Sunday, August 30, 2015

Silat Cekak Pusaka Hanafi Cipta Guinness World Records




Khairy Jamaluddin Abu Bakar (tengah) meraikan kejayaan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi setelah berjaya melakar nama di dalam Guinness World Records di Stadium Merdeka pada Sabtu. Turut hadir Pewaris Mutlak Silat Cekak Syeikh Dr Md Radzi Hanafi dan wakil Guinness World Records Fortuna Burke. 
KUALA LUMPUR: Pencak silat Malaysia melakar nama dipersada dunia apabila Silat Cekak Pusaka Hanafi mencipta rekod dalam Guinness World Records pada Sabtu, dengan rekod penyertaan paling ramai.

Rekod 'Largest Silat Lesson' dengan penyertaan sebanyak 12,393 pesilat dariseluruh Malaysia yang diadakan di Stadium Merdeka di sini, telah melakar sejarah sekali gus memartabatkan seni pencak silat negara.

Pewaris Mutlak Silat Cekak Pusaka Hanafi, Dr Md Radzi Hanafi berkata perancangan yang mengambil masa enam tahun bagi persatuan itu untuk menempah nama dalam Guinness World Record, akhirnya membuahkan hasil.

Beliau berkata biarpun pelbagai cabaran perlu ditempuh dalam merancang acara itu agar ia berlangsung dengan jayanya, ia tidak pernah melemahkan semangat beliau untuk merealisasikannya.

"Kami amat berbangga dengan pencapaian hari ini kerana ia menunjukkan bahawa silat masih lagi relevan dalam kehidupan moden.

"Kalau kita lihat, rata-rata pesilat yang turut menjayakan acara hari ini adalah golongan remaja dan belia," katanya kepada Bernama.

Dalam usaha mencipta rekod baharu itu, Md Radzi berkata Guinness World Records telah menetapkan pelbagai syarat ketat dan perlu dipatuhi.

Antaranya segala pergerakan harus dilakukan dengan serentak dalam tempoh sekurang-kurangnya 30 minit dengan alunan muzik tradisional yang perlu dimainkan secara langsung.

Kejayaan rekod baharu itu turut disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata kejayaan itu merupakan simbol keagungan bangsa Melayu dan lambang kekuatan negara.

"Kejayaan ini bukan hanya kejayaan persatuan tetapi kejayaan memartabatkan seni silat, kejayaan untuk bangsa Melayu dan kejayaan buat negara," katanya.

Sementara itu, wakil rasmi Guinness World Records, Fortune Burke ketika ditemui Bernama berkata pencapaian yang diraih hari ini, harus dibanggakan kerana bukan mudah bagi mana-mana pihak memahat nama dalam rekod dunia.

"Sebenarnya amat sukar mencipta rekod dalam Guinness World Records, dengan penyertaan  yang ramai, malah kami perlu ada syarikat audit profesional bagi mengesahkan jumlah ini, itu menunjukkan betapa ketatnya (syarat) kami," katanya.

Selain menyasarkan untuk mencipta rekod dunia, kejayaan itu juga adalah bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2015, dan juga sambutan 50 tahun seni silat cekak di negara ini.

Hari Pertama Bersih 4.0 Berlangsung Aman




KUALA LUMPUR: Hari pertama perhimpunan Bersih 4.0 berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang insiden keganasan mahupun provokasi.
Sehingga pukul 6.30 petang Sabtu sebelum perhimpunan gergasi itu ditangguhkan, peserta dilihat berhimpun dalam keadaan baik dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan.
Penganjur memaklumkan perhimpunan hari pertama ini akan bersambung semula pada pukul 9 malam.
Perhimpunan Bersih 4.0 dijadual akan berlangsung selama 34 jam bermula pukul 2 petang Sabtu dan akan berakhir tepat pukul 12 tengah malam Ahad menjelang Hari Kebangsaan 2015.
Ahli Parlimen Pandan dari PKR, Mohd Rafizi Ramli ketika berucap di hadapan penyokong Bersih 4.0 di hadapan Kompleks Sogo turut memuji kerjasama yang diberikan pihak berkuasa.
"Terima kasih pihak polis yang mengawal perhimpunan kita hari ini. Pihak polis pun tidak mampu untuk menyekat kita.
"Kita akan berhimpun selama 34 jam, ayuh kita ke Dataran Merdeka supaya suara kita didengari," katanya.
Suasana di sekitar Dataran Merdeka juga dilihat aman walaupun keseluruhan laluan antara Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja dan Jalan Parlimen dibanjiri dengan lautan ‘manusia kuning’.
Bagaikan berpesta, peserta Bersih 4.0 dilihat menyanyi, bersorak dan melaungkan laungan ‘reformasi’, 'hidup bersih’ dan ‘suara rakyat’.
Turut menghangatkan suasana ialah bunyi bising melalui tiupan ‘vuvuzela’ oleh peserta Bersih 4.0.

