Monday, October 31, 2011

Serik, takut

pix_gal0
Sedia kembali ke lokasi

SEPATUTNYA nama Siti Elizad Mohd Sharifudin atau Ejad sudah sebaris dengan pelakon handalan atau bintang popular ketika ini kerana penampilannya dalam beberapa filem yang menyakinkan.
Bermula daripada filem Berlari Ke Langit diikuti dengan Gangster, Main-Main Cinta, Rock, Bilut, Lembing Awang Pulang Ke Dayang dan Cinta Yang Satu.
Malangnya, nama Ejad kini bagaikan tenggelam timbul, malahan kadang-kadang seperti sudah tidak disedari kehadirannya dalam dunia lakonan. Tambahan pula ketika ini semakin ramai bakat baru yang datang silih berganti membuatkan ruang untuk Ejad mencari peluang dalam dunia semakin sempit.

Bagi pelakon berusia 27 tahun ini, masalah keluarga dan kesihatan dirinya membuatkan dia terpaksa memperlahankan kerjaya seninya.

Misalnya, baru-baru ini dia mengalami sakit perut keterlaluan hingga memaksa menjalani pemeriksaan disusuli pembedahan membuang ketumbuhan cyst yang dikesan serentak apendiks seminggu kemudian membuatkannya serik.

Walau peristiwa memasuki bilik pembedahan sudah sebulan berlalu, manakala lukanya juga beransur pulih, baginya pengalaman itu begitu menakutkan.
“Selama ini saya hanya menyangka perut saya berdepan masalah buncit. Saya mengawal pemakanan, berbengkung apabila keluar dan waktu malam pula melakukan regim menyapu losyen pembakar lemak.

“Cuma saya perasan sejak awal tahun masalah pada bahagian itu semakin kronik. Selepas melalui pemeriksaan, doktor mengesan kewujudan cyst yang menekan buah pinggang sekali gus mencetuskan rasa perit.

“Saya terlalu takut. Selepas dikeluarkan, doktor memaklumkan selama ini rupa-rupanya saya membawa cyst seberat empat kilogram,” katanya yang kini tampak lebih langsing.

Mengakui bersyukur kerana kejadian itu secara tidak langsung mengingatkannya supaya sentiasa maklum perubahan diri, sebagai wanita tegasnya penjagaan kecantikan secara luaran saja tidak mencukupi sekiranya soal dalaman tidak diambil peduli.

“Sekarang saya tidak lagi memikirkan mahu sentiasa cantik dan langsing kerana ia akan pudar ditelan waktu namun kesihatan dalaman yang sentiasa dijaga mampu membuatkan kita cergas sepanjang masa,” katanya.

Berbicara soal kerjaya, Ejad memaklumkan banyak produksi yang beranggapan dia masih mengambil cuti sakit sedangkan hakikatnya si pemilik mata bundar itu sudah sedia beraksi di hadapan kamera.

“Kesihatan semakin pulih. Luka pembedahan cepat sembuh dan kini saya tidak sabar kembali bekerja,” ceritanya lagi.

Ada teman akrab baru

Sebelum mengambil cuti sakit, Ejad sempat menyelesaikan penggambaran telefilem Jamilah I Love You pada Julai lalu. Kini, selebriti yang mula bertapak di arena seni sejak enam tahun lalu itu semakin bersemangat untuk kembali bekerja, yang dikatakan didorong beberapa faktor terutama bosan dan sunyi.

Tanpa berselindung, aktres yang aktif di bidang peragaan itu turut mengakui barangkali kesunyian tanpa teman istimewa membuatkannya mahu melupakan lara dengan menyibukkan diri di set penggambaran daripada bersendirian di rumah.

Pemergian ibu tersayang, Nazariah Mohd Salleh, 62 pada April lalu juga menyebabkannya terasa kehilangan apatah lagi sebagai satu-satunya anak perempuan daripada lima bersaudara, Ejad sentiasa mendapat perhatian si ibu serta seisi keluarga.

“Saya kini kembali tinggal dengan ayah kerana lebih dekat dengan pusara ibu. Adik-beradik saya yang lain pula sudah berkeluarga tetapi syukur mereka tetap mengambil berat dan berharap saya bertemu jodoh dengan cepat,” tambahnya tatkala menyentuh soal cinta.

