Tuesday, July 4, 2017

Syafinaz Yunus: Seronok beraya di bilik berita




Syafinaz Yunus
Syafinaz Yunus
    BIAR dilihat glamor, kerjaya sebagai pembaca berita turut menuntut pengorbanan. Pembaca berita juga merupakan antara golongan yang terpaksa bekerja ketika menyambut hari lebaran.
    Berkongsi pengalaman, Syafinaz Yunus berkata, bekerja di hari raya tetap meninggalkan kenangan tersendiri.
    “Biasanya, setiap bilik berita akan amalkan sistem giliran. Jadi, setiap pembaca berita akan merasai dan menikmati pengalaman bekerja di hari raya. Alhamdulillah, tahun ini giliran saya untuk bercuti sakan bersama keluarga tercinta,” katanya pada Media Hiburan.
    Mengulas lanjut, katanya, walaupun terpaksa bekerja pada hari raya, kesempatan merayakan Aidilfitri tidak dilepaskan begitu sahaja.
    “Sebenarnya, raya di bilik berita pun best juga. Untuk hiburkan hati, ada yang buat fashion show sebab semua yang bekerja akan pakai baju raya masing-masing (ketawa).
    “Kadang-kadang, ada yang bawa bekalan makanan seperti ketupat dan rendang, jadi sama-sama berkongsinya,” katanya sambil tertawa.
    Syafinaz yang berkhidmat di TV AlHijrah berkata, perasaan sayu dan sedih hanya dialami ketika diminta bertugas buat pertama kalinya, kira-kira 11 tahun lalu.
    “Masa itu saya bertugas di NTV7 dan itu adalah pengalaman pertama saya bekerja di hari raya. Saya bergerak dari Melaka dan saya menangis sepanjang perjalanan ke tempat kerja.
    “Tapi, bila dah berkali-kali bekerja, saya pun dah lali. Kerja di pagi raya adalah satu perkara biasa,” katanya.
    Bagaimanapun, selebriti berusia 32 tahun ini bertuah apabila suami, Muhammad Salehuddin Mohd Nor, 37, dan anak tunggalnya, Raikhan Wildan, 6, memahami akan tuntutan tugasnya itu.
    “Saya berasal dari Jasin, Melaka, manakala suami pula orang Kota, Negeri Sembilan. Biasanya, kalau saya bertugas di hari raya, saya akan pulang ke kampung halaman sejurus selesai membaca berita pada malam raya.
    “Esoknya, saya akan bertolak dari kampung halaman ke tempat kerja. Sempat lagilah solat hari raya dan bermaaf-maafan. Mujurlah, kampung masing-masing pun dekat saja,” katanya sambil tertawa.

    Kerjaya minat utama

    Mengimbas kembali, Syafinaz tidak berniat langsung untuk bergelar pembaca berita. Malah, anak bongsu daripada empat beradik ini hampir sahaja meneruskan pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Putra Malaysia (UPM).
    “Bakat saya dilihat ibu saudara. Dia kemudian pujuk ibu supaya saya melanjutkan pengajian di Akademi TV3 dalam bidang penyiaran,” katanya.
    Merasai keseronokan, Syafinaz mengakui belum mempunyai minat mendalam terhadap bidang penyiaran.
    “Keadaan itu berlanjutan sehinggalah saya menjalani latihan amali di RTM. Namun, situasi itu segera berubah apabila saya sudah mula bekerja di NTV7. Saya mulai menikmati kerjaya sebagai wartawan penyiaran dan turun padang melengkapkan tugasan,” katanya.
    Daripada wartawan penyiaran, kerjaya Syafinaz berkembang kepada pembaca berita dan editor berita di TV AlHijrah.
    "Alhamdulillah, saya dapat kerja yang memang jadi minat saya. Saya percaya apabila kita buat dengan minat yang mendalam, kita pasti akan melakukan dengan bersungguh-sungguh,” katanya yang tidak gentar jika dihantar buat liputan di negara bergolak seperti Gaza, Palestin, Syria dan Mesir.
    Bahkan, katanya, sebagai pembaca berita perlu hasilkan berita seterusnya menyalurkan informasi yang tepat buat penonton.
    “Muncul di televisyen hanya bonus. Apa yang penting, maklumat berita disampaikan,” katanya yang juga pengacara segmen Analisis.

    Lebih 70,000 hadir rumah terbuka MB




    asdf
    Lebih 70,000 tetamu membanjiri Rumah Terbuka Menteri Besar Negeri Sembilan di kediaman bondanya dekat Rantau di sini, hari ini.
      SEREMBAN - Lebih 70,000 tetamu membanjiri Rumah Terbuka Menteri Besar Negeri Sembilan di kediaman bondanya dekat Rantau di sini, hari ini.
      Majlis yang bermula seawal jam 10 pagi sehingga 5 petang itu dihadiri pelbagai kaum dan masyarakat yang datang dari seluruh pelusuk Negeri Sembilan.
      Tururt berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar itu,  Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan isteri baginda, Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.
      Turut hadir memeriahkan majlis bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Timbalan Menteri Pendidikan,Datuk Chong Sin Woon, Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dan Pengerusi Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk  Mohamad Haslah Mohamad Amin.

      Tinggalan kubu Jepun masih utuh




      Tinggalan kubu Jepun masih utuh
      Abd Kudus menunjukkan binaan yang dipercayai merupakan kubu menyimpan senjata tentera Jepun, semasa Perang Dunia Kedua di Kampung Seri Gemas.
        GEMAS – Penduduk di Kampung Seri Gemas boleh berbangga apabila perkampungan berkenaan mempunyai tinggalan sejarah yang masih utuh iaitu binaan dipercayai merupakan tugu Jepun.
        Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Seri Gemas, Abd Kudus Maamin berkata, cerita mengenai binaan sejarah iaitu kubu tentera Jepun yang menyimpan senjata perang diwarisi daripada penduduk asal, yang kebanyakannya sudah pun meninggal dunia.
        Menurutnya, dia mengetahui kewujudan kubu berkenaan pada 1984 dan sejarah sebenar mengenai kubu itu, bagaimanapun tidak pernah didokumentasikan ataupun dibuat kajian oleh mana-mana institusi berkaitan.
        “Binaan ini terdapat di tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Dulunya ada lubang bagi menyimpan senjata. Tapi sekarang lubangnya sudah terkambus oleh tanah.
        “Bagaimanapun, binaan batu-batanya masih utuh dan masih menarik perhatian untuk dijadikan sebahagian daripada bahan sejarah di negeri ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Seri Gemas.
        Abd Kudus berkata, kemungkinan kubu itu dibina susulan lokasi penempatan berkenaan terletak di tepi jalan utama Tampin - Gemas dan juga laluan kereta api sesuai sebagai kubu pertahanan.
        Menurutnya, kawasan Gemas merupakan antara kawasan pertempuran semasa Perang Dunia Kedua antara tentera Jepun dan juga tentera British.
        “Jadi memang banyak nilai sejarahnya di kawasan ini. Kawasan ini juga merupakan antara binaan bersejarah yang telah dilawati  Exco Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Abd Razak Ab Said yang juga Adun Gemas.
        “Kita harap agar sejarah mengenai kubu ini akan dapat dibuat dan didokumentasikan untuk dikongsi kepada generasi akan datang," katanya.

