Saturday, December 31, 2011

40 buah kenderaan berlanggar


SEJUMLAH kenderaan yang terlibat dalam nahas di sebuah lebuh raya menuju ke timur New Orleans kelmarin.


NEW ORLEANS, Amerika Syarikat - Dua lelaki mati dan 61 lagi cedera kelmarin menjelang subuh dalam nahas yang melibatkan 40 buah kenderaan, kata polis.

Nahas yang turut melibatkan kereta dan van itu berlaku ketika pemandu memandu dalam keadaan kabus tebal yang membataskan penglihatan di sebuah lebuh raya menuju ke timur New Orleans.

Menurut beberapa orang yang melalui tempat kejadian, mereka mendengar mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut meminta pertolongan.

"Anda baru mendengar semua bentuk panggilan dan orang ramai menjerit meminta pertolongan," kata seorang pemandu trak tunda, Wesley Ratcliff kepada stesen televisyen tempatan WWL-TV.

Menurutnya, dalam tempoh 13 tahun kerjayanya bertindak balas dengan nahas, kemalangan tersebut adalah yang paling buruk pernah dilihatnya.

Seorang jurucakap polis, Garry Flot tidak bercakap mengenai kemungkinan punca nahas.

Menurutnya, seorang mangsa yang mati itu merupakan pemandu sebuah trak pikap.

Dia berkata, seorang lagi mangsa yang mati ialah seorang penumpang sebuah trak pikap lain yang berusia 54 tahun.

Beberapa pemandu yang melalui lebuh raya itu ketika nahas menyatakan, mereka tiba-tiba berada dalam kegelapan dan tidak dapat melihat cahaya lampu kereta.

"Saya berpendapat ia kabus tetapi suami saya menganggap ia merupakan asap," kata seorang saksi, Stacie Williams kepada stesen televisyen WWL-TV.

Festival meriam buluh di Pulau Mindanao


ORANG ramai mengelilingi replika meriam buluh Howitzer di Festival Meriam Buluh di Bandar Kidapawan, Mindanao semalam.


BANDAR KIDAPAWAN, Filipina - Sebuah replika meriam diperbuat daripada buluh mencuri tumpuan para pengunjung di Festival Meriam Buluh yang berlangsung di sini, Pulau Mindanao semalam.

Diadakan pada setiap tahun, festival berkenaan merupakan sebahagian kempen pemerintah untuk mencegah orang ramai daripada terlibat dengan aktiviti membakar mercun yang boleh membahayakan mereka semasa musim cuti perayaan Krismas di Filipina.

Pelbagai jenis meriam buluh dipamerkan pada festival berkenaan.

Filipina mempunyai musim cuti Krismas terpanjang di dunia.

Anak gajah enggan ditimbang


SEORANG pekerja menarik belalai anak gajah itu supaya haiwan itu berdiri di atas alat penimbang di Zoo Wuppertal, Jerman kelmarin.


WUPPERTAL, Jerman - Dua keping gambar menunjukkan seorang pekerja menarik belalai seekor anak gajah untuk memujuk haiwan itu menaiki sebuah alat penimbang di Zoo Wuppertal, di sini kelmarin.

Pekerja berkenaan menarik belalai anak gajah bernama Uli itu untuk merekodkan berat haiwan tersebut dalam prosedur rutin di zoo berkenaan.

Namun, Uli yang ketakutan enggan memberi kerjasama apabila haiwan tersebut meundukkan kepalanya bagi mengelak ia ditarik ke atas penimbang tersebut.

Anak gajah itu kemudian akhirnya berdiri di atas penimbang tersebut dengan seorang kakitangan membelai kepala haiwan tersebut.

Berseronok dalam kedinginan salji



BAYANGKAN gaya hidup masyarakat kota metropolitan dan desa yang tidak terkejar-kejar lantaran rentak harian yang diperlahankan mood bercuti dan suhu dingin. Begitu juga dengan suasana romantis saat berehat di hadapan ruang pendiangan api, menikmati makanan hangat yang lazat, bermain salji dan menaiki kenderaan luncur salji.

