Thursday, June 2, 2016

Terowong pejalan kaki menakutkan



Terowong pejalan kaki menakutkan
Cai Tung menunjukkan hanya satu ‘spotlight’ yang menerangi terowong sepanjang lebih kurang 50 meter
JOHOR BAHRU - Terowong pejalan kaki berhampiran sebuah stesen minyak Jalan Bakawali, Taman Johor Jaya, di sini menakutkan dan bahayakan pengguna.
Seorang pekerja swasta, Nor Azit, Rahmat, 25, berkata, terowong itu menjadi tumpuan pejalan kaki terutama pada waktu pagi dan petang sejak dua tahun lalu, namun beberapa kes jenayah terutama ragut kerap berlaku bukan hanya membabitkan mangsa wanita, tetapi juga lelaki.
“Apa yang saya lihat, pejalan kaki wanita bukan sahaja tidak akan melalui lorong itu seorang diri, malah langkah mereka dilihat berlari anak kerana bimbang dengan keselamatan diri.
“Beberapa kes ragut yang saya tahu sebelum ini dilakukan oleh warga asing yang mengambil kesempatan di kawasan terowong yang sunyi dan gelap pada waktu malam,” katanya kepada Sinar Harian yang melakukan tinjauan bersama Adun Johor Jaya, Liow Cai Tung, di sini, semalam.
Sementara itu, Cai Tung berkata, terowong yang merentasi Jalan Pandan-Kota Tinggi melalui lorong bawah tanah itu menjadi tumpuan pejalan kaki kerana ketiadaan jejantas untuk menyeberang.
Bagaimanapun menurutnya, keadaan terowong yang tidak diselenggara dengan baik sehingga menjadi takungan air pada musim hujan dan diambil kesempatan oleh penjenayah sangat membahayakan pengguna.
“Hanya satu ‘spotlight’ yang menerangi terowong sepanjang lebih kurang 50 meter pada waktu malam, sedangkan kedua-dua lampu jalan di permukaan terowong tidak menyala sejak tiga bulan lalu.
“Kita minta pihak bertanggungjawab lebih prihatin dengan keselamatan orang ramai yang menggunakan terowong ini.
“Tolong pasang ‘spotlight’ yang boleh menerangi kawasan terowong ini termasuk sebuah cermin besar dan landskap yang menyedapkan mata memandang kerana ini satu-satunya laluan untuk menyeberang Jalan Pandan-Kota Tinggi,” katanya.

Ambil masa 10 minit tangkap ular paling berbisa



Ambil masa 10 minit tangkap ular paling berbisa
Ular tedung selar yang berjaya ditangkap sepanjang 3.5 meter seberat enam kilogram dekat Kampung Berjaya Keda Lama, Jeniang, Kedah. 
SUNGAI PETANI – Dalam tempoh 10 minit, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia berjaya menangkap reptilia paling berbisa, ular tedung selar yang bersembunyi berdekatan rumah penduduk di Kampung Berjaya Keda Lama, Jeniang, Kedah.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Leftenan Muda Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari talian MERS 999 pada jam 11.28 pagi semalam dan bergegas ke lokasi kejadian sejurus kemudian.
Menurutnya, sebaik sahaja sampai ke lokasi yang dituju, lima anggota diketuai Sarjan Azizan Hashim segera memeriksa kawasan yang dimaksudkan namun mengesyaki reptilia berkenaan bersembunyi bawah longgokan ranting dan semak tidak jauh dari rumah mangsa.
“Ular Tedung Selar merupakan antara yang paling berbisa dan berupaya berdiri di atas ekor sendiri melebihi ketinggian manusia iaitu lebih dari tiga meter sekiranya diancam.
“Ia juga sangat agresif berupaya mengejar ancaman termasuk kanak-kanak dan orang dewasa yang menghampiri selain boleh membawa maut dengan sekali patukkan,” katanya.
Menurut beliau, dengan menitikberatkan aspek keselamatan, kawasan persembunyian diusik bagi membolehkan ular keluar sebelum teknik pukat dan menjerut digunakan bagi tujuan tangkapan.
“Akhirnya, kita berjaya menangkap seekor ular tedung selar sepanjang 3.5 meter dengan anggaran berat enam kilogram dalam tempoh 10 minit yang pada mulanya disedari berada dalam rumah penduduk.
“Bagaimanapun, ia dilihat keluar dan menyembunyikan diri di sebalik timbunan ranting dan semak berdekatan belukar,” katanya.
Sebelum ini, sebanyak 432 kes dilaporkan dalam tempoh lima bulan pertama 2016 berbanding jumlah keseluruhan yang direkodkan sepanjang tahun 2015 sebanyak 870 kes membabitkan tangkapan ular di daerah Kuala Muda.

