Monday, October 31, 2011

Nyamuk gajah lawan Aedes

TERESA (kanan) bersama Roslan (kiri) melepas  nyamuk Toxorhynchites di kawasan hutan Jalan Bestari 2, Kampung Sri Aman.
TERESA (kanan) bersama Roslan (kiri) melepas nyamuk Toxorhynchites di kawasan hutan Jalan Bestari 2, Kampung Sri Aman.
MPSJ guna larva Toxo akan makan jentik-jentik pembawa denggi

PUCHONG: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melepaskan kira-kira 400 nyamuk gajah atau Toxorhynchites (Toxo) dewasa di kawasan hutan Jalan Bestari 2, Kampung Sri Aman di sini, dalam usaha mengurangkan pembiakan nyamuk Aedes dan mencegah penyakit demam denggi di kampung terbabit.
Ia dijalankan di bawah Program Pengawalan Pembiakan Nyamuk Aedes Menggunakan Nyamuk Toxo dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan bank CIMB yang memperuntukkan sebanyak RM60,000 bagi menjayakan program berkenaan.
Kampung Sri Aman dipilih sebagai lokasi melalui hasil pemantauan dari 27 Jun hingga 10 Oktober lalu oleh pihak USM.

Dalam pemantauan menggunakan teknik Ovitrap yang dipasang lima hari sebelum dan tujuh hari selepas fogging dijalankan, USM mendapati terdapat banyak pembiakan nyamuk Aedes.

Ahli Majlis MPSJ merangkap Pengerusi JKP Zon 12, Mohd Nasir Yusoff, berkata Kampung Sri Aman mencatatkan 11 kes demam denggi dengan enam daripadanya sah positif sejak awal tahun lalu.

“Gotong-royong sudah dilaksanakan tetapi paling penting, bagaimana cara untuk mengatasi pembiakan nyamuk Aedes.
“Program ini diharap menjadi contoh kepada zon lain di dalam kawasan MPSJ termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) lain dalam menangani penyakit demam denggi di kawasan masing-masing,” katanya pada Pelancaran Skuad Denggi JKP Zon 12 dan Pelepasan Nyamuk Toxorhynchites 2011 di Balai Masyarakat Kampung Sri Aman di sini, kelmarin.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok Suh Sim; Pengarah Jabatan Kesihatan MPSJ, Dr Roslan Mohd Hussin dan Dekan Fakulti Pengajian Kaji Hayat USM, Prof Abu Hassan Ahmad.

Abu Hassan berkata, USM menerusi Unit Kawalan Vektor sudah membiakkan nyamuk Toxo sejak 20 tahun lalu selepas mendapati nyamuk berkenaan mampu mengurangkan pembiakan nyamuk aedes sekali gus mencegah demam denggi.

“Nyamuk Toxo hanya memakan madu bunga dan jentik-jentiknya akan memakan jentik-jentik nyamuk Aedes. Ia hidup di dalam kawasan hutan hijau dan kerana itulah kita memilih kawasan berhutan untuk melepaskan nyamuk dewasa ini yang akan menetaskan jentik-jentiknya dalam tempoh 3 hingga 4 minggu.

“Pemantauan selepas sebulan pelepasan akan dibuat menggunakan alat khas yang dikenali sebagai Alat Memerangkap Jentik-Jentik Nyamuk (MLTD) bagi memastikan jumlah jentik-jentik aedes yang terdapat di situ,” katanya.

Sementara itu, seramai 10 wakil JKP dan 20 wakil penduduk Kampung Sri Aman dipilih sebagai Skuad Denggi bagi mengingatkan penduduk supaya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran premis mereka bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes.

Skuad ini dilengkapkan dengan pelbagai peralatan bagi menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan mengadakan gotong-royong.

