Thursday, December 31, 2009

Kerdipan Habib Jewels RM2.5 Juta Penyeri Majlis Kahwin Serina

Perkahwinan Serina mandapat tajaan daripada Habib Jewels bernilai RM 2.5 juta.

PERKAHWINAN gilang-gemilang Serina Ridzuawan bersama Gavin Edward O'luanaigh atau nama islamnya Salahudin Ghafar yang mendapat liputan media luar negara pastinya menarik perhatian penaja untuk memperkenalkan barangan mereka.

Kerlipan barangan perhiasan indah tajaan Habib Jewels bakal menaikkan lagi seri kedua-dua mempelai pada hari istimewa mereka.

Habib Jewels bukan saja menaja barangan kemas untuk acara akad nikah malah turut melengkapi persalinan bersanding dan acara potong kek dengan nilai keseluruhan RM2.5 juta.

Menurut Pengurus Pemasaran Habib Jewels, Yasheedah Yashaiya, kesemua koleksi yang bakal digayakan Serina adalah koleksi terbaru Habib.

"Serina bakal mengayakan koleksi terbaru yang mana rekaan-rekaan tersebut adalah koleksi tahun baru dan ia sangat bertepatan dengan majlis perkahwinan Serina yang dilangsungkan sempena pembukaan tahun 2010.

"Kami memilih perkahwinan Serina memandangkan Serina merupakan pelakon terkenal dan anak kepada selebriti dunia, Chef Wan, selain perkahwinan mereka juga mendapat liputan media luar negara.

"Selain Serina, Gavin dan Chef Wan turut ditaja pada majlis yang sama, Gavin bakal mengenakan butang pada baju melayu dan rantai, manakala Chef Wan akan mengayakan butang dan cincin rekaan terbaru," kata Yasheeda.

Sementara itu Serina yang ditemui di sejurus selepas memilih aksesori perkahwiann di Habib Jewels berkata, dia sangat teruja untuk mengayakan koleksi Habib pada dua majlis perkahwiannya.

"Habib Jewels merupakan antara nama terkemuka dalam perhiasan barang kemas. Banyak pilihan terbaik disini dan kualiti Habib setanding dengan nama-nama produk barang kemas dari luar negara.

"Saya sangat bertuah kerana berpeluang mengayakan aksesori bernilai RM 2.5 juta itu," kata Serina.

Manakala Chef Wan menyifatkan pemilihan Habib sebagai penaja hari bahagia anak perempuannya itu adalah yang terbaik berikutan ia adalah syarikat kepunyaan orang melayu dan patut diperkenalkan di seluruh dunia.

Selain Habib Jewels, mereka turut menerima tajaan dari Euromoda untuk baju Melayu dan baju kebaya bagi majlis pertunangan, nikah dan persandingan, manakala Tailor (sut Gavin, Chef Wan dan Chef Riz yang dipakai semasa majlis persandingan).

Serina dan Gavin akan bernikah pada 1 Januari ini di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mas kahwin RM1,000.

Pihak perempuan akan menerima tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran sebanyak RM30,000 manakala pihak lelaki akan dibalas dengan sembilan dulang hantaran.

Siti Harap Dikurniakan Anak Tahun 2010

SEJAK mendirikan rumahtangga dengan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa kira-kira tiga tahun lalu, soalan tentang cahaya mata tidak pernah lekang ditanya pada empunya badan. Datuk Siti Nurhaliza tidak pula menunjukkan riak bosan, malah penyanyi ini tidak kisah untuk terus 'melayan' soalan-soalan itu yang sering diajukan oleh wartawan mahupun peminat-peminat.

Tatkala bertemu dengannya pada sesi latihan konsert Bagaikan Sakti bersama M.Nasir kelmarin, Siti akui impian untuk bergelar ibu masih tersemat kemas di dalam dirinya. Malah, salah satu harapannya menjelang tahun 2010 ialah agar doa itu dimakbulkan tuhan.

"Bila masuknya tahun baru nanti, umur saya pun akan meningkat. Sudah tentu saya akan sentiasa berdoa agar terus dimurahkan rezeki dalam karier serta dikurniakan anak yang memang amat saya nanti-nantikan.

"Saya tidak nafikan, adakalanya sering terfikir juga tentang anak. Tapi, saya tidak mahu terlalu ambil serius sehingga menjadikan diri saya tertekan. Kalau ada rezeki, adalah. Saya hanya berusaha.