        Daripada terpaksa kepada cinta




        Daripada terpaksa kepada cinta
        Salah seekor induk ikan kelah yang dipelihara Mohd Azerri.
          HULU TERENGGANU - Menyebut mengenai ikan kelah atau Mahseer, pastinya ramai dalam kalangan kita bukan sekadar membayangkan harganya yang begitu mahal tetapi kesukaran pemancing menjinakkannya kerana ia begitu liar dan sensitif.
          Malah, menjadi kepuasan tersendiri bagi kaki-kaki pancing apabila mampu menaikkan ikan yang digelar raja ikan air tawar itu kerana memperoleh kelah bukanlah kerja mudah sebaliknya turut menuntut pengalaman serta kemahiran memancing.
          Namun, bagi seorang pemuda di sini biarpun menyedari hakikat tersebut dan mengakui menternak ikan kelah bukannya semudah spesies ikan air tawar lain tetapi ia tidak menjadi penghalang baginya untuk membiak ikan dalam keluarga Cyprinidae itu.
          Berkongsi cerita, Mohd Azerri Mohd Radzali, 37, berkata, dia mula serius dalam bidang pembiakan ikan kelah itu sejak Disember tahun lalu selepas mendapat tunjuk ajar Pejabat Perikanan Daerah dan Pusat Penyelidikan Ikan Air Tawar Glami Lemi, Jelebu, Negeri Sembilan.
          “Memang ayah dah ternak ikan ini 10 tahun lalu, tapi dunia pembiakan kelah ini agak asing bagi saya sebab sebelum ini dah menetap di Melaka usahakan kedai jual dan baiki komputer kat sana.
          "Pertengahan tahun lalu saya ambil keputusan untuk balik kampung jaga perniagaan ikan kelah ini sebab ayah makin uzur," katanya.
          Menurutnya, ternakan yang ada pada ketika itu sekitar 600 ekor dan ada yang telah diserang penyakit.
          “Walaupun niat saya untuk ambil alih perusahaan ternakan ini tetapi hati ketika itu memberontak sebab tak minat bidang perikanan air tawar. Banyak masa dihabiskan untuk berkebun kerana saya lebih memilih tanam pisang, tebu serta sayur.
          “Bagi mengurangkan risiko kerugian pada waktu itu, saya terpaksa jual sebahagian ikan sedia ada dengan harga RM450 sekilogram bagi yang bersaiz di bawah satu kilogram dan RM650 bagi ikan lebih satu hingga dua kilogram,” katanya.

          Pembiakan kelah berjaya

          Tambah Mohd Azerri, manakala ikan-ikan yang mati dijual dengan harga RM150 hingga RM250 sekilogram kaedah dan cara pemasaran diguna pakai ayahnya tidak menentu kerana hanya membeli daripada kaki pancing sebelum menjualnya semula.
          Katanya, tidak mahu melihat usaha dijalankan ayahnya terkubur begitu sahaja dia memujuk hati untuk menyukai dunia ternakan ikan air tawar lalu kemudiannya menuntut ilmu berkaitan ternakan tersebut termasuklah sehingga ke Negeri Sembilan.
          “Minat dan kecintaan saya pada kelah timbul secara semula jadi apabila adanya ilmu menternak ikan ini.
          Mohd Azerri (kanan) kini ingin terus melangkah ke hadapan dalam bidang pembiakan serta ternakan ikan kelah diusahakannya di Kampung Lubuk Periuk.
          "Malah, selepas berjumpa pakar penyelidik ikan kelah daripada Jabatan Perikanan, landskap telah berubah iaitu dari beli dan jual kepada biak dan jual," katanya.
          Menurutnya, cubaan kali pertama membiakkan ikan kelah sekitar Disember tahun lalu tidak membuahkan hasil.
          "Dengan sokongan pihak berkaitan saya tak putus asa. Alhamdulillah, usaha kali kedua April baru-baru in berjaya membiak lebih 1,000 ekor anak ikan kelah.
          "Sekali gus menjadikan perusahaan yang dijalankan ini satu-satunya Pusat Pembiakan Kelah dan Ikan Air Tawar di negeri ini,” ujarnya.
          Katanya lagi yang kini mempunyai 50 induk ikan kelah, pencapaian itu pastinya memberikan kepuasan serta kejayaan tersendiri baginya dan menjadi suntikan semangat untuk terus melangkah ke hadapan dalam dunia membiak serta menjual ikan kelah.
          Mohd Azerri menambah, harga pasaran ikan kelah iaitu daripada serendah RM5 hingga RM1,300 seekor dengan kumpulan pembeli terdiri daripada peminat ikan kelah, penternak dan kedai-kedai ikan hiasan.

          Spesies ikan kelah sensitif

          Menyentuh serba sedikit perihal raja ikan air tawar itu, dia berkata, kelah spesies yang sensitif iaitu ia tidak boleh dicucuk untuk melihat kematangan telur ketika proses pembenihannya dan dalam setahun hanya tiga kali pembenihan boleh dilakukan.
          “Pembenihan dilakukan pada April, Ogos dan Disember.
          Biarpun kelah spesies ikan yang agak liar namun di lubuk kelah Sungai Petang, Tasik Kenyir ini orang ramai berpeluang bermain dan memberi makan. Gambar dirakam lensa Sinar Harian sewaktu Ekspedisi Kelulut Kenyir 2016.
          Sewaktu proses ini dilakukan ia memerlukan kemahiran serta pengalaman kerana sekiranya tersilap langkah, telur ikan yang ingin disenyawakan tidak menjadi.
          “Sebagai contoh, jika ingin dilakukan pembenihan pada April, penternak perlu mengetahui tahap kesuburan iaitu sama ada minggu pertama, kedua, ketiga atau keempat untuk dilakukan persenyawaan pada bulan itu,” katanya.

