Monday, July 2, 2012

Busana anggun butik Ratu


WILMA (tengah) dilantik sebagai duta jenama Ratu yang baharu.


TIDAK lama lagi Ramadan bakal membuka tirainya. Sudah menjadi kelaziman, kaum wanita akan tercari-cari busana untuk digayakan pada pagi Aidilfitri.

Bagi yang masih tercari-cari persalinan untuk meraikan Aidilfitri nanti, usah khuatir kerana butik Ratu menawarkan pelbagai koleksi busana baju kurung.

Dalam satu pertunjukan fesyen yang diadakan di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini, Ratu meraikan duta baharunya, Wilma Muhammad. Wilma turut menggayakan koleksi busana Syawal dari butik tersebut.

"Ratu menampilkan rekaan-rekaan yang sederhana untuk koleksi Syawal kali ini dengan aksesori manik.

"Kesemua koleksi akan berada di semua cawangan Ratu pada Julai ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Ratu, Nik Mohammad Yatim.

Sama ada anda menyukai baju kurung polos, bercorak bunga, corak bintik polka, corak petak-petak dan baju ala kaftan serta jubah atau dres labuh, banyak pilihan yang disediakan sesuai dengan cita rasa wanita pelbagai peringkat usia.

Baju kurung polos Ratu misalnya, mampu menarik perhatian sesiapa yang memandangnya kerana menggunakan rona terang seperti merah jambu dan biru firus selain dihiasi kerawang tembaga pada bahagian depan baju serta hiasan manik di lengan dan leher.

Hiasan renda di bawah baju dan lengan pula diletakkan pada baju kurung bercorak bagi menampakkan gaya elegan si pemakai.

Bagi mereka yang inginkan kelainan, anda boleh menyarung baju ala kaftan yang mempunyai hud kepala sebagai pelengkap gaya.

Baju kurung corak bintik polka dan petak-petak juga nampak segar dengan rona ceria membuatkan si pemakai nampak lebih muda.


KAFTAN hijau pucuk pisang dengan hud menambah seri penampilan.


Selain busana, Ratu juga menawarkan 300 koleksi tudung yang dijual pada harga antara RM30 hingga RM499.

Ratu mula beroperasi sejak tahun 2008 dengan pembukaan butik pertama di Setapak, Kuala Lumpur. Kini butik Ratu telah berkembang dan memiliki lapan buah butik termasuk di Semua House, Kuala Lumpur, Shah Alam, Bandar Baru Bangi dan Ukay Boulevard, Hulu Klang.

Sisi fesyen polka dot


GAUN koktel polka dot menyerlahkan gaya anggun Eva Mandes.


SOALAN: Saya begitu menggemari fesyen corak polka dot. Almari saya penuh dengan pakaian yang bermotif itu. Boleh cerita secara ringkas mengenai fesyen polka dot yang sangat retro dan klasik itu. - Tatiana Rhofeq, Serdang, Selangor.

JAWAPAN:

Dari era Minnie Mouse yang menggayakan ruffled skirt sehingga menjadi signaturnya hingga kepada Betty Page yang memakai bikini lantas menjadi pin-up paling popular pada zamannya, fesyen corak polka dot telah lama dipakai dan diterima oleh semua, khususnya penggemar fesyen dengan hati terbuka.

Ia adalah definisi kepada gaya flirty & innocent serta tren kewanitaan dalam fesyen. Ia juga bukan hanya untuk pakaian, tetapi termasuk juga aksesori dan hiasan rumah.

Ramai pereka fesyen antarabangsa dan tempatan gemar bermain dengan reka corak polka dot. Mereka memperbaharuinya dalam kombinasi warna indah di atas rekaan pakaian (sama ada gaun, skirt, kemeja, bikini dan juga tali leher) dan aksesori (tali pinggang, skarf dan rantai) yang cukup dramatik serta menggoda.

Pernyataan polka dot

Reka corak klasik itu kelihatan cukup segar serta ceria apabila dipadankan dengan gaya siluet dan fabrik yang lebih sofistikated.