Biarpun tenaga fizikal dan rasa teruja itu dipengaruhi keinginan santai berehat dan bermalas-malasan, itu tidak bermakna musim sejuk ini hanya membataskan anda di dalam kediaman. Bagi yang berkemampuan dari segi kewangan dan bersemangat kembara, musim ini juga menjadi momen terbaik untuk menghabiskan waktu bersama keluarga dan insan tersayang di destinasi bermusim sejuk.

Lokasi yang mungkin termasuk dalam senarai percutian sehingga Februari tahun hadapan tentunya resort ski popular. Kalau ramai pelibur di negara beriklim sejuk membuat keputusan untuk ke destinasi tropika yang mataharinya terus memancar terik, pasti ramai dalam kalangan kita yang mahu juga menikmati keseronokan dalam musim salji.

Karnival Musim Salji Quebec

Semenjak aura kehidupan Perancis membentuk koloni di Quebec, masyarakatnya menjalankan tradisi tahunan meraikan kulinari dan kebersamaan. Di wilayah istimewa Kanada itu, sebuah karnival musim sejuk yang meriah dianjurkan setiap tahun sejak tahun 1824.

Sentiasa melaksanakan pengisian baharu untuk menambah tarikannya, festival tersebut kali ini bakal berlangsung dari 27 Januari hingga 12 Februari 2012. Sesuai untuk dikunjungi semua lapisan usia, antara aktiviti yang dapat disaksikan dan disertai adalah mandian hangat, perarakan malam, luncur salji, fusbol, pertandingan mengarca salji, persembahan hiburan serta bermain ski.

Quebec sememangnya destinasi musim sejuk yang ditunggu-tunggu! Oh ya, kalau datang berdua dengan si dia tersayang, bolehlah menuju ke Ice Palace kerana di situ janji kesetiaan dan kasih sayang dapat diperbaharui bersaksikan seni bina fantasi yang dibuat secara keseluruhan daripada bongkah ais.

Kehangatan onsen


Para pelancong teruja menaiki kereta luncur salji yang ditarik oleh rusa kutub di wilayah Lapland dekat utara Finland.


Onsen bermaksud kolam air hangat dalam bahasa Jepun, namun istilah itu juga merujuk kepada premis mandian umum dan rumah penginapan yang terletak berdekatan dengan punca air semula jadi tersebut.

Jepun terletak dalam zon gunung berapi aktif, maka terdapat ribuan onsen di seluruh pulau tersebut. Secara tradisinya, ia menjadi tumpuan orang awam untuk membersihkan diri, namun kini tarikan onsen telah menjadi magnet pelancongan di Negara Matahari Terbit itu terutamanya dalam kalangan pelancong dari luar negara.

Bergantung kepada pilihan masing-masing, pengunjung boleh mencuba mandian onsen di ruang terbuka (rotenburo) atau mandian di premis tertutup. Sebagai cadangan untuk pasangan romantis, mereka boleh memilih untuk menginap di bilik hotel yang mempunyai akses peribadi ke ruang onsen yang privasi.

Onsen yang terletak di kawasan kampung juga adalah disyorkan kerana ia menawarkan pengalaman ideal bagi mengisi momen santai sekali gus melenyapkan stres akibat kesibukan gaya hidup urban.

Festival Sirap Maple

Pilihan destinasi ini adalah untuk mereka yang mahu meraikan musim sejuk dalam kelazatan dan kemanisan. Sirap maple dari wilayah timur laut Amerika Syarikat, New England. Negeri-negeri terlibat seperti Vermont, Massachusetts dan New Hampshire menjadi tuan rumah kepada banyak acara yang berkait rapat dengan industri pengeluaran sirap maple mereka.

Terkenal ke serata dunia, produk kebanggaan mereka itu terasa lebih enak jika dirasa apabila berada di festival berkenaan, berbanding mendapatkannya di para-para pasar raya. Pengunjung boleh terus merasai kesegaran dan kemanisan sirap maple yang dituang terus ke atas salji lantas menjadi gula-gula beku.

