Wednesday, July 2, 2014

Sharifah Aini Di ICU Akibat 'Paru-Paru Berparut'


Sharifah Aini
PETALING JAYA: Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan swasta di sini akibat fibrosis paru-paru atau paru-paru berparut.

Menurut rakannya Aishah Ali, Sharifah Aini yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 61 pada Rabu (esok) dibawa ke pusat perubatan berkenaan oleh anaknya Aliff Omar Ali pada pagi Selasa selepas mengalami kesukaran bernafas.

Katanya, pakar perubatan Datuk Dr Zainudin Md Zain memaklumkan keadaan penyanyi itu dilaporkan stabil.

mStar Default Image
Sharifah Aini bersama anaknya, Aliff.

"Buat masa ini Sharifah Aini tidak dibenarkan menerima lawatan mana-mana tetamu melainkan ahli keluarga terdekatnya sahaja," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa.

Dalam satu kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online kira-kira pukul 10.55 malam Selasa Aishah berkata, doktor memaklumkan kepadanya penyakit fibrosis paru-paru dipercayai berlaku akibat gangguan imun pesakit dimana antibodi yang dihasilkan oleh darah putih pesakit menyerang paru-paru sendiri.

Katanya, keadaan itu mengakibatkan kerosakan paru-paru yang mengakibatkan lama-kelamaan terjadinya penyakit tersebut yang menyebabkan penyerapan oksigen tidak efisyen.

Terdahulu pada hujung Mei lalu, Sharifah Aini berkata beliau reda jika dijemput Allah selepas 28 hari dirawat di hospital akibat penyakit paru-parunya.

Dalam luahan yang ditulis menerusi Facebook miliknya itu beliau meminta agar seluruh peminat mendoakan kesejahteraannya selain menghadiahkan Al-Fatihah sekiranya beliau sudah tiada.

Transformasi Zara, Risteena & Syafiq

DARI kiri: Zara Zya, Syafiq Kyle dan Risteena mempunyai kisah tersendiri dalam usaha menjadi pelakon pelapis masa kini. Ketiga-tiga mereka mencipta nama menerusi naskhah-naskhah yang ditayangkan di TV3.


PENAYANGAN drama bersiri seperti Love You Mr. Arrogant, Playboy Itu Suami Aku dan Anugerah Terindah telah memberi impak tersendiri buat pelakon Zara Zya, Risteena Munim dan Shafiq Kyle.
Tidak dinafikan, penayangan ketiga-tiga drama tersebut di TV3 sebelum ini telah mengubah landskap kerjaya masing-masing di sebalik kemunculan ramai pendatang baharu dalam dunia lakonan tempatan.
Biarpun pernah dilemparkan dengan pelbagai kritikan tetapi ia dianggap sebagai satu perkara yang normal dalam usaha mereka untuk bertapak lebih kukuh dalam bidang yang diceburi.
Bertemu dengan mereka sewaktu sesi fotografi khas yang diaturkan sempena ulang tahun TV3 yang ke-30 baru-baru ini, masing-masing mempunyai cerita tersendiri tentang penglibatan sebagai pelakon.
Hampir berhenti
Bagi pelakon Zara Zya atau pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd. Zainuddin yang dikenali menerusi drama bersiri Love You Mr. Arrogant, dia bersyukur kehadirannya diterima ramai, meskipun terpaksa menunggu masa selama 10 tahun untuk bertapak kukuh.
Tidak beranggapan tempoh tersebut agak terlambat buat dirinya yang sudah berusia 29 tahun, Zara menyatakan bahawa terdapat begitu banyak pengalaman yang pernah dilaluinya.
“Dahulu memang sudah banyak tawaran yang diterima, cuma saya ambil watak kecil sahaja kerana tiada keberanian. Sejak empat tahun yang lalu barulah saya lebih serius menjadi seorang pelakon.
“Sejak itu saya sudah mula memberanikan diri menjalani uji bakat untuk mendapatkan watak yang lebih besar. Tidak kisahlah kalau dikenali dalam tempoh yang lewat kerana saya percaya semuanya terpulang kepada rezeki,” ujar anak bongsu daripada empat adik-beradik itu.
Bagaimanapun, pelakon itu mendedahkan yang di pernah hampir berputus asa untuk meneruskan kerjaya lakonannya lantaran tidak gemar dengan sikap segelintir penerbit dan pengarah yang gemar mengambil kesempatan terhadap pelakon baharu.
Ujarnya, dia kesal kerana pernah merasai sendiri pengalaman apabila ada penerbit dan pengarah yang meletakkan syarat supaya melayan kehendak mereka terlebih dahulu sebelum sesuatu tawaran itu diberikan.

