Sunday, March 2, 2014

Fenomena baharu bertih jagung



BERTIH jagung yang bersalut dengan kekacang mewah menjadi fenomena baharu bagi penggemar makanan ringan ini.


TIDAK lengkap rasanya jika aktiviti menonton wayang tidak ditemani dengan sekotak bertih jagung di sisi.
Daripada golongan kanak-kanak hingga dewasa, semuanya tidak terkecuali daripada menjadikan bertih jagung sebagai kudapan wajib mereka. Malah, boleh dikatakan makanan manis dan rangup itu sudah menjadi trend tatkala menonton wayang.
Sebenarnya, bertih jagung atau dikenali juga sebagai popcorn, sudah mula dihasilkan sejak beribu-ribu tahun dahulu.
Batang, tongkol, jerami, dan bulu jagung yang berusia antara 3,000 hingga 6,700 tahun ditemui di Paredones dan Huaca Prieta di pantai utara Peru oleh penyelidik dari Universiti Vanderbilt, Tennessee, Amerika Syarikat dan Akademi Sejarah Kebangsaan Peru.
Para penyelidik berkata, penemuan sisa-sisa jagung itu menunjukkan manusia purba di negara Amerika Selatan itu makan bertih dan tepung jagung.
Ternyata populariti tanaman semusim yang kitaran hidupnya sekitar 80 hingga 100 hari itu semakin menginjak naik sejajar dengan peralihan zaman.
Inovasi
Ini kerana pelbagai inovasi dari segi rasa dan warna dapat dilihat pada penghasilan bertih jagung.
Daripada perisa asli, muncul pula perisa karamel, keju, coklat, gula-gula getah, kari mahupun rumpai laut, semuanya mampu diterima oleh penggemar bertih jagung.
Melihat peluang yang ada dalam industri makanan tersebut, seorang anak muda dari Kota Tinggi, Johor, Aimez Nashriq Mohd. Zain, 25, mengambil peluang untuk memeriahkan lagi pasaran bertih jagung di negara ini.
"Pada saya lambakan bertih jagung di pasaran sekarang sudah terlalu klise. Kita juga boleh menemui bertih jagung dijual di pasar malam, pasar raya bahkan panggung wayang tetapi rasanya seakan-akan sama.
"Jadi saya fikir kenapa tidak kita variasikan lagi bertih jagung ini supaya nampak lebih istimewa," kata pengedar dan penjual bertih jagung premium jenama Poco Gourmet Popcorn itu.

JAGUNG kering merupakan bahan utama dalam penghasilan bertih jagung.


Menurutnya, walnut, hazel dan badam antara kekacang mewah yang akan ditemui saat jejari halus diunjur masuk ke dalam balang kertas bertih jagung Poco Gourmet.
Kedengaran pelik tetapi itulah kebenaran yang harus diterima apabila bertih jagung yang disalut dengan kekacang mewah mula menjadi fenomena baharu dalam kalangan penggemar kudapan ringan tersebut.
"Pada mulanya saya agak ragu-ragu untuk menjual Poco Gourmet, tetapi apabila tidak sampai dua bulan menjualnya saya sudah mendapat keuntungan lebih RM6,000, saya mula rasakan ia boleh pergi jauh," ujarnya yang mengedarkan Poco Gourmet menerusi internet.
Tambahnya, bertih jagung tersebut bukan sahaja mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia, malah popular sehingga ke Brunei, Indonesia dan Singapura.
Rangup
Bertih jagung itu diperbuat sepenuhnya menggunakan karamel dan mentega yang diimport khas dari New Zealand. Poco Gourment dijual pada harga RM25 bagi satu set yang mengandungi empat balang 85 gram.
Setiap butir bertih jagung Poco dipercayai rangup. Ia menggunakan buah jagung terbaik dan menukar setiap isi jagung menjadi bertih menggunakan minyak jagung 100 peratus.
Walaupun kini orang ramai boleh mendapatkan bertih jagung dengan membelinya menerusi internet, namun itu tidak menghalang Wan Norfamin Wan Kamarudin, 20, daripada cuba menghasilkan sendiri bertih jagung untuk dimakan.
Menurut pelajar jurusan perniagaan di sebuah kolej swasta di Lembah Klang itu, dengan menghasilkan sendiri makanan tersebut, dia mampu bereksperimentasi dengan pelbagai warna dan perisa tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak.
"Sebenarnya saya tergerak hati untuk mencuba setelah melihat rakan saya membawa bertih jagung ke kampus hasil tangan ibunya.
"Mula-mula memang agak rumit dan sampai satu tahap, bertih jagung yang saya buat bertukar hangus kerana saya masih belum pandai mengawal suhu periuk," katanya yang hanya mencampurkan dua genggam jagung kering, gula perang, mentega dan susu manis yang diletakkan di dalam periuk bagi menghasilkan bertih jagung.