59 ditahan Ops Samseng Jalanan

SEBAHAGIAN  samseng jalanan yang ditahan menolak motosikal masing-masing dalam  Ops Samseng Jalanan di Jalan Silibin,  Ipoh awal pagi semalam.
SEBAHAGIAN samseng jalanan yang ditahan menolak motosikal masing-masing dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Silibin, Ipoh awal pagi semalam.
44 motosikal ditunggang remaja, belia dirampas di Jalan Silibin

IPOH: Polis menahan 59 remaja dan belia serta merampas 44 motosikal termasuk tiga motosikal yang ditinggalkan penunggangnya yang lari lintang-pukang selepas terserempak dengan sekatan jalan raya polis dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Silibin, di sini awal, pagi semalam.
Operasi selama tiga jam bermula dari jam 2 hingga 5 pagi itu turut mengeluarkan 185 saman terhadap pemilik kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya.
Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Mohd Rodzi Rejab, berkata semua mereka yang ditahan berusia 18 hingga 30 tahun itu kemudian diarahkan menyorong motosikal masing-masing dari kawasan sekatan jalan raya di Jalan Silibin ke depo simpanan kenderaan trafik di Jalan Chamberlain sejauh kira-kira lima kilometer.

“Semua mereka yang dipercayai terbabit dengan kegiatan lumba haram dan kegiatan merempit itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, semua motosikal terbabit bagaimanapun ditahan untuk semakan rekod bagi mengenal pasti sama ada terdapat motosikal curi atau dilakukan pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, polis juga sedang mengesan pemilik tiga motosikal yang ditinggalkan oleh penunggangnya berhampiran kawasan sekatan jalan raya terbabit.

Ganjaran RM3 juta jika berjaya tangkap askar Israel

pix_gal0
RIYADH: Seorang anggota keluarga diraja Arab Saudi menaikkan ganjaran sehingga AS$1 juta (RM3 juta) kepada sesiapa yang berjaya menangkap tentera Israel untuk ditukarkan dengan banduan Palestin.

Putera Khaled bin Talal, saudara lelaki kepada hartawan Putera Alwaleed bin Talal, memberitahu stesen televisyen al-Daleel menerusi telefon kelmarin, tawarannya sebagai membalas dendam berikutan ancaman dikeluarkan rejim Zionis itu terhadap Sheik Awadh al-Qarani, ulama terkenal Arab Saudi yang menjanjikan ganjaran AS$100,000 (RM300,000) bagi penangkapan seorang tentera Israel.
“Dr al-Qarani berkata beliau menawarkan AS$100,000 cuma untuk menangkap seorang tentera Israel tetapi rejim Zionis bertindak balas dengan menawarkan AS$1 juta untuk membunuh beliau.
“Saya memberitahu Dr al-Qarani saya menyebelahinya dan membayar baki AS$900,000 (RM270,000) untuk menawan tentera Israel supaya banduan Palestin lain dapat dibebaskan,” katanya.

Al-Qarani berkata dalam laman Facebooknya minggu ini yang beliau membuat tawaran sebagai reaksi kepada ganjaran hampir sama dibuat sebuah keluarga Israel bagi sesiapa yang dapat menangkap orang yang membunuh seorang anggota keluarga mereka pada tahun 1998, berikutan perjanjian pertukaran banduan awal bulan ini.

Al-Qarani memang terkenal di Arab Saudi kerana kelantangan beliau memberikan pandangan.

Arab Saudi, tempat lahir Islam, melihat dirinya sebagai juara mempertahankan hak penduduk Palestin tetapi pemimpin negara itu berusaha mengekang lebih banyak kenyataan radikal daripada ulama berhubung konflik Israel-Palestin.
Pada 2002, negara itu menawarkan inisiatif damai dengan mengiktiraf penuh Israel jika rejim itu menyerahkan semua tanah yang dirampas ketika perang pada tahun 1967 dan menerima penyelesaian bagi pelarian Palestin.

Tawaran al-Qarani dibuat berikutan pembebasan tentera Israel, Gilad Shalit, yang ditawan Hamas di Gaza lebih lima tahun. Israel terpaksa bersetuju membebaskan lebih 1,000 tahanan Palestin sebagai pertukaran.

Nadia diarah bayar ganti rugi RM50,000 kepada Lisdawati

KUALA LUMPUR: Pelakon Lisdawati hari ini diberi ganti rugi RM50,000 selepas beliau menang dalam kes saman fitnahnya terhadap pelakon Nadia Mustafa.

Hakim Mahkamah Sesyen, Yong Zarida Sazali, membenarkan saman fitnah yang difailkan Lisdawati terhadap Nadia, berhubung artikel yang disiarkan di majalah Media Hiburan enam tahun lalu.
Beliau membuat keputusan itu selepas meneliti keterangan saksi termasuk Lisdawati dan Nadia dan hujah peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Lisdawati dan Siti Julaini Mohd Shahar dan Mohamed Lusfi Yaakob yang mewakili Nadia.
Dalam keputusannya Yong Zarida memerintahkan Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafa, 35, membayar ganti rugi sebanyak RM50,000, faedah empat peratus bermula dari tarikh penghakiman iaitu hari ini sehingga penyelesaian penuh kes dan juga kos skala.

Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, 33, dan Nadia tidak hadir ke mahkamah.

Mengikut pernyataan tuntutan Lisdawati yang difailkan pada 21 April tahun lalu, mendakwa Nadia dengan niat jahat memberikan wawancara mengandungi perkataan memfitnah kepada wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani.

Wawancara itu didakwa berlaku sekitar Januari 2005 dan Lisdawati mendakwa, majalah itu menyiarkan pada keluaran mereka bertarikh 8 hingga 14 Januari 2005.
Isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mendakwa, dalam erti biasa artikel itu antaranya bermakna dan difahamkan bermaksud dia meminjam wang, berhutang dan gagal menjelaskan hutang yang dikatakan itu kepada Nadia yang dinamakan sebagai defendan.

Bagaimanapun, Nadia dalam pernyataan pembelaannya bertarikh 18 Mei lalu menyatakan artikel itu tidak mempunyai unsur fitnah, sebaliknya meminta supaya orang yang berhutang menjelaskan hutangnya.

Pasangan OKU dicekup khalwat

PASANGAN OKU disoal siasat  pegawai penguat kuasa JAIK   selepas ditangkap berkhalwat di sebuah rumah di Jalan Langgar, Alor Setar, semalam.
PASANGAN OKU disoal siasat pegawai penguat kuasa JAIK selepas ditangkap berkhalwat di sebuah rumah di Jalan Langgar, Alor Setar, semalam.
Lari dari rumah ibu saudara selepas hasrat bernikah tidak direstui keluarga

ALOR SETAR: Sepasang pasangan kekasih yang juga orang kelainan upaya (OKU) dicekup berkhalwat oleh sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) ketika sedang berdua-duaan di sebuah bilik sewa di tingkat atas sebuah bengkel di Jalan Langgar, di sini, pagi semalam.
Pasangan itu dikatakan melarikan diri dari rumah ibu saudara masing-masing di Kuala Lumpur, sebelum datang ke negeri ini dengan menumpang di sebuah bilik sewa sebelum merancang untuk bernikah di Thailand.
Difahamkan, pasangan berkenaan dikatakan bertindak untuk bernikah di Thailand selepas hubungan cinta mereka dilarang oleh ibu lelaki berkenaan kerana bimbang anaknya gagal menguruskan rumahtangga disebabkan tidak mampu bekerja kerana mempunyai masalah lembam, manakala wanita itu mengalami kecacatan fizikal serta berkerusi roda.

Malah, pasangan berkenaan yang berasal dari Johor itu dikatakan berkenalan di sebuah Pusat Latihan dan Kemahiran OKU di Sentul, Kuala Lumpur itu sebelum menjalinkan hubungan cinta.

Lelaki berusia 26 tahun dan pasangannya berusia 18 tahun itu dikatakan menumpang di sebuah bilik sewa ibu saudara wanita terbabit sejak 17 Oktober lalu, sebelum dicekup berkhalwat pagi semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIK, Syeikh Muhammad Suhaimi Salleh, berkata berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota diketuai Md Nasir Md Dali memeriksa sebuah dari empat bilik sewa di tingkat atas sebuah bengkel di Jalan Langgar, pada jam 9.15 pagi.
Katanya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang memakai seluar pendek paras lutut dan berkemeja T kemudian membuka pintu lalu membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui seorang wanita sedang berbaring di atas toto dengan memakai kemeja T dan berseluar pendek paras paha.

"Hasil siasatan mendapati wanita itu cacat fizikal apabila tidak dapat berjalan kerana masalah kaki dan tangannya mengerekot, manakala pasangannya pula kelihatan normal tetapi mengalami masalah lembam.

“Wanita itu terpaksa dibawa turun bersama kerusi roda miliknya untuk memudahkan dia bergerak,” katanya di sini, semalam.

Muhammad Suhaimi berkata, pasangan itu mengaku lari dari rumah dan datang ke negeri ini sebelum mengambil keputusan untuk bernikah di Thailand.

