Friday, November 1, 2013

Didie Alias Tidak Percaya Kembali Terkenal Selepas Kerjaya Seni Malap


Didie Alias
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Didie Alias masih tidak dapat mempercayai kejayaan yang diperolehnya sejak kembali aktif dalam bidang hiburan kira-kira tujuh tahun lalu.
Didie, 40, berkata, dia tidak pernah menyangka semua usahanya membuahkan hasil walaupun kerjayanya pernah malap suatu ketika dahulu termasuklah hanya layak memegang peranan sebagai orang gaji dalam drama.
"Sehingga ke hari ini saya tidak pernah menyangka kehidupan saya berubah kerana saya sangka saya sudah tiada peluang lagi untuk kembali dalam bidang seni.
"Syukur rezeki saya sentiasa murah kerana sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan membuatkan saya sentiasa bersemangat," katanya kepada mStar Online.
Didie ditemui pada majlis pelancaran butik fesyen dalam talian miliknya iaitu Hitham di The Pool di sini, Khamis.
Antara artis yang hadir ialah Lisdawati, Fauzi Nawawi, ShahIskandar, Raja Ema dan Dazrin.
Antara fesyen pakaian wanita yang terdapat di Hitham.
Dalam perkembangan sama, Didie berkata, anak-anaknya adalah tunjang utama dalam kejayaannya dan segala perkara yang dilakukan adalah untuk mereka.
Jelas Didie, tanpa anak-anaknya dia tidak mungkin berada pada tahap sekarang.
"Hidup kami pernah susah dan apa yang saya usahakan adalah semata-mata untuk mereka dan tanpa mereka semua ini tidak akan terjadi," katanya.
Tambah Didie, kejayaannya tidak datang bergolek sebaliknya atas usaha keras tanpa kenal putus asa.
"Sekadar angan-angan tidak membawa anda ke mana-mana tetapi dengan usaha keras Insya-Allah akan mendatangkan hasil.
"Kepercayaan yang diberikan oleh orang lain juga perlu dijaga dengan baik selain jangan menipu orang lain," jelasnya.
Dalam pada itu, Didie berkata, idea untuk muncul dengan perniagaan butik menerusi dalam talian timbul kira-kira dua minggu lalu selepas melihat potensi pembelian menerusi Internet amat baik.
Fauzi Nawawi dan Lisdawati menggayakan fesyen untuk suami-isteri.
Kata Didie, dia turut bergabung dengan dua rakan kongsi iaitu pereka fesyen Farel Mikhael dan Rinz Basha dalam usaha menjadikan jenama Hitham sebagai hab fesyen dalam talian terkemuka.
"Dunia fesyen sudah tiada sempadan dan kemajuan teknologi harus digunakan dengan sebaik-baiknya dan itu yang sedang saya lakukan untuk Hitham.
"Pakaian yang dijual di laman web kami adalah terhad dan direka sendiri oleh saya, Farel dan Rinz malah harga pakaian yang kami jual serendah RM60,'' katanya.
Tambah Didie, Hitham tidak terhad kepada sesuatu gaya sahaja tetapi akan tampil dengan pelbagai rekaan untuk semua.
"Menariknya semua koleksi kami adalah berasaskan warna hitam kerana ia mudah dipadankan dan sebagai pelengkap gaya," katanya yang turut melancarkan laman web butik berkenaan iaitu www.hitham4u.com.

Hazama mahu karya diiktiraf di persada dunia

  • HazamaHazama

PENYANYI kelahiran program realiti, Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi mahu muziknya mencerminkan identiti Melayu dan dapat diangkat di persada antarabangsa.

Katanya, ia sebagai tanda muzik kita dikenali dan terus menjadi tanda dengan mempopularkan muzik gabungan elemen-elemen tradisi Melayu.

“Saya berharap lagu kita dapat diketengahkan di peringkat antarabangsa supaya orang luar dapat menilai identiti kita.

“Dengan alunan muzik dan suntikan berunsur jawa dan beberapa elemen, muzik yang diperjuangkan dapat diangkat menjadi warisan budaya Melayu di peringkat antarabangsa,” katanya.