Polka dot hebat digayakan untuk acara siang ataupun malam. Reka corak itu terdapat dalam pelbagai saiz (kecil hingga ke besar serta yang lebih abstrak) dalam warna penuh variasi. Pilihannya juga tidak terbatas serta menarik digayakan untuk aktiviti kasual ataupun formal.

Secara amnya, polka dot bersaiz suku inci memberi gambaran lebih santai, manakala yang bersaiz liang jarum kelihatan lebih formal.

Warna hitam dan putih merupakan kombinasi klasik reka corak itu yang selalunya muncul dalam pakaian untuk acara-acara formal, manakala padanan warna coklat dan putih pula dapat memberikan nafas kontemporari kepada reka corak klasik.

Berbanding dengan reka corak yang kecil, polka dot bersaiz besar cukup segar dan memikat golongan muda mudi. Rona yang menjadi pilihan mereka pula adalah warna terang dan berani. Pemakaian skarf, baju (top) dan rantai dalam reka corak itu juga membangkitkan gaya trendy dan hip & cool sealiran tren masa kini.

Antara gaya dalam reka corak polka dot yang menjadi ikutan adalah gaun digayakan dengan leggings, wrap dress, gaun potongan baby doll dan gaun dengan pemakaian tali pinggang bersaiz lebar (wide belt).


REBEN corak polka dot sesuai untuk kanak-kanak.


Tidak ketinggalan gaun tanpa lengan, baju halter, skirt kembang dan pelbagai variasi gaya yang lain.

Bagi mereka yang mahukan alternatif selain pakaian, anda boleh mendapatkan aksesori kecil ataupun kasut (footwear) dalam reka corak polka dot.

Untuk kaum lelaki pula anda boleh mendapatkan tali leher ataupun stoking dengan polka dot kecil putih berlatarkan rona biru kelasi (navy). Apa pun terpulang kepada cita rasa anda sendiri kerana yang penting anda berani mencuba.

Sememangnya rekaan polka dot adalah sebahagian daripada kegilaan memori retro dan ia menjadi tren semula kerana sama ada kita percaya atau tidak, ia membuatkan kita rasa ceria gembira apabila memakainya.

Kisah hikayat dari kaca mata Zalina

ZALINA banyak membuat kajian dan rujukan daripada cerita-cerita lama sebelum menghasilkan buku kisah hikayat Melayu ini.


PADA zaman ini cerita epik percintaan pahlawan dan srikandi Tanah Melayu sudah jarang dikisahkan buat anak-anak muda milenium baharu.

Sedangkan suatu ketika dahulu, kisah-kisah itulah yang menjadi kegemaran bukan sahaja kanak-kanak, bahkan orang dewasa.

Inilah yang dirasai penulis buku Hikayat: From The Ancient Malay Kingdoms, Zalina Abdul Aziz, 47, sehingga mendorongnya membuat keputusan untuk mengumpulkan cerita-cerita tersebut dan menghimpunkannya semula dalam sebuah buku.

Dibesarkan dengan buku-buku hikayat milik datuk dan neneknya pada zaman kanak-kanak, Zalina tidak pernah bosan kerana adanya buku-buku hikayat yang menjadi bacaan hariannya.

“Buku hikayat pertama yang saya baca ialah Puteri Hijau. Ketika itu saya masih di sekolah rendah, tetapi buku kegemaran saya berjudul Panji Semerah.

“Selepas itulah, minat terhadap buku-buku hikayat semakin mendalam dan saya mula membaca lebih banyak buku tersebut yang dikumpul dari arwah datuk di sebelah ibu saya, Jaafar Awang Pekan yang juga bekas guru besar. Antaranya Puteri Gunung Ledang dan Mayang Sari,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rawang, Selangor minggu lalu.