Pengunjung yang datang berpasangan dipelawa untuk mengikuti aktiviti dalam pakej bersiar-siar Sirap Maple New England. Antara pengisiannya adalah lawatan ke ladang pembuatan gula maple, Santuari Hidupan Liar Moose Hill, Muzium Maple Vermont atau Parker's Maple Barn di Mason.


SIRAP maple dibotolkan secara langsung dan dijual kepada pengunjung sempena Festival Sirap Maple New England.


Safari rusa kutub

Pernahkah anda melihat singa, kuda belang dan gajah di safari Afrika? Jika pernah, cuba fikirkan kelainan dengan mengikuti ekspedisi safari berbeza sempena musim sejuk ini di Lapland - sebuah kawasan terpencil di penghujung utara negara Sweden dan Finland.

Pastikan tubuh dibaluti pakaian panas yang tebal apabila mahu menuju ke destinasi istimewa ini. Dalam kereta salji yang ditarik rusa kutub yang jinak, dakaplah insan tersayang masing-masing saat ia merentasi landskap yang diselaputi keputihan salji.

Jika bercadang untuk tinggal di Lapland lebih lama, aktiviti safari rusa kutub boleh digabungkan dengan aktiviti musim sejuk yang lain seperti melawat lokasi melihat Cahaya Utara (aurora borealis) yang indah di hamparan langit luas. Sebuah penginapan unik bernama Ice Hotel di perkampungan Jukkasjärvi di Sweden juga menawarkan pengalaman inap desa yang menarik.

Pasar Krismas

Jerman sangat terkenal dengan pasar Krismas. Dikenali dengan nama Christkindlmarkt atau Weihnachtsmarkt, lokasi pasar sentral di Nürnberg merupakan salah satu daripada pasar paling tua dan tradisional di negara itu.

Tahun ini, pasar popular itu dibuka dari 25 November hingga 24 Disember. Sepanjang tempoh itu, orang ramai akan bersesak di rangkaian lorong yang dibentuk daripada susunan banyak pondok jualan dan gerai.

Pelbagai jenis barangan ditawarkan - daripada aksesori perhiasan diri, barangan rumah hinggalah kepada dekorasi Natal dan masakan tempatan. Terdapat gerai-gerai khusus yang mempamerkan dekorasi Krismas yang tipikal seperti figura dan arca yang diukir secara langsung daripada bongkah kayu. Bagi yang ingin merasa hidangan, bolehlah mencicip GermanLebkuchen, iaitu roti halia bersama kopi panas.

Spa termal


SEORANG pengendali kereta luncur salji sedang memperkemas ikatan pada rusa kutub peliharaannya.


Ketika musim panas, Slovenia menjadi destinasi terkenal buat pelibur yang mahu menikmati pengalaman rawatan spa dan mandian. trend itu didorong oleh tawaran harga yang rendah berbanding banyak lokasi di keseluruhan Eropah.

Dalam musim sejuk pula, aktiviti itu masih boleh disertai tetapi sebaik-baiknya ia dilakukan di dalam premis. Terdapat banyak pusat spa kesihatan termal untuk dipilih. Sama ada berehat-rehat dalam buih jakuzi atau 'menyerahkan' tubuh kepada kepakaran tukang urut yang melegakan urat serta otot, semua itu bakal menjanjikan kepuasan.

Kemudian, akhiri sesi bersiar-siar dengan menikmati secawan teh atau coklat hangat di bilik penginapan sambil menyaksikan emping halus salji yang turun dari jendela kaca. Sesiapapun pasti kembali dari percutian tersebut dengan kedamaian dan kesegaran minda, fizikal dan emosi.

Kota romantis pengunci cinta


JUTAAN mangga terdapat di sekitar Menara Seoul yang menjadi lambang penyatuan cinta.


MENDAPAT tugasan untuk menyertai rombongan pelancongan ke negara 'ginseng' ini pada 25 November hingga 30 November anjuran QS Travel, ia bagaikan mimpi buat penulis. Perasaan pastinya teruja untuk melihat sendiri apa yang ada di negara yang mana artis-artisnya menjadi igauan anak remaja Malaysia.

Menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea pada jam 6 pagi yang ketika itu bersuhu 5 darjah celcius, penulis seperti tidak percaya sudah berada di bumi Seoul.