Polis Tahan 12 Individu Pakai Baju Bersih 4.0




MELAKA: Polis Melaka menahan seramai 12 orang di negeri ini kerana didapati memakai kemeja-T kuning bercetak perkataan Bersih 4 yang dilarang mengikut Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No 22) 2015.
Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata seramai sembilan orang telah ditahan ketika menyertai perhimpunan Bersih 4 yang dihadiri kira-kira 100 orang di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di sini pada pukul 10.30 malam Sabtu.
Beliau berkata tiga orang pula ditahan dalam sekatan jalan raya yang dilakukan pihak polis di negeri ini pada petang semalam.
"Semua yang ditahan telah dibawa ke balai polis berhampiran dan dilepaskan dengan jaminan polis setelah diambil keterangan mereka," katanya pada Ahad.
Chuah berkata pihak polis akan meneruskan pemantauan terutamanya di kawasan tumpuan hari ini bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman orang ramai tidak terganggu.
Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan arahan bertarikh 27 Ogos 2015 dan ditandatangani oleh Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengharamkan baju Bersih 4 atau penerbitan berkaitan dengan perhimpunan haram itu.
Pengharaman itu mula berkuat kuasa pada Jumaat lepas.
Sementara itu, tinjauan Bernama pagi ini di beberapa kawasan tumpuan antaranya di Bandar Hilir di sini mendapati orang ramai dan pelancong asing memenuhi kawasan itu seperti kebiasaan sempena cuti hujung minggu.

Pihak Berkuasa Thai Fail Pendakwaan Ke Atas Suspek Bom




Suspek yang dipercayai bersubahat dengan seorang lagi yang masih bebas dalam kes pengeboman di Thailand pada 17 Ogos lalu.
BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand telah memfailkan pendakwaan ke atas seorang lelaki asing yang menjadi suspek bersubahat dengan kes pengeboman di tengah-tengah bandar raya ini yang mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia kurang lebih dua minggu lalu.
BBC melaporkan, lelaki itu didakwa atas kesalahan memiliki senjata haram dan bersubahat melakukan serangan maut ke atas orang awam.
Bagaimanapun suspek berkenaan bukanlah seorang lagi suspek yang wajahnya dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) meninggalkan sebuah beg yang dipercayai mengandungi bahan letupan berhampiran Tokong Keramat Erawan pada 17 Ogos lalu. 
Suspek utama kes ini masih belum ditahan.
Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di Nong Jok di pinggir kota ini pada Sabtu.
Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Udomdej Sitabutr berkata, suspek berkenaan enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan kes tersebut.
"Kami perlu melakukan proses siasatan lanjutan kerana suspek itu enggan bekerjasama dengan pasukan penyiasat sama sekali," katanya sepertimana yang dipetik oleh agensi berita AFP.
Kewarganegaraan lelaki itu masih belum disahkan tetapi media-media massa tempatan telah melaporkannya sebagai seorang berbangsa Turki.
Ketika dia ditahan, pihak polis telah menemui sejumlah senjata api dan juga bahan letupan di samping beberap keping pasport palsu Turki.
Ketua Polis Thailand, Somyot Pumpanmuang enggan mengaitkan suspek berkenaan dengan mana-mana kumpulan pengganas.
"Dia adalah seorang warga asing, tetapi buat masa ini kita tidak mengaitkannya dengan mana-mana organisasi pengganas antarabangsa. Kes ini lebih menjurus kepada isu peribadi," kata Somyot.