Enggan mengenang kasih lalu yang tidak kesampaian, anak jati Kuala Lumpur itu menyerahkan soal jodoh di tangan Yang Maha Kuasa namun jika dimakbulkan biarlah lelaki yang bakal menghuni hatinya mampu menjadi teman suka duka sepanjang hayat dan menghormati orang tua.

Ketika ini ruang lingkup kehidupan solonya semakin terisi sejak kehadiran si kucing parsi bernama Snowball atau nama manjanya Tobel yang disifatkan sebagai teman akrabnya.

“Tobel milik adik ipar saya, tetapi selepas melahirkan anak sulungnya yang juga anak buah kesayangan saya kira-kira enam bulan lalu, dia menyerahkan kucing itu kepada saya. Sejak itu kami tidak pernah berenggang,” katanya.

PROFIL

Nama penuh: Siti Elizad Mohd Sharifudin
Tarikh Lahir: 25 Mei 1984
Asal: Kuala Lumpur
Status: Bujang
Keluarga: Anak keempat daripada lima adik-beradik
Kerjaya: Pelakon, Pengacara, Model
Filem: Berlari Ke Langit, Gangster, Main-Main Cinta, Rock, Bilut, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Cinta Yang Satu

Jamal mahu gempur

  • Foto

    Jamal Abdillah

  • Foto

    Dari kiri; Khairi, Mohd Sabri dan Ali Razak pada majlis sidang media Satu Malam Bersama Jamal Abdillah di Atmosphere 360 di Menara Kuala Lumpur.

Jemput peminat saksikan persembahan di Atmosphere 360

RAJA pop, Jamal Abdillah, 53, sedia ‘menggempur’ peniaga yang menjual album cetak rompak Raja Pop 2 bersama-sama wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHP) dalam tempoh terdekat.
Wakilnya, Ali Razak Mestor, berkata isu penjualan cakera padat (CD) haram album baru penyanyi terbabit dikesan hanya selepas dua minggu ia berada di pasaran awal bulan ini mengundang rasa terkilan apatah lagi kos pembikinan album terbabit menggunakan tabungan sendiri.
“Peminat menghubungi Jamal dan susulan daripada maklumat berkenaan, dia sendiri meninjau beberapa lokasi yang dikatakan menjadi sarang edaran terutama di sekitar Lembah Klang.

“Sudah pasti Jamal kecewa. Album yang belum dilancarkan itu dicetak rompak pada harga yang tidak munasabah malah pihak bertanggungjawab itu juga cukup licik apabila menampilkan gambar muka album sama seperti yang asli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili penyanyi berkenaan dalam majlis sidang media persembahan Satu Malam Bersama Jamal Abdillah di Atmosphere 360 di Menara Kuala Lumpur.

Hadir sama Pengarah Urusan merangkap Pegawai Eksekutif Asian Kitchen (M) Sdn Bhd, Datuk Mohd Sabri Mohd Nadzir dan Pengarah Eksekutif Asian Kitchen (M) Sdn Bhd, Datuk Khairi Aseh.
Terdahulu Raja Pop 2 adalah kesinambungan album kompilasi Raja Pop yang dihasilkan pada 2003 dengan meraih jualan 150,000 unit dan Raja Pop 2 menampilkan rangkaian lagu era 50-an dan 60-an seperti S Effendy, Yopie Latul dan tidak terkecuali Rahim Maarof.

Antara dendangan yang dimuatkan adalah Jangan Kau Rayu, Bahagia Sementara, Lagu Rindu, Rayuan Maut, Perasaan, Tangisan Di Waktu Malam, Rundung Derita, Secupak Dua Cupak dan Manis.

Album yang menyaksikan Jamal selaku penerbit eksekutif itu juga menampilkan kolaborasi sulungnya bersama penyanyi hip hop terkenal, Malique berjudul Aku Maafkan Kamu yang berentak dance.

Sementara itu bagi persembahan yang bakal berlangsung pada 11 November ini, secara tidak langsung ia antara simbolik permulaan operasi restoran berputar di puncak menara yang kini di bawah kendalian Asian Kitchen dengan dekorasi serta nama baru, Atmosphere 360.