Hazama yang kini sedang dalam mempromosikan single berjudul Penglipur Lara yang dimuatkan dalam album pertamanya, juga berjudul sama turut menegaskan dia mencari sesuatu kelainan dalam menghasilkan sesebuah karya.

Katanya, dengan mengetengahkan muzik moderate pop dan menyuntik unsur jawa dalam albumnya itu dapat memberikan idea segar kepada rakan artis yang lain untuk turut menyuntik elemen kemelayuan dalam karya masing-masing.

“Saya masih lagi dalam rangka promosi album ini dan berharap peminat dapat menerimanya. Setakat ini, saya lihat peminat sudah mula menerima muzik yang cuba saya perjuangkan,” katanya yang mengambil masa hampir setahun menyiapkan album ini sepenuhnya.

 Hazama juga berharap sebuah lagu ciptaannya bersama Omar K, yang berjudul Dengarlah mendapat sambutan.

Turut memuatkan sembilan buah lagu, yang mana enam darinya lagu baharu dan tiga lagi merupakan lagu bonus, Hazama berkata, ia merupakan buah tangan yang sangat bermakna untuk peminat setianya.

“Album pertama ini menampilkan sisi berbeza saya kerana sebelum ini peminat mengenali dan mahu saya menyanyikan lagu bergenre rock, tetapi saya menyuntik elemen pop dan saya akui kebanyakan lagu yang dihasilkan menerusi album ini mempunyai kelebihan tersendiri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hazama yang  dicalonkan dalam empat kategori Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM20) akan bertanding untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki), Kulit Album Terbaik, Album Terbaik, Lagu Rock Terbaik dan Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di dalam Lagu bersama kumpulan SleeQ.

Tumpu promosi

Menurut Hazama, keutamaannya kini lebih pada nyanyian dan dia terpaksa berehat dari lakonan demi mempromosikan album tersebut.

“Minat saya lebih kepada bidang nyanyian. Namun, saya tetap akan terima  tawaran lakonan asalkan watak diberikan bersesuaian dan mudah  saya lakonkan,” katanya yang pernah membintangi filem Lari arahan Ahmad Idham.
Ditanya mengenai bila lagi dia akan berkahwin dengan kekasih hatinya yang bernama Genervia, Hazama berkata, dia enggan terburu-buru.

“Kami baru berkenalan dan saya berserah kepada ALLAH SWT. Kalau sudah sampai jodoh, saya terima," katanya yang mengakui semakin serasi dengan wanita itu.

Stesen minyak kantoi menipu

  • Stesen minyak kantoi menipuMohd Zulkifli (kiri) bersama pegawai penguatkuasa PPDNKK Putrajaya menunjukkan cara mengesan penipuan yang dilakukan menggunakan silinder penyukat cecair bahan api.

IPOH - Dalam bahasa mudah, pengguna sepatutnya menerima 70 liter petrol untuk RM100, tetapi sebaliknya hanya menerima 65 liter sahaja.
Itu penipuan yang berlaku di tiga stesen minyak sekitar Silibin dan Chemor didapati mengubah suai pam pengagih minyak (pump dispenser) bagi mengaut keuntungan dengan cepat sejak beberapa bulan lalu.

Daripada tiga stesen diserbu, hanya satu daripadanya disita secara keseluruhannya kerana kesemua 26 pam pengagih minyak telah diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Metrologi Corporation Malaysia (MCM) Sdn Bhd.

Penipuan itu dikesan selepas pengguna kenderaan mendapati sukatan petrol atau diesel kurang dengan harga sebenar dan mereka bertindak membuat aduan ke Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri.

Penolong Pengarah Kanan Unit Metrologi Sah Bahagian Penguatkuasaan PPDNKK Putrajaya, Mohd Zulkifli Saidi berkata, berdasarkan aduan yang diterima, beliau bersama 10 pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di stesen minyak berkenaan sejak jam 3 petang kelmarin.