Zalina yang menggunakan nama pena Ninotaziz berkata, buku nukilannya itu memaparkan pelbagai kisah hikayat termasuk kisah-kisah paling popular seperti Awang Sulong Merah Muda dan Hikayat Malim Deman serta kisah puteri-puteri mitos dalam legenda wayang kulit dan makyung.

“Kisah-kisah ini turut memuatkan puisi-puisi dan prosa selain lagu-lagu rakyat lama, pantun dan gurindam yang diturunkan dari generasi ke generasi.

“Melalui buku ini, saya berharap lebih ramai pembaca termasuk orang luar dapat menghayati kisah-kisah tersebut kerana ia ditulis dalam bahasa Inggeris,” katanya yang merupakan bekas graduan sains komputer daripada Universiti Carleton, Kanada.

Penulis yang dilahirkan di Hobart, Tasmania, Australia itu memberitahu, selain kisah-kisah hikayat, keistimewaan buku Hikayat: From The Ancient Malay Kingdoms juga terletak kepada ilustrasinya yang dijelmakan oleh pelukis Malek Rahim. Lukisan pada kulit buku pula diilhamkan oleh Raduan Man.

“Buku ini mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan memandangkan saya perlu membuat banyak kajian mengenai kisah-kisah legenda dan hikayat sebelum menterjemahkan dan menyampaikannya semula dalam bahasa Inggeris,” jelasnya yang juga merupakan Pengarah Eksekutif TiE Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan yang mempromosikan bidang keusahawanan di Asia Tenggara dan negara ini.

Tambah Zalina, buku tersebut sangat bermakna bagi beliau kerana ibunya, Kamariah Jaafar juga bertindak sebagai salah seorang penyunting.

“Minat yang mendalam terhadap kisah-kisah pahlawan dan srikandi Melayu lama sudah sebati dalam keluarga saya memandangkan ia diturunkan dari generasi ke generasi.

“Saya harap melalui buku ini, lebih ramai rakyat Malaysia akan menghargai hikayat Melayu lama kerana kisah-kisah ini turut mendapat sambutan dalam kalangan kenalan saya yang berbangsa asing terutamanya dari Perancis,” ujar Zalina.

Buku Hikayat: From The Ancient Malay Kingdoms kini boleh didapati di kedai-kedai buku utama dan boleh dibeli secara dalam talian di laman web www.mybooks.com.my.

Pentas akhir cabaran Daisy

PARA peserta final mendapat tunjuk ajar dalam bengkel khas bersama Chef Liza Khamis lalu.


SERAMAI 12 finalis bagi kategori biskut dan kek Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 telah bersedia untuk menghadapi persaingan peringkat akhir yang akan berlangsung di pusat beli-belah AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur esok.

Seorang peserta kategori kek, Zurinah Sahari, 41, berkata, dia telah melakukan persiapan rapi bagi meraih markah sebanyak mungkin dalam pertandingan kali ini.

Menurut ibu kepada lima orang anak itu, dia telah mencuba memasak kek beberapa kali untuk mendapatkan hasil yang terbaik bagi memenuhi kehendak pihak juri yang menuntut kek gebu, lembap dan lembut dengan menggunakan minyak Daisy.

Berbicara lanjut mengenai persediaannya, wanita yang berasal dari Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor itu mengakui berhadapan dengan cabaran yang agak mencabar memandangkan kek yang dihasilkan itu perlu diperbuat daripada minyak Daisy berbanding mentega.

“Menghasilkan kek badam lemon dengan menggunakan minyak agak mencabar, namun selepas membuat beberapa kali saya akhirnya berjaya menghasilkan kek yang terbaik,” katanya yang sebelum itu menjuarai Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 Zon Tengah.

Juara peringkat akhir Cabaran Daisy Sehebat Chef 2012 nanti bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 serta barangan Corningware dan Corelle bernilai RM5,000.

Naib juara pula bakal meraih RM3,000 serta barangan Corningware dan Corelle bernilai RM3,000, manakala pemenang ketiga memenangi wang tunai serta barangan Corningware dan Corelle masing-masing bernilai RM2,000.