Bakal tampil bersama enam dendangan termasuk daripada kompilasi terbaru, Ali terlebih dulu menitipkan salam kemaafan berikutan ketiadaan penyanyi terbabit pada majlis itu dek faktor kesihatan.

Bagi Mohd Sabri, pemilihan penyanyi lagu Kekasih Awal dan Akhir itu sebagai pembuka tirai persembahan di Atmosphere 360 cukup tepat apabila beliau sentiasa dekat di hati peminat sekali pun sudah lebih tiga dekad bergelar penghibur.

Status Jamal yang berada pada kelas tersendiri juga antara faktor yang mendorong pengurusan Asian Kitchen memilihnya menyerikan malam penuh nostalgia sekali gus membawa pengunjung meneroka keistimewaan restoran berkenaan sambil menghayati dendangan.

“Hanya dalam tempoh enam minggu kerja pengubahsuaian keseluruhan dekorasi ruang dilaksanakan dan sudah pasti kita mahu pengunjung menikmati segala yang terbaik termasuk sajian serta panorama menarik dan pemilihan Jamal memang kena pada masanya,” katanya.

Mengikut perancangan, acara dijangka bermula dengan majlis makan malam seawal jam 7.30 malam disusuli kemunculan penghibur berkenaan kira-kira sejam kemudian.

Sebanyak dua meja VIP yang memuatkan 10 orang untuk pada kadar RM15,000 manakala tempat duduk lain hanya dikenakan RM1,000 namun masih berpeluang mengikuti persembahan artis pujaan mereka secara ekslusif.

“Mungkin ada yang tertanya-tanya soal harga namun jika diperhalusi ia lebih kepada dekat dengan penghibur terbabit kerana anggaran pengunjung kira-kira 150 orang saja. Sudah pasti hanya yang istimewa berpeluang makam malam bersama Jamal Abdillah pada ketinggian 282 meter,” ulasnya lagi. Keterangan lanjut atau tempahan tempat boleh diajukan ke 03-20202121.

Fragmen: Kalaulah penerbit TV mogok...

ROZITA Che Wan pernah dilaporkan mengenakan bayaran sehingga RM3,000 untuk setiap episod drama yang dibintanginya. Mungkin cerita itu sekadar desas-desus bagi menghangatkan lagi kisah sensasi pelakon ini yang kadang-kadang lebih sarat dengan gosip daripada realiti sebenarnya sebagai pelakon.

Kita tidak mengenali Rozita dengan lebih dekat, malahan jarang menonton drama lakonannya. Pernah juga terpandang beberapa lakonannya yang bagi kita tidaklah sangat istimewa. Mungkin kerana dia cantik dan popular hingga menenggelamkan tumpuan penonton untuk menilai bakat sebenar Rozita dalam lakonan.
Oleh kerana cantik dan popular itulah membuatkan dia mendapatkan ‘permintaan’ tinggi daripada stesen TV supaya kalau boleh dalam drama, nama Rozita tidak boleh tercicir daripada senarai pelakonnya.
Dan, mungkin kerana terlalu banyak tawaran diterima, Rozita juga tidak sampai hati untuk bercakap ‘tidak’, lalu dia meletakkan harga tinggi dengan harapan setiap produksi boleh berfikir dua tiga kali sebelum mengemukakan tawaran lakonan kepadanya.

Namun, ini adalah permintaan daripada sebuah stesen TV. Tak kisahlah bayaran setinggi mana pun ditetapkan oleh pelakon kalau stesen TV itu sanggup membayarnya.

Apa yang menjadi masalah kalau kos itu ditanggung oleh syarikat produksi. Kita tahu bahawa bayaran pelakon sahaja sudah merangkumi hampir 50 peratus kos penerbitan. Itu tidak termasuk kos untuk kru produksi dan pasca produksi seperti suntingan.

Biarpun setiap tahun kos penerbitan ini sentiasa meningkat, tetapi bayaran untuk drama masih tidak berubah. Malah beberapa produksi mengeluh kepada kita bahawa bayaran program TV daripada setiap stesen TV tidak meningkat. Padahal mereka minta macam-macam.
Bagi kita, kalau tidak salah Rozita meminta bayaran tinggi kerana hakikatnya memang sara hidup kita semakin meningkat.

