Friday, September 2, 2016

Seohyun Mahu Singkir Imej Girls Generation




Seohyun menggunakan lakonan sebagia medium menyingkirkan imej sebagai anggota kumpulan Girls Generation.
PENYANYI Seohyun mula berasa tidak selesa apabila peminat hanya mengenalinya sebagai salah seorang anggota kumpulan Girls Generation.
Atas dasar itu juga Seohyun kini bergiat aktif dalam bidang lakonan bagi menyingkirkan label berkenaan dan berharap peminat dapat melihat dia bukan sekadar pelengkap kepada kumpulan itu.

"Saya bukan lagi seorang remaja dan ingin menunjukkan bahawa saya sudah matang menerusi lakonan saya dan bukan hanya kerana saya anggota kumpulan Girls Generation.

"Ada banyak perkara yang ingin saya tunjukkan kepada peminat dan lakonan adalah medium terbaik dalam menukar imej saya yang dikenali peminat," katanya seperti dilaporkan Soompi.

Terbaharu, pelakon itu baharu sahaja muncul dalam drama bersiri terbaharu berjudulScarlet Heart.

Menerusi drama yang memaparkan zaman bangsawan di Korea, Seohyun melakonkan watak sebagai puteri Baekje yang ingin menjalani kehidupan normal.

Horan (Clazziquai Project) Bercerai Julai Lalu



Horan
PENYANYI Horan sekali lagi mengejutkan industri seni Korea Selatan apabila mengesahkan sudah bercerai pada Julai lalu.
Ahli kumpulan Clazziquai Project itu sebelum ini mengaku sudah berkahwin secara rahsia pada 30 Mac 2013.

Wakilnya berkata, perpisahan yang berlaku secara aman dan tiada sebarang tuntutan dilakukan bagi kedua-dua belah pihak.

"Horan sudah bercerai sekitar sebulan lalu dan perpisahan dilakukan secara baik oleh kedua-dua belah pihak tanpa sebarang konflik," ujar agensi perwakilannya.

Horan mula bercinta dengan suaminya sejak di universiti dan berkahwin tanpa sebarang liputan media.

Bagaimanapun, hubungan mereka masih baik sebagai sahabat selepas membuat keputusan berpisah.

Impian Erra akhirnya jadi kenyataan



Erra Fazira
BAGAIKAN trend kini apabila selebriti tempatan mula tampil dengan jenama sendiri seperti pakaian, minyak wangi dan banyak lagi bukan sahaja untuk dijual kepada peminat, tetapi juga pada mereka yang berminat.
Dan terbaharu, pelakon dan penyanyi, Erra Fazira, 43, melancarkan rangkaian wangiannya yang diberi nama Loveable dan Forget Me Not, baru-baru ini.
Lebih istimewa wangian tersebut dihasilkan dengan kerjasama syarikat Hot Perfumes & Air Fresheners Industries Sdn Bhd dari United Kingdom dan berstatus halal.
Biarpun sudah ramai selebriti lain yang sudah tampil dengan wangian sendiri, ia bukan penghalang buat Primadona Malaysia ini menghasilkan benda yang sama.
“Saya sedar sudah ramai selebriti yang mengeluarkan produk wangian dan ia bukan satu masalah buat saya kerana itu rezeki masing-masing.
“Lagipun setiap orang mempunyai selera masing-masing. Kalau saya sendiri mempunyai lebih 100 koleksi minyak wangi, saya rasa tidak mustahil orang lain juga begitu,” katanya ketika ditemui pada pelancaran minyak wanginya, baru-baru ini.
Namun bukan mudah buat anak jati Rawang, Selangor ini menghasilkan wangian sendiri dan dia hampir berputus asa untuk meneruskan impiannya ini.
“Saya akui hampir berputus asa untuk mengeluarkan wangian sendiri kerana beberapa faktor melibatkan kos, bauan dan banyak lagi. Jadi, apabila pihak Hot Perfumes membuka jalan untuk saya, saya berasa sangat lega.
“Bagaimanapun ia tetap bukan mudah awalnya kerana ada wangian yang saya mahu, tidak ada pula, kemudian botol, tapi saya lega apabila ia akhirnya telah siap sepenuhnya,” katanya.
Ditanya idea dan inspirasi menghasilkan minyak wangi ini, Erra berkata, segalanya bermula selepas melihat Rozita Che Wan melancarkan minyak wangi tahun lalu.
“Saya terfikir mengapa tidak saya pun berbuat demikian. Dalam masa yang sama, saya mahu menghadiahkan sesuatu yang istimewa untuk peminat,” katanya.
Erra berkata, untuk permulaan, dia mengeluarkan 20, 000 botol wangian dan pertambahan pengeluaran bergantung kepada jumlah permintaan selepas ini.
“Sama seperti artis lain, saya juga menjual minyak wangi ini melalui laman sosial dan stokis. Untuk kumpulan pertama, saya hanya keluarkan 20,000 dan selepas ini semuanya bergantung kepada pesanan,” jelasnya.
Tak peduli kritikan
Dalam pada itu, ditanya mengenai kritikan sesetengah pihak terhadap anaknya baru-baru ini yang dikatakan kurang fasih berbahasa Melayu, Erra berkata, dia tidak mempedulikan kata-kata negatif sesetengah pihak.
“Saya tidak nafikan Aleesya lebih selesa dan kami sendiri berinteraksi menggunakan bahasa Inggeris dengannya. Jadi, saya kini sedang cuba menyeimbangkan keduanya.
“Tapi dia masih budak lagi dan tidak perlulah menilai dia hanya kerana dia kurang fasih berbahasa Melayu.
“Apa saya pentingkan adalah dunia dan akhiratnya seimbang. Yang mana tampil dengan komen negatif saya biarkan sahaja,” katanya.

