Friday, October 29, 2010

"Ayah Meninggal Dunia Ketika Adegan Mati" - Aeril

Aeril Zafrel

PETALING JAYA: Pengalaman membintangi filem terbaru Aku Tak Bodoh arahan Boris Boo telah meninggalkan makna yang tersendiri buat pelakon Aeril Zafrel atau nama sebenarnya Suhairil Sunari.

Bukan sahaja filem itu merupakan filem pertama lakonannya sejak berkecimpung dalam dunia lakonan kira-kira tiga tahun lalu, malah ia turut meninggalkan memori sedih kepada pelakon muda yang mencipta nama menerusi drama bersiri Kisah Kaisara, Kasut Tumit Tinggi dan Senja Permai.

Menurut Aeril, ketika dia terlibat dengan penggambaran sebuah babak sedih dalam filem itu pada November tahun lalu, dia telah kehilangan ayah kandungnya yang pulang ke rahmatullah pada waktu yang sama.

"Jujurnya, penglibatan saya dalam filem ini telah meninggalkan dua kenangan iaitu manis dan pahit.

"Yang manisnya, apabila saya berpeluang untuk membintangi filem pertama selepas tiga tahun terlibat dalam dunia lakonan manakala yang pahit pula saya telah kehilangan ayah kandung ketika penggambaran sedang diadakan," katanya.

Secara kebetulan, ketika dia sedang terlibat dengan adegan kematian ayah kandungnya di kampung juga meninggal dunia pada waktu itu akibat kanser tonsil.

"Memang saya sedih sangat namun ada hikmah di sebaliknya kerana berita duka itu telah sedikit sebanyak membantu penghayatan saya untuk menjayakan watak tersebut dengan lebih berkesan," katanya.

Selain Aeril, filem yang bakal ditayangkan pada 2 Disember 2010 ini turut membariskan pelakon-pelakon popular dan baru tanah air seperti Riezman Khuzaimi, Amy Mastura, Aizat Hassan, Wan Noor Aizat, Namron dan Adibah Noor.

Jamal Cari Penaja "Konsert J2011... Legenda"

Jamal sedang menantikan penaja untuk membantunya menjayakan konsert J2011..Lagenda.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Jamal Abdillah mencari penaja dalam usahanya mengadakan sebuah konsert khas, J2011... Legenda yang bakal diadakan di Istana Budaya pada 7 hingga 10 Januari tahun hadapan.

Menurut Jamal, sehingga hari ni, dia gagal mendapatkan sebarang penaja untuk menaja konsertnya yang memerlukan perbelanjaan sebanyak RM300,000.

"Agak menyedihkan, saya tak faham kenapa tidak ada sesiapa yang mahu menaja konsert ini.

"Apa-apa pun, saya masih menantikan penaja yang sudi menjayakan L2011... Legenda. Tapi, andai kata tiada yang ingin menaja, saya telah bersedia untuk menanggung semua kosnya.

"Ia akan menjadi satu hadiah yang amat bermakna kepada rakyat Malaysia dan saya tak rasa rugi kerana konsert ini khas buat para peminat.

"Bagi saya, selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah saya akan menghiburkan masyarakat," katanya pada sidang akhbar konsert J2011... Lagenda di Istana Budaya, Khamis.

Antara yang akan menjayakan konsert J2011..Lagenda, dari kiri: Edy Marzuki, Datuk Ahmad Nawab, Jamal Abdillah dan En Johari (Ketua Pengarah Istana Budaya).

Menarik tentang J2011... Legenda, Jamal akan menggunakan teknik penataan cahaya PANI yang didatangkan khas daripada Australia di mana J2011... Legenda merupakan konsert pertama di Asia Tenggara menggunakan teknik tersebut.

PANI adalah sebuah penata cahaya yang direka khas di mana ia mengeluarkan cahaya mengikut mood lagu dan suasana sewaktu persembahan berlangsung.

"Selain itu, konsert selama 2 jam itu akan dibahagikan kepada dua segmen. Pada segmen pertama, saya akan membawakan lagu-lagu nostalgia yang pernah dipopularkan oleh penyanyi lama antaranya P.ramlee, M.Bakri, Oslan Husin, S. Affendi dan Yopie Latul.