ZARA ZYA mengaku pernah diminta melayan kehendak penerbit dan pengarah terlebih dahulu sebelum diberi peluang berlakon. Insiden tersebut membuatkan dia pernah takut untuk menjadi pelakon.


“Akibat daripada kejadian tersebut, pernah timbul tanggapan dalam diri saya yang semua penerbit dan pengarah mempunyai sikap sama sehingga saya pernah hampir berhenti berlakon kerana tidak tahan dengan situasi sebegitu.
“Setelah difikirkan kembali, saya anggap ini semua merupakan ujian dan cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang pelakon. Lagipun bukan semuanya bersikap sedemikian kerana masih ada yang lebih melihat kepada bakat seseorang individu itu,” luahnya.
Berbalik kepada kejayaannya dalam bidang lakonan sehingga berhasil memenangi pelbagai anugerah berdasarkan undian peminat, pelakon itu mengakui dia berasa cukup gembira serta menghargai sokongan yang diberikan tetapi perasaan takut turut menyelubungi dirinya.
Jelas Zara, dia bimbang dengan pelbagai anugerah diraihnya akan menyebabkan timbul persepsi dirinya sudah mula meletakkan harga yang tinggi apabila mendapat sesuatu tawaran.
“Sudah tentu saya risau kalau ada yang ingat saya semakin demand sekarang kerana menang banyak anugerah tetapi ia bukanlah satu langkah yang baik. Kalau saya bersikap sebegitu, tentu ia mendatangkan kesan buruk kerana masih ramai lagi yang menunggu peluang berlakon.
“Namun begitu, saya akui memenangi anugerah merupakan salah satu sasaran utama kerana mahu peminat lihat kemampuan saya dalam bidang ini. Malah, anugerah yang diterima juga boleh menjadi bukti kepada anak dan cucu saya nanti,” ujarnya.
Sehingga kini, Zara sudah memenangi sebanyak lima anugerah seperti Artis Baru Meletop dan Artis Top Top Meletop (Anugerah Meletop Era), Pasangan Serasi Pilihan (Anugerah Drama Festival KL 2013) serta Artis Baru Wanita Popular dan Gandingan Serasi Di Layar (Anugerah Bintang Popular 2013).

SYAFIQ KYLE berharap akan ada lebih banyak peluang pada masa hadapan buat dirinya menonjolkan kemampuan sebagai pelakon baharu.