Pasangan kembar

Bagi pasangan kembar, Zurliyanti dan Zurliyani Mohd. Abdul Aziz, 36, yang masing-masing menyertai kategori kek dan biskut selepas menjuarai cabaran di Zon Utara, mereka juga telah membuat persiapan secara bersama-sama.

Zurliyanti

yang akan mempertaruhkan biskut sanggul mak dara berkata, dia bersama kembarnya berkongsi maklumat bersama-sama untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

“Kami akan memasak dan akan merasai hidangan masing-masing serta memberi komen yang jujur. Sekiranya, saya melihat dekorasinya tidak menarik, saya akan memaklumkan kepadanya supaya dia boleh membuat penambahbaikan,” ujarnya.

Menyentuh mengenai persiapannya sendiri, Zurliyani mengakui dia hanya menggunakan warna-warna yang terang untuk menunjukkan suasana Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pada itu, pelbagai program telah disusun sepanjang program tersebut berlangsung.

Antaranya, pertandingan teka minyak jagung anjuran Kosmo!, jualan promosi Daisy, promosi Corningware dan Corelle dan pertandingan menghias kek cawan.

Selain itu, para pengunjung turut berpeluang mendapatkan minyak jagung Daisy 500 gram (g) secara percuma dengan hanya menukarkan dua kepala akhbar Kosmo! di kaunter gerai yang akan dibuka dari pukul 10.30 pagi.

Selain pertandingan kek dan biskut, orang ramai berpeluang menyaksikan demonstrasi Chef Liza Zainol membuat biskut kacang Daisy dan kek gulung Daisy.

Lebih menarik lagi, orang ramai berpeluang menyaksikan persembahan artis seperti juara Mentor musim ketiga, Black, Dayang Nurfaezah dan Azlan dari kumpulan Typewriter.

Sementara itu, Chef Liza pula menasihatkan supaya semua peserta yang bakal bertanding pada peringkat akhir esok mengikut peraturan dan syarat sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak penganjur.

“Para peserta perlu membawa peralatan sendiri untuk memasak dan apa yang penting mereka perlu menyediakan menu masakan mengikut kategori masing-masing di tempat pertandingan bukannya siap dimasak dari rumah,” tegasnya.

Selain itu, beliau juga berharap panduan dan teknik yang diberikan sepanjang bengkel yang dilakukan pada Khamis lalu dapat membantu semua peserta final.

Peragaan busana tradisi Borneo

FERDINAND mengenakan pakaian tradisinya serta lengkap dengan aksesori.


FESTIVAL Enggang Borneo yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula pada 6 hingga 8 Julai ini bukan sahaja mempromosikan kebudayaan masyarakat Sabah dan Sarawak, malah pengunjung berpeluang menyaksikan peragaan pakaian tradisi yang berusia ratusan tahun.

Festival yang akan berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur itu menampilkan peragaan pakaian lebih 20 suku kaum di Sabah dan Sarawak.

Lebih unik lagi, pakaian tradisi tersebut hakikatnya sukar diperoleh kerana ia hanya disimpan oleh waris terdekat suku kaum terbabit.

Seorang peserta, Ferdinand Rayner, 27, bakal memperagakan pakaian milik datuknya yang berusia lebih 100 tahun pada pertandingan pakaian tradisi Keling yang berlangsung pada 7 Julai ini.

Anak jati Kuching, Sarawak itu sebelum ini pernah menjuarai beberapa kali pertandingan seumpamanya di Kuching. Ferdinand mengakui keaslian pakaian milik datuknya itu menjadi faktor kemenangannya.

Gaya pahlawan

"Bagi pertandingan seperti ini, keaslian pakaian amatlah penting selain memiliki aksesori unik serta kreatif menggayakan tarian," kata lelaki berketurunan Bidayuh itu ketika ditemui pada sesi latihan di Matic baru-baru ini.

Tambahnya, peserta lelaki berhadapan dengan cabaran yang besar kerana mereka perlu menggayakan diri sebagai seorang pahlawan selain menonjolkan diri menerusi tarian.