Berbual dengan Bront Palarae ketika dalam penerbangan panjang dari Los Angeles ke Kuala Lumpur, baru-baru ini, menyatakan apa salahnya pelakon meminta bayaran tinggi.

“Kita lihat dari segi logik. Harga bayaran asas pun sudah beberapa kali naik. Kami sebagai pelakon hendak juga menikmati satu peningkatan gred atau taraf lakonan dalam kelas tersendiri.

“Seperti juga seorang pekerja. Mula dia bekerja seperti kakitangan biasa. Selepas lima atau 10 tahun, dia berhak menikmati peningkatan gaji. Takkan selama-lamanya hendak menikmati tangga gaji yang sama.

“Kakitangan kerajaan pun sudah beberapa kali naik gaji. Apa yang Rozita Che Wan cakap itu betul. Dari sudut pelakon, kami tak salah minta bayaran lebih. Itu hak kami. Cuma kami kasihan kepada syarikat produksi kerana mereka yang akan menanggung peningkatan kos produksi sedangkan stesen TV tidak menaikkan kadar bayaran sejak 20 tahun lalu,” katanya.

Mengulas kepada soal bayaran program TV ini, Presiden Penerbit Program TV Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosley mengaku persatuan sudah beberapa kali membincangkannya dengan semua stesen TV mengharapkan agar kadar bayaran dapat disemak semula.

“Sudah banyak kali kita mengemukakan perkara ini kepada stesen TV tetapi mereka (stesen TV) tidak ambil peduli. Ada desakan daripada ahli-ahli persatuan supaya kami melancarkan mogok seperti yang dibuat di Amerika atau Australia kerana majikan (stesen TV) tidak mempedulikan soal tuntutan harga program yang dibekalkan.

“Menghentikan semua penerbitan untuk tempoh tertentu atau mungkinkah kami membuat demonstrasi di Dataran Merdeka supaya permintaan kami mendapat perhatian daripada kerajaan dan stesen TV?

“Seboleh-bolehnya, kami cuba mengelak daripada melancarkan mogok dan membuat demonstrasi. Itu bukan pilihan kami, tetapi kadang-kadang apa lagi pilihan yang kami boleh buat?

“Sampai bila kami hendak bertahan kerana kos penerbitan semakin meningkat, permintaan daripada stesen TV juga semakin meningkat kerana mereka mahu mencapai rating tinggi, tetapi mereka juga (stesen TV) tidak mahu memberikan bayaran tinggi setimpal dengan usaha dan kos yang kami belanjakan untuk mereka juga,” kata Jurey.

Kita berharap isu atau kemelut ini ada penyelesaiannya. Kerajaan juga harus melihat perkara ini dengan serius. Tidakkah menerbitkan drama atau program TV adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menggalakkan perkembangan industri kandungan kreatif yang dikatakan bernilai RM6 bilion hingga RM7 bilion?

Apalah ertinya dalam jumlah nilai yang besar itu, penerbit atau pengusaha kandungan kreatif kita hanya dapat makan tulang sahaja.

Baru-baru ini, kita mengikuti delegasi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ke Pasaran Industri Kreatif sempena Festival Filem Antarabangsa Tokyo 2011 atau TIFFCOM2011. Ia turut disertai oleh beberapa syarikat penerbit animasi tempatan.

Mereka ikut rombongan FINAS kerana mahu mencari peluang untuk bekerjasama dalam penerbitan atau membina rangkaian serta membentuk rakan kongsi dengan syarikat penerbitan di Korea, China atau Jepun.

Kita memahami apa yang mereka suarakan. Bersama stesen TV luar negara, hasil usaha mereka bukan sahaja dihargai, tetapi pegangan hak terhadap harta intelek (IP) atau hak cipta tetap terpelihara. Berbeza kalau buat untuk program TV.
Selepas penat memerah segala idea, letih yang tidak habis ketika di lokasi, akhirnya semua hasil penerbitan itu bukan menjadi hak sendiri tetapi hak TV.

Apa nak buat. Umpama timun dan pisau. Menggelek atau digelek yang luka tetap timun. Kalau dalam anugerah yang membabitkan karya mereka, dan ditakdirkan drama yang diterbitkan itu menang, ia umpama cerita pak pandir. Menang sorak tapi kampung tergadai.