Risteena pernah dikritik
Seorang lagi pelakon wanita yang semakin meningkat naik, Risteena Munim pula menyatakan sejak muncul dalam drama bersiri Playboy Itu Suami Aku, tawaran lakonan yang diterimanya semakin banyak sekarang.
Menurut Risteena, ia telah memberi kesan yang cukup mendalam sehingga dia lebih dikenali dengan nama Afina iaitu watak yang dibawakannya dalam drama tersebut berbanding namanya yang sebenar.
“Kalau saya pergi ke sesuatu tempat atau acara, ramai yang memanggil saya Afina. Tidak dinafikan ia sesuatu yang agak melucukan tetapi ia membuktikan yang saya berhasil membawakan watak itu dengan berkesan.
“Lebih menarik lagi, saya juga dikenali oleh golongan kanak-kanak dan wanita yang sudah berusia. Pernah saya melalui satu pengalaman apabila dicium oleh seorang makcik serta menyatakan dia suka lakonan saya dan itu antara pengalaman menarik yang pernah dilalui,” ujarnya.
Di sebalik kejayaan yang diraihnya itu, pelakon berkenaan menyatakan yang pada peringkat awal dia pernah mendapat kritikan sehingga ada yang melabelkan dirinya sebagai seorang pelakon kayu.
Tidak cepat patah semangat terhadap kritikan yang dilemparkan itu, dia sekadar melihatnya dari sudut yang positif dan menjadikannya sebagai satu motivasi untuk memperbaiki lagi mutu lakonannya.
“Semasa kemunculan awal saya memang selalu mendapat kritikan tetapi pengarah dan pelakon yang lain banyak memberikan nasihat dan tunjuk ajar. Kini, semuanya sudah dapat diatasi dan ramai pengarah yang terus memberikan kepercayaan kepada saya,” ujarnya yang baru selesai menjalani penggambaran filem Kelip-Kelip.
Dalam pada itu, meskipun dirinya boleh dikategorikan sebagai seorang pelakon baharu, ternyata Risteena tidak mampu menghindari dirinya daripada dilanda dengan kontroversi.
Misalnya, baru-baru ini ada yang mendakwa pelakon itu menipu apabila dikatakan mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor sedangkan dia belum lagi menamatkan pengajiannya.
“Apa yang berlaku itu semuanya berpunca daripada salah faham terhadap kenyataan yang dibuat oleh saya sebelum ini. Saya akui ketika ini sedang menangguhkan pengajian memandangkan jadual saya yang agak padat.
“Sekiranya sudah mempunyai masa terluang nanti, barulah saya saya akan sambung kembali pengajian saya itu. Lagipun tinggal dua semester sahaja lagi dan saya berazam untuk menamatkan pengajian saya itu,” ujarnya.
RISTEENA memberitahu akan menyambung semula pengajiannya dalam bidang Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor jika sudah mempunyai masa terluang.


Pengorbanan Syafiq
Sama seperti Risteena, seorang lagi pelakon yang semakin meningkat naik iaitu Syafiq Kyle turut mengambil pendekatan yang sama dengan menangguhkan pengajian di UiTM semata-mata mahu memberikan tumpuan kepada bidang lakonan.
Merupakan pelajar dalam jurusan Diploma Filem, Teater Dan Animasi, pemilik nama sebenar, Mohd. Syafiq Shamim Abd. Razak itu menyatakan, dia tidak mahu melepaskan peluang yang terhidang di depan mata.
“Sebelum ini saya pernah melakukan dua perkara secara serentak iaitu belajar dan berlakon tetapi akhirnya saya berasa ia sesuatu yang agak sukar untuk dilakukan sekarang.
“Jadi, setelah difikirkan semasak-masaknya saya ambil keputusan untuk menangguhkan pengajian saya dahulu. Ternyata ia satu pengorbanan yang terpaksa dilakukan, namun peluang yang diperoleh ini bukannya datang selalu,” ujarnya yang berada di semester keempat.
Ketika ditanya tentang hala tujunya dalam bidang lakonan lantaran pengorbanannya itu, pelakon yang dikenali ramai menerusi drama bersiri Anugerah Terindah itu bertekad untuk lebih serius dan lebih menghargai segala peluang yang ada.
“Sebelum ini saya pernah bersikap terlalu mengambil mudah terhadap kerja yang dilakukan dan kini saya tidak mahu mengulanginya lagi. Kini, saya akan lebih bersungguh-sungguh dan mahu bersaing secara lebih sihat dengan pelakon yang sedia ada,” ungkapnya.


Karisma dan kredibiliti Ella


ELLA kini muncul dengan single terbaharu, Teristimewa.


