Sunday, August 30, 2015

'Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium' Sejarah Dalam Komedi




Barisan pelakon filem Ucop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium. 
PETALING JAYA: Karya arahan terbaharu pengarah Mamat Khalid iaitu Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium membawa mesej berguna apabila menyuntik elemen sejarah menerusi genre komedi.
Pengarahnya, Mamat Khalid berkata, muzium dipilih sebagai latar kerana lokasi berkenaan banyak menyimpan khazanah yang kebanyakannya tidak diketahui umum.

"Ia sebuah filem komedi ringan tetapi disebalik itu ia sarat dengan maklumat sejarah yang mungkin sudah dilupakan oleh masyarakat.

"Sejarah tidak sepatutnya mati atau dilupakan dan menjadi hasrat kami untuk mengangkat kembali minat masyarakat terhadap filem seumpama itu tetapi dalam genre komedi," katanya kepada mStar Online.

Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium terbitan Mountingboard Productions dan diedarkan oleh Pencil Pictures and Records diarahkan oleh Mamat Khalid itu bakal dimenemui penonton dipawagam bermula 3 September depan.
Mamat Khalid.
Ia membariskan pelakon seperti Ucop Wilcha, Nasir Bilal Khan, Namron, Elizabeth Tan dan Hitler Azmi.

Dalam pada itu, Mamat berkata, selain elemen sejarah dan komedi, filem dari idea asal dan skrip oleh Usop Wilcha itu turut menggabungkan elemen politik, intelektual, suspen dan seram.

Kata Mamat, kesemua elemen tersebut menghidupkan lagi plot dan penceritaan bagi memberi tambah nilai kepada penonton terhadap karya yang memasukkan elemen sejarah.

"Sejarah itu penting tetapi untuk memastikan ia dapat menarik minat penonton suntikan terhadap elemen lain perlu bagi menjadikan ia sebuah karya lengkap agar mampu memberi maklumat selain menghiburkan," katanya.

Ucop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium menelan kos sebanyak RM2 juta dan menjalani penggambaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Muzium Pendidikan UPSI, Tanjung Malim, Perak.

Kehamilan Ubah Personaliti Kim Kardashian




Kim Kardashian sedang hamil anak kedua.
BINTANG realiti Kim Kardashian mengakui kehamilan pertamanya sebelum ini banyak mengubah personalitinya sebagai seorang wanita.
Female First melaporkan Kim, 34, yang kini sedang mengandung anak kedua memberitahu komen negatif tentang dirinya ketika hamil menyebabkan dia berubah.

"Sepanjang hamil anak pertama saya dapat pelbagai komen negatif termasuk tentang tabiat pemakanan, berat badan dan perubahan biasa ketika mengandung.

"Atas sebab itu personaliti saya berubah dan saya bertukar menjadi seorang yang jarang tersenyum terutama ketika mengambil gambar," katanya.

Jelas Kim lagi, dia berasa marah kerana sedar gambar yang diambil jurufoto akan tersiar dan ia menjadi bahan gelak ketawa selain menggelarnya dengan panggilan kurang enak.

"Buat apa saya hendak senyum kepada mereka yang mempersendakan saya? Kehamilan banyak mengubah 'mood' serta personaliti saya," jelasnya.

Video Promosi Korea Selatan Viral Kerana Lee Min Ho




Video promosi pelancongan Korea Selatan yang menampilkan aktor Lee Min Ho mendapat sambutan.
POPULARITI pelakon Lee Min Ho bukan sahaja di negara asalnya iaitu Korea Selatan tetapi meledak di seluruh dunia.
Jadi tidak hairan Kementerian Pelancongan Korea Selatan memilih Min Ho sebagai duta bagi mempromosikan sektor pelancongan negara itu.

Tampil dalam video promosi keindahan Korea bertajuk Korea Your Story, ia menjadi viral dan ditonton lebih 10 juta dalam masa singkat di Youtube.

Video berdurasi 1:15 saat itu diarahkan oleh Wayne Peng dan menjalani penggambaran di Pulau Jeju.

Ia dihasilkan bagi menarik minat pelancong terutamanya golongan belia melawat negara berkenaan dan strategi menggunakan Min Ho membuahkan hasil.