Budak kampung jadi guru BI


ZALILAH menyimpan cita-cita untuk menjadi guru bahasa Inggeris sejak kecil lagi.


IMPIAN Zalilah Azmi untuk menyambung pelajaran hingga ke menara gading di England sentiasa membara, lebih-lebih lagi setiap kali selepas membaca naskkah fiksyen karya Enid Blyton.
Ketika ditemui kru Jurnal di Institut Pendidikan Guru Antarabangsa Lembah Pantai, Kuala Lumpur baru-baru ini, gadis berusia 24 tahun itu mengakui meminati bahan bacaan bahasa Inggeris sejak berumur 10 tahun.
“Saya memang suka membaca buku lebih-lebih lagi kalau jalan ceritanya berunsur penyiasatan. Membaca dapat memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dari segi tatabahasa serta perbendaharaan kata,” ujarnya tersenyum.
Ternyata, tuah gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah ini benar-benar menyebelahinya apabila dia ditawarkan untuk mengikuti pengajian berkembar peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Pengalaman
Menurut Zalilah, kursus tersebut dijalani di Institut Pendidikan Guru Antarabangsa Lembah Pantai dengan kerjasama Universiti Christ Church Cantebury, Britain.
Setelah hampir lima tahun mengutip pengalaman sebagai seorang pendidik, anak bongsu daripada tiga beradik itu dijadualkan tamat pembelajarannya pertengahan Mei ini.
Bermula daripada sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, Zalilah telah menanam azam untuk menjadi guru Bahasa Inggeris kerana ia merupakan subjek kegemarannya.
“Sebaik keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan, saya ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Kedah dan TESL di Universiti Teknologi Mara (UiTM),” katanya.
Ujarnya, kebetulan pada waktu tersebut bapanya terlantar di hospital ekoran kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan dia berbelah bahagi untuk meneruskan pengajian di UiTM, Shah Alam.
“Kata orang kalau ada rezeki itu tidak ke mana. Ketika hari kedua saya di Kolej Matrikulasi, Maybank menghubungi saya dan menawarkan biasiswa untuk membuat program berkembar tersebut,” ceritanya.
Sebulan selepas menghadiri temu duga, dia ditawarkan untuk mengikuti program tersebut selama tiga tahun.
Dia yang kini sedang menjalani latihan praktikal di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Sentosa, Kuala Lumpur berkata, impian tersebut tidak mungkin menjadi kenyataan jika dia tidak menghadiri kelas di Pusat Giat Ilmu yang khusus dianjurkan oleh Yayasan Maybank untuk anak-anak desa di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, seorang lagi pelajar, Muhammad Safwan Mohd. Fuad dari Kampung Bendang Dalam, Merbok, Kedah berkata, pusat bimbingan percuma itu menyediakan prasarana yang kondusif bagi membantu aktiviti pendidikan pelajar.

SEBAHAGIAN kanak-kanak yang menerima sumbangan menerusi Program Cahaya Kasih yang dianjurkan oleh Maybank.