          Lelaki dikesan curi wang peti besi masjid




          Lelaki dikesan curi wang peti besi masjid
          Suspek dikesan sedang mencuri wang dalam peti besi masjid menerusi rakaman CCTV.
            KUALA TERENGGANU – Seorang pencuri yang berpakaian kemas dan berkopiah mengaburi mata orang ramai apabila melarikan kesemua wang dalam peti besi di sebuah masjid di sini.
            Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11 pagi di Masjid Al-Furqan, Chendering, di sini, kelmarin.
            Seorang petugas masjid, Muhammad Zahir Hanaphi yang sedang melakukan kerja-kerja rutin di masjid itu terkejut setelah menyedari pintu besi yang terletak di kawasan ruang solat Muslimah terbuka.
            “Saya kemudian membuat pemeriksaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang pemuda berpakaian kemeja biru, berseluar hitam dan berkopiah masuk ke masjid,” katanya, di sini.
            Menurutnya, melalui rakanan CCTV, suspek dilihat cuba mengambil duit gunakan lidi namun selepas usahanya tidak berhasil, suspek kemudian mengambil playar untuk membuka mangga besi sebelum melarikan kesemua wang yang dipindahkan terlebih dahulu ke dalam beg plastik berwarna oren.
            Imam Masjid Al-Furqan, Suhaimi Taib pula berkata, kecurian di masjid tersebut bukan kali pertama berlaku dan pernah beberapa kali terjadi sebelum ini.
            Jelasnya, kecurian kali ini dianggarkan melibatkan wang tunai lebih RM3,000 selain kerosakan pada peti besi.
            Beliau berkata, kejadian kecurian sebelumnya telah menyebabkan pihaknya meletakkan CCTV bagi tujuan keselamatan namun tidak menolak untuk meningkatkan lagi sistem keselamatan bagi mengelak kejadian sama berulang.
            “Laporan polis sudah dibuat dan kita harap polis dapat ambil tindakan. Bagi keselamatan masjid, kita mungkin memperbaiki lagi sistem sekuriti pada masa akan datang kerana CCTV yang ada tidak cukup tetapi alat tersebut tetap bantu kita mengenal pencuri terbabit,” katanya.

            Anak warisi raya sederhana Mawi




            Mawi
            Mawi
              SEDERHANA.” Begitulah kata penyanyi dan pelakon, Mawi saat ditanyakan tentang Aidilfitri yang dirainya bersama keluarga pada tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya.
              Baik dari segi pakaian, juadah raya dan persiapan lainnya, kata Mawi, dia dan isterinya, Ekin, hanya menyediakan sekadar yang perlu. Cuma kalau lebih sedikit pun, hanya untuk keperluan raya untuk satu-satunya cahaya mata mereka, Cahaya Malaika, 5.
              “Sebenarnya memang dari dulu saya seorang yang cukup sederhana dan tidak begitu suka nak beria-beria sangat buat persiapan raya sampai melakukan pembaziran di sana sini.
              “Sejak mengusahakan butik sendiri beberapa tahun lalu, persiapan saya lagi senang kerana saya dan isteri akan gayakan koleksi baju raya dari butik kami sendiri sahaja, pakai apa yang ada.
              “Kami hanya akan beli baju raya untuk anak sahaja, tapi itu pun anak jenis yang tidak beria dengan benda baru, malah bukan jenis yang meminta-minta.
              “Walaupun dah beli yang baru, dia tetap suka dan selesa pakai baju atau kasut yang telah sedia ada tanpa banyak hal dan sikap itu mungkin dia warisi dari saya yang memang sukakan kesederhanaan dalam apa pun yang saya lakukan,” katanya yang merupakan pemilik butik Unequein by Mawi & Ekin.
              Semenjak hidup berkeluarga, apatah lagi bergelar bapa, Mawi mengakui suasana rayanya semakin berbeza daripada apa yang pernah dilaluinya ketika zaman bujang.
              “Selepas ada anak, saya dapat rasakan raya saya dan isteri bertambah seronok dan meriah dan suasana beraya zaman kecil-kecil dulu kembali ada dalam fikiran.
              “Bila tengok anak teruja dan tak sabar nak tunggu raya, saya selalu nampak diri saya dalam dirinya di mana apa sahaja keletah saya ketika kecil ketika nak sambut raya seperti berulang pula pada anak.
              “Bila tengok keletah anak setiap kali raya, saya pasti akan terimbau kenangan lalu ketika zaman kanak-kanak dulu di mana kemeriahan raya kami sangat luar biasa dengan pelbagai aktiviti yang diadakan bersama penduduk kampung,” katanya.
              Paling tidak dapat dilupakan, kata Mawi, dia dan rakan-rakan sekampung tidak pernah ketinggalan menyertai aktiviti Baraan iaitu kunjungan yang dilakukan dari rumah ke rumah sempena Aidilfitri.
              “Sejak dari kecil sehinggalah dah berkeluarga sekarang, saya tidak pernah ketinggalan untuk menyertai aktiviti ini kerana ia telah menjadi tradisi yang sangat menyeronokkan di kampung kami.
              “Mungkin di tempat lain aktiviti ini sudah tidak diamalkan lagi, namun tidak di kampung kami yang masih kuat lagi mempertahankan tradisi yang dapat mengelakkan silaturahim antara semasa kami ini.
              “Selalunya aktiviti ini akan bermula selepas sembahyang raya, di mana kami secara berkumpulan akan mengunjungi setiap rumah yang ada sehinggalah sampai waktu Zuhur dan kemudiannya akan disambung oleh golongan wanita pada sebelah petangnya,” ujarnya.
              Setiap tahun Mawi dan isteri akan pulang beraya di Johor dan tidak pernah berdepan dengan masalah giliran raya kerana masing-masing berasal dari negeri yang sama.
              “Alhamdulillah, syukur kerana saya dan isteri berasal dari Johor dan tidak perlu bergaduh untuk menentukan giliran beraya setiap tahun.
              “Kampung masing-masing dekat, jadi tidak kisah nak beraya di mana-mana dulu kerana jarak kampung saya, Kulai dan kampung isteri di Johor Bahru dekat saya.
              “Sepanjang cuti raya, kami selalunya akan berulang-alik sahaja antara Kulai dan Johor Bahru untuk beraya di rumah di rumah sanak saudara kedua belah pihak,” ujar Mawi yang mengakui sering terkenangkan arwah bapanya menjelang Aidilfitri.

