Friday, January 30, 2009

Habib Jewels taja lebih RM3 juta aksesori kahwin Linda Jasmine

Set persandingan (safir biru dan berlian)berupa rantai berharga RM2.35 juta, anting-anting: RM629,000, gelang: RM74,800, cincin: RM21,000 digayakan oleh jurutari profesional Linda Jasmine. -foto The Star oleh NORAFIFI EHSAN

[EKSKLUSIF] AMPANG: Dianggarkan lebih RM3 juta harga barang kemas tajaan Habib Jewels yang akan digayakan oleh jurutari profesional Linda Jasmine, 37 semasa majlis perkahwinannya dengan aktor Que Haidar, 30 pada 14 Februari depan di Bora Ombak, di sini.

Antara aksesori tersebut untuk tiga persalinan dan upacara berbeza adalah:

Kejelitaan Linda Jasmine bagaikan puteri raja ketika mengenakan taira dan anting-anting tajaan Habib Jewels.

Akad nikah

Anting-anting: RM127, 830

Gelang: RM165,000

Persandingan (Set safir biru dan berlian)

Rantai: RM2.35 juta

Anting-anting: RM629,000

Gelang: RM74,800

Cincin: RM21,000

Keunikan tiara berharga RM156,395 yang diperbuat dari South Sea Pearls akan digayakan oleh Linda Jasmine ketika acara memotong kek.

Memotong kek (Set ‘white south sea pearl’)

Tiara: RM156,395

Anting-anting: RM88,325

Menurut Linda, Habib Jewels menjadi pilihan kerana pelbagai pilihan koleksi aksesori yang terdapat di situ.

Keayuan si jelita Linda Jasmine yang menambat hati aktor Que Haidar.
Kehadiran Linda tidak ditemani Que Haidar kerana pelakon itu sibuk dengan pengambaran.

"Bukan sahaja saya yang gemar memilih aksesori Habib Jewels untuk koleksi peribadi malah ahli keluarga terutama ibu saudara saya selalu ke sini," kata Linda ketika hadir untuk memilih barang kemas di Habib Jewels, Ampang Point, di sini semalam.

Ketika sesi pemilihan dilakukan, Linda ditemani oleh rakan sekerjanya, Zuhana dan penolong pengurus komunikasi dan pemasaran Habib Jewels, Yasheedah Yashaiya.

Linda Jasmine begitu teruja mendapat tajaan Habib Jewels.

Linda mengaku beliau agak cerewet membuat pilihan. Bagi beliau, sikap tersebut penting untuk menentukan aksesori yang benar-benar cantik dan sepadan dengan pakaian yang bakal disarungkan semasa majlis perkahwinannya nanti.

"Saya tak mahu nanti orang mengata ‘itu’ dan ‘ini’ semasa majlis berbahagia kami. Kalau boleh saya nak nampak ringkas tetapi menarik dipandang orang," luahnya yang sebolehnya ingin tampak kelihatan seperti seorang 'Ratu' pada majlis yang penuh bermakna itu.

Tinggal kira-kira dua minggu lagi, dan sehingga kini sudah 75 peratus persiapan perkahwinan yang dilakukan oleh beliau dan bakal suaminya.

Tuah badan Linda Jasmine dapat menggayakan aksesori tajaan Habib Jewels.

Setakat ini, cincin nikah untuk kedua bakal mempelai ini telah dibeli, dan pakaian pengantin perempuan yang dijahit menggunakan khidmat tiga pereka iaitu Datin Kirana (baju nikah), Saiful Bahrin (Sanding) dan Calvin Thoo (potong kek) juga telah disiapkan.

Selain itu, antara pihak yang turut terlibat di dalam majlis perkahwinan pasangan berbeza usia tujuh tahun ini adalah Lord’s Tailor (pakaian Que), AZ Saloon and Bridal House (mengurus resepsi di Johor), Jakel (fabrik), Polkadotted Creative Solutions oleh Jeslina Hashim (dekorasi)dan The Blooming Cake.