Bahasa Inggeris
Dia yang ditemui di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini memberitahu, pusat itu diasaskan oleh pesara Timbalan Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM), Romli Abu Bakar atau Tok Su Romli bersama isterinya, Hasnah Saad.
Cerita anak sulung daripada tiga beradik ini, pasangan suami isteri tersebut mengajar kelas secara percuma di rumah mereka yang terletak di Kampung Bujang, Merbok sejak tahun 1996.
Menurut jejaka berusia 24 tahun ini, pusat itu bermula apabila Tok Su Romli didatangi kira-kira 10 orang budak kampung yang mahu beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI).
“Saya mula mengikuti kelas percuma BI dan Matematik dua kali seminggu ketika berusia 8 tahun.
“Sebenarnya saya budak kampung sebelah tapi arwah ayah tetap menghantar saya belajar dengan Tok Su Romli kerana tidak ada orang lain yang boleh mengajar,” kata pelajar semester akhir program TESL Institut Pendidikan Guru Kota Bharu dengan Universiti St. Mark & St. John di Plymouth, Britain itu.
Berkat kesungguhan serta usaha gigih, Safwan dan Zalilah menjadi dua anak muda pertama dari kampung mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara melalui biasiswa penuh Kementerian Pendidikan di bawah program berkembar tersebut.
“Saya tidak menyangka pula mencipta sejarah sedemikian dan berpeluang menimba ilmu di negara empat musim itu.
“Didikan Tok Su Romli secara tidak langsung membuka mata serta pemikiran anak-anak kampung yang rata-rata terdiri daripada golongan petani,” katanya.
Bertutur lanjut, Safwan berkata, pihak Maybank juga menganjurkan program From Poverty to England sempena kejayaannya dan Zazilah mencatat keputusan cemerlang dalam bidang akademik.
“Kisah kejayaan kami diambil untuk dijadikan inspirasi serta perangsang kepada pelajar lain.,” katanya yang berhasrat untuk mengajar di negeri Kedah bagi menabur bakti kepada penduduk di situ.
Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporat Maybank, Eliza Mohamed dalam satu kenyataan menjelaskan program berkenaan bertujuan meningkatkan keupayaan pendidikan anak-anak desa.


Wanita kudung tukang emas terbaik



BIARPUN mengalami kekurangan fizikal, Gabbedey tidak memerlukan peralatan khas untuk menghasilkan barang kemas.


SEORANG tukang emas terkenal di Britain telah menjual beribu-ribu barang kemas dan berjaya mencipta perhiasan rumit itu walaupun dilahirkan tanpa jari tangan.
Annette Gabbedey, 48, menghasilkan cincin, anting-anting dan gelang yang dihias dengan berlian, permata dan batu-batu berharga lain di bengkelnya di Frome, Somerset, England.
Dia tidak menggunakan peralatan khas untuk membantu kerja-kerjanya itu.
"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana orang yang mempunyai jari bekerja.
"Saya sudah terbiasa dan sama sekali tidak merasakan ada kekurangan fizikal. Sebaliknya saya berasa dihargai apabila orang sering terpesona melihat saya mereka sesuatu dengan senang.
"Mencipta barang kemas memerlukan sentuhan dengan jari tetapi ada pelanggan yang bertanya bagaimana saya berjaya melakukannya," ujarnya.
Tambahnya, semasa masih bersekolah dia telah digalakkan oleh keluarganya supaya mengatasi kekurangan fizikal tersebut. Oleh sebab itu, dia berusaha meneliti barang kemas serta cuba membuatnya di sekolah dan kolej sebelum mengikuti latihan di Hatton Garden, London.

WANITA ini menjalani latihan dengan beberapa pakar barang kemas di Hatton Garden, London.