Polis Tahan Suspek Bom Bangkok, Media Dakwa Hanya 'Kambing Hitam'




BANGKOK: Polis Thailand telah menahan seorang warga asing berusia 28 tahun yang disyaki terbabit dalam insiden serangan bom berkembar di daerah komersial Ratchaprasong di sini, 17 Ogos lepas.
Dalam pengumuman secara langsung menerusi televisyen, jurucakap polis, Lt.Jen Prawuth Thavornsiri berkata suspek ditahan di sebuah blok apartmen empat tingkat di Soi Chueam Samphan 11, daerah Nong Chok di sini, pada kira-kira 2 petang Sabtu.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan status kewarganegaraan suspek berkenaan.
Siasatan awal menunjukkan tangkapan itu ada kaitan dengan dua serangan bom berdekatan Kuil Erawan di persimpangan Ratchaprasong di pusat ibu negara dan dekat jeti Sathorn di Sungai Chao Phraya.
Prawuth berkata polis Thailand percaya suspek merupakan anggota kumpulan sama terbabit dalam insiden letupan tersebut.
Sebelum ini, polis Thailand berkata sekurang-kuranag 10 orang mungkin terbabit dalam serangan itu yang mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia dan 130 mengalami kecederaan di luar kuil Hindu itu.
Bagaimanapun, tiada seorang pun cedera dalam insiden di jeti Sathorn, yang popular dalam kalangan pelancong yang mahu menggunakan pengangkutan air untuk ke kawasan tarikan pelancongan di sekitar Bangkok.
Prawuth juga menunjukkan bukti yang terdapat di bilik sewa suspek seperti bahan untuk membuat bom dan beberapa pasport tetapi enggan mendedahkan negara yang mengeluarkan pasport tersebut.
Menurut seorang pegawai penyiasat, yang enggan dinamakan, suspek menggunakan pasport Turki untuk menyewa lima buah bilik di kompleks apartmen itu tetapi tidak menyatakan sama ada pasport itu tulen atau palsu.
Setakat hari ini, 34 mangsa masih menerima rawatan di hospital termasuk enam berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Pumpanmuang dalam sesi taklimat media pula berkata suspek telah diserahkan kepada pihak tentera untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun, Somyot, yang menyoal siasat suspek, enggan mengulas lanjut.
Taklimat itu berhenti secara tiba-tiba apabila seorang wartawan tempatan bertanya dalam bahasa Thai sama ada suspek yang ditahan oleh polis itu hanya sebagai kambing hitam.
Somyot dengan nada marah dan menyoal wartawan lelaki itu sama ada beliau seorang warga Thailand.
"Soalan anda benar-benar tidak membina...pergi dari sini. Saya boleh beritahu anda bahawa saya tidak kisah tentang anda. Orang di sini begitu bersemangat ketika ini (atas penahanan suspek) tetapi anda menyoal sama ada kami menahan kambing hitam!," katanya.
Kemudian, Somyot berkata suspek tersebut bukan pengganas merentas sempadan  tetapi melakukan perbuatan itu disebabkan marah terhadap sesuatu yang berlaku kepada kawan-kawannya.
Khamis lepas, Kedutaan Turki di Thailand mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan kekesalan terhadap analisis berbaur spekulasi dan laporan berita yang cuba mengaitkan warganya dalam serangan bom di Kuil Erawan.

Nasa Merayu Kembalikan Semula Program Kapal Angkasa Amerika




Sejak program kapal angkasa ulang alik ini dihentikan, Amerika terpaksa menumpang kapal angkasa Rusia, Soyuz untuk menghantar angkasawan mereka sendiri ke orbit.


