Wednesday, December 2, 2015

Percaturan Wawa Zainal

Wawa Zainal

BAGI sesetengah selebriti wanita, dunia glamor tidak lagi menjadi keutamaan tatkala sudah berumah tangga, lebih-lebih lagi sudah bergelar ibu.
Namun bagi aktres cantik, Wawa Zainal, tanggungjawab sebagai ibu tidak menjadi penghalang buatnya untuk bergerak aktif di dalam bidang seni.
Menurut isteri kepada aktor Aeril Zafril ini, dia bersedia untuk kembali aktif di dalam bidang lakonan sekiranya ada tawaran.
Bagaimanapun dia akan menerima tawaran mengikut kesesuaian keadaan dan watak.
"Buat masa ini saya belum mendapat apa-apa tawaran. Tapi sebenarnya saya sudah sedia untuk kembali aktif.
"Walaupun anak masih kecil, tapi saya bertuah kerana mak tinggal bersama saya dan membantu saya menjaga anak sekiranya saya ada kerja di luar.
"Bagaimanapun tawaran yang datang itu saya akan terima mengikut kesesuaian," ujarnya kepada Zass.
Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 23, berkata, dia juga tidak meletakkan sebarang syaratsyarat tertentu untuk menerima tawaran.
"Saya tak terfikir untuk letakkan syarat seperti kena berlakon bersama suami, penggambaran hanya pada waktu siang atau tidak boleh jauh.
"Sebaliknya bergantung kepada kelapangan dan masa.
Kalau penggambaran mengambil tempoh lama, saya rasa tak boleh terima. Seperti yang saya kata, semua bergantung kepada keadaan," katanya.
Dalam pada itu, berkongsi perkembangannya kini, Wawa berkata, selain sibuk menguruskan anak, dia juga sibuk menguruskan perniagaan pakaian iaitu WA yang dijual secara atas talian.
Tambah Wawa, dia menjual rekaan-rekaan busana Muslimah termasuk jubah wanita, dress dan skirt, di samping turut memasarkan jubah lelaki dan kanak-kanak.
Biarpun menyedari saingan sengit daripada rakan-rakan selebriti lain yang turut berniaga pakaian Muslimah, Wawa berkata, dia percaya pada ketentuan rezeki.
"Saya akui saingan agak sengit, tapi saya percaya rezeki masingmasing.
Istimewanya WA mengeluarkan pakaian yang direka sendiri oleh saya. Alhamdulillah setakat ini sambutan sangat memberangsangkan,” katanya.
Tidak hanya setakat perniagaan atas talian, Wawa berkata, dia sememangnya merancang untuk membuka butik, namun masalah ekonomi yang kurang memberangsangkan membuatkan dia menangguhkan terlebih dahulu hasrat itu.
"Ada yang nasihatkan kami untuk tangguhkan perancangan untuk membuka butik. "Tapi saya letak perancangan untuk membuka butik ini ke tahun 2016.
"Selain butik, saya juga merancang untuk melebarkan perniagaan selepas ini. Mungkin ke bidang kecantikan atau perniagaan kanta lekap.
"Apatah lagi kalau kita lihat sebenarnya bidang perniagaan mendatangkan untung yang lebih besar berbanding bidang lakonan.
"Tapi itu bukanlah bermakna bidang lakonan tidak lagi menjadi keutamaan selepas ini," katanya. Anak jadi keutamaan Berkongsi pengalamannya yang kini bergelar ibu kepada dua cahaya mata, Ahmad Fakharuddin Attar, 2, dan Hayla Maghfirahtul
Adzkiyaa, 3 bulan, Wawa berkata, dia tidak mempunyai masalah besar sementelah Attar sudah pandai membawa diri.
Tambahnya, biarpun berhasrat untuk kembali aktif, anak-anak tetap menjadi keutamaannya.
"Alhamdulillah setakat ini saya seronok dan menikmati saat-saat bergelar ibu kepada dua cahaya mata. Attar memang tak susah diuruskan.
"Dia suka buat hal sendiri dan pandai bawa diri. Malah dia juga sangat menyayangi adiknya. Kalau dia baring sebelah adiknya, dia mesti peluk dan cium adiknya," ujar Wawa.