Dia berpindah ke Somerset 24 tahun lalu dan kini diiktiraf sebagai pakar permata dan salah seorang tukang emas terbaik di Britain.
"Ia hanya persepsi anda tentang bagaimana anda melihat diri sendiri. Bagi saya, kekurangan fizikal tidak pernah menghalang saya mencapai apa yang dihajati.
"Saya sekadar mencari cara yang berbeza untuk melakukan sesuatu. Walaupun tanpa jari, saya mampu menghasilkan barang kemas, dapat merasakan segala-gala yang disentuh dan boleh membuat banyak pergerakan dengan tangan yang ada.
"Saya ada cara yang betul untuk memegang benda-benda kecil menggunakan tangan kudung saya ini," ujarnya yang suka menjawab soalan-soalan remeh daripada kanak-kanak yang bersifat ingin tahu.
Jelasnya, keinginan untuk mempelajari banyak benda baharu pada usia muda itu merupakan perkara normal apatah lagi dunia ini dihuni oleh orang yang berbeza-beza.
"Orang melihat kerja saya dan kemudiannya terpegun bagaimana saya boleh membuatnya," katanya.
Tambahnya, koleksi barang kemas paling mahal yang pernah diciptanya berharga £25,000 (RM136,779). Ia diperbuat daripada emas 18 karat berserta batu permata dan kalung berlian.
"Ramai orang menghadapi cabaran yang berbagai-bagai dan cabaran saya adalah tangan saya," ujarnya.


Merempat di rumah anak sendiri


HASNAH terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan akibat penyakit asma yang teruk. - Gambar hiasan


KATA orang tua-tua, seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak tetapi seorang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.
Mungkin itulah yang dirasai oleh Hasnah apabila dia kini terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di sebuah pusat jagaan warga tua di Selangor.
Dalam keadaan dirinya yang sudah uzur dan tidak bertenaga, dia sepatutnya mendapat layanan baik daripada anak-anak namun nasib yang menimpa wanita itu adalah sebaliknya.
Ibu kepada lima zuriat itu mengakui dia lebih senang hidup di rumah kebajikan daripada berada di bawah jagaan ahli keluarganya.
“Saya sudah patah hati untuk hidup dengan mereka. Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa. Cukuplah dengan apa yang mereka telah lakukan kepada saya,” ujarnya membuka bicara.
Mengimbau kembali peristiwa silam itu, Hasnah berkata, kehidupannya mula berubah selepas suaminya meninggal dunia akibat penyakit asma 12 tahun lepas.
“Sebaik sahaja suami meninggal, anak-anak mula berebut harta peninggalan arwah sehingga rumah pusaka di kampung turut digadai.
“Puas saya cuba halang tetapi mereka lebih pentingkan harta malah sanggup mengabaikan keperluan saya,” katanya yang terpaksa menumpang tidur di rumah anak secara bergilir-gilir.
Entah di mana silapnya, Hasnah turut diperlakukan seperti pembantu rumah oleh anak-anak kandungnya.
Kudrat tua wanita berusia 75 tahun itu terpaksa dikerah setiap hari dengan melakukan kerja-kerja rumah demi sesuap nasi.
“Saya tidak boleh duduk berehat. Kalau kain baju tidak bercuci, lauk tidak dimasak dan rumah tidak dikemas, anak serta menantu akan marah-marah. Sudahnya, saya ‘didenda’ dan terpaksa tidur dalam keadaan lapar,” ceritanya.
Meskipun demikian, Hasnah tidak berani bersuara dan tetap bersabar dengan perangai anak-anaknya kerana sedar dia hanya hidup menumpang.
Hari demi hari, tubuh wanita itu semakin kurus. Tahap kesihatannya juga semakin merosot.
Akibatnya, dia pernah terlantar di hospital selama beberapa hari akibat serangan asma.