Walau bagaimanapun, kakitangan swasta itu memberitahu, dia sudah bersedia untuk melakukan persembahan dan tidak meletakkan sebarang sasaran dalam pertandingan itu.

"Saya memang suka menyertai pertandingan seperti ini. Lagipun, ia merupakan tanggungjawab kami (masyarakat Sabah dan Sarawak) untuk memperkenalkan budaya kami kepada orang luar," jelasnya.

Bagi bekas juara pertandingan Kumang Gawai 2011, Velentine Hellyiza Stephen, 22, dia mahu menggayakan pakaian milik nenek moyangnya yang juga mencecah usia lebih 100 tahun.

Bagi anak tunggal itu, penyertaannya dalam pertandingan tersebut kerana kedua-dua ibu bapanya masih menyimpan pakaian tradisi itu.

"Daripada ia tersimpan, lebih baik saya memperagakannya untuk tatapan umum, lagipun hasil tenunan pakaian seperti itu amat sukar ditemui sekarang,"katanya.

Begitupun, gadis yang tidak lekang dengan senyuman itu mengakui pertandingan itu bukan sekadar mempromosikan budaya masyarakat Borneo, malah kesemua peserta yang terlibat dalam pertandingan itu menggalas tanggungjawab besar.

Ketika ditanya mengenai persiapannya, gadis manis keturunan Iban itu memberitahu, dia berusaha mengumpul maklumat sebanyak mungkin daripada ibu, bapa dan neneknya.

"Saya banyak bertanya kepada mereka mengenai sejarah masyarakat Iban dan cara pemakaian kostum yang betul," ujarnya.

Pada festival itu, seramai 68 peserta akan mengambil bahagian dalam pertandingan Kumang Iban, Keling, Kumang Bidayuh dan Keligit serta pertandingan tarian Sabah dan Sarawak.

Juara pertandingan bakal menerima wang tunai RM1,500, trofi, tiket penerbangan ke Seoul dan sijil; tempat kedua; wang tunai RM700, trofi dan sijil manakala tempat ketiga pula RM500, trofi dan sijil.


TIGA juara pertandingan Kumang Iban yang dianjurkan tahun lalu.


Sementara itu, Penyelaras Persatuan Warisan Sarawak Kuala Lumpur dan Selangor, Paren Nyawi berkata, orang ramai yang mahu menyaksikan acara tersebut perlu membayar RM30 untuk sekali masuk.

"Ini bermakna jika pengunjung mahu menonton persembahan etnik Sabah mereka perlu membayar RM30 dan kadar tersebut tetap sama pada hari-hari seterusnya," jelasnya.

Sepanjang festival itu juga terdapat gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis makanan, pakaian dan hasil kraf tangan dari Sabah dan Sarawak.

"Gerai-gerai akan dibuka pada pukul 5 petang dan produk-produk tersebut dijual pada harga yang berpatutan,"ujarnya.

Tindakan langsang manusia kecewa


GOLONGAN yang melakukan perkara-perkara pelik mendatangkan kerosakan dan kemudaratan mungkin mengalami gangguan personaliti yang teruk. - Gambar hiasan.


DALAM konteks negara Barat, salah satu isu jenayah remaja yang sangat sukar difahami sebabnya ialah joy riding.

Joy riding ialah perlakuan remaja mencuri kereta untuk keseronokan. Setelah mencuri, mereka akan memandu kereta tersebut secara berbahaya atau dijadikan kereta lumba untuk menguji kehebatan kereta yang dicuri.

Peliknya, setelah keseronokan mereka ini dilunaskan, kereta tersebut akan dibakar dan ditinggalkan begitu sahaja.

Walaupun kita tidak pernah mendengar hobi pelik ini di negara kita, sejak akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan hobi pelik segelintir individu yang hampir sama dengan joy riding tadi.