Tanah Kubur beri keinsafan

  • Foto

    BARISAN pelakon pada Sidang Akhbar Tanah Kubur di Rumah Malaysia Taman Rekreasi Bukit Jalil.

  • Foto

    Tanah Kubur tidak bertujuan menakutkan tetapi memberi pengajaran kepada penonton.

Oasis sambung drama bersiri yang beri banyak kesedaran kepada penonton

SUDAH tentu ramai yang tidak sabar untuk mengetahui apakah balasan diatas kejahatan seperti membunuh diri, rogol anak sendiri, penggunaan botox, mendedahkan aurat, menundukkan suami dengan sihir, tidak membayar zakat, menggunakan pelaris untuk perniagaan dan banyak lagi.
Inilah realitinya apabila mana-mana individu lebih gemar mengetahui apakah balasan daripada kejahatan yang dilakukan dan akan dibalas di dunia ketika kematian berbanding balasan kebaikannya.
Bagi umat Islam pasti ada yang pernah mendengar pelbagai kejadian pelik berlaku ketika pengurusan jenazah dilakukan. Setiap manusia tidak akan terlepas menerima balasan masing-masing diatas perbuatannya di dunia, sama ada di balas dengan kebaikan atau kesengsaraan.

Sekalipun paparan yang disiarkan menerusi televisyen di dalam bentuk drama berjudul Tanah Kubur mendatangkan ketidakselesaan kepada sesetengah penonton, namun ia diterbitkan sebagai iktibar.

Atas maklum balas yang sangat positif, drama Tanah Kubur yang pernah disiarkan di Astro Oasis akan menemui penonton untuk musim kedua bermula 4 November ini setiap Jumaat jam 7.30 malam.

Penerbit dan Pengarahnya, Rashid Sibir berkata, penerbitan drama itu bukan untuk menakutkan penonton dengan paparan sebenar kejadian yang berlaku atau mengajar penonton, tetapi sebagai pengetahuan dan iktibar berguna khusus untuk umat Islam.
“Menurut pihak Astro, mereka menerima banyak maklum balas positif untuk 13 episod musim pertama lalu dan mengesahkan antara drama yang mendapat rating tertinggi di Oasis sehingga meminta untuk disambungkan bagi musim kedua.

“Kita tidak berniat untuk menakutkan penonton mahupun mengajar penonton, kita tidak boleh memaksa penonton untuk berubah tetapi terpulang kepada penonton mengambil ia sebagai pengajaran atau sekadar hiburan saja,” katanya yang ditemui pada pelancaran drama Tanah Kubur musim kedua baru-baru ini.

Begitupun, Rashid tetap menekankan sensitiviti umat Islam diatas setiap paparan episod yang disediakan dibimbangi menyentuh mana-mana halangan di dalam ajaran Islam.

“Selepas musim pertama lalu disiarkan, kami tidak mendapat teguran daripada mana-mana Jabatan Agama Islam kerana apa yang kami cuba sampaikan berdasarkan kisah yang pernah berlaku ketika zaman Nabi serta daripada rujukan buka agama.

“Perbincangan bersama Astro dilakukan berulang kali untuk menambahkan lagi impak kepada jalan cerita kali ini,” katanya.

Jika musim pertama lalu, watak utama yang dilakonkan Nasir Bilal Khan sebagai Tok Adi sentiasa berkongsi cerita bersama isterinya lakonan Fauziah Nawi, namun kali ini watak isterinya dimatikan begitu saja.

“Bagaimanapun musim kedua ini saya tidak menampilkan watak lakonan Fauziah Nawi bagi memberi lebih impak kepada watak suaminya. Saya terpaksa mematikan watak Fauziah bukan kerana masalah komitmennya tetapi selepas berbincang dengan pihak Astro, mereka mahukan musim kedua lebih memberi impak bukan saja kepada penonton malah jalan ceritanya membabitkan Tok Adi,” katanya.

Hadir sama Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi yang mewakili Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar.

Menurut Azlin, sebagai saluran kerohanian dan ilmiah, saluran Oasis sentiasa menerbitkan drama berbeza untuk memberi kelainan dan kesannya kepada penonton.