"Saya dimaklumkan ketiga-tiga pakaian yang akan saya pakai nanti telah disiapkan tetapi setakat ini saya belum tengok dan cuba lagi.

"Kad jemputan juga telah siap dicetak tetapi belum diedarkan kesemuanya. Saya anggarkan dalam 400 tetamu yang dijemput ke majlis nikah kami nanti.

"Kalau boleh saya nak jemput semua tetapi tak dapat buat. Jadi, saya ingin memohon maaf kepada mereka yang kami tidak dapat jemput," beritahu Linda yang akan membawa turun ahli keluarganya dari Amerika Syarikat semasa majlis itu nanti.

Resepsi perkahwinan sebelah Que pula akan diadakan di Felda Taib Andak, Johor pada 15 Mac.

Majlis resepsi di Bora Ombak sempena Hari Valentine akan diserikan oleh anak didik Linda dari Akademi Fantasia iaitu penyanyi Amylea, Farhan dan Riz.

Besi yang baik itu tidak akan berkarat!

Penyanyi bervokal hebat Faizal Tahir dalam satu pose istimew ketika membuat persembahan di Anugerah Juara Lagu ke 23 baru-baru ini.

KATA orang anak sungai lagikan berubah, inikan pula hati orang. Tambah pula, kalau seseorang itu sudah mengecapi kemasyuran dan kekayaan.

Manisnya menjadi orang berharta hingga terlupa usul diri - siapa rakan dan taulan, siapa saudara?

Bila sudah terleka dan terbuai dengan segala kemegahan tentu saja cakap-cakap sumbang seperti yang selalu Kakak Tua titipkan di sini akan diperlekehkan.

Silap tulis diugut saman, silap cakap tanggunglah sendiri. Disisih, dipinggir dan disalahkan sudah jadi basahan orang media.

Kerana sedar, berdiri tidak sama tinggi, duduk tidak sama rendah, Kakak Tua tidak pernah berangan untuk bercinta dengan geliga di mulut naga.

Dan sejak berzaman, Kakak Tua sudah semakin bijak menilai untung diri. Kalau hendak berurusan dengan orang berada dan berpengaruh macam dalam filem 'Antara Dua Darjat', jati diri kena kuat.

Status quo tetap dipandang walaupun mulut saja berkata, kita Islam bersaudara.

Kalau sumbang dipandang mata, jangan cepat menegur. Kalau kuku dicat hitam atas nama persembahan, biarkan saja kerana Faizal Tahir tidak usik sesiapa.

Kalau kerudung Siti tidak melitup semua helaian rambut, itu kan urusan peribadi. Walaupun sebagai mukmin, kita perlu berpesan-pesan dan saling menasihati.

Lagipun ramai yang masih tidak menutup aurat. Sekurang-kurangnya Siti sudah hampir 'menyempurnakan' apa yang wajib.

Kejelitaan milik penyanyi kesayangan ramai Datuk Siti Nurhaliza.

Vokal yang sedap, persembahan yang unik, lagu pula menarik sudah cukup memartabatkan penyanyi berbakat di tempat yang istimewa.

Walaupun tersilap tulis 'Faizal akan bersara' hakikatnya dinafikan penyanyi yang berwajah 'Red Indian' ini. Semuanya atas nama kemasyuran, media terpaksa memaafkan. Memang 'silap' mediapun, tersalah tafsir apa yang tersirat di dada Faizal.

Terkhilaf di mata, tersentuh di hati, itu bukan masalah Faizal, mahupun penyanyi kesayangan ramai Datuk Siti Nurhaliza.

Tapi yang sedihnya, media sekarang seperti 'hilang harga diri' bila berhadapan dengan penyanyi yang menjadi sanjungan ribuan peminat.

Walaupun ada yang kata mata pena lebih tajam, ia ke? Mungkin itu dulu. Kini, wang ringgit dan pengaruh lebih memberi kesan.