"Segmen kedua pula saya akan membawakan lagu-lagu yang belum pernah saya nyanyikan pada konsert-konsert saya sebelum ini," ujarnya.

Tiket yang berharga RM85,RM105,RM135,RM255 dan RM305 boleh dibeli di kaunter box office, Istana Budaya atau layari secara online di www.ticket2u.biz.

Finas Tubuh Jawatankusa Penasihat Dan Umum Ahli Perbadanan Baru

Ahmad Idham

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Finas bagi memberi peluang kepada persatuan perfileman memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan industri perfileman tempatan.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) merangkap Pengerusi Finas, Datuk Mohamed Mohd Daud selepas dipersetujui oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Finas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang Khamis berkata, jawatankuasa itu berperanan memberikan pandangan dan nasihat kepada menteri dan Ahli Perbadanan dengan membuat syor berkaitan dasar dan program bagi meningkatkan prestasi pembangunan industri filem tempatan.

Jawatankuasa itu terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan dianggotai tidak lebih daripada tujuh ahli. Tiga daripadanya terdiri daripada ahli Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) manakala empat lagi dipilih berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kepakaran dalam bidang perfileman.

Jawatankuasa tersebut diselia oleh Finas dan ia akan bermesyuarat setiap tiga bulan sekali. Pelantikan tersebut berkuat kuasa 1 Oktober lalu sehingga 30 September 2011.

Berikut ini senarai Jawatankuasa Penasihat Finas bagi penggal 2010 – 2011.

Pengerusi: Datuk Mohamad Mohd Daud (Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan)

Timbalan Pengerusi: Mohd Mahyidin Mustakim (Ketua Pengarah Finas)

Ahli:1. Panchacharam 2. Jurey Latif Mohd Rosli 3. Khir Mohd Nor 4. Datuk Aziz Singah5. Hans Isaac6. Chiu Keng Guan

Sementara itu Finas turut memaklumkan telah menerima pelantikan Ahli Perbadanan agensi itu yang sebelum ini kecoh dipertikaikan oleh orang-orang filem.

Ahli Perbadanan Finas untuk penggal 2010 – 2011 dianggotai oleh Mohammed Mohd. Daud sebagai Pengerusi, Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) yang juga Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah sebagai Timbalan Pengerusi.

Ia turut dianggotai oleh lapan ahli yang terdiri daripada Datuk Azman Salleh, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Abdul Rauf Yusof, David Teo, Ahmad Idham, Ahmad Suhaimi Endut, Ahmad Ibrahim dan Garuna Murthee Kandiah.

Raul Berang Dengan Wartawan

KEKASIH Diva Pop Indonesia Krisdayanti iaitu Raul Lamos bertindak menghalau wartawan ketika pasangan itu diserbu oleh media selepas menonton Konsert David Foster, Rabu.

Seperti dipetik Vivanews.com, Raul naik berang apabila jurugambar cuba mengambil gambar mereka ketika keluar dari perkarangan konsert tersebut.

Bagaimanapun Krisdayanti yang berada di sisinya cuba menenangkan kekasihnya itu dan meminta pihak media bersabar.

Krisdayanti turut menghalang Raul dari cuba bertindak kasar terhadap pihak media.

"Kamu semua terlalu memaksa. Kamu perlu tahu hormat orang lain, bukan begini caranya. Ada kalanya kita senang untuk bercakap dan ditemu ramah ada kalanya tidak," ujar Raul kasar sambil bergegas meninggalkan konsert tersebut.

Pasha (Ungu) Kahwin Waktu Terdekat

VOKALIS kumpulan Ungu, Pasha mengakui akan menikahi kekasihnya, Adelia dalam waktu terdekat.

Pasangan yang pada awalnya memilih untuk mengakhiri ikatan perkahwinan mereka pada 11 November 2011 ini memberitahu tarikh tersebut terlalu lama bagi mereka.

"Saya mahu ikatan pernikahan dilakukan secepat mungkin. Memang pada asalnya merancang tarikh 11.11.11 tapi ia terlalu lama. Jika tidak ada halangan ia akan dilangsungkan lebih awal lagi.