"Daripada stres memikirkan tentang perkara ini, lebih baik saya buat kerja seperti biasa. Lagipun, saya tidaklah 'terasa' sangat kerana suami pun ada anak-anak...anak-anak saudara pun ramai," kata Siti dalam nada ceria.

Sekadar mengimbas perjalanan hidupnya sepanjang tahun 2009 ini, kata Siti, permulaan tahun ini agak mencabar buat dirinya apatah lagi setelah kehilangan bapa tercinta, Taruddin Ismail pada bulan Februari lalu.

"Semangat saya agak berkurangan pada ketika itu. Tapi Alhamdulillah, pada sisi yang lain pula, rezeki saya nampaknya masih tidak putus-putus. Saya memenangi beberapa anugerah lagi pada tahun ini. Konsert-konsert yang saya lakukan juga berjalan dengan baik.

"Untuk tahun baru ini, saya akan meneruskan dengan konsert Bagaikan Sakti pula bersama M.Nasir di Esplanade, Singapura. Selepas itu, saya akan menerbitkan pula Konsert Satu Suara yang akan dijayakan oleh Faizal Tahir dan Aizat di Istana Budaya pada bulan Februari nanti," ujar penyanyi berusia 30 tahun ini.

Dalam pada itu, bercerita lanjut tentang Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Datuk Siti Nurhaliza yang akan berlangsung malam esok, Siti akui teruja dapat berkongsi pentas dengan M.Nasir dalam sebuah konsert berskala besar seperti itu.

Malah, sambutan 'luar biasa' yang diterima daripada penonton-penonton Singapura apabila semua tiket habis dijual dalam masa seminggu juga menyemarakkan semangat Siti untuk menampilkan persembahan terbaik pada malam itu.

"Ini adalah kali kedua saya berpeluang buat persembahan di Esplanade. Apa yang saya lihat, kebanyakan warga Singapura memang gemarkan persembahan artis-artis Malaysia. Alhamdulillah, setakat ini, sokongan mereka terhadap saya tidak pernah berkurangan.

"Tentang gandingan saya dan M.Nasir dalam satu konsert yang sama, sebenarnya peluang ini memang sudah lama saya nantikan. Kami sering membuat persembahan bersama sebelum ini, tapi tidak pernah dalam sebuah konsert.

"Bagi saya, konsert ini ibarat persembahan '2 dalam 1'. Saya dan M.Nasir mempunyai muzik tersendiri dan ini akan memberi variasi kepada penonton," kata Siti yang baru saja tampil dengan album duet bersama Krisdayanti (KD) berjudul CTKD: Canda, Tangis, Ketawa, Duka.

Menariknya, bagi yang tidak berpeluang menyaksikan konsert itu secara langsung di Esplanade, ia masih boleh disaksikan juga secara langsung di saluran Astro Box Office Events (saluran 955) pada pukul 8 malam.

Pelanggan Astro boleh melanggan Astro Box Office Events (saluran 955) untuk menyaksikan konsert ini hanya dengan harga RM10.00. Siaran ulangan konsert berkenaan pula akan bermula pada 2 hingga 10 Januari 2009 di saluran yang sama.

Untuk melanggan pakej Astro Box Office Events, para pelanggan Astro boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 1300 82 3838 atau menerusi talian SMS dengan menghantar teks ABOMSAKTINo.IC dan hantarkan ke 32888.

Pengaktifan melalui SMS akan mengambil masa 24 jam. Tempoh untuk melanggan akan dibuka bermula 22 Disember 2009 dan akan ditutup pada 10 Januari 2010.

Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir & Datuk Siti Nurhaliza bakal menyaksikan gabungan dua figura hebat ini mengalunkan lagu-lagu popular mereka serta lagu-lagu klasik yang pernah didendangkan oleh seniman terkemuka sepanjang zaman seperti P. Ramlee, Saloma dan Sudirman sepanjang persembahan dua jam tanpa henti.

Konsert istimewa ini juga bakal memperlihatkan dua pengarah muzik terkemuka yang akan bekerjasama mengemudikan konsert ini di atas pentas iaitu M. Nasir di bawah pimpinan Aznan Alias dan Datuk Siti Nurhaliza di bawah pimpinan Aubrey Suwito serta diiringi oleh 30 orang pemuzik di bawah pimpinan mereka.