“Menerusi drama Tanah Kubur, kami mendapat maklum balas yang baik dan menjadi drama yang mencatat rating tertinggi sepanjang saluran ini beroperasi. Atas permintaan penonton dan perbincangan bersama kami bersetuju menyambung drama ini untuk bekalan ilmu kepada semua pihak,” katanya.

Drama Tanah Kubur yang disiarkan selama 13 episod menceritakan pengalaman seorang penggali kubur, Tok Adi, lakonan Nasir Bilal Khan yang melalui pelbagai peristiwa aneh ketika menguruskan jenazah.

Selain Nasir, drama itu dilakonkan Talha Harith, Jasmin Hamid, Amyza Aznan dan Zulkefli Zain. Pada majlis pelancaran drama itu juga, Astro turut mengadakan majlis tahlil kepada arwah Zami Ismail yang pernah terbabit di dalam drama itu untuk musim pertama.

Bida jadi pengedar Asia Tenggara

pix_gal0
Naza mohon lesen dengan KIA, Peugeot perluas operasi tahun depan

KUMPULAN syarikat Naza, pengedar rasmi kereta jenama KIA dan Peugeot di Malaysia sedang berbincang dengan KIA Motors, syarikat automotif Korea Selatan dan Peugeot, pengeluar kereta Perancis, untuk mengedar kedua-dua jenama itu di beberapa negara Asia Tenggara khususnya di Thailand dan Vietnam, pada tahun depan.
Sumber industri berkata, Naza sudah membuat menghantar bidaan bagi mendapatkan lesen pengedaran di negara serantau daripada kedua-dua pengeluar berkenaan.
Katanya, jika Naza berjaya memperoleh lesen pengedaran itu kelak, ia bakal menjadi operasi pertamanya di luar negara, iaitu akan dilaksanakan menerusi francais dengan pengeluar kenderaan terbabit.

“Walaupun francais itu nanti akan menggunakan nama syarikat pengeluar dan kenderaan terbabit, tetapi secara teknikalnya ia adalah usaha sama Naza dengan pengeluar kenderaan itu yang juga rakan niaga kumpulan ini,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengerusi Kumpulan Naza, SM Nasaruddin SM Nasimuddin enggan mengulas secara terperinci ketika ditanya mengenai perkara itu, baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan peluang mengembangkan francais auto ke luar negara termasuk meneroka pasaran negara serantau.
Katanya, ketika ini semua kerjasama dengan rakan niaganya hanya untuk pengedaran di pasaran tempatan, namun begitu peluang ditawarkan rakan niaganya untuk mendapatkan lesen pengedaran di negara serantau, bakal memberikan manfaat besar kepada operasi kumpulan itu.

“Kami menetapkan hasrat mengembangkan teras perniagaan ini ke luar negara dan tumpuan kami kini adalah pasaran Asia Tenggara dan jika tiada masalah kami berharap dapat melaksanakannya seawal tahun depan.

“Kami sedang bekerjasama dengan pengeluar terbabit, namun saya tak dapat nyatakan model jenama mana serta pasaran yang bakal kami masuk tahun depan kerana proses bidaan sedang berlangsung dan kami sudah memeterai perjanjian untuk tidak mengumumkannya.

“Kerjasama dengan rakan niaga ini untuk mengembangkan operasi di luar negara dan kini kami dapat peluang melaksanakannya, terpulang sama ada kami bersedia atau tidak, dan ia tidak akan menjejaskan fokus kami pada Malaysia sebagai pasaran utama syarikat,” katanya.

Bisnes Dunia: Krisis hutang belum selesai

Jean-Claude Trichet
Jean-Claude Trichet
Pelaksanaan secara pantas, sepenuhnya amat penting: Trichet

PRESIDEN Bank Pusat Eropah, Jean-Claude Trichet, berkata krisis hutang kedaulatan zon euro belum lagi selesai.
Dalam temu bual diterbitkan akhabar Jerman, Bild am Sonntag, Trichet berkata, beliau bagaimanapun yakin kerajaan di zon euro berupaya memulihkan kembali kestabilan kewangan dengan syarat peraturan Pakatan Kestabilan kumpulan itu stabil dan dilaksanakan secara lebih agresif.
Agensi berita Reuters melaporkan, Trichet sebagai berkata, perjanjian dicapai pemimpin Kesatuan Eropah minggu lalu perlu dilaksanakan secara tepat dan pantas.
Beliau menyifatkan ia sebagai keputusan yang amat penting.