Menyertai lebih 50 orang peserta rombongan, kami disambut baik oleh pemandu pelancong yang dikendalikan oleh QS Travel Sdn Bhd dan Ziarah Sutera Holdings, iaitu Sue Yen dan Daniel.

Membawa seribu satu perasaan berikutan ini kali pertama penulis menjejakkan kaki di Korea, maka segala perkara mahu dirakam menerusi lensa kamera, sehinggakan cuaca yang sejuk langsung tidak diendahkan.

Menyelusuri jalan raya di kota Korea itu, ia sebenarnya membuatkan hati penulis kagum!

Bandar raya itu terlalu bersih. Malahan, tiada langsung sampah yang berterbangan di bumi Korea, bahkan tiada tong-tong sampah disediakan di tepi-tepi jalan ataupun di hadapan deretan kedai.

Orang Korea gemar blind date

Memulakan langkah pertama di Korea dengan melawat Seoul Tower di Namsan Mountain, pusat kota Seoul, Korea Selatan, ia merupakan sebuah lokasi yang dijadikan tempat untuk warga Korea 'mengunci' cinta mereka agar terus utuh dan berkekalan.


MENARA Seoul menawarkan pemandangan sekitar bandar raya itu dari ketinggian 236 meter.


Di sini terdapat berjuta jenis kunci dan mangga, yang telah ditinggalkan oleh ribuan pasangan muda-mudi yang sedang hangat bercinta sejak ia dipopularkan mulai tahun 1990-an lagi.

Jadi tidak hairanlah jika dikatakan masyarakat Korea sangat romantis bila menyentuh bab cinta kerana mereka sendiri membina satu kubu cinta setinggi menara Seoul.

Menurut Sue Yen, permulaan cinta remaja Korea kebiasaannya bermula dengan blind date yang diatur oleh mereka untuk bertemu dengan lelaki yang serasi.

Bagaikan sudah menjadi tradisi, acara perjumpaan blind date sememangnya dinantikan oleh anak-anak remaja di sini.

Walaupun tidak ramai yang berjaya sepenuhnya mencari cinta dengan cara sebegini, namun mereka tetap mahu mencuba setiap kali berada di sekolah menengah.

Kubu cinta Winter Sonata

Keesokan harinya, rombongan kami dibawa ke Pulau Nami, sebuah pulau yang cukup terkenal selepas penggambaran drama bersiri Winter Sonata, sebuah drama Korea yang mendapat sambutan hangat di Malaysia sekitar tahun 2002

Pulau tanpa penduduk itu terletak di tengah-tengah Sungai Han dan ia yang berfungsi semata-mata bagi tujuan pelancongan dikatakan milik orang perseorangan.

Melihat kekacakan Bae Yong Jun dan kejelitaan Choi Ji Woo yang membawakan watak Kang Joon-sang dan Jun Yu-jin dalam drama Winter Sonata itu, penulis tercari-cari jua kelibat-kelibat wajah sebegitu di sana, namun ternyata bukanlah mudah.

Setiba di Pelabuhan Gapyeong, perjalanan perlu diteruskan menaiki feri menyeberangi Sungai Han yang mengambil masa kira-kira lima minit. Ferinya amat unik apabila dihiasi bendera negara-negara di dunia yang pelbagai rupa dan corak.


PENULIS sempat mencuba pakaian tradisional dipanggil hanbok.


Kibaran bendera pelbagai negara itu sesuai dengan slogan pulau berkenaan, kita semua bersaudara.

Bagi penulis, kunjungan ke pulau kecil itu sewaktu ia belum dilitupi salji kurang menyeronokkan kerana persekitarannya hampir sama seperti kebanyakan pulau lain.

Khabarnya waktu terbaik dan paling romantis situ ialah pada musim bunga kerana keindahannya lebih terserlah.

Pulau Nami boleh dikatakan 'kosong' kerana tarikan ke sana hanyalah disebabkan drama bersiri itu dan kisah percintaannya. Di sini pengunjung boleh memilih menaiki kereta api, kereta atau basikal untuk meneroka keindahan persekitaran.