Tombiruo tarik Farid Kamil



Farid Kamil
Farid Kamil
NAMA pelakon ini sememangnya tidak asing lagi dengan watak-watak dari filem adaptasi. Antara filem adaptasi yang pernah dibintanginya adalah Main-Main Cinta, siri Lagenda Budak Setan dan Langit Cinta.
Terbaharu, melengkapi genre filem adaptasi lakonannya, aktor Farid Kamil mengakui amat berharap untuk membintangi filem adaptasi Tombiruo: Penunggu Rimba.
Justeru, apabila terpilih dan menjadi barisan teraju utama, dia amat bersyukur.
“Sejujurnya saya tidak pernah membaca naskhah ini, tapi saya tahu ia adalah antara novel  terkenal. Bahkan apabila membaca penceritaan karakter, saya terus rasa mahu lakukan,” katanya yang memegang watak sebagai Aminuddin.
Jelas Farid, biarpun tidak pernah membaca novel, namun ia tidak menjadi penghalang buatnya mendalami watak Aminuddin.
“Kita lalui sesi latihan, sesi bacaan skrip termasuk perbincangan bersama Ramlee Awang Murshid, Nasir Jani kira-kira sebulan sebelum penggambaran.
“Saya dengar penerangan dari Ramlee sahaja saya sudah dapat bayangkan bagaimana watak yang dia mahukan.
“Kalau ikutkan dari filem adaptasi sebelum ini pun saya tak pernah membaca novelnya dan Alhamdulillah setakat ini orang suka dengan terjemahan watak saya dan saya harap untuk Tombiruo ini pun, saya dapat memuaskan hati semua,” katanya.
Ditanya cabaran membawakan watak ini, Farid berkata, antara cabaran utamanya dalam Tombiruo adalah penggunaan dialek Sabah sepenuhnya.
Katanya, dia banyak meminta bantuan seorang guru bahasa yang disediakan pihak produksi untuk mendapatkan sebutan dan cara penyampaian yang betul.
“Di set penggambaran memang ada guru bahasa yang memantau pertuturan kami. Walaupun kami tidak guna bahasa Sabah pendalaman, tapi pengarah dan penerbit tetap mahu kami bercakap bahasa Sabah yang sebaiknya,” katanya yang turut melakukan aksi silat dalam filem itu.
Sementara itu, berkongsi perkembangan terkininya, Farid berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem Pinjamkan Hatiku yang berlangsung di New Zealand.
Pada masa sama, dia masih sibuk mengumpulkan material termasuk penghasilan skrip bagi filem aksi terbaharu yang masih lagi dalam proses perancangan.