              10 rakyat Malaysia ditahan cuba seludup emas




              10 rakyat Malaysia ditahan cuba seludup emas
              Tangkapan dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, Osaka April lalu selepas pihak kastam menjumpai jongkong emas melebihi 100 kilogram (kg) dianggarkan bernilai lebih 500 juta yeb (RM19 juta).
                SHAH ALAM - Seramai 10 rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Jepun atas cubaan menyeludup jongkong emas ke negara itu.
                Tangkapan dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, Osaka April lalu selepas pihak kastam menjumpai jongkong emas melebihi 100 kilogram (kg) dianggarkan bernilai lebih 500 juta yeb (RM19 juta) itu ditemui dalam beg pakaian kesemua mereka.
                Memetik laporan berita Jepun Today, kesemua yang ditahan tidak mengikut prosedur iaitu mengisytiharkan emas yang dibawa.
                Ia jelas melanggar undang-undang kastam dan cukai penggunaan Jepun.
                Dalam pada itu, kes penyeludupan emas di Jepun semakin meningkat sejak negara itu menaikkan cukai penggunaan daripada lima peratus kepada lapan peratus pada 2014.
                Menurut pegawai penyiasat Jepun, pihaknya tidak menolak banyak kes penyeludupan emas yang dilaporkan berlaku membabitkan penumpang penerbangan dari Hong Kong dan Korea Utara.
                "Kemungkinan dalang penyeludupan meneroka 'laluan' baru termasuk dari Malaysia," lapor portal berkenaan.
                Pada Jun lalu serana lima wanita termasuk empat pemegang pasport Korea Selatan ditahan di Lapangan Terbang Chubu berhampiran Nagoya kerana cuba menyeludup 30kg jongkong emas.
                Seorang daripada wanita terbabit mengaku menerima upah 10,000 yen (RM382) untuk setiap 1kg emas yang berjaya diseludup ke Jepun dan menjadikan kegiatan itu sebagai punca pendapatan sampingan.

                Monday, May 29, 2017

                Bersaing Slot Drama, Apa Kata Ayda Jebat?



                Ayda Jebat dan Redza Rosli dalam drama Ku Kirim Cinta, manakala Fattah Amin dan Fazura drama Hero Seorang Cinderella.
                PETALING JAYA: Pelakon Ayda Jebat berkata promosi Hero Seorang Cinderella  lakonan Fattah Amin dan Fazura yang berterusan menjadikan ia diperkatakan masyarakat berbanding drama lakonannya Ku Kirim Cinta.
                Bagaimanapun, Ayda, 25, berkata, dia tidak berasa tertekan kerana drama lakonannya bersama aktor Redza Rosli turut mendapat perhatian dan trending di Twitter pada minggu pertama tayangan.
                "Bagi saya peminat yang menonton drama Ku Kirim Cinta dan Hero Seorang Cinderella adalah ketegori yang berbeza. Biarpun kurang promosi tapi pihak TV3 menyedari slot Akasia sudah ada peminat tersendiri.
                "Mereka tahu tanpa promo yang berlebihan ia boleh berjaya," ujarnya.
                Ayda diminta mengulas tentang drama lakonannya dengan Redza Rosli  itu terpaksa bersaing dengan drama adaptasi novel Hero Seorang Cinderella lakonan Fattah Amin dan Fazura yang di siarkan di Astro Ria.
                Ayda Jebat dan Redza Rosli gandingan Ku Kirim Cinta.
                Drama Ku Kirim Cinta bersiaran setiap Isnin hingga Khamis pukul 7 petang di slot Akasia, TV3.
                Sementara itu, Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat ini berkata, sepanjang minggu pertama tayangan, dia menerima reaksi positif peminat.
                "Alhamdulillah, saya banyak dapat respons positif daripada penonton, boleh dikatakan tiada ramai yang komen negatif semua baik-baik.
                "Mungkin kerana drama ini bukan drama adaptasi yang mana orang boleh tahu jalan cerita menerusi novel dan membandingkan karakter dengan watak yang dibawa oleh pelakon.
                Dalam perkembangan lain, Ayda berkata, dia baharu sahaja selesai rakaman lagu untuk penyokong Sukan Sea 2017 berjudul Gemuruh Suara.
                "Saya diminta untuk menyanyikan lagu Gemuruh Suara untuk Sukan Sea 2017 akan datang, ia baru selesai proses rakaman," ujarnya.

                Terima Gangguan, Nabil Tukar Nombor Telefon



                Nabil Ahmad.
                SERING menerima panggilan dan gangguan daripada individu tidak dikenali, Nabil Ahmad akhirnya mengambil keputusan untuk menukar nombor telefon peribadinya.
                Menurut Nabil, nombor telefonnya serta beberapa rakan artis lain telah disebarkan oleh pihak tertentu di internet sehingga membuatkan dia menerima pelbagai gangguan.
                "Saya syak nombor telefon saya sudah diketahui umum dan ia disebarkan oleh pihak tertentu di internet sejak beberapa bulan lalu. 
                "Saya sayang untuk tukar kerana ia adalah nombor telefon untuk kerja dan semua klien saya tahu nombor ini. Dalam pada itu, saya juga tidak tahan sering menerima panggilan daripada kanak-kanak. 
                "Mereka juga masukkan saya dalam grup WhatsApp tertentu, bukan saya sahaja, ada beberapa artis lain termasuk Lisa Surihani juga mengalami perkara sama," ujarnya kepada mStar Online
                Nabil ditemui pada majlis Sembang Santai Jakel Barulah Raya 2017 yang diadakan di Jakel Mall, di sini. 
                Dalam pada itu, Nabil berkata, dia sudah memaklumkan nombor telefon baharunya kepada semua klien dan rakan media secara peribadi. 
                "Saya sudah hantar mesej kepada semua kenalan saya dan beritahu tentang nombor yang baru ini. Saya harap kerja saya berjalan lancar. 
                "Kalau tidak tukar macam-macam gangguan datang terutamanya pada waktu malam," ujarnya.

                Sekarang Pun Masih Sakit



                Aaron Aziz.
                KUALA LUMPUR: Kecederaan sendi tengkuk Aaron Aziz yang dialaminya sejak empat tahun lalu masih belum pulih dan ia terus mengganggu kehidupan pelakon kacak ini.
                Selain kerap dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan suntikan, kedatangan Ramadan kali ini terus memaksa Aaron,  41, untuk berehat.
                "Sekarang masih sakit, doktor suruh buat pembedahan untuk betulkan sendi leher tapi saya tidak mahu. Buat masa ini saya berehat dan mengelakkan kerja-kerja berat," ujarnya.
                Aaron ditemui pada majlis Sembang Santai Jakel Barulah Raya 2017, di Jakel Mall, di sini pada Ahad.
                Pelakon Ombak Rindu ini mengalami penyakit berkenaan selepas terbabit dalam kemalangan ketika penggambaran Fear Factor Malaysia pada 2013 di Afrika Selatan.
                mStar Default Image
                Fattah Amin
                Dia juga kerap dimasukkan ke hospital dan menerima suntikan steroid bagi mengurangkan kesakitan itu.
                Ujar Aaron, dia masih dilarang untuk melakukan apa-apa kerja berat kerana bimbang penyakit itu terus menyerangnya.
                Dalam perkembangan lain ditanya tentang Fattah Amin yang dilihat berjaya mencantas popularitinya dalam melakonkan adegan romantik Aaron berkata, ia adalah rezeki pemuda tersebut.
                Katanya, Fattah mempunyai bakat dan pakej tersendiri untuk menjadi bintang.
                "Ini adalah rezeki dia dan tiada siapa pun boleh mempertikaikannya. Bagi saya jika orang kata dia tidak bagus dalam lakonan dia boleh belajar lagi.
                "Susah untuk mengukur potensi seseorang pelakon kerana ada yang boleh berlakon romantik tapi tidak boleh buat aksi. Ia sesuatu yang subjektif," ujarnya.