Katanya, pasangan itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Star untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Harapan besar Aaron, Erra, Umie

Buat julung kalinya, tiga bintang tersohor akan disatukan atas pentas yang sama. Menerusi satu teater hebat, Aaron Aziz, Erra FAzira, Datin Paduka Umie Aida berganding bahu merealisasikan impian untuk bergelar raja dan ratu pentas teater.

Menerusi teater Badai Semalam, ini adalah produksi ulung pihak Istana Budaya bagi tahun ini. Ternyata, mereka begitu teruja untuk mempersembahkan diri mereka dalam bentuk watak yang diberikan. Debaran semakin dirasai apabila teater yang diangkat daripada sebuah novel hasil nukilan novelis terkenal, Khadijah Hashim.

Teater di bawah arahan Kahirunazwan Rodzy begitu berat kerana memerlukan pelakon bermain dengan emosi. Sudah menjadi kelaziman, bukan mudah untuk menyentuh hati penonton secara langsung. Namun, itulah cabaran yang dipikul oleh seluruh krew produksi ini.

Bagi ketiga-tiga pelakon ini, mendapat kepercayaan untuk bekerjasama adalah peluang yang tidak perlu dilepaskan. Erra Fazira dan Aaron Aziz bukan lagi gandingan bisa. Pasangan ini pernah disatukan menerusi beberapa drama. Bukan lagi satu perkara sukar bagi mereka untuk menjiwai watak yang saling memerlukan telah wujud.

Tetapi, berbeza dengan Aaron yang masih ada perasaan gementar untuk sekali lagi berkolaborasi dengan Erra. Gementar itu ditambah dengan kehadiran Umie Aida yang turut sama menerajui Badai Semalam.

Perasaan sama turut diakui Umie Aida. Menganggap ia peluang keemasan berlakon dengan dua pendukung utama Badai Semalam ini dirasakan sangat berharga. Malah, Umie Aida nyata begitu gembira dapat berlakon bersama rakan baiknya ini, Erra. Bukan itu saja, melakonkan watak sebagai ibu kepada Aaron dalam teater ini merupakan pengalaman baru baginya.


Erra serasi berlakon dengan Aaron


Kemunculan primadona filem Melayu dengan jejaka kacak kelahiran Singapura ini sebelumnya dilihat telah digabungkan buat pertama kalinya menerusi drama komedi romantik, Cinta Lelong dan 30 Hari Mencari Cinta terbitan Astro.

Barangkali gandingan dua pelakon popular, Aaron Aziz dan Erra Fazira sudah seringkali menghiasi di kaca televisyen dalam drama mahupun filem. Tetapi kali ini, wajah mereka sekali lagi bakal menjadi taruhan utama dalam teater Badai Semalam.

Malah, kedua-duanya tanpa berselindung juga mengakui mula ada keserasian untuk berlakon bersama dalam sebuah produksi.

Dengan jaminan tersebut, maka tidak hairanlah jika tanggungjawab yang diberi untuk menjayakan teater Badai Semalam dapat direalisasikan dengan memainkan emosi penonton nanti.

Erra yang ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Istana Budaya dengan syarikat Frensis Sdn Bhd (penerbit bersama) memberitahu, dia cukup teruja apabila disuakan peluang berdepan mata untuk berlakon dengan Aaron.

“Setelah berpengalaman berlakon bersama sebelum ini dalam beberapa drama dan filem, saya yakin kami berdua dapat menjiwai watak kami yang saling memerlukan dalam Badai Semalam.

“Malah, selesa bekerjasama dengan Aaron sebab dia seorang pelakon lelaki yang baik dan profesional. Sudah pasti saya gembira dapat digandingkan sekali lagi dengan Aaron apatah lagi menyedari kerjasama kami akan lebih mudah.

“Dalam gandingan sebelum ini, kami sering berdiskusi tentang babak yang ingin dilakonkan. Dari situ keserasian timbul, sekali gus menjayakan adegan yang melibatkan kami berdua kelak,” kata pemilik nama penuh Fazira Wan Chik ini.

Menurutnya, bukan mudah untuk membawakan watak Mazni kerana dia terpaksa mendalami watak itu agar dapat memberikan persembahan yang terbaik.

“Karya ini sangat ulung dan memberi impak besar kepada orang ramai. Apabila ia dipentaskan dan watak utama sebagai Mazni diserahkan kepada saya, ia sememangnya satu penghormatan kepada saya,” katanya.