ANAK-ANAK Hasnah bermasam muka kerana terpaksa membiayai kos perubatannya yang mahal. - Gambar hiasan


Pilu
Namun, anak-anak tidak pernah datang melawat kononnya terlalu sibuk dengan kerjaya dan urusan rumah tangga.
Terbit rasa pilu di sudut hati Hasnah apabila diperlakukan sedemikian namun perasaan itu dibuang jauh-jauh kerana kasih dan sayang terhadap anak mengatasi segala-galanya.
Bertutur lanjut, Hasnah berkata, penyakit asma yang dihidap semakin teruk sehingga dia memerlukan alat bantuan pernafasan dan bekalan oksigen hampir sepanjang masa.
Kos pembelian mesin dan peralatan yang menelan belanja lebih RM70,000 itu membuatkan anak-anak menjadi runsing kerana terpaksa membayar kos berkenaan.
“Sungguh saya tak menyangka peristiwa itu menjadi titik permulaan mereka bergaduh adik-beradik dan bermasam muka,” katanya kesal.
Di sebalik sengketa serta salah faham, mereka akhirnya sepakat untuk membeli mesin serta peralatan tersebut bagi kegunaan Hasnah.
Bagaimanapun, timbul hal lain apabila kebergantungan wanita itu terhadap mesin oksigen menyebabkan bil elektrik melambung tinggi.
Hati ibu mana tidak terguris apabila anak sendiri begitu berkira mengenai bil elektrik yang mencecah ratusan ringgit sebulan.
Lebih menyedihkan, anaknya pernah mematikan suis bekalan oksigen itu ketika dia sedang tidur dengan alasan untuk menjimatkan penggunaan elektrik.
“Pernah sekali saya terdengar pertengkaran antara anak dengan menantu sampaikan mereka mahu bercerai sebab tidak sanggup menjaga saya lagi.
“Jujur saya katakan, hati saya hancur luluh apabila mengenangkan kembali peristiwa itu,” tuturnya dalam nada sebak.
Sejak peristiwa itu, Hasnah tekad untuk membawa diri.
Selepas menerima rawatan terakhir di Hospital Sungai Buloh, Hasnah meminta pihak hospital menempatkannya di rumah kebajikan.
“Anak-anak tidak menghalang malah mereka menganggap bebanan yang ditanggung bagai sudah diangkat dari bahu mereka apabila saya membuat keputusan tersebut,” katanya.
Kini, Hasnah berasa lebih tenang walaupun terpaksa menumpang kasih di rumah kebajikan tersebut.
“Sekiranya arwah suami masih ada, mungkin nasib saya tidak seperti ini. Namun, saya bersyukur kerana layanan yang diterima jauh lebih baik daripada jagaan keluarga sendiri,” ujarnya mengakhiri perbualan.


Saturday, March 1, 2014

Qi Razali Sahkan Nellydia Senrose Masih Kekasihnya


Qi mengakui masih lagi menjalinkan hubungan dengan kekasihnya, Nellydia.
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Qi Razali menjelaskan hubungannya dengan aktres Nellydia Senrose masih kekal sebagai pasangan kekasih.
Qi atau nama sebenarnya Qushairi Razali, 37, turut menafikan mereka sudah berpisah seperti apatah lagi Nellydia, 20, dikatakan telah mengeluarkan gambar Qi dalam Instagram miliknya.
"Kami masih lagi bersama dan belum berpisah seperti yang diperkatakan ramai.
"Saya pun tidak tahu kenapa dia keluarkan gambar-gambar saya di Instagram, tetapi saya menganggap dia berbuat demikian demi menjaga hati saya yang sering menerima komen berunsur negatif apabila dia memuat naik gambar saya.
"Dan sayatidak berkecil hati pun. Asalkan dia tidak buang saya dari hati dia sudahlah," selorohnya.
Qi Razali dan Nelydia Senrose
Qi ditemui pada majlis pelancaran program terbaharu Kokolog, siaran TV9 di Sri Pentas TV3 pada pagi Jumaat.
Tambah pengacara program Art Attack itu, dia dan Nellydia turut merancang untuk mendirikan rumah tangga kira-kira setahun lagi, selepas aktres itu dapat menyelesaikan beberapa komitmen berkaitan kerjayanya.
"Kami ada merancang ke arah itu (perkahwinan) tetapi bukan dalam masa terdekat ini kerana Nellydia mempunyai beberapa komitmen yang perlu dibuat.
"Mungkin selepas setahun, baru kami tetapkan tarikh yang sesuai," ujarnya.
Sementara itu, Qi turut berharap agar isu kononnya di berasa cemburu selepas Nellydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen digandingkan dengan Sharnaaz Ahmad dalam drama Bukannya Aku Tak Cinta tidak diperbesarkan kerana perhubungan mereka masih lagi baik.
Walaupun mengakui cemburu pada awalnya, namun Qi sedar dia tidak mungkin akan menyekat kerjaya Nellydia semata-mata kerana perasaan itu.
"Rasa cemburu itu sekejap saja. Bagi saya, itu maksudnya Nellydia memang hebat dalam lakonan. Malah semua drama-drama lakonan dia menjadi.
"Takkan saya nak halang kerja yang dia minat. Macam mana cemburu sekali pun saya tetap akan sokong dia dan kalau boleh mahu melihat dia berjaya sehingga dapat anugerah," tuturnya.