Ditanya tentang kelainan yang akan ditampilkannya di dalam konsert ini, kata Siti, tidak banyak perbezaan yang akan dilakukan seperti mana konsert-konsertnya sebelum ini. Selain menyanyikan kira-kira 14 buah lagu popularnya untuk segmen solo, Siti juga akan menyanyikan sebuah lagu baru ciptaan M.Nasir berjudul Ada Masa Mata.

Siti dan M.Nasir juga akan berduet sebuah lagu baru hasil ciptaan M.Nasir dan lirik oleh Siti sendiri.

Azam Tahun Baru Artis Sempena 2010

MENJELANG tahun 2010 esok, ramai yang mula memasang azam masing-masing.

Tidak kurang juga artis tempatan yang berkira-kira untuk merencanakan azam baru mereka.

Datuk Siti Nurhaliza (penyanyi):

"Bila masuknya tahun baru nanti, umur saya pun akan meningkat. Sudah tentu saya akan sentiasa berdoa agar terus dimurahkan rezeki dalam karier serta dikurniakan anak yang memang amat saya nanti-nantikan.

"Saya akan memulakan tahun baru ini dengan konsert Bagaikan Sakti bersama M.Nasir di Esplanade, Singapura. Selepas itu, saya akan menerbitkan pula Konsert Satu Suara yang akan dijayakan oleh Faizal Tahir dan Aizat di Istana Budaya pada bulan Februari nanti."

M.Nasir (penyanyi/komposer):

"Tahun 2010, saya ingin lebih fokus kepada penerbitan filem. Ada beberapa skrip yang pernah saya buat dulu dan akan saya telitikan semula, tetapi filem Aduh Saliha saya terpaksa tolak ketepi saja. Saya juga akan menyiapkan album terbaru saya dan kemungkinan besar akan siap sepenuhnya pada Februari depan."

Hans Isaac (pelakon/sutradara):

“Saya hendak membahagikan masa bukan hanya untuk kerja tetapi juga untuk kehidupan peribadi saya.

“Tidak lupa juga untuk mementaskan teater Cuci The Musical 2 di Istana Budaya pada 23 Julai dengan lebih mantap.”

Rozita Che Wan (pelakon):

“Saya ingin meningkatkan mutu lakonan, menjadi lebih selektif, meluangkan lebih banyak masa berkualiti dengan anak-anak, cuba untuk lebih berhati-hati dalam setiap gerak-geri agar dapat menghindarkan diri dari kontroversi dan menjadi insan yang lebih penyabar.”

Abby Abadi (pelakon):

“Saya ingin menjadi yang lebih baik dari hari ini untuk anak-anak, keluarga, karier san orang-orang di sekeliling saya.

“Sememangnya saya merasa lebih mencabar kerana anak-anak semakin membesar. Doakan kehidupan saya sentiasa dimurahkan rezeki dan diberkati.”

Memey Suhaiza (pelakon):

"Dengan kedatangan tahun baru, saya mengharapkan ia akan menjadi satu permulaan yang baik dan hidup saya juga akan lebih stabil. Sudah-sudahlah kontroversi...Saya ingin lupakan semuanya dan mulakan kehidupan yang baru."

Lisa Surihani (pelakon):

"Ada banyak perkara yang saya ingin buat pada tahun 2010. Pertamanya, saya ingin lebih berhati-hati dari segi pengambilan makanan. Bukanlah mengamalkan diet yang teruk, tapi sekadar memperbaiki corak makanan saya. Saya juga terfikir untuk mengikuti kelas yoga dan jika berkesempatan, saya ingin belajar bahasa Perancis kerana ini pernah diminta oleh arwah bapa saya yang memang amat berminat dengan bahasa itu."

Dafi (penyanyi/pelakon):

“Kalau azam tahun baru saya dari aspek peribadi adalah untuk terus bekerja keras, mencapai lebih banyak perkara, meningkatkan pengetahuan, berjumpa dengan ramai orang dan berharap dapat meluaskan langkah ke tempat-tempat yang baru.

“Saya juga ingin menjadi seorang yang lebih baik dari segi kehidupan dunia dan akhirat.”