                Mira Filzah Tolak Tawaran Kerana Ibu



                Mira Filzah terlibat dengan program amal.
                TAHUN kedua bergelar pelakon, Mira Filzah memberitahu dia tidak mengambil sebarang tawaran drama atas permintaan ibunya yang mahu dia berbuka puasa bersama keluarga.
                Pelakon Meh Sandar Pada Aku ini berkata, jadualnya hanya terlibat dengan program-program amal sepanjang Ramadan ini.
                "Tahun lepas saya berpuasa sebulan di set penggambaran di Terengganu dan tidak sempat berbuka dengan keluarga, ia juga membuatkan ibu saya bising sikit.
                "Jadi tahun ini, awal-awal lagi ibu sudah buat permintaan agar saya tidak ambil sebarang tawaran drama. Namun begitu, jadual saya sibuk dengan aktiviti amal yang dianjurkan pihak TV3," ujarnya.
                Mira Filzah
                Bagaimanapun, Mira berkata, dia hanya menyelesaikan baki penggambaran drama Jula Juli Bintang Cinta Raya pada minggu pertama Ramadan.
                Dalam pada itu, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 24, berkata, dia tidak berasa terkilan apabila terpaksa menolak tawaran drama sepanjang bulan ini.
                "Minggu pertama sahaja saya perlu habiskan penggambaran drama, selepas itu saya berehat sahaja. Sepatutnya memang ada sebuah drama bersiri yang terpaksa saya tolak," ujarnya.
                Bercerita tentang pengalaman berpuasa, Mira berkata, dia mula belajar berpuasa penuh sejak di sekolah rendah.
                Katanya, dia tiada sebarang pengalaman pahit sepanjang menjalani ibadah itu berikutan dia bukan seorang yang nakal ketika kecil.
                "Cerita puasa saya boring kerana saya budak baik, tidak pernah pula curi-curi buka puasa atau ponteng, semua berjalan lancar," ujarnya.

                Kenapa Mata Akim Ahmad?



                Foto selfie yang dikongsikan Akim mendapat perhatian netizen.
                BAHARU dua hari menjalani ibadah Ramadan macam-macam gelagat lucu artis yang dikongsikan di laman sosial Instagram.
                Terkini, vokalis Akim & The Majistret iaitu Akim Ahmad memuat naik gambar sebelah kanan matanya bengkak mendapat perhatian netizen.
                Menurut perkongsian tersebut, Akim yang kini berada di kampung isterinya Stacy di Penampang, Sabah berkata matanya terkena serangan penyengat. 
                Akim Ahmad
                "Mata bengkak kena gigit penyengat rasanya ni, dugaan Ramadan" tulisnya yang turut memuat naik foto serangga tersebut. 
                Perkongsian tersebut turut menerima lebih 16,000 like dan 378 komen peminat yang mendoakan agar penyanyi lagu Mewangi itu cepat sembuh. 
                Dalam pada itu, Netizen yang prihatin turut berkongsi petua-petua untuk mengurangkan bengkak dan bisa serangga berkenaan.

                Waris Teruja Cipta Lagu Bola Negeri Sembilan



                Waris baharu sahaja melancarkan album berjudul Alumni.
                TERKENAL dengan lagu-lagu hip hop dialek Negeri Sembilan, komposer dan penyanyi rap Waris teruja apabila diberi penghormatan mencipta sebuah lagu untuk pasukan bola sepak negeri kelahirannya itu.
                Pemilik nama sebenar Muzammil Alias berkata, dia yang mendapat kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) mempunyai strategi tersendiri untuk menjadikan lagu tersebut sebagai lagu semangat kepada pasukan itu.
                "Saya dalam proses untuk buat lagu bola untuk PBNS, setakat ini saya sudah siapkan demo dan akan dirakam tidak lama lagi.
                "Saya ada strategi tertentu untuk tarik minat penyokong bola sepak atau dikenali sebagai ultras untuk menyukai lagu ini. Golongan ultras biasanya tidak layan media sosial, jadi saya rancang lagu berkenaan dimainkan di dalam stadium sebelum pertandingan berlangsung.
                "Selepas ini, barulah kita kormersialkan di media-media dan radio tempatan," ujarnya.
                Waris bersama salah seorang pemain bola sepak Negeri Sembilan, Marko Simic.
                Dalam pada itu, Waris berkata, dia juga diminta pihak PBNS untuk menyiapkan muzik video lagu berkenaan sebelum ia sedia dilancarkan secara rasmi.
                Kata penyanyi lagu Rembau Most Wanted ini, dia sudah mempunyai konsep dan idea untuk membuat penggambaran di dalam Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.
                "Kami akan lancar selepas siap sepenuhnya termasuk muzik video. Insya-Allah saya rancang untuk buat penggambaran secepat mungkin," ujarnya.
                Sementara itu, Waris berkata, dia sempat mengedarkan sebanyak 20 keping album baharunya berjudul Alumni secara percuma kepada pengujung yang hadir menyaksikan perlawanan Negeri Sembilan menentang Pahang pada 13 Mei lalu.
                Album tersebut memuatkan sebanyak 10 buah lagu iaitu lima buah lagu baharu dan lima buah lagu popularnya termasuk nyanyian bersama Nora Danish berjudul Ini Lagi Boom.

                Azharina Dapat Peluang Terima Anak Angkat Lagi



                PETALING JAYA: Selepas kematian anak angkatnya iaitu Rizqie Azharin yang berusia sebulan pada Mac lalu, penyanyi Azharina memberitahu dia banyak mendapat peluang untuk memperoleh anak angkat baharu.
                ik untuk menerima anak angkat lagi, bagaimanapun belum bersedia untuk berbuat demikian.
                "Alhamdulillah, ia rezeki Allah, ada orang yang tunggu bertahun-tahun untuk terima anak angkat. Tapi saya ramai pula yang bertanya untuk beri anak kepada saya.
                "Saya memang terbuka untuk mengambil anak angkat tapi bukan sekarang, saya masih lagi rasa sedih dengan kehilangan Rizqie. Begitu juga anak angkat pertama saya Rahmat yang masih bertanya tentang adiknya," kata Azharina.
                Gambar Azharina bersama anaknya Rizqie Azharin Azhar (di pangkuan) dan Rahmat Azharin Azhar
                Azharina kehilangan anak angkatnya Rizqie Azharin pada 28 Mac lalu selepas bayi tersebut mengalami pendarahan otak dan kerosakan pada kedua-dua belah buah pinggang.
                Juara Gegar Vaganza musim kedua ini turut mempunyai seorang lagi anak angkat iaitu Rahmat Azharin Azhar Abdullah yang kini berusia tiga tahun.
                Sementara itu, Azharina berkata, dia cuba menghilangkan rasa sedih dan rindu kepada bayi tersebut dengan melakukan kerja-kerja rumah.
                "Saya sibuk bertukang, buat persiapan cantikkan rumah saya. Dengan cara itu saya boleh lupakan kesedihan terhadap arwah.
                "Barang pertama selepas Rizqie meninggal, saya minta pembantu keluarkan ialah tempat tidur bayi yang saya tempah khas daripada kayu berkualiti tinggi. Saya tidak mahu lihat apa-apa yang menginggatkan saya kepadanya.
                "Bulan Ramadan ini pasti membuatkan hati saya sayu. Namun saya sudah reda pemergiannya," ujarnya.