Menurutnya, dalam Ops Sekat Minyak itu, pihaknya berjaya mengesan sebuah stesen minyak yang menjalankan kegiatan tersebut selepas membuat pemeriksaan menggunakan silinder penyukat bahan api.

“Malah, sebuah lagi stesen minyak turut dikesan melakukan perkara yang sama ke atas tiga pam di premis mereka,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, premis yang gagal menepati kehendak kementerian disita supaya pam pengagih minyak tersebut dapat memperbaharui penentusahan semula dengan MCM Sdn Bhd.

“Sepatutnya, pengusaha stesen minyak perlu memperbaharui penentusahan semula pam tersebut genap 12 bulan bagi memastikan alat timbang dan sukatnya tepat.

“Kita menggesa semua pengusaha stesen minyak mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zulkifli berkata, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Timbang dan Sukat 1972 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda RM4,000 bagi setiap sukatan yang
diselewengkan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Katanya, operasi diperluas ke seluruh negara bagi memastikan pengusaha tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan lebih.

Fathia, Miera teruja di Uzbekistan



SINAR mentari tidak pernah lekang daripada pandangan mata sepanjang tujuh hari berkampung di ibu kota yang paling padat penduduk, Tashkent, Uzbekistan.
Benar, jadual yang padat bagi meraikan Minggu Kesenian Style.Uz dan Forum Filem Antarabangsa Tashkent bermula 19 hingga 24 Oktober lalu bagai tidak terasa penatnya.
Hal yang sama diakui sendiri oleh pelakon filem Pecah, Miera Leyana yang pertama kali menjejakkan kaki di bumi bertuah Uzbekistan.
“Cuaca yang menyamankan telah membuatkan kita lupa sebentar hiruk-pikuk kota Kuala Lumpur. Walaupun matahari bersinar sepanjang masa, udara sejuk yang bertiup sepoi-sepoi bahasa mengubat tekanan bekerja tanpa henti sepanjang tahun ini,” tutur Miera sambil menghirup secangkir teh tradisional di sudut hotel yang dinamakan chaikhana.
Sambil melontarkan pandangan ke laluan Jalan Dedeman, menyaksikan pejalan kaki pulang usai bekerja lewat pukul 6 petang, tambah Miera, ketenangan sebegini yang selama ini sering dicari-cari olehnya untuk bersantai, berehat dan bermuhasabah sejenak.
“Lihat sahaja seni bina Islam di tengah-tengah pusat bandar, contohnya Kompleks Hizrati Imam, sudah membuatkan hati tersentuh dek keagungan dan kemasyhuran perkembangan Islam sekitar abad ke-15 dulu.
“Unik, gah dan menyimpan sejarah menarik untuk diterokai sebenarnya.
“Alangkah indah kalau saya diberikan lebih banyak ruang masa untuk meneroka segenap isi ruang kota ini,” ujar pemilik nama sebenar Miera Leyana Kasmi, 21.
MIERA akui tertarik dengan fabrik kapas yang ditenun cukup cantik dan unik di Uzbekistan.


Penerbangan menaiki Uzbekistan Airways mengambil masa kurang lapan jam dari kota Kuala Lumpur dan sela masa waktu tempatannya cuma lewat tiga jam.
Ironi Uzbekistan digelar City Of Sun memandangkan sang mentarinya tidak pernah segan-silu menampilkan diri sepanjang tahun biarpun peralihan musim.
Kata Miera, dia dimaklumkan oleh penduduk tempatan bahawa panorama pada musim salji sekitar yang bakal menyusul pada bulan Januari tidak lama lagi, sangat menakjubkan.
“Bayangkan, masjid serta madrasah di sini yang berwarna coklat bakal dilitupi salji putih sepanjang musim sejuk nanti. Ketika itu, kata penduduk di sini, pemandangannya sungguh luar biasa,” kongsi Miera.
Meskipun sukar pada mulanya untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan penduduk tempatan terutama ketika berjual beli memandangkan kebanyakan mereka menggunakan bahasa Uzbekistan dan Rusia sebagai perantara, perkara itu menjadi ‘alah bisa tegal biasa’.
“Mula-mula memang sukar untuk berkomunikasi kerana mereka tidak mahir menggunakan bahasa Inggeris sebagai perantara melainkan pelajar yang menuntut di universiti di sini.
“Namun, lama-kelamaan apabila sering menggunakan isyarat badan, perkara itu bukan alasan untuk tidak membeli-belah di sini.
“Perkara yang menarik perhatian saya adalah cenderamata dan fabrik kapas yang ditenun cantik di sini.
“Coraknya seakan-akan sama dengan kain pua kumbu dari Sarawak tapi motif dan warnanya lebih meriah dan terang membezakan fabrik-fabrik di sini,” katanya.
FATHIA kelihatan cukup menawan dalam pakaian tradisi Uzbekistan.