Antara ginseng dan batu jed

Seperti masyarakat China, rakyat Korea juga sangat mempercayai kehebatan ginseng.

Cuma bagi kita masyarakat Melayu, ginseng bukanlah berada dalam senarai utama penawar kesihatan.

Jadi ketika dibawa melawat ke sebuah kilang penghasilan ginseng, maka tidak ramai yang berminat untuk membelinya, melihat pada harganya yang mencecah ribuan ringgit sudah tentu ia semakin melunturkan semangat kami.

Selepas melawat kedai dan kilang ginseng, kami semua dibawa melawat ke sebuah kedai menjual batu jed.

Ketika di sini, apa yang penulis nampak hampir semua pelancong yang menyertai rombongan kami mengambil peluang memborong batu-batu jed yang sudah dijadikan rantai, cincin dan gelang.

Biarpun harganya tinggi, namun rata-rata mereka sanggup mengeluarkan kad kredit masing-masing untuk memiliki barangan kemas itu.

Sebelum bertolak pulang, kami dibawa membeli-belah di Dongdaemum Market, memandangkan kunjungan kami berlangsung pada musim sejuk, maka kebanyakan kedai-kedai di Dongdaemum hanya menjual barangan untuk musim sejuk sahaja.


KEINDAHAN Pulau Nami dipaparkan penuh pesona dalam drama bersiri Winter Sonata.


Di sini penulis dapat melihat sendiri kegigihan golongan sederhana di Korea mencari rezeki, biarpun ramai yang mengatakan masyarakat Korea tidak pandai berbahasa Inggeris dan sukar untuk melayan tetamu dari negara lain namun, sebenarnya mereka mempunyai cara tersendiri untuk menarik perhatian pelancong.

Hanya mengucapkan salam perkenalan annyung haseyo, ia sebenarnya sudah cukup membuatkan mereka tersenyum mesra. Apatah lagi, apabila kita menggunakan ungkapan yang sedikit nakal seperti saranghae (saya cinta kamu) ataupun jungmal chohayo (saya suka kamu), ia makin memudahkan kita untuk mendapatkan harga yang murah.

Apa yang pasti perjalanan ke Korea sungguh menghiburkan, biarpun penulis hadir sebagai memenuhi tugasan yang diberikan oleh ketua dan tidak mempunyai tempoh persediaan yang lama sebelum berangkat, namun syukur segala-galanya di sana berlangsung dengan baik.

Buat kota Korea dan semua yang telah memberikan kerjasama di sana, gamsa hamida (terima kasih) penulis ucapkan!

Friday, December 30, 2011

Zain Saidin Temani Rozita & Anak-Anak Bercuti

PETALING JAYA: Pelakon jelita, Rozita Che Wan, 38, mengakui keluar bersama pelakon yang digosipkan mempunyai hubungan cinta dengannya iaitu Zain Saidin di Genting Highlands, Pahang Selasa lalu.

Rozita berkata, percutian sehari itu turut disertai oleh dua orang anaknya iaitu Ammar Effendy,15, dan Aniq Ezzra,12, yang sekarang ini sedang bercuti penggal persekolahan.

"Memang saya pergi ke Genting Highlands bersama Zain tetapi jangan salah anggap pula sebab anak-anak saya pun ikut sama. Kebetulan pula sekarang ini tengah cuti sekolah," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Khamis.

Rozita diminta mengulas mengenai hubungannya dengan Zain selepas pihak mStar Online mendapat panggilan telefon daripada beberapa orang peminat dan juga pekerja di pusat peranginan itu yang melihat mereka.

Tambah pelakon Kiah Pekasam ini, dia tidak mempunyai apa-apa hubungan cinta dengan Zain tetapi disebabkan anak-anaknya begitu rapat dengan pelakon tersebut maka adalah lebih baik dia mengajaknya bersama.

Sebagai bukti mereka rapat kata Rozita, pada malam ini (Khamis) anak-anaknya turut keluar bersama Zain untuk bermain futsal.

Sementara itu Zain yang dihubungi enggan memberi sebarang komen berhubung cerita itu sebaliknya dia mengambil pendekatan untuk menghubungi Rozita terlebih dahulu.