Kemeriahan berganda Dayang Nurfaizah



Kemeriahan berganda Dayang Nurfaizah
Dayang Nurfaizah
SABAN tahun, tarikh keramat 31 Ogos membawa pengertian yang sangat bermakna buat penyanyi hitam manis, Dayang Nurfaizah.
Tidak hanya meraikan Hari Kemerdekaan, anak jati Bumi Kenyalang ini turut menyambut ulang tahun kelahiran bapanya, Awang Dowty Awang Fauzi.
"Alhamdulillah. Ayah sambut hari jadi yang ke-67 tahun ini.
"Walaupun ayah lahir sebelum merdeka, tetapi ia tetap merupakan hari yang istimewa," katanya kepada Zass.
Tambahnya, situasi itu sekali gus menyebabkan kemeriahan yang dialami lebih terasa manakala kegembiraan pula berganda.
"Pastinya, setiap tahun, dua acara ini disambut sekali gus bahkan tidak sesekali akan dilupakan.
"Lagi pula, kedua-dua acara ini ada makna tersendiri dalam hidup saya," katanya.
Dalam kemeriahan menyambut Hari Kemerdekaan ke-59, penyanyi berusia 36 tahun ini mengakui berbangga menjadi anak Malaysia.
"Hari ini merupakan hari sangat istimewa dan sepatutnya diraikan serta dihargai apatah lagi bukanlah mudah untuk mendapatkannya.
"Semangat merdeka harus ada dalam diri semua masyarakat bukan sahaja pada Hari Kemerdekaan tetapi pada bila-bila masa kerana setiap hari kita berpijak dan bernafas atas bumi bernama Malaysia,” katanya.
Bahkan, pelantun lagu Di Pintu Syurga ini menyifatkan selebriti juga mempunyai peranannya tersendiri dalam melunaskan tanggungjawab kepada masyarakat sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
"Biasanya, saya  kerap kali dijemput memeriahkan pelbagai konsert kemerdekaan. Dalam konsert itu, saya akan menyanyikan lagu bertemakan patriotik dan juga lagu popular semasa untuk memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan.
"Apa yang penting, konsert seumpama itu bukanlah bersifat kosong semata-mata, sebaliknya lebih kepada pengisian kemerdekaan itu sendiri terutamanya penghayatan dan erti merdeka dalam diri," katanya.
Pelantun lagu Langit Cinta ini baru sahaja memeriahkan sambutan malam Hari Kemerdekaan menerusi Konsert Sehati Sejiwa di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Konsert itu turut dimeriahkan barisan artis terkenal seperti Faizal Tahir, Ella, Tomok, Yasin, Fareez, Qody, Wanie, Azmil serta Sandra dan dihoskan oleh AG KoolFM, Fiza Sabjahan dan Marsha.
Tidak pilih komposer
Sementara itu, bercerita mengenai kerjaya seninya, pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini mengakui sedang sibuk sibuk mengumpul material untuk album ke-11.
Pelantun lagu Seandainya Masih Ada Cinta ini memberitahu, album terbarunya itu bakal memuatkan 10 lagu.
"Sebenarnya, saya perlu merakamkan beberapa lagu lagi. Saya tidak mahu terburu-buru dalam mengeluarkan album.
"Biarlah ia lambat asalkan saya dapat beri yang terbaik, kalau boleh setiap lagu dapat menjadi single hit dan bukan sekadar tangkap muat.
"Lagi pula, saya juga tidak begitu risau kerana bagaikan sudah menjadi trend apabila ramai penyanyi menghasilkan single demi single terlebih dahulu," katanya.
Tambahnya, album baharunya itu menggunakan khidmat sepenuhnya daripada komposer tempatan.
"Selalunya apabila diberi sesebuah lagu, saya akan mendengarnya terlebih dahulu dan kemudian barulah bertanya siapa yang buat lagu tersebut.
"Saya lebih mementingkan lagu itu sendiri dan bukan hanya akan bekerja dengan orang yang saya kenal.
"Baik popular atau tidak, baharu atau lama, saya tidak kisah asalkan melodi lagu tersebut bagus dan sesuai dengan saya. Saya juga senang dan suka bekerja dengan orang yang mudah berbincang," katanya.
Bakal ke AJL?
Kini, Dayang Nurfaizah turut sibuk mempromosikan single terbarunya, Lelaki Teragung yang dihasilkan komposer baharu, Natasyah dan penulis liriknya, Iman Imran.
Lebih tiga minggu menduduki Carta 20 Muzik-Muzik, ramai yang meramalkan Lelaki Teragung bakal ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), tidak lama lagi.
Pun begitu, Dayang tidak meletakkan harapan yang besar tetapi mengakui situasi tersebut memberinya satu tekanan.
"Ya, ia memang ia satu tekanan apabila orang selalu memberi harapan. Saya takut jika tidak berjaya menunaikan impian tersebut.
"Pada masa sama, keadaan itu menyebabkan saya akan terus mencuba seterusnya berusaha dan berjuang buat yang terbaik. Doa-doakan sahaja.
"Kalau benar ada peluang untuk ke pentas AJL, alhamdulillah. Saya seronok bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga buat peminat. Kalau tidak berjaya pun, saya masih tetap rasa gembira kerana saya sudah berusaha yang terbaik," katanya.