Cuaca nyaman
Tarik perhatian
Sempena acara karpet merah Forum Filem Antarabangsa Tashkent yang berlangsung pada 19 Oktober lalu, Miera dan Fathia diberikan kesempatan mewakili Malaysia dan negara di Asia Tenggara untuk melewati permaidani acara paling berprestij itu.
Menariknya, Miera dan Fathia masing-masing berjaya mencuri tumpuan beberapa produser dan selebriti terkenal Uzbekistan dan Rusia untuk disunting membintangi karya terbaharu mereka.
Miera telah ditawarkan untuk mendukung peranan utama dalam sebuah filem berjudul Jealous arahan Said Muxtozor, seorang pengarah dari Rusia yang akan memulakan penggambaran tahun depan.
Fathia pula mendapat perhatian luar biasa daripada selebriti tempatan yang menyangka dia adalah sebahagian penduduk tempatan Uzbekistan, selain ditawarkan untuk tampil dalam sebuah klip video penyanyi tersohor negara itu, Atarbek Dotsent Maxashev yang akan menjalani penggambaran di Kuala Lumpur.
“Ini kali kedua saya menjejakkan kaki ke Uzbekistan. Kali pertama ketika festival Asrlar Sadosi pada bulan Mei lalu dan situasi yang sama berlaku kepada saya. Mereka tetap anggap saya penduduk tempatan Uzbekistan.
“Sampailah saya perlu menerangkan kepada mereka bahawa saya berasal dari Malaysia dan tidak boleh bercakap bahasa Uzbekistan, kemudian barulah mereka mula bertanyakan asal-usul saya,” cerita pemilik nama penuh Nur Fathia Abdul Latiff, 25, bersungguh-sungguh.
Makam bersejarah
Melihat pada faktor sosiobudaya dan ekonomi penduduk di Uzbekistan, kata penuntut jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, ia tidak jauh berbeza dengan Malaysia.
“Uzbekistan adalah sebuah negara Islam yang membangun lebih kurang Malaysia juga, mereka ada kawasan perkampungan dan bandar yang sedang pesat membangun.
“Cuma yang berbeza daripada kita adalah budaya, cara hidup, pemakaian, dan makanan mereka. Negara ini banyak menghidangkan makanan berasaskan sayuran dan buah-buahan.
“Daripada saya seorang yang bukan penggemar sayuran tiba-tiba menjadi pencinta sayur. Malah, hidangan di sini juga mempunyai rasa yang berbeza dan lebih rasa rempah-ratusnya,” kata Fathia yang menggemari hidangan seakan Nasi Bukhari yang diberi jolokan Bloaf.
MIERA LIYANA (kiri) dan Nur Fathia berkongsi rasa dan emosi sepanjang berada di Uzbekistan baru-baru ini.