OKU penglihatan johan tilawah



OKU penglihatan johan tilawah
Muhammad Qayyim (tengah) bersama ibu bapanya menunjukkan piala dan sijil dimenangi.
BANGI - Pelajar cacat penglihatan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi,18, sekali lagi dinobatkan johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan 2016.
Kemenangan semalam, adalah kali keempat diperoleh pelajar tingkatan lima dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Molek, Kota Bahru, Kelantan itu.
Muhammad Qayyim, satu-satunya peserta cacat penglihatan mengalahkan peserta tilawah dari semua negeri di seluruh negara.
Dia yang menggunakan al-Quran Braille berkata, sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu, bapa dan guru membolehkannya sampai ke  peringkat akhir pertandingan.
Menurutnya, rajin mendengar bacaan taranum al-Quran selain menitikberatkan penjagaan suara menjadi formula kemenangannya.
Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, dia sentiasa ‘menghadap’ tok guru untuk memastikan tiada kesilapan ketika membaca al-Quran.
“Biasanya, saya baca al-Quran dari waktu Maghrib hingga Isyak. Alhamdulillah, syukur atas kemenangan ini, terima kasih kepada ibu, ayah dan guru terutama Ustaz Mohd Fauzi Awang,” katanya.
Sementara itu, bagi Tilawah al-Quran Murid Orang Asli kategori sekolah rendah, Abdul Rasyid Mohd Abrari, 11, dari Sekolah Kebangsaan Gombak Utara, dinobatkan johan peringkat kebangsaan.
Menurutnya, dia sering membaca al-Quran untuk memantapkan bacaan dengan tunjuk ajar guru di sekolah.
“Tak sia-sia saya mengulangi bacaan setiap hari. Gembira betul bila diumumkan sebagai johan,” katanya ketika ditemui di Dewan Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam,di sini, semalam.
Bagi Nur Azieka Abdullah, 12 dari Sekolah Kebangsaan (A) Bukit Kemandol K9, pula, dia bersyukur merangkul johan Hafazan al-Quran Orang Asli peringkat kebangsaan bagi kategori sekolah rendah.
Menurutnya, sering makan kismis dan mengamalkan solat hajat menjadi petua kemenangannya.
“Saya selalu hafal surah bila ada masa lapang dan cuti sekolah, gembira menang tempat pertama,” katanya.
Dia berkata demikian selepas majlis penyampaian hadiah dan majlis perasmian penutup yang disempurnakan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan, Wan Ramdzan Wan Mamat.

Tijah gergasi kejutkan penduduk



Tijah gergasi kejutkan penduduk
Penduduk menunjukkan tijah gergasi yang lebih besar berbanding tijah biasa yang lazim ditemui di Sungai Batang Gergaji.
JABI - Penemuan siput tijah gergasi mengejutkan penduduk Kampung Batang Gergaji, di sini, baru-baru ini.
Yusof Abd Rahman, 50, yang lebih dikenali dengan panggilan Said berkata, enam siput tijah dengan berat kira-kira tiga kilogram itu ditemui beberapa penduduk yang menyertai pesta menimba ikan di sungai kampung berkenaan.
Menurutnya, hampir semua penduduk terkejut melihat saiz siput itu yang amat besar, berbanding saiz biasa sekitar tujuh sentimeter panjang sahaja.
“Saiz tijah dijumpai di sungai dikeringkan ini lebih besar, sehingga tiga hingga empat kali ganda daripada saiz tijah yang biasa ditemui,” katanya yang kali pertama menyertai pesta menimba di sungai berkenaan.
Menurut Said, penemuan siput itu menarik perhatian ramai untuk melihat dengan lebih dekat.
Katanya, penduduk percaya siput itu mengambil masa lama untuk membesar kerana sebelum ini tidak pernah ada pesta menimba dan menangkap ikan dilakukan di situ.
“Saya sendiri yang sudah berpuluh tahun terlibat dengan aktiviti menimba ikan, tidak pernah melihat siput seperti itu. Saiz siput itu yang besar menyebabkan isi lebih banyak dan enak," katanya.
Said berkata, penduduk kampung diketuainya sendiri mencipta sejarah apabila menjadi kumpulan pertama mengadakan pesta menimba di situ.
Bagaimanapun katanya, hasil tangkapan tidak begitu memuaskan kerana hanya memperoleh 30 kilogram ikan terdiri daripada haruan, lampam jawa, keli dan pelbagai spesies lain.

