DARI kiri: Fara Fauzana, Sharifah
Aleya, Deen dan Kieran meraikan anak-anak yatim di Pusat Konvensyen
Sime Darby, Kuala Lumpur baru-baru ini.
SUARA-SUARA di corong radio memang antara yang paling dekat dengan
khalayak ketika memandu. Paling tidak mereka menjadi penghibur tatkala
mengharung kesesakan trafik.
Tiga deejay daripada radio Hot FM ini ditemui semasa mereka melayan
anak-anak yatim berbuka puasa di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala
Lumpur baru-baru ini. Selain melontarkan pandangan tentang perjalanan
dan situasi lagu-lagu dalam radio, mereka turut berkongsi pendapat
tentang produk tempatan dan kebanggaan mereka terhadap karya-karya ini.
Tidak lupa juga untuk Sharifah Aleya, Deen dan Kieran berpesan kepada
khalayak tentang tragedi yang sering berlaku pada setiap kali musim
perayaan. Beringat sebelum terlambat.
Dalam kesempatan itu, radio Hot FM memperkenalkan lapan segmen
istimewa yang pasti menghiburkan. Antaranya ialah Akustika Raya, Hero
Aidilfitri, Hot FM 30 Edisi Raya, ND Lala dan Shila Di Raya Paling
Hangat, 4 Suara, Aidilfitri Di Rantauan dan Raihan vs Rabbani.
Deejay kini didakwa menentukan arah tuju perjalanan muzik masa kini dengan pemilihan lagu di radio. Apa pendapat kalian?
SHARIFAH ALEYA (SA): Arah tuju dan perjalanan muzik sekarang ini
masih lagi bergantung pada cita rasa pendengar radio dan muzik. Cita
rasa tersebut dikenal pasti menerusi berpuluh-puluh sesi kajian yang
mengambil masa beberapa hari sehinggalah berbulan bulan.
DEEN (D): Kebanyakan lagu yang dimainkan di radio akan menjadi
popular dan memberi impak positif kepada penyanyi. Tetapi, kalau dilihat
dari segi pemilihan lagu yang dimainkan di radio, sebenarnya deejay
tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memilih lagu yang dimainkan.
Mungkin ada yang menganggap deejay hanya memainkan lagu-lagu kesukaan
sendiri untuk dimainkan, tetapi pada hakikatnya, lagu-lagu yang
dimainkan itu dipilih oleh Pengarah Muzik. Namun, lagu-lagu itu bukanlah
dimainkan mengikut cita rasa kami 'orang radio'. Namun, semua lagu yang
diterima baik daripada syarikat rakaman ataupun artis indie perlu
melalui proses ujian sama ada sesuai atau tidak dimainkan mengikut
format radio dan latar belakang pendengar radio.
KIERAN (K): Kenyataan itu mungkin tidak tepat. Kami bukan lagi deejay
yang memutarkan lagu di konti tetapi kami kini ialah penyampai radio
yang menyampaikan atau mengumumkan lagu-lagu yang sedang, telah atau
akan disiarkan. Susunan lagu dibuat oleh pengarah muzik stesen radio
tersebut dan semuanya berdasarkan kajian berterusan terhadap selera
pendengar. Secara ringkasnya, pendengar radio yang sebenarnya menentukan
arah tuju industri muzik kita. Semuanya terletak di hujung jari mereka.
RADIO Hot FM akan muncul dengan
sebuah program raya yang berkonsepkan alunan melodi secara akustik.
Tidak hanya didengari melalui frekuensi radio, Akustika juga boleh ditonton melalui saluran TV9 pada hari raya pertama dan kedua.
Benarkan deejay amal pilih kasih?
SA: Mungkin dari segi cita rasa peribadi, artis atau genre lagu yang
lebih secocok dengan deejay berkenaan. Itu adalah benar dengan setiap
individu tanpa mengira kerjayanya. Dalam dunia radio, selera seorang
deejay tidak diambil kira dalam menentukan senarai lagu, malah tidak
dibenarkan dalam studio sekali pun.
D: Ramai yang beranggapan ada deejay hanya memainkan 'lagu
kawan-kawan' tetapi bagi saya itu merupakan satu perbuatan yang tidak
adil terutama buat penyanyi baru nak naik atau penyanyi suam-suam kuku
yang sukar untuk mendapatkan publisiti. Tiada diskriminasi dalam muzik,
tidak ada mengira latar belakang penyanyi atau genre yang dibawa.
K: Setiap penyampai radio mempunyai kecenderungan terhadap genre
muzik atau artis yang tertentu. Tetapi, bila ke udara semua itu perlu
diketepikan kerana setiap stesen radio ada formatnya yang tersendiri.
Tidak akan timbul masalah 'pilih bulu' kerana susunan muzik stesen radio
tersebut adalah berdasarkan format radio dan hasil kajian.
Apa yang kalian harapkan dalam karya tempatan?
SA: Sebagai pendengar (bukan penyampai), saya mengharapkan lebih
keberanian mencuba sesuatu yang baharu. Saya rasa bangga kerana sekarang
memang ternyata lebih ramai penyanyi yang bukan sekadar penyanyi
semata-mata, mereka juga boleh menjadi komposer, penulis lirik, penyusun
muzik dan juga produser karya sendiri.
D: Kebanyakan lagu-lagu yang dimainkan datang daripada komposer sama
dan dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi solo yang sama. Tidak banyak
lagu-lagu daripada grup tempatan yang mampu memenuhi halwa telinga arus
perdana yang dimainkan di radio. Malaysia mempunyai banyak grup tempatan
yang dianggotai oleh jiwa muda tetapi kebanyakan mereka lebih suka
mencipta lagu berdasarkan identiti grup sendiri malangnya karya mereka
kurang catchy dan akhirnya sukar untuk menembusi radio. Saya rasa
grup-grup tempatan perlu lebih peka dengan cita rasa pendengar-pendengar
radio lagu supaya ia juga untuk 'duit poket' mereka.