Bagaimanapun, Erra mengaku yang dia belum lagi berkesempatan membaca karya tersebut tetapi sudah tahu keseluruhan jalan cerita.

“Selain itu, saya amat teruja untuk terlibat dalam teater ini kerana saya berpeluang bekerjasama bersama dua rakan baik saya, Umie Aida dan Ziela Jalil.

“Malah, rasa rindu untuk menyanyi sedikit terubat apabila dalam Badai Semalam, terdapat beberapa babak yang memerlukan saya menyanyi,” katanya sambil tersenyum manis.


Aaron berdebar walaupun teruja

Menyambung bicara tentang Badai Semalam, Aaron juga tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya apabila mengetahui dia bakal bergandingan dengan pelakon hebat seperti Erra dalam Badai Semalam.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini, Aaron menyifatkan Erra seorang pelakon yang baik dan peramah walaupun sudah punya status tersendiri dalam industri ini.

“Erra sentiasa merendah diri dan mengambil berat tentang pelakon lain yang terlibat berlakon bersama dalam drama atau filem. Erra memang berbeza sehingga membuatkan saya begitu senang hati dapat bekerja dengannya dalam satu produksi.

“Walaupun ini bukan kali pertama saya digandingkan dengan Erra, perasaan gementar masih ada dalam diri kerana perlu memainkan peranan sebagai Karim dalam Badai Semalam bersama beberapa lagi pelakon hebat seperti Umie Aida, Ziela Jalil, Fizz Fairuz dan Emelda.

“Saya berharap agar kami semua dapat bekerjasama dan saling membantu watak masing-masing dalam menjayakan teater Badai Semalam seperti yang diharapkan pengarah dan penerbit,” kata ayah kepada tiga anak ini.

Menurut Aaron, walaupun latihan belum bermula, tetapi debaran untuk berlakon di atas pentas telah pun menerjah dirinya, apatah lagi dihimpit dua pelakon wanita hebat dan lebih berpengalaman.

“Saya tidak akan persiakan peluang untuk belajar bagaimana menjiwai watak dalam sesebuah teater dengan lebih berjaya daripada mereka,” katanya.

Malah, keputusan menerima tawaran daripada pihak penerbit menguji tahap kebolehannya dalam seni lakonan teater yang mana wataknya perlu lebih dijiwai.

“Memang berlakon di atas pentas teater dengan berlakon dalam drama atau filem member satu pengalaman yang sangat berbeza. Sebelum ini saya pernah terlibat dengan teater Natrah.

“Dari situ, baru saya tahu, seni teater lebih mencabar berbanding yang lain. Tetapi tidak sangka pula saya akan dilamar sekali lagi untuk berlakon dalam Badai Semalam. Walaupun gementar membawa watak utama, saya akan cuba sedaya upaya menjayakannya.

Pemilik nama sebenar Aaron Mustapha Aziz ini juga menganggap medan teater adalah satu ujian getir buatnya tentang sejauh mana dia dapat membawa watak Karim yang berjiwa romantis dan akan bertutur dengan bahasa cinta serta ayat yang jiwang-jiwang.


Watak wanita berusia beri pengalaman baru - Umie Aida

Sementara itu, bagi sahabat Erra, Umie Aida, membawa watak seorang wanita berusia 50 tahun yang sentiasa memberontak adalah satu pengalaman baru dalam kariernya.

Menurutnya, ia juga cabaran buatnya untuk menjiwai sifat seorang wanita yang sentiasa bersuara lantang dan selalu marah-marah, namun begitu dia yakin akan berjaya menjiwai watak tersebut.

“Walaupun berpengalaman berlakon dalam beberapa teater sebelum ini, bagi saya cabaran dilalui adalah berbeza. Membawakan watak sebagai ibu kepada Karim lakonan Aaron Aziz ini memang benar-benar menguji kemampuan saya.

“Tetapi apabila melihatkan kepada Erra yang sememangnya sudah biasa dengan saya di samping Aaron, pelakon yang berbakat, saya tidak gentar untuk menjayakan Badai Semalam.

“Walaupun pertama kali bergandingan dengan Aaron, saya yakin keserasian antara kami akan wujud. Ini kerana, saya lihat dia sangat profesional, sama seperti pelakon-pelakon lain,” kata Umie yang sibuk dengan filem Azazil yang dilakonkan bersama Remy Ishak dan Diana Danielle.