“Saya tengah nak main futsal ni. Saya komen yang sama la (seperti Rozita).

Dalam perkembangan lain, Rozita memberitahu jadual kerjayanya agak padat sehingga Ogos tahun hadapan dengan pelbagai tawaran berlakon telefilem dan drama bersiri.

Zain Saidin.

Rozita berkata, dia juga bakal sibuk dengan perniagaan tudungnya, Padusi yang ingin diusahakan secara lebih serius.

"Alhamdulillahlah rezeki mencurah-curah sehingga jadual kerjaya saya telah pun penuh sehingga Ogos depan selain perniagaan tudung yang bakal saya usahakan secara lebih serius," ujarnya.

Tambahnya, ketika ini dia sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Mr. Labuci arahan Murali Abdullah selain sedang giat dengan drama bersiri Mencari Athirah sebanyak 13 episod.

SOROTAN 2011: Kejayaan Terbukti, Kehebatan Teruji

PETALING JAYA: Saban tahun, dunia seni tempatan sering dicalit dengan pelbagai warna yang mampu meninggalkan sejarah.

Bukan sahaja kontroversi dan isu-isu panas sebaliknya pelbagai pencapaian dan anugerah yang diraih setiap anak seni tempatan memberi satu impak besar yang mampu mengembangkan industri hiburan tanah air.

Malah, ada segelintir mereka meraih kejayaan tersendiri sehingga ke peringkat antarabangsa sekali gus telah mengharumkan nama negara.

1. BUNKFACE : Selepas kontroversi kononnya kumpulan ini akan dibubarkan, nampaknya isu tersebut telah memanaskan semangat bagi membuktikan mereka masih kekal dan mampu memberi perubahan dalam industrui muzik tanah air.

Pada Mac lalu, kumpulan punk rock ini berjaya ke peringkat akhir pertandingan Asia Music Festival (HKAMF), Hong Kong dan telah membuka mata pihak luar dengan kehebatan tersebut.

Dalam pada itu, vokalisnya, Shamsul Annuar Mohd Baharum atau Sam turut mencipta kejayaan manis apabila dia dianugerahkan sebagai Komposer Muda Berpotensi.

Anugerah khas ini mengiktiraf bakat-bakat muda berusia 25 tahun ke bawah dan pemenangnya ditentukan oleh ahli Lembaga Pengarah MACP

2. M.NASIR : Buat kali ke 12, penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M.Nasir mengungguli Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak.

Ternyata lagu-lagu penyanyi yang dipaggil 'Sifu' ini masih masih lagi menyengat halwa telinga pendengar.

3.BUNOHAN : Filem arahan Dain Said ini sememangnya dinanti-nantikan apatah lagi filem lakonan Faizal Hussein, Zahiril Adzim serta Pekin Ibrahim itu telah mencatat sejarahnya yang tersendiri sebelum ditayangkan pada 8 Mac 2012.

Bunohan telah mengadakan tayangan perdana mereka di Festival Filem Antarabangsa Toronto pada bulan September lalu.

Malah filem ini juga berjaya meraih Anugerah NETPAC (rangkaian untuk promosi pawagam Asia) di Filem Festival Taipei Golden Horse 2011 pada November lalu selepas membuat tayangan perdana di peringkat Asia.

Ini sekali gus memberi peluang besar buat filem ini apabila dipilih oleh Universal Pictures untuk diedarkan ke beberapa negara termasuk United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.

4. KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH : Rasanya, belum lagi mana-mana penyanyi solo atau yang berkumpulan mampu mengumpulkan angka penonton lebih 10,000 orang untuk menyaksikan sesebuah konsert apatah lagi yang melibatkan konsert berbayar.

Namun, kumpulan legenda, Search mampu melakukannya dan baru-baru ini di mana konsert jelajah tersebut yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran MINES (18 Disember) sahaja telah menarik seramai 15,000 penonton.

Malah konsert jelajah yang diadakan di kompleks Sukan Tawau, Sabah juga berjaya mengumpulkan sebanyak 11,000 orang penonton.