Pasha turut mengakui hubungan mereka telah mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak.

"Tiada halangan daripada keluarga kami, mereka juga mahu ia dilangsungkan lebih awal. Kami sedang mencari tarikh yang sesuai sahaja," katanya seperti dipetik Detikhot.com.

Pasha ditemui selepas membuat persembahan di majlis Mega Konsert Satu Cinta Indonesia, Jakarta, Rabu.

Ketika persembahan kumpulan Ungu, Adelia dijemput untuk naik ke pentas sambil menerima tepukan gemuruh penonton.

"Itu hanya kebetulan sahaja, saya juga tidak menyangka pengacara memanggil dia untuk naik ke pentas," ujarnya malu-malu.

Program Menarik TV3 Sempena Deepavali

Kenchana Dewi dan pasangannya dalam sebuah program hiburan sempena Deepavali

PETALING JAYA: Sempena perayaan Deepavali yang akan disambut pada 5 November depan, TV3 bakal menyiarkan pelbagai rancangan menarik untuk penonton stesen televisyen itu.

Bermula pada hari Jumaat tarikh tersebut, seawal pukul 6.30 pagi, Malaysia Hari Ini (MHI) akan mengadakan lintas langsung dari kediaman Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu dengan membicarakan tentang topik persiapan sambutan Deepavali.

Diikuti dengan Wanita Hari Ini(WHI), pada pukul 12 tengah hari yang dibawakan khas dari Little India, Briekfields, dekat sini yang baru sahaja dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Mohd Najib Razak dan Perdana Menteri India, Manmohan Singh, Rabu lalu.

Ia merupakan program televisyen pertama yang bersiaran secara langsung dari Little India, Briekfields. Program yang akan dihoskan oleh Nor Azzura, Farah dan Ezzan Zalilah itu juga bakal diwarnai dengan pelbagai acara menarik seperti tarian kebudayaan komuniti kaum India, dekorasi kolum dan perhiasan bersempena sambutan Deepavali.

Perayaan Pesta Cahaya ini diteruskan lagi dengan empat rancangan menarik, dua program muzikal, Cahaya Deepavali pukul 9 pagi dan Muzikal Jodoh Deepavali pada pukul 6 petang yang menampilkan Kenchana Devi bersama beberapa artis terkenal tempatan.

Sementara itu pada hari Sabtu, filem Ninaithale Inikkum akan disiarkan pada pukul 12 tengah hari manakala pada hari Ahad pula, filem Pensil akan disiarkan pukul 3 petang.

Natrah 2 dibarisi pelakon popular



Selepas mendapat sambutan yang menggalakkan tahun lalu, teater Natrah kembali dipentaskan di Istana Budaya, bermula 25 November hingga 5 Disember depan.

Pengarah tersohor, Erma Fatima, sekali lagi dipertanggungjawabkan mengarahkan teater ini dengan mengekalkan barisan pelakon utama seperti, Maya Karin, Remy Ishak, Umie Aida dan Sofea Jane.

Bagi memantapkan lagi teater tersebut, Erma telah membuat penambahan pelakon yang terdiri daripada artis-artis popular seperti Liyana Jasmay, Nabila Huda, Aaron Aziz, Fizz Fairuz, Ziela Jalil, Datuk Rahim Razali dan dua lagi pelakon yang masih dirahsiakan.

Tidak menafikan nama-nama pelakon itu adalah sebahagian daripada strategi untuk menarik penonton menyaksikan teater itu, Erma menjelaskan, setiap pelakon mempunyai watak dan karakternya sendiri.

“Kehadiran mereka bukan sekadar tempelan sahaja atau saya sekadar suka-suka untuk memanggil mereka berlakon teater ini. Walaupun ada di antara mereka membawakan watak yang kecil, tapi peranan mereka sangat penting dalam penceritaan dan perjalanan hidup Natrah.

“Malah prinsip teater itu sendiri, tidak harus ada yang menonjol. Tetapi saling menyokong antara satu sama lain. Setiap pelakon harus membawa watak dan karakter mereka dengan baik, meskipun yang sekecil-kecil watak,” kata Erma ketika majlis sidang media memperkenalkan barisan pelakon baru Natrah.