Temui RM7,377 dalam beg pengemis



Temui RM7,377 dalam beg pengemis
JKM menahan enam individu dalam Operasi Pengemis dan Kutu Rayau sekitar bandar raya ini.
JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga Indonesia mengambil kesempatan terhadap sikap pemurah rakyat tempatan dengan meminta sedekah di lokasi tumpuan orang ramai untuk memperoleh wang cara mudah.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, wanita berusia 57 tahun berkenaan antara enam yang ditahan hasil Operasi Peminta Sedekah dan Kutu Rayau di sekitar bandar raya ini dan Pasar Malam Larkin, di sini, malam kelmarin.
Menurutnya, ketika ditahan wanita itu mendakwa dia hanya menjual tisu di jejantas menghubungkan sebuah pusat membeli-belah dengan JB Sentral bagaimanapun perbuatannya menjurus kepada kesalahan meminta sedekah.
“Dia turut meletakkan bekas berisi wang syiling yang menjurus kepada perbuatan meminta sedekah ketika menjual tisu. Wanita itu mendakwa dia terpaksa menjaja untuk mendapatkan wang disebabkan kesempitan hidup.
“Paling mengejutkan, kami berjaya menjumpai wang tunai mata wang Indonesia yang dianggarkan berjumlah RM7,377 selain barang kemas di dalam beg yang dibawa. Jadi kami percaya alasan kesempitan hidup diberikan hanya helah untuk melepaskan diri,” katanya.
Dalam operasi sama, seorang wanita Rohingya berumur 27 tahun turut ditahan kerana meminta sedekah yang turut membawa dua anak kecil berumur tujuh bulan dan tiga tahun di percayai untuk meraih simpati.
Manayi berkata, ketika siasatan dijalankan wanita itu mengakui mengalami masalah kewangan dan tiada pilihan sehingga terpaksa mengemis kerana tidak mempunyai pekerjaan.
Ketika ditahan, dia hanya berjaya memperoleh sekitar RM5 hasil pemberian orang ramai.
“Dalam operasi berkenaan kita turut menahan dua lelaki tempatan kerana mengemis. Semua yang ditahan berumur tujuh bulan hingga 61 tahun dibawa ke Rumah Seri Kenangan (RSK), di sini, untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 3 (2) Akta Orang Papa 1977.

Bayaran tapak tanah sudah langsai



Bayaran tapak tanah sudah langsai
Marzi Firdaus (empat, kiri) dan pelajar-pelajarnya bersyukur kerana masalah dihadapi mereka selesai di atas keprihatinan orang ramai.
TAPAH - Pengasas Madrasah Tahfiz Firdaus Al Warisi (MTFAW) sudah menjelaskan baki bayaran tapak tanah apabila berjaya mengumpulkan sebanyak RM350,000 dalam tempoh singkat selepas kisah madrasah itu tersebar menerusi aplikasi WhatsApp dan menjadi viral.
Marzi Firdaus Mohd Ariffin berkata, wang sumbangan orang ramai itu dikumpulkan dalam tempoh hanya beberapa hari dan segera diserahkan kepada pemilik tanah, Jumaat lalu.
Menurutnya, mereka kini dalam proses untuk menukarkan hak milik tanah terbabit kepada MTFAW.
“Saya dan anak-anak madrasah ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat negara ini yang prihatin dengan nasib kami.
“Hanya ALLAH dapat membalas jasa baik semua pihak yang hulurkan bantuan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di MTFAW di sini, semalam.
Dalam proses pilih AJK
Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses memilih ahli jawatankuasa (AJK) serta yayasan sebelum mendaftarkan madrasah tersebut di bawah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk).
Katanya, pemilihan barisan AJK dijalankan secara teliti dengan melakukan solat istikharah pada setiap hari bersama pelajar-pelajarnya.
“Bukan sahaja untuk pilih ahli jawatankuasa, pemilihan calon-calon pelajar yang akan masuk belajar di sini juga dilakukan dengan solat istikharah.
“Apabila kami berasa ragu-ragu untuk membuat pilihan terbaik, kami akan melakukan solat istikharah secara berjemaah dan yakin petunjuk akan diberikan oleh ALLAH dalam pelbagai bentuk selain bermesyuarat dengan mudir madrasah berhampiran.
“Insya-ALLAH, pendaftaran akan dilakukan selewat-lewatnya pada hujung tahun ini setelah pemilihan ahli jawatankuasa madrasah ini selesai,” katanya.
Perlu asrama lebih besar
Marzi Firdaus berkata, beliau merancang untuk membina asrama lebih besar bagi menempatkan lebih ramai pelajar.
Katanya, setakat ini, madrasah itu hanya mempunyai 40 katil untuk 45 pelajar dan ada pelajar terpaksa berkongsi katil untuk tidur.
“Kami rancang untuk bina sebuah asrama dua tingkat yang boleh memuatkan antara 50 hingga 60 pelajar dalam satu-satu masa sekiranya kewangan mencukupi,” katanya.
Marzi Firdaus berkata, sejak kisah madrasah itu disiarkan dalam Sinar Harian, kira-kira 30 pelajar yang layak akan diterima masuk ke dalam MTFAW.
“Bagaimanapun kami terpaksa tangguh dahulu kemasukan sebab kekurangan dari segi tempat tinggal untuk pelajar-pelajar itu,” katanya.
Rancang bina surau
Dalam pada itu, membina sebuah surau bagi kegunaan pelajar dan pengguna jalan raya dari Tapah ke Cameron Higland untuk menunaikan solat menjadi perancangan jangka panjangnya.
Katanya, pihaknya juga bercadang mahu menggunakan surau itu sebagai tempat pelajarnya menghafaz al-Quran.
“Bukan sahaja pelajar, penduduk setempat juga boleh menggunakan surau ini untuk mendalami ilmu agama.
“Kita akan guna kompleks ini sebaik mungkin dan diimarahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan serta ilmu untuk manfaat bersama,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan surau ini mungkin mengambil masa kerana bajet belum mencukupi.
“Saya minta jasa baik masyarakat di luar sana untuk sama-sama membantu kami,” katanya.
Pada 25 November lalu, berita mengenai masalah kewangan madrasah itu disiarkan Sinar Harian selepas menjadi viral.
MTFAW bukan sahaja memerlukan bantuan kewangan untuk melunaskan pembayaran tapak tanah, malah merayu sumbangan bahan-bahan bacaan ilmiah untuk pelajar-pelajar di situ.

