarang yang tinggi," kata si jejaka tinggi lampai ini lagi.

Kakak Tua: Di mana hilangnya malu?

Kejelitaan wajah Maiza terserlah walau hati kini bergolak

MULA-mula memang menarik tetapi lama-lama timbul rasa mengkal dalam hati bila semakin sarat cerita keretakan rumah tangga penyanyi dan penceramah bebas, Akhil Hayy dan isterinya, Maizawati Zainal, 33 dihebohkan.

Kontroversi retak menanti belah antara 'Ustaz Rock' dan isterinya ini turut menyeret orang ketiga, penyanyi Waheeda.

Atas alasan apa sekalipun, samada 'ledakan bom jangka' yang tidak dapat dikawal mahupun rakus menjaja kisah peribadi, Maiza tidak sepatutnya bersetuju untuk tampil ke program TV bagi menceritakan kisah rumah tangga yang bergolak.

Malu itukan sebahagian daripada cabang iman dan sifat sabar itu bukankah dituntut?

Tambahan pula kalau kita seorang suri. Wajib sekali menjaga maruah suami dan diri. Harap Maiza sudah tersedar dari lamunan, tempias atau kesan buruk akibat perbuatan nekadnya muncul di media.

Implikasinya, bukan sahaja wajah jelita jadi tontonan tapi terpalit juga malu yang bukan kepalang, baik kepada diri, suami dan anak-anak.

Padahnya bila ghairah bertindak tanpa berfikir panjang. Suami yang mula dikagumi kerana menjadi penceramah bebas dan berasal pula dari golongan beragama sudah tidak keruan hendak letak muka di mana. Walaupun berdiam diri tapi Akhil tentu lebih merasainya sebagai lelaki dan ketua keluarga.

Inilah natijahnya jika bertindak tidak tahu malu - iman yang senipis kulit bawang akan terus hilang, maruah akan terhakis dan peribadi sejelita manapun akan musnah beransur-ansur.

Menjaga aib (malu) sangat penting kerana itulah perisai dan perhiasan seorang wanita begitu juga lelaki.

Dan bangkai gajah pula bagai tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi bila Waheeda disebut sebagai punca dan orang ketiga dalam kemelut rumah tangga Akhil. Semua yang terjadi bagaikan mengundang pandangan serong terhadap Akhil dan Waheeda.

Kalau dulu semuanya rahsia, kini semua cerita terpaksa 'dikongsi bersama'. Jikalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah. Kata orang tua, bila kita terlampau duka terurah buntil, bila terlampau suka terurah rahsia.

Memetik sebuah hadis Riwayat Bukhari, "Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya."

Jadi mengapakah kita memalukan diri kita sendiri? Bekas Mufti Perlis, Dr Asri bin Zainul Abidin pernah berkata,"Kalau tak suka dihina, janganlah menghina diri sendiri!".

KAKAK TUA: Apa boleh buat, sakit menimpa sesal terlambat!

Cikgu Joanna tempat murid mencurah kasih

Joanna Bessey

BAIK dalam skrip drama La Dolce Amira mahupun skrip kehidupannya sendiri, aktres Joanna Bessey adalah seorang mentor dan pengajar.

Jika Joanna memegang watak Cikgu Krisya dalam drama sebanyak 13 episod itu, kehidupan sebenarnya ialah sebagai pensyarah sambilan di Universiti Multi Media(MMU).

"Apa yang melucukan ialah kadang-kala saya turut menggunakan skrip drama tersebut dalam kehidupan sebenar saya! Saya juga mengendalikan bengkel lakonan untuk mereka yang berminat menjadi pelakon.

"Atau mereka yang ingin menyampaikan maklumat dan berkomunikasi dengan lebih jelas. Jadi, saya mengajar mereka menggunakan 'teknik-teknik Aktor'," katanya ketika ditemui di pelancaran drama La Dolce Amira di TV3 baru-baru ini.

Joanna memberitahu, walaupun bukan mengajar secara sepenuh masa, dia berasa bangga kerana sesetengah pelajarnya di MMU seperti Megat Sharizal telah menjadi pelakon profesional.

Sementara itu, Joanna berkata, dia masih mengharap agar dia dapat diberi peluang memegang watak utama dalam filem atau drama Melayu suatu hari nanti.

"Berlakon dalam drama atau filem Melayu adalah mencabar dan menyeronokkan tetapi setakat ini, saya masih belum berlakon sebagai watak utama.