K: Sesuatu yang baharu dan segar dan tidak berpandukan kepada
perubahan muzik dari luar negara. Kita biasanya melakukan perubahan
apabila berlakunya 'tsunami muzik' dari luar seperti K-Pop dan
sebagainya. Ini menyebabkan muzik kita tiada keaslian.
Apa pula yang dibanggakan tentang produk tempatan?
SA: Terlalu banyak yang patut dibanggakan. Bakat, karya dan semangat
tidak pernah putus asa dalam industri ini sangat menakjubkan. Pengkarya
tanah air tidak pernah segan atau terlalu bangga diri untuk
berkolaborasi dengan bakat luar. Kita sangat yakin dengan muzik, budaya
dan kemampuan kita. Harapan saya, lebihkan sokongan dan kepercayaan
daripada para peminat agar produk tempatan lebih menonjol di mata dunia.
D: Produk tempatan yang asli bagi saya ialah lagu yang dicipta oleh
komposer tempatan, penulis lirik tempatan, penyanyi tempatan dan susunan
muzik pun oleh orang tempatan. Tetapi, untuk memperoleh kualiti lagu
yang baik sekarang ini, ramai yang membawa lagu mereka untuk proses
mixing, mastering ke luar negara yang saya rasa masih boleh dianggap
produk tempatan kerana pada asalnya masih dicipta oleh komposer
tempatan.
K: Kita mempunyai ramai penyanyi yang berkualiti dari segi suara dan
persembahan. Tetapi, kerana kita mengamalkan sikap terbuka, industri
kita terjejas dengan kebanjiran muzik asing. Artis luar seperti lebih
dibanggakan dan lebih diberikan peluang untuk mengadakan persembahan
serta mendapat liputan di negara kita. Jika senario ini berubah, sudah
pasti para peminat muzik akan lebih menghargai artis tempatan.
Kalau bercakap tentang radio dan raya, apa yang melekat dalam fikiran kalian?
SA: Tidak tahu kenapa tapi bila bercakap tentang radio dan raya,
terdengar lagu Black Dog Bone, Cahaya Aidilfitri bermain dalam kepala.
Mungkin kerana sejak bermula kerjaya saya dalam dunia radio ni, rasanya
susah sangat nak bercuti raya yang panjang. Tapi tidak mengapa,
adakalanya seronok berada dalam konti studio, melayan pendengar yang
telefon dan berkongsi nasib yang sama (kerja waktu raya). Pergilah ke
mana-mana ceruk dunia pun, tidak akan jumpa lagu-lagu raya yang sama
nostalgia, makna, merdu, seronok seperti mana kita jumpa di Malaysia.
Mana lagi nak dengar lagu-lagu raya yang bagus-bagus ini kalau bukan di
radio?
D: Saya rasa radio merupakan medium yang paling penting menyebarkan
semangat raya. Sejak kecil dulu pun, bila nak dekat raya, memang saya
akan buka radio semata-mata nak dengar lagu raya. Mood lagu raya yang
didengar daripada radio sememangnya lebih memberi semangat nak menyambut
hari raya berbanding mendengar lagu raya melalui cakera padat atau
telefon bimbit.
K: Sudah pastinya, lagu-lagu raya yang dimainkan sepanjang musim
perayaan kerana lagu-lagu ini hanya akan dimainkan sepanjang bulan
Syawal sahaja.
Bila sampai musim hari raya, berita yang paling kerap kita tatap
ialah insiden putus jari kerana mercun dan kemalangan. Nasihat kalian
terhadap anak-anak muda?
SA: Minta jauh kerana saya memang takut dan sangat tidak senang
dengan isu mercun. Kalau ada budak bermain mercun bersama bapa mereka
atau pak cik- serta mak cik mereka pun saya sudah risau semacam. Saya
masih teringat baju raya yang dipakai sepupu saya terbakar depan mata
akibat bermain bunga api. Saya merayulah kepada ibu-ibu di luar sana,
garanglah sikit. Ingat masa depan anak-anak. Kita tidak mahu mereka
kekurangan jari, buta mata sebelah atau kedua-dua belah mata atau paling
teruk sekali (nauzubillah) mati akibat mercun.
D: Ibu bapa patut memainkan peranan yang sangat penting untuk memberi
nasihat kepada anak-anak. Bukan setakat memberi nasihat sahaja, ibu
bapa juga perlu memantau aktiviti anak-anak terutama yang masih kecil.
Perlu tahu dengan siapa mereka bermain sebab kanak-kanak khususnya mudah
terpengaruh dengan kawan-kawan dan lebih suka mengikut. Kepada yang
sudah remaja atau dah besar panjang tu, jangan hendak tunjuk hero dengan
bermain mercun, nanti dah putus jari dah tak cun.
K: Senario kemalangan melibatkan mercun ini seperti mustahil untuk
tidak berlaku setiap kali dalam musim perayaan. Walaupun sudah banyak
insiden kecelakaan yang berlaku, ia masih tidak mendatangkan kesedaran.
Mungkin sebelum tibanya musim perayaan, iklan atau paparan setiap
insiden yang lepas perlu diulang semula sebagai peringatan. Tentang
kemalangan jalan raya, punca utamanya adalah kecuaian dan kurang
kesabaran dalam pemanduan. Jika lebih fokus dan bersabar, ia pasti dapat
dikurangkan.