Delegasi juga dibawa melawat ke wilayah sebelah barat Uzbekistan iaitu Samarkand menggunakan penerbangan domestik yang mengambil masa 45 minit dari Tashkent.
“Samarkand menyimpan sejarah dan rahsia lampau yang sangat unik. Di sini terletaknya makam pahlawan paling disegani di Uzbekistan, Amir Temur serta makam perawi hadis dan sahabat Rasulullah SAW, Imam Bukhari.
“Syukur Alhamdulillah saya diberikan peluang untuk melawat ke lokasi-lokasi ini.
“Cantiknya tempat ini memang sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata, malah ketika lawatan hati tiba-tiba menjadi sayu dan sebak,” ujar Fathia.
Benar kata orang, jauh berjalan luas pengalaman. Umpama sebuah hikayat suatu ketika dulu yang semakin lama disimpan semakin tinggi nilainya, begitu juga darjat sebuah pengalaman.
Manis, menyentuh hati dan merengkuh emosi. Itulah uniknya Uzbekistan!


Barbie 'hidup' di Malaysia


PEMENTASAN Barbie dipersembahkan dengan aura moden yang penuh elegan.


NOSTALGIA indah. Pementasan ala teater patung Barbie dan rakan-rakannya selama hampir dua jam di Amphitheatre, Sunway Lagoon dilihat mampu mengimbau kembali zaman kanak-kanak, khususnya golongan wanita yang inginkan sedikit hiburan yang berlainan pada hujung minggu ini.
Acapkali teman lelaki membawa teman wanita serta ibu bapa membawa anak-anak mereka berjalan pada hujung minggu ke tempat yang klise seperti pusat membeli-belah, menonton wayang, taman rekreasi dan tempat yang mempunyai daya tarikan tersendiri.
Apa yang pasti, mereka mempunyai pilihan yang lebih unik pada minggu ini kerana sempena menyambut ulang tahunnya yang ke-19, Galaxy Group telah menerbangkan khas dan buat pertama kalinya, Barbie Live! Musical Show ke Malaysia.
Persembahan penuh muzikal tersebut bermula dengan sorakan lebih 1,000 penonton yang memenuhi segenap ruang Amphitheatre, Sunway Lagoon yang terletak di Subang Jaya itu.
Barbie Live! Musical Show dimulakan dengan set berlatar belakang dan bertemakan pentas muzik Hollywood yang mana Barbie dan rakan baiknya, Teresa sedang rancak membuat latihan sebelum menjalani pengambaran filem baharu lakonan mereka.

MENARIK... Tarian tradisional yang ditarikan oleh Barbie dan pasangannya sambil diiringi para penari latar.


Plot dikembangkan dengan Teresa digambarkan sebagai mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah dan tidak percaya akan bakat serta keupayaan lakonannya.
Barbie lalu membantu Teresa dengan menayangkan beberapa cakera padat video (VCD) lakonannya yang terkenal seperti Swan Lake, Princess and the Popstar dan Maripos & Fairy Princess dengan harapan sahabat baiknya itu dapat mengambil pengajaran dan moral yang tersurat serta tersirat dalam cerita-cerita tersebut.
Pelbagai cabaran dan dugaan yang menarik ditempuh oleh Barbie dan Teresa sepanjang tempoh tersebut supaya Teresa dapat peroleh kepercayaan diri sambil mengukuhkan tali persahabatan yang terjalin antara mereka.
Pementasan yang berbentuk muzikal ini dimainkan dengan penuh warna-warni serta tidak mengecewakan penonton yang hadir menonton dengan niat untuk bergembira dan bersantai bersama orang tersayang
Selain itu, pelbagai jenis lagu dipersembahkan secara langsung oleh para pelakon dengan penuh keceriaan dan antara yang mendapat perhatian penonton seperti Rise Above it All, Be A Friend dan Look How High We Can Fly.
Tarian juga memainkan peranan yang penting dalam pementasan ini dan babak yang paling mengujakan adalah ketika mereka menari sambil menyanyikan lagu Get Your Sparkle On.
Pementasan ini sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama diselitkan empat babak berasingan seperti The Rehearsal, Swan Lake, Barbie's Dressing Room dan Mariposa.

TARIAN moden yang dipersembahkan oleh para pelakon sangat bertenaga.