Telefon pintar Liquid Z



Telefon pintar Liquid Z
Siri Liquid Z diperkenalkan dengan tiga model iaitu Z630, Z530 dan Z330 dengan menawarkan ciri-ciri yang dipertingkatkan.
ACER Malaysia (Acer) optimis untuk menjual sebanyak 50,000 unit telefon pintar bagi ketiga-tiga model siri Liquid Z yang baharu dilancarkan dalam separuh penggal pertama tahun hadapan.
Pengurus Produk Acer, Jeffrey Lai berkata, pihaknya yakin mencapai jumlah itu berikutan pasaran negara yang luas.
"Kita sangat yakin untuk capai jumlah itu dalam tempoh tiga bulan akan datang, didorong pasaran Malaysia besar dan populasi serta trend pengguna yang semakin berkembang," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran rangkaian telefon pintar itu di Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, harga, reka bentuk dan ciri-ciri di dalam telefon pinta baharu itu juga dijangka mendorong kepada jumlah jualan.
Katanya, telefon pintar baharu itu didatangkan dengan ciri-ciri kemudahan di dalam setiap urusan.
Sementara itu, mengulas penguasaan pasaran, Acer Malaysia menjangkakan menjadi lima jenama telefon pintar yang terbaik di pasaran tempatan pada tahun hadapan.
"Kami merupakan peneraju utama komputer riba dan komputer tetapi kami masih baharu dan sedang berkembang dalam segmen telefon pintar," katanya.
Siri Liquid Z diperkenal dengan tiga model iaitu Z630, Z530 dan Z330 dengan ciri-ciri yang dipertingkatkan.
Siri itu dilancarkan di acara IFA 2015 di Berlin sebelum ini dengan menampilkan rekaan kerangka melengkung, kemas dan elegan.
Ketiga-tiga model itu di jual dengan harga L630 (RM659), L530 (RM559) dan L330 (RM439) di semua pengedar dan penjual sah Acer Malaysia di seluruh negara.

Dunkin’ Donuts: Bermula dari trak kantin



Dunkin Donuts rai restoran ke-10,000
Dunkin' Donuts
BAGI penggemar donat, jenama Dunkin’ Donuts sudah tentu tidak asing lagi buat mereka. Dunkin’ Donuts adalah syarikat pengeluar donat dan kedai kopi global rantaian Amerika Syarikat (AS) yang berpusat di Canton, Massachusetts di Greater Boston.
Produk rantaiannya termasuklah donat, bagel, barangan dibakar (baked good), dan pelbagai jenis minuman panas dan ais.
Ia diasaskan pada 1950 oleh William Rosenberg di Quincy, Massachusetts.
Dengan sebuah trak kantin, Rosenberg memulakan perniagaan menyediakan kopi, pastri dan sandwic kepada pekerja kilang dan tapak pembinaan.
Namun, selepas melihat sebahagian pendapatan perniagaannya datang daripada kopi dan donat membuatkan Rosenberg mengorak langkah untuk membuka kedai sendiri.
Pada 1948, dia membuka kedai kopi dan donat pertamanya di Quincy, Massachusetts dengan nama ‘Open Kettle’, sebelum ditukar kepada Dunkin’ Donuts dua tahun kemudian.
Seawal 1955, Rosenberg melibatkan perniagaan Dunkin’ Donuts kepada francais dan kemudian syarikat ini semakin berkembang serta melobi di pameran perdagangan untuk mewujudkan kumpulan industri yang menjadi Persatuan Francais Antarabangsa.
Sebelum 1990, pesaing utama Dunkin’ Donuts adalah Mister Donut, tetapi pada Februari tahun yang sama, Mister Donut dibeli oleh pemilik Dunkin’ Donuts, Allied-Lyons.
Pada 2002, Rosenberg meninggal dunia akibat kanser dalam usia 86 tahun.
Anak lelaki Rosenberg terus mengembangkan perniagaan itu dengan pengambilalihan Baskin-Robbins and rangkaian sandwic, Togo’s.
Bermula 2003, jenama Dunkin Donuts digiatkan semula dengan mengalihkan tumpuan daripada donat untuk kopi.
Tahun berikutnya, ibu pejabat syarikat itu dipindahkan ke Canton, Massachusetts.
Menjelang Mac 2014, pasaran antarabangsa terbesar Dunkin’ Donuts adalah Korea Selatan, yang mewakili hampir 40 peratus daripada semua jualan antarabangsanya dengan lebih 900 cawangan di negara itu.
Sehingga 2014, Dunkin’ Donuts telah dimiliki Dunkin’ Brands Inc.
Kini, Dunkin’ Donuts mempunyai lebih 6,000 kedai di 30 buah negara antaranya AS, Malaysia, Aruba, Bahamas, India, China, Korea, Kuwait dan Lebanon.
Kebanyakan cawangan Dunkin’ Donuts itu dimiliki dan dikendalikan oleh francaisi sendiri.
Selain kedai, Dunkin’ Donuts boleh ditemui di stesen gas, pasar raya, pusat membeli-belah dan medan selera lapangan terbang, dan kedai Walmart.