Fazley Yaakob (penyanyi):

"Saya harap tahun baru ini saya akan kembali secara aktif dalam dunia hiburan tanah air sama ada dalam bidang nyanyian dan lakonan, memandangkan sudah setahun saya berehat dari dunia seni, saya harap kemunculan saya akan diterima semula seperti dahulu."

Nora Danish (pelakon):

"Tahun baru ini saya akan mulakan hidup baru, saya ingin buang segala kisah sedih tahun 2009 dan ingin menumpukan perhatian sepenuhnya dalam kerjaya dan anak saya, begitu juga dalam percintaan baru, apa salahnya..."

Nabil (pelakon/pelawak):

"Tahun 2010 saya akan lebih memilih dalam setiap projek yang saya ambil, saya tidak mahu main ‘rembat’ macam tahun ini. Saya harap tahun akan datang ini menjadikan saya lebih baik dari tahun sebelumnya."

Serina Redzuawan (pelakon):

"Selepas berkahwin saya rancang untuk meneruskan karier saya yang telah dirancang sebelum ini berjalan lancar, tahun depan saya akan sibuk mengendalikan Jalan-jalan Cari Makan terbitan TV3, pastinya jadual saya akan lebih padat kerana sudah mempunyai tanggungjawab sebagai isteri."

Zizie Ezette (pelakon):

"Azam tahun 2010 saya adalah untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dan berazam untuk lebih fokus pada diri sendiri untuk lebih berjaya dalam hidup dan karier dan sentiasa mengingatkan diri untuk sentiasa redha dan bersyukur atas apa yang diberikannya."

Kisah selebriti putus cinta sepanjang 2009

Kisah cinta antara beberapa selebriti sememangnya bukan rahsia lagi. Walau bagaimanapun ada hubungan tidak sampai ke
penghujungnya. Berikut adalah antara pasangan selebriti popular yang tidak berjaya mempertahankan hubungan cinta sepanjang
2009.

Samsul Yusof & Diana Danielle
Jika tahun lalu, mereka berteka-teki mengenai hubungan cinta mereka. Tahun ini, mereka sepakat untuk menghebahkan agar tidak ada salah sangka dan prasangka buruk terhadap mereka. Namun, pertengahan tahun ini, dunia seni hiburan dikejutkan dengan insiden satu laporan polis telah dibuat oleh Diana Danielle kerana telah dipukul oleh teman lelakinya sendiri. Samsul dikatakan telah menumbuk muka Diana Danielle kerana cemburu. Laporan polis yang dibuat hanyalah bertujuan untuk keselamatan dirinya.

Putusnya kisah cinta mereka hangat diperkatakan ekoran Diana dikatakan menjalin hubungan dengan artis dari Indonesia vokalis Peterpan Aeril.

Fahrin Ahmad & Scha
Boleh dikatakan mereka penutup tirai pasangan putus cinta bagi tahun 2009. ada yang mengatakan keretakan percintaan
mereka disebabkan orang ketiga. Namun, pasangan yang baru beberapa bulan sahaja menyemai rasa cinta mengambil keputusan
untuk membawa haluan masing-masing. Scha juga dikatakan tidak senang dengan sikap Fahrin yang suka mengongkong dan
panas baran. Namun, cerita sebenar kisah mereka, hanya mereka yang tahu.

Ashraff Muslim & Sherry Ibrahim
Pasangan yang dikatakan sangat secocok ini telah memutuskan kisah cinta mereka pada Jun lalu. Dikatakan keretakan hubungan
mereka bukanlah kerana orang ketiga tetapi ada sebab lain dan enggan dikongsi bersama. Namun mereka berdua masih berkawan baik dan tidak pernah berdendam sesama sendiri.

Marsha & Keifli
Pasangan ini juga bijak menyembunyikan kisah cinta mereka namun, terbongkar juga setelah muka Marsha lebam akibat dipukul.
Marsha akhirnya muncul memberi kenyataan bahawa selama ini memang dia dan Keifli sedang hangat dilamun cinta tetapi
mengakhirinya kerana tindakan Keifli yang mencederakan dirinya. Pasangan yang putus cinta sekitar bulan Mei lalu.

Ayu Raudhah & Pekin
Pasangan yang menyulam cinta selama enam tahun ini akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah awal tahun ini. Bukan satu masa yang singkat tetapi mereka berdua akur dengan ketentuan jodoh tidak berpanjangan. Kata mereka, bukan tiada keserasian cuma sudah ketentuan percintaan mereka berakhir pada 2009.

