Wonder Girls
I want nobody, nobody but you...
I want nobody, nobody but you...
PASTI masih terngiang-ngiang di telinga kita,
bait-bait lagu Nobody yang dinyanyikan oleh kumpulan dianggotai lima
anak gadis berasal dari Korea Selatan ini.
Sejak diperdengarkan sekitar tahun 2010, lagu ini terus menjadi siulan
anak muda, sama ada di negara mereka sendiri, mahu pun di Malaysia.
Mengimbas sejenak penubuhan kumpulan ini, ia mula ditubuhkan pada 2007,
artis naungan JYP Entertainment ini pada awalnya dianggotai oleh Sunye,
Yeeun, Sunmi, Hyuna dan Sohee. Kemudian, Sunmi dan Hyuna meninggalkan
kumpulan tersebut dan digantikan oleh Yubin dan Lim, yang mana kekal
sehingga hari ini.
Menariknya mengenai kumpulan yang dikenali sebagai Wonder Girls ini,
nama kumpulan tersebut sebenarnya diilhamkan daripada ayat, the girls
who can amaze the world.
Nyata pemilihan nama kumpulan ini bertepatan kerana anggotanya
benar-benar mengagumkan sehingga berjaya menawan peminat di seluruh
dunia. Bukan hanya kerana paras rupa sahaja, bahkan bakat serta
kelincahan mereka juga sama hebat.
Sepanjang penglibatan dalam industri, Wonder Girls telah menghasilkan
beberapa album seperti The Wonder Years (2007), The Wonder Years Trilogy
(2008), Wonder World (2011), Wonder Party (2012), TBA (2012), Nobody
For Everybody (2012) dan sebuah album kompilasi berjudul, Wonder Best
(2012).
Tembus pasaran antarabangsa
Tidak hanya tertumpu di negara sendiri, Wonder Girls turut meluaskan pasaran mereka di peringkat antarabangsa.
Bermula dengan mengadakan konsert jelajah di Bangkok, Thailand sekitar
tahun 2009, mereka kemudiannya bergerak ke Amerika Syarikat.
Selepas itu, ibarat bulan jatuh ke riba, mereka ditawarkan bersama
Jonas Brothers untuk menyertai konsert penyanyi tersohor Malaysia, Ziana
Zain World Tour 2009 di Amerika Utara.
Kerana populariti mereka, lagu Nobody berjaya meletakkan Wonder Girls
sebagai kumpulan pertama Korea yang memasuki carta Billboard Hot 100.
Menyedari Nobody mendapat sambutan daripada peminat antarabangsa, JYP
Entertainment akhirnya membuat keputusan melancarkan lagu Nobody versi
Inggeris.
Selain Nobody, syarikat itu turut mengeluarkan single bahasa Inggeris bagi Wonder Girls yang berjudul Tell Me.
Menariknya, kerana permintaan tinggi, sebuah album Inggeris Wonder
Girls dilancarkan, yang mana mempunyai enam lagu Inggeris dan enam lagu
Korea diterbitkan pada 2010.
Selepas kemunculan album itu di pasaran antarabangsa, Wonder Girls
meneruskan misi mereka mengadakan lebih banyak konsert di Amerika
Syarikat termasuklah di Kanada, Washington DC, Atlanta, New York ,
Chicago, Houston, Dallas, Los Angeles, Anaheim dan San Francisco.
Tawan peminat Malaysia
walaupun mempunyai golongan peminat yang besar di peringkat
antarabangsa, namun Wonder Girls tidak pernah melupakan peminatnya di
Malaysia. Atas alasan itu, kumpulan ini sering kali muncul mengadakan
persembahan di sini.
Selain pernah membuat persembahan pertama mereka di Genting Highlands,
Pahang, Wonder Girls juga tidak ketinggalan turut serta ketika The MTV
World Stage Live in Malaysia 2010 yang diadakan di Sunway Lagoon.
Kemudian, mereka sekali lagi muncul bersama konsert mega di negara ini
menerusi konsert Wonder Girls Wonder World Tour Malaysia 2012 yang
berlangsung di Stadium Merdeka pada 13 Oktober lalu.
Menariknya, kelima-lima anggota kumpulan tersebut membuat kejutan
dengan mengenakan baju kurung sewaktu membuat persembahan bagi menarik
perhatian peminat-peminat mereka di sini.
Pastinya, tindakan mereka tidak dilupakan peminat di sini kerana sudi menghormati budaya masyarakat Malaysia.
Yang nyata, menerusi konsert tersebut, mereka sekali lagi menawan peminat di sini.
Dalam pada itu, mereka juga berjanji akan datang semula ke Malaysia untuk siri konsert seterusnya, satu hari nanti.
TRIVIA
-Merupakan grup Asia pertama yang berjaya masuk ke carta Billboard Hot 100.
-Terpilih sebagai wanita terseksi versi majalah FHM Singapura di kedudukan 38.
-Merupakan grup Korea pertama menggunakan YouTube sebagai media promosi.
-Terdapat 50 jenis kostum disediakan bagi persembahan lagu Nobody.
-Antara penyanyi yang menerima bayaran paling tinggi, iaitu lebih daripada RM60 ribu
.