Bahagian kedua mempunyai dua babak seperti Outside & Inside Barbie's Dressing Room.
Hampir 60 peratus yang datang menyaksikan pementasan pada malam pembukaan itu merupakan kanak-kanak bawah 12 tahun.
Sesungguhnya terdapat senyuman kepuasan pada wajah mereka ketika persembahan itu tiba ke penghujung.
Bagi penggemar watak patung comel ini dan berniat untuk melihat sendiri bagaimana kesudahan cerita yang penuh menarik itu, masih boleh mendapatkan tiket di Kaunter Tiket Galaxy di Boulevard, Mid Valley atau Sungai Wang Plaza dengan segera kerana persembahan yang julung-julung kali dianjur dan dipentaskan di Malaysia selama enam hari bermula 29 Oktober lalu itu akan berakhir pada 3 November ini (Ahad).
Selain itu, tiket yang berharga RM93 hingga RM303 itu juga boleh dibeli melalui laman sesawang, www.ticketcharge.com.my.
Untuk informasi lebih lanjut, sila hubungi Galaxy Group di talian 03-2282 2020 atau layari laman web www.galaxy.com.my.


Wajah anak angkat Almy mirip Fizz


Fizz yang kelihatan mesra bersama Nur Afrina yang memanggilnya dengan gelaran papa.


RAMAI yang terkejut apabila pelakon Fizz Fairuz memberitahu bakal berkahwin dengan bekas kekasihnya, pelakon Almy Nadia.
Malah, ramai juga yang mempertikaikan tindakan Fizz, 34, berkahwin dengan Almy, 27, selepas apa yang telah dilakukan pelakon filem Nur Kasih itu terhadap Almy.
Bahkan, ada juga yang pelik kenapa Almy sanggup menerima Fizz kembali selepas lelaki itu mengambil keputusan bertunang dengan wanita lain.
Bagaimanapun, ada sumber yang memberitahu Kosmo!, keputusan Fizz mahu berkahwin dengan Almy kerana mereka sudah mempunyai cahaya mata.
Cahaya mata yang dimaksudkan sumber itu ialah anak angkat Almy iaitu Nur Afrina Darwisya, 4.
Sumber itu juga mendakwa, wajah kanak-kanak perempuan itu juga persis muka Fizz.
Terkejut dengan berita tersebut, Kosmo! segera mendapatkan kenyataan kedua-dua pelakon itu.
Kosmo!: Ada yang mendakwa bahawa anak angkat Almy iaitu Nur Afrina Darwisya merupakan anak sebenar kalian. Benarkah?
FIZZ: (Terkejut). Nur Afrina itu memang anak angkat Almy. Dia tiada kena-mengena dengan saya. Bagaimanapun, ketika hendak mengambil anak angkat dulu, Almy pernah memberitahu saya. Namun, segala proses pengambilan semuanya diuruskan oleh Almy. Budak itu juga diambil Almy sejak bayi lagi.
ALMY: Saya rasa sangat kelakar. Kalau betul apa yang didakwa, pergilah selidik semua hospital ada atau tidak nama Almy melahirkan anak. Tolong jangan ragui status anak angkat saya. Saya ambil dia (sebagai anak angkat) sejak 27 April 2010.
Ada yang mendakwa Almy pernah menghilangkan diri selama setahun lebih kerana mengandung? Sila komen.
ALMY: Sebenarnya saya tidak hilangkan diri. Ketika itu saya masih berlakon, cuma mungkin orang tidak perasan sebab saya hanya muncul untuk RTM sahaja. Ketika itu juga saya akui berat badan naik tetapi bukan disebabkan mengandung.
Adakah Almy terkejut dengan dakwaan tersebut?
ALMY: Saya tidak terkejut. Saya sudah bersedia sejak awal lagi dengan dakwaan seperti ini. Sebelum ini lagi ramai yang pernah meragui status anak tersebut. Malah, ramai juga yang beritahu muka Nur Afrina lebih kurang sama dengan Fizz apabila saya memuat naik gambarnya di laman sosial Instagram.
Bagaimanakah hubungan Fizz dan Nur Afrina?
FIZZ: Hubungan saya dengan dia (Nur Afrina) baik. Dia juga panggil saya papa dan hadir ke sambutan hari jadi saya pada 22 Oktober lalu. Kami mulai rapat sejak tiga bulan lalu.
ALMY: Mereka menyanyangi antara satu sama lain. Malah, Nur Afrina sendiri sudah menganggap Fizz bapanya dan memanggil dia papa.