PEMINAT ratu rock negara, Ella atau nama sebenarnya, Norzila Aminuddin telah menunggu di ruang legar Hard Rock Cafe seawal 7 malam walaupun pada asalnya mereka tahu bahawa penyanyi pujaan mereka akan muncul pada pukul 10 malam.
Kehadiran sekitar 600 peminat termasuk daripada kelab peminat setianya berasak-asak memenuhi ruang di dalam Hard Rock Cafe membuktikan walaupun dua dekad berkecimpung dalam bidang seni suara, Ella masih mempunyai aura tersendiri.
Bertempat di Hard Rock Cafe, ia sekali gus menamatkan kemaraunya setelah hampir lima tahun mendiamkan diri tanpa mengadakan sebarang persembahan dalam skala besar secara solo.
Showcase tersebut juga diadakan bersempena pelancaran album terbaharunya yang dijangka akan dilancarkan pada September depan dan konsert jelajah yang akan diadakan menjelang penghujung tahun ini di beberapa buah negeri terpilih.
Kaka diletakkan sebagai pemanis membuka tirai showcase. Lenggok dan manja Kaka yang mirip Ella saat menyampaikan single terbaharunya, Terpulanglah berjaya mengamatkan lagi suasana pada malam tersebut.
Kumpulan indie baharu, Sparrow King yang menjadi band mengiringi Ella sepanjang dua jam konsert tersebut berlangsung juga diberi kesempatan membuat persembahan.
Ditubuhkan pada tahun 2005, mereka menyampaikan sebuah lagu berjudul Intepretasi yang terus memacu adrenalin penonton yang hadir.
Tepat pukul 10.30 malam, peminat seperti histeria apabila mendengar suara penyanyi kesayangan mereka, Ella mula berkumandang.
Ella yang mempersembahkan lagu malar segarnya, Standing In The Eyes Of The World ternyata menggamit kembali memori lagu tersebut yang pernah menjadi lagu tema Sukan Komanwel di Malaysia pada tahun 1998.

SESAK... Hard Rock Cafe menjadi saksi bahawa penyanyi Ella masih relevan dan 'mahal' apabila persembahannya yang diadakan baru-baru ini dipenuhi peminatnya.


Berjaya menambat hati penonton dengan karakternya yang penuh lemah lembut dan manja, tanpa berlengah, Ella terus menyampaikan lagu-lagu yang pernah mengangkat namanya suatu ketika dahulu termasuk Rama-rama, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Layar Impian.
Showcase yang diacarakan oleh juruhebah radio Hot fm, Liza itu berehat seketika dengan memberi laluan kepada tayangan video daripada kumpulan peminat dan penyerahan sehelai kemeja daripada Ella kepada wakil kelab peminatnya.
Ia kemudian diteruskan lagi dengan lagu terbaharu Ella nukilan Sam Bunkface, Teristimewa yang akan dimuatkan dalam album terbaharu Ella. Tambah menarik, kemunculan pemain gitar legenda daripada Kumpulan Search, Kid merupakan suatu penghormatan kepada Ella.
“Saya sangat meminati Kid Search sejak mula berkecimpung dalam bidang nyanyian 20 tahun dahulu. Pengalaman beliau merupakan sesuatu yang perlu dicontohi oleh mana-mana pemuzik tempatan,” ujarnya.
Showcase diteruskan lagi dengan lagu Sembilu dan Dua Insan Bercinta yang disampaikan dengan penuh penghayatan oleh Ella. Sebagai penutup tirai, lagu Kesal disajikan kepada penonton sebelum Ella pergi meninggalkan pentas.
Ironi, sejak zaman Ella & The Boys sehingga Ella yang kini meniti usia 40-an, satu fakta yang masih utuh adalah wanita ini memiliki vokal yang begitu padu dan karisma menghiburkan khalayak dengan karakternya sebagai seorang penghibur.

Tuesday, July 1, 2014

Neelofa Ambil Keputusan Berhijab

PETALING JAYA: Kehadiran Ramadan berjaya membuka hati pelakon Neelofa untuk berubah selepas dia memilih untuk memakai tudung.

Pengurus kepada pelakon itu, Mohd Amer Shafiq Khalip atau lebih dikenali sebagai Shawn Amer berkata, Neelofa, 25,  membuat keputusan berkenaan pada Selasa (hari ini) dan langkah itu adalah satu perubahan positif buat dirinya.

"Benar, Neelofa sudahpun berhijab dan dia telah mengesahkan perkara tersebut kepada saya pada hari ini (Selasa).

"Dia juga melihat perubahan yang dilakukannya adalah satu perkara yang positif buat dirinya," katanya kepada mStar Online.