Jumlah ini menunjukkan satu pencapaian besar buat kumpulan tersebut kerana belum pernah ada lagi sesebuah konsert berbayar yang mampu menarik jumlah penonton besar.

5. YUNA : Yunalis Zarai atau Yuna yang mula popular dengan lagu Dan Sebenarnya telah memulakan langkah besarnya pada awal tahun ini sering berulang alik dari Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) bagi mengembangkan bakatnya.

Misinya untuk melebarkan bakat muzik secara global membuahkan hasil apabila dia telah dilamar oleh sebuah syarikat rakaman antarabangsa, Fadel Label.

Sepanjang pembikinan lagu-lagu baru di AS, Yuna semakin menjadi perhatian penggiat muzik AS lebih-lebih lagi apabila laman portal popular antarabangsa, Billboard.com membincangkan tentang gaya muzik versatil Yuna dalam membawakan lagu saduran daripada kumpulan Nirvana, Come As You Are.

Penyanyi ini juga bakal melahirkan album debut Inggeris penuh pada awal tahun depan yang akan menampilkan kolaborasi bersama beberapa figura hebat persada seni antarabangsa seperti Pharrell Williams dan Guy Sebastian.

Baru-baru ini, Yuna turut mengadakan persembahan di acara MTV Iggy's Best di Times Square, New York.

6. LISA SURIHANI : Satu pencapaian yang menarik boleh disimpan dalam profil pelakon jelita, Lisa Surihani apabila dia menerima Anugerah Pencapaian Khas Pergerakan Puteri Umno pada Perhimpunan Agung pergerakan tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Dalam pada itu, Lisa yang bakal berkahwin dengan Yusry Abdul Halim itu merupakan Pelakon Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010/2011.

7. HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA : Filem terbitan KRU Studios, Hikayat Merong Mahawangsa telah dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke 24.

Selain membolot pengiktirafan utama, filem arahan Yusry Abdul Halim itu turut meraih tujuh anugerah lain iaitu Skor Muzik Asal Terbaik, Kostum Terbaik, Sinematografi Terbaik, Anugerah Kesan Visual Terbaik, Poster Filem Terbaik dan Lagu Tema Asal Terbaik dan Penataan Seni Terbaik

Filem yang menelan belanja sebanyak RM8 juta itu bukan sahaja ditayangkan di panggung tempatan, malah sebanyak 25 buah negara telah membeli hak penyiarannya dengan mengubah judulnya kepada The Malay chronicle: Bloodlines.

8. SYAMSUL YUSOF : Sekali lagi menjadi pengarah muda terbaik, anak bujang kepada penerbit dan pengarah filem Datuk Yusof Haslam ini diangkat sebagai Pengarah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24).

Kejayaan Syamsul itu diiktiraf barisan juri menerusi air tangannya, KL Gangster.

Dek kerana kejayaan besar yang juga meraih kutipan tiket sebanyak RM11.74 juta, pembikinan KL Gangster 2 kini sedang dijalankan.

9. DAVID TEO : Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG) telah menerima Penganugerahan Tauliah (Kehormat Dalam Angkatan Sukarela Persekutuan-ASP) yang membawa gelaran Mejar (Kehormat).

Majlis penganugerahan yang disempurnakan oleh Brigedier Jeneral Mohd Nazir bin Mami (Panglima 12 Briged) ini diadakan di Pejabat Panglima 12 Briged, Kem Wardieburn Setapak, Rabu lalu.

Penganugerahan tersebut diberi kerana David begitu komited melibatkan diri dalam pasukan Askar Wataniah di samping mempromosikan pasukan tersebut kepada orang ramai terutama golongan belia.

10.OSMAN ALI : Satu pencapaian yang amat membanggakan, selepas menerima pelbagai anugerah menerusi filem Cun, Osman melakar sejarah apabila filem adaptasi arahannya, Ombak Rindu berjaya menjadi filem cinta pertama yang mempunyai kutipan tiket yang tertinggi sebanyak RM11.2 juta.

Mungkin kejayaan ini telah membayar kekecewaannya terhadap beberapa buah filem arahannya yang gagal mendapat kutipan cemerlang di pawagam.