Bank Pusat Eropah, katanya, akan memantau perkembangan langkah pembaharuan kerajaan berkenaan dan tiba masanya untuk melihat ia digerakkan segera.

“Krisis belum lagi berakhir,” kata Trichet kepada akhbar Jerman itu.
“Tetapi keputusan dibuat minggu ini, saya bagaimanapun yakin kerajaan yang terbabit akan berjaya memulihkan kembali kestabilan kewangan,” katanya.

Beliau berkata, prasyarat bagi mencapai matlamat itu ialah mestilah dilaksanakan secara menyeluruh dan lebih agresif.

Trichet berkata: “Keputusan dicapai pada persidangan berkenaan memerlukan pelaksanaan yang tepat dan pantas. Pemimpin zon euro sudah ada programnya, sekarang ini mereka perlu bekerja keras.

“Pelaksanaan secara pantas dan sepenuhnya adalah amat penting,” katanya.

Trichet berkata, Bank Pusat Eropah akan memantau dan menjejak perkembangan berkenaan secara terperinci.
“Sekarang kita perlu menyaksikan sedikit tindakan diambil,” katanya.

Berhubung program kontroversi berhubung pembelian semula bon kedaulatan bertujuan membantu krisis hutang zon euro, Trichet berkata, bank pusat berkenaan telah bertindak secara bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana tekanan politik.

Pasaran kewangan melihat Bank Pusat Eropah sebagai hanya satu-satunya institusi yang berupaya memulihkan kembali keadaan.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan seorang penganalisis di Singapura berkata, walaupun Eropah mengumumkan rancangan untuk menurunkan nilai hutang Greece, memodalkan semula bank dan meningkatkan jumlah dana menyelamat, masih terdapat masalah berikutan kekurangan maklumat dan beberapa kelemahan lain.

"Kitaran penjimatan fiskal, pertumbuhan yang lemah, belanjawan berlebihan, penurunan penarafan dan penjimatan fiskal dijangka kekal. Eropah amat memerlukan dasar monetari yang lebih mudah.

"Bagaimanapun, setakat mana rancangan EU yang terbaru itu dapat membantu mengelakkan ledakan kewangan global dalam jangka masa terdekat, ia menambahkan keyakinan bahawa pertumbuhan global akan kekal positif (walaupun kecil)," kata Ketua Strategi Pelaburan AMP Capital Pelabur Ltd, Dr Shane Oliver.

Oliver bagaimanapun berasakan pertumbuhan global dapat menawarkan sedikit sokongan kepada pasaran saham yang mengunjurkan potensi kemelesetan global.

Katanya, pada Oktober menyaksikan pemulihan yang kukuh dalam pasaran saham didorong oleh gabungan data yang lebih baik dari Amerika Syarikat dan tanda bahawa Eropah menuju ke arah tindak balas "menyeluruh" ke atas krisis hutang negara.

Selepas beberapa penangguhan, beliau berkata, Eropah akhirnya mengumumkan pelbagai langkah, malangnya banyak maklumat belum dikenal pasti yang bermakna masih banyak kerja sebelum mencapai kemajuan dalam penyelesaian.

Ia katanya, adalah usaha ketiga Eropah untuk mengawal masalah hutang.

Oliver berkata, langkah terkini yang diambil melangkaui tindakan sebelumnya dan dijangka dapat membantu menangani krisis jangka masa terdekat.

Beliau berkata, Eropah telah menerima kenyataan bahawa Greece tidak mampu membayar hutang (dengan nisbah hutang kepada KDNK dijangka berkembang kepada 180 peratus daripada KDNK tahun depan) dan oleh itu beralih untuk mengurangkan lagi beban hutang Greece dan melindungi bank dan lain-lain negara dalam proses berkenaan.

Beliau bagaimanapun, menegaskan bahawa pengumuman rancangan adalah satu perkara, tetapi melaksanakannya adalah satu lagi langkah penting.

Eropah gagal mengambil tindakan sejak 18 bulan lalu, katanya, dan menyatakan keraguan beliau bahawa krisis Eropah akan berakhir.