Ramai yang buat-buat tak faham, media serba salah. Bila diundang penyanyi terkenal terpaksa cepat-cepat datang, takut nanti suratkhabar tidak laku pula kerana tiada berita tentang penyanyi kesayangan. Dek kerana sudah lali dilayan seperti 'Melukut di Tepi Gantang', Kakak Tua langsung tidak terkesan. Disuruh datang, Insya Allah tak datang. Kalau tak diundang, lapang rasa dada.

Malah, Kakak Tua rasa lega sangat kerana tersisih dari kilauan dan gemerlapan perkahwinan yang diangkat 'Wedding of the Year' Mawi-Ekin.

Walaupun terfikir apa sebenarnya alasan di sebalik keriuhan dan kemeriahan dua selebriti ini berkampung, berdendang dalam konsert dan atas pelamin anganan.

Hendak membalas jasa peminat sekalipun, adakah itu yang dituntut agama?

Pembaziran RM5juta ringgit untuk penyatuan dua jiwa dalam ikatan perkahwinan agak melampau, kata hati ini.

Tapi yang diraikan bukankah 'Raja SMS'? Jadi, semuanya dibolehkan kerana atas alasan kemasyuran.

Gelagat artis terkenal hiasi Roda Impian musim baru

Kieran dan Fauziah Ghous bergandingan buat kali pertama sebagai host Roda Impian musim terbaru. Foto The star Oleh: ABDUL RAHMAN SENIN.

TIGA tahun menyepi selepas pemergian hostnya, Allahyarham Hani Mohsin kini program gameshow popular Roda Impian yang diadaptasi dari Wheel Of Fortunekembali menemui penonton.

Program yang mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book of Records sebagai gameshow paling lama bertahan di Malaysia ini akan mula menceriakan penonton setia TV3 mulai 16 Februari, setiap Isnin hingga Rabu jam 5.30 petang.

Lebih istimewa kali ini Roda Impian menampilkan gandingan pengacara baru, Maskiran Jakiran atau lebih dikenali sebagai Kieran dan Nor Fauziah Ghous (Fauziah Ghous).

Pastinya ia bakal memberikan suntikan segar kepada program yang diminati oleh semua kelompok masyarakat ini.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Jenama TV3, Sherina Nordin, penerbitan program bermutu seperti Roda Impian merupakan nadi kepada televisyen ini.

“Dengan adanya program gameshow Roda Impian di sebelah petang akan memperlengkapkan lagi konsep saluran TV3 yang mensasarkan kepada mass market.

“Di samping itu, usaha TV3 menerbitkan semula gameshow Roda Impian ini mengulangi kejayaan zaman kegemilangan Pop Kuiz dan Sempurnakan Harimu yang berjaya menambat hati sebilangan besar penonton,” kata Sherina.

Jelasnya, konsep Roda Impian yang mudah difahami kerana ianya pernah disiarkan dahulu dan merupakan gameshow paling popular ditayangkan di seluruh dunia mengikut versi negara masing-masing.

Pelakon Fauziah Ghous bertindak sebagai gadis pembuka kotak dalam gameshow Roda Impian.

“Melalui program ini penonton bukan sahaja dapat berhibur melihat telatah peserta yang bertanding malah mereka dapat menguji kecerdasan minda dengan menyelesaikan teka kata yang diberikan.

“Roda Impian telah pun menjalani rakaman bermula pada 10 Januari yang lalu. Setiap minggu, ada tema yang berlainan akan ditampilkan seperti minggu selebriti, penyampai radio, personaliti TV3, Hari Ibu dan Anak, Hari Bapa dan Anak, Selebriti Kanak-kanak dan Ulang Tahun TV3 yang ke-25,” ujarnya.