Bumiputera bina spa basikal bukit



Bumiputera bina spa basikal bukit
Khairul Affan (dua, kanan) bersama atlet dan kakitangan Bunnyhop.
KOTA BHARU - Syarikat basikal tempatan, Bunnyhop Station berhasrat mengembangkan perniagaan spa dan jualan basikal jenama Taokas ke seluruh Malaysia dengan sasaran satu negeri, satu Bunnyhop.
Pemiliknya yang mempunyai kepakaran bidang sains komputer, Khairul Affan Hassan berkata, beliau turut menjual basikal Taokas yang sesuai dan selesa berdasarkan saiz badan dan ketinggian orang Asia.
“Kita mempunyai mekanik dilatih khas di Singapura yang menggunakan komponen tertentu, yang mana sebelum ini untuk servis, perlu dihantar ke ibu kota, tetapi sekarang boleh buat di Kelantan, iaitu satu-satunya Bunnyhop di Malaysia.
“Bunnyhop merancang untuk kembangkan perniagaan mungkin dari satu negeri ke satu negeri selepas ini,” katanya semasa Majlis Pelancaran Bunnyhop di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di di sini.
Khairul Affan berkata, mengeluarkan modal sendiri kira-kira RM300,000, Bunnyhop yakin penuhi permintaan pasaran memandangkan basikal Taokas sudah mula mendapat permintaan kira-kira 15 basikal biarpun baru dilancarkan.
“Kami mendapat tawaran selepas melawat  kilang Taokas di Taipei, malah apa yang istimewanya, ia tidak sama seperti basikal premium yang lain, sebaliknya ia lebih selesa ditunggang untuk mencapai prestasi yang pada tahap ditetapkan.
“Harga basikal ini agak murah berbanding jenama lain bermula dari harga RM2,000 hingga RM28,000 dengan kualiti yang baik, malah kami mempunyai empat atlet bertanding peringkat kebangsaan,” katanya.