Radhi (OAG) Tamatkan Zaman Duda April Depan


Hubungan cinta Radhi dan Ayu terjalin sejak empat tahun lalu.
PETALING JAYA: Penyanyi Radhi (OAG) mengesahkan bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Nur Shahira Ayu Zahiri, 20, pada April depan.
Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 37, bagaimanapun berkata, dia hanya akan membuat majlis pernikahan secara kecil-kecilan, manakala acara resepsi akan diadakan pada hujung tahun ini.
"Kami nak halalkan dahulu perhubungan ini. Selepas keluarga Ayu memberi lampu hijau membenarkan saya membuat majlis pernikahan dulu, maka saya terus membuat persiapan yang sepatutnya.
"Lagipun saya tidak mempunyai bajet yang besar untuk membuat semua majlis serentak. Maka kami rancang, majlis resepsi dibuat pada hujung tahun ini," katanya yang masih belum memilih tarikh pada bulan itu.
Tambah Radhi, dia merancang majlis pernikahan hanya akan dihadiri keluarga terdekat dan teman rapat sahaja.
Radhi
Dia juga berharap pihak media serta rakan-rakan lain tidak berkecil hati kerana tidak menjemput ke majlis akad nikahnya itu.
Namun Radhi akan menjemput semua rakan-rakan termasuk pihak media pada majlis resepsinya nanti.
Dalam pada itu, sebagai membuat persiapan yang lebih rapi, Radhi turut mengambil kursus perkahwinan semula untuk memahami lebih mendalam berkenaan hal-hal tanggungjawab sebagai seorang suami.
"Saya memang mahu menjadi bakal suami yang baik dan sebab itu saya sertai kursus itu semula. Lagipun bolehlah temankan Ayu sama,” katanya.
Dalam pada itu, Radhi berkata, selepas berkahwin nanti, Ayu akan menjadi pengurusnya memandangkan bakal isterinya itu dilihat bijak mengaturkan jadual aktiviti harian.Radhi pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif, 35, pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010.Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Muhammad Rifdhi Muslim yang kini berusia sembilan tahun.

'Suami buat saya macam mesin ATM'


NIA derita kerana terpaksa menanggung beban hutang suami.


KUALA LUMPUR - "Berkahwin dengan lelaki muda satu kesilapan besar dalam hidup saya.
"Hampir sedekad berkahwin, segala makan minum termasuk pinjaman kereta dan rumah saya bayar, pendek kata dia buat saya macam mesin ATM (mesin pengeluar wang automatik)."
Demikian keluhan seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Nia, 38, yang menceritakan kekesalannya mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki yang seolah-olah mengambil kesempatan ke atasnya kerana dirinya bergaji besar.
Cerita Nia yang sudah 16 tahun berkecimpung dalam dunia perbankan, dia mula merasakan perkahwinannya bermasalah selepas suaminya berhenti kerja ketika dia baru melahirkan anak pertama.
"Alasan dia berhenti kerana mahu cari kerja yang setaraf dengan saya namun semua misinya untuk bergaji lebih daripada saya tak kesampaian hingga saya mengandung anak ketiga," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.