Bagi penonton di rumah jangan lupa saksikan gelagat dan telatah artis kesayangan mereka menjadi peserta Roda Impian seperti Lydia Ibtisam, Kartina Aziz, Shamsul Ghau Ghau, Naz, Azhar Sulaiman, Zizan Nin, Maria Tunku Sabri, Farah Wahida, Awal Ashaari, Zed Zaidi dan ramai lagi.

Tambah Sherina, Roda Impian maih lagi mengekalkan format yang sama kerana ia sememangnya telah dilesenkan sedemikian.

“Kami tidak boleh membuat perubahan dari segi isi kandungan kerana ia memang telah dilesenkan sedemikian. Namun untuk menjadikannya lebih menarik kami memasukkan tema mingguan seperti hari Ibu, hari Bapa, selebriti dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Kieran yang ditemui selepas sidang akhbar pelancaran Roda Impian musim terbaru di Filem Negara berkata dia agak takut ketika mula-mula mengacarakan rancangan tersebut.

“Bukan mudah sebernarnya menjadi pengacara gameshow, saya berdebar-debar nak tunggu reaksi penonton sebab ini program berbentuk serius yang pertama saya jadi host.

Pengurus Jenama TV3, Sherina Nordin bersama penaja gameshow Roda Impian, memutar roda pada majlis perasmian program tersebut.

“Saya memang suka jadi pengacara tapi yang lebih utama reaksi peminat juga amat penting bagi saya,” ujarnya yang juga deejay di Hot FM.

Menurutnya, dia tidak mempunyai masalah dari segi masa untuk melakukan rakaman untuk program Roda Impian kerana pihak TV3 telah bersetuju untuk mengikut kelapangan masa kerjanya.

“Alhamdulillah dari masa TV3 ikut kelapangan masa saya bekerja, walaupun penat buat dua kerja dalam satu masa saya tetap seronok,” ujarnya dalam nada ceria.

Bagi pelakon yang sedang meningkat naik, Fauziah Ghous ini ketika ditawarkan menjadi gadis pembuka kotak dia agak teragak-agak pada mulanya.

Namun semuanya berubah setelah dia mendapatkan nasihat daripada bekas gadis pembuka kotak Roda Impian musim sebelumnya, pelakon Siti Sharizah atau Eja.

“Kak Eja banyak nasihatkan saya supaya terima tawaran ini kerana di sini kita banyak akan belajar dan yang penting katanya poket 'mashyuk'. Pedulikan apa orang kata, yang penting kita diri sendiri seronok dengan apa yang dilakukan,” ujar Fauziah.

Pada setiap episod 3 peserta akan bertanding untuk menyelesaikan teka kata dan memenangi pelbagai hadiah menarik dan wang tunai yang tertera di roda.

Peserta yang berjaya menjuarai pusingan akhir bakal membawa pulang hadiah utama bernilai hampir RM100,000, kereta Suzuki Swift Sport 1.6 Auto. Roda Impian musim baru ini diterbitkan oleh produksi Juita Viden.

Seiring dengan perkembangan teknologi semasa, papan teka kata yang digunakan untuk program Roda Impian sudah tidak lagi perlu dibuka kerana pada musim baru ini pihak penerbitan telah memilih papan teka kata yang bersifat ‘touch screen’.

Ia sekaligus memudahkan tugas gadis pembuka kotak yang digalas oleh pelakon Fauziah Ghous.

Pastinya para penonton sudah tidak sabar untuk melihat Kieran dan Fauziah Gohus digandingkan buat pertama kalinya mengendalikan Roda Impian 65 episod ini.

Uji ketangkasan minda anda dan berhibur dengan menonton Roda Impian setiap Isnin hingga Rabu, jam 5:30 petang di TV3!

Nabila enggan ikut jejak langkah Amy Search?

LAGU 'X-Ray' nyanyian anak perempuan kepada rocker terkenal tanahair, Amy Search ini saban hari semakin kerap diputarkan di radio-radio. Tidak dinafikan, lagu yang 'catchy' ciptaan sepenuhnya oleh Edry Hashim itu cukup sesuai dengan 'jiwa' Nabila Huda.