Daging dendeng pembangkit selera



Daging dendeng pembangkit selera
SEPINGGAN nasi panas bersama daging dendeng mampu membangkitkan selera sesiapa sahaja.
Menjadi pilihan sama ada untuk hidangan tengah hari, malam atau pada bila-bila masa, daging dendeng juga antara kegemaran menjelang hari raya.
Kini, daging dendeng diinovasi menjadi makanan dingin beku.
Daging dendeng beku atau frozen mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri kerana rempah ratus serta bahan yang digunakan membangkitkan aromanya.
Pengasas Kunyah-Kunyah Food Enterprise, Mohammad Bakhtiar Mohd Tohit berkata, jualan daging dendeng yang diusahakan beberapa tahun lalu kini mendapat sambutan luar biasa.
“Jika pada hari biasa, saya gunakan daging sebanyak 10 kilogram (kg) sahaja namun ia meningkat sejak ia dibekukan. Alhamdulillah, menjelang puasa dan Aidilfitri, tempahan yang diterima meningkat kerana pelanggan mahu mengadakan rumah terbuka,” katanya.
Mohammad Bakhtiar berkata, walaupun daging dendeng merupakan makanan yang biasa dan mudah diperoleh, namun dia amat menitik beratkan soal penyediaan dan kebersihan.
“Saya mahu pelanggan berpuas hati dengan makanan yang kami sediakan. Ia adalah daging dendeng luar biasa kerana menggunakan resipi sendiri yang diwarisi ibu,” katanya.
Menurutnya, daging dendeng keluaran Kunyah-Kunyah Food Enterprise boleh diperoleh di seluruh negara dan kini mempunyai 10 pengedar.
Katanya, pada Ramadan, permintaan daging dendeng sangat tinggi menyebabkan dia mengambil keputusan menyediakan daging dendeng beku.
“Saya perlu menyediakan daging 80kg sehari dan pada musim perayaan ia akan meningkat berganda. Kebanyakan permintaan untuk rumah terbuka sangat banyak dan katering untuk perkahwinan. Kami menerima tempahan untuk katering adalah serendah 5kg,” katanya.
Menurutnya, daging dendeng beku boleh bertahan lebih lama berbanding daging dendeng biasa boleh dimakan selama tiga bulan.
“Kami menjual daging dendeng pada harga RM37 bagi 350 gram,” katanya.
Mudah disediakan
Bagi suri rumah, Jamilah Mohamad Ali, daging dendeng menjadi lauk pembuka selera kepada anak-anaknya ketika makan tengah hari dan malam.
“Mereka agak susah untuk makan kerana lebih suka minum dan makan roti sahaja. Saya bimbang mereka akan lapar, jadi saya minta mereka makan nasi.
“Pada mulanya agak sukar walaupun saya sediakan makanan kegemaran mereka sehinggalah anak-anak saya perkenalkan daging dendeng awal tahun lalu,” katanya.
Jamilah berkata, menjelang puasa nanti, dia sudah menempah daging dendeng beku untuk dijadikan menu bersahur kepada anak-anaknya.
“Hanya panaskan beberapa minit sahaja dan mudah dihidangkan. Ia juga boleh dimakan bersama roti,” katanya.
Katanya, sebelum ini, dia menempah daging dendeng setiap kali tiba musim perayaan di Hulu Langat, Selangor.
Bagi juruteknik, Mohd Zulhairi Senapi, dia tidak pernah makan daging dendeng kerana kurang menggemari daging.
“Isteri yang perkenalkan kepada saya kerana saya tidak suka makan makanan yang dibekukan. Pertama kali cuba awal tahun lalu, daging dendeng beku sedap rupanya.
“Kini, kami sentiasa ada stok. Malah, kami juga hidangkan kepada tetamu yang datang dan tak sangka mereka pun sukakannya,” katanya.
Mohd Zulhairi berkata, menyediakan sendiri daging dendeng mengambil masa yang lama dan agak rumit, tetapi dengan adanya daging dendeng beku ditambah harganya yang agak berpatutan, ia bukan lagi satu masalah.
“Selalunya, saya akan makan daging dendeng bersama nasi, roti, ketupat dan mihun goreng. Jika selalu dipanaskan, ia akan bertambah sedap.
“Saya juga sediakan stok menjelang Ramadan dan akan membelinya pada musim perayaan untuk makan bersama-sama keluarga di kampung,” katanya.
Daripada minat, jadi pengedar
Bagi pekerja swasta, Atiqah Yaacob, dia mengenali daging dendeng pada musim perayaan beberapa tahun lalu.
“Pada mulanya, saya sebagai pembeli sahaja dan perkenalkan kepada kawan-kawan di pejabat. Saya tak sangka mereka sukakannya dan mula menempah.
“Kebanyakan pelanggan saya akan kembali beli lagi dan memuji daging dendeng beku. Saya mula yakin, ia mampu menjana pendapatan kerana menerima tempahan pada setiap minggu,” katanya.
Atiqah berkata, dia akan menerima tempahan 10 hingga 15 bekas setiap minggu.
“Pelanggan saya sekitar Lembah Klang dan Putrajaya. Pada bulan puasa, tempahan meningkat sehingga 70 peratus menyebabkan saya tidak menang tangan.
“Mereka gemar daging dendeng beku kerana mudah dihidangkan dan menjadi kesukaan anak-anak,” katanya.

Gempar buaya gergasi tiba-tiba muncul



Gempar buaya gergasi tiba-tiba muncul
Buaya gergasi yang disaksikan pemain golf di Florida, Amerika Syarikat Ahad lepas.
"MACAM dari filem dinasour Jurasic Park!" kata seorang pelayar selepas menonton video viral menunjukkan seekor buaya gergasi 'makan angin' di sebuah padang golf.
Melalui video tersebut, buaya yang dianggarkan berukuran 15 hingga 16 kaki tersebut didakwa sesat dan menceroboh padang golf Buffalo Creek di Florida, Amerika Syarikat.
Kejadian yang berlaku Ahad lepas disaksikan sendiri oleh pemain golf, Charles Helms yang sempat merakam kejadian tersebut.
"Buaya tersebut sudah lama berada di sini (padang golf Buffalo Creek), ini langsung tak mengejutkan," kata seorang pekerja di Buffalo Creek, Wendy Schofield.
Kata Wendy, buaya tersebut tidak mengacau sesiapa dan pemain-pemain golf veteran di padang golf tersebut juga tidak mengacau mereka.
"Buaya tersebut akan popular selepas ini dan padang golf ini juga menarik untuk dikunjungi.
"Anggaplah ia sebagai maskot kami," kata Wendy lagi.
Buaya terbesar pernah ditemui Florida berukuran 14 kaki panjang dan berat 353 kilogram.