"(Jika berpeluang berlakon sebagai watak utama) itu akan mengujakan. Kalau boleh, saya ingin memainkan lebih banyak peranan terutamanya dalam persekitaran masyarakat negara yang menggunakan pelbagai bahasa.

"Kita rakyat Malaysia kaya dengan berbagai bahasa (multi-lingua) dan ini sesuatu yang harus kita banggakan. Saya suka cara kita melahirkan pendapat dan bercakap dengan pelbagai bahasa. Tidak banyak negara di dunia ini mempunyai keupayaan sebegini!" ujarnya.

JOANNA PERSIS CIKGU KRISYA

Lakonan Joanna sebagai Cikgu Krisya dalam 'La Dolce Amira' meninggalkan kesan pada dirinya. Tambahan hubungan rapat antara Cikgu Krisya dan anak muridnya Amira (lakonan Faizah) tidak ubah seperti hubungan Joanna dengan murid-muridnya di MMU.

Krisyalah tempat Amira bergantung harap. Sifat penyayang yang ada pada Joanna membuat dia senang menghayati watak ini.

Kisah drama La Dolce Amira berkisar tentang Amira, Bakri, Hani, Maznah dan V yang memulakan persahabatan di institut engajian tinggi dan meneruskan ikatan persaudaraan itu sehingga tamat pengajian.

Konflik dan pertelingkahan sering terjadi sepanjang perkenalan mereka. Namun, Amira sering menjadi sasaran untuk penyelesaian masalah sehingga dia sering menjadi mangsa keadaan.

Amira seorang yang penyabar dan optimis. Dia amat disayangi keluarga dan rakan-rakannya walaupun tuah sering tidak menyebelahinya.

Bagaimanapun, Amira tiada tempat mengadu kerana berdepan dengan masalah rumahtangga ibubapanya. Abangnya, Ariff bersikap endah tak endah dengan masalah ibubapa mereka manakala adiknya, Arissa masih mentah untuk memahami situasi sebenar.

Ekoran rentetan masalah yang dihadapinya itu, Amira menjadi semakin murung sehinggalah dia bertemu dengan Cikgu Krisya (Joanna Bessey).

Kata Joanna: "Saya memegang watak Krisya, mentor kepada watak utama Amira. Karakter saya menggalakkan dan memberikan inspirasi kepadanya untuk menjadi seorang penulis.

"Krisya juga mengendalikan kelas untuk membantu para pelajarnya agar mampu mengekspresikan diri dengan lebih baik," katanya sambil menjanjikan banyak adegan lucu dalam kelas disajikan dalam drama tersebut.

La Dolce Amira telah mula bersiaran pada 26 Mei lalu akan menemui penonton setiap malam Selasa di TV3.

TIDAK PERNAH MENYEPI

Ditanya kenapa dia seolah-olah menyepi dalam dunia hiburan ketika ini, Joanna yang pernah dicalonkan dalam kategori Aktor Sokongan Terbaik (Best Supporting Actor) dan Pengarah Terbaik (Best Director) pada Anugerah Seni Boh Cameronian menafikannya.

Jelasnya: "Hakikatnya saya kurang membuat penampilan di televisyen dan lebih kepada filem seperti Waris Jari Hantu and 1957 Hati Malaya) serta lebih banyak teater."

"Saya banyak berlakon dalam drama dan siri komedi yang menggunakan bahasa Melayu seperti Bilik 13, Untuk Kali Terakhir, Disitu Ada Cinta, Seni Beradab, Kasut Tumit Tinggi, 5 Jingga, Actor Olympics dan lain-lain," ujarnya.

Tegasnya, dia bukanlah menyepikan diri tetapi masih 'sibuk' di belakang tabir pentas hiburan.

"Terbaru, saya berlatih untuk teater The Good Body yang akan bermula dari 18-28 Jun ini di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara," katanya sambil menambah dia turut menghoskan dokumentari 'Exploring Malaysia' on BBC World News.

Menurut Joanna, dokumentari tersebut yang mula bersiaran pada bulan lalu mendapat sambutan yang menggalakkan.

Katanya, dia berasa puas hati mengerjakan projek dokumentari.

"Saya menerima banyak maklum balas yang sangat positif dan mesej dari seluruh dunia. Contohnya, kawan-kawan saya dari Australia, Itali dan Amerika Syarikat yang menontonnya memberikan mesej kepada saya. Moga-moga, dokumentari itu boleh diulang tayangkan," katanya.