Meskipun lagu tersebut makin mendapat tempat di hati ramai peminat muzik tempatan, populariti yang diraih oleh lagu itu nyata mengejutkan tuan empunya diri, apatah lagi Nabila sendiri tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi agar lagu 'X-Ray' itu berjaya mencuri tumpuan ramai.

Tutur pelakon yang baru mendirikan rumahtangga dengan suaminya Zaidy Zailani pada 2 Disember lalu, idea menghasilkan single itu sebenarnya dibuat atas dasar 'suka-suka'.

"Lagu single itu memang sudah lama saya rakamkan. Rasanya lima bulan sebelum saya berkahwin. Itu pun atas cadangan Papa. Kebetulan pula saya memang minat menyanyi, jadi saya 'try' sajalah.

Nabila terkejut lagu single 'X-Ray' nyanyiannya berjaya mendapat sambutan baik peminat muzik tempatan

"Tapi memang tidak terlintas langsung di fikiran saya untuk hasilkan album penuh. Saya tidak bersedia ikut jejak langkah Papa bergelar penyanyi walaupun dia sendiri cukup 'supportive'," kata pelakon berusia 24 tahun ini.

Menurut Nabila lagi, andai kata dia ditawarkan membuat album berdasarkan sambutan yang baik terhadap lagu tersebut, dia tetap akan cuba menolak dengan baik kerana belum bersedia dengan komitmen yang tinggi dalam bidang tersebut.

"Sejujurnya, saya memang tidak ada masa untuk hasilkan album. Prosesnya bukan mudah dan memakan masa juga. Lagipun, jadual harian saya memang padat dengan aktiviti lakonan.

"Setakat diundang untuk buat 'show', saya rasa tidak menjadi satu kesalahan. Tetapi apapun, bidang lakonan tetap menjadi keutamaan saya," kata Nabila.

Sibuk bahagi masa antara karier dan rumahtangga

Hampir dua bulan bergelar isteri, akui Nabila, dia merasakan hidupnya kini lebih terisi. Jika dulu, segala-galanya dilakukan untuk dirinya sendiri, tetapi kini pelakon ini perlu memikirkan tanggungjawab terhadap si suami pula.

Tutur Nabila, walau sesibuk mana pun jadual hariannya sebagai pelakon, dia akan tetap cuba pulang ke rumah dan menyediakan makan malam untuk suami tercinta.

"Banyak perubahan sebenarnya setelah saya bergelar isteri. Saya sedar saya tidak boleh ambil mudah terhadap tanggungjawab saya.

"Makan pakai suami perlu saya juga. Seboleh mungkin, setiap hari saya akan sediakan sarapan pagi dan kalau berkesempatan, saya akan segera pulang untuk sediakan makan malam juga.

"Penat macam mana pun, saya perlu galas tanggungjawab dengan baik," ujar Nabila yang kini menetap di rumah ibunya, Farida Fadzil.

Malah, kesibukan di lokasi penggambaran juga membuatkan pasangan ini belum berkesempatan untuk berbulan madu sejak berkahwin kira-kira dua bulan yang lalu.

"Kami tidak sempat merancang apa pun. Memang dulu saya pernah kata berkemungkinan untuk mengerjakan umrah bersama suami dan ahli keluarga yang lain.

"Tetapi setelah masing-masing sibuk dengan urusan sendiri, kami tangguhkan dulu sebarang perancangan itu. Insya-Allah, saya akan cuba curi masa sedikit tahun ini untuk pergi berbulan madu," katanya yang sedang menjalani penggambaran drama bersiri cinta Untuk Ain bersama pelakon-pelakon seperti Sherry Ibrahim dan Rozie Othman.

Selain sibuk dengan drama, Nabila juga sedang menantikan tayangan untuk dua buah filem lakonannya pada tahun ini iaitu Bohsia dan Duhai Si Pari-Pari.