WASHINGTON: Pengarah Agensi Angkasa Lepas Amerika (Nasa) merayu kepada kongres negara itu supaya mengembalikan semula maruah Amerika dengan menghentikan penggunaan kapal angkasa Rusia untuk menghantar angkasawan mereka ke angkasa lepas.
Sejak Amerika menamatkan khidmat kapal angkasa ulang-alik milik mereka pada 2011, Amerika bergantung sepenuhnya kepada kapal angkasa Rusia, Soyuz untuk sebarang misi ke ruang angkasa khususnya ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa.
Dalam surat terbukanya kepada Kongres,  Charles Bolden menyeru kerajaan negara itu memberikan perhatian dan tumpuan bajet semula kepada Nasa bagi membolehkan kapal angkasa milik mereka sendiri dibina untuk program menghantar angkasawan ke angkasa lepas.
Bolden yang dirinya sendiri bekas seorang angkasawan berkata, sejak program kapal angkasa lepas Amerika ditamatkan, Moscow telah menikmati tidak kurang dari AS$1 bilion daripada kerajaan Amerika yang menggunakan khidmat kapal Soyuz milik Rusia sebagai ganti.
“Setiap dolar yang dibelanjakan ke atas Moscow adalah bersamaan dengan tidak melaburkan setiap dolar ke atas industri Amerika itu sendiri,” kata Bolden, dalam suratnya itu.
Sejak Nasa menghentikan program kapal angkasa lepas mereka, pihak swasta sedang bersaing untuk membina kapal angkasa komersil dengan tujuan membawa angkasawan Amerika ke angkasa lepas dan stesen antarabangsa di orbit bumi pada 2017.
“Untuk setiap kerusi yang angkasawan Amerika duduki dalam kapal angkasa Soyuz, kos yang terpaksa ditanggung oleh Amerika ialah AS$81 juta seorang," kata Bolden lagi.
Dan sebagai perbandingan, jelas Bolden, ia hanya menelan belanja AS$58 juta seorang jika menggunakan kapal angkasa buatan mereka sendiri.
“Yang terbaru, Nasa tidak mempunyai pilihan melainkan menulis cek berjumlah AS$490 juta kepada Rusia bagi membolehkan kami menghantar angkasawan kami sendiri ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa. Ia tidak sepatutnya menjadi seperti ini," katanya lagi.

Tiga Wartawan Al-Jazeera Dipenjara Tiga Tahun




Dari kiri Baher Mohamed, Mohammed Fahmy dan Peter Greste ketika menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Mesir pada Mac 2014.
KAHERAH: Mahkamah Mesir pada Sabtu menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas tiga orang wartawan dan jurukamera stesen televisyen Al-Jazeera setelah mereka didapati bersalah melaporkan berita palsu mengenai rusuhan di negara itu pada 2013.
Ketiga-tiga mereka adalah Mohamed Fahmy, Baher Mohamed dan Peter Greste.
Greste dibicarakan tanpa kehadirannya setelah dia dihantar pulang semula ke negara asalnya Australia awal tahun ini.
Dalam reaksi segera, Al-Jazeera yang berpangkalan di Qatar mengutuk keputusan tersebut sebagai serangan terang-terangan ke atas kebebasan media.
Perbicaraan ini juga mendapat perhatian dunia kerana ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh peguam hak asasi manusia yang terkenal Amal Clooney yang juga isteri kepada pelakon Hollywood George Clooney.
Sebelum ini, ketiga-tiga wartawan itu telah dikenakan hukuman penjara tujuh tahun tetapi rayuan mereka telah didengar semula ekoran desakan dan tekanan dunia luar.
“Pihak pendakwa raya tidak dapat mengenegahkan sebarang bukti yang kukuh mengatakan ketiga-tiga tertuduh terlibat dalam menyebarkan berita yang tidak benar mengenai insiden rusuhan pada 2013 dan ini dipersetujui oleh Mahkamah Tinggi Mesir,” kata Amal kepada para pemberita dari kamar perbicaraan.
Ketiga-tiga wakil Al-Jazeera itu ditangkap pada Disember 2013 - enam bulan selepas pihak tentera menjatuhkan kerajaan yang diterajui presiden Mohamed Morsi dari Ikhwan Muslimin. Jeneral Abdel Fattah Al-Sisi yang menggulingkan Morsi dan kerajaannya kini menerajui Mesir sebagai presiden.
Qatar yang memiliki Al-Jazeera, adalah satu-satunya negara Arab yang memberikan sokongan padu kepada Morsi dan gerakan Ikhwan Muslimin.
Hakim Hassan Farid menegaskan, pihak pendakwa raya telah berjaya membuktikan yang ketiga-tiga wakil Al-Jazeera itu bertugas di Mesir tanpa permit yang merupakan satu kesalahan besar di negara itu.
Fahmy dan Mohamed, yang sepanjang perbicaraan semula ini telah dibebaskan dengan ikat jamin telah ditahan semula sebaik sahaja keputusan dibacakan hakim.
Memenjarakan wartawan bukanlah satu perkara baru bagi Mesir yang mempunyai sejarah memenjarakan 18 orang wartawan sebelum ini.