                To'ki Kesal Dituduh Menagih, Jadi Peminta Sedekah



                To'ki berkongsi cerita dimanakah dia menghilang selama ini. 
                KUALA LUMPUR: Susulan foto seorang peminat bersama To'ki menjadi tular di laman sosial baru-baru ini, pelbagai pihak cuba mencari penyanyi itu selepas dia diberitakan berada dalam kesempitan hidup. 
                Justeru, pihak Yayasan Artis 1 Malaysia  (YA1M) berjaya menemukan To’ki dan mengadakan satu sidang media khas bersamanya pada Jumaat. 
                Dalam sidang media yang berlangsung di pejabat urusan YA1M itu, To'ki meluahkan kekecewaan apabila ada pihak menuduhnya masih menagih dadah. 
                "Saya dah berusia setengah abad dan saya kesal hanya dengan sekeping gambar, orang terus menuduh saya penagih tetapi tahukah mereka setiap hari saya mengambil Suboxone (pil merawat ketagihan dadah) untuk menahan gian itu? 
                "Sebenarnya orang keliru pada gambar yang dikongsi seorang peminat yang menjadi viral minggu lepas di mana pada ruangan komen posting itu turut dimuatnaik gambar lama saya yang masih menagih dan ini amat mengecewakan saya, " katanya kepada pemberita.
                Sidang media itu turut disertai Presiden YA1M, Datuk DJ Dave. 
                To'ki (kanan) bersama DJ Dave (tengah) dan pihak YA1M.
                Dalam pada itu To'ki memberitahu dia sebenarnya berterima kasih kepada peminat yang memuatnaik gambar tersebut sehingga membuka mata pelbagai pihak dan persatuan untuk menghulurkan bantuan. 
                Mengenai kisah kehilangannya sebelum ini, kata To'ki ia disebabkan studionya yang terletak di Batu Caves, Gombak dipecah masuk tiga tahun lalu sehingga dia mengalami kerugian dan hilang arah. 
                "Di situlah tempat saya berkarya, mencari rezeki tetapi bila semuanya hilang, saya jadi hilang arah. Bukan soal  berapa kerugian tetapi nilai sentimental barang-barang yang ada di dalam studio itu antaranya sebuah trofi kemenangan saya sebagai Komposer Terbaik Asia (1999) menerusi lagu Zikir Kasih dendangan Amir Ukays,” katanya. 
                Rentetan kejadian itu kata To'ki, dia menyepikan  dari industri namun masih bernasib baik kerana diberi peluang  beberapa komposer antaranya Datuk M. Nasir untuk membuat lagu. 
                Di satu sisi, pelantun lagu Biasan ini turut menafikan dakwaan mengatakan kesusahan hidup membuatkan dia sanggup mengemis. 
                "Saya masih sihat dan masih berkarya walaupun mungkin tidak seaktif dulu dan dakwaan mengatakan saya mengemis itu tidak wajar dan sesuatu yang memalukan saya. 
                Katanya lagi, sehingga kini dia dalam proses menerbitkan dua buah single terbaru berjudul Baiyati dan Perunding Jiwa dan berharap pihak YA1M membantu dari segi mempromosikan karyanya itu secepat mungkin. 
                Sementara itu, DJ Dave memberitahu, pihaknya akan cuba membantu membawa To'ki menyertai persembahan pentas sekali gus mampu menjenamakan balik namanya. 
                "Saat bertemu To'ki, dia menyatakan dirinya masih sihat dan masih berkarya dan lazimnya YA1M selaku persatuan yang menyalurkan kebajikan kepada artis yang sakit dan tiada keupayaan. 
                "Namun atas budi bicara, kami sedia membantu beliau walaupun bukan berupa sumbangan, tetapi mungkin membawa To'ki bersama menyertai setiap aktiviti show yang membabitkan YA1M," katanya. 
                Kisah To'ki menjadi tular di Facebook apabila seorang peminat Ungku Lokman memuatnaik gambar bersama To'ki dalam keadaan daif di sebuah stesen minyak. 
                Susulan itu, beberapa persatuan seni mula mencari To'ki termasuk Seniman dalam usaha mengenalpasti masalahnya. 

                Ezlynn Tertekan, Enggan Komen Rumah Tangga



                Ezlynn mahu fokus kesihatan terlebih dahulu.
                PETALING JAYA: Pelakon Ezlynn mengambil pendekatan untuk tidak memberi sebarang komen situasi rumah tangganya ketika ini kerana hal itu akan mengganggu emosinya. 
                Ezlynn, 35, yang kini dirawat di sebuah pusat perubatan swasta akibat demam viral mahu memberi perhatian terhadap kesihatannya terlebih dahulu daripada memikirkan perkara lain. 
                "Saya tidak mahu komen tentang itu, memandangkan dia (suami), ia akan buat saya lebih tertekan. 
                "Saya mahu fokus kepada kesihatan saya dahulu. Apa-apa boleh hubungi pengurus saya untuk yang lain. 
                Ezlynn bersama suaminya Adam Fahmy.
                "Saya harap awak dapat memahami keadaan saya," ujarnya.
                Ezlynn diminta mengulas mengenai situasi rumah tangganya dengan Adam Fahmi Shamsuddin yang dikatakan goyang ketika ini. 
                Mereka mendirikan rumah tangga pada 21 November 2011 namun masih belum dikurniakan cahaya mata. 
                Ezlynn pada status Instagram yang kongsinya pada malam Khamis memaklumkan dia berada dalam keadaan tertekan dan terkejut sehingga jatuh sakit. 
                "Kalah juga akhirnya, tak sangka, badan dan fikiran saya terperanjat, sangat tertekan dengan apa yang berlaku malam tadi. Terima kasih atas doa semua dan kekuatan yang diberikan... Insya-Allah semuanya ok," tulisnya.