Tun Dr Mahathir Sertai Bersih 4.0




KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menyertai perhimpunan Bersih 4.0 di ibu negara.
Beliau tiba di Pasar Seni kira-kira pukul 4.15 petang ditemani bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim.
Turut sama ialah isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Kehadiran Dr Mahathir ke perhimpunan Bersih 4.0 hari ini adalah yang kedua selepa pertama kali mengejutkan perserta perhimpunan tersebut pada kira-kira pukul 7.25 malam Sabtu.

Bersih 4: Cuaca Panas, Berjerebu




KUALA LUMPUR: Sejak tengah hari Ahad, kawasan sekitar Dataran Merdeka di sini dilihat berjerebu dan panas dengan bacaan suhu sekitar 33 darjah Celsius.
Bagaimanapun sehingga pukul 3 petang, keadaan berjerebu itu tidak mematahkan semangat peserta perhimpunan Bersih 4.0 daripada terus memenuhi ruang di setiap jalan sekitar.
Namun peserta yang hadir dilihat tidak melakukan pesediaan awal seperti membawa topeng muka untuk tujuan kesihatan.
Sebaliknya kebanyakan antara mereka hanya menggunakan tuala muka untuk menutup hidup masing-masing.

Inisiatif Post Mortem: TH Pastikan Kesempurnaan Ibadat





MAKKAH: Tabung Haji (TH) mengambil inisiatif melakukan 'post mortem' ibadat umrah dan haji bagi memastikan jemaah haji Malaysia mencapai kesempurnaan dan mendapat haji mabrur dalam pelaksanaan rukun Islam kelima itu.
Pengarah Operasi (Bimbingan) TH Tengku Abdul Aziz Raja Abdullah berkata  melalui inisiatif itu, mereka boleh mengenal pasti sebarang kecacatan dalam pelaksanaan ibadat bagi jemaah haji Malaysia yang tiba dari Madinah dan selesai mengerjakan umrah, misalnya, supaya langkah-langkah yang perlu boleh dilakukan bagi membetulkannya.
"Untuk setiap KT (kumpulan jemaah haji) yang tiba di Makkah, kami akan mengadakan lapan program bimbingan untuk mereka seperti taklimat, ceramah, forum dan post mortem ibadat.
"Post mortem ibadat umrah misalnya, ia bagi membolehkan jemaah melihat semula pelaksanaan umrah mereka, jika ada apa-apa kecacatan atau kesilapan, dapatlah mereka memperbetulkan kesilapan itu seperti membayar dam dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Beliau berkata post mortem juga akan dilakukan selepas jemaah haji selesai melakukan wukuf di Arafah nanti, satu daripada rukun dalam ibadat haji.
"Selepas jemaah haji selesai berwukuf di Arafah, bermabit (bermalam) di Muzdalifah dan Mina serta bercukur, kami akan mengadakan satu lagi sesi post mortem, jika ada kesilapan. Kita perlu lihat kaedah apa yang perlu dilakukan untuk mengesahkan ibadat mereka.
"Tabung Haji akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan ibadat haji bagi jemaah kita sempurna, kita tidak mahu mereka yang berbelanja puluhan ribu itu, kalau ibadatnya tidak sempurna, hanya pulang kosong," katanya.
Beliau berkata TH menyediakan 39 pembimbing ibadat yang bersedia membantu jemaah haji berkaitan pelaksanaan ibadat mereka, selain tiga pakar rujuk, sekiranya terdapat sebarang masalah yang tidak dapat diselesaikan di peringkat pembimbing ibadat.

Ramai Yang Masih Berhimpun Walaupun Sudah Hampiri Tengah Malam




KUALA LUMPUR: Walaupun sudah menghampiri tengah malam tetapi nampaknya ramai peserta perhimpunan Bersih 4.0 yang masih tidak berganjak dari kawasan berhampiran Dataran Merdeka. 
Ini dapat dilihat daripada rakaman yang dibuat oleh wartawan kami pada jam 11.20 malam Sabtu.

Peserta mula memasang khemah dijangka akan bermalam sekitar kawasan Dataran Merdeka.