Mengulas tentang filem Bohsia arahan Shamsul Yusof yang mendapat klasifikasi 18 PL daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF), kata Nabila, dia tidak merasakan filem itu akan mencetuskan kontroversi gara-gara label 18 PL itu.

"Saya tiada masalah bila filem itu diklasifikasikan 18 PL. Bagi saya, filem itu sarat dengan mesej yang ingin disampaikan, bukan untuk mencetuskan kontroversi," tuturnya yang memegang watak utama dalam filem tersebut.

Filem Bunian jadi platform tonjol bakat sebenar

BINTANG baru ini memang sudah lama meletak sasaran untuk melangkah ke layar perak sebelum tahun 2008 melabuhkan tirainya. Ternyata hasrat tersebut berjaya juga dicapai oleh Mimi Rahzia atau lebih mesra dengan panggilan Mimi ini apabila dia ditawarkan memegang watak Puteri Mawar Putih di dalam filem sulung terbitan komposer tersohor, Adnan Abu Hassan berjudul Bunian: Mahkota Seri Helang.

Bukan calang-calang karektor yang dibawanya ini. Menjadi antara tunggak utama di dalam filem yang turut akan dijayakan oleh dua pelakon hebat, Rusdi Ramli dan Nasha Aziz, Mimi akui perasaan gementar itu tidak dapat ditangkis di dalam dirinya.

Bagi pelakon berasal dari Brunei ini, jika silap percaturan dan gagal menampilkan lakonan yang memberangsangkan, filem tersebut juga mungkin akan menyaksikan 'berkuburnya' karier seni yang mula disemai oleh Mimi kira-kira dua tahun yang lalu.

Mimi bakal bergandingan dengan Rusdi Ramli dan Nasha Aziz di dalam filem Bunian:Mahkota Seri Bunian

"Saya memang berharap sangat agar diberi peluang muncul di layar perak. Alhamdulillah, setelah ditawarkan membintangi filem Momok The Movie arahan M.Jamil, sekali lagi saya ditawarkan menjayakan filem Bunian ini.

"Cuma kali ini cabarannya tentu berbeza kerana saya memegang watak utama dan karektornya lebih berat. Di dalam Momok The Movie yang akan memulakan penggambaran awal Februari ini, saya hanya sebagai watak pembantu.

"Sudah pasti perasaan teruja dan gementar memang saling bercampur-aduk dalam diri saya apatah lagi gandingan saya cukup hebat. Takut juga kalau lakonan saya dalam Bunian nanti tidak 'menjadi'. Walaupun sudah banyak drama yang saya berlakon, tetapi tidak sama dengan berlakon filem.

"Tetapi, saya harap pendedahan pertama saya di dalam Filem Momok nanti mampu memberikan saya sedikit persediaan untuk menjalani penggambaran filem Bunian kelak.

"Walaupun tidak banyak babak saya di dalam filem Momok itu, saya yakin sedikit sebanyak saya akan mengutip pengetahuan tentang layar perak dan boleh digunakan di dalam filem saya seterusnya itu," kata Mimi.

Bunian: Mahkota Seri Helang yang akan dibuat dalam bentuk trilogi seperti Lord of the Ring itu dijangka akan memulakan penggambaran pada akhir bulan depan.

Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan tentang Rosman (Rusdi) yang masuk ke dalam alam bunian setelah terjatuh ketika mendaki gunung. Dia dibantu oleh Puteri Manja Sakti (Nasha) dan dibawa ke perkampungan bunian.

Lama-kelamaan, terbit perasaan cinta di hati Rosman dan Puteri Manja Sakti, namun pada masa yang sama Rosman juga turut disukai oleh Puteri Mawar Putih (Mimi).

Pelbagai konflik timbul seterusnya apabila kampung bunian itu dilanda masalah serta keinginan Rosman yang ingin kembali ke alam nyata.

Mengulas tentang tawaran membintangi filem yang menelan belanja kira-kira RM3 juta itu, kata Mimi, dia sudah mengetahui tentang idea penghasilan filem itu daripada Adnan sebelum berkecimpung di dalam bidang lakonan lagi.