                Google Perkenal Ciri Peribadi Untuk Paparan Carian



                Carian Peribadi Google akan menunjukkan barangan peribadi pengguna yang disimpan dalam talian seperti gambar, e-mel dan entri kalendar. 
                TIDAK dinafikan bahawa enjin pencarian Google merupakan perkhidmatan dalam talian yang paling kerap digunakan dalam kehidupan harian pengguna internet.
                Kebenaran untuk membuka jutaan laman web dan kemampuan Google memberikan padanan carian yang paling relevan dengan apa yang ditaip oleh pengguna menjadi tarikan utama enjin pencarian itu.
                Kini, syarikat gergasi teknologi itu memperkenalkan panel peribadi pada muka carian Google untuk membantu pengguna menapis carian mengikut maklumat peribadi pengguna yang disimpan di Google PhotosGmail dan Google Calendar.
                Contohnya, jika anda mencari sesuatu yang berkaitan dengan Shanghai, Google akan mempamerkan semua dokumen peribadi pengguna yang disimpan dalam penyimpanan awan.
                Dokumen tersebut adalah seperti maklumat penerbangan, emel tempahan bilik penginapan dan entri kalendar yang berpadanan dengan carian berkenaan.
                Hasil carian akan turut disusun semula mengikut kesesuaian kriteria carian, menjadikan ia mudah untuk mengakses kandungan tanpa perlu menatal ribuan item dalam setiap aplikasi.
                Untuk mengakses tab peribadi, anda hanya perlu membuka laman www.google.com/ dan lakukan carian seperti biasa.
                Apabila keputusan dipaparkan, klik pada tab "lebih" di bawah bar carian, kemudian pilih "peribadi" melalui menu drop-down.
                Untuk privasi dan keselamatan, keputusan hanya boleh dilihat oleh untuk pengguna.
                Jika anda masih belum menggunakan ciri ini, jangan bimbang kerana ia sudah boleh digunakan pada desktop dan pengguna mudah alih.

                Amar Asyraf puji Izara Aishah



                Amar Asyraf puji Izara Aishah
                KEMBALI bekerjasama, pelakon berbakat besar, Amar Asyraf berharap Izara Aishah terus berlakon walaupun sudah berumah tangga kelak.
                Menurut Amar, bintang filem J Revolusi itu mempunyai bakat lakonan luar biasa dan tidak seharusnya disia-siakan.
                “Dia (Izara) adalah pelakon yang bagus dan berbakat besar.
                “Saya enjoy berlakon dengan dia malah komitmen dan disiplin yang diberikannya harus diberi pujian.
                “Biasanya, ramai pelakon wanita akan berhenti berlakon selepas berkahwin.
                “Jadi, saya harap dia akan terus berlakon walaupun jarang-jarang,” katanya pada Media Hiburan.
                Pasangan pelakon ini berlakon buat pertama kali menerusi drama Kasih Najihah pada 2011.
                Kini, Amar dan Izara kembali bergandingan menerusi telefilem Ramadan Terindah Nuraini  sempena Ramadan ini di TV3.
                “Saya kembali berlakon dengan dia selepas enam tahun. Ini kali kedua dia menjadi heroin saya.
                “Saya lihat prestasi lakonan Izara semakin meningkat dan bagus.
                “Sebagai rakan lakon, saya memang puji dengan bakat lakonannya.
                “Saya sedar ramai pelakon wanita sangat berdedikasi dalam bekerja. Cuma saya jarang memuji orang, jadi istimewa sedikit pujian ini,” katanya.
                Selain mereka, telefilem arahan Ellie Suriaty itu turut menampilkan Pablo Amirul, Chacha Maembong, Kunie, Azri Iskandar dan Wilma Muhammad.
                Pada masa sama, Amar juga bakal muncul menerusi drama komedi Menantu Bilal di samping Chacha Maembong, Nazira Sardi, Syazwan Zulkifli, Talha Harith dan Ruhainies, juga sempena Ramadan di TV3.
                “Jika tiada aral melintang, saya juga akan mula menjalani penggambaran filem Blok 404 sepanjang bulan puasa ini,” katanya.
                Dalam pada itu, Amar juga bakal sibuk menguruskan perniagaan pakaian sendiri melalui jenama Vox Poluli Empire by Amar Asyraf sepanjang Ramadan ini.
                “Saya baru saja mengeluarkan baju yang berkonsepkan fesyen jalanan dan ia memang sesuai untuk golongan working class.
                “Harganya sangat berpatutan bahkan pilihan fabrik sangat selesa.
                “Selain buka reruai dan mengikut pelbagai karnival di seluruh negara, saya juga menjualnya melalui online di Instagram,” katanya yang akan kembali aktif berteater selepas sambutan Aidilfitri nanti.

                Mawi bermusafir Ramadan ini



                Mawi bermusafir Ramadan ini
                SUATU ketika dahulu, nama Mawi pernah menjadi fenomena di negara kita.  Semuanya gara-gara program Akademi Fantasia yang berjaya melonjakkan namanya.  Gempal juga nak mengaku iaitu antara salah seorang daripada berjuta peminatnya.
                Namun kini, nama Mawi seakan sunyi. Pun begitu, tidaklah bermakna tidak aktif terus cuma dia sibuk dengan bisnes dan kerja di belakang tabir.  Dan sejak akhir-akhir ini bersama Syamsul Yusof namanya mula menjadi perhatian.
                Mawi selesa duet bersama Syamsul dan juga sedang berlakon di dalam filem Munafik 2.
                Selain itu, Mawi juga sibuk sebagai hos program. Terbaru, sepanjang Ramadan ini, Mawi tampil menerusi program travelog, Musafir.
                Berkonsepkan travelog Islamik, Mawi akan bermusafir dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi ke serata tempat di Malaysia.
                Sepanjang 26 episod, dipaparkan kampung dan masyarakat berbeza melalui keunikan makanan, budaya, cara hidup yang membawa kepada nilai-nilai Islam dan sejarah penempatan tersebut.
                Bersiaran mulai 29 Mei ini, setiap hari jam 6 petang di TV2, episod pengenalannya membawa Mawi ke Kampung Puh, Terachi, Negeri Sembilan. Tempat pertama persinggahan Mawi di sini adalah Masjid Kariah Kampung Pauh.
                Ketua Kampung membawanya bertemu dengan peserta-peserta kursus umrah yang sedang berlangsung. Masjid ini pernah memenangi Anugerah Masjid Contoh peringkat Negeri Sembilan pada 2001 dan 2009.
                Mawi kemudiannya ke Kampung Duyong, Melaka yang dipercayai sebagai kampung asal Hang Tuah.
                Seterusnya Mawi menuju ke Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah, antara masjid tertua di Melaka dipercayai dibina Hang Tuah dan telah diwartakan sebagai Warisan Negara.
                Mawi menuju ke Kota Bharu, Kelantan pula. Setelah lapan jam perjalanan Mawi sampai ke Kg Semut Api yang terletak di pesisiran Pantai Cahaya Bulan.
                Mawi meneruskan perjalanan dan menuju ke masjid Masjid Al-Syakirin diminta melaungkan azan setelah masuk waktu Asar pada ketika itu.
                Destinasi perjalanan lain adalah Felda Bukit Rokan Barat, Negeri Sembilan. Mawi memilih untuk ke sana atas cadangan kawannya yang berasal dari situ dan menyertai penduduk bergotong-royong.
                Mawi sampai ke Kg Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak dan disambut Ketua Kampung tersebut. Mereka mengunjungi asnaf di situ dan menyampaikan sumbangan. Mawi berbuka puasa di rumah Tok Ketua. Sementara menanti waktu berbuka, mereka ke rumah pengusaha tekat di kampung tersebut.
                Seterusnya di Kampung Kundangan, Terachi, Negeri Sembilan, Mawi singgah membeli dan belajar membuat lemang. Mawi dibawa melihat ‘megalitik’ atau batu hidup yang terletak berhampiran.
                Lain-lain lagi kampung yang Mawi kunjungi termasuklah Kampung Pulai, Merlimau, Melaka, Kg. Badang, Kota Bharu, Kelantan, Kampung Bandar, Banting, Selangor yang terkenal dengan keindahan dan berkait rapat dengan sejarah Kesultanan Selangor dan Kampung Kok Klang, Mata Ayer, Perlis.
                Ada juga episod lawatan Mawi ke Kampung Bendang Pulau, Palekbang, Tumpat, Kelantan untuk melihat cara-cara membuat serunding, Kampung Talang, Kuala Kangsar, Perak melihat tempat bermain meriam besi yang menjadikan Kampung Talang begitu popular.
                Akhir sekali Mawi singgah di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor menceritakan secara terperinci tentang asal-usul Kuala Kubu sehingga terbinanya Kuala Kubu Bharu termasuk bagaimana nama Ampang Pecah diperolehi. Mawi ke rumah seorang asnaf dan menyerahkan sumbangan dan seterusnya berbuka puasa bersama.