Kita dikejutkan dengan kejadian membakar sederet motosikal di parkir di kawasan perumahan. Ia tidak mengenal siapa mangsanya dan kita juga tidak tahu puncanya.

Kita boleh mengandaikan bahawa mereka yang membakar motosikal ini mempunyai motif dendam kalau hanya sebuah motosikal yang dibakar. Bagaimanapun, kecenderungan membakar sederet motosikal yang diletakkan di tempat awam, ia tentulah perlu melibatkan ahli psikologi.

Perbuatan pelik ini juga menyukarkan kita mencari puncanya. Adakah mereka ini penagih dadah yang sedang berkhayal?

Berkemungkinan juga mereka melakukan perbuatan ini akibat kecewa dengan sesuatu perkara dan menjadikan perbuatan pelik tersebut sebagai satu aktiviti yang boleh menghilangkan kekecewaan mereka.

Dalam bidang psikologi, teori Dollard-Miller selalu digunakan. Manusia yang kecewa akan melakukan tindakan langsang (agresif) terhadap pihak lain kalau kekecewaan itu tidak dapat dipadam. Mereka beralih kepada apa sahaja tindakan yang boleh menggantikan kekecewaan mereka.

Hal ini mungkin benar. Kita selalu mendapat tahu tentang kejadian membakar motosikal yang berlaku di bandar, kawasan kediaman yang padat dengan penduduk dan mempunyai kadar jenayah yang tinggi.

Ia berlaku di kawasan perumahan rumah pangsa yang didiami oleh mereka yang mempunyai tahap ekonomi yang rendah.

Tiada keyakinan

Mereka yang melakukan perbuatan pelik ini juga besar kemungkinannya ialah orang yang mempunyai keyakinan diri yang rendah. Dengan melakukan perbuatan besar seumpama ini, mereka akan mendapatkan semula 'harga' diri mereka.

Ini yang ditunjukkan dalam satu kajian mengenai joy riding di Ireland. Di Australia, perbuatan joy riding ini biasanya dikaitkan dengan remaja yang tidak ada pekerjaan atau masyarakat Orang Asli yang tertindas.

Besar kemungkinan mereka yang melakukan kegiatan pelik ini mengalami gangguan personaliti yang teruk. Inilah terbukti dalam banyak kejadian yang melibatkan perlakuan songsang dalam masyarakat.

Bagaimanapun, ahli masyarakat besar kemungkinannya gagal melihat perbezaan antara individu yang mempunyai simptom ini. Harus diingat, individu yang mempunyai kecelaruan personaliti ini mempunyai perwatakan seperti manusia normal yang lain.

Mereka cuma berbeza dari segi cara mereka bersosial dan tingkah laku dalam masyarakat. Itupun, dalam banyak keadaan, mereka kelihatan normal sahaja. Lantaran itulah, adakalanya kita tidak mampu membezakan watak manusia ini dalam masyarakat.

Individu yang mempunyai kecelaruan ini biasanya akan cepat marah, menyendiri, tidak banyak bercakap dan cenderung terlibat dengan jenayah juvana.

Mencipta sensasi

Mereka ini juga didapati tidak membuat pertimbangan sebelum melakukan sesuatu perkara, gagal merancang dan bertindak terburu-buru.

Malah, lebih buruk apabila sebahagian daripada mereka yang mempunyai kecelaruan personaliti ini biasanya mempunyai tabiat mencipta sensasi dan suka membuat tindakan yang yang berisiko.

Mereka tidak menghiraukan undang-undang dan norma masyarakat kerana bagi mereka, melakukan sesuatu yang pelik adalah menyeronokkan.

Kajian-kajian yang pernah dilakukan sejauh ini menunjukkan bahawa adakalanya individu yang mempunyai kecelaruan personaliti sebenarnya membawa kecenderungan tersebut sejak kanak-kanak lagi.