Sebelum ini, Umie Aida pernah berlakon dalam teater Mencari Juita, Penyerahan Puteri, Dejavu Seorang Perempuan, Lantai T Pinkie dan Teater Natrah.

Istana Budaya pilih pelakon hebat

Melihat pada kelebihannya, novel Badai Semalam berjaya mencuri perhatian Istana Budaya (IB) atas dasar nilai yang mesti diangkat dan dipertontonkan kepada umum, terutama generasi yang pernah menyerap Badai Semalam ke dalam minda mereka.

Biarpun jalan ceritanya mudah, bagi Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani, ada sesuatu yang istimewa tentang novel tersebut hingga mencetuskan minat untuk mempersembahkannya dalam bentuk teater.

Taruhannya, teater ini dibarisi oleh pelakon hebat seperti Erra Fazira (Mazni), Aaron Aziz (Karim), Fizz Fairuz (Zaki), Umie Aida (Rohana) dan Ziela Jalil (Bibah) sebagai watak utama yang akan menerajui teater ini di samping pelakon Emelda Rosmila yang membawa watak ringan.

Baginya, watak Mazni dan Karim dalam novel Badai Semalam karya hebat Khadijah Hashim itu sangat sesuai dilakonkan kedua-dua artis hebat Malaysia dan Singapura itu.

“Apabila mendapat idea untuk mementaskan Badai Semalam, saya sudah membayangkan siapa yang sesuai melakonkan watak utama dalam Badai Semalam. Bagi saya Erra dan Aaron sangat sesuai untuk watak tersebut kerana kelebihan dan kekuatan yang mereka ada, teater ini pasti berjaya menarik ribuan penonton” katanya pada sidang media teater Badai Semalam.


Istana Budaya ketengah bakat baru

Teater ini, yang diterajui tenaga berpengalaman dalam industri seni menjadi taruhan penerbit dan produksi dengan mengetengahkan banyak tenaga dan bakat baru sebagai tulang belakang Badai Semalam, bagi memastikan penonton tidak akan dikecewakan.

Katanya, peluang itu diberikan kepada kelompok berkenaan adalah bertujuan memberi ruang dan peluang untuk bakat mereka diketengahkan dan IB diharap dapat menjadi ‘platform’ terbaik buat mereka.

“Mengetengahkan nama baru tetapi berbakat dalam seni persembahan dan pengarahan amat penting bagi membolehkan IB melahirkan pelapis industri.

“Dengan memberi peluang kepada orang yang kita tahu berbakat dan sememangnya dunia mereka adalah teater umpama menyambung nyawa dalam bidang seni persembahan,” kata Mohammed Juhari, yang bakal memulakan latihan Badai Semalam, minggu ini.

Antara yang dimaksudkan adalah pengarah berpengalaman, Khairunazwan Rodzy, graduan lulusan Ijazah Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang dipertanggungjawabkan mengarah pementasan teater Badai Semalam.

Sementara itu, cabaran kepada Rahimidin Zahari untuk menyusun skrip yang menarik bagi memastikan keindahan Badai Semalam dapat dipindahkan daripada teks ke pentas tanpa ada ruang untuk mana-mana pihak buat perbandingan.

Pengarah artistik pula, Irwan Ismadi, yang juga Penolong Pengarah teater Natrah kali ini bakal menjadi ‘peneraju’ untuk menentukan ‘di mana’ dan bagaimana bentuk Badai Semalam apabila dipentaskan.

Juhari berkata, skrip teater Badai Semalam ditulis oleh Erma Fatima bersama Aminah Rapor serta beberapa panel dari IB.

Di sebalik suara Kak Ros

Animasi popular Upin & Ipin begitu dekat di hati penonton. Bukan hanya menambat hati kanak-kanak tetapi karakter Kak Ros (kakak Upin & Ipin) amat menggerunkan. Karakter yang diolah garang dan tegas itu sentiasa menghantui adik-adiknya untuk bersikap lebih sopan dan menjadi adik yang baik.

Namun, mengenali si peminjam suara Kak Ros ini, jauh tersasar dengan karakter dalam animasi itu. Pertemuan kali pertama dengan Ida Shaheera Azhar memadamkan imaginasi mengenai watak Kak Ros.