FIZZ menyatakan yang dia akan merisik Almy Nadia pada minggu depan.


Apakah yang dimaksudkan oleh Fizz bahawa Nur Afrina menganggap anda sebagai bapanya?
FIZZ Sebelum ini dia tidak mempunyai bapa. Tiba-tiba dapat kasih sayang seorang bapa. Itu yang dia seronok dan anggap Fizz sebagai bapanya.
Apakah perkembangan terbaharu majlis perkahwinan kalian? Sudah ada tarikh?
FIZZ: Buat masa ini belum ada sebarang tarikh kahwin. Namun, saya akan merisik Almy pada minggu depan dengan membawa sebentuk cincin.
ALMY: Saya tetap tidak mahu memberi sebarang kenyataan selagi majlis belum berlangsung. Bila sudah selesai, Fizz sendiri akan memberitahu perkara selanjutnya. Biar dia sahaja yang bersuara.
Sudah buat sebarang persiapan perkahwinan?
FIZZ: Saya menyerahkan semuanya kepada keluarga. Mereka yang menguruskan perkahwinan kami.
Apakah perasaan Fizz apabila hubungan kalian akan berakhir di jinjang pelamin?
FIZZ: Ada orang cakap yang saya ini sudah ludah jilat balik. Bagi saya, tutup buku lama dan buka buku baharu. Kita hanya merancang dan ia juga bergantung pada jodoh.
Kenapakah hanya anda sahaja yang memberi kenyataan tetapi Almy pula menutup mulut?
FIZZ: Saya sendiri yang beritahu dia jangan buka mulut sebab takut bercanggah kenyataan pula.
Beralih pada soalan lain, apakah perkembangan anda dalam bidang seni?
FIZZ: Saya telah berhenti berlakon seketika hingga 5 Januari depan kerana ingin memberi tumpuan pada Akademi Fantasia 2013 (AF2013). Pada masa yang sama, saya juga sedang sibuk dengan program Liga Lawak Superstar. Sekarang ini juga saya sedang membina badan untuk watak saya iaitu Super Bro dalam filem Cicak Man 3 yang akan menjalani penggambaran pada awal tahun depan.
ALMY: Dalam dua bulan lagi saya akan kembali dengan perniagaan saya iaitu karipap sejuk beku. Saya juga sedang menjalani penggambaran drama untuk RTM berjudul Gadis Saza.


Spesies ikan lumba-lumba baharu


GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan beberapa ekor ikan lumba-lumba spesies baharu melompat dari laut di utara Australia.


WASHINGTON - Spesies baharu ikan lumba-lumba ditemui semasa beberapa ekor haiwan itu berenang di luar pantai utara Australia, lapor satu pasukan saintis dalam minggu ini.
Menurut seorang ketua pengkaji haiwan itu yang disiarkan dalam jurnal Molecular Ecology, spesies baharu itu masih belum diberikan nama.
Spesies baharu yang ditemui itu adalah daripada keluarga ikan lumba-lumba kelasa.
Sebelum ini terdapat tiga spesies ikan lumba-lumba kelasa yang telah diiktiraf oleh para pengkaji haiwan tersebut.
Tiga spesies itu ialah ikan lumba-lumba kelasa Atlantik, ikan lumba-lumba kelasa Indo-Pasifik dan ikan lumba-lumba Indo-Pasifik Sousa chinensis.
Ikan lumba-lumba baharu yang ditemui itu tidak mempunyai ciri-ciri yang terdapat pada tiga spesies tersebut.
Seorang ahli biologi yang menganggotai pasukan mengkaji spesies baharu itu, Guido Parra dari Universiti Flinders, Adelaide, Australia berkata, nama spesies baharu itu perlu mempunyai kaitan dengan Australia.