Ular sawa bawah pacuan empat roda



Ular sawa bawah pacuan empat roda
Ghazali (kiri) turut bekerjasama dengan anggota JPAM Pasir Mas mengeluarkan ular sawa yang bersembunyi di bawah kotak gear pacuan empat roda miliknya
PASIR MAS - Seorang penduduk di Kampung Tok Dap, Tok Uban dikejutkan dengan kehadiran seekor ular sawa jantan yang bersembunyi di bahagian kotak gear kenderaan pacuan empat roda miliknya.
Ghazali Daud, 56, berkata, kejadian tersebut disedarinya pada jam 7 pagi apabila dia terlihat seekor ular sawa sepanjang 3.5 meter menyusur masuk ke bawah kenderaan yang diletakkan di hadapan rumahnya.
“Sebaik nampak ular tu, saya terus memeriksa kenderaan dan mendapati ular sawa seberat 20 kilogram itu berada berhampiran kotak gear.
Saya cuba keluarkannya sendiri tapi usaha tersebut gagal sebab ruang terlalu sempit.
“Kemudian saya ambil keputusan dapatkan bantuan daripada pihak Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Pasir Mas,” katanya.
Menurutnya, selepas usaha tersebut gagal dia membawa pacuan empat rodanya ke kedai cuci kereta berhampiran bagi memudahkan operasi mengeluarkan reptilia tersebut.
Ghazali berkata, kenderaannya diletakkan di atas jeriji besi bagi memudahkan anggota JPAM menjalankan tugas.
Katanya, JPAM yang diketuai Ketua Skuad Bravo, Mohd Shahrul Aris dan anggotanya mengambil masa satu jam setengah untuk mengeluarkan ular sawa tersebut.
Ghazali berkata, dia lega apabila reptilia itu berjaya dikeluarkan dan terkejut melihat saiznya yang terlalu besar.
“Ini kali pertama saya berdepan kejadian sebegini,” katanya.