Penduduk trauma ah long mengganas

TEMERLOH - Penduduk mula bimbang tindakan ganas peminjam wang haram atau ah long menyimbah cat dan merosakkan rumah peminjam di Taman Seri Kemuning, di sini.

Ketua UMNO Cawangannya, Borhan Seman berkata, ah long terbabit juga meninggalkan nota dengan kata-kata kesat dan menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan penduduk.

Menurutnya, kejadian itu tidak disedari penduduk kerana ia berlaku sekitar jam 3 hingga 4 pagi, di Blok Aman 1 di sini.

“Kami sedari kejadian ini awal pagi tadi (semalam) apabila jiran memberitahu kepada saya.

“Saya bersama Ahli Jawatankuasa UMNO bergegas ke rumah terbabit dan kesal dengan tindakan peminjam wang haram apabila menyimbah cat yang sukar ditanggalkan.

“Namun kami bersyukur kerana ketika kejadian rumah tersebut kosong dan tiada penghuni, selain disimbah cat, jaring tingkap rumah dikoyak dengan pisau kerana mahu simbah cat ke dalam rumah, namun mereka gagal berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di sini.

Borhan berkata, kejadian itu menyebabkan penduduk taman itu trauma kerana bimbang samseng terbabit datang kembali dan mengganas untuk mencari si penghutang.

Katanya, penduduk perlu bekerjasama dengan segera menghubungi polis sekiranya terlihat mana-mana individu mencurigakan yang berkeliaran di sebelah rumah mereka atau jiran lain.:

“Kita perlu hubungi polis untuk menangkap ah long ini kerana tidak mahu berlaku sebarang kejadian tidak diingini. Keselamatan anak-anak sangat penting.

“Penduduk perlu memastikan pintu rumah dikunci setiap malam kerana bimbang ah long terbabit tersalah masuk rumah dan cederakan penduduk tidak bersalah,” katanya.

Jiran rumah itu yang mahu dikenali sebagai Pak Man, 56, berkata, dia tersedar pada jam 4 pagi dan terhidu bau cat di luar rumahnya.

Katanya, dia tidak mahu bangun mencari bau itu kerana tidak mahu berlaku sebarang kejadian kepada ahli keluarganya.

“Bau cat itu sangat kuat hingga menusuk hidung, malah jiran sebelah rumah saya sudah berpindah dan tidak mahu melihat apa berlaku.

“Apabila hari sudah cerah, lihat tumpahan cat berwarna merah merata-rata dan memenuhi ruangan rumah sebelah rumah saya.

“Saya segera hubungi Ketua UMNO Cawangan supaya segera ambil tindakan lanjut,” katanya.

Wednesday, December 30, 2009

Gambar Mesra Abby & Zul Pula! Pulak dah....











Jawablah!: Janganlah buruk sangka


Yasmin nafi dirinya ditaja VIP

Mengaku kurang pengalaman tetapi bukan halangan untuk jadi penerbit filem

APABILA mendapat tahu yang pelakon utama filem Jalang, Yasmin Khanif bergelar penerbit, ramai yang sinis. Ada yang mencebik dan tertanya-tanya apakah pelakon yang masih hijau dalam bidang seni itu mampu memikul tanggungjawab seberat itu. Bukan mahu melemahkan semangat atau pandang sebelah mata atas usaha gadis berusia 21 tahun ini tetapi dengan pengalaman yang masih terlalu cetek, mampukah dia berdepan dengan cabaran dan selok belok aktiviti perfileman tanah air?

Timbul dakwaan hasratnya ini mendapat sokongan oleh seorang VIP bergelar Datuk yang sanggup menaja filem terbarunya berjudul Cempaka. Enggan melayan kata-kata negatif khalayak mengenai cita-citanya itu, Yasmin berkata apabila dia melangkahkan kaki dalam bidang lakonan, dia sebenarnya mempunyai sasaran tersendiri iaitu mahu menjadi seorang penerbit.Dan tegas Yasmin, Yasmin Khanif Production (YKP) dibina dengan hasil titik peluhnya sendiri dan bukannya atas tajaan sesiapa.

Hip: Apa yang membuatkan Yasmin yakin untuk bergelar penerbit pada usia sebegini?