"Sudah lama sebenarnya saya kenal dengan Adnan. Saya ada menyertai kelas vokal yang dia anjurkan kira-kira lima tahun yang lalu. Sewaktu itu, saya masih belum menceburi bidang seni.

"Saya sudah mengetahui sinopsis cerita ini dari Adnan sendiri sebab dia ada bercerita tentang ideanya untuk buat filem seperti ini. Tetapi tidaklah pula dia berhasrat untuk ambil saya berlakon ketika itu.

"Selepas saya mula melangkah di dalam bidang lakonan ini, dia sering mengikuti perkembangan saya dan pernah datang menyaksikan pementasan teater Lorong Blues arahan Fauziah Nawi yang saya jayakan.

"Dari situ mungkin dia nampak bakat saya dan dia beritahu akan cadangkan nama saya kepada pengarah filem Bunian ini, Jantan, dan setelah menyerahkan video 'casting', akhirnya saya dipilih untuk watak Puteri Mawar Putih itu," tutur pemegang Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perakaunan, Universiti Teknologi Sydney-Kolej Taylors ini.

Tambahnya lagi, ketika ini dia banyak berbincang dengan mentornya, Fauziah Nawi untuk menganalisa watak tersebut.

"Saya bertuah kerana sentiasa mendapat bimbingan ibu Fauziah. Dia banyak mengajar selok-belok dunia lakonan. Setakat ini, saya cuba belajar menghayati karektor tersebut dengan baik," kata pelakon berusia 30 tahun ini.

Ditanya sama ada dia akan turut melangkah ke bidang nyanyian pula setelah mengikuti kelas vokal tersebut, sambil ketawa Mimi menjawab:

"Tak adalah. saya masuk kelas tu pun hanya selama enam bulan saja dan saya akui, saya memang tidak pandai menyanyi. Perkara ini diakui oleh Adnan sendiri.

"Sejujurnya, saya masuk kelas vokal tersebut sebagai satu cara untuk meningkatkan tahap keyakinan diri saya dan cuba mencari peluang dari situ untuk menceburi bidang seni," ujar anak kedua daripada enam beradik ini.

Pencarian 'Baby Ballroom' di ntv7

Aksi comel 14 pasangan penari ballroom muda, berumur dari enam tahun hingga sebelas tahun bersaing untuk jolokan juara Baby Ballroom.

SALURAN ceria anda ntv7 akan menyajikan beberapa koleksi program baru seperti Baby Ballroom, Cash dan Treasures serta Bones musim keempat di bulan Februari ini.

Tontonilah aksi comel dan mencuit hati anak-anak kecil dalam sebuah rancangan tarian di kaca televisyen – Baby Ballroom. 14 pasangan penari ballroom muda, berumur dari enam tahun hingga sebelas tahun bersaing untuk jolokan juara Baby Ballroom.

Penari kecil ini dikehendaki untuk menambat hati panel juri yang terdiri daripada tiga selebriti; Ray Quinn dari X Factor, bintang muda Bonnie Langford dan tutor tarian terkenal - Pierre Dulaine.

Dihoskan oleh Kate Thornton, Baby Ballroom mencari penari muda paling berbakat dan hebat bawah dua belas tahun yang berani untuk menyertai beberapa cabaran di ruang tari-menari sehinggalah berjaya ke peringkat akhir.

Bones Musim 4, sebuah siri penyiasatan yang penuh dengan babak mendebarkan ini bermula dengan sebuah kes profail tinggi yang memerlukan kemahiran Brennan dan Booth.

Lihat aksi penari muda ballroom ini dengan gaya tersendiri dan kemahiran mereka yang mengagumkan dalam Baby Ballroom, setiap Isnin, dari 8.30 malam hingga 9.30 malam mulai 2 Februari ini.