                Kopi Pak Belalang sokong konsert pelarian

                Kopi Pak Belalang sokong konsert pelarian
                MENGAMBIL kira sisi kemanusiaan juga rasa prihatin yang menebal terhadap nasib dan penderitaan etnik Rohingya, mendorong lagenda muzik berwibawa, Datuk Ramli Sarip dengan kerjasama Rasamusic Sdn.
                Bhd untuk menganjurkan konsert khusus bagi membantu golongan tidak bernasib baik itu.
                Konsert yang diberi nama Konsert Pelarian ‘Semoga Kau Selamat Di Bumimu’ itu bakal dilangsungkan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 26 Ogos 2017 depan.
                Sehari sebelum konsert berlangsung, Majlis Gala Dinner berkonsepkan persembahan akustik akan diadakan di lokasi sama.
                Menurut Ramli Sarip, Konsert Pelarian ‘Semoga Kau Selamat Di Bumimu‘ adalah kesinambungan daripada beberapa siri konsert kemanusiaan lain yang pernah dilakukannya sebelum ini.
                Antaranya ialah Blues Buat Teman Tour 2014 dan juga Konsert Doa Langit dan Bumi untuk membantu mangsa-mangsa banjir bersama Datuk M Nasir, Datuk Awie dan Hattan.
                Konsert tersebut telah berlangsung pada 22 Februari 2015 lalu.
                “Ujian yang diberikan kepada etnik Rohingya terlalu berat dan atas rasa kemanusiaan serta keprihatinan yang cukup mendalam kita, saya terpanggil untuk membantu.
                “Saya juga berharap apa yang saya lakukan ini dapat memberikan semangat kepada artis remaja untuk melakukan perkara sama.
                “Apa yang berlaku terhadap etnik Rohingya ini boleh berlaku di mana-mana sahaja.
                “Kita tidak boleh selesa dan sebetulnya negara kita sangat bertuah kerana kita masih mampu hidup dalam keadaan yang tenang dan aman.
                Kita harus bersyukur atas rahmat yang Tuhan berikan ini,” katanya.

                KOPI PAK BELALANG PENAJA UTAMA

                Sementara itu, Kopi Pak Belalang (KPB) keluaran Classic Worldwide Corporation (M) Sdn. Bhd (CWC) pula menjadi penaja utama bagi konsert istimewa tersebut yang sekali gus memberi signal terhadap keprihatinan pihak karporat di dalam membantu mereka yang memerlukan.
                Pihak Kopi Pak Belalang seperti yang dipetik amat berbesar hati dapat menjayakan program amal seperti Konsert Pelarian ini, memandangkan tujuan ia dilangsungkan adalah untuk berhibur sambil beramal.
                Ketua Pegawai Pembangunan CWC, Datin Seri Nurlaila Idris berkata, Kopi Pak Belalang memandang medium ini sebagai sebuah platform menzahirkan keprihatinan pihak syarikat terhadap isu-isu semasa yang sedang berlaku di sekeliling seperti penindasan etnik Rohingya.
                Ini adalah usaha Kopi Pak Belalang dalam memenuhi tanggungjawab sosial membantu umat Islam di seluruh dunia.
                Pada masa sama, Kopi Pak Belalang juga merupakan penaja utama bagi program Pencetus Ummah di Astro Oasis (2016), Gema Gegar Vaganza (2017) di Astro Ria dan Salam Ramadhan Kopi Pak Belalang yang bakal bersiaran di TV1.

                PENAMPILAN ISTIMEWA ELLA

                Sementara itu, konsert yang turut mendapat sokongan Universiti Utara Malaysia (UUM) ini menampilkan ratu rock negara, Ella sebagai penampilan khas malam itu.
                Pastinya, persembahan hebat penyanyi yang sinonim dengan lagu seperti Sembilu dan Layar Impian itu dinantikan perminat.
                Menariknya juga, perjalanan konsert yang dijangka berlangsung selama dua jam itu bakal terisi dengan seleksi lagu berunsur kemanusiaan tetapi disampaikan dalam repertoir rock yang tentunya menghiburkan.
                Turut sama tampil dalam konsert itu ialah barisan pemuzik hebat seperti Man Kidal (gitaris 1), Aji Samin (gitaris 2), Din Safari (bassist), Rozario Rasul (keyboardist), Tom
                Anuar (drummer), Kamarulbahri (percussionist 1), Paang Zaman (percussionist 2) dan Boy Razli (Flute/ Gambus).
                Konsert Pelarian ‘Semoga Kau Selamat Di Bumimu’ ini turut mendapat kerjasama baik TV3 sebagai stesen televisyen rasmi dan Sinar FM sebagai radio rasmi.
                Dana yang dikutip untuk disalurkan ke Tabung Pertubuhan Rohingya Malaysia akan digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk perbelanjaan harian mereka, makan minum, pendidikan dan sebagainya.