Shawn diminta mengulas mengenai kenyataan adik pelakon itu, Ameera, yang memuat naik foto Neelofa bertudung di Instagram miliknya dengan kapsyen rasa bersyukur dengan perubahan yang dilakukan oleh kakaknya itu lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Foto Neelofa yang sudah bertudung yang dimuat naik oleh adiknya, Ameera.

Neelofa tidak dapat dihubungi memandangkan dia sedang membuat rakaman suara bagi program Meletop yang akan bersiaran secara langsung pada malam Selasa di Astro Ria pada pukul 9 malam.

Dalam pada itu, Shawn berkata, sebelum membuat keputusan untuk berhijab, dia sudah mula memakai tudung secara perlahan-lahan sejak tiga bulan lalu.

"Alhamdulillah, berdasarkan pemerhatian saya, Neelofa berubah secara perlahan-lahan dan sejak tiga bulan lalu, dia kerap berhijab. Tidak sangka pula dia melakukan perubahan secepat ini.

"Bukan sahaja lebih positif tetapi wajahnya dilihat sentiasa gembira. Apa-apapun kita mendoakan yang terbaik untuknya," ujarnya.

Anzalna Jelajah Hospital Untuk Kerja Amal


cafw
Anzalna sedih lihat penderitaan kanak-kanak yang menghidapi penyakit kanser.
PETALING JAYA: Pelakon Anzalna Nasir memberitahu sepanjang bulan Ramadan ini dia akan berehat daripada aktiviti seni bagi menumpukan perhatian melakukan aktiviti amal.
Anzalna, 26, berkata, dia bersama rakan-rakan dan peminat akan melawat kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser di beberapa hospital bagi menghulurkan sedikit sumbangan.

"Tahun ini merupakan tahun ketiga saya akan menziarahi kanak-kanak yang menderita penyakit kanser. Saya memilih kanak-kanak penyakit kanser kerana ketika melawat mereka tahun lalu hati saya tersentuh dan sedih melihat penderitaan mereka.

"Saya akan pergi ke hospital terpilih di sekitar Kuala Lumpur bersama beberapa rakan dan ahli kelab peminat saya yang ingin menyertai. Kami juga merancang untuk mengutip derma untuk beri sumbangan daripada segi makanan, permainan dan kewangan," ujarnya kepada mStar Online.

Tambah Anzalna, pada awalnya dia ingin membuat lawatan dan sumbangan tersebut secara peribadi, namun beberapa rakan dan peminatnya meminta perkara itu dilakukan bersama-sama.

Katanya, aktiviti itu juga mendapat sokongan daripada beberapa hospital yang akan dilawatinya.

"Tahun lalu saya hanya ikut amal kebajikan yang dianjurkan oleh pihak lain, tetapi tahun ini saya fikir ingin buat secara sendirian, namun tidak sangka ramai pula yang sertai.

"Kami akan sama-sama mengutip derma daripada orang ramai dan serahkan kepada kanak-kanak itu setakat yang mampu. Saya juga sudah hubungi beberapa hospital dan mereka tiada masalah untuk kami datang melawat," katanya.

Dalam pada itu, dia mengalu-alukan orang ramai yang ingin memberi sumbangan ikhlas boleh mengikuti perkembangan mereka di laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter miliknya.

Sementara itu, ditanya tentang hubungan cintanya dengan lelaki yang bernama Hanif Zaki, Anzalna memberitahu mereka masih belum mempunyai tarikh untuk disatukan sebagai suami isteri.

Katanya, dia menumpukan perhatian kepada kerja dan mengumpul harta untuk diri sendiri sebelum mengambil keputusan berkahwin.

"Hubungan kami baik-baik sahaja, dan kami masing-masing sibuk dengan kerja, tentang perancangan berkahwin kalau tiada aral melintang Insya-Allah tahun depan.

"Saya mahu kumpul aset terlebih dahulu sebelum kahwin dan tidak mahu bergantung kepada suami sahaja nanti," katanya.