Satu kajian yang dilakukan di New York menunjukkan bahawa majoriti remaja yang berumur antara 17 hingga 24 tahun yang dikatakan mempunyai masalah tingkah laku ini sebenarnya sudah menunjukkan tabiat pelik sejak berumur antara tiga hingga empat tahun. Begitu jugalah yang ditunjukkan dalam kajian lain di London.

Risiko individu ini untuk terus melakukan hobi yang pelik akan bertambah sekiranya mereka hidup dalam keluarga yang kacau-bilau atau tersisih dalam pendidikan.

Dalam keadaan terasing dan tersisih itu, tidak mustahil mereka melakukan sesuatu yang tidak kita jangkakan kerana ia sebahagian daripada mekanisme mereka untuk menggantikan kekecewaan yang dialami.

Dalam suasana masyarakat moden yang kian kompleks, kita dapati bahawa kita sebenarnya sedang menghadapi pelbagai gejala psikologikal manusia yang semakin pelik dan mencabar.

Dari semasa ke semasa, kita akan terus mendengar kejadian pelik yang bukan sahaja menyusahkan malah mengganggu kehidupan kita semua.

Patung Upin & Ipin di KFC

SEKUMPULAN kanak-kanak terdiri daripada ahli kelab Chicky gembira ketika bergambar dengan maskot Upin Ipin dan Chicky sewaktu pelancaran permainan model patung Upin & Ipin baru-baru ini.


KFC kini menawarkan sesuatu yang sukar ditolak oleh mana-mana kanak-kanak yang berkunjung ke restoran makanan segera itu bersama ibu bapa mereka. Ini kerana sejak Mei hingga Jun tahun ini, KFC melancarkan Patung Permainan Upin & Ipin Edisi Terhad hasil kerjasama sulung dengan syarikat yang memiliki jenama animasi terkenal, Les’ Copaque.

Menggunakan cogan kata Betul-Betul-Betul Best, patung permainan istimewa itu menjadi koleksi yang harus dimiliki oleh semua penggemar animasi Upin & Ipin.

Menurut Timbalan Presiden KFC Division, Alan Au, pengaruh dan populariti Upin & Ipin menyebabkan pihaknya tidak mahu ketinggalan menjalinkan kerjasama dengan mereka.

“Dalam kalangan kanak-kanak, pengaruh animasi Upin & Ipin begitu menonjol. Tambahan pula, KFC sentiasa mencari peluang untuk menghasilkan barangan mainan yang menarik dan hebat bagi memenuhi keperluan semasa,” ujar Alan sewaktu pelancaran model patung permainan itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebanyak empat model patung permainan Upin & Ipin ditawarkan secara bergilir-gilir pada setiap minggu. Ia boleh didapati pada harga serendah RM9.70 bagi pelanggan yang bukan ahli Kelab Chicky, manakala RM9.20 untuk ahli dengan setiap pembelian hidangan KFC Upin & Ipin.

Bagaimanapun, dengan sebarang pembelian mana-mana produk ayam, pelanggan juga berpeluang untuk membeli koleksi model patung permainan tersebut pada harga RM5.50 bagi ahli Kelab Chicky dan RM6.50 kepada pelanggan bukan ahli.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Les Copaque, Mohamad Usamah Zaid memberitahu, pihaknya sentiasa mengalu-alukan mana-mana syarikat yang mahu mengadakan kolaborasi dengan mereka menerusi jenama Upin & Ipin.

“Kami berharap kerjasama dengan KFC ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan tidak terhad sepanjang tempoh promosi sahaja,” kata Usamah ketika ditemui selepas selesai majlis pelancaran tersebut.

Ditanya tentang isu barang tiruan Upin & Ipin yang banyak berada dalam pasaran, Usamah mengakui masalah itu sukar untuk dibendung kerana berada di luar kawalan mereka.

“Apapun, pihak kami sudah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam aspek membanteras masalah cetak rompak.

“Malah, kami turut mengambil inisiatif mencipta rekaan Upin & Ipin bersifat eksklusif, di samping menjaga kualiti dalam setiap produk cenderahati yang dihasilkan,” jelas Usamah.