Cash and Treasures pula ialah siri dokumentari pengembaraan terbaru di ntv7. Setiap minggu, pengacara Kirsten Gum akan mengetuai suatu adventur yang menarik dan luar biasa bagi mencari batu permata semulajadi, harta karun dan pelbagai barangan beharga – di lokasi sebenar yang turut boleh diterokai oleh orang ramai. Seterusnya, Kirsten akan menemui pakar tempatan untuk mengubah batu permata mentah ke harta karun tidak ternilai. Juga, anda pasti akan lebih teruja apabila batu permata mentah tersebut dinilai dengan harga yang sangat tinggi dalam segmen Show Me the Money! Reveal.

Harta karun yang dijumpai termasuklah berlian Herkimer, emas Alaska, batu fairuz dan macam-macam lagi. Sertai Kirsten Gum pada setiap Isnin, dari 7.30 malam hingga 8 malam mulai 23 Februari.

Bones musim ke-4, sebuah siri penyiasatan yang penuh dengan babak mendebarkan ini bermula dengan sebuah kes profail tinggi yang memerlukan kemahiran Brennan dan Booth. Pada episod lepas, Zack terbukti mempunyai hubungan dengan seorang penjenayah iatu anak didik kepada seorang pembunuh upahan bernama Gormogon.

Kali ini, lebih banyak kes menarik yang dibongkar oleh agen handalan ini termasuklah kes seorang hos program realiti TV terkenal, penulis sains fiksyen yang digeruni, sukarelawan, paderi dan banyak lagi. Persahabatan antara Brennan (Emily Deschanel) dan Booth (David Boreanaz) turut dilanda badai musim ini.

Bones Musim 4 bersiaran setiap Isnin dari jam 8.30 malam hingga 9.30 malam mulai 23 Februari ini.

Bones bersiaran setiap Isnin dari jam 8.30 malam hingga 9.30 malam mulai 23 Februari ini!

Aniston akan bertentang mata dengan 'Brangelina' di Malam Oskar

Bekas bintang 'Friends' baru-baru ini telah menyindir Angelina Jolie dengan menggelarnya 'uncool' dalam satu temuramah dengan majalah Vogue.

KALAU di Anugerah Golden Globes baru-baru ini, Jennifer Aniston sanggup beralah tidak datang. Khabar terbaru yang diterima mengatakan bekas isteri Brad Pitt itu akan meneruskan rancangan untuk hadir di Anugerah Oskar yang akan diadakan pada 22 Februari nanti.

Lebih menarik pasangan kekasih, Brad Pitt dan Angelina Jolie mendapat pencalonan di anugerah gilang gemilang itu dan Jennifer pula telah dijemput untuk memberi anugerah.

Sahabat baik Jennifer berkata, "Jennifer akan mendapat penghormatan untuk memberi Oskar pada malam tersebut. Sewaktu Anugerah Golden Globes, Jennifer sangat berbaik hati dan beralah walaupun filemnya 'Marley and Me' mendapat pencalonan. Untuk Anugerah Oskar, filem tersebut mendapat pencalonan box office."

"Ia akan menjadi malam istimewa untuk Jen. Walaupun Brad dan Angie dapat pencalonan tapi Los Angeles adalah bandar Jen."

Bekas bintang 'Friends' baru-baru ini telah menyindir Angelina Jolie dengan menggelarnya 'uncool' dalam satu temuramah dengan majalah Vogue.

Teman lelaki Jennifer pula, John Mayer beriya-iya memujuk Jennifer untuk meneruskan hasratnya untuk berdepan dengan Brangelina di Anugerah Paling meriah di Hollywood itu.

John membakar semangat Jennifer dengan berkata, "Awak mesti pergi? Kenapa mesti bersembunyi di bandar ini? Awak ada sebab untuk hadir. Dengan hadir memberi Anugerah pada malam Oskar itu, awak memberitahu dunia yang.... "Saya tidak peduli tentang Brad dan Angie. Saya berhak ada di sini juga."