Oliver berkata, usaha untuk mendapat pembabitan sektor swasta mungkin sukar, tanpa syarat menarik.

Jumlah satu trilion euro itu dijangka tidak mencukupi kerana hanya akan memenuhi keperluan kewangan kasar Sepanyol dan Itali untuk dua tahun akan datang, manakala Belgium dan Perancis memerlukan 1.7 trilion euro, katanya.

Ribut salji luar biasa landa timur AS

  • Foto

    PEKERJA membersihkan laluan pejalan kaki manakala hiasan labu di tepi jalan diselaputi salji di New York, semalam.

  • Foto

    ORANG ramai berlindung daripada salji yang melanda timur di AS, semalam.

Dua juta penduduk bergelap selepas bekalan elektrik terputus, penerbangan dibatalkan

BOSTON: Ribut salji yang jarang berlaku pada Oktober melanda bahagian pantai timur Amerika Syarikat menyebabkan bekalan elektrik kepada lebih dua juta penghuni rumah terputus, memaksa penerbangan dibatalkan dan meragut sekurang-kurang tiga nyawa setakat ini.
New York, New Jersey, Connecticut dan Massachusetts mengisytiharkan kecemasan akibat ribut itu.
“Kami menjangkakan salji akan terus turun di New York dan Maine. Menjelang pagi esok semua kawasan dilitupi salji,” kata pakar kaji cuaca kanan AccuWeather.com, Alan Reppert.

Jurucakap Jabatan Pengurusan Kecemasan Connecticut, Scott Devico, berkata keadaan jalan yang licin menyebabkan kemalangan maut yang meragut satu nyawa di Colchester, Connecticut.

Di Temple, Pennsylvania, seorang lelaki 84 tahun terbunuh apabila pokok dipenuhi salji tumbang di atas rumahnya, kata jurucakap Jabatan Polis Pekan Muhlenberg.

Selain itu, seorang pemuda 20 tahun maut terkena renjatan elektrik apabila terpijak landasan kereta api elektrik sebaik keluar dari kenderaannya, kata jurucakap polis Springfield.
Salji turun dari tengah Pennsylvania ke Massachusetts selepas menyelimuti sebahagian Virginia, Virginia Barat dan Maryland awal pagi semalam, kata AccuWeather.com.

Salji tidak pernah berlaku pada Oktober, sementara ribut itu mencatatkan rekod dalam penurunan salji secara keseluruhan.

AccuWeather.com melaporkan ribut salji yang tidak diduga itu memecahkan rekod yang tidak pernah berlaku sejak 1925 untuk Taman Pusat New York.

Bandaraya New York dijangka dilitupi salji dengan ketebalan 7.5 hingga 15 sentimeter sebelum ribut menjadi lemah malam Sabtu, kata Reppert.

Salji turut turun di ibu negara Amerika, Washington.

Bekalan elektrik terputus disebabkan salji, ais dan pokok tumbang dilaporkan dari pertengahan Atlantik ke New England, menyebabkan jutaan penduduk dalam kegelapan.

Penangguhan penerbangan dilaporkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Philadelphia dan lapangan terbang sekitar New York. Sekurang-kurang 1,000 penerbangan dibatalkan dan Lapangan Terbang Teterboro di New Jersey ditutup sementara, kata perkhidmatan pengesanan penerbangan FlightAware.com.

Di Connecticut, Gabenor Dannel Malloy mengarahkan kenderaan bukan untuk tujuan kecemasan tidak menggunakan jalan raya di Wilbur Cross dan Merritt Parkways berikutan keadaan pemanduan yang berbahaya.

“Ini adalah ribut kuat bulan ini. Kita jarang melihat ribut yang kuat seumpama ini,” kata ahli kaji cuaca kanan, AccuWeather.com, Paul Walker.

Di Bandaraya New York, salji dan keadaan sejuk menguji penunjuk perasaan yang berkampung di Wall Street membantah mengenai ketidaksamaan ekonomi negara itu.

Bertahan dengan angin kuat, penunjuk perasaan berkelubung dalam khemah dari salji di taman di kawasan kewangan di Manhattan di mana pergerakan itu kali pertama membina khemah mereka enam minggu lalu, mencetuskan penempatan serupa di taman perbandaran di seluruh Amerika.