Batu 'terapung' di India



Batu 'terapung' di India

BATU gergasi dikenali sebagai Krishna's Butter Ball merupakan satu fenomena unik yang boleh ditemui di bandar Mahabalipuram di selatan India.
Menurut Amusing Planet, batu yang mempunyai ukuran ketinggian melebihi 10 meter dengan diameter melebihi lima meter ini terletak di lereng sebuah bukit dan menjadi tarikan bagi penduduk dan pelancong asing.
Jika dilihat pada mata kasar, batu gergasi ini sudah pasti bergolek ke bawah namun ia tetap kekal pada kedudukan asal selama ratusan tahun.
Masyarakat tempatan percaya batu tersebut dihasilkan daripada mentega, namun ada juga yang menganggap batu berkenaan dihasilkan oleh makhluk asing.
Apa pun, batu yang turut dikenali sebagai Vaan Irai Kal oleh penduduk tempatan ini benar-benar satu fenomena alam yang menakjubkan.

Ibu kudung lakukan tiga kerja sara anak



Ibu kudung lakukan tiga kerja sara anak
Fang Wengying
ANHUI - CHINA. Kudung tangan kiri bukanlah penghalang seorang ibu tunggal untuk melakukan tiga pekerjaan setiap hari bagi menyara dua anaknya selepas kematian suaminya.  
Menurut Fang Wengying, kehidupannya berubah mendadak selepas suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2013 sehingga memaksanya melakukan tiga pekerjaan lebih 16 jam sehari di sebuah syarikat pembersihan di bandar Anqing bagi menampung perbelanjaan harian dan pengajian anaknya.
Memetik laporan Sina News, Fang kebiasaanya akan bangun seawal 3.30 pagi dan hanya akan pulang ke rumah pada 10.30 malam setiap hari sejak tiga tahun lalu.
Fang memberitahu, dia biasanya hanya akan memperoleh  2,800 yuan (RM1,866) setiap bulan.
Sementara itu, bagi meringgankan beban yang ditanggung Fang, anak perempuannya yang berusia 20 tahun, Dandan terpaksa menamatkan pengajian di sekolah tinggi dan bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah kedai roti.
Tambah Fang lagi, selain bekerja untuk menyara kehidupan seharian, dia turut perlu membiayai yuran pengajian anak sulungnya yang sedang menuntut di Anhui Foreign Language University.
Menceritakan kisah sedihnya, Fang berkata, dia kehilangan tangan kirinya pada tahun 2003 ketika cuba menyelamatkan anaknya dari diserang oleh suaminya yang mengalami masalah mental.
"Semasa berlaku krisis dalam keluarga, saya terpaksa menuntut cerai dari suami namun kembali bersama semula selepas suaminya itu sembuh dari penyakit mental yang dihadapinya,' katanya.
Ditanya mengenai pengorbanan yang dilakukan demi membesarkan anak-anaknya, Fang berkata, hanya dengan bekerja keras, dia dapat menampung pengajian anaknya dan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada mereka.
Penderitan keluarga ini mendapat perhatian netizen di China yang rata-rata kagum dengan pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.
"Seorang ibu yang sangat baik," tulis seorang netizen.
"Kepada anak-anak wanita itu, anda mempunyai contoh terbaik dalam kehidupan iaitu ibu anda sendiri," komen seorang lagi netizen.