Yasmin:
Apabila saya ambil keputusan membabitkan diri dalam bidang lakonan, memang tersemat keazaman untuk menjadi penerbit. Idea ini sebenarnya hanyalah sewaktu saya bersembang kosong dengan pemilik De'Baron Production mengenai hal ehwal penerbitan filem. Masa itu saya terbabit dengan pembikinan filem Jalang. Impian saya semakin tercapai apabila bertemu Datuk Ismadi Mohd Sharif yang membiayai filem pertama saya ini serta jalinan kerjasama dengan De Baron Production serta produksi Dr Movie Production, milik Dr Che Rozmey Che Din yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Herba Prima Marketing (HPM) Sdn Bhd. Peluang seperti ini datang serentak dan disebabkan semuanya bagaikan sudah bersedia menerbitkan filem ini. Saya tahu ramai yang mempertikaikan hasrat ini. Malah apabila jemputan mengenai majlis pelancaran filem ini diedarkan, ramai yang menelefon saya dan bertanyakan soalan serupa.

Hip: Tak risau dengan cabaran bergelar penerbit? Apa persediaan Yasmin?

Yasmin: Saya akui pengalaman dalam bidang ini masih cetek. Kalau ada urusan yang saya tak faham, saya akan rujuk pada mereka yang berpengalaman. Lagipun dalam filem Cempaka nanti, saya berlakon sebagai watak utama, jadi pastinya fokus pada lakonan manakala perkara lain akan diuruskan oleh teman saya yang lain. Selain tiga pihak yang saya sebutkan tadi, faktor lain yang membuatkan saya berani kerana adanya sokongan keluarga. Insya-Allah, dengan sokongan mereka, saya akan buat yang terbaik selepas ini.

Hip: Nampaknya Yasmin beruntung sering dapat watak utama dan kontroversi...

Yasmin:
Saya bersyukur kerana walaupun baru menceburi bidang ini, saya berpeluang membawakan watak kontroversi. Saya sedar, memang ramai yang mengkritik lakonan saya untuk filem Jalang. Saya anggap itu kritikan membina. Apabila dapat pegang watak seperti ini menerusi syarikat produksi sendiri, bukanlah bermakna saya menggunakan kelebihan yang ada tetapi kesibukan membuatkan saya tidak dapat menerima tawaran berlakon dari produksi lain. Saya tetap minat untuk berlakon dengan produksi lain.

Hip: Dari mana Yasmin dapat sumber kewangan untuk menubuhkan Yasmin Khanif Production (YKP)?

Yasmin: Mungkin ramai yang tak tahu, saya berkecimpung dalam bidang modelling sejak umur saya 14 tahun. Dalam usia sebegitu, saya banyak terbabit dalam komersial yang menawarkan bayaran lumayan. Disebabkan usia masih muda dan pada masa itu, saya masih lagi belajar, saya tidaklah membelanjakan pendapatan yang saya peroleh itu. Jadi wang yang saya kumpulan selama tempoh itulah saya gunakan untuk menubuhkan produksi saya ini. Ini adalah hasil titik peluh saya sendiri dan ia tidak ditaja mana-mana orang kaya atau golongan VIP.

Hip: Tapi ada yang mendakwa YKP sebenarnya ditaja oleh seseorang yang bergelar Datuk. Sejauh manakah kebenaran cerita itu?

Yasmin:
Saya akui sebahagian daripada kos filem ini memang dibiayai oleh seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk. Maklumlah, kos menerbitkan filem ini sehingga RM3.5 juta. Jadi kami berkongsi modal untuk menghasilkan filem ini. Tapi hubungan kami hanyalah sebagai kenalan dan rakan sekerja. Sebagai pemilik syarikat yang banyak menerbitkan iklan, dia banyak menawarkan peluang kerja pada saya. Saya harap dengan penjelasan ini segala salah faham dapat dipadamkan

Hip: Bagaimana pula dengan dakwaan Yasmin mempunyai hubungan intim dengannya?

Yasmin:
Itu tidak benar sama sekali. Seperti yang saya katakan tadi, hubungan kami lebih banyak pada kerja. Tak mengapa, saya sudah bersedia untuk berdepan dengan segala kritikan dan tohmahan sejak awal lagi. Cuma saya nak tegaskan di sini, saya sebenarnya tidaklah sejahat seperti dalam filem Jalang itu.