Pucuk ubi kayu dikomersialkan



Pucuk ubi kayu dikomersialkan
Aida menunjukkan rendang pucuk ubi ikan bilis yang dikomersialkan. 
UBI kayu atau nama botaninya Manihot Esculenta Crantz ialah tumbuhan tropika dan subtropika yang terkenal sebagai sumber utama karbohidrat dan daunnya boleh dijadikan sayur.
Sebelum kemerdekaan iaitu zaman Tanah Melayu dijajah Jepun pada 1940-an, ubi kayu menjadi makanan utama selain nasi kerana mempunyai pelbagai khasiat.
Daun ubi kayu sering digunakan untuk masakan kampung, antaranya masak lemak cili padi, goreng cili api, sambal tempoyak petai dan pucuk ubi, rendang, ulam dan kerabu.
Namun, bagi Pengasas AA Suite Resources, Aida Othman, rendang pucuk ubi terkenal di Negeri Sembilan yang merupakan makanan tradisi itu perlu dikomersialkan.
“Walaupun rendang pucuk ubi sangat popular, namun ia dihidangkan secara berkuah. Saya mahu ia diinovasikan dan boleh dibawa ke mana-mana dan tahan lama.
“Saya memasak rendang tersebut sehingga kering dan mengekalkan rasanya. Rendang pucuk ubi kayu yang dijual tidak mempunyai bahan kimia dan bahan pengawet," katanya kepada Sinar Harian.
Idea untuk mengkomersialkan rendang itu tercetus apabila Aida yang juga pemilik syarikat pelancongan, sukar mencari makanan halal di luar negara.
“Masalah ini memberikan idea kepada saya untuk menyediakan makanan yang boleh dibawa ke mana sahaja tanpa perlu dipanaskan. Kebiasaannya, pelanggan akan merindui dan mencari makanan tempatan selepas dua hari berada di luar negara,” katanya.
Pada mulanya, Aida hanya memperkenalkan rendang pucuk ubi kepada pelanggannya sahaja dan tidak menyangka ia mendapat permintaan di luar jangkaan.
“Mereka yang menggunakan perkhidmatan kami terutamanya ke Jepun, Korea dan negara-negara Eropah, akan memesan rendang ini. Mereka menjadikannya sebagai pembuka selera yang dimakan bersama nasi panas dan roti,” katanya.
Bagi mendapatkan rasa yang diinginkan, Aida berkata, dia telah memasak rendang sebanyak tiga kali sebelum mendapat rasa yang tepat dan memenuhi selera pelanggan.
“Saya mahu komersialkannya dan melakukan kajian. Saya dapati pucuk ubi kayu tidak boleh dicampur kerana memberikan rasa pahit.
“Maka saya memborong pucuk ubi kayu ubi kayu pulut sahaja dan setelah dimasak hasilnya sangat sedap,” katanya.
Masak lapan jam
Penyediaan rendang pucuk ubi kayu bukanlah semudah yang disangka kerana ia mengambil masa selama lapan jam untuk dikeringkan dan menjadi ringan.
Tambahnya, rendang yang dimasak itu masih mengekalkan bentuk daun dan tidak hancur, itulah yang menyebabkan ia berbeza daripada rendang pucuk ubi kayu sedia ada.
“Proses penyediaannya agak renyah dan memerlukan ketelitian serta kesabaran yang tinggi. Daun ubi kayu perlu dicelur, dibuang air tersebut dan dibilas serta air perlu dikeringkan.
“Dalam masa sama perlu menyediakan kuah rendang dan akhirnya masukkan daun ubi kayu. Saya menggunakan resipi ibu mentua, Noriah Hashim yang merupakan resipi turun-temurun keluarga suami,” katanya.
Menurutnya, untuk menyedapkan rasa rendang tersebut, dia menggunakan ikan bilis.
Aida berkata, walaupun setahun berada di pasaran,  syarikatnya menerima tempahan lebih 3,000 bungkus dan menyasarkan lebih 5,000 bungkus menjelang akhir tahun ini.
Katanya, jualan rendang daun ubi kayu bersama ikan bilis meningkat pada musim perayaan dan dijual melalui atas talian serta stokis di beberapa negeri sahaja.
Menurutnya, rendang pucuk ubi ikan bilis ini sangat eksklusif kerana tidak dipasarkan di kedai runcit.
“Pelanggan perlu membeli secara atas talian atau berkunjung terus ke rumah kami. Kebanyakan pelanggan membeli untuk makan harian dan bekalkan kepada anak-anak mereka yang tinggal di asrama.
“Malah, saya juga menerima tempahan daripada syarikat katering dengan menerima tempahan tiga kilogram dan ke atas,” katanya.
Aida berkata, dia menjual rendang tersebut serendah RM10 bagi 100 gram.
Peluang jana pendapatan
Walaupun mempunyai kebun sendiri, Aida mengakui pucuk ubi kayunya tidak mampu menampung tempahan yang diterima.
“Kami mengambil inisiatif membeli pucuk ubi kayu, serai, cili padi daripada penduduk kampung.
“Alhamdulillah, secara tidak langsung, perniagaan ini bantu menjana pendapatan penduduk kampung," katanya.
Ditanya mengenai perancangannya, Aida berkata, dia mahu mengeluarkan beberapa produk baharu dengan menyediakan rendang yang berasaskan herba.
“Setakat ini saya menyediakan rendang herba secara kecil-kecilan dan menjangkakan dipasarkan di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Aida juga sedang mencari mesin yang boleh menyediakan rendang dalam tempoh singkat iaitu tiga jam sahaja.
“Saya memerlukan mesin tersebut kerana selama ini saya memasak rendang secara konvensional.
“Saya ada memohon daripada agensi tertentu, namun saya perlu mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu perlu mempunyai kilang untuk mendapatkan geran yang disediakan.
“Saya tidak merancang mempunyai kilang sendiri kerana saya mahu menjalankan perniagaan dari rumah sahaja," katanya.