Lufya Kesal Dikecam Kerana Muat Naik Artikel Salah Lapor


Lutfya muat naik status kerana tidak mahu dianggap berangan.
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Lufya Omar kesal tindakannya memuat naik satu artikel mengenai dirinya yang didakwa sebagai salah lapor dianggap sebagai tidak matang oleh pengikut laman Instagram miliknya.

Lufya, 29, berkata, tindakan itu dibuat bagi memberi penjelasan kepada peminatnya serta orang ramai yang berkemungkinan tersalah tafsir dengan artikel yang ditulis itu.

"Saya ada memuat naik artikel itu dalam Instagram saya kerana tidak mahu orang baca dan salah faham kenyataan saya di artikel itu.

"Apa yang saya cuba betulkan ialah ayat berbunga-bunga yang digunakan dalam artikel itu mengambarkan seperti saya sedang berangan untuk menjadi puteri raja, walhal ayat saya ringkas sahaja," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Lutfya diminta mengulas teguran sebuah akhbar mingguan pada Ahad lalu tentang tindakannya menafikan kenyataan yang dibuatnya di akhbar berkenaan.

Laporan tersebut turut menyebut pelakon drama Ramadan Jangan Pergi  itu seharusnya merujuk kepada pihak akhbar berkenaan terlebih dahulu tentang aktikel yang dianggap sebagai salah lapor itu.

Sementara itu, Lutfya berkata, dia ada menghubungi pihak tertentu yang bertanggungjawab dengan perkara berkenaan namun tidak mendapat kerjasama.

"Dalam ruangan pojok semalam mereka kata saya tidak cuba hubungi untuk selesaikan cara baik, sebaliknya saya sudah hubungi mereka namun banyak alasan diberikan.

"Tidak mengapalah ia bukan sesuatu perkara yang baharu, cuma saya tidak mahu terus dikecam tentang perkara sebegini," katanya.

Jelasnya, perkara tersebut menjadi pengajaran buat dirinya agar lebih berhati-hati dalam mengulas isu yang sensitif seperti itu.

Dalam pada itu, menjelaskan tentang hubungannya dengan seorang kerabat Johor, Lufya berkata hubungan tersebut hanya sekadar kawan biasa sahaja.

Tiada Syarat Untuk Ambil Diana Danielle Berlakon

Diana Danielle.
PETALING JAYA: Pelakon Diana Danielle tidak meletakkan sebarang syarat tertentu kepada mana-mana syarikat produksi yang ingin mengambilnya berlakon dalam filem terbitan mereka.

Diana, 24, berkata, biarpun lebih selektif terhadap watak yang ditawarkan kepadanya namun itu tidak bererti dia meletakkan syarat tertentu bagi menyesuaikan dengan statusnya sebagai seorang isteri dan ibu.

"Setakat ini saya tidak pernah meletakkan sebarang syarat tertentu pada mana-mana produksi yang ingin saya membintangi filem terbitan mereka.

"Ini kerana sekiranya ia sesuatu peranan yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan status saya kini, saya akan tolak," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Diana berkata, dia dan suaminya, Farid Kamil tidak merancang untuk mengadakan parti hari jadi bagi menyambut ulang tahun pertama anak mereka iaitu Muhammad yang jatuh pada Rabu ini.

Kata Diana, selain menghormati bulan Ramadan dia tidak melihat sambutan itu suatu keperluan kerana Muhammad terlalu kecil untuk memahami majlis yang bakal diadakan untuknya.

"Saya dan Farid mungkin akan buat majlis kecil-kecilan bersama keluarga sahaja dan tidak akan mengadakan parti besar-besaran bagi meraikan Muhammad.

"Tunggulah dia besar sikit dan sudah boleh memahami perkara yang berlaku disekelilingnya, barulah seronok," katanya.

Dalam perkembangan lain, Diana berkata, sepanjang bulan Ramadan ini dia akan lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersamanya keluarga dan akan menghadkan aktiviti seni.

Bagaimanapun kata Diana, dia bakal muncul dengan sebuah filem televisyen berjudulPerempuan Lindungan Kaabah di Astro Mustika HD pada 12 Julai ini.