Gambaran Ida memiliki personaliti persis Kak Ros ternyata meleset sama sekali. Di luar, gadis manis kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini seorang yang suka ketawa dan peramah.

Mengakui, ia bukanlah pertama kali dianggap garang seperti Kak Ros, sementelah watak Kak Ros dilihat ‘hidup’ dan menjadi, menyebabkan ramai penonton menyangka pemilik suara di sebalik watak itu juga begitu.

“Letihlah kalau saya asyik nak marah saja. Karakter Kak Ros hanya wujud tatkala saya merakamkan suara untuk watak itu. Sedangkan di luar, saya langsung tidak tahu nak marah.

“Malah, dengan adik-beradik sendiri pun saya jarang marah-marah kerana semuanya sudah besar. Kiranya, perbezaan karakter saya dan Kak Ros sangat ketara,” katanya sambil tersenyum.

Menyumbang suara bersama produksi Upin & Ipin bermula musim kedua sehingga memasuki musim kelima, menurut Ida, pembabitannya sebagai pelakon suara bermula tanpa dirancang.

“Setelah tamat pengajian, saya memohon jawatan sebagai penulis skrip di Les’ Copaque dan diterima. Kebetulan, ketika itu ada uji bakat untuk mencari suara untuk watak kak Ros.

“Nama saya dicadangkan untuk menyertai uji bakat dan pihak pengurusan mendapati suara saya mempunyai persamaan dengan pemegang watak Kak Ros sebelum ini. Sejak itulah bermulanya peranan saya sebagai kak Ros,” kata pemilik Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik dan Media Digital, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Mengakui agak kekok pada mulanya, terutama ketika menzahirkan dialog marah dan menjerit, Ida berkata, dia hanya dapat menyesuaikan diri setelah memasuki musim ketiga.

“Banyak cabaran perlu ditempuhi untuk watak ini. Saya bukan sekadar membaca skrip, sebaliknya perlu ada teknik kerana perlu melontarkan intonasi yang sesuai dengan emosi.

“Bagi merealisasikannya, saya perlu memahami jalan cerita terlebih dahulu. Selepas itu, barulah saya boleh berimaginasi tentang mimik muka dan lenggok badan watak Kak Ros mengikut babak tertentu,” katanya yang banyak membuat rujukan daripada watak animasi terkenal seperti Doraemon dan Toy Story.


Garang bertempat

Setelah empat musim menjadikan Kak Ros sebagai sebahagian daripada dirinya, Ida semakin menyenangi watak yang dianggapnya berperanan penting dalam memberi nasihat kepada penonton, terutamanya kanak-kanak.

“Jika diperhatikan, watak Kak Ros ini garang bertempat. Kebiasaannya, Kak Ros ingin Upin dan Ipin mengikut nasihatnya.

“Apabila Upin dan Ipin mematuhi arahannya, secara tidak langsung kanak-kanak yang menonton juga akan mengikutinya. Sebab itulah, saya perlu memastikan watak Kak Ros akan meminta mereka melakukan perkara yang baik dan berfaedah,” katanya.

Mempunyai kelebihan sebagai penulis skrip Upin & Ipin, Ida berkata, ada kalanya dia diberi kebebasan untuk membentuk watak Kak Ros atau menghasilkan babak yang sesuai dengan peranannya sebagai kakak kepada pasangan kembar comel itu.

“Watak Kak Ros sebenarnya variasi. Bukanlah setiap babak dia bersikap garang kerana ada masanya, dia suka bergurau dan mengusik adik-adiknya.

“Namun, setiap perkara yang dilakukan Kak Ros ada caranya tersendiri. Misalnya, dia sering menakutkan Upin dan Ipin, sedangkan dia hanya ingin bergurau. Itulah keistimewaan karakter ini,” katanya.


Harap Upin & Ipin kekal bertahan

Menjadi tulang belakang produksi yang berjaya mencetuskan fenomena melalui Upin & Ipin, Ida meletakkan harapan tinggi agar jenama animasi itu terus bertahan.

“Jika Doraemon begitu sinonim dengan Jepun, begitulah impian saya agar penonton di negara lain mengenali Upin & Ipin sebagai produk dari Malaysia.

“Sebagai penulis skrip dan pelakon suara Kak Ros, saya akan terus memberikan yang terbaik agar siri animasi ini mencipta kejayaan yang membanggakan negara,” katanya mengakhiri perbualan.